Aku
tetap juga cuba sedapkan hati sendiri. Sejujurnya, hatiku kurang enak dengan
pandangan daripada teman ibu mertuaku ini. Bagai ada yang tidak kena dengan
renungannya. Sudah berderet prasangka yang muncul di hati. Namun, mengingatkan
nasihat Encik Firdaus agar sentiasa positif, prasangka itu aku campak
jauh-jauh. Rasa resah cuba aku hilangkan. Sesekali aku memandang ke arah pintu
butik. Berharap agar ibu mertuaku muncul dengan segera. Sungguh aku tidak
pandai melayan teman baiknya ini. Lebih-lebih lagi dia tidak langsung
menunjukkan keramahannya.
“Duduklah Puan Sri. Mummy keluar
kejap. Puan Sri nak tunggu mummy ke?,”aku bersuara sesopan mungkin.
Puan Sri Ainul membuang pandang.
Amboi! Main jeling-jeling pula. Hati merungut lagi. Namun, tetap juga aku
melabuhkan punggung ke kerusi kayu jati di tengah-tengah ruang butik.
“Puan Sri nak minum apa-apa?,”
Sekali lagi mata berhias cantik itu,
menjeling padaku. Kemudian memandangku dari atas ke bawah. Terkebil-kebil aku
melihat tingkahnya itu. Pelik perempuan ini.
“Pelik juga. Apalah yang dipandang
Firdaus tu ya?,”tiba-tiba meluncur kata-kata itu dari bibir yang berkilat
dengan lip gloss berwarna pink muda itu.
Aku termangu seketika. Sungguh tidak
faham dengan soalan tergantung yang tiba-tiba muncul itu. Aku mengangkat
kening. Mohon sedikit penjelasan agar aku tidak terus terpinga-pinga tidak
faham.
“Kamu kahwin dengan Firdaus tu, atas
sebab apa ya? Nak jadi macam sekarang? Duduk goyang kaki di rumah?
Kemudian jadi menantu kesayangan macam
ni?,”
Senyumku mati perlahan-lahan. Soalan
itu kedengaran sedikit tidak sopan. Siapa Puan Ainul untuk mempertikaikan
tujuan aku berkahwin dengan Encik Firdaus? Apa pula hak dia untuk mencampuri
hal yang begitu peribadi?
“Kenapa Puan Sri tanya macam
tu?,”soalku lembut. Cuba untuk tidak terlalu mengikut perasaan.
Wanita di hadapanku ini sekadar
menjongket bahu.
“Sebab saya rasa orang macam kamu
ni, tak layak untuk Firdaus. You’re nothing kalau nak dibandingkan dengan anak
saya. Tak fahamlah kenapa Firdaus boleh terpikat dengan orang macam ni,”
Aku menahan nafas. Ini sudah sampai
tahap menghina. Mak! Ada orang hina Tiya! Hatiku sudah menjerit geram.
“Saya hormat Puan Sri sebagai kawan
kepada keluarga mertua saya. Juga sebagai orang yang lebih tua dari saya. Tapi,
rasanya apa yang Puan Sri cakap tu, agak keterlaluan. Puan Sri tak ada hak nak
hina saya macam tu,”
Tiba-tiba agak kuat Puan Sri Ainul
menepuk meja. Membuat aku tersentak. Kuatnya perempuan ni.
“Saya ada hak! Bila hak anak
perempuan saya dirampas macam tu saja, saya ada hak untuk bertindak!,”
Terkebil-kebil aku memandang wajah
Puan Ainul yang sudah memerah. Marahkan aku barangkali. Dan lagi, hak Mia
dirampas? Apa kena dengan orang tua ni?
“Tapi, Mia dengan Firdaus tak ada
apa-apa hubungan,”aku bersuara membela diri. Sungguh tidak dapat aku terima apa
yang sedang wanita ini sampaikan. Aku tidak pernah merampas hak sesiapa. Jelas
Mia mengatakan yang dia dengan Encik Firdaus cuma teman akrab. Tidak lebih
daripada itu. Jadi, sungguh tidak munasabah tuduhan yang aku terima saat ini!
Renunganku kini aku rasakan sudah sama tajam dengan renungannya. Kalau mahu
ajak bertumbuk pun, saat ini aku sanggup.
“Hubungan mereka dah bertambah baik.
Tapi, kau muncul dan musnahkan semuanya!,”
Aku diam. Cuba memujuk diri sendiri
agar lebih bersabar. Kalau tidak memikirkan wanita di hadapanku ini kenalan
rapat keluarga Encik Firdaus, rasanya aku tidak akan menjadi selembut ini.
“Kita tak boleh lawan kehendak
takdir, Puan Sri…,”dengan berat hati, aku cuba berdiplomasi. Cuba beralah walau
hati saat ini mendidih bukan kepalang.
“Siapa kata tak boleh?,”laju Puan
Sri Ainul memintas.
Aku
terdiam. Menelan liur perlahan-lahan. Sungguh aku tidak pernah menduga, suatu
hari nanti aku akan berdepan dengan situasi begini. Mungkin ini bunga-bunga
halangan di dalam perkahwinanku? Tidak. Aku tidak mahu ada sedikit kesukaran
pun di dalam perjalan hidup aku dan Encik Firdaus. Aku cuma mahu menganyam
bahagia bersamanya.
“Saya yakin, satu hari nanti,
Firdaus akan jadi menantu saya. Kita tengoklah setakat mana Firdaus boleh
bertahan dengan orang macam kamu ni,”
Aku mengangkat muka. Merenung tajam
pada wajah yang sedang tersenyum sinis itu.
“Kenapa dengan saya?,”soalku sedikit
berang. Hampir hilang sudah sabarku.
“Mia jauh lebih elegan berbanding
kamu. Jauh lebih cantik. Jauh lebih bijak memenangi hati lelaki. Pasti nanti
Firdaus akan kembali pada Mia juga,”
Aku menggigit bibir. Sakitnya hati
mendengar patah demi patah perkataan itu.
“Saya yakin dengan cinta suami saya,
Puan Sri. Jadi, rasanya tak perlulah Puan Sri susah-susah datang cari saya,
kemudian cuba nak sakitkan hati saya. Cuba nak huru-harakan rumahtangga saya,”
Puan Sri Ainul tergelak panjang.
“Lelaki ni… mudah saja nak berpaling
kalau ada bidadari di hadapan mereka. And, between you and Mia… Mia lah
bidadari tu,”
Aku menahan nafas. Keterlaluan
sungguh perbandingan ini. Mahu saja aku cubit bibir kecil yang teroles lip
gloss cantik itu.
“Mia tak pernah ada perasaan pada
Firdaus dan Firdaus juga tak pernah ada perasaan pada Mia,”aku bersuara geram.
“Saya tahu, jauh di dalam hatinya,
dia memang sayangkan Firdaus. Cuma Firdaus terlalu buta untuk menilai antara
kaca dengan permata. Mungkin kamu yang muncul dan singkirkan perasaan dia pada
Mia. Kamu yang rosakkan hubungan mereka. Kamu yang buat hidup Mia tak macam
dulu,”
Aku kelu. Lidah bagai benar-benar
tidak mampu melafaz kata. Mungkinkah Mia memang ada menaruh perasaan pada Encik
Firdaus? Benarkah begitu? Bagaimana pula dengan luahan Mia tentang perasaannya
pada Abang Kamal? Adakah itu semua sekadar untuk menghilangkan rasa cintanya
pada Encik Firdaus? Jantungku berdegup tiba-tiba. Sekali lagi aku layangkan
pandangan pada Puan Sri Ainul. Mencari kebenaran di sebalik kata-kata yang
lancar meniti di bibir wanita itu. Sungguh Puan Ainul bijak membuat perasaanku
menjadi kacau-bilau.
“Mia tak macam dulu? Apa maksud Puan
Sri?,”
Puan Sri Ainul kulihat sekadar
mencemik bersama renungan penuh kebencian.
“Dengar sini budak… aku akan
pastikan bahagia yang kau rasa sekarang, akan jadi milik anak aku. Faham
tu?,”Puan Sri Ainul mula mengugut. Membuat aku kecut perut.
Aku mahu bersuara lagi, namun bunyi
loceng yang bergemerincing menandakan pintu dibuka oleh seseorang. Ibu mertuaku
muncul di situ. Wajah kelat Puan Sri Ainul pun sudah berubah manis. Membuat
hatiku membeku.
“Puan Sri… dah lama datang ke?
Kenapa tak call dulu?,”ramah ibu mertuaku menyapa. Laju mendapatkan teman
baiknya itu. Aku terus kaku di kerusi melihat ibu mertuaku berpelukan dengan
Puan Sri Ainul.
“Kebetulan saya lalu kat area ni.
Saja singgah. Tak apa… awak tak ada, saya sembang dengan menantu awak ni. Boleh
juga berkongsi cerita. Tak gitu Adiya?,”bersama senyum manis Puan Sri Ainul
memulakan lakonannya. Aku tersenyum kecil. Malas mahu turut menjadi pelakon.
“Puan Sri cari mummy tadi.
Since…mummy dah ada kat sini, Tiya nak keluar kejap ya. Nak lunch,”aku bersuara
sambil mengangkat punggung. Tidak mahu terus menghadap wajah bermuka-muka itu.
“Laa…. Tadi mummy tanya kalau-kalau
nak pesan apa-apa, Tiya cakap tak nak. Tak lapar,”
Aku tersenyum.
“Tiba-tiba lapar…,”
“Hmmm… nak mummy temankan? Boleh
kita lunch together. Puan Sri? You dah lunch?,”
Laju aku menggeleng.
“Tak payah susah-susah mummy.
Lagipun, rasanya Tiya nak lunch dengan abang Firdaus,”
“Yalah. Suka hatilah,”
Aku tersenyum lega. Bergerak
mencapai beg tangan di belakang kaunter.
“Tiya pergi dulu, mummy. Puan Sri,
saya pergi dulu ya?,”
Dua wajah itu mengangguk sambil
tersenyum lebar. Aku pula terus melangkah pergi. Tidak mahu menoleh memandang
wajah Puan Sri Ainul lagi.
*****
“Marahkan abang lagi ke?,”
Aku diam. Mahu berterus-terang
bahawa aku memang marah, rasanya marahku seperti tidak bertempat. Mahu
menafikan pula, perasaanku benar-benar tidak tenteram dengan apa yang berlaku
tengahari tadi. Mendengar cerita daripada Puan Sri Ainul dan mendapat tahu pula
Encik Firdaus sedang makan tengahari bersama Mia, hatiku benar-benar terusik.
Kata-kata Puan Sri Ainul mula meracuni perasaanku.
“Marahlah tu…,”Encik Firdaus
bersuara lagi. Bergerak menghampiriku di balkoni. Aku berpaling memandang wajah
Encik Firdaus.
“Selalu ke abang makan tengahari
dengan Mia?,”soalku lambat-lambat.
“Selalu juga. Tadi, abang ajak Tiya
join sekali, Tiya tak nak,”
Aku tersenyum kelat.
“Tak naklah kacau daun,”balasku
sambil mengalihkan pandangan ke arah bintang di langit.
“Itu yang abang tak suka dengar tu.
Kacau apa pula ni? Tiya cakap apa ni?,”lembut Encik Firdaus menegur. Aku tahu
dia kurang senang dengan kata-kataku. Encik Firdaus bergerak menghampiriku.
Mengeluh panjang sambil memegang bahuku. Memalingkan tubuhku supaya berhadapan
dengannya.
“Satu saja yang abang minta dari
Tiya. Jangan salah sangka hubungan abang dengan Mia. Tiya tahu benar apa yang
berlaku antara abang dengan Mia, kan?,”
Aku pandang wajah Encik Firdaus agak
lama. Teringat semula kata-kata Puan Sri Ainul. Mia memang ada menyimpan
perasaan pada Encik Firdaus. Kalau kata-kata itu benar, bagaimana?
“Kalau Mia memang sukakan abang,
macam-mana?,”soalku perlahan.
Encik Firdaus mengeluh panjang.
Daripada keluhannya aku dapat rasakan Encik Firdaus sudah mula bosan dengan
kerenahku. Dengan cemburuku yang tidak bertempat. Tetapi, kalau Encik Firdaus
mendengar kata-kata Puan Sri Ainul, masihkah dia menganggap cemburuku ini tidak
kena pada tempatnya?
“Okay. Kita jangan bincang lagi
pasal ni. Anggap Tiya tak cakap apa-apa ya?,”laju aku bersuara sambil
menggenggam jemari Encik Firdaus. Tidak mahu panjangkan cerita apabila wajah
Encik Firdaus sudah sedikit muram.
“Bukan semudah tu, Tiya. Setiap kali
Tiya macam ni… hati abang jadi resah. Tiap kali Tiya ragu-ragu pada abang,
abang rasa sedih,”
Aku membisu. Selalunya Encik Firdaus
cuma alunkan kata-kata indah untukku. Tetapi, malam ini, Encik Firdaus
seolah-olah meluahkan rasa kecewanya. Aku tertunduk. Mula diamuk rasa bersalah.
Akukah yang bersalah kerana terlalu mudah termakan dek kata-kata Puan Sri
Ainul? Akukah yang bersalah kerana sewenang-wenangnya sekali lagi meletakkan
curiga di hati? Tetapi aku tidak dapat lari daripada memikirkan kemungkinan
yang mungkin timbul.
“Tiya minta maaf, bang,”
Encik Firdaus diam. Cuma memaut
bahuku rapat padanya.
“Jangan minta maaf lagi dengan abang.
Cuma, lepas ni, tolonglah yakin dengan abang. Sebagai isteri, Tiya kena
percayakan suami Tiya. Kalau tak ada kepercayaan, hubungan kita tak akan kuat.
Tiya kena ingat tu,”
Aku diam dalam pelukan Encik
Firdaus. Kalaulah semudah itu untuk menanam kepercayaan di hati. Sebenarnya aku
sudah mula boleh menerima keakraban antara Encik Firdaus dan Mia. Tetapi Puan
Sri Ainul muncul dan ranapkan segala usahaku itu. Jadi, wajarkah aku yang
dipersalahkan?
“Abang…,”
“Hmmm…,”
Aku diam seketika. Masih berfikir sama
ada mahu menceritakan pertemuan aku dengan Puan Sri Ainul atau tidak. Tetapi,
apabila mengingatkan reaksi Encik Firdaus ketika aku bercerita tentang ibu Mia
tempoh hari, aku batalkan niat itu. Barangkali aku tidak boleh terlalu
memberatkan fikiran dengan perkara yang kurang pasti. Membabitkan Encik Firdaus
di dalam perkara sebegini pun, rasanya tidak wajar. Biarlah aku diamkan sahaja.
Encik Firdaus baru sahaja membicarakan soal kepercayaan. Soal keraguan. Jadi,
tidak wajar aku timbulkan lagi perkara-perkara sebegini.
“Sayang ada nak cakap apa-apa ke?,”
Aku menggeleng. Memandang wajah
Encik Firdaus sambil tersenyum. Mahu mengubati hati Encik Firdaus yang sedikit
terguris. Perlahan aku lingkarkan tanganku ke lehernya.
“Tengahari tadi, abang cakap abang
lunch dengan Mia, sebab ada hal. Apa halnya?,”soalku sambil mengangkat
kedua-dua kening.
Encik Firdaus tersenyum. Tangannya
memaut pinggangku.
“Nak tahu ke?,”
Aku mengangguk.
“Pasal abang Kamal sayanglah…,”ujar
Encik Firdaus sambil meleraikan pelukannya. Melangkah meninggalkan balkoni. Aku
bergerak laju mengekorinya.
“Pasal Abang Kamal?,”soalku penuh
minat.
Encik Firdaus mengangguk. Melabuhkan
punggung ke sofa sambil mula membuka buku yang baru diambil di rak buku. Laju
aku mengambil tempat di sebelahnya.
“Kenapa dengan Abang Kamal?,”
“Tak ada apa-apa. Mia just luahkan
perasaan saja. Kecewa sikit dengan sepupu Tiya tu,”
“Sebab Abang Kamal buat-buat tak
tahu pasal perasaan Mia ya?,”
“Dia tahu Abang Kamal tak ada
perasaan pada dia. Dia cakap, dia dengar Abang Kamal ada bercakap dengan Tiya
hari tu… masa birthday Abang Kamal,”
Aku diam. Betul tekaanku. Mia
mendengar perbualanku dengan Abang Kamal tempoh hari.
“Tiya pun serba-salah, bang. Tapi,
betul juga kata Abang Kamal. Dia tak nak terima Mia semata-mata
sebab…,”kata-kataku terhenti di situ. Perlukah aku lanjutkan kata-kata ini?
“Sebab nak lupakan Tiya?,”sambung
Encik Firdaus sambil memandang wajahku. Dengan berat hati, aku mengangguk
perlahan. Berharap Encik Firdaus tidak akan berfikir yang bukan-bukan. Tetapi,
Encik Firdaus bukan sepertiku. Encik Firdaus matang dalam menilai sesuatu.
Tidak pernah emosional.
“Abang tak marah kan?,”aku bersuara
perlahan.
“Kalau abang marah, Tiya nak buat
apa?,”soal Encik Firdaus sambil tersenyum.
“Tiya pun serba-salah. Kesian Mia.
Mungkin kalau dulu Tiya terima Abang Kamal, agaknya Mia taklah sesedih
sekarang. Sekurang-kurangnya, Mia ada abang. Kan?,”
Laju jemari Encik Firdaus menyentuh
bibirku.
“Abang tak akan sesekali benarkan
Tiya bersama lelaki lain. Tiya cuma untuk abang. Cuma untuk abang. Faham
tu?,”dia bersuara. Separuh berbisik di telingaku. Membuat jantungku hampir
pecah menahan degupan yang kencang. Benarkah begitu? Renunganku bersatu dengan
pandangannya yang jelas menunjukkan rasa kurang senang dengan kata-kataku.
Membuat aku berasa benar-benar dihargainya. Saat ini, jangankan kata-kata Puan
Sri Ainul, wajah Puan Sri Ainul pun langsung tidak terbias di mindaku. Aku
yakin, Encik Firdaus cuma perlukan aku di dalam hidupnya.
******