Tuesday, November 8, 2011

Mungkinkah? 14


            Dia terus menunduk. Tidak sudi untuk mengangkat muka menghadap wajah Encik Karim. Kata-kata lelaki itu tempoh hari, masih terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata yang terlalu mengecewakannya. Membuat segunung rasa kagumnya pada lelaki itu, runtuh begitu sahaja. Dalam diam, dia cuma mengira detik waktu yang berlalu lewat jarum jam yang berdenting di dinding. Cukup untuk menggambarkan betapa sunyi sepi ruang pejabat milik majikannya ini. Encik Karim juga jelas lebih senang berdiam diri sambil bersandar ke kerusi. Dan, dia tahu sepasang mata lelaki itu, sedang menatap wajahnya. Sedang mangamatinya. Membuat dia semakin tidak betah.
            “Kalau tak ada apa-apa, saya sambung kerja saya…,”akhirnya dia bersuara. Tiada sebab untuk dia terus berada di ruangan ini. Masih ada kerja yang menantinya di luar sana walau dia begitu sibuk sejak dari pagi. Paling tidak, kalau isteri majikannya itu muncul tiba-tiba dan dia masih di ruangan ini, akan tercetus lagi situasi kurang senang yang bakal menyusahkannya. Perlahan dia menolak kerusi, bersedia untuk berlalu.
            “Tunggu Arisa,”
            Niat untuk mengangkat punggung dan berlalu dibatalkan. Wajah Encik Karim dipandang sekilas. Wajah itu nampak cukup tenang. Perlahan dia menghela nafas.
            “Saya tak tahu kenapa kita berada di sini dan saling berdiam diri…,”Arisa bersuara lagi. Meluahkan rasa kurang senang yang sejak tadi bersarang di hati. Dan, kali ini terdengar satu keluhan pendek pecah di bibir Encik Karim. Perlahan lelaki itu membetulkan duduknya. Meletakkan lengan ke meja sambil tumpuannya kini jatuh ke wajah Arisa.
            “Awak macam-mana? Saya tumpang simpati atas semua yang berlaku,”Encik Karim mula bersuara. Menitipkan rasa simpati lewat renungannya yang redup.
            Arisa tersenyum kecil sambil mengangguk perlahan.
            “Saya okay. InsyaALLAH saya okay…dan, terima kasih sebab Encik Karim memahami keadaan saya. Benarkan saya lanjutkan cuti saya. Terima kasih sekali lagi,”
            Encik Karim tersenyum nipis.
            “Saya mahu awak tenang. Saya mahu awak mulakan tugas dengan tenang. Anggap semua itu sudah ditakdirkan dan terima kematian ayah awak dengan redha,”
            Arisa mengangguk perlahan. Memang dia terima itu sebagai suratan. Namun, tidak mungkin dia melupakan onar Radhi yang menjadi punca kematian bapanya.
            “Bekas suami awak, masih ganggu awak?,”
            Arisa diam seketika. Agak tidak bersedia sebenarnya dia dengan soalan itu. Sudahnya dia hanya menentang renungan Encik Karim sambil memikirkan jawapan yang sesuai.
            “InsyaALLAH saya boleh hadapi dia sekarang. Dulu, saya fikirkan keadaan arwah ayah saya, kalau saya berkeras dengan dia. Sekarang, saya tak perlu risaukan apa-apa lagi. Saya boleh hadapi dia,”
            “Awak yakin? Saya tak mahu dia terus susahkan hidup awak. Saya tak suka dia menyusahkan awak macam ni,”
            “Encik Karim tak perlu risau. Saya tahu selesaikan masalah saya. Lagipun, saya dah banyak libatkan Encik Karim dalam masalah saya. Saya rasa cukuplah setakat ini saja. Lepas ni, biarlah saya selesaikan sendiri semua masalah saya,”perlahan Arisa bersuara.
            Encik Karim diam seketika. Cuma tajam merenung wajahnya membuat dia berasa tidak sedap hati. Keterlaluankah kata-katanya itu? Tersinggungkah lelaki itu dengan kata-katanya?
            “Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak bercakap kasar. Saya tahu Encik Karim dah banyak tolong saya. Encik Karim juga dah banyak susah sebab masalah saya ni. Saya tak mahu libatkan Encik Karim lagi. Segala pertolongan Encik Karim selama ni, memang tidak mampu untuk saya balas. Saya berterima kasih sangat-sangat. Tapi, cukuplah setakat ini sahaja,”
            Encik Karim bersandar ke kerusi. Menarik nafas panjang dan diam untuk seketika.
            “Arisa…saya dah pun terlibat. Dan, saya tak kisah. Saya memang mahu bantu awak. Saya memang tak mahu tengok awak susah. Tak mahu tengok sesiapa pun menyusahkan hidup awak,”
            Arisa menggeleng perlahan. Tidak mungkin. Tidak wajar lelaki itu terus menyusahkan diri sendiri untuknya. Terus memperjudikan rumahtangga semata-mata mahu membantu dirinya. Walau apa sekalipun niat lelaki ini, dia tidak akan berkongsi segala masalahnya. Paling tidak, Encik Karim bukan orangnya untuk dia kongsikan segala kesukaran hidup.
            “Saya tak mahu masalah Encik Karim berlarutan. Saya tak mahu masalah saya ni, beri kesan pada rumahtangga Encik Karim. Ini bukan hal main-main. Cukuplah budi yang Encik Karim berikan selama ini. Pasal pinjaman tu, saya akan cuba langsaikan secepat yang saya mampu. Saya janji. Saya janji saya akan langsaikan semuanya,”
            Encik Karim tersenyum kecil. Kata-kata yang meniti di bibir Arisa jelas menunjukkan isi hati wanita ini. Jelas Arisa mahu menolak segala bantuannya. Dan, cukup jelas Arisa tidak mungkin akan memaknakan impiannya.
            “Macam-mana awak nak jelaskan semuanya dalam keadaan awak sekarang? Sekarang ni, segala tanggungjawab tergalas atas bahu awak seorang. Saya faham keadaan awak. Saya tak mahu membebankan awak, Arisa. Sebab itu, sebaiknya awak terima usul saya tempoh hari,”
            Arisa mengangkat muka. Menentang wajah Encik Karim dengan rasa kurang senang. Sangkanya topik itu sudah berakhir. Sangkanya Encik Karim sudah faham apa yang dia inginkan. Ternyata dia silap. Lelaki ini masih  cuba memancing tuah. Masih berhasrat untuk meneruskan cadangan yang tidak masuk akal itu.
            “InsyaALLAH saya boleh. Mustahil saya dapat selesaikan sekaligus, tapi saya tetap akan bayar secara beransur macam sekarang…Cuma satu saja yang saya mohon dari Encik Karim. Kita perlu jelaskan semuanya pada Puan Salma. Perlu jelaskan kebenaran, bukan buat sesuatu yang kurang bijak seperti cadangan mengarut tu,”
            “Arisa…,”
            “Saya tak tahu kenapa Encik Karim boleh terfikir sampai ke situ. Saya juga tak faham kenapa Encik Karim sanggup meletakkan risiko pada rumahtangga Encik Karim sendiri. Mungkin Encik Karim benar-benar mahu bantu saya. Tapi, bukan begitu caranya. Masalah ini boleh diselesaikan dengan cara yang lebih bijak,”pantas Arisa menyampuk.
 Sebolehnya dia tidak mahu bahaskan lagi soal itu. Yang paling dia inginkan saat ini, adalah bersemuka dengan Puan Salma dan jelaskan semuanya kepada wanita itu. Dan…dia boleh teruskan tugasnya dengan hati yang lega. Tetapi mustahil dia mampu bersemuka sendirian dengan kemarahan Puan Salma.
            “Saya mahu bantu awak, sebab saya memang sayangkan awak, Arisa…,”
            “Encik Karim! Encik tak patut cakap macam tu…,”
            “Memang itu hakikatnya. Selama ini saya simpan perasaan saya dalam-dalam. Saya cuba singkirkan perasaan saya. Tapi, apabila muncul fitnah ni… saya rasa sebaiknya kita selesaikan masalah ni dengan cara paling mudah,”
            “Paling mudah? Saya tak tahu apa yang ada dalam kepala Encik Karim. Tapi, semuanya benar-benar tak masuk akal. Kita difitnah dan ini reaksi Encik Karim?,”Arisa bersuara sedikit keras. Benar-benar tidak bersetuju dengan cara majikannya menangani masalah mereka.
            “Kenapa Encik Karim fikirkan jalan penyelesaian macam ni? Semua ni cuma akan mengiyakan semua fitnah yang Radhi sampaikan pada Puan Salma. Kebenaran tak akan datang kalau kita  menyerah macam ni,”
            “Arisa, saya tak kisah pasal fitnah tu. Yang penting sekarang, perasaan saya pada awak. Saya bukan main-main bila saya melamar awak jadi isteri saya,’
            “Saya juga tak main-main bila saya cakap, saya langsung tak setuju dengan cadangan tu. Jangan sesekali Encik Karim ungkit pasal lamaran tu lagi. Saya tak akan rosakkan rumahtangga orang… Saya tak akan jadi duri dalam hidup Encik Karim suami isteri. Mungkin saya ni janda, tapi, saya tak mungkin akan jadi sekejam itu. Saya faham perasaan Puan Salma sekarang,”
            “Isteri saya tak akan mahu mengerti tentang apa-apa pun,”
            “Sebab Encik Karim tak berusaha meyakinkan dia. Encik Karim cuma diam mengikut rentak mainan Radhi. Tak bertegas untuk jelaskan perkara yang sebenar pada Puan Salma. Sebab tu Puan Salma tak boleh mengerti apa-apa. Encik Karim ambil kesempatan…,”
            “Ya. Mungkin awak betul, Arisa. Mungkin saya ambil kesempatan dengan apa yang berlaku. Saya rasa dengan fitnah Radhi, saya dapat bersama dengan awak…,”
            “Dan, fitnah tu juga buat ayah saya terus jatuh sakit. Buat ayah saya pergi selama-lamanya…,”
            “Arisa, apa yang dah berlaku, tak mungkin kita boleh ubah. Tapi, tak salah kan, kalau saya mahu melindungi awak. Saya mahu melindungi awak dan adik-adik awak. Saya benar-benar ikhlas. Cubalah pertimbangkan, Arisa,”
            Pantas Arisa mengangkat punggung. Tidak ada gunanya dia terus berada di sini.
            “Mustahil. Saya tak akan setuju. Saya mampu hidup sendiri. Saya tak perlukan simpati sesiapa. Saya rasa dah tak ada apa yang hendak kita bincangkan lagi. Saya keluar dulu…,”
            “Arisa… cuba jangan ego sangat. Saya sayangkan awak dan saya mahu bantu awak…,”
            “Kalau Encik Karim nak bantu saya, bantu saya bersihkan semula nama saya. Itu saja yang saya mahu. Selain daripada itu, rasanya saya dah tak perlukan apa-apa,”
            “Arisa tunggu dulu. Cuba fikirkan dalam-dalam cadangan saya tu,”
            Arisa merenung tajam. Kecewa benar dengan lelaki yang selama ini sangat dia hormati.
            “Mungkin Radhi benar. Encik Karim bantu saya dulu, mungkin sebab ada niat lain. Bukan kerana Encik Karim mahu bantu staff yang sedang kesusahan. Sampai waktu, Encik Karim menagih sesuatu sebagai balasan…,”
            “Arisa! Jangan cakap macam tu…,”
            Tanpa mempedulikan kata-kata sedikit membentak itu, Arisa segera berlalu. Terus melangkah keluar dari ruang bilik yang terlalu melemaskannya itu. Dia tahu tindakan itu sedikit kurang ajar. Namun, tidak mungkin dia akan terus mendengar kata-kata rayuan yang menyakitkan hati itu. Pintu ditutup rapat dan dia segera melangkah menuju ke ruangan kerjanya. Menghenyakkan punggung ke kerusi bersama perasaan yang bercelaru. Andai Encik Karim terus berkeras dengan keinginannya, bagaimana dia dapat bekerja dengan aman? Bagaimana dia dapat jernihkan kembali hubungannya dengan Puan Salma? Tiba-tiba mindanya kembali berselirat dengan seribu persoalan baru. Sangkanya, dia dapat selesaikan fitnah Radhi dengan mudah selepas apa yang telah terjadi tetapi yang muncul di hadapannya kini, nampak semakin sukar.
Perlahan dia meraup wajah. Cuba tenangkan perasaan yang bergelora dengan rasa geram dan kecewa. Mudahnya seorang lelaki mengambil kesempatan pada kesempitan yang sedang dilaluinya. Mungkinkah silapnya, kerana dia begitu mudah menerima bantuan Encik Karim suatu ketika dulu? Mungkin juga silapnya kerana terlalu mudah untuk menyerahkan seluruh jiwanya pada Radhi suatu ketika dulu. Atau memang onar lelaki semuanya begitu? Hanya tahu mengambil kesempatan demi kepentingan masing-masing. Dia mengeluh keras. Tangannya menolak kasar file di meja. Benar-benar hilang keinginan untuk meneruskan kerja walaupun menimbun tugasan yang menantinya.
“Rissa… kenapa ni?,”
Perlahan dia mengangkat muka. Bertemu dengan wajah Tasnim yang sedang merenung wajahnya dalam-dalam. Perlahan dia menggeleng. Perlahan juga dia menghela nafas panjang.
“Ada apa, Nim?,”soalnya lambat-lambat. Senyum dipaksa muncul pada seulas bibirnya. Rambutnya yang jatuh ke pipi, diselit perlahan di telinga. Wajah Encik Karim cuba dibuang jauh-jauh.
“Dah pukul lima. Tak nak balik ke?,”
“Hah? Ya ke?,”pantas matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Benar. Sudah pukul lima. Pantas dia mengemaskan meja. Niatnya memang mahu terus tinggal di pejabat menyiapkan beberapa tugasan. Namun, dengan perasaannya kini, mustahil dia mampu bekerja dengan baik. Sebaiknya dia pergi jauh-jauh dari sini. Dia perlukan udara segar buat tenangkan perasaan. Selesai mengemas meja ala kadar, segera dia mencapai beg tangan. Mengundang rasa hairan di hati Tasnim. Tingkah Arisa sedikit berlainan.
“Lajunya. Nak ke mana ni?,”
“Balik,”
Tasnim tergelak halus.
“Tak pernah kau tergopoh-gopoh macam ni. Macam nak lari aje, aku tengok,”usik Tasnim bersama senyum meleret.
“Lemas. Aku nak cari udara segar,”
Sekali lagi tawa menghiasi bibir temannya itu.
“Banyak sangat ke kerja, sampai macam ni sekali nak cari udara segar?,”
Arisa cuma memandang kosong. Terus melangkah meninggalkan meja. Dia perlu keluar dari sini secepat mungkin. Perlu cari cara untuk tenangkan fikiran dan perasaan bagi terus berdepan dengan majikannya esok. Dan hari-hari mendatang. Tasnim memandang dari belakang sambil mengatur langkah mengekori langkah Arisa yang jelas tergesa-gesa.


*****

4 comments:

miznza84 said...

nak lagi kak hani...
bile la arissa nk berjmpa lagi dgn zharif ni... tak sabar sungguh...

sue said...

Betul tu bila lah Arissa nak jumpa Zharif ni...
X sabar ....

Anonymous said...

nak lagi.......buat novel cpat2 pun best gak...

Anonymous said...

lambatnya nak tgu next entri..tak sabar la, ni pun nasib baik jumpa blog hanni ramsul kalau tgu kat penulisan2u lagi la lambat...hailah
(chah)

[11:35:50 PM] hos.getah: