Thursday, November 13, 2008

Pergilah Air Mata 16



Perlahan pintu bilik diketuk. Sunyi. Tangannya cuba menolak daun pintu. Tidak berkunci. Membuat darahnya terasa menyerbu ke muka. Pantas dia melihat jam di tangannya. Sepuluh minit sebelum pukul tujuh pagi. Takkan seawal ini Sabrina membiarkan pintu tidak berkunci. Atau mungkin Sabrina lupa mengunci pintu malam tadi? Andaian itu membuat darahnya tiba-tiba menyirap. Segera dia menolak daun pintu. Ruang bilik terang benderang dengan semua lampu bernyala. Nampaknya Sabrina lupa menutup suis, atau sengaja tidur di dalam terang. Liar matanya mencari bayang gadis itu. Laju kakinya melangkah ke arah katil. Menggeleng perlahan melihat selonggok selimut di atas katil. Dia tahu Sabrina yang berselubung di bawah selimut itu. Perlahan dia menyelak selimut yang menutup keseluruhan tubuh Sabrina.
“MasyaALLAH,”tersentap Badrul sambil mengurut dada. Terkejut melihat Sabrina yang bertelekung putih. Tidur dalam telekung. Teruk betul.
“Hey, bangunlah…,”perlahan dia goncang bahu Sabrina. Diam.
“Bangunlah! Kenapa tak kunci pintu? Dah kuat sangat nak lawan kalau ada orang ceroboh masuk ya?,”Badrul bersuara sedikit keras. Bahu Sabrina juga digoncang agak kuat.
“Hmmm…,”
Jawapan Sabrina membuat Badrul sedikit geram. Pantas dia melabuhkan punggung di sebelah Sabrina.
“Bangun! Aku kata bangun,”
“Hmmm…,”hanya itu jawapan Sabrina sambil berkalih tidur. Mata terpejam rapat di dalam telekung solatnya.
“Bangun. Aku nak cakap dengan kau ni,”
Diam. Tidak berjawab. Dalam berang, Badrul memandang sekeliling. Terpandang surah YASIN di tepi bantal. Tidak tidurkah Sabrina malam tadi? Melihat pada ketakutan Sabrina malam tadi, tidak mustahil gadis itu menghabiskan malamnya dengan membaca surah YASIN.
“Pukul berapa kau tidur hah? Sampai susah sangat nak buka mata ni?,”
Tetap sepi. Badrul mengeluh perlahan. Nampaknya dia bercakap seorang diri.
“Bangunlah!,”Badrul separuh menjerit di telinga Sabrina. Membuat gadis itu tersentak. Pantas bangkit dari tidur dengan muka mamai. Juga membuat Badrul juga turut tersentak. Perlahan dia mengurut dada.
“Kau ni! Dah macam pocong bangkit dari kubur! Yang tidur dengan telekung ni, kenapa? Bukalah,”
“Hmm…,”dengan mata terpejam, Sabrina biarkan Badrul menanggalkan telekung yang dipakai. Kemudian terbaring semula ke katil.
“Tidur lagi…,”Badrul mula merungut.
“Bangunlah! Bersiap. Kita keluar. Kan kau nak sangat keluar dari bilik ni. Cepat bangun,” “Hmmm…,”
Badrul kerutkan kening. Sia-sia bercakap dengan Sabrina saat ini. Gadis ini memang tidak sedar langsung, atau saja-saja berlakon? Dia memandang jam di atas meja. Hampir 7.15 pagi. Masih awal. Sengaja dia bangun awal. Selesai solat Subuh, dia bergegas menjengah ke bilik ini. Ingin melihat keadaan Sabrina sebenarnya. Dia tinggalkan Sabrina di dalam ketakutan malam tadi.
Melihat Sabrina yang terus lena, dia berbaring di sebelah gadis itu. Menunggu kalau-kalau Sabrina terjaga. Sia-sia.
“Bangunlah!,”gesanya sekali lagi sambil menongkat kepala di bantal. Melihat wajah Sabrina.
“Hmm…,”
“Hmm..hmm… Bangun aku cakap. Aku cium karang, baru tahu,”
“Hmm..,”
Aik! Ugut macam tu pun, masih hmm jawabnya? Badrul dekatkan mukanya ke telinga Sabrina.
“Make love with me…,”dia bersuara lagi.
“Hmmm…,”
Sah! Perempuan ini memang tidur mati. Mulut sahaja memberi tindak balas, tetapi, otak tidak berfungsi. Dan dia tersangat yakin, memang Sabrina tidak tidur malam tadi. Barangkali gadis ini baru lena. Perlahan dia menggeleng. Pelik dengan sikap Sabrina. Kadang-kadang dia melihat karektor gadis ini jauh berbeza dengan karekter yang telah diproses oleh akal logiknya. Kadang-kadang gadis ini Nampak begitu naïf. Namun, kalau Sabrina senaif itu, apa yang gadis itu fikirkan sehingga sanggup melangkah masuk ke bilik seorang lelaki yang terlalu asing padanya? Apa yang gadis itu inginkan dengan persetujuan untuk berkahwin dengannya setelah mereka ditangkap dulu? Kalau betul, semua ini bukan rancangannya, Sabrina patut menolak saranan bapanya. Sabrina tidak perlu mengahwininya. Tetapi, Sabrina tidak berkata apa-apa. Gadis itu Cuma mendiamkan diri. Seolah-olah perkahwinan itulah sebenarnya yang dia inginkan. Seakan-akan ada agenda tersembunyi di sebalik tindakan Sabrina. Agenda tersembunyi yang dia sendiri masih mahu menyiasat tentangnya. Mahu tahu apa yang diingini Sabrina sebenarnya.
Lamunannya menjauh apabila tangan Sabrina tiba-tiba jatuh ke perutnya. Membuat darahnya berderau seketika. Membangkitkan kembali gelora di jiwanya. Pantas dia memandang wajah itu. Terlalu lena tidur Sabrina. Tidak sampai hati untuk terus mengejutkan Sabrina. Biarlah gadis itu tidur buat seketika. Dia pula, tanpa berfikir, dia bergerak merapatkan diri ke tubuh Sabrina. Menarik tangan Sabrina agar melingkari pinggangnya. Mengusap lembut wajah Sabrina yang lena. Sesekali tidur di dalam pelukan gadis ini, apa salahnya. Sabrina isterinya. Tidak salah apa yang dia lakukan itu. Lagipun, hari masih terlalu pagi untuk dia menjalankan sebarang aktiviti luar. Perlahan dia menarik selimut sambil memeluk tubuh Sabrina. Kedinginan pagi ditambah pula dengan penyaman udara yang terpasang, membuat dia ingin menyambung semula tidurnya. Dia lena di balik keharuman rambut Sabrina.

***
“Apa kau nak buat hari ni? Aku temankan kau,”
Sabrina bungkam. Matanya menjeling tajam ke arah Badrul yang sedang menikmati hidangan makan tengahari. Selamba sungguh reaksi lelaki ini.
“Saya nak rehat kat bilik,”Sabrina bersuara perlahan.
Suapan Badrul terhenti. Tajam memandang wajah Sabrina yang menunduk.
“Kenapa pula?,”
Sabrina diam. Tidak tahu mahu memberi alasan yang bagaimana. Kenyataannya dia tidak mahu terus berdepan dengan Badrul. Rasa malu masih tersisa. Bagaimana dia boleh lena di dalam pelukan erat lelaki itu? Bagaimana dia tidak sedar langsung?
“Kenapa tak kunci pintu?,”tiba-tiba Badrul bersuara. Mengutarakan soalan yang tidak Sabrina endahkan pagi tadi.
“Mana ada?,”
“Mana ada apa? Kalau kau kunci, macam mana aku boleh masuk?,”
Sabrina diam seketika. Cuba mengingati semula sama ada dia kunci atau tidak pintu biliknya.
“Saya lupa kot,”akhirnya Sabrina menjawab perlahan.
“Lupa kot? Baguslah. Dibuatnya orang masuk, nak angkut kau pun boleh, tahu tak? Pintu tak berkunci. Tidur mati. Orang nak rogol kau pun, kau tak akan sedar. Tahu tak?,”
Tersedak Sabrina mendengar kata-kata itu. Tiba-tiba terasa darah menyerbu naik ke muka. Ngerinya andaian Badrul.
“Berapa kali aku pesan, kunci pintu. Sebelum aku keluar pun, sekali lagi aku pesan, kan? Ke.. kau rasa kau tu dah kuat sangat nak melawan?,”
Sabrina diam. Menadah telinga sahaja.
“Kenapa diam?,”
“Betullah tu,”
“Apa yang betul? Kau tu dah kuat sangat? Kalau kuat sangat, kenapa aku peluk pun, kau tak sedar?,”
Menyirap darah naik ke muka Sabrina. Wajahnya memerah tiba-tiba. Tiba—tiba teringatkan kehangatan pelukan Badrul tadi. Cepat-cepat dia tunduk.
“Aku rasa kan… kalau aku rogol kau pun, kau tak akan sedar tadi…,”tiba-tiba Badrul berbisik di telinganya. Mambuat bulat matanya memandang Badrul. Jantungnya terasa berdegup kencang.
“Awak! Kalau nak marah, marah je la. Saya dengar ni. Janganlah merepek macam ni,”
Melihat wajah Sabrina yang benar-benar berubah, Badrul tersenyum kecil.
“Buat sakit tekak aku saja membebel kat kau sekarang ni. Tak ada response. Tak best. Cakap benda macam ni, baru dapat response,”
“Saya nak balik ke bilik dululah,”Sabrina bersuara sambil mengangkat punggung.
“Cakap kat aku, buat apa? Nak ajak aku sekali ke? Kalau nak ajak, cakaplah terus-terang. Tak payahlah berkias-kias macam ni. Aku tak kisah pun. Anytime aku boleh temankan,”sakat Badrul dengan muka serius.
“Mana ada?!,”kuat Sabrina menafikan kata-kata Badrul. Serta-merta juga dia terduduk semula ke kerusi. Membuat Badrul ketawa. Langsung batal niatnya untuk bekurung di dalam bilik.
“Pukul dua petang baru bangun, takkan mengantuk lagi mata kau?,”
Sabrina diam. Ini bukan masalah mengantuk. Ini, masalah dia tidak tahan lagi mendengar kata-kata Badrul. Semuanya membuat dia jadi malu sendiri.
“Cakap pasal tidur, pukul berapa kau tidur malam tadi?,”
Sabrina menggeleng.
“Apa geleng-geleng?,”
“Saya tak boleh tidur. Lepas Subuh, baru saya tidur,”
“Patutlah tidur macam orang mati,”
Sabrina diam. Dia pandang wajah Badrul. Dalam diam, dia tertanya-tanya akan perubahan sikap lelaki itu padanya. Badrul tidak lagi sekeras dulu. Sedikit bertolak-ansur padanya. Sudah ada topic perbualan antara dia dan Badrul. Walaupun, perbualan mereka lebih ke arah pertelingkahan, sekurang-kurangnya ada sedikit komunikasi antara dia dengan Badrul.
“Kenapa?,”
“Hah?,”soal Sabrina terpinga-pinga.
“Kenapa kau pandang aku?,”
Sabrina menggeleng perlahan.
“Makanlah,”
Sabrina memandang nasi goreng di pinggan. Tiada selera sebenarnya.
“Bila kita nak balik?,”soal Sabrina tiba-tiba. Membuat Badrul mendongak mencari wajahnya.
“Kenapa?,”soalnya pendek.
“Tak ada apa-apa. Saja Tanya,”
“Kau dah bosan ke?,”
Memanglah bosan kalau asyik kena kurung! Hati Sabrina menjerit kuat. Tetapi, tidak diluahkan. Takut Badrul naik angin mendengar luahan hatinya. Dia tahu, dia tidak ada hak untuk merungut lebih-lebih. Bimbang pula nanti Badrul menganggap dia mengada-ngada.
“Tak adalah,”akhirnya jawapan itu yang meniti di bibir.
“Kalau macam tu, tunggu jelah masa abah bagi tamat. Cukup dua minggu, baliklah. Balik awal, nanti, banyak pula soalan abah. Aku malas nak jawab,”
Sabrina diam. Dua minggu. Dia menghitung sendiri.
“Maknanya lagi tiga hari lah, ya?,”
“Ya la kot. Aku pun tak kira,”
Sabrina menongkat dagu. Nampaknya dia akan dikurung di situ selama tiga hari lagi. Lama juga.
“Apa lagi kau fikir tu? Makanlah,”
“Kenapa tiba-tiba ajak saya makan kat luar ya?,”soal Sabrina lagi. Badrul mengeluh panjang. Sudu dan garfu diletak di atas pinggan. Makin dilayan, makin banyak pula soalan gadis ini.
“Tolong diam, boleh tak?,”
“Okay. Saya tak cakap apa-apa lagi,”balas Sabrina sedikit kalut. Cepat-cepat mencapai sudu dan garfu, sebelum arahan lebih keras keluar dari mulut Badrul. Baru sahaja ingin menyuap nasi goreng ke mulut, dia terpaku seketika. Tergamam melihat wajah berang seorang gadis manis yang memandang ke arahnya.
“Awak.. itu..,”
“Shut up. And makan!,”suara Badrul sudah sedikit meninggi. Sabrina terus terdiam. Cuma matanya terus memandang langkah gadis itu yang semakin hampir.
“So, apa semua ni?,”sedikit lantang suara itu bergema di belakang Badrul. Membuat suapan Badrul terhenti tiba-tiba. Dia kenal suara itu. segera dia berpaling. Wajah Dayana merah menyala memandangnya.
“Datang cari I konon. Betul ke datang cari I? atau.. sebenarnya datang honeymoon?,”
“Yana. I can explain,”
“Memang pun. You memang selalu boleh explain,”
Badrul menggelabah. Dayana membuang pandang. Geram melihat tingkah Badrul. Sabrina pula terkebil-kebil menjadi pemerhati.
“Dengar penjelasan I. Memang I datang ke sini nak cari you. I tak tipu,”
“Apa-apalah, Bad,”dalam marah, Dayana berlalu. Badrul bungkam di kerusi. Mahu kejar, dia pasti, sia-sia dia dapat memujuk Dayana saat ini.
“Kekasih awak ke?,”soal Sabrina perlahan. Takut melihat wajah Badrul yang keruh tiba-tiba.
“No wonderlah awak nak sangat datang ke sini,”tambah Sabrina juga dengan nada perlahan.
“Yes. So what?,”
“Kejarlah,”
“Ha?,”Badrul bertanya pelik.
“Kejarlah kekasih awak tu. Awak cakap awak boleh explain pada dia,”
Badrul memandang hairan wajah Sabrina yang Nampak selamba.
“Kau tak kisah ke?,”
“Kenapa saya nak kisah? Pergilah,”
“No point,”ujar Badrul lemah.
“No point?,”
“Dia hot tempered. Tak guna pujuk kalau dia tengah marah. Sia-sia saja. Better tunggu dia dah cool down sikit,”
“Macam tu ke?,”
“Ha ah,”jawab Badrul lambat-lambat. Rasa hairan dengan penerimaan Sabrina masih belum hilang.
“Awak. Dia datang balik,”
“Hah?,”Badrul berpaling. Memandang langkah Dayana yang laju ke arahnya. Jantungnya berdegup kencang. Apa yang ingin Dayana katakan lagi? Resah memikirkan cara untuk dia memujuk semula gadis itu.
“Yana. Dengarlah dulu penjelasan I,”Badrul bersuara lagi sebaik Dayana tiba di hadapannya.
Dayana tercegat sambil memandang wajah Badrul.
“I nak kahwin dengan you,”sebaris ayat itu dituturkan, Dayana terus berlalu pergi. Meninggalkan Badrul terkebil-kebil dan Sabrina terpinga-pinga.
“Hah? Apa dia cakap?,”
“Dia cakap dia nak kahwin dengan awak,”laju Sabrina bersuara.
Hah? Dayana setuju untuk berkahwin dengannya? Betul ke? Dia memandang wajah Sabrina.
“Aku rasa aku patut kejar dia,”
“Cepatlah,”ujar Sabrina sepatah.
Untuk seketika Badrul memandang wajah Sabrina. Pantas tangannya mencapai jemari gadis itu.
“Thanks,”ucapnya perlahan. Sabrina Cuma membalas dengan sekuntum senyuman. Memandang Badrul yang sudah berlari mengejar kekasihnya.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: