Friday, August 3, 2012

Biarkan YM Terus Bicara 20

            Senyum lebar aku berikan pada beberapa orang pelanggan yang baru selesai membuat pembayaran di kaunter. Penat juga melayan pelbagai kerenah pelanggan yang cerewet. Namun, apabila berjaya puaskan hati mereka dengan sesuatu yang betul-betul kena dengan jiwa mereka, bagai ada satu kepuasan di situ.
            “Cerewet bukan main,”
            Aku tersenyum mendengar omelan Suri yang sedang menyusun resit pembelian di sudut kaunter.
            “Biasalah. Dia orang kan membeli. Mestilah nak yang betul-betul berbaloi dengan duit yang dia orang keluarkan,”tegurku bersama senyum yang terus terhias di bibir. Teguran yang membuat Suri tersengih cuma.
            “Betul. Mummy setuju. Ragam pelanggan memanglah macam tu. Suri pun, macamlah baru hari ni, kerja ya?,”
            Suri tergelak kecil.
            “Tak adalah Puan. Tapi, customer yang cerewet melampau macam tu, kadang-kadang geram tu datang juga Puan,”
            Aku tergelak mendengar rungutan yang cukup ikhlas itu. Ibu mertuaku cuma menggeleng perlahan.
            “Tiya?,”
            Aku memandang wajah ibu mertuaku dengan sedikit rasa hairan. Kening kuangkat sedikit. Ibu mertuaku tersenyum.
            “Tiya tak geram ke?,”
            Aku tersengih.
            “Adatlah mummy. Nak customer kenalah sabar. Betul tak?,”
            Puan Junaidah tersenyum kecil.
            “Betul…,”balasnya sepatah. Aku senyum.
            Come…,”ujarnya pendek. Terus melangkah menuju ke biliknya. Aku memberi isyarat agar Suri menjaga kaunter dan seorang dua pelanggan yang asyik membelek baju. Suri cuma mengangguk sambil mengangkat ibu jari. Aku tersenyum sambil mengekori langkah ibu mertuaku. Daun pintu kaca aku tutup perlahan kemudian melabuhkan punggung di sebelah ibu mertuaku.
            “Ada apa, mummy?,”
            Senyum sekali lagi mekar di bibir itu.
            “Geram pada pelanggan dah kurang. Geram pada yang tersayang, macam-mana pula?,”
            Aku diam. Wajah Puan Junaidah kuamati sungguh-sungguh. Adakah Puan Junaidah tahu aku sedang perang dingin dengan Encik Firdaus? Bukannya aku yang mahu panjangkan cerita tetapi Encik Firdaus yang seakan-akan mahu isytiharkan perang. Langsung tidak mahu memujukku. Dan, aku pula. Tidak mungkin aku akan mengalah. Aku tidak melihat di mana kesilapanku. Jadi untuk apa aku tunduk mengalah dan secara tidak langsung menunjukkan yang Puan Sri Ainul tiada kaitan di dalam permasalahan kami. Kalau boleh aku mahu seret wanita itu untuk mengaku perbuatannya itu. Tetapi, bukan senang untuk buat orang mengaku sesuatu yang terang-terang dilakukan secara sembunyi.
            “Maksud mummy?,”soalku lambat-lambat. Mana tahu mungkin telahanku silap. Mungkin Puan Junaidah mahu sampaikan sesuatu yang bukan seperti aku fikirkan ini.
            “Ada masalah dengan Fir, ya?,”
            Aku tunduk. Betullah telahanku. Mungkinkah Encik Firdaus bercerita pada ibunya? Apa yang telah lelaki itu ceritakan?
            “Abang Firdaus beritahu mummy ke?,”aku cuba mencungkil maklumat.
            Puan Junaidah tersenyum lebar.
            “Bukan, sayang. Fir bukan suka cerita hal-hal peribadi dia. Cuma, satu dua hari ni, mummy perasan macam ada yang tak kena aje dengan pasangan dua sejoli ni,”
            Aku tersenyum segan. Rasanya sudah sehabis mungkin aku memaniskan wajah ketika bersama Encik Firdaus apabila ibu dan bapa mertuaku ada berhampiran. Tetapi, tetap juga begitu mudah dibaca oleh ibu mertuaku ini.
            “Nak share dengan mummy?,”
            Soalan itu membuat aku sedikit terharu. Tetapi, perlukah aku kongsikan dengan Puan Junaidah? Encik Firdaus sendiri tidak membuka cerita itu pada ibunya. Sudahnya aku menggeleng perlahan.
            “Tak apalah mummy. Perkara kecil aje,”
            Puan Junaidah tersenyum sambil mengangguk perlahan.
            “Okay, kalau macam tu. Tapi, perkara kecil kalau dipanjangkan, nanti tak jadi kecil,”
            Aku terdiam. Ada nada-nada yang memberi isyarat agar aku beralah di situ.
            “Nak dengar mummy cakap sikit?,”
            Giliran aku mengangguk perlahan.
            “Berapa lama Tiya kenal Fir?,”
            Aku termangu. Sebagai seorang majikan, rasanya sudah agak lama aku mengenali Encik Firdaus. Sebagai seorang yang istimewa, rasanya tempoh setahun lebih itu bukanlah jangka masa yang agak lama. Proses perkenalan kami juga tidak begitu baik. Sering terdedah dengan prasangka dan salah sangka. Sebaik salah sangka terlerai,kami terus bertunang.
            “Setahun bertunang dan terus kahwin,”telus jawapan yang aku berikan.
            “Dah betul-betul kenal dengan sikap Fir?,”
            Aku termangu lagi. Setahun di dalam alam pertunangan aku terlalu dimanjakan. Selepas berkahwin pun, Encik Firdaus melayan aku bagai puteri sehingga aku terlupa untuk mengkaji sikap Encik Firdaus sendiri. Sudahnya aku menggeleng perlahan. Baru aku sedar, aku masih belum arif dengan sikap dan perangai insan yang aku cintai. Akukah yang tidak prihatin? Atau aku terlalu pentingkan diri sendiri? Dan, akhirnya… akukah yang bersalah?
            Perlahan Puan Junaidah menggenggam jemariku.
            “Fir… memang cukup gentleman. Penuh dengan kasih-sayang. Tapi, hatinya juga kadang-kadang sangat sensitif. Cuba Tiya fikir semula punca semua ni. Mungkin hati dia terguris sikit kot. Mungkin dia merajuk. Fir pun pandai merajuk tau. Payah nak merajuk tapi, kalau sekali dia merajuk, lama. Jadi, mummy yakin, Tiya tahu apa yang patut Tiya lakukan. Jangan gaduh lama-lama. Tak elok,”
            Aku terkedu. Jadi, sekarang Encik Firdaus merajuk? Encik Firdaus bukan marah padaku, tetapi dia merajuk dengan aku? Tetapi, betul ke? Kalau betul, patutlah dia tidak mahu memujukku. Aku pandang wajah Puan Junaidah.
            “Macam-mana nak pujuk abang Firdaus?,”
            Puan Junaidah tergelak kecil. Aku mula resah. Perlukah aku memujuk? Kenapa Encik Firdaus merajuk? Bukankah dia yang menuduh aku dan tidak mahu mendengar penjelasanku? Tetapi, memikirkan kata-kata ibu mertuaku, mungkin ada benarnya. Takkan aku mahu panjangkan pertelingkahan ini. Sampai bila? Sampai Mia betul-betul muncul dan membawa Encik Firdaus pergi, seperti yang telah Puan Sri Ainul rancang? Aku menarik nafas panjang. Tidak! Terlalu ngeri andaian itu.
            “Macam-mana cara nak memujuk tu, Tiya ajelah yang tahu. Mummy tak boleh tolong,”
            Aku tersenyum kelat. Mula menggigit kuku mencari ilham. Sungguh aku tak tahu.
            “Mummy nak keluar jumpa Puan Sri Ainul kejap. Nak join?,”
            Segera aku mengangkat muka sebaik mendengar nama itu disebut. Laju aku menggeleng. Diberi upah pun aku tidak akan menadah muka di hadapan perempuan itu. Tidak ingin aku!
            “Betul ni? Puan Sri suka tau kalau selalu dapat jumpa Tiya. Dia cakap dia sukakan Tiya. Kalau Tiya free… selalu-selalulah contact dia. Dia tu dah macam family kita. Fir memang sayang benar dengan Puan Sri tu. Maklumlah sejak kecil memang dia manja dengan Puan Sri tu. Dah macam mummy nombor dua dia…,”panjang lebar Puan Junaidah bercerita.
            Haa…. Iya! Sukalah sangat! Aku mengangguk sambil tersenyum lebar. Puan Junaidah mengangkat punggung. Mencapai beg tangannya di atas meja. Aku terus tersenyum.
            “Mummy pergi dulu. Fikirkan kata-kata mummy tu, tau,”
            Aku mengangguk perlahan.
            Take care mummy,”
            Ibu mertuaku cuma tersenyum sambil terus berlalu. Aku pula terus termangu di sofa. Menongkat dagu sambil mengeluh perlahan.
            “…Fir memang sayang benar dengan Puan Sri tu. Maklumlah sejak kecil memang dia manja dengan Puan Sri tu. Dah macam mummy nombor dua dia…,”
            Selintas kata-kata ibu mertuaku seketika tadi, berputar di minda. Patutlah marah benar Encik Firdaus padaku. Jadi, untuk tidak memburukkan lagi keadaan, aku memang perlu beralah. Terpaksa membenarkan perlakuan Puan Sri Ainul demi menjaga hubungan aku dan Encik Firdaus.
            “Puan Sri Ainul…,”tiba-tiba aku berbisik perlahan sambil mencemik. Sungguh sukar dipercayai pertengkaran ini berpunca daripada cerita rekaan Puan Sri Ainul yang disayangi Encik Firdaus dan aku terpaksa lupakan perbuatan itu hanya kerana perempuan itu wanita kesayangan Encik Firdaus. Aku mencemik lagi. Cukup mendidih hatiku tiap kali teringatkan nama itu. Dan, ramai sungguh wanita kesayangan suamiku ini!
            Seketika aku mengetuk dahi sendiri.
            “Tiya, sekarang kau kena fikirkan cara nak pujuk suami kau. Bukan fikir pasal Puan Sri Ainul yang jahat tu!,”aku bersuara geram. Mula menongkat dagu sambil berfikir. Bagaimana caranya untuk aku memujuk Encik Firdaus yang merajuk secara serius buat kali pertama ini? Merajuk main-main bolehlah  aku pujuk secara main-main juga. Tetapi, kalau sudah masuk dua hari tidak bergurau-senda denganku, sahlah rajuk itu sudah serius. Aku mula menggaru kepala. Bergerak ke meja ibu mertuaku. Komputer yang sedia terpasang itu, aku renung seketika. Perlahan aku daftar masuk ke Yahoo! Messenger. ID Encik Firdaus kelihatan sedang offline. Tetapi, memang dia sering memilih status invisible. Malam tadi dia sudi menyapaku di sini, mungkin kalau aku menyapanya, dia akan membalas.
           
Ugly Betty : Salam, bang. Jom keluar makan.

Aku menongkat dagu. Menunggu jawapan. Senyap sahaja. Mungkinkah Encik Firdaus benar-benar offline?

Ugly Betty :BUZZ!
Ugly Betty: Shopping nak? Tiya temankan?

Aku mencuba lagi. Maklumlah sekarang kan, Encik Firdaus cukup suka membeli-belah. Namun, tetap juga tiada jawapan. Aku mengeluh perlahan. Mungkin Encik Firdaus sedang sibuk. Aku pula tidak mahu berlama di sini. Pasti Suri perlukan bantuan di luar sana.

Charmimg :Abang ada meeting in 10 minutes.
Ugly Betty: Ok. Take care…

Tidak menunggu lama aku terus daftar keluar. Alunan ayat pun jelas menunjukkan lelaki ini masih di dalam mood merajuk. Perlahan aku menghela nafas sambil mengangkat punggung. Nampaknya aku perlu berusaha dengan cara lain. Cara apa? Sungguh masih belum ada idea yang terlintas di fikiran. Takkan nak hadiahkan bunga? Coklat? Kalau aku yang merajuk, logiklah begitu cara pujukannya. Kalau Atok merajuk, lagi senang. Peluk dan cium saja. Kalau Encik Firdaus merajuk? Aku garu kepala sekali lagi. Lemah aku melangkah keluar dari bilik ibu mertuaku. Membawa wajah kelat sehingga ke kaunter. Memandang kosong pada Suri yang leka melayan pelanggan, sambil kepala ligat mencari idea untuk menjernihkan semula hubungan aku dan Encik Firdaus. Juga cuba mengingat kembali di mana kesilapan yang mungkin telah aku lakukan selain daripada meletakkan kesalahan kepada ibu Mia. Juga selain daripada pertemuan aku dengan Abang Kamal. Aku yakin, bukan pertemuan itu yang membuat Encik Firdaus marah.
Sudahnya aku mengeluh perlahan. Terkebil-kebil dengan seribu satu perasaan tidak tenteram. Mahu saja aku pergi berjumpa dengan Encik Firdaus saat ini juga. Tetapi, dia kan sedang sibuk. Dan, aku mengeluh lagi.


*****

5 comments:

AniLufias said...

Hanni...kesian kat Tiya dipermainkan dgn cara halus dek Puan Sri tuu..
dan sedih coz En.Firdaus lebih percaya kat Puan Sri dr Tiya
lagi sedih klu En.Firdaus cari Mia tuk hilangkan rajuknya itu

Anonymous said...

akak mmg best la...cpt2 la dlm versi cetak ye

Anonymous said...

akak blog dah cun ni..rajin2 la update akak..hehe

Unknown said...

hanni rindu nye akak kat Tiya n Firdaus!ari2 akak lawat blog nak tunggu sambungan 'BYMB'laju lah sambung hanni....pleaseeee hani sambung ye...

yanie janie said...

kak,nak sambungannya?

[11:35:50 PM] hos.getah: