“Selamat
hari lahir, abang,”ucapku bersama senyum yang mekar di bibir. Abang Kamal cuma menjawab
dengan sekuntum senyum. Senyum yang tidak begitu lebar. Pasti masih ada rasa
geram padaku.
“Selamat hari lahir, Kamal…,”Encik
Firdaus pula menghulurkan ucapan.
Aku sekadar memerhati tangan Encik
Firdaus yang erat menjabat tangan Abang Kamal. Abang Kamal cuma mengangguk.
Kemudian melabuhkan punggung ke sofa, bersama-sama dengan Encik Firdaus.
“Birthday boy mana boleh serius
sangat…,”tegurku cuba mengusik Abang Kamal yang memang kelihatan amat serius.
Abang Kamal tersenyum nipis. Memandang sekilas pada Encik Firdaus sebelum
pandangannya jatuh ke wajahku.
“Tak perlu semua ni sebenarnya.
Tiha pun tahu abang bukan suka sambut benda-benda macam ni. Ini tidak… Fir…tengoklah
apa yang dah Tiha buat?,”Abang Kamal bersuara. Dengan nada kurang serius,
tetapi aku yakin dia memang bersungguh-sungguh dengan apa yang diucapkannya
itu. Cuma dia tidak mahu nanti Encik Firdaus berfikir yang bukan-bukan.
Aku tersengih. Mendengar bunyi
pinggan disusun di ruang dapur rumah Abang Kamal, aku tahu Mia sedang sibuk
menyediakan hidangan makan malam. Aku yang memaksa, dan seperti biasa, Abang
Kamal terpaksa setuju pada permintaanku. Terpaksa aku pada pujukanku. Mungkin
juga sebab Abang Kamal tidak mahu aku mengganggu waktu malamnya selama tiga
hari berturut-turut. Berkali-kali aku menelefon memujuknya. Pelbagai alasan
yang dia berikan dan sudahnya dia terpaksa mengalah.
“Tiha nak tolong Mia kejap,”aku
bersuara sambil mengangkat punggung. Meninggalkan Abang Kamal bersama Encik
Firdaus. Perlahan aku menjenguk ke ruang makan. Mia sedang leka menyusun
hidangan.
“Hai… boleh tolong?,”
Mia mengangkat muka. Serentak
senyum riang terpamer di wajahnya.
“Diya… awal sampai. Hidangan belum
siap. Tapi, bagus juga you dah sampai. Kamal dah nak keluar lagi tadi. Dia
balik tadi, tengok you dengan Fir belum sampai, dia tak nak duduk dalam rumah,”
Aku tersenyum. Memandang hidangan
makanan barat di atas meja. Pasti Mia sendiri yang sediakan.
“Nak saya tolong apa-apa ke?,”aku
bertanya lagi.
Mia menggeleng.
“Dah hampir siap pun. And, thanks
ya…sebab tolong pujuk sepupu you tu. I cakap I nak masakkan special untuk
birthday dia, terus dia reject. Kecil hati I tau…,”Mia terus berceloteh. Sama
laju dengan pergerakannya yang langsung tidak nampak kekok berada di dapur.
Cukup jelas membuktikan yang dia sudah terlalu mahir di dapur. Aku pula
memandang kagum pada kelincahannya juga pada hidangan yang tersedia.
“Awak masak semua ni?,”
Mia mengangguk dengan wajah
berseri-seri. Nampak benar dia gembira dengan apa yang sedang dia lakukan saat
ini.
“Tapi, dia sudi izinkan I masak
semua ni pun, sebab you yang pujuk dia. Kalau tak memang dia tak nak celebrate
pun birthday dia. Even for me…I nak jemput kawan-kawan rapat yang lain pun dia
tak bagi tau,”
Aku diam sejenak. Kata-kata Mia
bagai sedikit berjauh hati. Walaupun itu semua ulangan luahan minggu lepas,
namun hati ini tetap tersentuh. Perlahan aku melabuhkan punggung ke kerusi.
“Abang Kamal memang macam tu. Dari
dulu pun, dia memang tak berapa suka sambut birthday sendiri. Tapi, birthday
orang, tak pula dia lupa. Dia cakap, dia tak nak ingatkan diri sendiri yang
umur dia dah makin tua…,”aku sedikit berseloroh. Mia tersenyum kecil.
“Nasiblah Diya. Dah kita ni,
bertepuk sebelah tangan. Terpaksalah buat muka tebal macam ni,”
Aku pandang wajah Mia yang sedikit
suram. Rasanya tidak wajar kata-kata itu meniti daripada bibir wanita
sesempurna Mia. Memang bodoh Abang Kamal, kalau dia menolak wanita seperti Mia.
“Jangan cakap macam tu. Saya yakin
Abang Kamal tahu awak istimewa di mata dia,”
Mia tersenyum cuma. Mengangkat
muka sambil memandang wajahku.
“Tapi, tak seistimewa you, Diya.
I tahu dia masih belum boleh lupakan
you. Setiap kali I bercerita pasal you, I
nampak ada cahaya bahagia dalam mata dia. You’re so lucky, Diya. Fir betul-betul crazy about you. Kamal pun sama…,”
Aku kelu. Sedikit terkesan dengan
luahan hati Mia. Tiba-tiba hati jatuh simpati pada gadis di hadapanku ini.
“Mia… mungkin Abang Kamal keras
hati sikit. Tapi, saya nampak dia dah mula bawa awak masuk ke dalam hidupnya.
Dia tak pernah ada kawan perempuan. Dan, dia tak pernah layan perempuan seperti
dia layan awak. Dia dah kenalkan awak dengan Mak Long dan Pak Long…,”
“Kenalkan sebagai rakan setugas…,”sedikit
hambar Mia menyampuk.
“Awak betul-betul cintakan Abang
Kamal?,”
Mia tergelak halus.
“I tak pernah seserius ni…Cuma I
tak nak mendesak. I tak nak memaksa. Kalau ada jodoh antara kami, I nak jodoh
tu datang secara natural. Bukan kerana desakan I, bukan kerana terpaksa,”ujarnya
perlahan.
Aku mengangguk perlahan. Kagum
dengan kesabaran Mia. Juga, sedikit geram dengan hati batu Abang Kamal. Tidakkah
Abang Kamal nampak betapa sempurnanya wanita yang saban hari cuba memenangi
hatinya ini?
“Oh ya… jom tengok kek I buat. I
buat cheese cake. Kalau untuk Fir dulu, wajib chocolate cake lah… tapi, you
cakap Kamal suka cheese cake kan?,”
Aku tersenyum. Sedikit kelat
senyumanku tatkala nama Encik Firdaus turut dibawa bersama. Adakah setiap kali
ulang tahun kelahiran Encik Firdaus, Mia akan sediakan kek untuk lelaki itu?
“Diya?,”
Aku termangu-mangu seketika.
Kemudian segera mengangkat punggung menuju ke arah ruang dapur basah. Melihat
kek yang dihias indah.
“Cantik…,”pujiku ikhlas.
Cemburunya pada kebolehan gadis ini.
“Kalaulah saya pun pandai masak
macam awak…,”aku bersuara lagi. Mengundang tawa kecil Mia.
“Bolehlah. Mana ada benda
mustahil. You boleh belajarlah…,”
Aku tersenyum kecil. Terus
memandang ukiran kata-kata ucapan selamat hari lahir buat Abang Kamal. Begitu
sekali Mia mahu menyambut hari lahir Abang Kamal. Semoga Abang Kamal menghargai
setiap apa yang telah Mia lakukan ini.
“Semua dah siap. You duduk dulu. I
panggil Kamal and Fir…,”
Aku mengangguk. Memandang kosong
pada langkah Mia yang anggun menuju ke ruang tamu. Jauh di sudut hati, aku
ingin sekali berkebolehan seperti Mia. Mia bagai ratu cantik yang berkebolehan
di dalam semua perkara. Juga dihadiahkan dengan sekeping hati yang cukup baik.
Syukur tiada rasa cinta di hati Encik Firdaus untuk Mia. Kalau tidak, tentu aku
tidak akan mampu memiliki lelaki itu. Jujurnya, aku tidak mampu menandingi Mia.
Antara aku dan Mia umpama langit dan bumi.
*****
“Abang bertuah. Mia sanggup
lakukan semua ni, untuk abang,”aku membuka bicara setelah makan malam berakhir.
Setelah sambutan hari ulang tahun kelahiran yang dibuat serba ringkas itu
berakhir.
Abang Kamal kulihat tersenyum
cuma. Lebih senang menikmati suasana malam dari halaman rumahnya itu. Mia
meminta diri ke dapur untuk menghidangkan sedikit pencuci mulut dan Encik Firdaus
meminta diri ke tandas. Kesempatan yang kurasakan sesuai untuk aku katakan
sesuatu pada Abang Kamal.
“So, apa pendapat abang tentang
Mia tu?,”bisikku perlahan sambil tersenyum nakal.
Abang Kamal sekadar menjongket
bahu. Membuat aku sedikit geram. Seperti tiada perasaan.
“Takkan abang tak rasa apa-apa?,”
Abang Kamal mencemik pula.
“Well… bila ada seorang kawan yang
begitu bersungguh-sungguh nak adakan sesuatu yang istimewa macam ni, untuk
abang, memanglah ada rasa terharu sikit. Lebih-lebih lagi dia sanggup minta
tolong dari adik abang ni…,”Abang Kamal bersuara bersama nada menyindir di
hujungnya.
“Kawan aje?,”soalku tanpa
mempedulikan sindiran Abang Kamal.
Abang Kamal mengangguk.
“Ya. Kawan aje,”
Aku merengus geram.
“Abang janganlah keras hati
sangat. Peluang untuk abang kenal gadis baik macam Mia tu, cuma datang sekali
sahaja dalam seumur hidup. Jangan sampai abang menyesal nanti…,”
Abang Kamal tergelak kecil.
“Dah tukar kerja ya?,”
Aku kerutkan kening.
“Tukar kerja apa?,”
“Jadi macth maker…,”
Aku tarik muncung. Sedikit geram
dengan nada main-main Abang Kamal.
“Tiha seriuslah bang… Sampai bila
nak membujang macam ni? Dia sendiri yang cakap, tiap kali sambut birthday,
maknanya umur dah makin meningkat. Dah makin tua… tapi tak pernah fikir nak
cari teman hidup,”aku mula mengomel.
Abang Kamal tersenyum lagi
kemudian mengeluh perlahan. Memandang wajahku dengan riak yang sedikit serius.
“Biar makin tua. Jangan tersilap
memberi harapan,”
Aku pandang wajah Abang Kamal. Apa
maksud Abang Kamal? Tidak mngkin Abang Kamal masih mengharapkan aku yang kini sudah
pun bergelar isteri orang!
“Kenapa abang cakap macam tu?,”
“Tiha… terima kenyataan hidup
mungkin mudah. Tapi, nak padam apa yang ada dalam hati, tak mudah. Abang tak
mahu nanti baik abang…atau Mia… kami sama-sama menyesal dengan keputusan yang
abang ambil. Abang tak berani nak terima sesiapa selagi hati abang belum
terbuka untuk sesiapa. Lebih-lebih lagi untuk gadis sebaik Mia,”
Aku tunduk seketika. Sebegitu
parahkah luka yang aku tinggalkan di hati Abang Kamal? Perlahan aku mengangkat
muka. Memandang wajah Abang Kamal yang tenang.
“Semuanya sebab Tiha ke, bang?,”
Abang Kamal tersenyum kecil.
“Dah tentulah bukan sebab Tiha.
Semuanya sebab abang. Kedegilan hati abang. Abang boleh terima kenyataan yang
Tiha memang bukan milik abang. Tapi, hati abang tak boleh melupakan semua
perasaan yang terbina sekian lama. Bila abang tak boleh lupakan semua tu,
macam-mana abang nak terima Mia dalam hidup abang? Tak adil bagi Mia kan?,”
“Kasihan Mia…,”
“Kan lebih kasihan kalau abang terima
dia hanya semata-mata sebab abang nak buang Tiha dari hidup abang. Itu lagi tak
adil untuk dia, kan? Kalau abang tak berjaya lupakan Tiha, apa akan jadi pada
dia?,”
Aku mengeluh berat. Bila soal
perasaan yang dibincangkan, pastinya tiada satu kata putus yang melegakan boleh
diambil.
“Bincang apa ni, serius betul
muka?,”
Pantas aku berpaling. Melihat
senyum lebar Mia bersama sepiring oren yang sudah siap dipotong.
“Sembang kosong…,”pantas Abang
Kamal menjawab.
Dapat kulihat senyum di bibir Mia
seakan tidak begitu ikhlas. Mungkinkah Mia mendengar perbualan kami? Sungguh
aku bersimpati dengan Mia. Dan, kenapa aku yang menjadi punca Mia gagal
mendapat cinta Abang Kamal? Mungkinkah kalau aku menerima Abang Kamal, Mia masih
ada peluang untuk mendapatkan cinta Encik Firdaus? Tiba-tiba mindaku bergerak
cukup jauh mencari konklusi. Satu konklusi yang membuat jantungku berdetak
laju. Mana boleh! Encik Firdaus cuma milikku. Hanya akan menjadi milikku sampai
bila-bila!
“Tiya?,”
Aku tersentak. Lamunanku pecah
perlahan-lahan. Encik Firdaus sudah pun berada di hadapanku.
“Melamun?,”soalnya sambil
tersenyum. Aku tersengih. Encik Firdaus mengalihkan pandangan ke arah Abang
Kamal.
“Kamal, I rasa, baik kami beredar
dulu. Thanks for dinner. And…Mia… your dinner, macam selalu… the best among the
best,”Encik Firdaus bersuara.
Ucapan untuk Abang Kamal membuat
hati aku riang, namun ucapan untuk Mia tiba-tiba membuat aku sesak nafas. The
best among the best? Aku mengerling ke arah Encik Firdaus. Kemudian pada Mia
yang tersenyum lebar. Tetapi, makan malam tadi memang sedap. Rasanya pujian itu
pun memang wajar. Cuma apabila mulut Encik Firdaus yang memuji, hati aku sudah
gundah-gulana.
“Thanks for coming,”ucapan
basa-basi Abang Kamal sudah tidak melekat di hati. Kepala asyik memproses
pujian Encik Firdaus untuk Mia. Aku mengeluh perlahan. Parah kau Tiya! Bila nak
belajar kurangkan cemburu buta tu? Tiba-tiba satu herdikan pecah di hatiku.
Membuat aku malu sendiri. Fokus kini kualihkan semula pada tiga insan di
hadapanku.
Encik Firdaus sudah mencapai
jemariku. Memberitahu aku yang sudah sampai masanya untuk kami beredar.
“Tiha balik dulu, bang. Mia… saya
balik dulu. Betul kata abang Fir, masakan awak memang superb…,”aku bersuara
sambil tersenyum.
Mia tergelak panjang.
“Ada-ada ajelah. Biasa saja
Diya,”balas Mia riang. Kemudian pandangan Mia beralih ke arah Abang Kamal.
“And…. tuan rumah… rasanya I pun
patut balik kot, sebelum kena halau. Takut betul dia nak duduk berdua dengan
I,”usik Mia sambil mengerling ke arah Abang Kamal. Encik Firdaus tergelak
kecil.
“Bukan takut…tapi, kurang manis.
You jangan salah faham pula,”
Mia mencemik.
“Betul…. Apa pun, thank you so
much. Maybe ini sambutan ulangtahun yang tak akan I lupakan sampai bila-bila.
Sambutan yang ke…,”
“Tiga puluh tiga,”laju aku
menyampuk.
“How about, tolak tiga kat
belakang tu?,”Abang Kamal berseloroh. Mengundang tawa aku dan Mia.
“Perasan nak mudalah tu…,”ejekku
masih bersama tawa yang panjang. Encik Firdaus sekadar tersenyum. Sedikit lebar
berbanding senyum Abang Kamal.
****
5 comments:
ala tiya xhabis cemburu lagi
kamal sayang tiya ..huhuuu
cian mia
X abis cemburu...cian mia
yeahhhh...Tiya & En.Fir coming back...
ya Allah...sukanya hanni
nak lagi n lagi....
lebiuuuuu hanni ;)
tiya..trs lg la tuh
kak..npe blh klik smp bab 7 je?
Post a Comment