Saturday, March 6, 2010

Mimpi Itu Milik Aku

“Jangan jauh-jauh sayang,”
Mendengar jeritan itu, anak kecil berusia enam tahun itu berpaling.
“Ok Umi!,”
Dia tersenyum. Dan dia sedar senyum di sisinya tidak selebar senyumnya.
“Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Mungkin kau sudah hilang perasaan agaknya,”
Dia berpaling. Walau lembut, kata-kata lelaki itu ada sedikit marah dihujungnya. Seketika berpandangan, matanya kembali liar mencari kelibat anak kecil yang sudah sedikit menjauh darinya. Tekun mengumpul kulit-kulit kerang barangkali.
“Apa ertinya semua ini pada kau?,”
“Tak penat ke kau tanya soalan yang sama?,”soalan itu dibalas dengan satu soalan.
“Aku penat tengok kau perjudikan hidup kau tanpa ada siapa pun yang peduli,”
“Aku tak lakukan semua ini untuk mencari peduli orang. Untuk orang agungkan aku dengan ucapan terima kasih,”
Sinis gelak di sisinya memaksa dia berpaling sekali lagi.
“Kerana cinta?,”soalan itu membuat jantungnya berhenti berdegup seketika.
Dia diam. Kerana cinta? Barangkali. Sebab lain? Barangkali juga ada.
“Aku tak nampak kau bahagia dengan cinta kau Elyani,”
“Aku bahagia tengok Fatin membesar depan aku,”
“Kau berhak ada Fatin yang di dalam tubuhnya mengalir darah kau. Bukan darah orang lain,”
“Faezah bukan orang lain,”
Erman mengeluh perlahan. Sukarnya untuk dia goyahkan pendirian wanita di hadapannya itu.
“Kau tak rasa kau ni tak ubah macam babysitter saja?,”
“Man… aku tak mahu jauh dari Fatin. Ya betul. Kalau kau tanyakan aku soal cinta, aku sendiri dah tak tahu mana perginya rasa itu. Kalau kau tanya mana tanggungjawab Irfan, juga aku tak boleh jawab. Barangkali kau lebih maklum. Aku dah tak harap apa-apa. Aku Cuma nak Fatin membesar depan aku. Aku tahu bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Dan, aku harus hormat permintaan Irfan bila dia mahukan ruang untuk dia terima semua ini. Aku tahu bukan mudah untuk dia hidup tanpa Faezah,”
“Yani..Yani… Aku tak tahu nak cakap apa. Apa kata kau pergi Kuala Lumpur. Lihat sendiri apa yang suami kau buat di sana. Aku tak nak cakap apa-apa. Sebab aku tahu kau tak akan mahu dengar cakap aku,”
Elyani tersenyum kecil.
“Macamlah aku tak ada kerja di sini. Kesian abah kalau aku tinggal dia uruskan hal kerja di sini,”
“Untuk kali ini, mungkin kau harus tinggalkan kerja kau di sini. Jenguk kerja Irfan di KL,”
“Aku tak mahu ganggu dia. Dia sibuk dengan cawangan baru di sana,”
“Aku risau, dia sibuk juga dengan ‘cawangan baru’ yang lain,”
“Man…,”
Erman mengeluh perlahan.
Dan, hari ini dia mengerti akan keluhan Erman. Dia sedar apa yang temannya itu cuba sampaikan.
“Kau ok?,”
Elyani menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi. Melihat Irfan berganding tangan dengan seorang gadis cantik, bukanlah satu pemandangan yang dia harapkan.
“Dah berapa lama?,”soalnya tanpa memandang wajah Erman.
“Mungkin lebih enam bulan,”
Elyani tersenyum pahit. Lebih enam bulan? Cuma selepas dua bulan pernikahan mereka? “Teruk sangat ke aku ni, Man? Teruk sangat ke sampai dia tak boleh terima aku? Dia kata, cintanya hanya pada Faezah, Aku terima. Tapi, perempuan tu?,”
“Sampai bila kau nak terus hidup demi orang lain? Kau jaga anak dia. Kau tolong business dia. Kau jaga ayah dia. Tapi, apa yang kau dapat?,”
“Aku sayang Fatin,”
“Tapi, dia tak hargai kau Yani. Kau berhak dicintai. Disayangi,”
Elyani diam. Tidak tahu apa yang bermain di hatinya saat ini. Yang pasti, tindakan Irfan benar-benar membuat dia kecewa.
“Dia tak tahu kau kat sini. Jomlah, kalau kau nak jumpa dia,”
“Aku belum bersedia,”
Erman diam. Mahu memberi ruang Elyani melayan perasaan sendiri.


****

Sambil membelek majalah, dia bersandar ke sofa. Kehadirannya di pejabat Irfan memang secara mengejut. Dia sedar itu. Dia mahu melihat reaksi Irfan. Majalah di tangan jatuh ke riba sebaik dia melihat langkah anggun wanita yang mengiringi suaminya semalam. Bergerak santai ke satu bilik. Pintu ditolak tanpa mengetuk.
“Sayang… ready for lunch?,”
Hatinya tersentap tiba-tiba. Kalaulah kata-kata itu untuk Irfan. Dalam diam, dia berharap kalau ada lelaki yang muncul dari bilik itu, orangnya bukan Irfan. Namun, panas bibir matanya tatkala tangan bertaut, dia melihat senyum Irfan yang terpamer di balik pintu. Sampai hati lelaki ini.
“Yani… ini permintaan arwah, dan aku akur demi arwah dan Fatin. Aku harap kau boleh beri aku ruang untuk aku biasakan diri dengan hubungan baru kita ni. Aku harap kau faham. Tak pernah aku bayangkan satu hati, kau akan jadi isteri aku. Jadi…aku..,”
“Fan… aku faham. Aku tak akan mendesak. Aku juga tak mahu terlalu berharap. Kita sama-sama belajar menerima satu sama lain,”
“Terima kasih Yani. Kau memang sahabat yang baik. Tak pernah berubah sejak dari dulu,”
Tanpa sedar, air mata menitis ke pipi. Kata-kata Irfan di malam pernikahannya, bagai melekat di hati. Dia percaya Irfan perlukan masa. Dia terus sabar menunggu Irfan berubah. Terus berharap agar cintanya yang terpendam bertahun lama, akan berbalas jua akhirnya, Namun, ternyata itu semua cuma satu mimpi.
“Yani,”
Dia tersentap. Erman tercegat di hadapannya.
“Kenapa tak inform aku, kau nak datang?,”
“Aku nak jumpa Irfan…,”perlahan dia bersuara dan dia sedar, mata Irfan terarah padanya.
“Yani! What are you doing here,”
Elyani tunduk seketika. Menyedari tautan jemari Irfan sudah terlerai dari jemari runcing gadis di sebelahnya.
“Dia nak jumpa kau. Tapi, rasanya kau ada lunch date tu. Biar aku temankan Yani,”Erman bersuara tiba-tiba.
“Jom Yani,”
Elyani sedikit terpinga-pinga apabila Erman mencapai jemarinya. Menariknya dari ruangan itu. Dan, saat ini, dia sendiri sebenarnya mahu keluar dari situ. Tidak mahu melihat wajah Irfan.
“Yani, tunggu!,”
Dia berpaling. Irfan mengejar langkahnya. Mencapai tangannya membuat tarikan tangan Erman terhenti di luar ruangan pejabat Irfan.
“Apa Yani buat kat sini? Kenapa nak jumpa abang?,”
Elyani telan liur. Apa yang hendak dia katakan?
“Saya datang dengan Fatin. Fatin nak jumpa abang. Dah lama juga abang tak balik. Just nak tengok abang sibuk atau tak. Mungkin boleh jumpa Fatin kejap. Kalau sibuk, saya faham. Biar kami tunggu abang kat kampung aje,”
“Mana Fatin?,”
“Ada dengan Kak Tirah. Kat hotel,”
“Kenapa tak cakap awal-awal? Man? Kau pun tak inform aku?,”
“Man tak tahu Yani datang. Really sorry ganggu kerja abang. Yani tak nak kacau abang buat kerja. Yani ikut Man saja,”
“Tak payah duduk hotel. Pergi rumah abang. Man, kau hantar Yani ke rumah aku,”
“Tak apa bang. Lepas ni, Yani terus balik. Yani tak nak kacau abang. Nanti hujung minggu abang jenguk Fatin ya,”dia beralasan lagi.
“Fatin sihat?,”
“Sihat,”
“Abang nak jumpa Fatin, tapi, abang ada lunch appointment sekarang. Penting. Jangan balik dulu. Tunggu abang kat rumah,”
Elyani terdiam.
“Man, tolong ya. Hantar Yani rumah aku,”
“As your wish, man,”
Irfan tersenyum.
“Thanks… and, see you there Yani,”
Elyani tersenyum kelat saat Irfan menyentuh tangannya sebelum berlalu. Pandangannya kemudian dilayangkan pada wajah Erman yang tidak berperasaan.


*****

“Yani…,”
Dia menoleh. Merenung sepasang mata yang tidak pernah membuat dia jemu. Sekuntum senyum diukir. Istimewa untuk lelaki itu.
“Aku sebenarnya ada sesuatu nak cakap dengan kau..,”
“Aku tahu,”
“Kau tahu?,”
Dia tergelak halus. Wajah serba – salah lelaki di hadapannya itu, ditatap sepuasnya.
“Yalah. Kalau kau ajak aku dinner special macam ni, mesti kau ada nak cakap sesuatu,”
Irfan tergelak. Dan, dia sekali lagi kagum melihat gelaknya. Seperti dia kagum melihat renungannya. Seperti dia kagum melihat senyumnya. Pendek kata, dia kagum segala-galanya tentang Irfan.
“Mana ada istimewa…,”
Dia senyum cuma. Barangkali tidak seistimewa mana. Tetapi, mana pernah Irfan mengundang makan malam yang Cuma ada Irfan dan dia.
“Apa yang kau nak cakap?,”dia mula mengaju soalan.
“Aku.. aku… nak melamar....,”
Nafasnya bagai terhenti.
“Aku nak melamar Faezah. Kau rasa dia akan terima tak?,”
Dia terkedu. Tidak mampu bersuara lagi.
Air mata mengalir tiba-tiba. Kenangan berlalu perlahan-lahan. Perlahan juga dia menyeka pipi yang sedikit membasah. Semua itu sudah lama berlalu. Faezah pun sudah pergi meninggalkan dia dah Irfan. Dia kini pun sudah bergelar isteri kepada lelaki bernama Irfan. Lelaki yang dicintai dalam diam sejak bertahun yang lalu. Sangkanya akan muncul juga ruang untuknya di hati Irfan. Namun, kini, dia tidak mahu berharap lagi.
“Kau sanggup tengok Irfan dengan perempuan lain, selama-lamanya?,”soalan Erman menjengah di minda. Dan, dia teringatkan gelengannya.
“So, minta dia lepaskan kau. Buat apa kau nak jadi patung dalam perkahwinan ni?,”
“Tak semudah tu,”
“Yani. Aku sayangkan kau. Aku tak sanggup tengok Irfan buat kau macam ni,”
“Aku sayangkan Fatin. Kalau aku berpisah dengan Irfan, bermakna Fatin dah tak jadi milik aku. Janji aku pada Eja macam mana? Dan, sekarang, semuanya bukan sebab janji lagi. Memang aku benar-benar sayangkan Fatin,”
“Sayang kau tak akan hilang. Kau boleh sayang Fatin sampai bila-bila. Tapi, kau kena sedar, macam mana sayang pun, Fatin tetap anak Irfan,”
Elyani terus membeku. Kata-kata Erman padanya semalam, dia akui hakikatnya. Fatin tetap anak Irfan. Dan, Irfan seakan tidak mahu menerimanya sebagai isteri. Bagaimana dia mahu terus bersama Fatin, andai Irfan seakan tidak mahu berkongsi hidup dengannya.
“Umi!,”
Dia tersentak. Panjang lamunannya. Senyum Fatin menguntum bahagia di hatinya.
“Berangan ye?,”
Soalan dari mulut kecil itu memaksa senyum terukir di bibirnya. Segera tubuh itu di tarik ke pelukannya.
“Umi sayang sangat kat Fatin,”bisiknya tanpa sedar.
“Fatin tahu…. ,”
“Fatin sayang umi tak?,”soalnya sambil tersenyum. Senang mendengar jawapan Fatin yang berlagu panjang.
“Sayang…. papa pun Fatin sayang,”anak kecil itu menjawab riang sambil memandang ke arah bapanya. Irfan tersenyum lebar.
“Malam ni, Fatin nak tidur dengan papa and umi,”
“Papa ada kerja tu. Kita masuk tidur dulu. Nanti papa dah habis kerja, papa temankan Fatin,”
“Alaaa… nanti kita nak balik rumah atuk, dah tak boleh nak tidur dengan papa. Papa bukan selalu balik rumah atuk,”
Elyani senyum . Anak kecil ini sudah mula merungut. Sudah dapat rasakan kurangnya perhatian dari seorang bapa barangkali.
“Ok sayang. Papa temankan. Kita tidur bilik papa, ok?,”kata-kata Irfan membuat dia sedikit terpana. Memandang Irfan yang bergerak mendukung Fatin.
“Jom, umi,”ajak Fatin riang.
“Umi nak minum air kejap. Nanti umi temankan,”
Irfan berlalu bersama Fatin dan dia terduduk ke sofa. Mula mencongak perjalanan hidupnya sendiri. Haruskah dia melepaskan Fatin bersama dengan bapanya. Bagaimana pula dia akan tempuhi hidupnya tanpa anak kecil itu? Dan, bagaimana dia mahu teruskan hidup bersama Irfan yang jelas tidak pernah menerimanya sebagai seorang isteri. Tidak lama selepas dinikahkan, Irfan mengambil keputusan untuk menguruskan cawangan baru perniagaan keluarga di Kuala Lumpur. Dan, dalam tempoh itu, cuma beberapa kali lelaki itu pulang. Pun, kepulangan itu bukan kerananya. Irfan pulang kerana anak dan bapanya. Dia sedar. Namun, sebaris kata-kata Irfan yang mahukan ruang dan waktu, membuat dia faham. Faham akan kuatnya cinta Irfan pada arwah isteri yang sukar untuk dirungkai. Tetapi, apabila melihat kemesraan Irfan dengan perempuan cantik itu, hatinya mula berdetik. Ruang yang dipinta Irfan sebenarnya tidak pernah ada. Dan masa yang dipinta Irfan juga tidak pernah akan muncul.
“Yani…,”
Sapaan itu lembut menyentuh gegendang telinganya. Irfan mengambil tempat di sisinya.
“Dah tidur?,”
Irfan tersenyum sambil mengangguk.
“Merengek juga nakkan umi dia kejap tadi. Tapi, umi dia macam tak sudi nak temankan,”
“Penat sangat kot jalan-jalan siang tadi,”tukasnya cuba tidak mengacuhkan kata-kata Irfan. Tidak mungkin dia akan berada di dalam bilik Irfan meskipun bersama Fatin. Dan, memang seharian Irfan membawa anaknya bersiar-siar. Dia sekadar memerhati kemesraan Irfan dan Fatin. Lebih banyak memerhati daripada menyertai.
“Hmm…,”
Cukup pendek jawapan yang Irfan berikan. Membuat dia berasa barangkali Irfan sedikit terganggu dengan adanya dia di situ.
“Saya pun nak masuk tidur dulu. Esok pagi kami balik ke Ipoh. Kalau ada masa free abang jenguklah Fatin. Dia rindukan papanya. Abah pun pasti suka kalau anak dia kerap balik jenguk dia kat sana,”
“Yani?,”
Elyani tersenyum kecil.
“Selamat malam ya,”
“Yani…,”pangillan itu membatalkan niatnya untuk berlalu. Menoleh mencari wajah Irfan.
“Thanks,”
“Untuk apa?,”
“Jaga Fatin. Sayang Fatin,”
“InsyaALLAH saya akan jaga selagi abang nak saya jaga. Atau sehingga abang jumpa penjaga yang lebih baik dari saya,”
“Apa maksud Yani?,”
“Selamat malam bang,”
Irfan termangu. Terasa Elyani sedikit berubah.


****


“Tambah lagi arangnya,”
“Janganlah banyak sangat,”
“Letak ajelah,”
“Kau ni, degil sangat. Aku tahu apa aku buat ok. Kau pergi main jauh-jauh,”
“Amboi! Menghalau!,”
Irfan diam memerhati tingkah Erman dan Elyani. Tiba-tiba dia berasa tersisih. Berasa diabaikan Elyani. Elyani sudah berubah. Elyani tidak seperti di awal perkahwinan mereka. Kalau dulu, terasa semua tumpuan Elyani Cuma padanya. Dia diutamakan daripada segala-galanya. Namun kini, dia terpinggir dari layanan gadis itu. Membuat tiba-tiba dia berasa jauh hati.
“Fatin! Jangan jauh sangat. Come here. Dekat umi. Kita bakar ikan. Nanti kasi atuk dengan uncle Man makan,”
Suara Elyani membawa dia kembali dari dunia lamunan. Namanya tiada dalam senarai yang meniti di bibir Elyani. Sekali lagi membuat hatinya pedih tiba-tiba. Kenapa? Dia sendiri tidak pasti. Tiba-tiba dia mahukan perhatian Elyani. Dia mahu Elyani melayannya seperti dulu.
“Fan! Jomlah. Join us,”teriak Erman sambil menarik Fatin ke ribanya. Mencari ruang teduh untuk anak kecil itu.
Dia tersenyum sambil mengangkat punggung. Bergerak menghampiri Erman dan Elyani. Kemudian mengambil tempat di sebelah temannya itu sambil matanya terus merenung Elyani yang tekun menyediakan bara api.
“Nak abang tolong?,”
Elyani mengangkat muka. Senyum Irfan dibalas hambar.
“Nak tolong? Boleh. Abang tolong buat ni, saya pergi tolong abah ,”
Irfan ternganga. Eryani berlalu. Memang ketara gadis itu cuba mengelak darinya.
“What’s going on with her?,”
Erman tergelak halus. Sedar akan wajah Irfan yang sedikit tegang.
“Aku rasa itu lebih baik buat kau. Mungkin nanti kurang rasa bersalah kau, bila kau nak lepaskan Yani,”
Irfan terdiam. Memang itu niatnya. Tetapi terhalang dek permintaan terakhir Faezah. Meminta agar Elyani yang menjadi ibu kepada Fatin.
“Kau rasa Mimie boleh jaga Fatin, macam Yani jaga?,”
Irfan diam lagi.
“Kau fikirlah Fan. Kesian Yani kau buat dia macam ni. Dia tak salah,”
“Aku rasa kekok. Dia kawan aku. Kawan baik aku. Tiba-tiba jadi isteri aku. Aku tak tahu nak berdepan dengan situasi tu. Macam mana aku nak sayang dia lebih dari seorang kawan. Dan dia pun sama. Boleh ke dia terima aku lebih daripada seorang kawan?,”
“Itu bukan alasan untuk kau curang dengan dia,”
“Semua tu tak dirancang,”
“Lepaskanlah dia Fan, kalau kau rasa Mimie lebih layak jadi ibu pada Fatin,”
“Kenapa dia berubah tiba-tiba?,”soal Irfan tanpa mengacuhkan cadangan Erman.
“Aku beritahu dia pasal kau dan Mimie. In fact, aku yang suruh dia ke KL. Aku nak dia tengok sendiri. Sebab aku tahu Yani. Dia tak akan percaya apa yang orang cakap,”
“Kau?,”
Erman menjungkit bahu.
“Aku tak sampai hati tengok dia tunggu kau terima dia di sini. Tapi, kau… bercinta dengan Mimie di sana. Tak adil Fan. Tak adil kau buat dia macam tu. Bertahun mungkin dia tunggu saat ini. Tapi, bila jadi kenyataan, dia jadi mangsa pula,”
“Maksud kau?,”
“Yelah. Aku tahu impiannya Cuma ingin menjadi isteri kau. Impian dia tercapai. But, still, dia tak bahagia,”
“Aku tak faham…,”
“Dia tolak aku, sebab kau. Sebab dia cintakan kau. Sejak dari dulu. Sejak dari kau nekad mahu mendekati arwah Faezah. Sejak dia, kau jadikan tempat meluahkan perasaan,”
“Kau jangan buat lawak, Man,”
“Kau fikirlah sendiri,”
“Mustahil,”
“Apa yang kau anggap mustahil, memang itulah hakikatnya. Fikirlah Fan. Jangan nanti bila dia dah nekad nak pergi, baru kau kelam kabut,”
Irfan terus terdiam. Cuma matanya melorot pada Elyani yang sedang berbual sesuatu dengan bapanya di bawah rimbun pohon rhu. Benarkah ada cinta untuknya di hati Elyani? Dan, memang nekadkah dia mahu melepaskan ikatan ini demi Mimie? Matanya merenung pula wajah comel anak tunggalnya. Tegakah dia merenggut seorang lagi ibu dari Fatin? Takdir menoktahkan kasih sayang seorang ibu pada anaknya itu apabila Faezah pergi meninggalkan dia dan Fatin dalam satu kemalangan. Tegakah dia membiarkan Elyani pula pergi meninggalkan anaknya itu?
“InsyaALLAH saya akan jaga selagi abang nak saya jaga. Atau sehingga abang jumpa penjaga yang lebih baik dari saya,”
Kata-kata itu bermain semula di fikirannya. Kali ini, dia bagai dapat membaca maksud kata-kata itu dengan lebih jelas.


*****

Langkah Elyani benar-benar terkunci di ambang pintu. Tiba-tiba dia diasak rasa pelik. Kemunculan Irfan di biliknya memang sesuatu yang di luar jangkaan. Dan melihat beg besar di kaki Irfan benar-benar membuat dia semakin diamuk dengan seribu persoalan. Mungkinkah Irfan tolong kemaskan pakaiannya untuk dia keluar dari rumah ini? Tergamakkah lelaki yang pernah bergelar teman baiknya itu berbuat begitu padanya?
Perlahan langkah dihayun. Melangkah masuk ke bilik.
“Abang?,”
Irfan berpaling.
“Abang buat apa ni?,”
“Dah siap?,”soal Irfan tanpa mengacuhkan soalah isterinya.
“Dah. Abang cakap nak balik lusa. Tiba-tiba ubah fikiran pula? Ada hal penting ke?,”
“Saja. Dah seminggu kat sini,”
Elyani diam. Berdiri di hujung katil. Terasa kemesraan sebagai teman antara dia dan Irfan, sudah lama hilang. Dia Cuma terperangkap dalam satu hubungan yang pelik dan kekok.
“Fatin dah tidur?,”
“Dah. Abang pun, pergilah tidur. Esok nak bangun awal, kan?,”
“Abang nak tidur sini, boleh?,”
Elyani sedikit tersentak.
“Betul ke?,”
Irfan tersenyum.
“Kalau betul?,”
“Saya pindah bilik Fatin,”
Irfan tersenyum lagi.
“Duduk di sini,”ujarnya sambil memberi isyarat agar Elyani mengambil tempat di sebelahnya. Elyani diam. Namun bergerak hampir dengan Irfan. Perlahan dia menarik kerusi kecil di hadapan meja solek. Melabuhkan punggung di situ.
“Kenapa bang? Ada sesuatu yang abang nak cakap?,”
Irfan mengangguk perlahan. Dan, Elyani tersenyum pahit. Bagai dapat dia baca apa yang sedang bermain di kepala Irfan. Rasanya tekaannya kali ini, tidak akan tersasar. Tidak seperti pertemuan acara makan malam tujuh tahun dulu.
“Pasal perempuan bernama Mimie tu kan?,”
Irfan kerutkan kening. Elyani tersenyum.
“I’m ready now. Kalau itu mampu membahagiakan abang, pilihlah yang terbaik. Cuma satu permintaan saya. Pastikan dia sayang Fatin, seperti arwah menyayanginya. Jangan abaikan Fatin,”
“Yani…,”
“Jangan risau, saya tahu kita pernah akrab. Tak perlu rasa bersalah buat keputusan hanya sebab kita pernah berkawan baik. Okay? Soal hati dan perasaan tak ada kena – mengena dengan ikatan persahabatan. Jangan rasa bersalah pada saya. Pilih yang terbaik untuk diri abang. Cuma, nanti izinkan saya terus jumpa Fatin ya,”
Irfan terus diam. Kata-kata Elyani tersusun elok. Namun, dia sedar wajah itu kosong. Tidak berperasaan. Angkara diakah, Elyani berubah sebegitu?
“Saya pergi bilik Fatin,”
“Yani. Abang belum selesai,”
“Apa lagi?,”
“Kemas baju,”
“Takkan malam-malam macam ni, nak halau saya,”dia bersuara sedikit bergurau. Memang dari tadi, beg besar itu mengundang tanda Tanya. Namun, dia malas mahu membuka cerita, bertanyakan tentang kemunculan beg itu.
“Ikut abang balik KL,”
“Pardon?,”
“Kita balik KL,”
Elyani tergelak kecil. Lawak apa pula yang dicanang Irfan malam-malam begini.
“Apa-apalah bang. Saya keluar dulu ya,”
“Abang serius,”
Langkah Elyani terhenti di pintu.
“Kerja saya kat sini, macam mana? Abah macam mana?,”
“Erman akan uruskan kerja Yani kat sini. Abah pula, abang dah cakap dengan abah. Abah tak halang,”
“Jangan risau. Saya jaga elok anak abang tu. Kat sini pun, saya boleh jaga Fatin. Tak perlu nak ganggu abang kat sana,”
“Abang, siapa nak jaga?,”
Satu soalan itu terus mengunci mulut Elyani. Membuat dia dilanda debar tiba-tiba. Tajam matanya merenung wajah Irfan yang tenang.
“Kenapa?,”akhirnya satu soalan itu muncul di bibir.
“Abang tak mahu terus disisih,”
“Siapa yang sisih abang?,”
“Layanan Yani sejak akhir-akhir ini. Abang tak suka. Abang nak Yani layan abang macam dulu,”
Elyani bungkam.
“Abang yakin, keputusan Eja memang tepat. Cuma Yani yang layak mengganti tempatnya,”
“Mimie?,”
“Yani lebih bermakna dari dia,”
“Jangan paksa diri bang. Nanti abang menyesal,”
“Abang akan menyesal kalau sampai abang kehilangan Yani,”
“Abang tak perlu buat semua ni. ok? InsyaALLAH saya boleh lalui semua ni. Saya dah bersedia,”
“Abang tak,”
“Kenapa?,”
“Sebab bila Yani ignore abang, abang sedar abang mahu perhatian Yani. Abang rindu layanan Yani. Ambil-berat Yani. Abang nak hidup dengan Yani sebagai suami isteri. Mungkin sebelum ni, abang ada buat silap. Tapi, please, maafkan abang. Abang tak nak buat Yani serba –salah sebenarnya, Abang sangka Yani tak ada perasaan pada abang. Jadi, abang takut keputusan yang Yani buat… hanya sebab terpaksa. Abang tak nak Yani terima abang sebab Fatin dan Eja,”
“Abang terima saya pun, sebab itu. Kan?,”
“Mulanya mungkin. Tapi, tak sekarang. Abang yakin, ada ruang dalam hati ni, untuk Yani,”
Elyani telan liur. Ternyata sangkaannya tersasar lagi. Irfan mahu bercakap tentang dirinya, bukan tentang Mimie.
“Boleh terima abang? Beri abang peluang untuk menyayangi Yani?,”
Sungguh dia tiada jawapan. Irfan memang penuh dengan kejutan.
“Kita cakap pasal ni, esok. Ok?,”
Irfan tersenyum kecil. Perlahan mengangkat punggung sambil bergerak menghampiri Elyani.
“Malam ni. Kita selesaikan malam ni,”dia berbisik lembut sambil menarik daun pintu. Pintu tertutup perlahan. Dan, tiba-tiba berada hampir dengan Irfan, jantungnya seakan mahu keluar.
“Jom,”sekali lagi bisikan bermain di telinganya.
“Hah?,”
Irfan tertawa kecil.
“First time Elyani yang sentiasa yakin, jadi gabra ya?,”
Elyani terus diam. Perlu memproses perubahan Irfan perlahan-lahan. Dan, memang keyakinannya hilang menanggapi Irfan yang romantis. Kali pertama dia berdepan dengan Irfan
yang cukup lain perwatakannya.
“Jom,”sekali lagi Irfan bersuara.
“Ke mana?,”
“Kemas bajulah. Esok pagi-pagi dah nak balik KL,”
Dia diam lagi. Sungguh dia tidak mengerti. Tidak mengerti dengan perubahan Irfan, juga tidak mengerti dengan debar di hati yang seakan tidak mahu reda. Segalanya tiba-tiba terasa seperti satu mimpi. Mimpi yang indah.


TAMAT….

[11:35:50 PM] hos.getah: