Saturday, November 1, 2008

Pergilah Air Mata 4

Dengan malas dia menanggalkan tali lehernya. Penat. Matanya sekali lagi memandang sekeliling. Bilik itu kosong. Sabrina tiada di situ. Dia menghela nafas panjang. Bagus juga. Ada sedikit ruang untuk dia bersendiri. Kadang-kadang rimas rasanya, setiap kali pulang dari pejabat, dia disuakan dengan wajah murung Sabrina. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi. Bersandar seketika. Cukup untuk melegakan rasa letih yang bergayut di tubuhnya. Sejak beberapa hari ini, Sabrina seolah-olah mengerti apa yang bermain di hatinya. Sabrina melarikan diri sebaik dia tiba di rumah. Sabrina seakan-akan tahu dia tidak mahu melihat wajahnya. Sambil dia menggeliat, matanya tertancap pada sehelai kertas yang terselit di bawah bekas pen. Pantas tangannya mencapai cebisan kertas yang tertulis sesuatu di situ.
[ Saya nak minta izin keluar. Saya nak ambil barang di rumah sewa saya]
Badrul diam seketika. Tidak memberi apa-apa reaksi buat seketika. Setelah agak lama, perlahan-lahan, mindanya mula memproses permintaan Sabrina. Rumah sewa? Di mana rumah sewa gadis itu? Berhampiran dengan kediamannya ke? Langsung dia tidak tahu. Selain daripada Sabrina Shahzan, nama penuh isterinya itu, memang Badrul tidak tahu apa-apa lagi tentang Sabrina. Nama itu pun terpaksa dia hafal untuk dilafazkan di hadapan kadi. Sesungguhnya dia tidak kenal langsung siapa Sabrina Shahzan yang kini terpaksa berkongsi katil dengannya. Dia mengeluh panjang. Bangkit dari kerusi sambil bergerak ke jendela.
Dari jauh dia melihat Sabrina melayan menungnya di hujung halaman. Termenung sambil menongkat dagu. Kadang-kadang terdetik rasa aneh apabila melihat Sabrina. Pelik. Misteri. Apa sebenarnya yang sedang bermain di hati gadis itu? Apa sebenarnya agenda tersembunyi yang membawa gadis itu ke chaletnya lebih tiga minggu yang lalu? Apa sebenarnya yang Sabrina inginkan daripadanya? Siapa sebenarnya Sabrina? Matanya lari pula pada coretan nota Sabrina yang masih dipegangnya. Melihat kertas itu, tanpa sedar, senyum menguntum di bibir. Tidak menyangka Sabrina mengikut sahaja saranannya di dalam marah, tempoh hari. Saranan itu bukanlah satu saranan serius yang dia inginkan. Rasa marah yang membuak mendesak dia berbicara tanpa berfikir. Dan, Sabrina menurut sahaja apa yang dia ungkapkan. Semenjak hari itu juga, Sabrina langsung tidak bercakap dengannya. Sebaik bertentang mata, cepat-cepat gadis itu menghilangkan diri. Dia harus berterima kasih untuk itu sebenarnya. Lapang rasa dadanya tanpa gangguan dari Sabrina. Tidak sangka pula, Sabrina boleh bertukar menjadi seorang isteri yang sangat memahami. Isteri? Dia tergelak sinis. Sekali lagi pandangannya dihalakan ke arah Sabrina. Sabrina tidak lagi bersendirian. Ibunya tercegat di hadapan gadis itu. Berbicara sesuatu. Dia terus memandang wajah Sabrina yang terkebil-kebil mendengar. Jelas wajah itu bertukar mendung tiba-tiba. Pasti ibunya menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati. Ibunya berlalu pergi, dan dia melihat Sabrina menyeka pipi. Pasti menangis lagi. Dia menggeleng perlahan. Barangkali menangis merupakan salah satu hobi gadis itu.
“Tak habis-habis dengan air mata…,”rungutnya tanpa sedar.
“Apa dia Encik Badrul?,”
Badrul tersentak. Segera dia berpaling.
“Apa Kak Milah buat kat sini? Tiba-tiba terpacak kat belakang saya?,”soalnya sedikit keras. Geram dengan kehadiran Jamilah secara tiba-tiba.
“Err…akak dah ketuk pintu. Encik Badrul tak dengar. Pintu pula terbuka, jadi akak masuklah,”
Badrul merengus perlahan.
“Ada apa?,”
“Hmm… Datin tanya, Encik Badrul nak minum petang kat bawah ke kat dalam bilik?,”
“Bila masa pula saya suka makan dalam bilik? Itu pun nak kena tanya saya ke? Dah berapa lama Kak Milah kerja kat sini? Sampai apa yang saya suka dan apa yang saya tak suka pun, Kak Milah masih tak tahu?,”
“Tak adalah. Datin suruh tanya . Manalah tahu kalau-kalau Encik Badrul tak nak Puan Sabrina ganggu Encik…,”
“Kak Milah…,”
“Bukan akak yang cakap. Datin yang cakap. Akak cuma sampaikan saja,”cepat-cepat Jamilah menyampuk. Memang itu bukan ayatnya. Datin Hamidah yang mengeluarkan kata-kata itu. Dia cuma mengulangi kata-kata majikannya sahaja. Tidak lebih dari itu. Badrul tersenyum lucu. Melihat senyuman itu, Jamilah sedikit lega. Lamanya dia tidak melihat senyuman di bibir lelaki itu. Semenjak perkahwinannya dengan Sabrina, Badrul seperti sudah lupa bagaimana untuk senyum. Kasihan dia melihat majikannya itu.
“Saya nak mandi dulu. Nanti saya turun. Tak payah bawa makanan ke sini. Kak Milah pun tahu saya tak suka,kan?,”
Jamilah mengangguk.
“Tak suka apa?,”
Badrul memandang ke arah pintu. Datin Hamidah tercegat di situ. Jamilah cepat-cepat bergerak keluar dari ruangan itu. Badrul kambali berpaling ke arah jendela. Menyambung pandang ke arah Sabrina.
“Tak suka apa?,”sekali lagi ibunya bertanya.
“Tak ada apa-apa, mama,”
Datin Hamidah bergerak menghampiri Badrul. Berdiri di sebelah Badrul, matanya sekali lagi disuakan dengan wajah yang mengundang rasa sakit di hatinya. Dia mengeluh keras. Geram melihat Sabrina yang sedang termenung.
“Sejak bila kamu mula mengintai ni?,”
“Mengintai? Mengintai apa pula, mama?,”
“Bukan ke kamu tengah curi pandang bini kamu ni?,”
Badrul tergelak. Melencong sungguh tekaan ibunya. Tiada masa untuk dia mengintai Sabrina.
“Tak ada maknanya, saya nak mengendap dia,”
“Dah tu, apa kamu buat kat sini?,”
Badrul berpaling. Memandang wajah ibunya yang memuncung.
“Apa mama cakap dengan dia tadi? Lepas mama pergi, saya tengok dia menangis,”
“Hai… dah cair ke tengok air mata perempuan tu?,”
“Tak adalah. Saya tanya saja,”
“Mama tanya apa yang dia nak dari kamu. Itu saja,”
Badrul tersenyum nipis.
“Apa dia cakap?,”
“Dia diam. Memang saja nak mencabar marah mama. Kurang ajar,”
“Biarkanlah dia, mama,”
Datin Hamidah diam.
“Kertas apa tu?,”
“Hah?,”Badrul sedikit terpinga-pinga mendengar soalan ibunya.
“Kat tangan kamu tu. Kertas apa?,”
Badrul melihat kertas di tangannya.
“Oh… nota. Sabrina yang bagi,”
“Nota? Nota apa?,”
Badrul tidak menjawab. Kertas itu disuakan pada Datin Hamidah.
“Pergi ambil barang?,”
“Ha ah,”
“Hai… Kenapa sampai nak kena tulis pula. Dah tak ada mulut nak bertanya? Nak bercakap? Budak ni memang kurang ajarlah. Geramlah mama dapat menantu macam nilah,”
Badrul tergelak kecil. Dalam resah, ada rasa lucu melihat wajah ibunya yang merah menyala.
“Bukan salah dia, mama. Saya yang terlepas cakap hari tu. Tak sangka pula dia boleh ikut saja,”
Datin Hamidah mencebik.
“Dah mula menangkan dia, Nampak? Takkan Bad dah suka kat perempuan tu kot?,”
“Tak adalah mama. Saya cakap benda betul,”
“Hmm… benda betul konon. Kamu tahu ke kat mana rumah sewanya tu? Nampaknya macam nak pindah terus ke sini. Tak malu. Dah tahu semua orang kat dalam rumah ni, tak suka kat dia, terhegeh-hegeh nak usung barang dia masuk ke sini buat apa? Mama lagi suka kalau dia cepat-cepat keluar dari rumah ni. Tahu?,”
Badrul diam. Dia juga lebih suka kalau Sabrina memilih untuk keluar dari sini.
“Bad. Dengar tak mama Tanya?,”
“Apa?,”
“Kamu tahu ke kat mana rumah sewanya?,”
Badrul menggeleng.
“Tak tahu? Dah tu kamu nak lepaskan dia pergi?,”
“Yalah. Takkan nak halang pula,”
“Jangan nak mengada. Mama tak setuju,”
Badrul kerutkan kening. Pelik mendengar kata-kata ibunya.
“Kenapa mama?,”
“Betul ke dia nak pergi ambil barang? Entah-entah pergi jumpa jantan, tak? Mana tahu kot-kot dia nak jumpa kekasih dia ke. Kalau terjadi apa-apa, macam mana? Kamu nak abah malu sekali lagi? Mahu masuk ICU kami berdua nanti,”
Badrul terdiam. Berfikir sejenak.
“Takkanlah macam tu kot, mama. InsyaALLAH tak ada apa-apalah,”

“Yalah tu. Dalam tak ada apa-apalah, tup-tup tengah malam buta kamu call abah cakap kamu kena tangkap basah. Susah mama nak percaya perempuan tu,”
“Dah tu? Macam mana?,”
“Tak payah nak pergi ambil apa-apa. Barang apa yang dia ada? Apa, anak mama dah tak ada duit ke nak beli barang untuk isteri? Beli saja yang baru. Habis cerita,”
“Sayang betul mama kat menantu ya? Sampai tak bagi keluar rumah…,”sakat Badrul tiba-tiba. Membuat wajah Datin Hamidah kembali bertukar warna.
“Itu bukan menantu. Itu hantu! Sebab dia hantu, kena rantai dia kat dalam rumah. Jangan bagi lepas keluar,”bebel Datin Hamidah marah. Badrul tergelak halus. Datin Hamidah kalau marah…Badrul tergelak lagi.
“Tak baik mama cakap macam tu,”
“Dah tu, apa kamu berdua buat tu… baik?,”
“Mama ni. Kan saya dah cakap. Kami tak ada buat apa-apa pun. Saya tak kenal dialah, mama,”Badrul bersuara. Gelaknya hilang tiba-tiba. Soalan paku buah keras ibunya menghilangkan mood nya.
“Sebab kita tak kenal dia, kita kena hati-hati dengan dia. Entah-entah dia ada niat jahat kat keluarga kita. Tak pun nak mengikis harta orang,”
“Hmm… kalau ada cita-cita nak mengikis harta orang… mimpilah, mama. Mama ingat saya ni bodoh ke, nak bagi dia semua tu?,”
“Sekarang memanglah kamu tak bodoh. Tapi, mama risau kot-kot satu hari nanti, dia berjaya bodoh-bodohkan kamu. Itu yang mama paling risau,”
“Don’t worry, mama,”
Datin Hamidah diam. Matanya sekali lagi ditebarkan ke halaman. Sabrina sudah tiada di meja itu.
“Ingat tu. Jangan lepas dia keluar seorang. Kurung saja dia kat rumah ni. Mama tak nak nanti timbul pula masalah baru,”
“Tahulah saya nak buat macam mana. Mama jangan risau,”
“Yalah,”
Badrul tersenyum tawar sambil memerhati setiap langkah yang diatur Datin Hamidah. Perlahan wanita separuh abad itu melangkah keluar dari biliknya. Dia pula perlahan menutup jendela yang terbuka.

****
Wajah Ikmal di screen telefon bimbitnya, ditatap lagi. Rindunya dia pada lelaki itu. Betapa dia terlalu mengharapkan lelaki itu datang padanya. Memujuknya seperti selalu. Mendendangkan cerita-cerita lucu untuk dia buang jauh kesedihan hati. Tetapi, Ikmal tidak muncul. Barangkali lelaki itu tidak akan muncul lagi. Segalanya kini Cuma tinggal kenangan. Kenapa perlu begini akhirnya cinta dia dengan Ikmal? Sangat tragis.
“Awak siapa?,”soalnya hairan. Sepatutnya ruangan ini kosong. Tidak ada sesiapa, sebab Maria terpaksa keluar berjumpa temannya. Pintu tidak berkunci. Maria sudah jelaskan. Memandangkan dia sudah hampir sampai, pintu tidak dikunci, sementara kunci Maria pegang. Tidak mahu mengganggu seandainya dia terpaksa pulang lewat. Itulah yang Maria ucapkan menerusi telefon. Dan sekarang? Siapa lelaki ini?
“Apa awak buat dalam bilik ni?,”
Sabrina terkedu. Segera dia berpaling muka. Segan melihat lelaki di hadapannya yang hanya bertuala. Kepalanya ligat berfikir. Dia yakin inilah nombor bilik yang Maria berikan padanya. Hatinya digaru resah. Perlahan dia menggaru kepala yang tidak gatal. Atau dia tersilap dengar?
“Hello…. Saya bercakap dengan awak ni. Apa awak buat dalam bilik saya?,”
Sabrina berpaling sekali lagi. Cepat-cepat dia tunduk melihat lelaki itu masih tidak berbaju. Sekali lagi dia mengangkat muka, tubuh lelaki itu sudah pun dibaluti T-shirt.
“Bilik awak?,”
“Yalah. Takkan bilik awak pulak? Cepat keluar,”
“Tapi…,”kata-kata Sabrina terhenti apabila pintu bilik diketuk tiba-tiba. Dalam keliru dia saling berpandangan dengan lelaki yang masih tercegat di hadapannya itu. Dengan langkah yang sedikit tergesa-gesa lelaki itu melangkah ke pintu. Sebaik pintu terbuka, beg di tangannya terlepas tiba-tiba. Hampir pitam melihat empat orang lelaki berkopiah tercegat di muka pintu. Terasa gelap dunianya. Tidak perlu mendengar apa yang dibicarakan oleh lelaki-lelaki itu, dia sudah tahu apa yang berlaku. Ujian apakah ini? Saat itu, dia terigatkan Maria. Di mana Maria? Maria tersilap beri nombor bilik, atau dia yang tersilap dengar? Ya ALLAH! Tidak sanggup dia lalui saat yang memalukan sebegini.
Ketukan yang agak kuat di meja membuat dia hampir terloncat dari kerusi. Peristiwa hitam yang mengganggu fikirannya, hilang tiba-tiba. Dia mengangkat muka. Badrul tercegat di hadapannya. Dia memandang kosong. Hairan dengan kemunculan lelaki itu secara tiba-tiba. Ada lagikah perbuatannya yang kurang senang di mata lelaki ini? Dia cuba untuk tidak menyusahkan lelaki ini. Bibirnya bergerak ingin bertanya. Tetapi, mengingatkan kata-kata Badrul tempoh hari, dia lebih suka berdiam diri. Sudahnya dia tunduk.
“Apa kau buat kat sini?,”
Sabrina mengangkat muka. Hairan mendengar soalan itu.
“Tak ada buat apa-apa. Kenapa? Awak nak duduk kat sini ke? Kalau macam tu, saya masuk. Saya minta maaf ya,”cepat Sabrina mengangkat punggung. Sangkanya berada di sini, dia tidak akan menganggu Badrul. Rupa-rupanya dia silap. Kepalanya ligat mencari ceruk untuk dia sorokkan wajahnya daripada penghuni banglo besar ini. Susahnya apabila diri dibenci orang.
“Menangis lagi?,”
Sabrina bungkam.
“Saya tak tahu awak ada dekat-dekat sini. Saya ingat awak dalam bilik. Saya minta maaf,”cepat-cepat Sabrina memohon maaf. Sudah berpuluh kali Badrul memarahinya. Sudah berpuluh kali juga lelaki itu memberi amaran.
“Tolong jangan menangis depan aku. Aku tak suka nak tengok,”
Mana mungkin dia dapat lupakan sebaris ayat itu. Tapi, kali ini, bukan salahnya. Badrul yang muncul tiba-tiba. Sudah hampir seminggu dia tenang menghabiskan waktunya di sini. Lewat tengah malam barulah dia bergerak ke bilik. Yakin, Badrul sudah lena diulit mimpi. Dia faham perasaan Badrul. Badrul tidak suka melihatnya.
“Saya masuk dulu,”
“Duduk,”
Langkah Sabrina terhenti. Berpaling sambil menatap wajah Badrul dengan pandangan hairan.
“Saya ke?,”
Badrul bersandar pada kerusi sambil matanya memandang sekeliling.
“Kau ada Nampak orang lain ke, kat sini?,”
Sabrina diam. Perlahan dia melabuhkan punggung di hadapan Badrul. Tunduk, menunggu bicara Badrul.
“Mana kau tinggal?,”
Sabrina mengangkat muka. Sedikit terpinga-pinga mendengar soalan itu.
“Saya? Maksud awak?,”
“Rumah sewa kau, kat mana?,”
Perlahan-lahan Sabrina memahami maksud soalan Badrul. Pasti Badrul sudah baca notanya. Hampir seminggu nota itu terletak di atas meja. Baru sekarang rupa-rupanya lelaki itu baca.
“Subang,”
“So, kau orang sini?,”
“Saya tinggal kat Subang. Menyewa dengan kawan saya. Dah jadi macam ni, saya rasa elok saya ambil barang-barang saya kat sana. Awak benarkan saya pergi?,”
“Rumah kekasih awak ke?,”
Sabrina kerutkan kening. Apa jenis soalan yang lelaki ini ajukan? Sungguh dia tidak senang dengan soalan itu.
“Kawanlah. Kenapa awak Tanya macam tu?,”
Badrul tidak menjawab. Cuma memandang wajah Sabrina yang jelas tidak senang dengan soalannya itu.
“Boleh saya pergi?,”sekali lagi Sabrina bertanya. Bukan senang untuk mencari saat-saat sebegini. Saat lelaki itu sudi ringankan lidah menyapanya.
“Tak payah ambil. Beli baru saja,”
“Tapi…,”
“Full stop,”tingkah Badrul sambil mengangkat punggung.
“Takkan saya nak tinggal semuanya kat sana. Menyusahkan kawan saya nanti,”
“Kamu ni,memang jenis yang menyusahkan orang pun. Beli yang lain. Beritahu kawan kau, kalau tak boleh simpan, buang semua barang kau tu,”
Sabrina terkebil-kebil. Melampaunya arahan. Ingat sampah ke?
“Saya kena pergi juga,”balasnya dalam takut. Badrul menoleh. Merenung tajam wajahnya. Membuat dia tertunduk. Kecut melihat renungan garang itu.
“Kau minta kebenaran aku. Sekarang aku dah cakap. Aku tak benarkan. Apa lagi yang tak kena ni?,”
“Takkan kereta saya pun, nak buang jugak…,”Sabrina menjawab perlahan. Membuat tawa pecah tiba-tiba di bibir Badrul. Langkahnya terbantut.
“Kau cakap nak ambil barang. Tak ada pun cakap nak ambil kereta,”
“Sekalilah tu,”
“Bila kau nak pergi?,”
“Hari minggu ni, boleh?,”
Badrul mengangguk perlahan. Sabrina tersenyum. Bagai tidak percaya mendengar jawapan Badrul. Badrul bergerak mendekatinya. Merenung dalam-dalam wajahnya.
“Muka kau Nampak lain,”
Sabrina kerutkan kening. Cepat jemarinya menyentuh pipi. Apa yang lain?
“Patutlah. Kau senyum rupa-rupanya. Ingat tak reti nak senyum,”
Sabrina terkedu. Badrul sedang bergurau ke? Tidak mungkin. Sebab wajah lelaki itu kelihatan terlalu serius.
“Errr… terima kasihlah. Saya pergi sekejap saja,”
“Aku ikut,”
Ha?! Bulat mata Sabrina menatap wajah Badrul. Kenapa perlu lelaki itu menemaninya?
“Tak payah. Saya tak nak menyusahkan awak,”
“Kenapa? Kau nak jumpa kekasih hati kau? Sebab tu tak nak aku ikut?,”
Sinis soalan yang meniti di bibir Badrul, sepeti biasa, menghiris perasaannya.
“Saya Cuma tak nak menyusahkan awak. Tapi, kalau awak nak ikut, saya tak kisah,”
“Ok,”balas Badrul sepatah lalu melangkah meninggalkannya.
Sabrina diam, menahan sebak. Cukup rendah pandangan penghuni rumah itu padanya.

****

No comments:

[11:35:50 PM] hos.getah: