Sebaik melangkah masuk ke bilik, beg
tangan aku letakkan perlahan di atas meja solek. Sejak membantu ibu mertuaku di
butiknya, masaku sedikit terisi. Seperti kehendak Encik Firdaus, tepat pukul
lima, aku harus berada di rumah. Itu syarat yang dia letakkan. Perlahan aku
melabuhkan punggung ke katil. Memandang sekeliling bilik yang cukup luas.
Bersendirian di bilik, membuat aku teringatkan ibu di kampung. Segera aku
bergerak semula ke meja solek. Mencari telefon bimbit di dalam beg tangan.
Sebaik telefon bimbit tergenggam di tangan, segera aku mencari nombor telefon
rumahku. Membuat satu panggilan. Sambil melekapkan telefon ke telinga aku
bergerak semula ke katil. Menanti panggilanku berjawab.
“Assalamualaikum, mak,”aku bersuara
laju sebaik panggilan berjawab.
“Waalaikumussalam…,”
Aku tersenyum lebar. Bersandar pada
kepala katil.
“Mak sihat?,”
“Sihat. Alhamdulillah. Anak mak
sihat?,”
“Sihat….Cuma rindu kat mak aje,”
“Dah jadi isteri orang, tak bolehlah
rindu-rindu sangat…,”
“Kenapa pulak? Kahwin ke tak kahwin
ke, mak tetap mak Tiya,”
Terdengar ibuku ketawa kecil.
“Kalau boleh tiap-tiap minggu Tiya
nak balik jenguk mak,”
“Mana boleh macam tu. Kesianlah
suami Tiya. Mak kat sini baik-baik aje. Tiya tak payah risaulah,”
Aku mengeluh kecil.
“Tiya ajak tinggal dengan Tiya, mak
tak nak…,”aku bersuara separuh merajuk. Teringat pada saranan Encik Firdaus
yang aku sampaikan pada ibuku sebulan yang lalu. Ibuku menolak mentah-mentah.
“Mana boleh mak nak tinggal kat
bandar tu. Rumah kita ni, macam-mana?,”
“Sesekali kan boleh balik tengok
rumah…,”
“Mak sayanglah nak tinggalkan rumah
ni. Semua ada kat sini. Tak apalah. Mak sihat lagi. Tak perlu Tiya risau
sangat. Nanti, kalau mak dah sakit-sakit, tak ada orang yang nak jaga, bolehlah
mak tinggal denggan Tiya…,”
Aku diam. Susah betul mahu memujuk
ibuku ini.
“Tiya telefon ni, kenapa? Nak
beritahu mak berita gembira ke?,”
“Berita gembira apa?,”
“Manalah tahu kot-kot mak nak dapat
cucu,”
Aku tergelak besar.
“Mak ni. Ada pula ke situ perginya.
Tak adalah. Tiba-tiba Tiya teringatkan mak.. jadi Tiya telefonlah. Tiya baru
balik ni. Tiya tolong mummy kat butik dia. Bosanlah duduk rumah…,”
“Hmmm….. eloklah tu. Jaga suami
elok-elok. Jaga mertua elok-elok,”
“Baik…. mak….,”ujarku berlagu.
“Nanti senang-senang Tiya call lagi
ya, mak. Tiya nak mandi. Kejap lagi abang Firdaus balik,”
“Yalah… sampaikan salam mak pada
Daud, ya,”
Aku tergelak lagi.
“Gelak pulak…,”
“Mana ada orang nama Daud kat sini,
mak,”sakatku girang. Terdengar ibuku merengus perlahan di hujung talian.
“Main-mainkan mak, ya,”
Aku tergelak lagi.
“Okaylah mak. InsyaALLAH nanti Tiya
sampaikan salam pada Daud tu. Assalamualaikum mak,”
Ibuku menjawab salam sambil mengomel
kecil. Seketika kemudian talian terputus. Aku merenung telefon bimbit di tangan
bersama senyum yang belum hilang.
“Daud…,”bisikku bersama tawa kecil.
Firdaus sudah bertukar menjadi Daud. Perlahan aku menggeleng. Mengatur langkah
menuju ke arah meja solek. Telefon bimbit aku letakkan di atas meja solek,
sambil mata menyapu wajah yang terpantul di cermin. Kapas muka aku capai lalu dibasahkan
dengan susu pembersih wajah. Perlahan-lahan aku sapukan pada wajah.
Menghilangkan bekas solekan nipis yang melekat di wajah. Rambut yang terikat
elok, aku leraikan. Mencapai sikat lalu disikat perlahan-lahan.
Bunyi
pintu dibuka menarik perhatianku. Segera mata teralih ke pintu bilik. Bersua
dengan wajah Encik Firdaus
“Assalamualaikum,
sayang…,”
Aku
senyum sambil perlahan menjawab salam itu. Sikat aku tinggalkan di meja solek,
sambil terus mendapatkan Encik Firdaus. Mengucup tangannya sambil mencapai beg
komputer riba yang tersandang di bahunya.
“Awal
abang balik?,”
Encik
Firdaus mengeluh panjang.
“Penat
sikitlah. Rasa macam tak larat,”
Aku
pandang wajah itu agak lama. Perlahan meletakkan jemariku ke dahi lelaki itu.
Kemudian beralih ke lehernya. Agak panas.
“Abang
nak demam ya? Panas ni…,”
“Penat
sikit aje kot. Abang tak apa-apalah,”Encik Firdaus berdalih sambil bergerak
menuju ke katil. Aku mengerling tidak puas hati. Melabuhkan punggung di sebelah
Encik Firdaus yang sudah terbaring. Jelas menunjukkan yang lelaki itu
benar-benar tidak larat.
“Tiya
ambilkan ubat ya?,”
Encik
Firdaus menggeleng perlahan. Aku pula mengeluh panjang.
“Dah
tak sihat… tak nak makan ubat pula…,”aku merungut perlahan. Mengundang senyum
di bibir Encik Firdaus, walau mata lelaki itu terpejam rapat.
“Jangan
cakap abang aje…Tiya pun sama…,”sempat Encik Firdaus perli dalam lembut. Aku
mahu menjawab, namun melihat keadaan suamiku itu, tidak sampai hati pula.
“Kepala
abang pening sikitlah. Boleh tolong picitkan tak?,”
Tanpa
banyak bicara, perlahan aku memicit kepala Encik Firdaus.
“Tadi
Tiya call mak. Dia kirim salam kat Daud,”
Spontan
gelak kecil pecah di bibir lelaki itu. Gelak yang membuat aku turut tersenyum.
“Waalaikumussalam.
Mak sihat?,”
“Sihat.
Abang dah solat Asar ke belum ni?,”aku bertanya sekadar mengingatkan apabila
terpandang jam di dinding hampir menunjukkan pukul enam petang.
“Dah.
Di office,”
“Abang
rehat dulu ya. Tiya belum solat. Nanti Tiya sambung picit kepala abang ya?,”aku
bersuara lembut. Memohon diri untuk meninggalkannya seketika. Tanganku dicapai
sambil dibawa ke bibirnya. Mata yang terpejam dibuka perlahan.
“Thanks.
Dah kurang sikit. Pergi solat dulu. Abang nak tidur kejap. Nanti kejutkan
abang,”
Aku
tersenyum sambil mengangguk perlahan. Mengusap lembut rambut Encik Firdaus yang
lebat sambil satu kucupan singgah di dahinya sebelum aku berlalu
meninggalkannya.
*******
Puan Junaidah sudah mengerutkan
kening. Aku pula menjengah bubur nasi yang Tini siapkan.
“Jarang Fir tu demam. Tiba-tiba saja
demam…,”
Ibu mertuaku meluahkan rasa tidak
puas hatinya. Aku cuma tersenyum kecil. Demam Encik Firdaus nampaknya tidak
semakin baik. Makan pun tidak lalu.
“Tiya ajak pergi klinik, abang tak
nak,”
“Bagi Fir tu makan ubat dulu. Kalau
tak kurang juga, baru pergi klinik,”Tuan Rashid memberi saranan.
Aku mengangguk perlahan. Bapa
mertuaku sudah mengangkat punggung meninggalkan meja makan.
“Puan, buburnya dah siap ni,”
Aku berpaling memandang Tini.
Semangkuk bubur sudah diletakkan di dalam dulang bersama segelas milo panas.
“Terima kasih, Tini,”
“Tini, buatkan kopi panas satu untuk
Tuan. Nanti hantar ke depan,”Puan Junaidah memberi arahan. Satu kebiasaan bapa
mertuaku. Minum kopi panas selepas makan malam. Tini bergegas menuruti arahan
ibu mertuaku.
“Tiya naik dulu, mummy. Kasihan
abang, tadi tak makan,”
“Yalah. Kejap lagi mummy tengok
Fir,”
Aku mengangguk. Dulang terus aku
capai sambil melangkah meninggalkan ruang makan. Mahu segera sampai ke bilik.
Pintu bilik aku tolak perlahan. Encik Firdaus terbaring ke katil. Dulang aku
letakkan di atas meja sisi di tepi katil.
“Abang…,”panggilku perlahan sambil
menyentuh jemarinya. Punggung aku labuhkan di birai katil. Encik Firdaus
membuka mata. Sempat mengukir senyum walau tidak selebar mana.
“Tini buatkan bubur. Abang makan
sikit ya. Tadi, langsung abang tak makan. Lepas makan bubur, makan ubat
ya?,”ujarku sambil membetulkan bantal. Memberi keselesaan untuk Encik Firdaus
bersandar.
“Abang okaylah…,”
“Okaylah sangat…,”omelku sambil
mencapai mangkuk bubur. Bubur yang masih berasap itu, aku kacau perlahan-lahan.
Encik Firdaus tergelak halus.
“Tiya suapkan…,”dia bersuara lembut.
Mahu bermanja barangkali. Aku tersenyum lebar.
“Boleh. Tapi, ada syaratnya,”
“Apa dia?,”
“Kena habiskan bubur ni,”aku
bersuara separuh bergurau. Perlahan bubur nasi, aku suap ke mulut Encik
Firdaus.
“Hai… teruk nampaknya demam ni.
Sampai makan kena bersuap,”
Aku berpaling. Ibu mertuaku sudah
tercegat di pintu bilik. Melangkah masuk bersama senyum lebar di bibir.
“Sekali-sekala nak bermanja, apa
salahnya mummy…,”Encik Firdaus bersuara bersama senyum kecil di bibir. Puan
Junaidah mencemik.
“Macam-mana boleh demam ni? Jarang
sangat Fir demam, tau. Pelik mummy…,”
“Dah nak demam, nak buat macam-mana?
Cuaca panas sangat agaknya campur penat dengan kerja bertimbun,”
“Hmm… kerja tu jangan sampai abaikan
kesihatan. Tiya, pastikan Fir makan ubat tau. Dia ni susah sangat kalau suruh
makan ubat,”
“Tak payah ubat, mummy. Tak elok
manjakan sakit dengan ubat ni. Nanti, sakit sikit nak ubat…,”
“Jangan dengar alasan dia ni,”bantah
Puan Junaidah serius.
Aku
tergelak kecil.
“Mummy keluar dulu. Lepas makan
ubat, rehat…,”sambung wanita separuh umur itu sambil melangkah keluar dari
bilik. Sebaik pintu tertutup rapat, satu tawa kecil terlepas dari bibir.
“What?,”soal Encik Firdaus bersama
senyum di bibir.
Aku menggeleng. Terus suapkan bubur
yang sudah tinggal separuh.
“Abang bukan macam Tiya, takut makan
ubat. Abang cuma tak suka biasakan diri dengan paracetamol ni,”
“Tak tanya pun….,”usikku nakal.
Lemah jemari Encik Firdaus jatuh ke kepalaku. Mengusap lembut rambutku.
“Cukuplah. Abang tak nak dah,”Encik
Firdaus menolak suapanku seterusnya. Aku pula tidak mahu memaksa. Mangkuk bubur
aku letakkan ke dulang, kemudian menghulurkan gelas berisi milo panas pada Encik
Firdaus.
“Makan ubat ya, bang. Takkan abang
nak demam lama-lama,”
“Okaylah, sayang…,”akhirnya Encik
Firdaus mengalah. Aku tersenyum sambil terus mencapai dua biji panadol yang
sudah aku sediakan. Menghulurkan tablet itu kepada Encik Firdaus.
“Tak nak potong kecil-kecil
ke?,”usik Encik Firdaus. Aku jegilkan mata. Encik Firdaus tergelak lemah sambil
membuka mulut. Aku suapkan panadol ke mulut Encik Firdaus dan segera Encik
Firdaus telan bersama air milo di tangan.
“Thanks, sayang,”ucap Encik Firdaus
begitu hampir di telingaku. Wajah lelaki itu aku usap perlahan. Masih panas.
“Abang rehat ya…,”
“Temankan abang…,”bisiknya sambil
menarikku rapat padanya. Aku diam. Cuma bantalnya aku betulkan dan membantu dia
berbaring dengan selesa. Perlahan dia pejamkan mata sambil erat tangannya
memeluk pinggangku yang bersimpuh di sisinya. Lama aku merenung wajah yang
kelihatan penat itu. Membelai lembut rambut yang jatuh ke dahinya. Mahu suamiku
itu lena dengan tenang.
*******
2 comments:
hahahahahahaha..
tita prenan...
fir alahan
sweet la
pembawakan budak.... firdaus yg kena... suka2...
Post a Comment