Saturday, May 12, 2012

BIARKAN YM TERUS BICARA 1

Rapuh? Hancur? Ya! Nyaris luruh hatiku. Kata-kata yang baru sahaja meniti lembut di bibir Encik Firdaus benar-benar membunuh sekeping hatiku yang selama ini begitu indah dengan jalur-jalur pelangi. Deruan ombak yang menghempas pantai bagai suara esakan yang tidak mampu aku luahkan saat ini. Kaku. Pegun. Tidak percaya! Tidak mungkin.
“Maafkan abang, Tiya,”
Sekali lagi Encik Firdaus bersuara. Menambahkan rasa sedih yang semakin berhimpun di sudut hati. Bukan kata maaf yang ingin aku dengar.
“Abang? Abang bergurau kan? Abang saja nak usik Tiya kan?,”aku cuba bersuara. Walau payah, aku tetap lontarkan soalan itu bersama sedikit getar. Jemari Encik Firdaus segera aku capai. Aku pasti dingin jemariku dapat meresap ke kulit Encik Firdaus yang hangat. Erat aku genggam tangan Encik Firdaus yang kaku. Langsung tidak membalas genggamanku seperti selalu. Menanggapi Encik Firdaus yang dingin, aku teresak perlahan-lahan. Benar-benar sedih dengan tingkah Encik Firdaus.
“Kenapa jadi macam ni, bang? Kenapa abang macam ni?,”sekali lagi aku bertanya. Kali ini sepasang mataku benar-benar mahukan penjelasan daripada Encik Firdaus. Aku perlu tahu kenapa! Namun, Encik Firdaus memilih untuk diam. Diam yang membuat hatiku semakin tidak keruan. Kami tidak pernah ada masalah. Kami bahagia. Teramat bahagia! Kenapa tiba-tiba sahaja semuanya menjadi segawat ini? Kenapa tiba-tiba Encik Firdaus tega melukai hatiku sebegini.
Melihat Encik Firdaus yang membisu seribu bahasa, aku segera berpaling. Aku perlukan penjelasan. Aku berhak untuk satu penjelasan. Kalau tidak daripada mulut Encik Firdaus, mungkin aku perlukan orang lain untuk terangkan segala-galanya padaku.
“Mia?,”semakin bergetar suaraku saat nama itu aku sebut. Mia yang berdiri tidak jauh dari kami, kulihat tertunduk. Langkah aku hayun mendekati gadis itu.
“Awak berpakat dengan abang Firdaus kan? Awak berpakat nak kenakan saya saja kan?,”aku menebak lagi.
“Diya, I am sorry,”
Aku tegak menahan nafas. Mia juga memohon maaf. Jadi, ini bukan lagi satu gurauan kejam. Ini satu kenyataan kejam.
“Kenapa semua orang nak minta maaf? Tiya nakkan penjelasan. Bukan kata-kata maaf. Apa sebenarnya yang berlaku ni, bang? Mia?,”
“Semuanya tak dirancang Diya…,”
Aku kembali berpaling menatap wajah Mia.
“Apa? Apa yang tidak dirancang?,”
“I tak rancang untuk jatuh cinta pada Firdaus,”
Aku ternganga. Mustahil!
“We are in love, Tiya…,”
“Bohong! Tipu! Abang cakap abang cintakan Tiya. Cuma cintakan Tiya. Abang cakap abang tak akan jatuh cinta pada Mia. And, Mia… awak cakap awak tak akan jatuh cinta pada suami saya. Awak cakap awak cintakan Abang Kamal. Apa semua ni?,”
“Kami tak minta semua ni Diya. Semuanya berlaku tiba-tiba,”
Runtuh rasanya istana bahagia yang tersergam indah di hati. Longlai rasanya langkah yang kuatur. Aku berdiri betul-betul di hadapan Encik Firdaus. Merenung jauh ke dalam sepasang matanya yang kelihatan ada secebis rasa bersalah. Cukup dalam aku meneroka renungan itu. Sedikit pun tidak aku sangka prasangkaku selama ini akhirnya menjadi kenyataan.
“Sampai hati abang…,”
“Tiya… abang tahu Tiya kecewa. Tapi, tak mungkin kami boleh sembunyikan semua ni daripada Tiya. Abang tak nak Tiya dapat tahu semua ni daripada mulut orang…,”
“Sekarang Tiya dah tahu… so?,”dengan nada kecewa berbaur marah, aku lontarkan soalan itu. Segunung janji yang pernah diberikan oleh Encik Firdaus terasa seperti ranap sama sekali.
“Tiya, abang harap Tiya mengerti keadaan kami. Abang harap Tiya dapat terima Mia dalam hidup kita?,”
Aku tergelak kecil. Mudah sungguh. Selesai sudah masalah ini bagi Encik Firdaus. Kemudian mataku mencari riak wajah Mia. Entah kenapa saat ini, wajah jelita itu cukup membuat hati aku sakit.
“Awak betul-betul mahukan abang Firdaus ke Mia?,”
“Diya…,”
Kata-kata Mia mati tanpa penamat. Walau ada kesal di wajah itu, namun rasa benci di hatiku sedikit pun tidak berkurang.
“Kau orang dah ada kata sepakat, kan? Dan nekad nak bersama, kan? Okay. Tiya tak akan susahkan abang dan kawan baik abang ni. Tiya yang akan pergi. Kalau abang berharap Tiya setuju untuk berkongsi kasih dengan Mia, abang silap. Tiya sanggup hidup sendiri daripada hidup berkongsi suami,”
“Tiya, jangan macam ni. Kita boleh bincang, kan?,”
“Tidak! Tak ada apa nak dibincangkan kalau ini soal hati abang yang dah berubah. Tiya tak nak bermadu!,”
“Tiya… abang tak akan lepaskan Tiya,”
“Tak nak! Tiya tak nak bermadu. Tak nak!,”
“Tiya, dengar dulu,”
Jemari Encik Firdaus yang cuba mencapai tanganku, aku tepis kuat. Laju aku melangkah meninggalkan Encik Firdaus dan Mia. Sakit hati aku andai terus berada di situ.
“Tiya, tunggu…,”
Aku terus berlalu. Membawa air mata yang mula menitis.
“Tiya…Tiya…,”
Panggilan itu aku biarkan berlalu bersama bayu pantai. Air mata perlahan-lahan membasahi pipi.
“Tiya…Tiya…,”
Aku terus berlalu. Aku terus menangis. Membiarkan bahuku bergerak mengikut irama tangisan.
“Tiya… kenapa ni?,”gerakan di bahuku terasa sedikit kuat dan soalan itu membuat hatiku semakin parah.
“Tiya… Tiya…Kenapa ni? Mimpi ke?,”sayup-sayup suara Encik Firdaus sampai ke telingaku ketika aku masih sedih melayan tangis. Terasa ada tangan yang kejap memegang bahuku.
“Bangunlah sayang. Mimpi ke?,”
Perlahan aku membuka mata. Ada wajah Encik Firdaus di situ. Tetapi, di mana Mia? Yang ada cuma aku dan Encik Firdaus.
“Mana Mia?,”melilau aku melihat sekeliling. Tiada lagi deruan pantai. Tiada lagi bicara menghiris hati daripada Encik Firdaus. Juga tiada lagi wajah Mia yang menyakitkan hatiku seketika tadi.                                                
“Tiya?,”
Aku memandang wajah Encik Firdaus yang kehairanan. Untuk beberapa saat seterusnya baru kusedar aku berada di bilik tidur. Di sisi Encik Firdaus. Dan, ternyata semua yang kualami seketika tadi cuma mimpi.
“Abang…,”tanpa menyambung bicara, tubuh Encik Firdaus kupeluk erat. Sungguh mimpi itu seperti benar-benar berlaku dan aku tidak mahu semua itu menjadi realiti. Pelukan dibalas perlahan. Perlahan juga Encik Firdaus mengusap rambutku sambil aku menyeka air mata yang basah di pipi.
“Kenapa ni? Tiya mimpi apa sampai menangis macam ni sekali? Mimpi ngeri ke?,”
Aku diam. Cuma terus erat memeluk tubuhnya. Sungguh-sungguh aku tidak mahu kehilangan Encik Firdaus.
“Mimpi hantu ke?,”soal Encik Firdaus lembut sambil meleraikan pelukan. Memandang wajahku dengan renungan redupnya. Perlahan jemarinya turut mengesat pipiku yang basah. Tersenyum memandangku. Aku diam. Kalau mimpi hantu, aku pasti hantu yang akan menangis, bukannya aku.
“Tiya?,”
“Tiya mimpi abang nak kahwin dengan Mia…,”aku bersuara perlahan. Mata kupakukan kemas ke wajah Encik Firdaus. Wajah itu kelihatan sedikit terkejut pada mulanya, sebelum bibirnya mula mengukir senyum. Dan, daripada senyum itu, dilanjutkan kepada satu gelak kecil. Aku menahan nafas. Gelak itu menyakitkan hatiku.
“Tiya seriuslah, bang,”
 “Sebab tu abang gelak…,”ujarnya sambil terus tergelak. Spontan menjemput muncung panjang di bibirku. Pandangan aku alihkan ke arah lain.
 “Patut abang dengar marah-marah abang. Marah abang nak kahwin lagilah tu ya?,”
Aku diam. Wajah merona merah. Igauanku menjamah gegendang telinga Encik Firdaus? Malu sungguh.
“Ok…sorry sayang. Tapi, takkan sampai bawa ke dalam mimpi? Sarat sangat kepala fikir pasal Mia ke?,”
Aku terus membisu. Mata terarah pada jam di dinding. Pukul 2.30 pagi. Pantas aku kembali berbaring sambil menarik selimut.
“Soalan abang belum jawab?,”
“Mengantuk. Nak tidur,”
Encik Firdaus tergelak lagi. Turut sama menjatuhkan badannya di sisiku.
“Tak nak cerita kat abang, macam-mana mimpi Tiya?,”
“Tak nak,”aku menjawab pendek sambil mataku telus merenung siling.
“Kenapa?,”
“Takut nanti jadi kenyataan…,”
Encik Firdaus tergelak kecil sambil menggeleng. Aku menoleh ke arahnya.
“Bukan main suka lagi abang ya? Berharap nanti mimpi Tiya jadi kenyataan ya?,”sinis aku bertanya. Geram sebenarnya melihat tingkah Encik Firdaus yang tidak serius. Dia ketawakan aku gara-gara aku mimpikan Mia. Lebih tepat lagi gara-gara aku bermimpi dia mahu berkahwin dengan Mia. Hampeh sungguh!
“Tiya tengok muka abang, macam-mana? Macam nak kahwin dengan Mia ke?,”
Aku membuang pandang. Menarik selimut menutup muka sambil berpaling membelakanginya. Telingaku menangkap keluhan kecil dari bibir Encik Firdaus.
“Mimpi tu mainan tidur aje. Jangan difikirkan sangatlah,”Encik Firdaus bersuara lembut. Barangkali mahu sedapkan hatiku.
“Kalau jadi kenyataan macam-mana?,”soalku dari dalam selimut. Kerisauan di hati tidak membenarkan aku untuk terus diam.
“Hmm… kalau mimpi tu boleh jadi kenyataan…,”
Kata-kata Encik Firdaus yang terhenti perlahan-lahan, membuat aku semakin gelisah. Segera selimut kutarik ke bawah. Mata melotot merenung wajah Encik Firdaus.
“Kalau boleh jadi kenyataan?,”soalku sedikit marah. Merenung tajam wajah yang jelas kelihatan tidak serius itu. Encik Firdaus terus tersenyum sambil matanya sekilas menjeling ke arah jam di dinding.
“Hmm… kalau mimpi Tiya ni boleh jadi kenyataan… sekarang baru pukul 2.30 kan? Lepas ni, Tiya tidur, Tiya mimpikan pula kita dapat baby. Abang doakan sekali mimpi tu jadi kenyataan…,”selamba Encik Firdaus memberi cadangan membuat aku tersenyum tanpa sedar. Rupa-rupanya suamiku mahu mengusik. Aku mengeluh panjang. Ya, betul kata Encik Firdaus. Itu cuma mimpi dan mimpi cuma mainan tidur. Perlahan aku menggaru kepala yang tidak gatal sambil memandang wajah Encik Firdaus. Tersenyum manis padanya.
“Betul kata abang. Mimpi cuma mainan tidur. Tak perlu risau apa-apa, kan?,”
Encik Firdaus mengangguk sambil mengangkat ibu jari. Gelagat yang kini menjemput tawa kecilku.
“Tiya buat abang terjaga ke tadi? Sorry ya bang,”aku bersuara apabila memikirkan mungkin tidur Encik Firdaus terganggu dek igauan ngeriku tadi.
“Taklah. Abang belum tidur. Baru lepas siapkan kerja sikit tadi,”
“Lewatnya. Tidurlah. Tiya nak tidur ni,”
“Ok sayang. Sweet dream ya…,”ucap Encik Firdaus bersama senyum mengusik. Perli aku barangkali. Sambil itu seperti biasa satu kucupan hinggap ke dahiku sambil mengelus rambutku seketika sebelum dia turut sama menarik selimut ke paras pinggang. Aku mengerling sambil tersenyum.
“Good night..,”tingkahku bersama satu ciuman di pipinya. Mengharapkan lenaku selepas ini tidak lagi diganggu mimpi yang bukan-bukan.


******

2 comments:

Unknown said...

Huh! lega. Ingatkan betul-betul tadi. =)

sisuarahati said...

wah!!tukar jalan cerita lagi..tapi mmg suspend..ape pon..xsabar nk tunggu cerita ni di bukukan.. :)

[11:35:50 PM] hos.getah: