Monday, December 5, 2011

Biar YM Terus Bicara 3


Sebaik sahaja kereta berhenti, segera aku membuka pintu kereta. Ibuku yang tercegat di pangkin di bawah pokok manggis bagai menggamit aku untuk segera sampai padanya. Separuh berlari aku mendapatkan ibuku. Sebaik tiba di hadapannya, satu cubitan singgah di lenganku. Membantutkan hasrat untuk memeluknya.
“Apa ni mak? Sampai-sampai dah kena cubit,”aku mengomel sambil mengucup tangan wanita kesayanganku itu.
“Dah jadi isteri orang, nak berlari-lari lagi ke?,”
Aku tergelak besar sambil terus memeluk ibuku. Melepaskan rindu yang bukan sedikit.
“Rindu mak…,”ujarku manja sambil pipi tua itu aku kucup bertalu-talu. Ibuku tersenyum lebar. Pasti senang dengan kepulanganku.
“Mak sihat?,”soalku sambil memandang wajah ibuku yang jelas ceria.
“Alhamdulillah. Sihat…,”
“Tak rindu Tiya?,”soalku lagi sambil terus memeluk pinggangnya.
“Mestilah rindu. Anak mak cuma seorang. Mestilah mak rindu,”
“Mak…,”
Aku berpaling. Encik Firdaus sudah hampir ke sisiku. Pelukan erat pada ibu, aku leraikan perlahan.
“Apa khabar mak?,”sapa suamiku itu sambil turut mengucup tangan ibuku.
“Sihat. Alhamdulillah,”sekali ibuku mengulang jawapan yang sama.
“Atok mana?,”soalku sambil melilau mencari Atok.
“Ada kat dapur agaknya. Tadi mak bagi makan,”
“Mummy dengan abah kirim salam,”ujar Encik Firdaus sambil mencapai semula beg pakaian yang diletakkan seketika sewaktu dia menghulurkan tangan bersalaman seketika tadi.
“Waalaikumussalam. Mereka sihat, Daud?,”
Encik Firdaus mengangguk dan aku tersengih. Kekal rupanya panggilan Daud itu di bibir ibuku.
“Dah… marilah naik ke atas. Ada pula bersembang kat bawah. Kamu mesti penat kan? Naik kat atas… rehat,”ibuku bersuara sambil mengatur langkah meninggalkan pangkin. Aku segera bergerak menuju ke pintu dapur. Mahu mencari Atok. Encik Firdaus aku biarkan berjalan bersama ibuku menuju ke pintu depan.
“Atok….kakak balik ni…,”aku bersuara riang sambil menjenguk ke ruang dapur. Mencari-cari bayang Atok. Tiada. Pinggan makanannya juga sudah kosong. Tiada di dapur, aku bergerak menuju ke ruang tamu. Tersenyum melihat Atok melingkar tidur di atas sofa. Segera aku menghampiri sambil mengelus lembut bulu Atok yang sudah tidak begitu lebat.
“Tidur rupanya. Akak alihkan kat tempat lain ya. Nanti pakcik nak duduk sini,”aku bersuara perlahan sambil perlahan juga mengangkat tubuh Atok yang sedang lena. Tidak mahu Encik Firdaus tidak selesa dengan Atok nanti. Sebaik berada di dalam pelukanku, lena Atok jelas terganggu. Mengiau lembut apabila diangkat.
“Alolo….sorry Atok. Kakak kacau tidur Atok. Atok tidur sini kejap ya,”ujarku sambil meletakkan Atok ke atas bantal lembut yang memang menjadi tempat tidur Atok. Seketika Atok menggeliat dan kemudian menyambung semula tidurnya membuat aku tersenyum lucu.
Suara ibuku dan Encik Firdaus membuat aku berpaling. Encik Firdaus terus melabuhkan punggung ke sofa sambil ibuku laju bergerak menuju ke dapur. Aku mengorak langkah mendapatkan Encik Firdaus.
“Atok Tiya sihat ke?,”usik Encik Firdaus mengundang senyumku.
“Atok tidur,”balas aku selamba sambil mencapai beg pakaian di kaki Encik Firdaus. Segera beredar ke bilik untuk menyimpan beg tersebut. Kemudian aku berlalu menuju ke dapur. Sebelum ibuku bising, lebih baik aku tunjukkan muka di dapur. Tonjolkan imej isteri yang baik.
“Hmm… pandai pun cari dapur. Buatkan air untuk suami Tiya. Ni, kebetulan mak ada buat goreng pisang tadi. Bawa sekali nanti,”
Aku akur tanpa banyak bicara. Setakat buat air, mudah sangat.
“Tiya macam-mana? Duduk dengan mertua?,”
“Setakat ni, tak ada apa-apa masalah, mak. Mummy dengan abah okay. Mereka terima Tiya seadanya,”
“Lega mak dengar. Pandai-pandai jaga perangai tu. Jangan buat benda bukan-bukan. Kena pandai bawa diri kalau tinggal sekali dengan mertua ni. Hormat mereka macam Tiya hormat mak,”
Aku tersenyum. Menyusun piring dan cawan di dalam dulang. Piring berisi goreng pisang turut disusun bersama.
“Anak mak ni kan, memang anak yang baik,”usikku sambil mengangkat kedua-dua kening.
“Dah belajar masak ke belum?,”
Soalan ibu membuat aku tersengih.
“Tengah belajarlah ni, mak,”
Ibuku menggeleng perlahan.
“Kena belajar. Jadi isteri kena pandai masak untuk suami,”
Aku diam. Apabila ibu mahu memberi nasihat, sebaiknya aku diam mendengar. Memang aku mahu menjadi isteri yang terbaik.
“Dengar ke tidak ni?,”
“Dengar mak. InsyaALLAH Tiya akan belajar nanti. Mak ajarkan ya,”aku bersuara lembut.
“Hmm… dah cepat hantarkan air pada suami kamu. Kasihan dia menunggu tu,”
Aku mengangguk perlahan. Menatang dulang sambil melangkah menuju ke ruang tamu. Encik Firdaus tersandar ke sofa dengan mata terpejam. Perlahan aku meletakkan dulang ke atas meja. Kemudian perlahan juga melabuhkan punggung ke sofa.
“Bang… tidur ke?,”
Mata Encik Firdaus terbuka perlahan.
“Abang nak rehat, pergilah masuk ke bilik,”aku bersuara perlahan. Barangkali Encik Firdaus penat memandu.
Encik Firdaus menggeleng perlahan.
“Mak mana?,”
“Kat dapur. Kejap lagi mesti panggil Tiya tu. Paksa Tiya masak untuk menantu kesayangan dia,”
Encik Firdaus tergelak kecil. Aku pula, tersenyum panjang. Sesekali dapat balik menjenguk ibu, bahagia rasanya.


*****

            Aku tergelak besar melihat Encik Firdaus kerutkan wajah. Mata sudah terpejam rapat.
            “Masam…,”
            “Tak paksa pun makan,”ucapku selamba sambil menarik semula mangkuk di tangan Ecik Firdaus. Buah cermai yang sudah aku tumbuk kasar, terus aku suap ke mulut.
            “Tak eloklah makan masam-masam ni, sayang,”
            “Mana ada masam sangat. Abang tu, lidah manja sangat. Masam sikit pun tak tahan,”
            Encik Firdaus menggeleng perlahan. Laju tangannya mencapai kopi. Meneguk perlahan kopi kurang manis yang dimintanya sebentar tadi.
            “Nanti kalau pregnant, jangan makan masam ni, tau…,”
            “Alah abang ni. Bukannya selalu dapat makan cermai ni pun. Balik kampung sesekali aje, baru dapat jumpa,”
            Encik Firdaus diam. Cuma matanya memandang sekitar halaman rumahku.
            “Terima kasih bang. Sebab abang selalu temankan Tiya balik jenguk mak,”aku bersuara tiba-tiba. Membuka topik yang lebih serius. Bertuah aku mendapat suami yang begitu memahami.
            “Mak kan seorang kat sini. Mestilah selalu kena jenguk. Kan?,”
            “Kalau mak dapat tinggal sekali dengan kita, kan bagus…,”
            Encik Firdaus memandang wajahku. Agak lama.
            “Tiya nak mak tinggal dengan kita ke?,”akhirnya Encik Firdaus membuka mulut. Aku tersenyum.
            “Mana boleh. Takkan nak ajak mak tinggal dengan family abang…,”
            “Kita boleh pindah. Then, kita ajak mak tinggal dengan kita,”saran Encik Firdaus lembut. Aku pandang wajah itu dengan rasa tidak percaya.
            “Nanti apa kata mummy dengan abah?,”
            Encik Firdaus mengukir senyum. Jemariku dibawa ke genggamannya.
            “Abang dah ada Tiya. Dah ada family sendiri. Mummy dengan abah pasti faham. Tiya cuba cakap dengan mak. Tanya mak. Okay?,”
            Aku terdiam. Benar-benar terharu. Kenapa Encik Firdaus begitu memahami? Panas bibir mataku mendengar saranan yang penuh dengan rasa tanggungjawab itu.
            “Abang tak kisah ke? Tak kisah kalau mak tinggal dengan kita? Tak kisah kalau abang terpaksa tinggal berasingan dengan mummy?,”
            “Abang cuma kisah kalau Tiya yang tak ada dengan abang…,”Encik Firdaus mula berseloroh.
            “Abang…Tiya serius ni,”
            “Okay…okay… abang yakin mummy akan faham dan… mak Tiya, mak abang juga. Abang pun lebih suka kalau mak selalu ada dengan kita,”
            Kini air mata menitis tanpa sedar. Syukur pada Tuhan dengan kurniaan sesempurna ini untukku. Jemari Encik Firdaus menyapu air mata di pipi.
            “Abang tak marah… kenapa nak menangis?,”usiknya membuat aku tertawa kecil. Hilang rasa terharuku. Encik Firdaus memaut bahuku. Menarikku rapat ke pelukannya sambil dia terus santai mengambil angin petang di atas pangkin. Aku pula, meriba mangkuk cermai sambil perlahan-lahan menyuap ke mulut bersama Atok yang terlentok lena di hujung kakiku.
            “Tiya!,”
            Aku tersentak. Rosak sudah mood romantik aku. Kepala aku jengah ke arah pintu dapur. Ibuku sudah bercekak pinggang.
            “Kat situ rupanya dia. Mari tolong mak masak…,”
            Aku tersengih.
            “Garang betul mak mertua abang,”aku merungut sambil meletakkan mangkuk cermai ke atas pangkin. Encik Firdaus tergelak. Aku bergerak turun dari pangkin.
            “Tiya tolong mak kejap,”
            Encik Firdaus mengangguk perlahan.
            “Cubalah tanya mak sekali,”pesannya sebelum aku melangkah. Aku balas dengan anggukan juga. Kemudian berlari anak menuju ke dapur. Mahu menemani ibuku memasak hidangan istimewa buat menantu kesayangannya.


****

Mungkinkah? 16 & 17


            Gelagat adik-adiknya yang sedang menikmati hidangan makan malam dipandang dengan rasa lapang dada. Masih berkira-kira sama ada dia perlu menjelaskan kedudukannya pada adik-adiknya atau dia perlu mengambil keputusan sendiri tanpa pengetahuan adik beradiknya itu. Bukan mudah. Tetapi, itulah sahaja jalan penyelesaian yang harus diambil. Rasanya dia perlu bertegas. Walau apa yang akan terjadi selepas ini, dia perlu berani. Dia terpaksa mengambil risiko ini. Tidak mungkin dia akan tunduk di situ menunggu kepalanya diinjak oleh manusia-manusia hipokrit.
            “Kak Long. Tak makan?,”Shikin bersuara sambil menggigit ayam goreng. Lauk kesukaan adik bongsunya itu. Dia tersenyum.
            “Kak Long belum lapar. Nanti dah lapar, Kak Long makanlah. Syikin makan dulu dengan abang dan kakak,”Arisa bersuara sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Menghulurkan mangkuk berisi sayur lemak labu kesukaan Dafi.
            “Terima kasih, Kak Long,”ucap Dafi tersengih.
            “Takkan tak lapar. Kak Long fikirkan apa sebenarnya ni? Macam ada masalah aje Ati tengok,”Rianti pula mencelah. Suapan nasinya semakin perlahan.
            Arisa tersenyum hambar. Berfikir sejenak sebelum mengangkat muka memandang wajah-wajah di hadapannya.
            “Kak Long nak cakap sikit…,”akhirnya dia membuka mulut. Barangkali dia perlu bercerita pada Rianti dan Dafi. Rasanya dua orang adiknya itu sudah boleh diajak berbincang. Dia perlu berterus-terang.
            Rianti mengangkat muka. Memandang wajah kakaknya yang tidak seceria mana. Senyum kakaknya tidak sampai ke hati. Dia sedar tentang hakikat itu.
            “Apa dia, Kak Long?,”
            Arisa diam sejenak. Mengambil nafas sedalam mungkin.
            “Apa pendapat kamu, kalau Kak Long berhenti kerja?,”soalnya lambat-lambat. Matanya fokus pada Dafi dan Rianti bergilir-gilir. Syikin pula terus menikmati makan malamnya.
            “Kak Long nak berhenti kerja? Kenapa? Nanti… kita semua macam-mana?,”Dafi membuka mulut. Menyatakan persoalan yang memang mengganggu perasaannya.
            Arisa mengeluh perlahan. Sedaya upaya dia mahu terus kekal bekerja bersama dengan Encik Karim. Namun, dia harus terima hakikat ada risiko besar yang menantinya di sana. Walau bukan dia punca segalanya, dia tidak mahu namanya terus dicalit arang hitam. Dia masih mempunyai maruah untuk dia pertahankan. Demi dirinya. Demi adik-adiknya dan demi keluarganya. Tidak mungkin dia akan ingkar pada satu-satunya permintaan bapanya. Jangan sesekali menghancurkan rumahtangga orang lain demi kepentingan sendiri. Pesanan itu bagai satu larangan keras. Larangan yang akan dia pegang tidak kira ke mana langkah kakinya dihayun.
            “Kak Long akan cari kerja lain...,”
            “Tapi, kenapa sampai nak kena berhenti kerja, Kak Long? Tempat kerja Kak Long sekarang kenapa? Ada masalah ke?,”
            Arisa mengeluh berat. Mengusap wajah yang jelas teramat layu. Entah di mana lagi dia mahu mencari kekuatan untuk terus bangkit menyelesaikan pelbagai masalah.
            “Masalah Abang Radhilah…,”dia bersuara perlahan. Rianti sudah menolak pinggan nasi. Nama itu cukup untuk melenyapkan selera makannya.
            “Tak habis-habis dengan dia. Tak boleh ke Kak Long berkeras sikit dengan dia tu?,”
            Arisa mengeluh perlahan. Faham dengan emosi Rianti.
            “Kalau setakat masalah dengan Abang Radhi tu, Kak Long dah tak kisah. Kak Long dah tak mahu ambil peduli langsung. Tapi, sekarang ni, perkara tu dah berkait dengan majikan Kak Long. Cerita-cerita Abang Radhi tu dah buat isteri Encik Karim benci betul dengan Kak Long. Bila Kak Long minta Encik Karim sama-sama tolong selesaikan masalah ni…tolong bersihkan nama Kak Long, Encik Karim pula main tarik tali…,”
            “Maksud Kak Long?,”Dafi menyampuk tiba-tiba.
            “Encik Karim ajak Kak Long kahwin dengan dia,”
            “Pulak…,”Rianti merengus perlahan.
            “Dah tak betul ke bos Kak Long tu?,”sambung Rianti dengan nada sedikit geram.
            “Kak Long tak ada pilihan, dik. Kalau Kak Long terus kat situ, wife dia ugut nak hebohkan semua cerita yang tak betul tu, pada semua sfaff lain. Kak Long seorang kat situ. Walaupun Kak Long tak salah…tapi, siapa yang akan percaya Kak Long? Kak Long kena juga berhenti kerja kalau bos Kak Long terus berkeras tak nak selesaikan hal fitnah ni. Ini melibatkan maruah Kak Long…,”
            “Kami faham, Kak Long… Kami sokong setiap keputusan yang Kak Long ambil. Kak Long jangan risau ya…,”ujar Rianti perlahan.
            Arisa tunduk seketika. Agak lega setelah semuanya diceritakan kepada Dafi dan Rianti.
            “Kak Long akan terus cari kerja lain. InsyaAllah rezeki ada di mana-mana. Cuma… Kak Long nak beritahu… arwah ayah ada masukkan semua duit dia ke akaun Kak Long. Itu duit kita semua. Jadi, sementara Kak Long tak dapat kerja, Kak Long nak minta kebenaran sama-sama, Kak Long mungkin terpaksa guna duit tu. Itu pun kalau terpaksa. Sebab duit tu, memang Kak Long simpan untuk pelajaran kamu bertiga,”persoalan kedua, diluahkan perlahan-lahan.
          Duit peninggalan arwah bapanya itu, walaupun tidaklah banyak mana, namun, duit itu adalah milik bersama. Tidak mungkin dia akan gunakan duit itu tanpa meminta izin. Dan, sebolehnya dia tidak mahu usik duit itu. Biarlah duit itu digunakan saat dia terdesak mencari perbelanjaan untuk pembelajaran adik-adiknya. Masa depan Dafi, Rianti dan Shikin jauh lebih penting padanya.
            “Kami tak kisah, Kak Long. Semua tu untuk kami juga kan? Yang penting, kalau Kak Long kena lari dari tempat kerja Kak Long tu, larilah cepat-cepat. Buat apa nak tunggu tempat yang menyusahkan Kak Long tu? Ati dengan adik-adik doakan Kak Long cepat dapat kerja baru,”
            “Kak Long nak berhenti kerja ke?,”Shikin menyampuk tiba-tiba.
            Arisa tersenyum lucu. Begitu panjang perbincangan mereka, Shikin baru sedar akan tajuk topic perbualannya. Barangkali terlalu asyik dengan nasi bersama ayam gorengnya. Kepala anak kecil berusia lapan tahun itu, diusap perlahan.
            “Kak Long nak kerja kat tempat lain pula,”ujarnya ringkas. Kemudian pandangannya dihalakan pula kea rah Dafi dan Rianti.
            “Terima kasih, dik. Doakan Allah permudahkan jalan kita, ya,”sambungnya bersama senyum lebar.
            “Kami doakan lepas ni, Kak Long boleh hidup happy macam sebelum Kak Long kahwin dulu…,”ujar Dafi tenang.
            Arisa terkedu. Tulusnya doa itu. Dan, itulah juga harapannya. Biarlah selepas ini, dia mampu hidup tenang bersama Rianti, Dafi dan Shikin.
            “Terima kasih, Dafi. Ati, nanti kemaskan meja ya. Kak Long nak rehat kejap,”dia bersuara sambil mengangkat punggung.          
            Selera makannya entah ke mana. Perlahan dia bergerak menuju ke biliknya. Menutup perlahan pintu bilik. Perlahan dia mengeluh sambil bergerak menuju ke katil. Melabuhkan punggung sambil merenung jauh ke dinding. Dia perlu mencuba untuk kali terakhir. Mencuba untuk mendapatkan keikhlasan Encik Karim agar sama-sama berusaha membersihkan namanya yang sudah tercalar di mata Puan Salma. Kalau lelaki itu masih berkeras juga, dia terpaksa pergi. Walau apa kata Encik Karim sekali pun, dia tidak akan tunggu di situ. Dia tidak akan tunggu Puan Salma melepaskan amarahnya. Sudah hampir dua bulan Encik Karim terus enggan memberi kerjasama. Bila-bila masa sahaja, Puan Salma boleh kotakan janjinya dulu. Lebih-lebih lagi, cukup kerap wanita itu muncul di pejabat sejak akhir-akhir ini. Dia bukan pengecut, namun, mustahil dia mampu berjuang sendirian.
            Nada bunyi daripada telefon bimbit menarik perhatiannya. Dengan malas telefon bimbit dicapai. Ada mesej yang masuk ke peti pesanan. Melihat nombor yang tertera sudah cukup untuk membuat dia mencampak semula telefon bimbit ke katil. Mesej daripada Radhi dan tidak perlu rasanya dia melihat apa isi pesanannya. Tidak penting. Paling tidak, kata-kata maaf yang cukup murah harganya. Untuk apa lagi ugutan apabila dia langsung tidak acuhkan pada sebarang ugutan daripada lelaki. Barangkali kata-kata memujuk itu cuma taktik baru Radhi untuk terus mendekatinya.  Tidak lama kemudian, telefon bimbit mula menjerit nyaring. Terus dicapai dan dimatikan. Lega. Nampaknya dia perlu menukar nombor telefon.
            Dengan malas dia berbaring. Terus memandang siling juga kipas yang berputar ligat. Seligat fikirannya mencari ayat pembuka kata untuk dia berterus-terang dengan Encik Karim nanti. Juga terfikir-fikir akan arah tujuannya hidupnya yang semakin berliku.


*****

























BAB TUJUH BELAS






            Kosong dan hambar. Itulah yang dirasakan saat ini. Tempat yang selama ini membuat dia terbuai dengan keseronokan, kini bagai tiada lagi tarikan. Hanya renungan tanpa perasaan sahaja yang mampu dia berikan pada si jelita yang asyik menari bersama jelingan manja untuknya. Tiada lagi rasa teruja dengan layanan sebegitu. Tempat ini bukan lagi tempat yang boleh menghilangkan penatnya. Yang boleh memberi dia keseronokan selepas penat bekerja. Bersendirian di rumah rasanya sepuluh kali lebih tenang.
            “Jomlah. Aku nak baliklah…,”akhirnya dia bersuara. Baru sejam duduk di sini, dia sudah disapa bosan. Sudah tidak betah lagi dengan bunyi bingit yang pernah menjadi saksi keindahan dunianya satu waktu dulu.
            “Balik? Kau biar betul…,”Najman membalas dengan suara sedikit tinggi. Mahu mengatasi bunyi muzik yang agak hingar.
            Zariff mengangkat punggung. Dia nekad. Sama ada temannya itu mahu pulang atau tidak, dia tetap mahu beredar dari situ. Dia tidak mahu memaksa. Faham, Najman ke sini untuk berseronok dan dia tidak mahu merosakkan kesoronokan temannya itu.
            “Lisa dengan Yani tu? Kejap aku beritahu dorang…,”
            “Tak payahlah. Kalau kau nak stay, it’s up to you lah. Aku tak ada mood lah. Aku nak balik,”selesai berkata-kata, dia terus beredar.
            Najman terpinga-pinga seketika. Kebetulan pandangannya bertemu dengan renungan sang gadis yang sudi menjadi temannya malam ini, segera isyarat diberi. Isyarat yang menyatakan dia perlu segera beredar. Ada riak kecewa pada dua wajah jelita itu. Namun, itu tidak diacuhkan. Langkahnya laju mahu mendapatkan Zariff. Cepat betul lelaki itu bergerak meninggalkannya. Separuh berlari, dia melangkah keluar dari kelab. Tertinjau seketika mencari bayang Zariff. Dari jauh dia melihat Zariff sudah berada di tepi kereta. Sambil menggeleng perlahan, segera dia mendapatkan temannya yang semakin hari semakin aneh sikapnya itu.
            “Bro! Kenapa ni?,”agak lantang tegurannya bersama satu tepukan di bahu. Zariff berpaling.
            “Aku ingat kau nak stay. Mana tahu, sayang nak tinggalkan ‘barbie-barbie’ tu,”
            Najman tergelak besar. Terbayang wajah Lisa dan Yani yang baru dia kenal kurang daripada satu jam itu. Sekadar teman untuk berseronok. Sekadar teman untuk menari.
            “Alah… minggu ni hilang, minggu depan jumpa yang baru,”selamba temannya itu menjawab membuat dia tersenyum sama.
            “Kau nak ke mana ni?,”
            “Baliklah…,”acuh tidak acuh Zariff menjawab.
            “Baru pukul berapa? Kau ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni, lain macam benar aku tengok…,”
            Zariff menjongket bahu. Matanya liar memandang sekeliling tanpa tujuan tertentu. Soalan Najman tidak mampu untuk dia jawab. Yang pasti hatinya terasa kosong dan nafsu untuk berseronok juga tiada. Jadi, tempat yang paling sesuai untuknya saat ini, adalah di rumah. melayan mimpi barangkali lebih mengasyikkan.
            “Kau ada masalah ke?,”
            Sekali lagi soalan itu dibiarkan pergi bersama angin malam.
            “Mama kau suruh kahwin ke?,”
            Soalan seterusnya daripada Najman, mula mengundang tawannya.
            “Kena kahwin paksa?,”
            Meledak tawa besar di bibirnya. Mengarut!
            “Aku rasa, kau diam lagi baguslah…,”balasnya sambil menggeleng perlahan. Sampai ke situ tebakan Najman.
            “Dah tu kenapa? Takkan tiba-tiba kau berubah? Mesti ada sebab…,”
            Zariff menjongket bahu sambil mencebik.
            “Entah. Mungkin lately aku tak ada mood kot,”
            Najman diam. Diam sambil terus meneliti wajah Zariff yang selamba. Sungguh dia gagal meneka apakah punca perubahan teman baiknya ini. Tiba-tiba hilang minat pada gadis-gadis cantik. Tiba-tiba kelab malam menjadi satu tempat yang membosankan. Sungguh aneh perubahan itu.
            “Aku balik dululah…,”Zariff bersuara.
            “Rilekslah. Minum dulu. Lepak kedai mamak tu kejap. Aku tak puas hati lagi dengan kau ni,”laju Najman menghalang.
            “Apa lagi? Aku okaylah. Apa yang kau tak puas hati sangat?,”Zariff bersuara dengan nada yang sedikit kurang senang. Namun, langkah diatur juga mengekori Najman yang sudah mendahului. Niat untuk terus pulang ke rumah, terpaksa dibatalkan. Dengan malas dia menyertai Najman yang sudah tersandar di kerusi.
            “Ceritalah. What’s up bro?,”Najman bersuara sebaik selesai mengambil pesanan. Zariff mengeluh panjang. Payah bercakap dengan manusia seperti Najman. Sudahnya dia menjongket bahu. Apa lagi yang perlu dia ceritakan? Memang tidak ada apa-apa yang aneh pada dirinya.
            “Aku biasa saja. Tak ada yang tak kena. Kau kot… dah buang tabiat,”
            “No..no….,”laju Najman menggoyangkan jari telunjuknya di hadapan Zariff. Membetulkan duduknya sambil serius menatap wajah temannya itu.
            “Kau dah tak minat keluar malam… lain macam. Then, kau tak minat pergi kelab… aku rasa semacam. Now! Now… kau dah tak ada minat kat awek-awek cun tu? Serius… aku pelik. Aku pelik beb…,”
            “Alaaa…. Normallah tu. Manusia kadang-kadang mood okay, kadang-kadang tak berapa okay. Kau ni yang tak berapa okay. Aku rasa mesti kau ni dah kena tempias reporter kepoh yang duk hentam kau dengan soalan-soalan bodoh tu. Betul kan?,”
            Najman tergelak besar. Zariff tersenyum sumbing. Seronok benar Najman setiap kali perkataan wartawan diheret di dalam perbualan mereka. Lebih-lebih lagi sejak temannya itu sudah berjinak-jinak dengan dunia lakonan dan mula diusik dengan gossip-gosip panas.
            “Wartawan tanya, niat dia orang kita belum tahu. Tapi, aku tanya, sah-sah niat aku mulia,”
            Zariff tergelak kecil. Menggeleng perlahan sambil diam seketika. Memberi ruang pelayan restoran meletakkan dua gelas minuman yang dipesan.
            “Bercakap pasal aku…. Aku kenal satu awek. Pelakon baru. Cantik. Seksi kau. Kalau kau nak, aku boleh adjust. Kawan dengan artislah. Glamour sikit bro…,”
            “Kalau cantik…kalau seksi… kau ambillah. Aku tak nak,”Zariff bersuara sambil mengeluh panjang.
            “Aku seriau. Dia dah nampak lain macam dengan aku. Macam dah tangkap lentok dengan aku. Aku tak nak lebih-lebih beb. Setakat enjoy bolehlah…,”
            “Dah tu? Kau nak campak bala kat aku?,”
            Najman tergelak.
            “Okaylah. Kalau kau tak nak bala, sudah. Now, tell me. Kenapa dengan kau ni? Kenapa kau tiba-tiba boleh jadi macam ni? Are you in love?,”
            “Aku? In love? Cuba kau cubit lengan kau tu. Takut-takut kau tengah mengigau ni…,”
            “Kalau bukan in love, takkan tiba-tiba boleh hilang minat sampai macam ni sekali? Drastik pula tu,”
            Zariff menjongket bahu. Soalan Najman perlahan-lahan menjemput seraut wajah pemilik nama Arisa.
            “Tapi kan… bila sebut in love ni, aku teringat satu perempuan ni…,”
            “See! Aku dah agak dah. Mesti perempuan punya hal. Tengah tangkap lentoklah ni? Diam-diam ya bro? Kenapa? Takut aku potong line ke?,”laju Najman menyampuk.
            “Kau nak dengar ke tak ni?,”
            “Okay… okay… kau cerita,”
            “Aku terjumpa satu perempuan ni. Dua kali terserempak dengan dia. And… aku berharap aku dapat berjumpa dia lagi,”
            “Dua kali jumpa? Takkan tak sempat minta nombor telefon? Aku tak percaya kau akan lepaskan peluang macam tu saja,”
            “I gave her my card…dalam pertemuan kedua kami,”
            “So?,”
            “Dia campak kad aku dalam longkang…,”
            Meledak tawa Najman. Mengundang beberapa pasang mata menoleh ke arah mereka, namun langsung tidak diacuhkan oleh Najman.
            “Penghinaan tu Riff. First time aku dengar perempuan campak kad kau longkang. Mesti budak baik tu,”
            Zariff menjongket bahu.
            “I don’t think so…,”ujarnya lambat-lambat.
            “Kenapa kau cakap macam tu?,”
            “Dia ada scandal dengan suami orang. Aku syak lelaki tu mungkin bos dia,”
            Najman diam seketika. Mencari relevan topik itu dibawa oleh Zariff.
            “So?,”
            “I don’t know. Cuma, aku rasa, aku nak sangat kenal perempuan tu. Ada sesuatu tentang perempuan tu yang sangat-sangat menarik,”
            “Jatuh cinta?,”
            “Of course no…,”
            Najman mencemik.
            “Nak ajak scandal juga?,”
            Zariff tersenyum. Tebakan kedua Najman rasanya lebih dekat di hati. Dia mahu mengenali gadis yang bernama Arisa itu. Ada satu tarikan kuat yang membuat mindanya tidak berhenti berfikir tentang Arisa.
            “Confirm tak jatuh cinta ni?,”Najman bersuara lagi. Kali ini dengan nada mengusik. Zariff tersenyum sinis.
            “Kau kenal aku…,”selamba dia menjawab sambil mencapai jus tembikai di atas meja.
            “And…. aku ada rantai dia. Aku dapat masa pertemuan pertama kami,”sempat dia menambah sebelum perlahan merapatkan straw ke bibirnya.
                Najman kerutkan kening.
            “Terjatuh semasa aku terlanggar dia. Tak sempat nak cakap apa-apa dia dah pergi,”sambungnya sambil meletakkan semula gelas ke meja. Tahu persoalan yang bermain di kepala Najman di sebalik kerutan kening temannya itu. Najman mengangguk perlahan.
            “Namanya Arisa…,”tokoknya bersama senyum panjang. Najman termenung. Riak Zariff agak berlainan. Hebat benarkah tarikan pemilik nama Arisa ini? Menyebut nama sahaja sudah cukup untuk membuat wajah temannya itu berseri-seri. Dia terus diam sambil mencapai gelas minumannya pula. Rasanya kini dia tahu punca perubahan temannya itu.


*****
[11:35:50 PM] hos.getah: