“Kamu tak payah balik pun tak apa. Jangan balik
jenguk aku lagi. Aku tak ada anak. Anak aku dah lama mati,”
“Mak..,”
“Dah. Pergilah. Jangan datang jumpa
aku lagi. Aku tak ada anak yang tak ada hati perut macam kamu,”
“Mak... jangan cakap Isha macam tu.
Isha anak mak tapi mak cakap, macam mak tak kenal anak mak ni,”
“Memang mak tak kenal kamu Isha.
Kamu lain sangat. Berubah sungguh perangai kamu. Takkan sebab mak yang suruh
kamu kahwin dengan Haziq, sampai kamu jadi macam ni? Kalau betul kamu tak boleh
terima dia, kenapa tak tolak dari awal? Kenapa bila Haziq jadi macam tu baru
kamu nak lepas tangan? Mak tak pernah ajar kamu jadi manusia pentingkan diri
macam ni. Tak pernah...,”
“Mak, sikit pun mak tak nak dengar
cerita Isha? Sikit pun mak tak nak simpan simpati untuk anak mak sendiri?,”
“Simpati apa yang aku nak bagi pada
kamu, kalau saat suami separuh gila sebab sedih hilang anak, kamu boleh minta
cerai? Masa senang kamu tak ada rungutan. Bila datang dugaan sikit, terus kamu
lepas tangan. Isteri jenis apa kamu ni?,”
Mendengar kata-kata itu, air matanya
menitis perlahan-lahan. Sudah bertahun berlalu. Bermakna bertahun juga dia
gagahkan langkah mencari si ibu. Bertekad untuk kuatkan hati berdepan dengan
apa juga kata-kata keras yang bakal meniti di bibir tua itu. Namun, dia tetap
gagal. Gagal menerima kemarahan ibu yang bagai tidak pernah surut. Perlukah dia
membuka seluruh kisah hanya untuk mendapatkan kepercayaan ibunya? Hanya untuk
mendapatkan kembali kasih sayang yang bertahun hilang? Dan, mahukah ibunya
mempercayai segala ceritanya?
Wajah ibunya ditatap lama. Hiba
bersarang di jiwa.
“Kak Kamsah telefon Isha. Katanya
mak tak sihat,”melupakan kata-kata ibunya, Farisha membuka topic baru. Memang
dia pulang kerana panggilan daripada jirannya. Ibunya demam-demam. Itulah yang
diberitahu oleh jirannya, Kamsah.
“Betul mak tak sihat?,”
Puan Rahmah berpaling. Perlahan
mengangkat punggung dari pangkin di bawah pohon rambutan di halaman rumah.
“Aku sihat ke... aku sakit ke... tak
perlulah kamu risau,”
“Mak, janganlah buat Isha macam ni.
Isha cuma ada mak saja. Ya, mak risau sangat menantu mak kehilangan anak. Tapi,
mak pernah fikir tak macam-mana anak mak ni lalui semua tu? Trisya tu
satu-satunya anak Isha, mak. Isha sayangkan Trisya lebih daripada nyawa Isha
sendiri. Sepuluh kali Isha harap Isha yang mati dalam kemalangan tu! Isha harap
Isha yang mati, bukan Trisya,”tiba-tiba meluncur kata-kata itu. Sedikit keras
bersama deraian air mata.
“Semua orang kisahkan dia. Semua
orang risaukan dia. Sampaikan tak ada seorang pun yang nak tanya apa yang Isha
rasa. Memang dia juara sejak dulu lagi. Juara menagih simpati semua orang,”sebak
dia menghamburkan rasa yang tersimpan. Sudah lama dia cuba lupakan semua
perbuatan Haziq. Tetapi, menerima layanan sebegini daripada ibu sendiri, dia
jadi tidak kuat. Dia kembali diasak dendam.
Puan Rahmah berpaling. Menggeleng
perlahan mendengar kata-kata itu. Lama dia merenung wajah Farisha. Walau cuba
dibuang, tetapi rasa kecewa dengan sikap Farisha payah untuk dikikis. Dia
melihat. Dia mendengar. Dari situ, dia boleh menilai. Kalaulah Farisha
rendahkan diri memohon maaf di atas semua kesilapan yang telah dibuat, rasanya
hatinya tidak akan menjadi sekeras ini.
“Ini bukan sikap yang mak dan arwah
ayah kamu ajar pada kamu selama ni. Mak tak pernah ajar kamu burukkan orang
lain demi diri sendiri,”
Farisha menadah muka. Melihat riak
yang begitu kecewa tergambar di wajah itu.
“Kamu tahu tak? Sampai sekarang,
sikit pun dia tak jentik salah kamu.
Sikit pun dia tak ada burukkan kamu Isha. Tiga hari lepas dia datang ke sini.
Sikit pun dia tak cari silap kamu. Sikit pun dia tak marahkan kamu. Dia sibuk
mengaku mungkin dia yang buat salah pada kamu! Tapi, kamu? Datang-datang ke
sini, apa kamu buat? Kamu terus burukkan dia. Lain sungguh perangai kamu
sekarang ni Isha. Sebab tu, mak cakap, kamu bukan lagi anak mak yang dulu. Anak
mak yang dulu, tak macam ni perangainya,”
Farisha tertunduk di pangkin.
Membiarkan ibunya melangkah meninggalkannya. Diam-diam dia menangis lagi.
“Itulah yang Isha buat selama ini
mak. Isha simpan semua keburukan dia... tapi, inilah yang Isha dapat. Isha
hilang semua yang Isha sayang. Memang dia yang salah, mak...,”rintihnya sambil
menyeka air mata. Pulang ke sini hanya mampu menjemput air matanya berguguran.
Tiada yang dapat mengubati hatinya di sini. Ibu sendiri pun, begitu sekali
membuang dirinya.
“Kalaulah mak ada untuk pujuk hati
Isha sekarang. Kalaulah mak tahu macam-mana susahnya Isha nak teruskan hidup ni
tanpa Trisya...tanpa mak... kalaulah mak nak cuba faham hati Isha,”bibirnya
berbisik pilu. Betapa bertahun lamanya dia memendam sebuah kehilangan. Dia
menyekat segunung kesedihan. Dia bangkit mempamerkan satu kepura-puraan.
Mencanang hakikat tentang kuatnya jiwa seorang Farisha, padahal tersembunyi
satu makam sepi di dasar hatinya.
Bersama pandangan yang kabur dek air
mata, Farisha memandang sekeliling. Halaman rumah yang begitu banyak
meninggalkan kenangan buatnya. Kenangan semasa kecilnya juga kenangan bersama
si kecil kesayangannya. Bagai terpandang-pandang tubuh kecil Trisya
berlari-lari mengejar ayam. Bagai terdengar-dengar riuh tawanya apabila diusik.
Kenangan yang semakin membuat kuat esakannya. Tertunduk dia sendirian di atas
pangkin yang sepi. Pulangnya bagai sia-sia.
Sentuhan lembut di bahunya memaksa
dia mengangkat muka. Berlaga pandang dengan Kak Kamsah. Pipi yang basah diseka
segera. Senyum cuba diukir seadanya.
“Kak...,”
Jirannya itu melebarkan senyum.
“Baru sampai?,”
Dia mengangguk perlahan.
“Tapi, mak tak suka saya balik,
kak,”
Kamsah melabuhkan punggung di
sisinya.
“Cuba kamu ikutkan saja apa yang mak
kamu nak,”
“Apa kak? Saya pun tak tahu apa yang
mak nak dari saya,”
“Pergi minta maaf pada bekas suami
kamu. Pada keluarga bekas suami kamu. Yalah... mesti mak kamu kecewa dengan
tindakan kamu ni. Dia harapkan kamu faham sendiri kesilapan yang kamu dah buat.
Dia harap kamu sedar dan minta maaf. Cuba kamu faham apa yang mak kamu rasa,”
Farisha diam. Tidak pernah ibunya
bercerita tentang ini.
“Mak ada cakap dengan Kak Kam ke?,”
Kamsah mengangguk perlahan.
“Ada juga kadang-kadang, dia luahkan
perasaan dia pada akak. Akak ni orang luar. Apa sangatlah yang boleh akak bantu
pun. Apa masalan ‘h kamu pun akak tak
tahu. Tapi, nampaknya mak kamu kecewa benar dengan keputusan kamu nak bercerai
dulu. Mungkin sebab dia sayang sangat dengan bekas suami kamu tu agaknya,”
Farisha tersenyum pilu.
“Fikirlah elok-elok ya. Kalau kita
buat salah, tak jatuh air muka kita kalau kita minta maaf,”
Hatinya pedih tiba-tiba. Salah
diakah? Di mata semua orang, memang diakah yang bersalah? Mahu saja dia
hamburkan segala yang tersimpan di hati pada Kamsah. Namun, apa relevan dia
bercerita dengan Kamsah sedang ibunya sendiri pun menolak mentah-mentah
kata-katanya.
“Terima kasih, kak. Sebab sudi
tengok-tengokkan mak saya,”
Kamsah tersenyum.
“Dah kamu amanahkan pada akak,
memang wajiblah akak jalankan tanggungjawab tu. Nanti, tak halal pula duit yang
kamu beri pada akak tiap-tiap bulan tu. Itu pun, kalau diikutkan, banyak yang
kamu bagi. Tengok-tengokkan mak kamu ni, bukannya susah macam jaga budak,”
“Tak apa kak. Kalau mak terus macam
ni, memang saya harapkan akak sajalah. Pandang muka saya pun, macam macam tak
nak,”
“Jangan lawan keras mak kamu, dengan
keras juga. Tabahkan hati,”
“Macam - mana saya nak tabah, kak?
Tiap kali balik ke sini, mak buat macam saya tak ada,”
“Fikirkan apa yang akak cakap tadi
ya. Lagi satu, beberapa hari lepas bekas suami kamu ada datang jumpa makcik
Rahmah. Sejak bekas suami kamu balik, asyik termenung saja dia. Semalam dia
demam. Itu yang akak telefon kamu,”
Farisha mengangguk perlahan.
“Terima kasih, kak,”
“Perkara kecil saja. Okaylah, akak
balik dululah. Akak datang menegur aje ni. Tengok kamu sorang-sorang kat sini.
Malam ni, bermalam kat sini atau terus balik?,”
“Kalau mak demam, saya tak baliklah.
Tak sedap hati nak tinggalkan mak sendirian,”
“Eloklah macam tu. Akak balik
dululah. Jangan sedih-sedih sangat,”
Farisha tersenyum hambar. Kamsah
bergerak pergi. Tinggal lagi dia termangu sendirian.
*****
Dia
bersandar seketika di pintu bilik. Memandang kosong ke arah ibunya yang diam
terbaring di katil. Kalau dulu, waktu-waktu begini riuh ibu melayan cerita dia
dan Trisya di ruang tamu. Rajin juga melayan bual dengan menantunya. Kini,
awal-awal lagi ibunya sudah masuk ke bilik. Untung dia melihat ibunya ada
memakan ubat sebelum masuk ke bilik. Pergerakan ibunya yang kembali lincah,
cukup memberitahunya yang ibunya semakin sihat. Teringatkan kata-kata Kamsah
petang tadi, dia bergerak perlahan-lahan mendekati katil.
“Mak,”
Sepi. Melihat kepada tubuh ibunya
yang bergerak sedikit, dia tahu ibunya masih belum lena.
“Mak?,”
“Kamu pergilah tidur. Esok pagi-pagi
kamu boleh balik. Aku dah sihat. Tak perlu risaukan aku,”
Bicara itu menyentuh gegendang telinganya. Pedih.
Terhiris.
“Kalau Isha jumpa Haziq dan keluarga dia untuk minta
maaf, boleh ke Isha dapat semula mak Isha?,”
Hening. Farisha terus tercegat di situ menanti
reaksi ibunya.
“Tak payah buat kalau kamu tak ikhlas,”
Agak lama berdiam, ibunya menjawab tanpa berpaling.
Sedikit kecewa dengan jawapan itu namun, langkah diatur juga mendekati ibunya.
Perlahan-lahan melabuhkan punggung di hujung katil. Tubuh tua yang membelakanginya
itu dipandang lama. Rindu benar dia pada pelukan hangat tubuh itu tiap kali dia
sedang bersedih.
“Isha rindu sangat dengan mak,”
Diam.
“Tak boleh ke mak lupakan semua yang dah berlaku?
Tak boleh ke mak ampunkan Isha? Isha perlukan mak,”
Masih juga sepi. Farisha menunduk. Ibunya tidak sudi
bercakap dengannya lagi. Perlahan dia menunduk. Melepaskan satu ciuman di kaki
ibunya.
“Isha sayang mak,”bisiknya hiba. Lemah dia
mengangkat punggung bergerak meninggalkan ibunya. Membawa air mata yang berjuraian
jatuh ke pipi tanpa dia sedari bukan hanya pipinya sahaja yang basah dengan air
mata.
Dia terjelepok lemah di luar bilik ibunya setelah
daun pintu ditutup perlahan. Lemah memikirkan kian rapuh hatinya dek ujian demi
ujian. Dia bukan seorang yang sangat emosional. Segalanya ditanggapi seadaanya.
Apabila ibunya menyatakan ada calon suami yang sesuai untuknya, dia tidak
banyak kerenah. Diberi ruang seluas-luasnya untuk cuba menerima pilihan ibu
biarpun hati sempat dijentik suka pada yang lain. Berdepan dengan suami yang
jauh berbeza dengan cerita yang dicanang ibu, juga dia tidak banyak berfikir.
Sedaya-upaya dia cuba tempuh semuanya. Seadanya tanpa mahu menyakiti hati
sesiapa. Sampai satu ketika apabila dia tahu dia tidak lagi mampu meneruskan
langkah bersama Haziq, dia cuba membuat keputusan demi hatinya. Demi
perasaannya. Dan rupa-rupanya cukup besar kesan tindakan itu padanya. Adakah
keputusannya memang salah? Perlahan dia pejamkan mata. Entah kenapa, keputusan
meminta perpisahan daripada Haziq tidak pernah dirasakan salah. Itulah
satu-satunya keputusan yang amat tepat buatnya. Dia yakin tentang itu.
Sangat-sangat yakin.
“Betul ke ni? Kau serius? Kau dah fikir masak-masak?,”
Dia mengangguk.
“Kau tak takut?,”
“Takut ada yang mengata? Takut ada
yang mengutuk? Aku lebih takut kalau-kalau aku pun sama-sama jadi macam dia.
Aku belum bersedia nak jadi macam tu,”
“Family dia cakap apa?,”
“Kau rasa?,”
“Entahlah,”
“Kau rasa aku kejam?,”
Marliana tersenyum kecil padanya.
“Aku yakin kau ada alasan tersendiri.
Tapi, dalam keadaan Haziq yang macam tu, kau sanggup tinggalkan dia
terkontang-kanting macam tu? Kau tak kasihankan dia?,”
“Dia kasihankan aku? Pernah sekali
dia fikirkan pasal aku?,”
“Kau tak nak tunggu keadaan dia
pulih sikit?,”
“Dia tak akan pulih selagi dia tahu
hati aku hancur lebur sebab dia. Tapi, aku yakin dia akan terus pulih kalau aku
cakap aku terima semua perbuatan dia. Aku redha. Aku tetap maafkan dia tak kira
macam-mana teruk perbuatan dia pada aku,”
“Kau yakin?,”
Dia menghela nafas panjang. Diam di
sudut dinding sambil menarik kedua kaki rapat ke dada. Teringatkan soalan
sahabatnya lama ketika dia membuat satu keputusan yang nekad. Dia masih ingat,
soalan Marlian itu dijawab dengan anggukan yang meyakinkan. Saat itu memang dia
yakin itulah keputusan terbaik buatnya. Haziq hanya bersandiwara untuk menagih
simpati. Hanya itu modal yang Haziq ada sejak dari awal perkahwinan mereka.
Bezanya, saat ini Haziq berjaya meraih simpati dari semua orang. Haziq berjaya
membuat dia menjadi kejam andai tiada
simpati di hatinya buat Haziq.
Melihat akibat daripada keputusannya
empat tahun lepas, hatinya bagai goyah. Mungkinkah benar dia membuat keputusan
pada ketika yang tidak tepat? Dan, kalau menunggu saat yang tepat, bilakah
detik itu akan muncul?
Dalam melayan perasaan yang rawan, telinganya
tersentuh dek esakan halus. Tersandar ke dinding dia mendengar sayup-sayup tangis
sang ibu. Bagaimana mahu dipujuk hati itu? Ibunya bersedih kerana diakah? Begitu
besarkah dosanya hanya untuk mencari sedikit ketenangan buat dirinya sendiri? Tidak
mampu untuk meredakan kesedihan seorang ibu, akhirnya pipinya sendiri kembali basah
dengan air mata. Lama sehingga dia terlena dalam sendunya yang panjang.
******