Langkahku
terhenti di hujung tangga. Gelak itu teramat aku kenali. Juga gelak Encik Firdausku
yang aku sayangi. Perlahan aku menjenguk. Ruang tamu nampak begitu meriah. Ada
kek coklat kegemaran suamiku. Pasti kek hasil tangan Mia yang cantik. Hati
berdetak tiba-tiba. Kenapa aku mesti
cemburu lagi? Mata, aku pejam perlahan. Mahu membuang jauh-jauh perasaan
cemburu yang seperti tidak berpenghujung ini. Sejak ibu Mia muncul dengan kerenahnya, hatiku
semakin gusar untuk berdepan dengan Mia. Lebih-lebih lagi apabila melihat Mia
bersama Encik Firdaus. Itu pun suatu yang mencurigakan juga. Entah kenapa
kebelakangan ini mereka sering sahaja bersama dan Mia juga kerap berkunjung ke
sini.
Teruk betul kau ni, Tiya! Aku mula memarahi diri
sendiri. Kenapa aku perlu berasa cemburu pada Mia? Kenapa perlu aku layan
perasaan ini, walhal aku tahu benar cinta Encik Firdaus cuma untuk aku. Sejenak
aku tercegat di anak tangga. Mahu menyertai kumpulan manusia itu, wajahku
terasa sukar untuk mengukir senyum. Bersama satu keluhan pendek, aku mengambil
keputusan untuk berlalu pergi buat seketika. Tidak selesa membawa wajah kelatku
bersatu dengan senyum Mia yang sentiasa manis. Nampaknya aku perlu belajar
membuang perasaan cemburu ini dengan lebih gigih. Nasihat Encik Firdaus perlu
aku pegang kuat-kuat.
“Sayang?,”
Aku terkedu. Sedikit terlambat.
Suara Encik Firdaus memaksa aku matikan langkah yang sedikit lemah. Lemah juga
aku berpaling. Menatap senyum riang Encik Firdaus bersama sepiring potongan kek
coklat. Nampak begitu sedap sekali.
“Come. Nak ke mana tu?,”
Aku mengukir senyum. Menanggapi
wajah Mia juga wajah ibu dan bapa mertuaku.
“Jomlah Diya. Saya buatkan kek ni.
Fir cakap awak suka kek coklat,”
Aku tersengih. Sempurnanya pemilik
nama Mia ini. Bagaimana aku tidak dilanda cemburu?
“Erm…. Sakit perutlah. Nak naik atas
kejap. Kejap lagi saya turun,”
Tanpa menunggu balasan, langkahku laju meniti anak tangga. Bergerak
menuju ke bilik. Pintu bilik ku tutup perlahan. Teruk sangatkah cemburuku ini?
Dan, kenapa kebelakangan ini, terasa cemburu ini semakin memburuk? Perasaan aku
atau memang Encik Firdaus kini semakin rapat dengan Mia? Tapi, bukankah sejak
dulu mereka memang rapat? Dan, apa yang perlu aku risaukan. Mia pernah jelaskan
antara dia dan Encik Firdaus tidak pernah ada apa-apa hubungan istimewa.
“Awak dah salah faham ni. Saya tak ada apa-apa
dengan Firdaus tu. Firdaus tu, cuma tergila-gilakan kat awak aje,”
Selintas bicara Mia satu ketika dulu
menjengah di minda. Membuat aku sempat tersenyum dalam melayan perasaan kurang
senangku itu.
“Tiya! Kau ni kenapa? Jangan cemburu
butalah,”aku berbisik sendiri. Cuba memberi motivasi pada diri sendiri. Kerana
cemburu tidak bertempatku, aku hampir kehilangan Encik Firdaus dulu. Aku tidak
mahu mengulangi kesilapan yang sama. Aku tidak mahu kehilangan Encik Firdaus.
aku juga tidak mahu satu hari Encik Firdaus akan berasa bosan dengan cemburuku
ini.
“Mereka cuma kawan biasa. Kawan
biasa. Faham tak?,”aku bersuara sendirian. Cuba menyingkir perasaan
negatif yang sering memburuku itu.
“Encik Firdaus sayangkan kau sorang
aje. Jadi jangan mengada-ngada nak cemburu buta,”marahku bersambung sambil
jemari, aku tunjal perlahan ke pipi sendiri.
“Betul tu,”
Aku tersentak. Suara dari belakang
menggangu sesi motivasiku. Segera aku menoleh. Senyum Encik Firdaus melebar,
membuat wajahku merona merah. Kantoi monolog aku!
“Abang ni! Kenapa masuk
senyap-senyap?,”
Encik Firdaus sekadar menyambung
senyumnya sambil bergerak menghampiriku.
“Abang risau tengok isteri abang
cakap sorang-sorang,”ujarnya perlahan setelah tegak berdiri di hadapanku.
Aku menjeling. Encik Firdaus
tersenyum lagi.
“Abang dah agak dah. Mesti kes
cemburu ni…,”
Aku diam. Tidak mahu menafikan
kerana itu adalah hakihatnya.
“Nasib
abang dapat isteri kuat cemburu. Nak buat macam mana?,”sambungnya masih bersama
senyum. Aku mengangkat muka. Melawan renungan lembut Encik Firdaus.
“Menyesallah ni ya?,”soalku sedikit
menduga.
Encik Firdaus tergelak. Melabuhkan
punggung ke katil. Aku ditarik berdiri di hadapannya.
“Sikit pun tak ada kesal. Abang tak
pernah menyesal. Abang bahagia dengan pilihan abang ni. Bahagia sangat-sangat,”jawabnya
lembut. Menyejukkan hatiku. Membuat bibirku terukir senyum tanpa sedar. Bijak
Encik Firdaus membuat aku perasan sendiri.
“Jom. Turun,”
Ajakan Encik Firdaus membuat aku
teringat semula pada Mia. Seketika aku menentang pandangan suamiku itu.
“Apa Mia buat kat sini?,”soalku cuba
mengawal nada suara.
“Saja dia singgah. Wondering
kenapalah Tiya cemburu sangat dengan Mia tu. Tak yakin dengan cinta abang? Tak
percaya pada abang?,”
Aku tunduk. Bukan soal tidak yakin.
Juga tiada kaitan dengan tidak percaya. Namun, entah kenapa tiap kali melihat
wajah jelita itu, aku jadi tidak senang tingkah. Sering ada risau yang
mengganggu. Melihat keakraban Encik Firdaus dan Mia sering membuat aku
membayangkan perkara-perkara yang menakutkan. Lebih-lebih lagi dengan munculnya
gangguan daripada Puan Sri Ainul. Namun, aku tiada hak untuk menghalang
hubungan itu. Mereka akrab lama sebelum aku mengenali Encik Firdaus lagi.
Mereka berhak untuk terus menjadi kawan. Tetapi, kenapa aku tidak pernah boleh
memahami? Dan, kenapa tingkah Puan Sri Ainul semakin membuat aku goyah pada
keyakinanku sendiri?
“Teruk Tiya ni kan?,”akhirnya aku
bersuara lemah. Malu dengan sikap sendiri.
Encik Firdaus tersenyum kecil.
Menarik aku ke ribanya. Pinggangku dipeluk erat.
“Tak. Tiya tak teruk. Abang nampak
Tiya berusaha nak buang sikap yang kurang elok tu,”
“Tapi, tak berjaya pun….,”aku
merungut sendiri. Encik Firdaus tergelak.
“Yakin
dengan cinta abang. Yakin betul-betul Mia dengan abang cuma kawan. Yakin abang
cuma sayang Tiya seorang. Hilanglah cemburu tu,”
Aku
mengeluh perlahan. Memandang wajah Encik Firdaus.
“Tapi…Mia tu cantik sangatlah. Tiya
takut lama-lama abang terpikat juga…,”
‘Takut juga kalau-kalau mak dia tu
akan kacau hubungan kita ni…,’kata-kata itu bergema di ruang hatiku. Tidak aku
luahkan sekali kepada Encik Firdaus.
Encik Firdaus tergelak besar. Aku
menjeling. Luahan perasaan aku cuma bersambut dengan gelak besar?
“Tiya seriuslah bang. Janganlah
gelak,”
“Ok…ok sorry,”
Aku menjeling lagi. Walau tidak
setajam jelingan tadi.
“Kenapa? Isteri abang ni, tak cantik
ke?,”Encik Firdaus bersuara setelah tawanya reda.
Aku mengeluh perlahan. Susah rupanya
kalau hati sering diburu rasa cemburu.
“Abang pun… sejak akhir-akhir ni, selalu
sangat bersama Mia,”aku bersuara dengan nada sedikit merungut.
Rungutan aku kali ini membuat Encik
Firdaus cuma memandang wajahku dengan renungannya yang cukup sejuk itu. Lemah
lutut rasanya. Hilang sudah segala cemburu.
“Tiya kan tahu Mia cuma sukakan
abang Kamal Tiya tu. Jadi apa yang Tiya risau sangat?,”
Kali ini aku diam. Betul tu. Namun,
tetap aku akui, sukar membuang rasa tidak senang ini. Perasaan manusia boleh
berubah. Wasangka lagi. Bagaimana lagi usaha yang harus aku lakukan untuk
membuang rasa kurang senang ini.
“Tapi. Lately, cemburu Tiya
menjadi-jadi ya?,”usik Encik Firdaus sambil menyentuh hidungku. Aku tersenyum
kecil.
“Tiya minta maaf ya. Tiya cuba tak
cemburu buta lagi,”
“Itu yang abang nak dengar,”
“Abang
tinggalkan Mia seorang ke?,”aku menukar topic perbualan.
“Mummy ada. Abah ada. Tengah makan
kek coklat,”
“Mesti best kan?,”
“Mestilah sedap,”
Aku diam. Cemburu datang lagi.
Cemburu dengan kebolehan Mia yang pelbagai. Memang Mia berjaya membuat aku
berasa rendah diri. Aku harus ubah diri sendiri. Demi Encik Firdaus, aku mesti
belajar semua perkara yang Encik Firdaus suka.
“Tiya?,”
Aku memandang wajah Encik Firdaus.
Tersengih. Menarik nafas dalam-dalam sambil cuba bersikap positif.
“Jom turun. Nanti apa Mia cakap,
abang tinggal dia macam tu,”
“Tak apa. Abang ada reason kuat,”
“Apa dia? Abang cakap dengan Mia,
Tiya cemburu dengan dia ya?,”
Encik Firdaus tergelak lagi. Aku
kaku. Jahatnya suami aku. Pandai buat aku malu!
“Tak baiklah abang ni. Malulah
Tiya,”
“Takkan abang nak cakap macam tu.
Cuma abang risau. Kenapa isteri abang tiba-tiba sakit perut. Mestilah kena
tengok kan. Takkan nak biarkan saja. Teruk ke tak?,”
Aku senyum lega mendengar jawapan
itu.
“Teruk ke?,”sekali lagi Encik
Firdaus bertanya.
“Apa yang teruk?,”berkerut keningku.
Tidak faham dengan soalan Encik Firdaus.
“Sakit perutlah,”
Aku tergelak malu. Pembohonganku
tidak menjadi pada Encik Firdaus.
“Teruk juga kot,”balasku sambil
tersenyum lebar.
“Nak abang ubatkan?,”kali ini,
senyum Encik Firdaus lebih lebar. Aku senyum. Perlahan-lahan bangkit dari riba
Encik Firdaus.
“Hmm.. tiba-tiba dah hilang
sakitnya,”ucapku sambil menggosok perut. Encik Firdaus menggeleng perlahan
sambil tersenyum. Senyum Encik Firdaus bagai punya agenda lain. Hampir luruh
jantungku apabila dia mula kenyitkan mata. Aku tersengih.
“Jomlah turun bang,”
“Betul dah baik ni?,”Encik Firdaus
terus mengusik.
Aku mengangguk laju. Menyimpan
senyum segan yang singgah di hati.
“Hmmm.. sure?,”suara Encik Firdaus
lebih menggoda.
“Betul. Cepatlah turun. Tiba-tiba
rasa macam nak makan kek coklat,”laju aku menjawab sambil menarik tangannya.
Tidak mahu terus melayan usikan merbahaya itu.
Encik Firdaus tergelak sambil
bergerak malas mengangkat punggung. Santai memaut pinggangku sambil mengatur
langkah keluar dari bilik.
“Nanti Tiya belajar buat kek coklat
ya, bang,”aku bersuara sambil mendongak mencari wajah Encik Firdaus.
“Hurmm… berita baik ni. Bila agaknya
abang boleh rasa kek coklat isteri abang ya?,”
Aku tersenyum. Bila ya?
“Bila sampai seru,”candaku sambil
tertawa kecil. Dibalas dengan jelingan Encik Firdaus yang menggoda. Juga
pelukan yang semakin erat. Bahagianya menjadi milik Encik Firdaus.
“Tiya bahagia…,”tanpa sedar aku
berbisik lembut.
“Abang seribu kali bahagia…,”bisikan
Encik Firdaus lebih hampir di telingaku. Sama-sama mengukir senyum di bibir.
*****
No comments:
Post a Comment