Monday, July 2, 2012

Lampin Cinta Buat Papa 1

“Puan...,”Raisya menoleh. Puan Rogayah tidak berada di sisinya. Matanya ditebarkan ke hadapan dan kiri kanannya. Dia tersenyum. Puan Rogayah asyik membelek barang mainan di satu sudut. Baju dipegang lalu menolak kereta sorong mendekati Puan Rogayah.
“Puan... cantik baju ni,”
Puan Rogayah berpaling. Memandang kemeja kecil bercorak kotak-kotak kecil di tangan Raisya.
“Hmmm....,”balasnya bersahaja sambil terus membelek barang mainan.
“Kita beli ya Puan? Cantik ni,”
“Kalau kamu kata cantik, kamulah yang beli,”
Raisya diam sambil membelek tanda harga. RM70! Mahalnya!
“Mahallah,”
“Kalau mahal, jangan beli,”
Perlahan Raisya itu mengeluh. Matanya memandang baju yang cukup-cukup dia berkenan itu, kemudian memandang pula pada Qalish yang leka bermain dengan mainan warna-warninya di dalam kereta sorong. Sudah terbayang betapa comelnya Qalish di dalam pakaian itu.
“Tapi, Puan... kalau Qalish pakai baju ni, mesti comel,”
Puan Rogayah mengeluh perlahan. Mata dialihkan ke wajah pengasuh cucunya itu.
“Kalau kamu suka, kamu belilah...,”
“Tapi, boleh claim kan? Nanti saya beli, kemudian saya claim,”
Puan Rogayah mengerutkan kening sambil menggeleng.
“No...no... saya tak nak beli. Kalau kamu nak beli, kamu aje yang belikan untuk Qalish,”
Raisya mengeluh lagi sambil menggaru kepala. Sungguh dia berada di dalam dilema. Kalau dia beli, melayang duitnya. Kalau tidak dibeli, menyesal rasanya.
“Puan ni, dengan cucu pun nak berkira,”
Puan Rogayah tersenyum kecil. Wajah Raisya yang terkulat-kulat berfikir itu, dipandang seketika sebelum dia mencapai beberapa jenis mainan untuk Qalish.
“Bolehlah ya Puan? Satu je pun ni. Saya ambil baju ni ya?,”
“Ambillah. Tapi, saya tak akan bayar,”
“Okay... saya bayar dulu. Nanti kat rumah, saya claim balik,”Raisya membuat keputusan nekad. Dia harus membeli kemeja kecil itu.
Puan Rogayah sembunyikan senyum. Walaupun sikap kedekut Raisya tersangat menyerlah, entah kenapa dia senang dengan anak gadis ini. Selama enam bulan menjaga Qalish, memang dia berpuas hati dengan kerja Raisya. Gadis ini memang betul-betul tekun menjaga cucunya itu.
“No. Saya tak akan bayar,”
“Alaa...,”
Rengekan itu tidak Puan Rogayah endahkan. Raisya mematung. Masih mahu membuat pilihan barangkali.
“Hmmm.... untuk Qalish, aunty Raisya akan berkorban. Aunty tetap akan beli baju ni, walaupun nenek Qalish tak nak. Habis duit aunty pun tak apa. Janji Qalish bergaya,”
Rungutan itu membuat Puan Rogayah tersenyum lucu. Segera wajahnya dialihkan ke arah lain. Kadang-kadang kerenah gadis ini cukup mencuit perasaannya.
“Jom, aunty nak pergi bayar baju ni,”Raisya bersuara sambil menolak kereta sorong. Melihat Raisya sudah berpaling mahu meninggalkannya, dia membuka beg tangan. Mencari-cari sesuatu.
“Nah...,”
Raisya berpaling. Terkebil-kebil memandang not seratus yang Puan Rogayah hulurkan.
“Buat apa?,”
“Bayar baju tu,”
Raisya tersengih. Berseri-seri wajah itu.
“Tapi, harganya cuma tujuh puluh ringgit,”
“Lebihnya kamu belilah apa pun...,”
Raisya tersengih lagi. Laju mencapai duit di tangan Puan Rogayah.
“Lebihnya saya ambil. Buat claim duit makan. Sebab dari tadi kita keluar, kan belum makan lagi ni. Okay?,”
Puan Rogayah menggeleng perlahan. Sudah dia agak. Dan, dia juga memang tidak berniat untuk mendapatkan semula bakinya. Dia menggeleng lagi melihat Raisya berlalu menuju ke kaunter bayaran.
“Mama... janganlah layan sangat kerenah budak tu. Nanti lagi bijak dia ambil kesempatan,”
Puan Rogayah berpaling. Matanya jatuh ke wajah anak lelakinya itu. Kaku dan tidak berperasaan seperti selalu. Barangkali sudah lama Farish memerhati gelagat dia dan Raisya.
Farish turut memandang susuk Raisya yang leka mengagah Qalish sementata menunggu gilirannya membuat bayaran. Cermin mata hitam yang dipakai, ditarik naik ke dahi.
“Dia nak belikan untuk Qalish, apa salahnya? Lagipun, memang cantik pun baju tu,”
Mendengar jawapan daripada ibunya, dia mengalihkan pandangan.
“Itu betul. Tapi, ragam budak tu mama jangan ikut sangat. Asyik minta claim aje. Apa, gaji kita bagi tak cukup ke?,”
Puan Rogayah tersenyum.
“Bukan banyak pun dia minta. Bukan minta untuk dia pun. Mama tahulah perangai dia macam-mana. Kamu tak payah risau,”
Farish diam. Tidak lagi bersuara. Malas mahu terus berdebat tentang Raisya dengan ibunya. Kalau ibunya selesa, biarkanlah. Dia tidak perlu ambil peduli. Sesekali dia memandang jam di pergelangan tangan. Tidak betah untuk terus lama berada di situ.
“Lama lagi ke mama?,”akhirnya dia bertanya. Dia mahu pulang. Mahu diam di bilik sambil melayan perasaannya sendiri. Dia betul-betul rimas berada di dalam suasana yang riuh ini. Dia mahu bersendirian.
“Kamu ni, baru aje keluar kan? Kalau keluar lama sikit pun, apa salahnya? Dah berbulan-bulan kerja kamu berkurung aje dalam bilik. Asyik dengan kerja dua puluh empat jam. Dah sampai masa kamu mulakan semula semuanya... Farish,”Puan Rogayah separuh merungut.
Farish tetap diam. Tidak berminat untuk menyampuk. Dia tercegat lagi. Memandang ke arah  Raisya yang sedang beratur di kaunter bayaran. Dia mengeluh perlahan sambil pandangan dialih ke wajah ibunya.
“Nanti nak balik, beritahu saya. Saya kat cafe depan tu,”akhirnya dia bersuara pendek sebelum berlalu. Meninggalkan ibunya di dalam pasaraya. Tidak ada apa yang hendak dia buat di situ. Lebih baik dia menunggu sambil menikmati segelas kopi di Starbucks. Tempat yang dulu penuh dengan cerita indah.
“Kasih order sama macam abang,”
“Kenapa?,”
“Kasih tak pernah datang sini. Nampak macam bergaya sangat. Kasih tak tahu menu apa ada kat sini,”
“Kalau macam tu, kita ambil order favourite abang,”
Kasih mengangguk. Dia tersenyum.
Tanpa sedar, memori itu turut menggarit senyumnya. Memang indah tiap kali pemilik nama Kasih itu datang menjengah ingatannya. Kasih yang polos. Kasih yang tulus. Rasanya tidak mungkin dia akan bertemu dengan insan seistimewa itu lagi.
Baru sahaja dia mahu membuat pesanan, dari jauh dia melihat ibunya bersama Raisya yang ceria menyorong kereta sorong Qalish. Barangkali sudah selesai membeli. Tidak jadi untuk terus berlama di situ, dia terus mengangkat punggung. Langkah dihayun menuju ke arah ibunya.
“Dah selesai?,”
Puan Rogayah mengangguk.
“Kalau dah... jom. Saya hantar balik,”
“Tak makan dulu ke? Lapar ni...,”Raisya menyampuk.
“Kamu kan dah ambil claim untuk makan. Tak perlulah nak makan lagi. Terus balik saja,”
“Yalah dah claim. Tapi, belum makan lagi. Lapar ni. Puan tak lapar ke? Puan ni ada gastrik. Mana boleh biarkan Puan tak makan. Dah nak tengahari ni, kan?,”laju Raisya mencari alasan. Padahal perutnya yang sudah berbunyi minta diisi.
“Mama?,”Farish bertanya sambil memandang tepat ke wajah Puan Rogayah. Mahukan pendapat ibunya.
“Yalah. Betul kata Raisya tu. Nanti dibuatnya dia pengsan sebab lapar kat sini, kamu nak turun naik mahkamah? Disamannya kita sebab abaikan hak dia sebagai pekerja,”Puan Rogayah menjawab sambil berseloroh.
Raisya tergelak besar. Tidak peduli pada wajah berkaca mata hitam yang dia yakin sedang mengerling ke arahnya. Dia sudah biasa dengan pandangan dingin itu.
“Puan ni... takkanlah sampai hati saya nak saman,”ujar Raisya bersama sisa-sisa gelaknya. Farish tetap diam.
“Mama nak makan kat sini ke?,”akhirnya Farish bertanya dengan nada yang kurang bersemangat.
“Tak nak,”
“Kalau macam tu, jomlah dulu. Nanti mama cakap nak makan kat mana,”
Puan Rogayah mengangguk. Tidak tunggu lama, Farish terus melangkah. Meninggalkan Puan Rogayah dan Raisya mengekorinya dari belakang.



*****


            Kemeja kecil yang baru dibeli, diletakkan di atas dada Qalish. Tersenyum lebar kerana berpuas hati dengan pilihannya itu. Dan, dia tidak perlu keluarkan duit sendiri. Ternyata Puan Rogayah cuma mahu mengenakannya. Mustahil wanita itu berkira benar untuk satu-satunya cucunya ini. Dia tersenyum lagi.
“Kamu dah makan?,”
Raisya mengangkat muka. Tersenyum pada Puan Rogayah. Hasrat mereka untuk singgah makan hancur berkecai apabila Farish mendapat panggilan telefon. Ada masalah di tapak projek dan Farish perlu ke sana dengan segera. Jadi, sudahnya mereka makan hidangan makanan yang disediakan oleh Kak Nom.
“Dah puan. Dah makan dengan Kak Nom tadi,”
“Hmm... cantik juga baju ni ya?,”
Raisya tersenyum sambil mengangguk.
“Kalau saya pilih, mestilah cantik puan,”
Puan Rogayah tersenyum sambil mencemik. Mengundang tawa Raisya. Spontan juga Qalish mengekek mendengar tawanya yang agak kuat itu.
“Suka dia...,”agah Raisya membuat tawa Qalish bertambah nyaring.
Puan Rogayah sekadar memandang.
“Kamu suka kerja kat sini?,”setelah lama memerhati, dia ajukan soalan itu pada Raisya. Sebelum ini, tidak pernah dia bertanya tentang perasaan gadis itu menyandang tugas sebagai seorang pengasuh.
“Kenapa Puan tanya macam tu? Saya suka, Puan,”
“Tak rasa nak cari kerja lain? Kerja yang bagus daripada jadi pengasuh aje macam ni?,”
Raisya menggeleng.
“Saya ni sekolah sampai SPM aje Puan. Kerja apa aje pun yang sesusai dengan kelayakan saya ni. Zaman sekarang ni, bukan senang nak dapat kerja. Saya dapat kerja ni pun, dah memang rezeki sangat-sangat. Gaji pun mahal juga,”Raisya menjawab bersama gelak kecil di hujung jawapan.
“Tapi, kamu kena korbankan semua masa kamu. Kamu kena tumpukan pada Qalish aje. Nak bersosial pun kamu tak ada masa. Kamu tak kisah?,”
Raisya tersengih panjang.
“Selagi ada duit masuk... saya memang tak pernah kisah,”selamba gadis itu menjawab sambil mengangkat Qalish yang sudah mula merengek.
“Puan nak ikut?,”
Puan Rogayah terpinga-pinga seketika melihat Raisya yang bangun mendukung Qalish sambil bertanyakan soalan yang begitu pelik padanya.
“Pergi mana?,”
“Saya nak bawa Qalish jalan-jalan kat taman ni,”
“Jangan lama-lama. Ajak Nom temankan sekali,”
Raisya mengangguk. Mendukung Qalish sambil berlalu menuju ke ruang dapur. Puan Rogayah turut mengangkat punggung dari sofa. Bergerak ke pintu utama sebaik mendengar bunyi kereta Farish memasuki porch. Baru pulang daripada tapak projek. Dari jauh dia memandang Farish yang bergerak malas keluar daripada kereta.
“Macam-mana? Ada masalah apa?,”terus dia bertanya sebaik Farish sampai di hadapannya. Lelaki itu cuma mengeluh.
“Ada kemalangan. Ada runtuhan kecil tanah kat situ. Sebab hujan mungkin. Jentolak terbalik,”
“Ada yang cedera tak? Teruk ke?,”
“Driver jentolak. Patah kaki dengan lengan. Dah hantar ke hospital dah,”Farish menjawab sambil lewa. Penat berurusan dengan masalah yang tidak dijangka itu. Tetapi, syukur kemalangan itu tidak sampai melibatkan nyawa.
“Nasib baik tak ada nyawa melayang,”
Farish diam. Tetapi, kata-kata ibunya itu memang benar. Masalah mungkin akan lebih besar andai melibatkan nyawa.
“Saya naik dululah. Nak mandi,”
Puan Rogayah mengangguk cuma.
“Encik Farish, jom...,”
Farish menoleh pada suara yang tiba-tiba singgah pada gegendang telinganya itu. Raisya tersenyum ceria sambil mendukung Qalish.
“Ke mana?,”
“Jalan-jalan dengan Qalish,”
Puan Rogayah tersenyum lucu. Memang tiada perasaan gadis ini. Langsung tidak peduli pada reaksi Farish yang sentiasa dingin, Raisya terus ramah menyapa.
“Kamu saja yang pergi,”Farish menjawab tanpa sebarang emosi.
“Okay. Puan, kita orang pergi dulu ya,”
Puan Rogayah mengangguk sambil tersenyum.
“Jangan balik lewat sangat,”
Raisya mengangguk. Terus melangkah beriring dengan pembantu rumahnya yang menyorong kereta sorong milik Qalish.
“Mama suka budak Raisya tu...,”
Farish diam. Suka atau tidak, itu bukan masalahnya.
“Saya naik dulu,”ujarnya sambil terus melangkah. Puan Rogayah hanya mampu mengeluh perlahan. Risau dan semakin risau memikirkan tentang keadaan Farish.


******
[11:35:50 PM] hos.getah: