Saturday, May 12, 2012

BIARKAN YM TERUS BICARA 6


“Tiya…,”
            Aku berpaling. Wajah tidak semanis mana. Melihat kereta Mia perlahan mengekori kereta Encik Firdaus memasuki halaman rumah, hatiku tiba-tiba menjadi gelisah. Tertanya-tanya tujuan Mia muncul pada lewat petang begini. Emosi juga sedikit sukar dikawal, lebih-lebih lagi apabila teringatkan mimpi aku tempoh hari.
            “Kenapa ni? Tak sihat ke?,”laju Encik Firdaus bertanya. Mungkin melihat wajahku yang tidak ceria. Aku menggeleng perlahan sambil memaksa sekuntum senyuman untuk muncul di bibir.
            “Betul ni?,”
            Kali ini aku mengangguk sambil perlahan mendekati Encik Firdaus. Mencapai jemarinya lalu kukucup lembut. Seperti biasa, usapan lembut menyentuh rambutku bersama satu kucupan di dahi sebaik aku mengangkat muka.
            “Mia ada kat luar,”Encik Firdaus mula berbicara. Tak payah beritahu pun, Tiya dah tahu…aku merungut di dalam hati.
            “Mia datang nak jumpa abang ke?,”soalku sambil cuba mengawal suara. Tidak mahu rasa kurang senang ini muncul bersama nada suaraku.
            Encik Firdaus menggeleng. Dan gelengan itu menarik perhatianku. Kalau bukan mahu berjumpa dengan suamiku, apa tujuan Mia ke sini? Mungkin mahu berjumpa dengan ibu mertuaku. Mindaku mencari jawapan.
            “Dia cakap nak jumpa Tiya. Dia tunggu kat luar.”
            Penjelasan yang meniti di bibir Encik Firdaus membuat aku pegun seketika. Mahu berjumpa denganku? Wajah Encik Firdaus aku tatap lama. Memberi renungan tidak percaya dan, Encik Firdaus mengukir senyum nipis. Hatiku tiba-tiba menjadi tidak enak. Mungkinkah Mia mahu memberitahu yang dia sedang bercinta dengan Encik Firdaus? Dia mahu berkahwin dengan Encik Firdaus? Sama seperti apa yang berlaku di dalam mimpiku?
            “Tiya… kenapa ni? Pucat. Are you sure, you okay ni?,”
            Aku tersentak. Kepala kugeleng laju.
            “Pergilah. Dia tunggu Tiya tu,”
            Aku menjenguk sambil menyelak langsir. Mia sedang santai  di taman mini, sambil merapikan rambutnya yang mengurai cantik.
            “Kenapa Mia nak jumpa Tiya?,”aku bertanya sambil pandangan terus kupakukan pada tingkah Mia. Tidak mendapat jawapan daripada Encik Firdaus, aku berpaling. Encik Firdaus tercegat memandangku sambil berpeluk tubuh. Aku tersenyum kelat. Pasti ada tingkahku yang tidak kena di mata lelaki itu. Perlahan aku bergerak menjauhi jendela sambil menggaru kepala.
            “Kenapa terintai-intai macam tu?,”
            Aku tersenyum kecil. Tahu Encik Firdaus kurang senang dengan tindakanku itu.
            “Pelik. Sebab tiba-tiba Mia nak jumpa Tiya,”balasku masih dengan rasa hairan.
            “Abang tahu kenapa?,”sambungku sambil menatap wajah Encik Firdaus. Sedikit hampa apabila Encik Firdaus cuma menjongket bahu.
            “Kalau nak tahu, apa kata Tiya pergi jumpa Mia. Terjenguk-jenguk macam ni, nanti kalau Mia tengok, apa pula yang dia fikir. Dah…pergilah. Jangan buat Mia tertunggu-tunggu macam tu. Tak baik,”
            Aku diam. Cuma kepala mengangguk perlahan.
            “Oh ya. Abang nak apa-apa? Nak minum?,”
            Encik Firdaus menggeleng.
            “Abang nak mandi. Pergilah jumpa Mia dulu. Nanti abang menyusul,”
            Sekali lagi aku mengangguk. Tersenyum memandang Encik Firdaus melangkah menuju ke anak tangga. Aku pula, perlahan menghela nafas sambil bergerak meninggalkan ruang tamu. Mahu berjumpa dengan Mia. Juga mahu tahu apa yang ingin Mia sampaikan padaku.
            Seketika aku tercegat di belakang Mia. Merenung Mia yang santai di kerusi. Cuba mendidik minda untuk berfikiran positif.
            “Assalamualaikum..,”sapaanku membuat Mia menoleh. Lebar senyum terukir di bibirnya.
            “Waalaikumussalam…Adiya..,”
            Aku tersenyum sambil perlahan melabuhkan punggung di sebelah Mia.
            “Abang Fir beritahu Mia nak jumpa saya?,”
            Laju Mia mengangguk. Aku tersenyum kecil.
            “I tak mengganggu you, kan?,”soal Mia sambil memandang wajahku. Aku menggeleng laju. Dan, Mia pula mengangguk perlahan.
            “I need your help,”tanpa berbasa-basi, Mia terus ke agenda pertemuan. Aku diam. Mahu menjadi pendengar terlebih dahulu. Pertolongan apa yang Mia perlukan daripadaku?
            “Boleh?,”Mia bertanya lagi. Aku tergelak kecil.
            “Boleh… InsyaALLAH kalau saya boleh tolong, saya pasti tolong,”
            Mia tersenyum. Namun, kali ini senyum itu tidak seceria tadi.
            “Diya tahu kan, minggu depan birthday Kamal?,”
            Soalan Mia meresap perlahan ke gegendang telingaku. Jadi, pertemuan ini ada kaitan dengan Abang Kamal. Aku tersenyum sambil mengangguk perlahan. Tiba-tiba berasa bodoh kerana berprangsaka yang bukan-bukan pada Mia. Kenapa aku selalu lupa yang Mia begitu suka pada Abang Kamal?
            “I ingat nak masak special untuk dia. Nak buat jamuan kecil untuk dia. Tapi, dia tak nak…,”Mia meluahkan hasrat itu bersama nada suara yang tidak begitu ceria. Wajah itu juga sudah sedikit murung.
            “Abang Kamal memang tak berapa suka nak sambut birthday sendiri…,”ujarku lambat-lambat. Tidak mahu Mia salah anggap pada Abang Kamal.
            “Kenapa?,”                                                                        
            Aku termangu. Kenapa ya? Aku sendiri tidak tahu. Mungkin itu bukan satu kebiasaan pada Abang Kamal. Dia disibukkan dengan tanggungjawab sebagai anak sulung sejak dari kecil. Barangkali itu yang membuat dia tidak pernah menganggap sambutan hari jadi itu satu perkara penting baginya.
            “Mungkin Abang Kamal tak ada masa nak sambut birthday sendiri kot?,”pandai-pandai aku membuat andaian sendiri. Lebih kepada mahu bergurau sebenarnya.
            Mia memandangku dengan renungan pelik. Membuat aku turut berasa pelik. Tidak lucukah gurauanku tadi?
            “Mana ada orang yang tak ada masa nak sambut hari penting macam tu? Jangan cakap you pun tak suka sambut birthday… I love birthday party. I suka celebrate birthday kawan-kawan I …birthday orang-orang yang I sayang…itu bukti kita ambil berat tentang mereka. Don’t you think so?,”
            Aku membeku seketika. Soalan Mia membuat aku turut terfikir kenapa selama ini Abang Kamal tidak pernah sibuk dengan tarikh kelahirannya tetapi cukup hafal tarikh hari lahirku. Itu tandanya dia mengambil berat tentang diriku. Dan, aku pula, tidak pernah mengacuhkan tarikh  lahir Abang Kamal. Memikirkan situasi itu, perlahan-lahan aku mula berasa bersalah. Juga berasa simpati pada Abang Kamal. Rasanya, selama ini, dia banyak menghabiskan masanya dengan memikirkan tentang aku. Sudahnya, dia kecewa dengan keputusan aku walaupun dia akur. Akur bahawa cinta itu sebenarnya tidak mungkin boleh dipaksa-paksa.
            “Diya? Dengar tak apa I cakap ni?,”
            Soalan Mia membawa aku ke alam sedar. Spontan  aku tersenyum sambil mengangguk perlahan.
            “So, awak nak saya buat apa?,”soalku lambat-lambat.
            Mia mengukir senyum. Walau senyum itu amat jelas bagai hilang manisnya. Melihat tingkah Mia, hati aku tertanya-tanya sendiri. Sejauh mana harapan Mia terhadap Abang Kamal? Juga, tertanya-tanya kenapa Abang Kamal gagal melihat kesungguhan Mia cuba mendekatinya?
Pelik betul. Mia cuba mencapai sesuatu yang dia suka namun, sepertinya tidak berjaya. Abang Kamal pula, seperti lebih selesa membuai perasaan dengan kisah-kisah silam sehingga dia buta. Buta untuk melihat ada segaris sinar yang pasti akan menerangi jalannya andai dia memberi kesempatan kepada Mia.
            “Pujuk Kamal?,”
            Aku mengangkat muka. Merenung wajah Mia buat seketika.
            “Pujuk?,”soalku meminta kepastian.
            “Pujuk Kamal supaya dia benarkan saya sambut birthday dia. Boleh kan?,”
            Aku diam. Sedikit berat untuk tunaikan permintaan Mia. Aku tidak suka  menjadi orang tengah. Lebih-lebih lagi apabila hal itu berkait rapat dengan perasaan. Juga, tidak selesa untuk cuba mendekatkan Abang Kamal dengan Mia walhal aku cukup tahu perasaan Abang Kamal padaku. Pasti tindakan itu akan menyakitkan hati Abang Kamal. Aku tahu itu.
            “Boleh kan, Diya? I tahu Kamal akan dengar cakap you…,”nada suara Mia sudah separuh memujuk. Semakin membuat aku tersepit.
            “InsyaALLAH. Tengoklah nanti saya cuba…,”senang betul bibirku memberi harapan, sedang otakku masih berkecamuk mencari alasan untuk hindarkan diri daripada situasi sebegini. Mia tersenyum lebar. Laju tangannya menyentuh jemariku.
            “Thanks, Diya. I hargai sangat-sangat pertolongan you ni…,”
            Aku tersengih. Bibir sudah terlepas cakap. Apa lagi yang mampu aku katakan…


****

            Cuitan lembut di hidungku mematikan lamunan yang beraja di kepala. Perlahan aku berpaling. Bersua dengan senyuman Encik Firdaus. Senyum itu aku balas hambar. Berpaling semula sambil menyambung menunganku.
            “Kenapa ni?,”
            Aku berpaling semula. Kemudian menggeleng perlahan.
            “Pasal Mia ke? Kenapa Mia nak jumpa Tiya?,”
            Mendengar soalan itu, aku mengeluh perlahan. Tiba-tiba terus teringat pada permintaan Mia. Beratnya untuk aku berdepan dengan Abang Kamal dan meminta sesuatu yang aku tahu memang tidak disukai oleh Abang Kamal.
            “Mia cakap apa dengan abang?,”aku pula bertanya. Encik Firdaus mencemik sambil menjongket bahu.
            “Dia cuma cakap nak minta tolong sikit dengan Tiya…,”
            Aku mengeluh lagi. Bergerak hampir pada Encik Firdaus yang berdiri tegap di balkoni. Kepala aku lentokkan ke dada Encik Firdaus.
            “Susahlah bang…,”aku bersuara separuh mengadu. Seperti biasa, apabila suaraku sudah selemah itu, pasti ada gelak kecil yang meniti di bibir Encik Firdaus. Perlahan tangan Encik Firdaus memeluk erat tubuhku.
            “Kenapa ni? Cerita kat abang? Takkan mimpi Tiya dah jadi kenyataan?,”usik Encik Firdaus yang spontan membuat aku muncung panjang. Dadanya kupukul perlahan.
            “Janganlah cakap macam tu. Tiya tak suka,”
            Encik Firdaus tergelak lepas.
            “Ok… now tell me. Apa yang susah sangat tu?,’
            Aku mengeluh lagi. Mendongak memandang wajah Encik Firdaus yang tenang  menanti ceritaku.
            “Mia minta Tiya tolong pujuk Abang Kamal…,”
            “Tolong apa?,”
            “Minggu depan birthday Abang Kamal. Dia nak sambut. Nak masak special untuk Abang Kamal tapi Abang Kamal tak nak…,”
            “Then?,”
            Aku membuang pandang. Pelukan Encik Firdaus aku leraikan. Bergerak sedikit menjauh daripada Encik Firdaus sambil bercekak pinggang.
            “Then? Then… Mia suruh Tiya tolong pujuk Abang Kamal. Itulah yang susahnya,”ujarku bersungguh-sungguh.
            Encik Firdaus kulihat mengangguk perlahan.
            “Kalau Tiya tak nak tolong, cakap saja tak nak. Abang yakin Mia tak akan berkecil hati. I know her…,”
            Aku mengeluh sambil terduduk di kerusi kayu di anjung balkoni.
            “Masalahnya Tiya dah setuju. Dah tercakap akan tolong dia…,”
            Encik Firdaus mengangguk lagi. Dia meraup perlahan wajah sambil berpeluk tubuh. Perlahan dia bergerak menghampiriku.
            “Jadi… itu masalahnya?,”
            Aku mendongak. Memandang wajah Encik Firdaus sambil mengangguk lemah.
            “So, apa tindakan Tiya sekarang?,”
            Sekali lagi mataku cuma terkebil-kebil memandang wajah Encik Firdaus. Encik Firdaus menarik nafas perlahan sambil mengambil tempat di sebelahku. Tangan jatuh ke bahuku dan menarikku rapat padanya.
            “Tiya tengok tu…,”bisiknya perlahan. Jari telunjuknya terarah pada langit yang kelam. Aku akur. Terkebil-kebil memandang langit tanpa sebarang tujuan.
            “Cantik tak?,”
            Aku mencemik sambil menjongket bahu.
            “Tak cantik. Tak ada bintang,”jawabku acuh tidak acuh. Kepalaku berkecamuk dengan permintaan Mia, Encik Firdaus mahu bercakap tentang langit yang gelap gelita pula.
            “Kenapa tak ada bintang?,”
            Aku mengeluh perlahan. Encik Firdaus memang nak kena! Sabar Tiya…sabar…hatiku memujuk lembut.
            “Sebab nak hujanlah abang sayang….,”jawabku berlagu panjang. Geram!
            “So, itu perkara baik atau tak baik?,”
            “Abang ni kenapa? Kita cakap pasal permintaan Mia kan? Janganlah sibuk dengan langit… dengan hujan… dengan bintang dulu,”aku sudah separuh membentak. Wajah pun sudah kelat semacam. Encik Firdaus yang tersenyum, aku jeling tajam.
            “Abang tanya, jawab ajelah…,”
            “Kalau malam… nak hujan… tak ada bintang, tak bestlah nak tengok langit…,”dalam tidak mahu, aku menjawab juga.
            “Kalau hujan, dan esoknya pokok-pokok bunga yang layu segar semula, itu macam-mana pula?,”soal Encik Firdaus lembut.
            Aku berfikir seketika sambil bersandar di bahu Encik Firdaus.
            “Eloklah…,”akhirnya aku menjawab malas. Layan ajelah!
            “So?,”
            Aku ternganga.
            “So?,”soalku balik sambil memandang wajah Encik Firdaus untuk ke sekian kalinya.
            “Depend pada Tiya. Tiya nak pandang tindakan tu dari sudut positif atau negatif. Kalau Tiya harapkan bintang, hujan tu akan jadi petanda kurang baik. Kalau Tiya harapkan bunga-bunga segar semula, hujan yang datang tu akan jadi penyelamat…,”
            Aku termangu seketika. Dalamnya bicara suamiku ini. Sayangnya aku kurang bijak dalam subjek sastera. Jadi kata-kata itu tetap juga membuat aku terkulat-kulat mencari makna.
            “Tak faham?,”
            Aku menggeleng dengan jujurnya. Sungguh aku tidak faham. Encik Firdaus tersenyum panjang. Jemariku diusap lembut.
            “Tiya beritahu abang, kenapa Tiya berat nak tolong Mia? Sebab Tiya takut Abang Kamal akan tersinggung?,”
            Aku mengangguk perlahan.
            “Tiya tahu perasaan Abang Kamal pada Tiya. Tiya tak nak nanti Abang Kamal rasa Tiya sengaja nak sakitkan hati dia…,”
            “Kenapa Tiya tak fikir dari sudut lain pula?,”
            “Sudut macam-mana, bang?,”
            “Mungkin bantuan Tiya akan dapat dekatkan dia dengan Mia? Mungkin nanti dia dapat cari pengganti Tiya? Dapat bahagia dengan orang lain sebab Tiya cuma milik abang seorang? Tiya tak nak tengok Abang Kamal Tiya tu bahagia?,”
            Aku diam. Tekun memikirkan kata-kata Encik Firdaus. Ada benarnya kata-kata itu. Mungkin ini boleh jadi satu usaha untuk buat Abang Kamal lupakan aku.
            “Pandailah suami Tiya,”ujarku senang sambil menarik perlahan hidung Encik Firdaus yang mancung. Kenapalah aku tidak berfikir kea rah itu tadi?
            “Suami Tiya memang pandai…,”balas Encik Firdaus sambil mengangkat kening. Aku tersenyum. Memeluk erat tubuh Encik Firdaus bersama satu helaan nafas lega. Seperti kata Encik Firdaus, aku mesti berfikiran positif. Positif!
            “Abang bagi cadangan kan? So, berjaya tolong selesaikan masalah Tiya tak?,”
            Aku mengangguk senang.
            “Angguk aje? Upahnya, tak ada?,”
            “Ada…,”jawabku sepatah. Melihat senyum Encik Firdaus pun sudah kutahu apa yang bermain di kepalanya.
            “Ada?,”
            Aku diam sambil buat-buat tidak dengar. Terus memandang ke hadapan tanpa mengacuhkan soalan Encik Firdaus. Tetapi cuma seketika apabila jemari Encik Firdaus mula menggeletek pinggangku. Pantas aku bingkas bangun lalu berlari menuju ke bilik. Meninggalkan Encik Firdaus melayan tawanya.


*****

3 comments:

Lieynaim mohd noor said...

lama dah tgu n3 baru nie..hehehe best

Lieynaim mohd noor said...
This comment has been removed by the author.
MaY_LiN said...

bahagia je tiya ngan fir..

[11:35:50 PM] hos.getah: