“Tiya…,”
Aku berpaling. Wajah tidak semanis mana. Melihat kereta
Mia perlahan mengekori kereta Encik Firdaus memasuki halaman rumah, hatiku
tiba-tiba menjadi gelisah. Tertanya-tanya tujuan Mia muncul pada lewat petang
begini. Emosi juga sedikit sukar dikawal, lebih-lebih lagi apabila teringatkan
mimpi aku tempoh hari.
“Kenapa ni? Tak sihat ke?,”laju Encik Firdaus bertanya.
Mungkin melihat wajahku yang tidak ceria. Aku menggeleng perlahan sambil
memaksa sekuntum senyuman untuk muncul di bibir.
“Betul ni?,”
Kali ini aku mengangguk sambil perlahan mendekati Encik Firdaus.
Mencapai jemarinya lalu kukucup lembut. Seperti biasa, usapan lembut menyentuh
rambutku bersama satu kucupan di dahi sebaik aku mengangkat muka.
“Mia ada kat luar,”Encik Firdaus mula berbicara. Tak
payah beritahu pun, Tiya dah tahu…aku merungut di dalam hati.
“Mia datang nak jumpa abang ke?,”soalku sambil cuba
mengawal suara. Tidak mahu rasa kurang senang ini muncul bersama nada suaraku.
Encik Firdaus menggeleng. Dan gelengan itu menarik
perhatianku. Kalau bukan mahu berjumpa dengan suamiku, apa tujuan Mia ke sini?
Mungkin mahu berjumpa dengan ibu mertuaku. Mindaku mencari jawapan.
“Dia cakap nak jumpa Tiya. Dia tunggu kat luar.”
Penjelasan yang meniti di bibir Encik Firdaus membuat aku
pegun seketika. Mahu berjumpa denganku? Wajah Encik Firdaus aku tatap lama.
Memberi renungan tidak percaya dan, Encik Firdaus mengukir senyum nipis. Hatiku
tiba-tiba menjadi tidak enak. Mungkinkah Mia mahu memberitahu yang dia sedang
bercinta dengan Encik Firdaus? Dia mahu berkahwin dengan Encik Firdaus? Sama
seperti apa yang berlaku di dalam mimpiku?
“Tiya… kenapa ni? Pucat. Are you sure, you okay ni?,”
Aku tersentak. Kepala kugeleng laju.
“Pergilah. Dia tunggu Tiya tu,”
Aku menjenguk sambil menyelak langsir. Mia sedang
santai di taman mini, sambil merapikan rambutnya
yang mengurai cantik.
“Kenapa Mia nak jumpa Tiya?,”aku bertanya sambil
pandangan terus kupakukan pada tingkah Mia. Tidak mendapat jawapan daripada
Encik Firdaus, aku berpaling. Encik Firdaus tercegat memandangku sambil
berpeluk tubuh. Aku tersenyum kelat. Pasti ada tingkahku yang tidak kena di
mata lelaki itu. Perlahan aku bergerak menjauhi jendela sambil menggaru kepala.
“Kenapa terintai-intai macam tu?,”
Aku tersenyum kecil. Tahu Encik Firdaus kurang senang
dengan tindakanku itu.
“Pelik. Sebab tiba-tiba Mia nak jumpa Tiya,”balasku masih
dengan rasa hairan.
“Abang tahu kenapa?,”sambungku sambil menatap wajah Encik
Firdaus. Sedikit hampa apabila Encik Firdaus cuma menjongket bahu.
“Kalau nak tahu, apa kata Tiya pergi jumpa Mia.
Terjenguk-jenguk macam ni, nanti kalau Mia tengok, apa pula yang dia fikir.
Dah…pergilah. Jangan buat Mia tertunggu-tunggu macam tu. Tak baik,”
Aku diam. Cuma kepala mengangguk perlahan.
“Oh ya. Abang nak apa-apa? Nak minum?,”
Encik Firdaus menggeleng.
“Abang nak mandi. Pergilah jumpa Mia dulu. Nanti abang
menyusul,”
Sekali lagi aku mengangguk. Tersenyum memandang Encik
Firdaus melangkah menuju ke anak tangga. Aku pula, perlahan menghela nafas
sambil bergerak meninggalkan ruang tamu. Mahu berjumpa dengan Mia. Juga mahu
tahu apa yang ingin Mia sampaikan padaku.
Seketika aku tercegat di belakang Mia. Merenung Mia yang
santai di kerusi. Cuba mendidik minda untuk berfikiran positif.
“Assalamualaikum..,”sapaanku membuat Mia menoleh. Lebar
senyum terukir di bibirnya.
“Waalaikumussalam…Adiya..,”
Aku tersenyum sambil perlahan melabuhkan punggung di
sebelah Mia.
“Abang Fir beritahu Mia nak jumpa saya?,”
Laju Mia mengangguk. Aku tersenyum kecil.
“I tak mengganggu you, kan?,”soal Mia sambil memandang
wajahku. Aku menggeleng laju. Dan, Mia pula mengangguk perlahan.
“I need your help,”tanpa berbasa-basi, Mia terus ke
agenda pertemuan. Aku diam. Mahu menjadi
pendengar terlebih dahulu. Pertolongan apa yang Mia perlukan daripadaku?
“Boleh?,”Mia bertanya lagi. Aku tergelak kecil.
“Boleh… InsyaALLAH kalau saya boleh tolong, saya pasti
tolong,”
Mia tersenyum. Namun, kali ini senyum itu tidak seceria
tadi.
“Diya tahu kan, minggu depan birthday Kamal?,”
Soalan Mia meresap perlahan ke gegendang telingaku. Jadi,
pertemuan ini ada kaitan dengan Abang Kamal. Aku tersenyum sambil mengangguk
perlahan. Tiba-tiba berasa bodoh kerana berprangsaka yang bukan-bukan pada Mia.
Kenapa aku selalu lupa yang Mia begitu suka pada Abang Kamal?
“I ingat nak masak special untuk dia. Nak buat jamuan
kecil untuk dia. Tapi, dia tak nak…,”Mia meluahkan hasrat itu bersama nada
suara yang tidak begitu ceria. Wajah itu juga sudah sedikit murung.
“Abang Kamal memang tak berapa suka nak sambut birthday
sendiri…,”ujarku lambat-lambat. Tidak mahu Mia salah anggap pada Abang Kamal.
“Kenapa?,”
Aku termangu. Kenapa ya? Aku sendiri tidak tahu. Mungkin
itu bukan satu kebiasaan pada Abang Kamal. Dia disibukkan dengan tanggungjawab
sebagai anak sulung sejak dari kecil. Barangkali itu yang membuat dia tidak pernah
menganggap sambutan hari jadi itu satu perkara penting baginya.
“Mungkin Abang Kamal tak ada masa nak sambut birthday
sendiri kot?,”pandai-pandai aku membuat andaian sendiri. Lebih kepada mahu
bergurau sebenarnya.
Mia memandangku dengan renungan pelik. Membuat aku turut
berasa pelik. Tidak lucukah gurauanku tadi?
“Mana ada orang yang tak ada masa nak sambut hari penting
macam tu? Jangan cakap you pun tak suka sambut birthday… I love birthday party.
I suka celebrate birthday kawan-kawan I …birthday orang-orang yang I sayang…itu
bukti kita ambil berat tentang mereka. Don’t you think so?,”
Aku membeku seketika. Soalan Mia membuat aku turut
terfikir kenapa selama ini Abang Kamal tidak pernah sibuk dengan tarikh
kelahirannya tetapi cukup hafal tarikh hari lahirku. Itu tandanya dia mengambil
berat tentang diriku. Dan, aku pula, tidak pernah mengacuhkan tarikh lahir Abang Kamal. Memikirkan situasi itu,
perlahan-lahan aku mula berasa bersalah. Juga berasa simpati pada Abang Kamal.
Rasanya, selama ini, dia banyak menghabiskan masanya dengan memikirkan tentang
aku. Sudahnya, dia kecewa dengan keputusan aku walaupun dia akur. Akur bahawa
cinta itu sebenarnya tidak mungkin boleh dipaksa-paksa.
“Diya? Dengar tak apa I cakap ni?,”
Soalan Mia membawa aku ke alam sedar. Spontan aku tersenyum sambil mengangguk perlahan.
“So, awak nak saya buat apa?,”soalku lambat-lambat.
Mia mengukir senyum. Walau senyum itu amat jelas bagai
hilang manisnya. Melihat tingkah Mia, hati aku tertanya-tanya sendiri. Sejauh
mana harapan Mia terhadap Abang Kamal? Juga, tertanya-tanya kenapa Abang Kamal
gagal melihat kesungguhan Mia cuba mendekatinya?
Pelik betul. Mia cuba
mencapai sesuatu yang dia suka namun, sepertinya tidak berjaya. Abang Kamal
pula, seperti lebih selesa membuai perasaan dengan kisah-kisah silam sehingga
dia buta. Buta untuk melihat ada segaris sinar yang pasti akan menerangi
jalannya andai dia memberi kesempatan kepada Mia.
“Pujuk Kamal?,”
Aku mengangkat muka. Merenung wajah Mia buat seketika.
“Pujuk?,”soalku meminta kepastian.
“Pujuk Kamal supaya dia benarkan saya sambut birthday
dia. Boleh kan?,”
Aku diam. Sedikit berat untuk tunaikan permintaan Mia.
Aku tidak suka menjadi orang tengah.
Lebih-lebih lagi apabila hal itu berkait rapat dengan perasaan. Juga, tidak selesa
untuk cuba mendekatkan Abang Kamal dengan Mia walhal aku cukup tahu perasaan
Abang Kamal padaku. Pasti tindakan itu akan menyakitkan hati Abang Kamal. Aku
tahu itu.
“Boleh kan, Diya? I tahu Kamal akan dengar cakap
you…,”nada suara Mia sudah separuh memujuk. Semakin membuat aku tersepit.
“InsyaALLAH. Tengoklah nanti saya cuba…,”senang betul
bibirku memberi harapan, sedang otakku masih berkecamuk mencari alasan untuk
hindarkan diri daripada situasi sebegini. Mia tersenyum lebar. Laju tangannya
menyentuh jemariku.
“Thanks, Diya. I hargai sangat-sangat pertolongan you
ni…,”
Aku tersengih. Bibir sudah terlepas cakap. Apa lagi yang
mampu aku katakan…
****
Cuitan lembut di hidungku mematikan lamunan yang beraja
di kepala. Perlahan aku berpaling. Bersua dengan senyuman Encik Firdaus. Senyum
itu aku balas hambar. Berpaling semula sambil menyambung menunganku.
“Kenapa ni?,”
Aku berpaling semula. Kemudian menggeleng perlahan.
“Pasal Mia ke? Kenapa Mia nak jumpa Tiya?,”
Mendengar soalan itu, aku mengeluh perlahan. Tiba-tiba
terus teringat pada permintaan Mia. Beratnya untuk aku berdepan dengan Abang
Kamal dan meminta sesuatu yang aku tahu memang tidak disukai oleh Abang Kamal.
“Mia cakap apa dengan abang?,”aku pula bertanya. Encik
Firdaus mencemik sambil menjongket bahu.
“Dia cuma cakap nak minta tolong sikit dengan Tiya…,”
Aku mengeluh lagi. Bergerak hampir pada Encik Firdaus
yang berdiri tegap di balkoni. Kepala aku lentokkan ke dada Encik Firdaus.
“Susahlah bang…,”aku bersuara separuh mengadu. Seperti
biasa, apabila suaraku sudah selemah itu, pasti ada gelak kecil yang meniti di
bibir Encik Firdaus. Perlahan tangan Encik Firdaus memeluk erat tubuhku.
“Kenapa ni? Cerita kat abang? Takkan mimpi Tiya dah jadi
kenyataan?,”usik Encik Firdaus yang spontan membuat aku muncung panjang.
Dadanya kupukul perlahan.
“Janganlah cakap macam tu. Tiya tak suka,”
Encik Firdaus tergelak lepas.
“Ok… now tell me. Apa yang susah sangat tu?,’
Aku mengeluh lagi. Mendongak memandang wajah Encik
Firdaus yang tenang menanti ceritaku.
“Mia minta Tiya tolong pujuk Abang Kamal…,”
“Tolong apa?,”
“Minggu depan birthday Abang Kamal. Dia nak sambut. Nak
masak special untuk Abang Kamal tapi Abang Kamal tak nak…,”
“Then?,”
Aku membuang pandang. Pelukan Encik Firdaus aku leraikan.
Bergerak sedikit menjauh daripada Encik Firdaus sambil bercekak pinggang.
“Then? Then… Mia suruh Tiya tolong pujuk Abang Kamal.
Itulah yang susahnya,”ujarku bersungguh-sungguh.
Encik Firdaus kulihat mengangguk perlahan.
“Kalau Tiya tak nak tolong, cakap saja tak nak. Abang
yakin Mia tak akan berkecil hati. I know her…,”
Aku mengeluh sambil terduduk di kerusi kayu di anjung
balkoni.
“Masalahnya Tiya dah setuju. Dah tercakap akan tolong
dia…,”
Encik Firdaus mengangguk lagi. Dia meraup perlahan wajah
sambil berpeluk tubuh. Perlahan dia bergerak menghampiriku.
“Jadi… itu masalahnya?,”
Aku mendongak. Memandang wajah Encik Firdaus sambil
mengangguk lemah.
“So, apa tindakan Tiya sekarang?,”
Sekali lagi mataku cuma terkebil-kebil memandang wajah
Encik Firdaus. Encik Firdaus menarik nafas perlahan sambil mengambil tempat di
sebelahku. Tangan jatuh ke bahuku dan menarikku rapat padanya.
“Tiya tengok tu…,”bisiknya perlahan. Jari telunjuknya
terarah pada langit yang kelam. Aku akur. Terkebil-kebil memandang langit tanpa
sebarang tujuan.
“Cantik tak?,”
Aku mencemik sambil menjongket bahu.
“Tak cantik. Tak ada bintang,”jawabku acuh tidak acuh.
Kepalaku berkecamuk dengan permintaan Mia, Encik Firdaus mahu bercakap tentang
langit yang gelap gelita pula.
“Kenapa tak ada bintang?,”
Aku mengeluh perlahan. Encik Firdaus memang nak kena!
Sabar Tiya…sabar…hatiku memujuk lembut.
“Sebab nak hujanlah abang sayang….,”jawabku berlagu
panjang. Geram!
“So, itu perkara baik atau tak baik?,”
“Abang ni kenapa? Kita cakap pasal permintaan Mia kan?
Janganlah sibuk dengan langit… dengan hujan… dengan bintang dulu,”aku sudah
separuh membentak. Wajah pun sudah kelat semacam. Encik Firdaus yang tersenyum,
aku jeling tajam.
“Abang tanya, jawab ajelah…,”
“Kalau malam… nak hujan… tak ada bintang, tak bestlah nak
tengok langit…,”dalam tidak mahu, aku menjawab juga.
“Kalau hujan, dan esoknya pokok-pokok bunga yang layu
segar semula, itu macam-mana pula?,”soal Encik Firdaus lembut.
Aku berfikir seketika sambil bersandar di bahu Encik
Firdaus.
“Eloklah…,”akhirnya aku menjawab malas. Layan ajelah!
“So?,”
Aku ternganga.
“So?,”soalku balik sambil memandang wajah Encik Firdaus
untuk ke sekian kalinya.
“Depend pada Tiya. Tiya nak pandang tindakan tu dari
sudut positif atau negatif. Kalau Tiya harapkan bintang, hujan tu akan jadi
petanda kurang baik. Kalau Tiya harapkan bunga-bunga segar semula, hujan yang
datang tu akan jadi penyelamat…,”
Aku termangu seketika. Dalamnya bicara suamiku ini.
Sayangnya aku kurang bijak dalam subjek sastera. Jadi kata-kata itu tetap juga
membuat aku terkulat-kulat mencari makna.
“Tak faham?,”
Aku menggeleng dengan jujurnya. Sungguh aku tidak faham.
Encik Firdaus tersenyum panjang. Jemariku diusap lembut.
“Tiya beritahu abang, kenapa Tiya berat nak tolong Mia?
Sebab Tiya takut Abang Kamal akan tersinggung?,”
Aku mengangguk perlahan.
“Tiya tahu perasaan Abang Kamal pada Tiya. Tiya tak nak
nanti Abang Kamal rasa Tiya sengaja nak sakitkan hati dia…,”
“Kenapa Tiya tak fikir dari sudut lain pula?,”
“Sudut macam-mana, bang?,”
“Mungkin bantuan Tiya akan dapat dekatkan dia dengan Mia?
Mungkin nanti dia dapat cari pengganti Tiya? Dapat bahagia dengan orang lain
sebab Tiya cuma milik abang seorang? Tiya tak nak tengok Abang Kamal Tiya tu
bahagia?,”
Aku diam. Tekun memikirkan kata-kata Encik Firdaus. Ada
benarnya kata-kata itu. Mungkin ini boleh jadi satu usaha untuk buat Abang
Kamal lupakan aku.
“Pandailah suami Tiya,”ujarku senang sambil menarik
perlahan hidung Encik Firdaus yang mancung. Kenapalah aku tidak berfikir kea
rah itu tadi?
“Suami Tiya memang pandai…,”balas Encik Firdaus sambil
mengangkat kening. Aku tersenyum. Memeluk erat tubuh Encik Firdaus bersama satu
helaan nafas lega. Seperti kata Encik Firdaus, aku mesti berfikiran positif.
Positif!
“Abang bagi cadangan kan? So, berjaya tolong selesaikan
masalah Tiya tak?,”
Aku mengangguk senang.
“Angguk aje? Upahnya, tak ada?,”
“Ada…,”jawabku sepatah. Melihat senyum Encik Firdaus pun
sudah kutahu apa yang bermain di kepalanya.
“Ada?,”
Aku diam sambil buat-buat tidak dengar. Terus memandang
ke hadapan tanpa mengacuhkan soalan Encik Firdaus. Tetapi cuma seketika apabila
jemari Encik Firdaus mula menggeletek pinggangku. Pantas aku bingkas bangun
lalu berlari menuju ke bilik. Meninggalkan Encik Firdaus melayan tawanya.
*****
3 comments:
lama dah tgu n3 baru nie..hehehe best
bahagia je tiya ngan fir..
Post a Comment