Friday, July 2, 2010

ITU HAK AKU...2

Buku di tangan terus dibelek. Terus dibaca. Mencuba untuk fokus. Namun, tetap konsentrasinya terganggu dek satu perasaan aneh yang mula menyelubungi diri. Tidak tahu apakah puncanya, entah kenapa dia terasa dia sedang berkongsi bilik dengan dengan seseorang. Walau yakin dia sendirian di sini, bagai ada mata yang sedang menyorotinya. Bagai ada renungan yang menjaga tiap tingkahnya. Mainan perasaan? Dia yakin itu. Cuma untuk dia abaikan mainan perasaan itu, rasa debar tidak cukup kuat untuk menjauh. Mungkinkah juga suasana yang mengundang rasa sebegitu? Satu keluhan panjang dilepaskan sambil membetulkan bantal di belakang. Juga menukar silang kaki yang berlunjur santai di katil. Sudah terasa lenguh apabila daripada tadi sepasang kaki itu kaku begitu. Memang niatnya menjamah buku hanya sekadar menjemput kantuk buat menjadi umpan tidurnya. Sudah beberapa malam tidurnya sering terganggu. Ternyata usahanya gagal. Matanya tetap segar. Rasa tidak sedap di hatinya tetap beraja. Memonopoli fikiran. Dan, mulai memanipulasi perasaan.



Sesekali angin yang membawa hujan menyapa lembut dari jendela yang memang dibiarkan terbuka. Membuat perasaanya semakin dicengkam rasa gelisah. Apakah yang sedang membuat perasaannya terganggu sebegini? Dia sendiri buntu mencari jawapan.


“Papa…,”


Dia mengangkat muka. Panggilan dari suara kecil itu membuat dia sedikit tersentak. Barangkali disebabkan dek leka melayan kecelaruan rasa teguran sebegitu pun membangkit rasa terkejut. Sekuntum senyum dilempar pada wajah sedikit muram itu. Memang wajah itu sudah hilang ceria. Mungkin sama seperti cerianya yang juga mula menjauh dari hidup. Lebih terasa apabila bilah-bilah hari yang harus dia lalui kini sudah hilang peneman. Sendirian dalam ketidaksediaan. Dan, dia yakin semua orang tidak akan bersedia untuk kehilangan sebegitu.


“Papa… mama dah balik. Kenapa papa cakap mama dah tak balik lagi? Tu mama dah balik,”


Suara halus yang sedikit sayu itu memaksa dia menutup buku di tangan. Rintihan itu perlahan-lahan menyingkir terus minat untuk dia teruskan pembacaan. Buku sedikit tebal yang berkisar tentang motivasi menjalani kehidupan itu, kini berganti tempat. Buku kesukaan Amira. Tercapai dek tangannya juga mungkin kerana rindunya yang menggunung pada Amira. Sudahnya buku itu tidak lagi di tangannya. Tetapi terletak elok di meja sisi.


Matanya dialih pada wajah kecil yang mulus. Tercegat di hadapannya bersama patung beruang yang sama tinggi dengan ketinggiannya sendiri. Kata-kata yang baru meniti di bibir anak kecil itu membuat dia kelu. Memang dia tidak mampu menjawab. Dia berasa kehilangan. Namun, dia yakin anak kecil itu seribu kali terasa akan kekosongan yang wujud tiba-tiba. Segalanya berlaku sekelip mata. Teramat sukar untuk dia terima apa yang berlaku. Hampir rebah tegak hidupnya menerima berita seburuk itu. Tetapi dia tidak boleh lemah demi anak itu. Dia perlu menjadi kuat. Menjadi kuat demi anaknya.


“Papa…,”


Kecelaruan di minda menjauh perlahan-lahan. Perhatian ditumpukan sepenuhnya ke wajah anak tunggalnya itu.


“Ya sayang,”


“Bukalah pintu…,”


Dia diam lagi. Kali ini dengan dahi yang sedikit berkerut. Cuba menebak apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh mulut kecil ini.


“Kenapa sayang?,”


“Kesian mama kat luar tu. Kan hujan. Nanti mama sejuk. Nanti mama demam,”


Nafasnya seakan terhenti. Dadanya menjadi sebak tiba-tiba. Dia tidak salahkan anak kecil itu. Kerinduan ternyata mampu membawa imaginasi yang pelbagai. Mengganggu tiap lena anaknya itu. Malah dia sendiri sering dihimpit situasi yang sama. Dan, mengenangkan kerinduan itu, bibir matanya memberat. Bagaimana lagi harus dia lakukan untuk membuat anak kecil itu faham dengan apa yang telah berlaku? Bagaimana mampu dia sirami kerinduan itu sedang dirinya sendiri kontang dek perasaan yang sama?


“Kenapa anak papa belum tidur?,”sudahnya tajuk bicara cuba dialih perlahan-lahan.


“Kakak nak tidur dengan mama. Cepatlah papa. Buka pintu. Mama nak masuk…,”


Harith bungkam. Perlahan menarik tubuh kecil itu ke pelukannya. Erat memeluk tubuh itu. Kasihan anak itu.


“Cepatlah papa. Kesian mama. Kesian baby dalam perut mama…,”


Harith pejamkan mata. Merelakan ada titisan yang mula bermain di bibir mata.


“Qina… mama dah pergi jauh sayang. Mama dah tak tinggal dengan kita,”


“Papa bohonglah,”sedikit keras suara Syaqina. Juga sedikit keras anak kecil itu menolak pelukannya. Membuat pelukannya terlerai. Wajah anak itu ada riak marah. Riak yang membuat dia makin tidak berdaya. Membuat jiwanya semakin merintih.


“Sampai hati papa biar mama kat luar. Papa dah tak sayang mama,”


“Qina. Mana ada mama sayang.. Mama dah pergi jauh,”


“Papa bohong. Papa memang nak bagi mama duduk kat luar. Kesian mama,”


“Qina. Tak ada mama…Qina mimpi lagi ya? Mimpi mama lagi?,”


“Qina tak mimpi. Qina nampak mama. Mama pandang Qina. Mesti mama dah merajuk dengan papa. Sebab tu mama tak nak cakap,”


Harith menongkat dagu mendengar petah mulut anak berusia enam tahun itu memberi penjelasan.


“Qina tidur dengan papa ya, malam ni,”sekali lagi topik perbualan dialih.


“Papa ni tak faham ya? Qina suruh papa buka pintu. Mama nak masuk,”


“Mana mama?,”akhirnya dia mengalah pada cerita anak kecil itu.


“Tu… Tu kan mama. Tengok mama sejuk tu… ,”


Matanya menurut jemari Syaqina yang melentik. Menghantar pandangannya ke satu imej yang tidak pernah terjangkau dek akal warasnya. Merentap segunung perasaannya.


“Ya ALLAH!,”


Matanya terbuka tiba-tiba. Membawa debaran yang menyesakkan dada. Kini, pandangannya tertancapa pada siling yang kelam.


“Astaghfirullah,”desahnya tertahan. Mulai sedar apa yang dia lihat sekadar mainan tidurnya. Dan, betapa realiti mimpi itu padanya. Renungan itu. Wajah sayu itu. Air mata itu. Semuanya seperti terlalu nyata.


“Papa!,”


Sekali lagi dia tersentak. Panggilan itu membuat laju dia bingkas bangun dari baringnya. Dalam suram lampu tidur, jelas Syaqina tercegat di hujung katil. Dengan posisi yang sama dalam mimpinya sebentar tadi. Satu keadaan yang membuat debarnya gagal berkurang. Anak kecil itu kemas memeluk patung beruang. Memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan. Mungkin fikirannya yang terganggu membuat dia menjadi keliru. Yang lebih nyata, tegak Syaqina bersama patung beruang di hujung katilnya membuat dia tersapa dek déjà vu yang masih segar.


“Ya sayang?,”


“Bukalah pintu…,”


Dia kehilangan nafas. Tidak mahu lagi menyambung soalannya. Cuma gerakannya pantas turun dari katil. Mahu menjengah ke ruang tamu. Mahu melihat pada pintu sliding yang menemukan dia dengan imej mustahil sebentar tadi. Langsir labuh yang sedikit terselak membuat pandangan menjadi luas. Liar matanya memerhati. Mahu mengesahkan apa yang dilalui bukan ulangan mimpi. Dia menarik nafas lega. Tiada apa-apa di situ. Tiada renungan Amira. Tiada wajah sayu Amira. Juga tiada air mata yang basah di pipi Amira. Yang ada cuma laman yang lencun dek hempasan titis hujan semenjak lewat petang tadi.


“Papa cari mama?,”


Dia berpaling. Terkejut mendengar soalan itu. Terpaku seketika dia menatap wajah Syaqina. Ternyata anak kecil itu mengekorinya dari belakang.


“Apa Qina cakap?,”


Anak kecil itu cuma menggeleng dan kemudian tersenyum nipis. Terus diam sambil membalas renungannya. Renungan yang membuat dia teringat pada renungan Amira padanya. Dia membalas renungan itu dan cuma melihat Syaqina kemudiannya melangkah perlahan meninggalkan dia yang masih tercegat di ruang tamu. Tanpa menoleh lagi Syaqina terus berlalu menuju ke biliknya. Dia pula, sekali lagi menoleh ke arah pintu sliding. Hatinya terpanggil untuk mengesahkan sekali lagi pandangannya. Pasti tetap tidak ada apa-apa di situ barulah dia mengatur langkah perlahan.


“Encik Harith? Belum tidur lagi?,”


Dia menoleh. Bertemu pandang dengan wajah pembantu rumahnya.


“Belum. Mak Uteh belum tidur?,”


“Mak Uteh kat bilik Qina tadi. Dia minta temankan dia tidur,”


“Dah tidur balik ke dia?,”






“Dah lama tidurnya Encik Harith. Mak Uteh kemas almari baju dia kejap. Dah siap kemas, ni baru Mak Uteh nak masuk tidur,”


Harith menelan liur.


“Dah lama?,”lambat-lambat dia bertanya.


Anggukan Mak Uteh bersama senyum kecil membuat dia diserang rasa gelisah lagi. Kali ini diiringi debar yang bukan sedikit. Kalau Syaqina sudah lama lena, siapa yang baru sebentar tadi menyapanya? Mengekorinya? Masih dalam mimpikah dia? Kepala digeleng beberapa kali. Mengharapkan dia terjaga sekali lagi. Tidak mahu terus terbeban dengan emosi tidak stabil.


“Kenapa Encik Harith?,”


Soalan daripada Mak Uteh. Bermakna dia masih di situ. Mak Uteh juga masih di situ. Dan itu bukan mimpi. Dia juga yakin apa yang dilaluinya baru seketika bukan ilusi. Apa sebenarnya yang berlaku? Kalau bukan mimpi juga bukan ilusi, mustahil ini satu reality. Siapakah yang bersamanya sebentar tadi kalau Syaqina lena di biliknya?


“Tak ada apa-apa. Mak Uteh pergilah tidur,”


Mak Uteh cuma mengangguk tanpa banyak soal lagi. Sebaik pembantu rumahnya itu berlalu, kakinya turut dihayun perlahan. Baru beberapa langkah, kemudian terhenti. Bunyi sesuatu terjatuh menarik perhatiannya. Dia menoleh. Buku motivasi yang ditinggal di atas meja di bilik tidur kini terjatuh ke sofa. Dia yakin buku itu terjatuh dari meja kecil yang menjadi sudut kesukaan Amira menghabiskan masa dengan buku-bukunya. Satu lagi situasi yang sukar untuk diterima. Mustahil buku itu boleh berada di situ sedangkan sejak pemergian Amira, dia tidak pernah melewati sudut itu. Dalam perasaan yang tidak menentu, dia melangkah ke arah buku tersebut. Tidak sampai hati melihat buku kesukaan Amira terletak di situ.






****

6 comments:

nabms said...

menakutkan cite ni....

Bluefanatics said...

seramnya huhh naik bulu roma sya

Anonymous said...

menarik...de aksi mengejutkan..

aqilah said...

aduhhhhh hanni, dahlah akak baca part ni waktu mlm....kul 10 lak tu...abg out-stastion, seram sejuk dibuatnya...........

KuBi said...

wow!! citer seram!!! tahniah to penulis!!!

Unknown said...

akak nie ...dahsyat laa....kalau tahap cintann...cintaann abiss...kalau tahap gelak...guling-guling...sampai citer seramm....hilang bulu roma nih....adusss....respect kat kak hanni arrrr!! cayukk anak melayu! sayer sokong tang belakang,depan kiri dan kanan... huhuhu....

[11:35:50 PM] hos.getah: