Saturday, January 3, 2009

Pergilah Air Mata 2


Badrul menolak pinggan perlahan. Seleranya hilang entah ke mana. Datin Hamidah memandang nasi di pinggan yang cuma sedikit sahaja berusik. Kemudian dia memandang pula wajah anak tunggalnya yang masam mencuka. Sejak pulang dari Cherating, wajah itu tidak pernah manis. Mambuat hatinya sedikit risau.
“Kenapa sikit sangat makan tu?,”soalnya lembut. Badrul tersenyum tawar.
“Saya tak lapar, mama,”
Datin Hamidah menggeleng perlahan. Bertambah risau dengan keadaan Badrul. Terlalu banyak perubahan anaknya itu.
“Mama tengok kebelakangan ni, sikit sangat kamu makan. Makanlah. Nanti sakit,”
“Tak ada selera,”pendeka jawapan yang meluncur keluar dari bibir Badrul. jawapan yang membuat Datin Hamidah mengeluh panjang.
“Sabrina dah makan? Kenapa tak ajak dia sekali?,”Datuk Hamidi bersuara tiba-tiba. Membuat muncung Badrul semakin panjang. Juga membuat suapan Datin Hamidah terhenti tiba-tiba.
“Abah, boleh tak jangan sebut nama budak tu depan mama? Menyampah mama dengar. Nasib baik dia tak ada. Kalau tidak, dengan mama sekali hilang selera makan tau…,”
“Tak baik cakap macam tu. Apa sekalipun, dia sekarang dah jadi menantu kita. Dah dekat seminggu dia kat sini, tak pernah nampak dia turun makan sekali dengan kita. Kamu pun Bad… sepatutnya ajak dia elok-elok. Cuba berbaik-baik. Jangan buat Sabrina tu berasa terasing duduk dalam rumah ni,”
Badrul membuang pandang. Geram pula dia mendengar kata-kata nasihat itu. Bagaimana mungkin dia boleh berbaik dengan Sabrina. Melihat wajah itu pun, bencinya membuak-buak. Geramnya bagai tidak bertepi. Marahnya juga menjadi semakin marak.
“Pergi panggil dia turun makan,”
“Amboi. Puteri raja ke perempuan tu? Sampai nak makan kena berjemput segala?,”sedikit lantang suara Datin Hamidah. Geram melihat layanan suaminya pada menantu yang langsung tidak dikenalinya itu. Manusia asing yang tiba-tiba muncul dengan status menantu. Sakit hatinya setiap kali teringatkan insiden memalukan yang membawa seorang perempuan bernama Sabrina ke dalam rumahnya ini.
“Apa dia buat kat atas tu, Bad?,”Datuk Hamidi bertanya lagi. Soalan sinis isterinya, dibiarkan sepi. Hilang di dalam kedinginan suasana malam.
“Apa lagi. Termenung. Lepas termenung, menangis. Lepas menangis, termenung. Bosan Bad tengok. Menyampah. Dah tak ada kerja lain agaknya,”
Datuk Hamidi menggeleng perlahan. Sama lancang bicara isteri dan anaknya itu.
“Cuba kamu selidik. Kenapa dia jadi macam tu…,”
“Saya malaslah abah. Kalau ikutkan hati saya, memang saya tak akan kahwin dengan dia. Nak naik mahkamah pun saya tak kisah. Nak kena bayar denda pun saya tak kisah. Sebab saya tahu, saya memang tak bersalah langsung. Tapi, abah beria-ia paksa kami kahwin. Abah yang nak sangat perempuan yang tak tahu datang dari ceruk mana tu… jadi menantu abah,”
“Senang saja kamu fikir ya? Kamu ingat abah suka dengan semua ni? Abah tak suka langsung. Cuma, Abah tak mahu perkara macam ni berpanjangan. Banyak yang tak elok daripada yang elok. Elok, tak ada sesiapa yang tahu, nanti satu Malaysia boleh tahu. Kalau dah terpampang kat surat khabar, masa tu, mana kamu nak sorok muka kamu? Kalau kamu tak tahu malu, ni… muka Abah dengan mama macam mana? Nak letak kat mana muka kami ni? Ada kamu fikir semua tu?”
Badrul tunduk. Diam. Tidak mahu membalas kata-kata itu. Bimbang hanya akan membangkitkan amarah bapanya. Tidak elok untuk kesihatan bapanya. Perlahan dia mengangkat punggung.
“Nak ke mana tu?,”
Badrul mengeluh perlahan. Memandang wajah Datuk Hamidi.
“Ke depan,”jawabnya sepatah.
“Pergi ajak Sabrina makan dulu. Lama-lama tak makan, sakit pula budak tu nanti,”tegas arahan yang keluar dari bibir Datuk Hamidi. Badrul mengeluh keras.
“Abah ni. Biarkanlah budak tu. Nak manjakan sangat buat apa? Nanti dipijaknya kepala kita nanti. Kalau dia lapar, pandailah dia cari sendiri. Tak payah nak pujuk-pujuk. Nak suruh-suruh,”Datin Hamidah menyampuk.
“Betul cakap mama tu,”
“Abah kata pergi… pergilah,”
Badrul membuang pandang. Dengan muka mencuka dia bergerak meninggalkan ruang makan.
“Peliklah abah ni. Kenapa nak bela sangat perempuan tu?,”
Datuk Hamidi memadang wajah isterinya. Muncung pun sudah sama panjang dengan muncung Badrul.
“Suka atau tidak, dia sekarang dah jadi menantu kita, mama,”
“Mama memang tak akan suka dia, abah. Kita tak kenal langsung siapa dia tu. Siapa keluarganya? Asal usul keturunannya? Niatnya? Semuanya buat mama takut. Tahu tak, abah?,”
“Nak takutkan apa?,”
“Yalah. Manalah tahu. Entah-entah dia sengaja perangkap anak kita tu. Orang zaman sekarang, macam-macam akalnya kalau nak hidup mewah. Nakkan harta orang. Tapi, yang paling mama takut, keturunannya, abah. Kita tak tahu langsung. Takkan kita nak menantu dari keturunan yang tak baik? Minta dijauhkan,”
Datuk Hamidi mengeluh perlahan.
“Cuba jangan cepat fikir yang buruk-buruk,”
“Kalau dah kena tangkap basah, memang dah tak ada yang baiknya. Orang baik-baik takkan masuk dalam bilik lelaki bukan muhrimnya, senang-senang macam tu saja,”
“Abah tak nak tuduh Sabrina saja. Mungkin anak kita pun salah juga. Apa pun, sekarang ni, semuanya dah berlaku. Dah tak boleh nak buat apa-apa. Sabrina pun dah menikah dengan Badrul. Kita terimalah semua ni, seadanya. Tengok macam mana. Abah tengok, Sabrina tu pun, macam budak baik,”
Datin Hamidah mencebik. Sudu dan garfu diletakkan di dalam pinggan. Selera makannya hilang entah ke mana.
“Budak baik tak masuk bilik lelaki sesuka hati abah oiii,”Datin Hamidah bersuara geram sambil mengangkat punggung.
“Nak ke mana pula tu?,”
“Tiba-tiba mama jadi kenyang bila asyik bercakap pasal menantu abah tu…,”
“Midah… kita ni orang tua. Sepatutnya biarlah kita yang bertindak mengikut akal. Kalau dah, awak ikut perasaan… Badrul pun ikut perasaan… apa akan jadi pada dia nanti? Mama sepatutnya pujuk Badrul supaya terima kenyataan. Terima tanggungjawab. Bukan api-apikan dia macam ni,”
“Bila masa pula mama api-apikan Badrul?,”
“Mama sokong semua perbuatan dia. Mama iyakan semua tindakan dia. Itu sebabnya dia jadi macam tu,”
“Mama buat macam tu, sebab mama pun tak boleh terima perempuan tu jadi menantu mama. Mama tak suka langsung,”
Datuk Hamidi mengeluh perlahan. Susah bercakap dengan orang degil. Sudahnya, pinggannya turut ditolak ke tepi. Emosi turut sama membantutkan seleranya.
“Jamilah,”
“Ya, Datuk. Ada apa?,”
Datuk Hamidi menoleh. Jamilah tercegat di belakangnya.
“Kemaskan,”
“Baik, datuk,”
Datuk Hamidi mengangkat punggung.
“Dan, satu lagi. Tolong hantar makanan untuk Sabrina,”
Jamilah mengangguk laju. Datuk Hamidi bergerak meninggalkan meja makan.
“Err.. Datuk…,”
Datuk Hamidi menoleh.
“Nak hantar ke bilik Encik Badrul ke?,”teragak-agak soalan itu meniti di bibir Jamilah.
“Dah tu, nak hantar ke mana lagi?,”
Jamilah menggaru kepala.
“Kenapa? Ada masalah ke?,”
Jamilah tersenyum kelat.
“Jangan mengada-ngada bawa masuk makanan ke dalam bilik saya. Saya tak suka. Kalau dia nak makan, bukan kat sini!,”
Amaran Badrul bagai melekat di telinganya. Ngeri melihat wajah Badrul yang merah menyala menahan marah.
“Jamilah?,”
Jamilah tersentak.
“Awak ada masalah ke dengan arahan saya tu?,”
“Tak. Tak ada Datuk. Nanti saya hantar makanan untuk Puan Sabrina,”
Datuk Hamidi mengangguk perlahan sambil berlalu.

****
Air mata yang hampir kering di pipi disapu lagi. Hiba di hatinya bagai tidak mahu berlalu pergi. Bertalu-talu soalan yang sama menghimpit dirinya. Mengapa mesti dia? Mengapa semua ini mesti berlaku padanya? Hampir seminggu dia berada di sini. Semuanya serba tidak kena padanya. Teringatkan perkahwinannya, dia menjadi sayu. Teringatkan Badrul, dia menjadi kecut. Teringat Ikmal dan Maria, dia menjadi hiba. Rasa pedih mendengar kata-kata Ikmal masih belum hilang rasanya.
“Dah lama Ina sembunyikan semua ni dari abang ya?,”
“Ina tak tahu apa-apa, bang. Abang datanglah. Tolonglah Ina. Ina tak salah bang,”
“Untuk apa abang ke sana? Untuk tengok Ina kahwin dengan lelaki tu? Sampai hati Ina,”
“Ina takut. Ina takut, bang. Tolonglah Ina. Ina tak nak lalui semua ni,”
“Sekarang baru Ina nak takut? Masa Ina duduk dalam bilik dengan lelaki tu, Ina tak takut? Dah lama Ina buat kerja macam ni ya?,”
“Abang… janganlah cakap macam tu. Sumpah. Ina tak kenal dia. Ina tak tahu macam mana dia boleh ada kat dalam bilik tu,”
“Entahlah Ina. Hancur hati abang bila Ina buat abang macam ni. Ina curang pada abang. Apa salah abang pada Ina? Kurang lagi ke kasih sayang yang abang beri pada Ina?,”
“Tak. Ina sayang abang. Ina tak pernah curang pada abang. Abang datanglah tolong Ina. Ina takut bang. Ina sorang-sorang kat sini,”
“Kekasih Ina kan ada. Anak Datuk kan? Jauh lebih baik dari abang. Patutlah sanggup ikut sampai ke bilik,”
Perlahan dia pejamkan mata. Pedihnya kata-kata Ikmal. Rayuannya langsung tidak berbekas di hati lelaki itu. Sehingga dia diijabkabul, Ikmal langsung tidak muncul. Ikmal tidak percaya padanya. Ikmal sama sahaja dengan manusia di sekelilingnya sekarang. Maria juga tidak muncul di saat dia amat memerlukan seorang teman di sisi. Dia betul-betul keseorangan. Bagaimana dia akan menempuh segala ranjau ini sendirian? Kuatkah dia?
“Bila kau nak berhenti menangis ya?,”
Sabrina tersentak. Air mata yang kembali bertamu, diseka segera.
“Maaf. Saya tak sengaja,”gugup suaranya sambil menunduk. Tidak berani mengangkat muka. Wajah berang Badrul sering membuat hatinya kecut.
“Kenapa tak turun makan?,”soalan Badrul yang dingin menyentuh gegendang telinganya. Perlahan dia beranikan diri mengangkat muka. Menatap wajah Badrul yang tidak berperasaan.
“Saya tak lapar,”
“Lapar ke… tak lapar ke… kalau sudah waktu makan, tolong turun makan. Aku penat dengar abah aku menceceh pasal kau. So, lepas ni, please… jangan kusutkan lagi kepala otak aku yang memang dah kusut ni. Aku tak ada masa nak dengar abah bising pasal kau…pasal aku. Betul-betul tak ada masa,”
“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak menyusahkan awak,”
“Tak payah minta maaf. Maaf kau tak boleh ubah apa-apa pun,”
Sabrina bergerak meninggalkan jendela. Melangkah perlahan mendekati Badrul. Memerhati Badrul yang sedang bersiap.
“Awak…,”perlahan dia bersuara. Badrul yang leak menyikat rambut, berpaling.
“Kenapa?,”
“Saya… saya nak cakap sikit, boleh?,”
“Aku ada hal. Nak keluar,”
“Tapi…,”
“Aku ada hal. Lagipun, aku tak boleh duduk dalam bilik ni, lama-lama. Panas!,”Badrul bersuara sedikti keras. Sabrina diam seketika.
“Saya cuma nak…,”
Badrul berpaling. Menatap tajam wajah Sabrina. Membuat Sabrina terus kelu.
“Kau ni, tak faham bahasa Melayu? Aku tak ada masa. Lagipun, aku memang tak ada perasaan nak bercakap dengan kau. Tak ada perasaan. Kau tahu tak?,”
Sabrina tertunduk mendengar bicara itu. Sekali lagi hatinya dihiris pedih. Hinanya dia di mata Badrul.
“Kalau benda yang kau nak cakap tu, penting sangat, tulis. Letak kat meja aku. Nanti aku baca,”
Sabrina mengangkat muka. Sampai begitu sekali layanan Badrul padanya. Bercakap dengannya pun Badrul tidak sudi. Perlahan dia terduduk di birai katil. Ketukan di pintu bilik, dibiarkan sahaja.
“Siapa?,”agak lantang suara Badrul bertanya.
“Saya, Encik Badrul,”
“Masuk,”
Pintu terbuka. Serentak Badrul dan Sabrina memandang ke arah pintu.
“Saya minta maaf Encik Badrul. Saya tahu Encik Badrul tak bagi, tapi, Datuk yang suruh,”cepat-cepat Jamilah membuat penjelasan sebelum sempat Badrul membuka mulut. Badrul membuang pandang. Malas bercakap banyak. Pantas dia mencapai kunci kereta. Bergerak meninggalkan Jamilah yang termangu-mangu memegang dulang di muka pintu. Sabrina juga terkebil-kebil memandang Badrul yang berlalu begitu sahaja. Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada Jamilah. Serba-salah berdepan dengan Jamilah.
“Kenapa Kak Milah bawa makanan ke sini? Kan Encik Badrul dah marah semalam..,”Sabrina bersuara risau.
“Kalau ikutkan saya, memang saya tak nak hantar pun. Datuk yang suruh,”
Sinis sungguh kata-kata yang meniti di bibir Jamilah. Sabrina diam. Dia tahu, Jamilah juga tidak pernah senang dengan kewujudannya di sini. Jamilah melangkah masuk. Perlahan meletakkan dulang kecil di atas meja kecil yang tersedia di sebelah sofa.
“Kak Milah,”
Jamilah menoleh.
“Saya minta maaf. Saya dah menyusahkan Kak Milah,”
“Tahu tak apa,”cukup selamba Jamilah membalas. Sabrina terdiam lagi. Kelu untuk terus berdepan dengan kelancangan mulut penghuni banglo ini.
“Kak Milah marah saya ke? Sebab saya, Kak Milah selalu kena marah?,”
“Dah nasib orang gaji. Nak buat macam mana? Terima sajalah,”sekali lagi, Jamilah bersuara dengan nada yang cukup sinis. Jamilah menyindirnya. Sabrina cukup tahu itu.
“Saya betul-betul minta maaf, Kak Milah,”
“Hmm…,”
Sabrina memandang wajah Jamilah yang kelat.
“Makanlah. Saya tengok dah seminggu awak tak makan. Nanti kalau sakit, susah,”
Sabrina tersenyum kecil.
“Nanti saya makan. Terima kasih, Kak Milah,”
“Hmm… Kalau dah sudah, panggil saya. Saya kemaskan semua,”
“Tak apalah. Nanti, saya sendiri akan hantar ke dapur,”Sabrina bersuara. Jamilah mengeluh pendek.
“Suka hatilah,”
Sabrina tidak menjawab lagi. Cuma memandang Jamilah melangkah keluar dari biliknya. Sebaik Jamilah pergi, dia mengeluh panjang. Memerhati sekeliling bilik yang besar itu. Terasing sendirian di dunia yang tidak pernah menjadi impiannya. Perlahan dia mengangkat punggung. Bergerak ke arah meja kerja Badrul. Duduk seketika di kerusi sambil melihat meja yang tersusun kemas. Hampir seminggu dia cuba bercakap dengan Badrul. Namun, lelaki itu langsung tidak memberi peluang. Sekarang, perlu berinteraksi menggunakan pen dan kertas pula. Entah sampai bila dia sanggup melalui semua ini. Perlahan dia mencapai pen sambil mencari kertas. Ingin menulis nota untuk suaminya. Seperti yang Badrul cadangkan. Tatkala menulis, terlintas di kepala, bagaimana pula Badrul akan membalas setiap notanya nanti. Akan berutus suratkah mereka di dalam bilik itu? Sekali lagi dia mengeluh lemah. Nota yang sudah siap ditulis, diselitkan di bawah bekas pen. Dia kemudian bergerak semula ke jendela. Menyambung menungannya. Melayan perasaannya.

****

2 comments:

Anonymous said...

badrul melampau sangat... kalau tak marah tak beslah jadinye cte ni ye tak? i want to know more about this story

♥corcraze♥ said...

dah tu sampai ke sudah ke tak mkn?
kite ingtkan dah pengsan dah td..
eh,selama seminggu tu camne dorg tido???
sorg ats katil sorg ats lantai? ke???

[11:35:50 PM] hos.getah: