Hampir
sepuluh minit aku setia berada di sisi Puan Junaidah. Memandang kelincahan
jemarinya membelek utas demi utas rantai tangan pelbagai rekaan. Sesekali aku
bersuara memberi pendapat. Boleh tahan cerewet ibu mertuaku ini. Memberi ruang
untuk dia membuat pilihan yang tepat, aku mengalihkan pandangan pada susunan
rantai leher pula. Sekadar menjamu mata.
“Tiya
nak apa-apa tak?,”
Aku
mengangkat muka. Memandang wajah ibu mertuaku. Kemudian aku menggeleng
perlahan. Bagai ada satu perasaan halus yang menjalar di hatiku tiap kali ibu
mertuaku itu mengalun nama ‘Tiya’. Satu perasaan indah yang membuat aku berasa
tidak pernah jauh dengan ibuku. Panggilan itu sering mengingatkan aku pada ibu.
Dan, syukur di sini aku juga memiliki seorang lagi ibu yang begitu
menyayangiku.
“Takkan
tak ada yang berkenan? Kan banyak pilihan ni…,”
Aku
tersenyum. Pandanganku jatuh kembali pada deretan barang kemas di kedai emas
terkemuka itu. Memang cantik-cantik. Namun, bukan hobiku mengumpul koleksi
barang kemas. Juga aku tidak gemar memakai perhiasan sebegitu.
“Tiya
tak suka sangatlah, mummy. Tapi, Tiya boleh tolong pilihkan untuk mummy,”aku
bersuara sambil tersenyum lebar. Puan Junaidah turut tersenyum.
“Tak
apa. Biar mummy pilihkan untuk Tiya,”bersungguh Puan Junaidah bersuara.
Aku
diam. Tidak terus menolak. Bimbang andai nanti wanita itu tersinggung dengan penolakanku.
Sudahnya aku cuma tersenyum dan Puan Junaidah mula tekun meneliti koleksi
rantai yang ada. Satu demi satu dia minta untuk ditelek sepuas hati. Aku
sekadar memandang sambil sesekali memberi komen apabila diminta. Akhirnya
seutas rantai halus berloket kecil menjadi pilihan apabila cuma yang itu sahaja
mampu membuat aku tertawan. Juga untuk tidak menghampakan ibu mertuaku
sebenarnya.
“Hadiah
untuk menantu mummy. Tapi, kenapa kecil sangat? Tak menyesal ni?,”
Aku
tergelak besar. Lucu mendengar komentar itu. Tentu saja aku tidak menyesal.
Puan Junaidah tersenyum.
“Mummy
ni, ke situ pula. Mana boleh menyesal…,”aku bersenda masih bersama gelak kecil.
Selesai
urusan jual beli, kami bergerak keluar mencari haluan lain pula. Tugas aku hari
ini, menemani ibu mertua membeli-belah. Sedikit penat sebenarnya, namun aku
seronok. Kemesraan Puan Junaidah tidak pernah berubah dan aku yakin, aku adalah
menantu yang paling bertuah kerana mendapat ibu mertua sebaik Puan Junaidah.
Tidak banyak bersungut walau aku terlalu banyak kekurangan.
“Mummy
nak cari apa lagi?,”aku bertanya sambil melangkah perlahan seiring dengan
langkah ibu mertuaku itu.
“Cari
baju nak? Dah lama juga mummy tak shopping baju ni,”
Aku
mengangguk setuju. Sambil mata memerhati persekitaran kompleks membeli-belah
yang tidak begitu sesak. Terasa rutin harianku semakin berubah sejak bergelar
isteri.
“Pasal
cadangan mummy tu, Tiya dah tanya Fir?,”Puan Junaidah mengajukan soalan sambil
matanya terus menikam wajahku. Membuat aku terpinga-pinga seketika. Cadangan?
Cadangan apa pula? Puan Junaidah mengangkat kening dan aku pula mula kerutkan
kening. Menantu mummy lemah daya ingatanlah… aku bermonolog sendiri.
“Hmmm….
Belum tanya ya?
“Cadangan?,”aku
mengulangi soalan ibu mertuaku. Dan, wanita itu mengangguk perlahan sambil
berpeluk tubuh. Membuat aku semakin serius memerah otak. Cuba mengingati
sesuatu yang pernah dicadangkan oleh ibu mertuaku. Sejenak sebelum aku
tersenyum lebar.
“Oh… tolong mummy di butik tu? Kan? Dah. Tiya
dah tanya,”aku memberi jawapan bersama senyum lebar.
“Apa
kata Fir?,”
“Abang
setuju,”
Puan
Junaidah tersenyum lebar.
“Good…,”sepatah
bicara Puan Junaidah sambil mencapai lenganku. Laju melangkah menuju ke sebuah
butik. Sapaan mesra pekerja butik tersebut, cukup memberitahu ibu mertuaku barangkali
pelanggan tetap di situ.
“Mummy
memang selalu ke butik ni, ya?,”
Puan
Junaidah mengangguk.
“Mummy
suka pakaian di sini. Kena dengan citarasa mummy. Memang mummy ada butik
sendiri. Tapi, mummy suka shopping kat butik orang lain. Kalau mahu tempah baju,
pun mummy suka tempah di sini. Nanti, kalau Tiya nak tempah baju, boleh tempah
di sini,”ibu mertuaku bercerita sambil tergelak halus.
Aku
tersenyum kelat. Di tempat eksklusif sebegini? Tiba-tiba terasa hidupku memang telah
banyak berubah.
“Dulu
mummy selalu ke sini dengan Mia,”lancar Puan Junaidah menyambung cerita sambil
mula membelek baju-baju yang bergantungan. Cerita yang membuat senyumku mati
perlahan-lahan. Nama Mia yang dialun ibu mertuaku, menghantar satu perasaan
kurang enak di hati. Tiba-tiba teringat
tentang hasrat Puan Junaidah yang mahukan Mia menjadi menantunya. Kecewakah
Puan Junaidah apabila hasratnya tidak menjadi kenyataan? Mustahil. Aku yakin
Puan Junaidah menerima kehadiranku sebagai ahli keluarga, dengan tangan
terbuka. Barangkali cerita itu muncul di bibir Puan Junaidah, hanya kerana Mia pernah
akrab dengannya. Hatiku cuba memujuk lembut.
“Tiya?
Kenapa ni?,”
Aku
sedikit tersentak. Sempat mengelamun melayan perasaan rupanya. Sambil
menggeleng aku mengukir senyum. Tiya… jangan mudah prasangka yang bukan-bukan.
Hatiku terus memujuk.
“Berangan
pula dia. Cepat pilih yang mana satu Tiya nak?,”
“Mummy
ni… nak shopping untuk mummy ke untuk Tiya? Asyik tanya apa Tiya nak…,”aku
bersuara lembut.
“Untuk
mummy dan untuk Tiyalah. Mummy suka blouse ni. Mummy belikan untuk Tiya, nak?,”
“Tadi
dah belikan rantai untuk Tiya…,”aku bersuara perlahan. Sedikit serba-salah
untuk menerima satu lagi pemberian daripada Puan Junaidah.
Puan
Junaidah tersenyum. Perlahan menyentuh bahuku.
“Mummy
memang suka hadiahkan sesuatu untuk orang yang mummy sayang. Iecha dah balik
kampus. Tiya lah yang ada untuk mummy. Farid dengan Firdaus lain. Orang lelaki
tak suka shopping macam ni,”
Aku
tergelak kecil. Besar hati mendengar pengakuan itu.
“Mummy
baik. Baik sangat-sangat…,”
Puan
Junaidah tidak menjawab. Cuma mencapai blouse berbunga kecil lalu dilayangkan
di hadapanku.
“Apa
kata Tiya cuba yang ni? Yang ni sesuai dengan jeans. Tiya kan suka pakai
jeans,”
Aku
mencapai blouse di tangan ibu mertuaku. Dirapatkan ke tubuhku.
“Cantik.
Tiya suka. Okay, ini mummy belikan untuk Tiya. Now, mummy pilih untuk mummy
pula. Tiya hadiahkan untuk mummy,”
Puan
Junaidah tertawa halus.
“Tak
payah sayang. Hari ni, mummy belanja semuanya,”
“Satu
pun tak boleh?,”dugaku sambil mengangkat kening. Puan Junaidah tersenyum sambil
menggeleng.
“Tak
boleh…,”
Aku
mengeluh sambil membuat wajah kecewa. Puan Junaidah terus tertawa sambil
memeluk erat bahuku. Kemesraan yang membuat aku terus lupa pada Mia yang pernah
hampir menjadi menantunya. Pada Mia yang hampir membuat denyut jantungku
berubah rentak sebentar tadi.
******
Perlahan
aku mengurut kakiku yang terasa sedikit lenguh. Seharian berjalan ke sana sini
memang memenatkan.
“Penat
ya?,”
Aku
mengangkat muka. Encik Firdaus tersenyum memandangku. Melabuhkan punggung ke
katil sambil perlahan tangannya menolak jemariku. Kini jemarinya yang mengurut
lembut kakiku.
“Lenguh
sikit aje bang. Tak payahlah urut. Abang mungkin lebih penat dari Tiya,”aku
bersuara sambil menarik kakiku. Rasa tidak kena apabila Encik Firdaus tenang
mengurut. Tidak pantas rasanya membiarkan suami mengurut kaki yang tidak
sesakit mana. Namun, Encik Firdaus bagai tidak membenarkan aku menarik kaki.
Pegangannya sedikit keras dan aku diam tidak bergerak. Memandang dengan rasa
serba-salah. Terlalu baik layanan ini. Seharusnya aku yang perlu tanyakan
soalan itu padanya.
“Mummy
dera Tiya hari ni?,”dia membuka mulut.
Aku
tergelak halus.
“Taklah.
Tak baik cakap mummy macam tu, tau,”
Encik
Firdaus mengukir senyum. Terus mengelus lembut betisku. Memberi rasa lega yang
bukan sedikit.
“Kejap
bang…,”aku tiba-tiba bersuara. Menarik kaki sambil bergerak turun dari katil.
Segera aku mencapai beg kertas di atas meja solek dan kembali semula ke katil.
Encik Firdaus tenang menunggu. Aku keluarkan blouse yang dibeli oleh ibu
mertuaku siang tadi. Melekatkan ke dadaku sambil aku pandang wajah Encik
Firdaus.
“Mummy
belikan. Cantik tak?,”soalku ceria. Encik Firdaus memandang sambil menggosok
dagu.
“Hmmm….
Tak berapa seksi,”
Aku
jegilkan mata dan Encik Firdaus tergelak riang.
“Nak
Tiya pakai seksi-seksi ke?,”
“Mestilah.
Untuk abang mestilah kena seksi-seksi,”
Aku
mencemik. Blouse itu aku masukkan semula ke dalam beg kertas.
“Cantik.
Tiya pakai apa pun mesti cantik,”suara Encik Firdaus kendur memujuk. Mungkin dia
risau aku merajuk. Aku buat-buat tidak dengar. Sibuk selongkar mencari kotak
kecil untuk ditunjukkan kepada Encik Firdaus.
“Ini
pun mummy belikan untuk Tiya,”aku bersuara lagi sambil membuka kotak kecil yang
sudah berada di tangan. Encik Firdaus bergerak merapatiku. Menarik aku rapat ke
dadanya sambil menyentuh kotak yang masih di tanganku.
“Abang
nak belikan barang kemas untuk Tiya, Tiya tak nak…,”
Aku
mengangkat muka. Memandang wajah Encik Firdaus yang sedang merenungku. Aku
tersenyum. Encik Firdaus mencapai rantai halus di dalam kotak. Aku bersandar di
dadanya.
“Tiya
pun tak nak. Tapi, Tiya tak berani nak tolak banyak kali. Takut mummy kecil
hati,”
“Dengan
abang? Tak takut abang kecil hati?,”
“Tiya
tahu hati abang besar. Jadi Tiya tak takut sangat…,”aku bersuara separuh
bergurau. Gurauan yang membawa jemari Encik Firdaus ke pinggangku. Aku terjerit
kecil. Segera melompat turun dari katil. Pantang aku digeletek begitu. Nasib
baik aku yang melompat turun dari katil dan bukan Encik Firdaus yang aku
tendang ke bawah.
“Abang!,”
Encik
Firdaus tergelak besar.
“Sekali
lagi….,”
“Okay…okay…
abang tak buat lagi. Jadi, jangan nak buat lawak dengan abang, faham?,”laju
Encik Firdaus bersuara sebelum sempat aku habiskan bentakan geramku. Segera aku
menarik muka masam.
“Come…
abang tak buat lagi. Promise….,”sekali lagi Encik Firdaus bersuara bersama
senyum yang mekar di bibir.
Aku
menjeling. Namun, kaki kembali melangkah menuju ke katil. Jemariku dicapai
lembut menarik aku duduk semula di sisinya.
“Marah
ke ni?,”bisik Encik Firdaus lembut.
“Yalah.
Janganlah buat macam tu. Tiya tak suka. Geli tahu tak?,”
Encik
Firdaus terus tergelak halus.
“Apa
gelak-gelak? Nak Tiya buat abang macam tu juga ke?,”soalku sambil menjeling.
Masih tidak berpuas-hati.
Pantas
Encik Firdaus mengangkat kedua-dua tangan sambil menggeleng.
“Tahu
takut…,”gumamku perlahan. Maklum yang Encik Firdaus pun lebih kurang denganku.
Pantang digeletek.
“Bukan
takut. Tapi geli, sayang,”
Aku
mencemik. Satu ciuman dilayangkan ke pipiku.
“Cantik
rantai ni,”ujar Encik Firdaus lembut. Aku mengerling. Encik Firdaus memandang
rantai di telapak tangannya.
“Abang
pakaikan?,”sekali lagi suara lembut Encik Firdaus menyapa gegendang telingaku.
Menghalau semua rasa geram yang singgah seketika. Segera aku menarik rambut ke
hadapan sambil duduk membelakangkan Encik Firdaus. Membenarkan Encik Firdaus
memakaikan rantai ke leherku. Rantai hadiah daripada ibu mertuaku kini
menghiasi leherku. Perlahan aku menyentuh loket kecil yang terhias indah di
leherku. Cantik. Aku tersenyum lebar.
“Cantik
kan?,”soalku laju sambil bergerak berdepan dengan Encik Firdaus.
“Perasan…,”
Senyumku
terus mati. Sekali lagi wajah itu kujeling sekilas.
“Memang
pun…,”balasku selamba sambil menyambung senyum yang terbantut dek usikan Encik
Firdaus.
“Abang
call mak petang tadi,”
Laju
aku berpaling. Topik paling aku gemar.
“Kita
balik tengok mak hujung minggu ni. Nak?,”
Aku
tersenyum lebar. Inilah yang buat aku sayang sangat-sangat pada Encik Firdaus.
Segala tindakannya membahagiakan aku.
“Nak!
Mestilah nak. Terima kasih bang,”ujarku riang.
Encik
Firdaus tersenyum sambil jari telunjuknya menyentuh pipi sendiri. Faham dengan
isyarat itu, laju satu ciuman singgah ke pipinya bersama erat pelukannya. Aku
tersenyum gembira. Hujung minggu ini dapat jumpa mak!
*****
No comments:
Post a Comment