Friday, September 30, 2011

Mungkinkah? 10


            “Hmmm…..,”
            Zariff mengerling untuk kali keempat. Bermakna sudah empat kali keluhan panjang itu muncul di bibir gadis yang sengaja melentok-lentok di hadapannya ini. Satu tindakan yang dia tahu sengaja mahu menjemput ungkapan yang boleh mengundang perselisihan kecil antara mereka.
            “Hmmm….,”
            “Sakit tekak ke?,”akhirnya dia bersuara. Mengerling sekilas pada senyum meleret gadis yang bersandar santai di kerusi.
            Nabila tergelak halus.
            “Ada pun suara. Ingatkan dah bisu,”
            “I tak ada mood lah nak gaduh dengan you hari ni. So, baik you duduk diam-diam. Minum air tu elok-elok,”
            Nabila jelirkan lidah bersama senyum meleret. Seronok dapat mengusik lelaki itu.
            “Peliklah. Malam minggu… tapi seorang lelaki bernama Zariff ni, masih duduk kat  rumah. Kat rumah mama dia pula tu. Pelik… sungguh pelik…,”
            “Diam….,”selamba Zariff menjawab sambil meneguk kopi panas perlahan-lahan.
            “Kenapa tak keluar malam ni? Girlfriend busy ke? Atau…dah solo sekarang?,”Nabila terus mengusik sambil tersenyum.
            “Cik Nabila…. Suka hatilah I nak duduk rumah ke… I nak keluar ke… I nak keluar dengan perempuan ke… or I nak duduk rumah mama I ke…. Semua tu bukan masalah Cik Nabila. Okay?,”
            Nabila mencemik. Namun, senyum segera mekar di bibir sebaik melihat kelibat Puan Zahra datang menghampirinya.
            “Mama.. please ma…. Tolong bawa budak ni pergi jauh-jauh,”
            Nabila tergelak besar dan bulat mata Puan Zahra jegilkan buat anak terunanya itu. Cukup lantang Zariff menghalau tetamunya itu.
            “Tak baik cakap macam tu, Riff,”Puan Zahra bersuara. Bersama dengan nada kurang senang.
            “Tak apa aunty. Orang tengah stress tu agaknya. Macam perempuan datang bulan aje rupanya tu,”
            “Mama… tengok tu. Mulut tetamu mama ni, memang nak kena cili,”
            Puan Zahra tergelak. Geramnya pada Zariff hilang serta-merta. Tahu kini punca Zariff bercakap sedemikian. Pasti ada pertelingkahan antara Nabila dan Zariff.
            “Aunty pun perasan juga, Bella. Murung semacam. Moody semacam. Agaknya girlfriend dia yang datang bulan tak?,”selamba sindiran itu diberikan pada Zariff. Membuat wajah Zariff semakin tegang. Tiada guna dia mengadu pada ibunya.
            “Mama dengan Bella ni, sama saja. Malas saya nak layan,”
            “Dah merajuk pula anak teruna aunty ni,”Nabila terus menyakat dan kini renungan tajam Zariff sudah melekat di wajahnya. Dia tersengih sambil mengangkat sebelah kening.
            “Mama tak rasa dah lewat ke ni? Baik mama pergi cepat-cepat. Nanti tertunggu-tunggu pula kawan-kawan mama tu,”ujar Zariff bersahaja. Mahu Nabila segera beredar dari rumahnya.
            “Tak apa. Bukan selalu mereka nak menunggu mama. Lewat sikit pun tak apa,”Puan Zahra pula membalas selamba. Zariff menjongket bahu sambil kembali mencapai majalah yang seketika tadi sudah dia campak ke meja. Tiada keinginan untuk terus membaca.
            “Kamu tak keluar ke malam ni?,”
            “Malaslah, mama,”ringkas jawapannya sambil mula membelek majalah tanpa ada niat untuk membaca.
            “Hmm… pelik tu. Dahlah tiba-tiba malam minggu lepak kat sini. Tak nak keluar pula tu,”
            Zariff mengeluh. Memandang wajah ibunya yang anggun dalam kebaya berwarna biru. Bersedia untuk menghadiri satu majlis makan malam anjuran persatuan barangkali.
            “Mama dengan  Bella ni, kongsi kepala ya? Sama aje ayat yang keluar tu,”
            Nabila tersenyum lebar sedang Puan Zahra sekadar tersenyum nipis. Senang mendengar rungutan itu.
            “Dah memang pelik. Sejak kamu pindah duduk rumah sendiri, mana pernah bermalam kat rumah ni, bila tiba hari minggu? Takut mama bising-bising bila kamu lesap entah ke mana, kan?,”
            “Alah mama ni. Balik salah, tak balik salah. Keluar salah, tak keluar pun salah. Saya malas nak keluarlah. Nak rehat kat rumah,”
            “Rehat kat rumah ke, angaukan rantai orang tu?,”usik Puan Zahra sambil mengerling.
            “Apa pulak. Tak ada maknanya nak angau kat rantai orang. Ingat anak mama ni, apa? Jiwang-jiwang ni, tak mainlah…,”
            “Rantai siapa, aunty?,”laju Nabila bertanya. Bagai ada cerita menarik tentang Zariff yang dia belum tahu.
            “Entah rantai perempuan mana yang dia jumpa. Asyik dengan rantai tu aje sejak akhir-akhir ni. Agaknya dia dah angau dengan tuan punya rantai tu kot…,”
            Nabila ketawa kuat. Zariff pula buat-buat tidak dengar.
            “Dalam hati ada taman bunga mawar rupanya…,”
            Zariff diam. Sudah malas mahu melayan usikan ibunya dan Nabila.
            “Dah. Jom kita pergi. Biarkanlah dia nak layan taman bunga mawar dia tu. Itu lagi bagus daripada dia buang masa dengan badut-badut kat kelab,”
            “Elok tu. Saya setuju. Baik mama bergerak sekarang. Tak baik buat orang tertunggu-tunggu ni,”
            Puan Zahra sekadar mengerling sambil berlalu. Nabila pula cepat-cepat mengangkat punggung. Mencapai tas tangannya lalu mengekori langkah ibunya. Sempat berpaling sambil membuat muka mengejeknya. Dia membuang pandang dan Nabila terus berlalu bersama gelak halus.
            “Hati-hati drive, Bella,”pesannya dengan nada agak tinggi. Tanpa berpaling, Nabila sekadar mengangkat tangan.
            Dia tersenyum kecil. Terus diam di kerusi sambil memerhati kereta Nabila bergerak perlahan menyusur keluar dari halaman rumahnya. Sempat membunyikan hon sebelum terus menyusur pergi. Sunyi. Tiada lagi suara usikan Nabila, juga tiada lagi sindiran halus daripada ibunya. Memang cukup serasi gabungan Nabila dan ibunya. Cukup untuk membuat dia sakit jiwa. Sekali lagi dia tersenyum kecil. Teringat pada kata-kata ibunya, perlahan dia menyeluk poket seluar pendek yang dipakainya. Mengeluarkan seutas rantai, yang dia akui memang tidak pernah berenggang dengannya sejak dia mengutip rantai itu di lantai cafĂ© tempoh hari. Untuk kali yang entah keberapa, bibirnya sekali lagi mengalunkan nama yang terukir di rantai itu. Rantai itu cukup biasa. Tiada yang istimewa dan pastinya, rantai di tangannya ini tidaklah semahal mana.
            “Aku? Angau pada rantai ni? Memang mama pandai merepek…,”dia berbisik sendirian. Terus tersenyum sambil menyambung tatapannya pada rantai yang bukan miliknya itu. Melihat rantai itu, sekali lagi imej pemiliknya terimbas di mindanya. Dan, dia terus melayan imej yang bermain di mindanya tanpa menghiraukan telefonnya yang mula menjerit minta diangkat. Dia tidak mahu keluar dengan sesiapa pun malam ini.

*****

            Arisa cuak. Sekali lagi beg tangannya diselongkar. Tiada. Segera dia membawa beg tangan itu ke katil. Mengeluarkan segala isi di dalam beg. Tidak mungkin tiada. Dia amat yakin, dia simpan di dalam beg tangannya. Puas dicari, namun tetap hampa. Dia mengeluh perlahan. Ketukan di pintu mematikan cariannya. Dia mengangkat muka. Rianti tercegat di muka pintu biliknya.
            “Kak Long cari apa tu?,”Rianti melontarkan soalan sambil melangkah masuk, walau tidak dipelawa. Turut melabuhkan punggung ke katil. Memandang Arisa yang menggelabah seakan mencari sesuatu.
            “Cari apa ni, Kak Long?,”sekali lagi dia bertanya.
            “Rantai Kak Long…,”jawab Arisa sambil sekali lagi dia menyelongkar beg tangannya, walau dia yakin, usahanya itu pasti sia-sia.
            “Rantai mana?,”
            Arisa mengeluh hampa. Sudah putus –asa. Memang rantai itu sudah tiada lagi di tempat simpanannya.
            “Rantai Kak Long. Dah hilang nampaknya…,”sayu Arisa bersuara. Rasa sedih menjentik tangkai hatinya.
            “Rantai hadiah arwah mak ke?,”
            Arisa mengangguk lemah. Cuainya dia. Tega dia menghilangkan barang sepenting itu.
            “Macam-mana boleh hilang?,”
            “Kak Long simpan dalam beg ni. Cangkuk rantai tu patah. Esok Kak Long ingat nak hantar ke kedai, baiki. Tengok-tengok dah tak ada…,”
            Rianti diam. Memandang wajah kakaknya yang jelas sedang risau. Mungkin juga sedang sedih. Dia tahu bagaimana kakaknya itu sayangkan rantai pemberian arwah ibu mereka itu. Berbelas tahun rantai itu setia melekat di leher kakaknya. Cuma kebelakangan ini leher kakaknya itu kosong tanpa perhiasan.
            “Mungkin Kak Long simpan kat tempat lain kot? Dalam laci dah cari?,”
            Arisa menggeleng.
            “Kak Long ingat betul, Kak Long simpan dalam beg. Cuai betullah Kak Long ni. Tak selesai masalah tu, masalah ini pula datang…,”bersama keluhan panjang Arisa meluahkan rasa yang terbuku.
            Rianti tersenyum. Perlahan memaut bahu Arisa.
            “Kak Long tahu tak? Ada seorang kakak tu, selalu cakap macam ni, tau kalau Ati merungut. Dia cakap, tak baik merungut-rungut. Mengeluh panjang-panjang pun tak baik. Sesuatu yang terjadi tu, pasti ada sebab. Jadi, tak perlu kita nak kesal atau nak merungut…,”
            Arisa menjeling. Tersenyum mendengar Rianti mengulang semula tiap kata-katanya itu. Kata-kata yang sering dia ucapkan pada Rianti dan adik-adiknya tiap kali adik-adiknya itu mengeluh tentang sesuatu.
            “Bagus adik Kak Long ni ya. Ingat pesan Kak Long…,”
            Rianti tersengih.
            “Dahlah. Jangan fikirkan sangat. Kalau hilang tu, mungkin dah bukan rezeki Kak Long. Kalau memang rantai tu nanti akan tetap jadi hak Kak Long, mesti Kak Long akan jumpa balik,”
            “Tapi, sayang dik. Itulah satu-satunya pemberian mak untuk jadi kenangan pada Kak Long. Sekarang dah tak ada…,”
            “Tapi kan, arwah mak tetap hidup dalam hati kita semua? Itu yang Kak Long cakap, kan?,”
            Arisa tersenyum nipis. Ternyata Rianti sudah benar-benar matang. Sudah boleh menjadi peneman laranya. Perlahan dia mengusap rambut Rianti.
            “Adik Kak Long dah besar…,”
            Rianti tersengih sambil mengangkat kening. Membuat Arisa tergelak halus. Lapang seketika dadanya. Hilang sebentar kekusutan yang mengekori hidupnya.
            “Yalah, dik. Kak Long yakin, kalau memang rantai tu, milik Kak Long, pasti Kak Long akan jumpa nanti. Kalau tak, memang itu bukan rezeki Kak Long,”
            Rianti mengangguk laju sambil mengangkat ibu jarinya. Sekali lagi membuat Arisa tergelak.
            “Macam-macam…,”usiknya sambil menggosok kepala Rianti. Rianti turut tergelak. Sedikit senang di hatinya mendengar tawa Arisa. Kebelakangan ini, kakaknya itu kelihatan tertekan benar. Kusut memikirkan onar bekas suaminya yang masih belum selesai. Dia mengerti akan berat masalah yang ditanggung Arisa.
            “Oh ya… Ati datang ni, nak ajak Kak Long makan. Jomlah. Ati masak special…,”
            “Ati masak? Tak naklah Kak Long makan. Nanti kena food poisoning…,”
            Senyum Rianti hilang. Tiba-tiba muncul muncung panjang di bibir.
            “Kak Long ni. Tak baik tau. Penat Ati masak tau…,”
            Arisa tergelak besar. Usikannya berjaya mengundang rajuk Rianti.
            “Kak Long gurau ajelah. Sebab Ati yang masak, Kak Long sanggup kena tahan dekat ward pun,”
            “Kak Long ni!,”
            Arisa terus tertawa. Beg tangan yang selesai dikemaskan, diletakkan di atas meja solek. Kemudian tangannya dihulurkan pada Rianti yang masih mencuka di katil.
            “Jomlah. Tak sabar Kak Long nak makan ni. Ati masak apa?,”
            Rajuk Rianti terus hilang. Pantas melompat turun dari katil sambil memaut lenganArisa.
            “Ati buat nasi goreng…,”
            “Hmmm… bunyinya macam sedap….,”
            “Abang! Cepatlah. Ikin nak masuk pulak,”
            Langkah Arisa mati di meja makan. Terkebil-kebil memandang adik bongsunya yang mengetuk kuat pintu tandas.
            “Kenapa ni, Ikin?,”
            “Sakit perut. Makan nasi goreng Kak Ati…,”
            Rianti jegilkan mata. Arisa tergelak kecil.
            “Cepatlah Abang!,”Syikin terus menjerit-jerit. Pintu tandas terbuka. Dafi keluar sambil menekan perut. Tidak sempat keluar, tubuhnya sudah ditolak oleh Syikin.
            “Kenapa teruk sangat ni? Kenapa Dafi?,”Arisa bertanya. Sedikit risau melihat keadaan adik-adiknya.
            “Kak Long tanyalah Kak Ati. Apa yang dia masak entah. Tak pasal-pasal sakit perut,”
            “Apa pulak? Kak Ati masak nasi gorenglah,”
            “Kak Ati makanlah sorang-sorang. Dafi tak nak dah. Macam makan cili padi. Dahlah tak sedap,”
            “Tak nak makan sudah!,”Rianti bersuara sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Arisa menjengah ke meja. Melihat nasi goreng hasil tangan Rianti. Tanpa sedar dia tersenyum kecil. Nasi goreng yang dipenuhi minyak. Cili padi pun cukup banyak bercampur dengan nasi goreng.
            “Patutlah sampai sakit perut. Tengoklah cili padi tu, bukan main banyak. Minyak pun dah macam nak goreng ikan aje gayanya. Ati rasa ke tak nasi goreng ni?,”
            Rianti menggeleng sambil selamba mencapai sudu. Disudukan sedikit lalu dibawa ke mulutnya. Belum sempat dikunyah, nasi sudah tersembur ke mangkuk.
            “Pedas….,”
            Dafi tergelak.
            “Orang cakap tak percaya. Kak Ati makanlah sampai habis,”
            “Diamlah!,”
            Dafi jelirkan lidah sambil berlalu ke biliknya. Arisa tersenyum.
            “Ingatkan nak buat special untuk Kak Long. Nak buat Kak Long happy. Tapi, tak jadi pulak,”Rianti bersuara lemah.
            Arisa melabuhkan punggung ke kerusi. Memandang wajah Rianti yang hampa.
            “Kak Long dah happy ada adik-adik yang baik macam adik-adik Kak Long ni. Nanti Kak Long ajarkan Ati masak. Bahaya tau, bagi adik-adik sakit perut macam tu,”usik Arisa bersama senyum panjang.
            Rianti mengerling perlahan. Perlahan-lahan juga turut tersenyum.
            “Kesian dia orang,”ujarnya sambil tergelak kecil. Arisa turut tergelak.
            “Ayah mana?,”
            “Tidur kot. Nasib baik ayah tak makan nasi goreng Ati ni….,”
            Arisa tertawa mendengar kata-kata itu. Namun, tawanya terhenti seketika sebaik pintu tandas terbuka perlahan. Syikin melangkah longlai keluar dari tandas.
            “Ikin okay ke?,”
            Perlahan adik bongsunnya itu menggeleng.
            “Lepas ni, kak Ati jangan masak apa-apa lagi tau….,”perlahan Syikin memberi amaran sambil menekan perut. Rianti diam tidak menjawab. Arisa bergerak mendekati Syikin. Memaut bahu Syikin lembut.
            “Kesian adik Kak Long. Jom masuk bilik Kak Long. Kak Long sapukan minyak angin, ya,”
            Syikin mengangguk lemah.
            “Ati tengokkan Dafi. Teruk ke sakit perutnya,”saran Arisa sambil memimpin tangan Syikin. Rianti mengangguk perlahan. Ada sedikit rasa bersalah di atas kegagalannya itu.

******

Friday, September 23, 2011

Mungkinkah? 9

            Lengguk langkah Tasnim yang santai, dipandang tanpa perasaan. Dia terus kaku di kerusi. Kepalanya tepu dengan masalah yang baru Radhi kirimkan. Bercerai dengan lelaki itu, tidak dapat menjadi tiket untuk dia hidup dengan lebih aman. Radhi seakan kekal menjadi mimpi ngerinya.
            “Minumlah,”pelawa Tasnim sambil mengambil tempat di sisi Arisa. Segelas sirap diletakkan di atas meja.
            Arisa tersenyum nipis.
            “Aku tak mengganggu ke ni?,”soalan itu meniti di bibir.
            “Tak adalah. Aku memang malas nak keluar hari ni,”
            “Housemate kau yang lain, ke mana?,”
            Tasmin mengeluh perlahan.
            “Semua dah lesap. Keluar jalan-jalan. Keluar dating… Tinggallah aku seorang. Kejap lagi, kena jadi tukang masaklah jawabnya. Dia orang tu, kalau balik tahu cari makanan aje,”
            Arisa tersenyum mendengar rungutan itu.
            “Tak pernah kau datang rumah aku… tiba-tiba hari ni mencemar duli datang ke sini ni, kenapa ya?,”
            Arisa mengerling. Dan Tasnim tersengih panjang.
            “Janganlah cakap macam tu…,”
            “Aku gurau ajelah. Sensitif sangat,”
            Arisa memandang tanpa suara. Usikan Tasnim bagai tidak berkesan di hatinya. Dia tidak betah untuk berada di rumah. Dia risau memikirkan masalah yang bakal menanti. Untuk meluahkan perasaan pada bapanya, dia risau nanti dia cuma membuat bapanya bertambah bimbang. Jadi, yang dia ada hanya Tasnim. Walaupun tidaklah serapat mana, Tasnim teman yang paling dekat dengannya. Tasnim juga yang banyak mengetahui masalahnya.
            “Kenapa ni? Takkan risau pasal Puan Salma belum hilang lagi?,”Tasnim mula serius  dalam bicara. Keadaan Arisa membuat dia sedikit risau.
            “Tak tahulah apa akan jadi lepas ni…,”bisiknya perlahan sambil meraup wajah dengan kedua tangannya. Sungguh dia gentar untuk ke pejabat. Gentar untuk berdepan dengan Encik Karim. Segunung rasa malu dengan perbuatan Radhi kini membebaninya. Lelaki itu bukan sahaja menyusahkan hidupnya. Tetapi, kini lelaki itu turut mengheret Encik Karim ke dalam masalah peribadinya. Bagaimana dia mahu menjernihkan keadaan yang telah dikeruhkan oleh Radhi? Andai sampai Encik Karim bertengkar dengan isterinya, bagaimana? Memikirkan hal itu, hatinya bertambah gelisah. Dia tidak mahu menjadi perosak rumahtangga orang. Sungguh-sungguh dia tidak mahu.
            “Kau fikir yang bukan-bukan. Rilekslah. Kita belum pun tahu apa puncanya, kau dah gelabah macam ni. Think positive, okay?,”
            Arisa menggeleng perlahan. Bukan saatnya untuk dia berfikiran positif saat ini. Dia buntu memikirkan keadaan Encik Karim. Buntu memikirkan perasaan Puan Salma. Juga gentar menghadapi dua wajah itu.
            “Apa yang aku risaukan tu, memang betul, Nim. Memang aku yakin Puan Salma marahkan aku…,”
            Tasnim mengeluh perlahan. Mulai tertanya-tanya punca keyakinan Arisa.
            “Kenapa kau cakap macam tu?,”
            “Rupa-rupanya, dalam pada dia ugut aku, dia kacau juga ayah aku. Dia beritahu aku ada hubungan sulit dengan Encik Karim. Dia beritahu Encik Karim sanggup beri aku duit untuk aku bayar pada dia tu. Ayah aku tak layan sampailah dia bagi gambar kat ayah aku. Aku yakin sangat, dia mesti bagi gambar itu pada Puan Salma juga,”
            “Gambar apa?,”laju Tasnim bertanya. Sedang wajah Arisa semakin kelam.
            “Aku tak tahu macam-mana dia boleh ambil gambar aku dengan Encik Karim. Masa tu aku nak terjatuh and Encik Karim pegang bahu aku. Sekali tengok mesti boleh salah faham…,”
            Tasnim diam menilai. Kemudian mencari wajah Arisa yang kelihatan cukup tegang. Sukar untuk dia percaya sejauh itu tindakan Radhi demi untuk menghancurkan hidup Arisa.
            “Agaknya dia memang mengintip kau dengan Encik Karim?,”
            Arisa menjongket bahu.
            “Macam-mana aku boleh tolong kau?,”
            Kali ini dia menggeleng. Membuat Tasnim mengeluh perlahan. Perlahan dia memeluk bahu Arisa. Cuba tenangkan jiwa Arisa yang sedang kacau.
            “Kau nak aku sama-sama dengan kau, berdepan dengan Puan Salma? Aku sanggup. Sebab, aku pun tahu cerita sebenar. Lagipun aku yang bagi cadangan tu pada Encik Karim, kan,”
            Arisa menggeleng. Sebolehnya dia tidak mahu libatkan Tasnim di dalam masalah ini. Tidak mahu Tasnim terseret sama menempah susah andai masalah ini gagal terlerai.
            “Aku tak mahu libatkan kau. Nanti, kau pun turut sama susah,”
            “Aku tak kisah…,”
            Arisa menekup muka. Buntu. Risau. Dan kemudian mengeluh keras.
            “Aku benci betul dengan lelaki tak guna tu. Aku tak faham. Kenapalah dia suka sangat susahkan hidup aku! Sungguh-sungguh aku tak faham!,”Arisa merengus separuh menjerit. Dalam marah, air mata sudah merembes keluar. Sungguh dia bosan dengan gangguan sebegini.
            “Sabar Rissa. Kau tak boleh emosi macam ni,”lembut Tasnim bersuara sambil menggosok perlahan belakang temannya itu. Arisa sudah mula beremosi.
            “Aku sedih, Nim. Dia buat aku macam ni. Dia buat ayah aku macam tu. Tak cukup dengan itu, dia nak libatkan pula orang yang tak ada kena-mengena dengan aku pulak. Apa dia dapat dengan semua ni?,
            “Aku rasa dia cuma nak peras duit kau… duit Encik Karim,”
            Arisa merengus keras. Air mata diseka kasar.
            “Ikutkan hati, aku nak lenyapkan dia dari muka bumi ni…,”
            “Jangan cakap bodoh macam tulah. Kita tunggu. Tengok apa kata Encik Karim. InsyaALLAH Encik Karim mungkin ada cara untuk selesaikan masalah ni. Lagipun hal ni dah melibatkan isteri dia, mesti dia tak akan pandang ringan. Takkan dia nak lihat rumahtangga dia hancur semata-mata kerana mulut jantan tak guna tu,”
            Arisa membisu. Geram yang bersarang ternyata gagal berkurangan.
            “Berdoa banyak-banyak. Moga fitnah ni akan berakhir,”
            Perlahan Arisa menghela nafas. Memandang wajah Tasnim agak lama.
            “Thanks, Nim. Tak ada kau, aku tak tahulah macam – mana nak hadapi semua ni. Semua ni terlalu berat untuk aku…,”
            Tasnim cuma mengukir senyum.
            “Aku mengharapkan yang terbaik untuk kau. Dah… jangan fikir sangat-sangat. Mungkin benda ni tak separah yang kau fikirkan. Kita tunggu dan lihat saja. And, now…. Minum air tu. Penat aku buat tau,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Air je?,”
            “Dah kau cakap nak air aje…,”
            Gelak Arisa sedikit rancak. Senang dengan gurauan itu, walau hatinya masih berat memikirkan kemelut yang bakal melanda.
            “Sekali lagi… thanks Nim…,”ujarnya perlahan sambil menyentuh jemari Tasnim. Tasnim mengangguk perlahan.

****

            “Ati risaulah, Kak Long…,”
            Arisa menoleh. Memandang adiknya yang santai berbaring di katilnya.
            “Ati risaukan apa?,”
            “Ayah…,”
            Arisa mengangkat punggung. Meninggalkan meja solek, dan kemudian menyertai Rianti di katilnya.
            “Kenapa dengan ayah?,”
            Rianti mengeluh perlahan.
            “Ayah tu macam tertekan sangat dengan sikap abang Radhi tu…,”
            Luahan adiknya membawa rasa kurang senang di hati.
            “Dia ada datang lagi ke sini, ke?,”lambat-lambat Arisa bertanya. Panjang lebar dia menghamburkan kemarahan pada lelaki itu melalui telefon sebaik dia mengetahui Radhi kembali
mengganggu bapanya. Bersungguh-sungguh dia merayu Radhi agar tidak melibatkan bapanya dalam masalah mereka. Mungkinkah tawa yang dia terima daripada Radhi, memberitahu yang lelaki itu tidak akan mempedulikan permintaannya itu?
            “Petang tadi, masa Kak Long tak ada, dia datang lagi. Ati suruh dia pergi, tapi dia buat tak tahu saja. Dia bercakap dengan ayah. Dia macam saja nak buat ayah marah. Ayah pula, bukannya nak mengalah. Terus layan abang Radhi tu. Macam tak tahu perangai abang Radhi tu macam mana. Sukalah hati abang Radhi, tengok ayah marah-marah. Ati risau kalau-kalau nanti ayah jatuh sakit lagi,”
            Arisa mengeluh panjang. Kasihan bapanya.
            “Apa yang dia cakap dengan ayah?,”
            “Pasal Kak Long dengan bos Kak Longlah. Dia cakap sekarang ni, isteri bos Kak Long dah tahu semuanya. Dia cakap Kak Long dah nekad nak kahwin juga dengan bos Kak Long. Bermadu pun Kak Long sanggup, dia beritahu ayah. Kuat dia cakap, Kak Long. Macam sengaja nak bagi jiran-jiran dengar. Itu yang buat ayah geram sangat tu,”
            Perlahan dia pejamkan mata. Sakit hati bukan kepalang mendengar cerita yang enak direka oleh Radhi. Kalaulah dia mampu bisukan mulut lelaki itu.
            “Betul ke Kak Long nak kahwin dengan bos Kak Long tu?,”
            Membuntang mata Arisa merenung wajah Rianti. Soalan daripada adiknya itu sukar untuk diterima. Mustahil dia akan bertindak segila itu.
            “Kak Long belum gila lagi, dik. Nak buat macam tu. Nak rosakkan rumahtangga orang macam tu,”
            “Tapi…,”
            Arisa mengeluh penjang. Putus- asa sudah dengan musibah yang mendatang.
            “Kak Long tak tahu kenapa abang Radhi tu buat ini semua. Mungkin dia harap kak Long akan bagi dia duit untuk buat dia diam. Tapi, Kak Long dah tak mampu. Kak Long bukannya banyak duit. Kak Long sanggup penuhi permintaan dia dulu pun, sebab nak dia cepat-cepat pergi dari hidup kita. Nak dia berhenti ganggu ayah. Tapi, nampaknya dia dah jadikan perkara ni jalan mudah untuk dia dapat duit. Tak sangka dia boleh datang dengan semua cerita mengarut ni…,”
            Rianti diam. Merenung wajah kakaknya yang sudah berubah kelat. Jelas di matanya kini bibir mata kakaknya itu mula digenangi air mata. Simpati mula menerpa. Dan, marahnya pada bekas abang iparnya itu semakin menggunung.
            “Maafkan Kak Long, dik. Sebab Kak Long, hidup kita jadi huru-hara macam ni…,”
            “Kak Long…jangan cakap macam tu. Kami semua sayangkan Kak Long. Kami mahu Kak Long happy. Abang Radhi tu yang jahat. Yang tak sedar diri. Bukan salah Kak Long…,”
            Arisa tersenyum hampa. Air mata yang menitis perlahan, diseka lemah. Melihat Rianti yang menawarkan satu pelukan, hatinya benar-benar sayu. Jatuh ke dalam pelukan Rianti dengan perasaan yang cukup hiba. Erat Rianti memeluknya. Memberi rasa damai di hatinya. Rasa damai yang meringankan sedikit beban perasaannya.
            “Kitaorang tetap ada bersama Kak Long, tau…,”sepatah-sepatah kata-kata itu menujah ke gegendang telinganya.
            “Terima kasih, Ati,”
            Pelukan dileraikan dan Rianti tersenyum nipis. Perlahan dia menyeka pipi kakaknya yang basah dengan air mata.
            “Jangan menangis lagi. Ati tak suka tengok Kak Long sedih. Ati percayakan Kak Long. Ati tahu, ayah pun percayakan Kak Long…,”
            Arisa membeku. Terharu dengan pujukan adiknya yang sudah boleh melihat panorama dunia dengan fikiran yang matang. Yang sudah boleh berkongsi rasa dengannya itu.
            “Kak Long tak perlukan kepercayaan orang lain. Kak Long cuma nak orang-orang yang Kak Long sayang ni, semuanya percayakan Kak Long…,”
            Rianti mengangguk.
            “Ati harap satu hari nanti abang Radhi akan dapat balasan yang setimpal…,”
            Arisa menunduk. Kata-kata Rianti penuh dengan amarah. Jiwanya pun turut dipenuhi dengan amarah yang sama. Namun, sast ini bukan pembalasan untuk Radhi yang dia harapkan.
            “Kak Long cuma berharap sangat dia tak lagi datang menggaggu ayah dan kamu semua. Macam-manalah Kak Long nak buat dia faham yang dia memang langsung tak diperlukan lagi dalam hidup kita,”
            “Orang macam dia memang tak akan faham. Dia cuma tahu menyusahkan orang saja. Orang macam tu tak patut wujud dalam dunia ni!,”suara Rianti yang sedikit membentak itu membuat dia sedikit tergamam. Dia faham Rianti cuba membelanya. Rianti cuba melindungi dia dan bapanya.
            “Ati tengok-tengokkan ayah ya. Jangan bagi ayah stress sangat…,”
            Rianti mengangguk laju. Arisa mengeluh panjang. Masalah ini tidak akan berakhir dengan mudah. Dia tahu itu. Malah teramat yakin tentang itu.

*****
           
[11:35:50 PM] hos.getah: