“Baru
balik, Ida?,”
Syuhada mengerling. Teguran itu
tidak diendahkan. Cuma perlahan dia menyimpan kasut di atas rak, sebelum dengan
malas dia melangkah meniti anak tangga. Senyum Azizul dan Ilham tidak sampai ke
jiwanya untuk dia balas dengan segarit senyum juga. Biarlah apa tanggapan dua
lelaki itu padanya, dia lebih suka berdiam diri. Lebih suka menghindar
sebenarnya. Tetapi, itu amat mustahil padanya. Bagaimana dia boleh menghindar dua
wajah yang kini sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya itu? Ikutkan hati
yang remuk, dia mahu habiskan masa di sekolah sehingga ke senja. Tidak mahu dia
muncul di sini dan berdepan dengan manusia-manusia ini.
“Ida sihat?,”Ilham bersuara lagi.
Barangkali cuba beramah mesra.
“Sihat,”
“Duduklah dulu,”
“Tak apa. Saya masuk dulu...,”
“Ida...,”
Langkahnya terhenti. Berpaling
memandang wajah Ilham dan Azizul. Dan, seperti biasa dua wajah itu sekali lagi
membuat hatinya tersapa rasa pilu yang berpanjangan.
“Ida masih marahkan kami?,”Ilham
bersuara perlahan.
“Kenapa saya nak marah? Tak ada
sebab saya nak marah. Semuanya dah suratan takdir. Kan? Bukan itu yang abang
Ilham dan Zul cakap pada saya?,”
“Tapi, Ida masih tak boleh
terima...,”
“Saya tak perlu berkorban hati dan
perasaan saya untuk orang macam Abang Ilham dan Zul. Untuk saya lupakan sakit
di hati semata-mata nak tengok kamu berdua tersenyum lega. Minta maaf. Saya tak
mahu tipu diri sendiri untuk kegembiraan orang lain. Tak mahu lagi,”
Ilham tertunduk dan Azizul mengeluh
perlahan. Syuhada mengunci mulut. Tiada lagi yang perlu dibicarakan.
“Ida... baru balik ke? Lama dah Kak
Long tunggu,”sapaan mesra itu mengalih pandangannya daripada dua wajah yang
pernah menghancurkan sekeping perasaannya itu. Senyum mesra Munirah dibalas
senang. Pelukan mesra Munirah bagai melepaskan rindu yang menggunung.
“Dah lama Kak Long sampai?,”soalnya
sekadar berbasa-basi.
“Lamalah juga. Lambat balik hari
ni?,”
Syuhada tersenyum nipis. Wajah ceria
kakaknya dipandang bersama senyum kecil. Sampai ke hari ini, dia yakin Munirah
tidak pernah sedar yang hatinya pernah hancur dek keputusan kakaknya itu. Dan,
dia tahu, semua itu bukan salah Munirah.
“Ada kerja sikit, kak Long,”
“Kerja apanya? Setakat cikgu sekolah
tadika tu, kerja apa sangatlah? Memang sengaja nak buat orang tertunggu-tunggu
kan? Mak dah cakap balik awal sikit. Sengaja juga kamu balik lambat kan? Tu,
adik kamu Rina tu, boleh aje sampai awal, padahal dia duduk kat pekan sana.
Kerja bank pula tu, boleh aje balik awal. Bukan selalu pun Kak Long kamu ni
balik sini. Susah sangat ke nak rai dia?,”bingit suara itu menyentuh gegendang
telinganya. Ibunya sudah bercekak pinggang di muka pintu. Menghadiahkan satu
renungan tajam padanya. Renungan yang hanya khusus untuk dia. Dan di sisi
ibunya, senyuman Rina terasa seperti sedang mentertawakannya.
“Alah mak... mesti Kak Ngah
serba-salah nak balik. Kak Long balik dengan suami. Rina pun ada suami. Kak
Ngah aje yang tak kahwin-kahwin. Mestilah Kak Ngah segan. Betul tak, Kak
Ngah?,”lancar kata-kata itu meniti di bibir bersama senyum panjang.
“Mana nak kahwin nya. Memilih
sangat. Dah elok ada yang nak, tak dilayannya. Suka sangat jadi anak dara
tua...,”
Syuhada tersenyum pahit. Sama pedas
kata-kata ibu dan adiknya. Sempat dia memandang sekilas wajah Munirah yang
merenungnya dengan pandangan simpati.
“Ida masuk dululah....,”dia bersuara
perlahan sambil bergerak meninggalkan ruang beranda.
“Tulah dia. Bercakap sikit terus
masuk bilik. Bercakap sikit terus merajuk...,”ibunya mula mengomel.
“Yalah. Macam mana Ida tak merajuk.
Tak baik Rina cakap Kak Ngah macam tu tau,”Munirah menegur sambil mengambil
tempat di sisi Ilham. Sempat menghadiahkan sekuntum senyum manis buat suaminya
itu.
“Eleh. Gurau pun tak boleh? Sensitif
sangat...,”balas Rina sambil mencemik.
“Itu bukan gurau sayang. Itu
menyindir namanya. Tak baik cakap macam tu,”Azizul menyampuk lembut dan muncung
Rina semakin panjang.
****
“Lari dari rumah ke ni?,”
Soalan Kak Zaiton dibalas dengan
senyum panjang. Tumpuannya kembali pada anak kecil Kak Zaiton yang leka dengan anak
patungnya.
“Diam pula akak tanya,”
“Taklah kak. Saja nak ambil angin
petang,”
Kak Zaiton tersenyum lebar.
“Macam baru sehari akak kenal Ida.
Ya?,”
Syuhada tergelak kecil sambil
mengeluh perlahan.
“Entahlah kak. Susah nak cakap. Saya
ni manusia biasa je kak. Tak boleh nak buat semuanya ok, padahal hati saya tak
ok,”
“Masih simpan dendamlah ya?,”
Syuhada termenung. Dendam?
Berdendamkah dia? Tidak. Dia tidak berdendam. Perlahan dia menggeleng.
“Saya tak berdendam, kak...,”
“Kalau tak berdendam, kenapa sampai
sekarang Ida belum redha lagi?,”
“Entahlah kak. Bukan senang nak
terima macam tu aje, orang yang janji nak kahwin dengan kita, tapi tiba-tiba
jadi abang ipar...jadi adik ipar...,”
“Tu sebab kena cari pengganti.
Jangan tutup terus hati tu,”
Syuhada tergelak halus. Pengganti?
Mustahil rasanya. Cukuplah hatinya remuk dek penangan lelaki. Tidak ada sebab
untuk dia terus sakitkan hati sendiri. Hasratnya untuk perkenalkan Ilham pada
keluarganya musnah begitu sahaja, apabila tiba-tiba Munirah jatuh suka pada
Ilham dan Ilham pula akhirnya mengaku cintanya berubah sudah. Hasrat untuk
merawat luka dengan kisah cinta yang baru, turut membuat hatinya semakin remuk.
Seperti Ilham, Azizul juga bagai terpukau dengan tarikan yang ada pada Rina.
Dia tidak ubah seperti satu medium untuk menemukan jodoh kakak dan adiknya. Namun, dia tahu Rina dan Munirah tidak salah.
Mereka cuma tahu Ilham dan Azizul sebagai temannya bukan sebagai bakal suami
yang ingin dia perkenalkan kepada keluarga.
“Tak naklah,”akhirnya dia bersuara.
“Kenapa?,”
“Nanti jadi adik ipar bongsu pula.
Makan hati lagi saya, kak,”Syuhada bersuara separuh bergurau membuat Kak Zaiton
tergelak besar. Wajah Syuhada yang tersenyum nipis itu dipandang lama. Wajah itu
menyimpan banyak kesedihan di sebalik senyum yang sering mekar di bibir.
“Dah trauma? Takkanlah jadi macam tu
lagi...,”
Syuhada tersenyum. Soalan itu tidak
berjawab.
“Haji Kasim macam-mana?,”
Senyum Syuhada mati tiba-tiba. Wajah
Kak Zaiton dijeling sekilas, mengundang gelak kecil wanita itu.
“Agaknya Haji Kasim tu ajelah yang
sepadan untuk saya. Kan kak? Itu pun kalau dia tak jatuh hati dengan Aira
nanti. Kalau tak, Haji Kasim pun jadi adik ipar saya jugak nanti,”
Kak Zaiton tersenyum sambil
menggeleng perlahan. Kata-kata Syuhada sekadar mainan di bibir. Dia tahu
tentang itu. Dia tahu kemelut perasaan yang terpaksa Syuhada telan.
“Mak Ida masih berkeras ke?,”
“Macam –mana mak paksa sekali pun ,
tak mungkin saya nak jadi isteri nombor tiga haji gatal tu. Baik saya tak
kahwin sampai mati...,”
“Sebab tu akak cakap, cari
pengganti. Jangan terus seksa hidup macam ni,”
“Akak tolong carikan ya?,”Syuhada
bersenda lagi. Tidak mahu meneruskan
perbualan tentang dirinya.
“Betul ni? Serius ni? Akak suka.
Boleh akak balik KL carikan adik akak untuk Ida,”
Syuhada tergelak besar.
“Gelak pulak. Akak serius ni...,”
“Tak payah kak. Dengan orang KL lagi
saya tak mahu. Lagi saya kena reject nanti. Nasib orang tak lawa, memang macam
ni lah. Kena redhalah. Kan?,”
Kak Zaiton mencemik. Syuhada menyambung
tawa sambil matanya tertancap pada sebuah kereta yang agak asing baginya.
“Tu bukan kereta abang Majid, kan?
Siapa tu Kak?,”dia bersuara perlahan. Memandang Kak Zaiton yang sudah berdiri
meninjau sebuah kereta mewah yang menjalar perlahan memasuki perkarangan
halamannya.
“Tak tahulah. Siapa ya...Orang sesat
kot. Kejap akak pergi tengok,”
Di atas pangkin di bawah pokok
rambutan yang merendang, Syuhada mengangguk perlahan. Membiarkan Kak Zaiton
melangkah menuju ke arah kereta yang
sudah berhenti di halaman rumah. Dari jauh, dia turut memandang. Menjenguk
apabila ada seseorang melangkah keluar dari kereta. Seketika Kak Zaiton kaku di
sisi kereta sebelum wanita itu memeluk erat satu tubuh sasa yang merangkul
badannya. Perlahan dia mengangkat punggung. Nampaknya lelaki itu seseorang yang
Kak Zaiton kenal. Dari jauh kelibat itu menarik perhatiannya. Dan, apabila
wajah lelaki itu jelas menjamah pandangannya, jantungnya bagai luruh ke bumi.
Tidak mungkin!
Kakinya bagai terus dipaku di situ.
Tidak mampu melangkah sedang susuk-susuk tubuh itu semakin menghampirinya.
Perlahan dia menghela nafas. Dia tidak boleh terus berada di situ. Segera dia
berpaling. Mahu melangkah meninggalkan halaman rumah itu.
“Ida... nak ke mana tu?,”
Langkahnya terbatal. Suara Kak
Zaiton sudah hampir di belakangnya. Dan dia yakin, lelaki itu juga pasti kini
tegak berdiri di belakangnya. Dengan hati yang berbelah-bagi, dipaksakan wajah
untuk berpaling. Memandang wajah Kak Zaiton tanpa mempedulikan renungan
daripada sepasang mata yang pernah membuat dia bahagia.
“Saya balik dululah...,”
“Cepatnya. Ni, akak nak kenalkan.
Panjang umur dia. Baru disebut-sebut... tiba-tiba dah muncul depan mata.
Kenalkan... ni adik akak...Darius,”
Syuhada kaku. Senyum yang dipaksa
terukir terasa tidak menjadi.
“Dar... ini Syuhada,”
Syuhada mengangguk perlahan sebaik
sekuntum senyum terukir di bibir lelaki itu. Senyum itu tetap sama. Renungan
itu tidak pernah berubah. Dan debar di dadanya tetap pada irama yang sama.
“Saya balik dulu, ya kak...,”dan
tanpa menunggu jawapan daripada Kak Zaiton, langkahnya sudah laju meninggalkan
dua manusia itu.
Meninggalkan Darius yang
terkebil-kebil dengan rasa tidak percaya.
“Syuhada?,”dia bersuara sambil
matanya terus mengekori langkah Syuhada yang laju.
“Ya. Kenapa?,”kakak kembali
bertanya.
Darius diam. Cuma menggeleng sambil
tersenyum nipis.
****
Debar di dadanya seakan tidak
hilang. Saat dia sibuk menyiapkan meja untuk makan malam, jantung terasa terus
berdegup kencang setiap kali terbayangkan senyum dan renungan lelaki itu. Masih
kuatkah lagi perasaannya pada Darius, sehingga begitu sekali reaksi
perasaannya? Mustahil. Dia pernah berkawan dengan Ilham untuk melupakan lelaki
itu. Dia telah berkawan dengan Azizul untuk melupakan lelaki itu. Mustahil dia
masih menaruh sebarang perasaan pada Darius. Mindanya laju berfikir tentang
lelaki itu. Tiba-tiba teringatkan Suria teman baiknya yang menjadi pilihan
Darius. Masih bersamakah mereka? Kalau mereka masih bersama, kenapa Darius
muncul sendirian? Andaian demi andaian terasa semakin menyesakkan dada.
“Namanya Darius....,”
Telinganya tiba-tiba tertangkap
sesuatu. Segera dia menoleh. Dia tidak silap. Nama Darius meniti dari bibir
Aira. Dan dia yakin Aira sedang bercakap tentang Darius yang sedang menyesakkan
nafasnya saat ini.
“Darius?...,”perlahan dia ajukan
soalan itu. Aira tersenyum lebar sambil menarik kerusi. Mengambil tempat di
sisi ibunya. Rupa-rupanya, meja makan sudah dipenuhi manusia. Dia yang leka
melayan perasaan.
“Ha ah. Mak tanya adik, siapa yang
hantarkan adik tadi. Adik cakaplah...nama dia Darius. Kenapa kak Ngah?,”
“Hah? Oh.. tak ada apa-apa. Nama tu
macam pelik...,”laju dia menjawab, menutup gelora di jiwa. Mungkinkah Darius
juga bakal menjadi adik iparnya?
“Tak apa namanya pelik. Janji orangnya
lawa. Besar kereta dia dik. Orang kaya ya, dik?,”balas ibunya bersahaja.
Aira menjongket bahu. Dia pula
melabuhkan punggung dengan lemah. Memaksa diri untuk berdepan lagi dengan
wajah-wajah yang sering melukakan hatinya. Mahu melangkah meninggalkan ruang
makan itu, risau suara ibunya nanti akan menyakitkan hatinya lagi.
“Nanti jemput dia ke rumah ya. Adik
Zaiton ya Darius tu? Tak tahu pula mak, Zaiton ada adik lelaki...,”
“Dah lama dia putus hubungan dengan
kak Zaiton tu. Itulah yang dia beritahu adik,”
Syuhada terus membisu. Memandang
pinggan nasinya tanpa ada secebis selera pun. Telinganya terus mendengar
celoteh Aira tentang Darius, dan pujian
ibunya tentang Darius. Menghantar rasa pilu perlahan-lahan meratah sekeping
hatinya.
****
“Itu adik Syuhada...,”
Darius mengangkat muka. Aira adik
Syuhada. Dia tersenyum lebar. Yakin, pencariannya kini sudah sampai ke
penghujung.
“Kamu kenal dia ke? Ada apa-apa
dengan dia ke? Kalau ada apa-apa... melepaslah. Akak baru aje plan nak jodohkan
kamu dengan Syuhada tu...,”
“Taklah. Kebetulan saja saya jumpa
dia masa nak masuk simpang ni. Saya berhenti tanya arah ke rumah akak ni. Dia
minta buat system barter pula. Dia beritahu mana rumah akak, dan saya pula kena
hantar dia sampai rumah. Penat nak jalan kaki, katanya...,”
Zaiton tersenyum kecil.
“Pelik.... takkan tak ada siapa yang
menjemput dia...,”
Darius tergelak.
“Tulah dia. Dia cakap nak buat
surprise. Nak balik mengejut. Sampai kat simpang, nak call mak dia, handphone
dia mati. Bateri habis...,”
Zaiton mengangguk perlahan.
“Aira memang riuh budaknya. Ramah
tamah. Tak macam kakaknya tadi. Kakak dia pendiam...,”
Darius tersenyum. Tidak perlu
kakaknya bercerita, kerana dia lebih arif dengan sikap gadis itu.
“Dah kahwin ke dia tu, kak?,”
“Kamu ni. Kalau dah kahwin, buat apa
akak nak jodohkan dengan kamu? Kamu suka? Akak berkenan sungguh dengan Ida tu.
Baik budaknya. Bersih hatinya...,”
Darius diam. Dalam diam itu, dia
mengakui pujian kakaknya. Memang Syuhada baik. Memang sekeping hati Syuhada
cukup bersih. Dan, yang paling penting, sampai hari ini, darah Syuhada masih
mengalir di dalam tubuhnya. Mengikat kuat jiwanya pada Syuhada.
“Kenapa tak suruh aje dia kahwin
dengan abang Majid?,”usik Darius sambil tersenyum. Abang iparnya tersedak
sedang kakaknya menjegilkan mata bersama satu cubitan kuat di lengannya.
Membuat dia mengaduh kesakitan.
“Kamu ni. Ke situ pula. Jangan cakap
macam tu, tak pasal-pasal abang kena tidur kat luar malam ni,”Majid bersuara
juga dengan nada mengusik. Darius tergelak dan Zaiton menarik muka masam.
“Kamu ni... tiba-tiba terpacak depan
rumah akak ni... kenapa?,”Zaiton segera mengubah topik perbualan.
Tawa Darius mereda perlahan-lahan.
Wajah Zaiton dipandang agak lama.
“Mama....,”
Zaiton diam. Lama tidak mendengar
panggilan itu. Lama sejak dia dihalau pergi bersama Majid.
“Kak.. mama rindukan akak. Mama
suruh saya panggil akak balik ke sana...,”
Zaiton menggeleng perlahan sambil
tersenyum pahit.
“Akak dah ada kehidupan di sini.
Akak bahagia kat sini. Akak bahagia dengan abang Majid. Sampai bila-bila pun,
akak tetap boleh buktikan pada mama, yang dia silap. Sampai hari ni, akak
bahagia hidup dengan kasih sayang abang Majid. Akak tak pernah rasa kurang
walaupun akak hidup tanpa harta mama dengan papa...,”
Darius tersenyum nipis.
“Mama dah sedar kesilapan dia tu.
Dah lama kan...kak. Kasihan mama nak jumpa cucu dia,”
“Mama cakap macam tu?,”
“Taklah. Tapi kita dah sama-sama
kenal sikap degil mama tu kan? Kalau dia dah suruh saya datang cari akak ni,
apa maksudnya? Mestilah sebab dia rindukan anak dia ni...,”
Zaiton terdiam. Diam tanpa mampu
menjawab apa-apa. Cuma matanya redup memandang wajah suami. Dan suaminya
tersenyum tenang.
“Tapi, ruginya saya sebab mama cuma
mahu saya datang sekarang. Kan bagus kalau dari lima tahun dulu, mama suruh
saya ke sini...,”
“Kenapa pula?,”
Darius tersenyum sambil menggeleng.
Pinggan nasi yang sudah kosong, ditolak ke tepi. Wajah Syuhada yang pucat saat
berdepan dengannya petang tadi, sekali lagi memenuhi ruang fikirannnya. Sekian
lama dia mencari gadis itu...
****
“Nak ke mana tu, Ida?,”
Dia menoleh ke arah Munirah yang
kebetulan baru keluar dari bilik.
“Nak ke kebun. Tadi ayah suruh
bawakan goreng pisang ni...,”
Munirah mengangguk dan dia terus
berlalu. Memang dua tiga hari ini, dia senang bersama bapanya di kebun. Tidak
mahu melihat wajah Ilham dan Azizul. Tidak mungkin dia mampu untuk terus
berpura-pura. Hakikat, memang hatinya masih terluka dengan sikap Ilham dan
Azizul. Begitu mudah hati lelaki itu berubah. Mencintainya dan kemudian
mengambil kakak dan adiknya sebagai teman hidup. Begitu mudah paras rupa
melenyapkan cinta. Munirah dan Rina memang terlalu sempurna untuk dibandingkan
dengan dirinya yang kurang serba-serbi.
“Kenapa Ida tak cantik macam Kak
Long...macam Rina...macam adik...ya? Sebab tulah mak benci benar pada Ida. Kan
ayah?,”
“Siapa kata anak ayah ni, tak
cantik? Anak-anak ayah semuanya cantik-cantik. Kak Long cantik... Rina
cantik... adik cantik... Ida pun cantik. Ida cantik... dan hati Ida lagi
cantik...,”
“Pandai ayah nak ambil hati Ida.
Ayah tau tak... cuma ayah yang Ida ada. Mak tak sayangkan Ida pun tak apa.
Janji ayah sayangkan Ida. Ida sedar, Ida serba kekurangan. Ida tak cantik macam
anak-anak mak yang lain. Ida tak bijak macam anak-anak mak yang lain...,”
“Jangan cakap macam tu. Mana ada mak
yang tak sayangkan anak?,”
“Mak Ida lah. Mak tak pernah sayang
pada Ida. Dari kecil sampai sekarang mak tak pernah sayang pada Ida...,”
“Jangan cakap macam tu, ayah tak
suka....,”
Dia tersenyum. Teringat pada pujukan
bapanya yang cukup lembut. Perlahan dia menggeleng perlahan. Dia sudah cukup
dewasa untuk faham akan perasaan ibunya. Ibunya yang terkenal dengan gelaran
ratu kampung semasa mudanya. Ibunya yang sering bercerita tentang Munirah, Rina
dan Aira yang comel, di zaman kanak-kanaknya. Ibunya yang sering berbangga
dengan keputusan peperiksaan kakak dan adik-adiknya semasa mereka sama-sama di
alam persekolahan. Dia cukup faham kenapa dia disisih dan dia sudah cukup
pasrah untuk menerima kebencian ibunya itu.
“Assalamualaikum....,”
Salam dijawab sambil dia sibuk
menyarung selipar. Dan, sebaik dia mengangkat muka, hampir dia jatuh terduduk.
“Awak...,”
Darius tersenyum.
“Ida apa khabar?,”
Syuhada menelan liur. Pertemuan ini
di luar jangkaannya. Dia tidak mahu bertemu dengan lelaki ini.
“Awak cari Aira? Dia ada kat atas.
Awak naiklah dulu,”
“Ida nak ke mana?,”
“Saya ada hal. Nak keluar...,”
“Ida... can we talk?,”
Syuhada tersenyum. Rasanya tiada apa
yang hendak dicakapkan. Paling tidak, barangkali seperti Ilham dan Azizul,
Darius ingin memohon maaf kerana terpaksa memilih adiknya. Tetapi, rasanya
Darius tidak perlu berbuat begitu. Antara dia dan Darius memang sudah tidak ada
apa-apa hubungan. Andai Darius bercinta dengan Aira, itu bukan salah sesiapa.
Itu sudah jodoh.
“Tapi, saya dah lewat ni... saya
pergi dulu, ya,”dia bersuara sambil mula mengatur langkah.
“Ida...please... abang tak pernah
lupakan Ida...,”
Langkah Syuhada terhenti. Kembali
berpaling mencari kepastian di wajah Darius.
“Abang tak pernah lupakan orang yang
telah selamatkan nyawa abang. Yang sudi berkongsi darah dengan abang...,”
Senyum lemah perlahan-lahan muncul
di bibir Syuhada. Darius cuma tidak lupa pada budinya. Dan itu tidak membawa
apa-apa makna padanya.
“Tak apa. Benda tu dah lama berlalu.
Saya menolong ikhlas...,”
“Sehingga abang lukakan hati
Ida...Ida masih ikhlas?,”
“Saya buat apa yang saya rasa saya
patut buat. Dan, saya tak pernah menyesal dengan apa yang pernah saya buat.
Janganlah bimbang. Saya tak pernah berdendam,”
“Tapi...,”
“Darius ya? Cari Aira ke? Dia ada
kat atas. Kenapa duduk kat bawah. Panas ni. Kamu pun satu Ida. Yang kamu ajak
Darius berbual tengah-tengah panas ni kenapa? Dah hilang akal ya?,”
Bicara Darius terus terhenti dan
Syuhada tersenyum pahit mendengar omelan ibunya. Terus dia melangkah
meninggalkan ibunya yang beria-ia menjemput Darius naik ke rumah. Dia tidak
diperlukan di situ. Sebaiknya dia menjauh sebelum hatinya terguris lagi.
*****
“Keluar kau dari
rumah ni perempuan tak malu! Aku benci tengok muka kau! Dasar tak tahu malu!
Dasar perempuan tak laku!,”
Pantas dia
berpaling. Melawan renungan tajam adiknya. Kemudian mengalihkan pandangan ke
arah Azizul yang kaku tergamam. Sekuntum senyum sinis tanpa sedar terukir di
bibir. Azizul yang kelu dan Ilham yang terus kaku di kerusi membuat hatinya
cukup sebal.
“Kenapa ni?
Rina..kenapa bising-bising ni?,”suara ibunya muncul sebaik tubuh itu masuk ke
ruang tamu.
“Kak Ngah ni
mak. Nampaknya anak mak ni dah gatal sangat nak menikah. Sampai sanggup ajak
abang ipar dengan adik ipar kahwin dengan dia. Tak tahu malu ya?,”
“Rina...jangan
salah sangka...,”
“Abang diam!
Ingat Rina tak dengar apa perempuan ni cakap? Ingat Rina pekak? Abang dengan
abang Ilham ni kenapa? Lapar sangat ke dengan perempuan ni?,”
“Apa ni Ida? Apa
yang mak dengar ni?,”
Dia mengangkat
muka. Memandang wajah ibunya yang jelas-jelas marah padanya.
“Kalau kau duduk
dalam rumah ni... dengan niat nak goda ipar-ipar kau ni, baik kau keluar dari
rumah ni!,”
“Bukan macam tu,
mak,”
“Kalau
bukan macam tu, macam mana lagi? Tak sangka betul hati Kak Ngah busuk macam ni.
Keluar dari rumah ni. Mak...kalau dia tak keluar dari rumah ni, Rina tak akan
jejak kaki kat rumah ni lagi! Tak akan!,”
Perlahan air mata diseka. Masih
terngiang-ngiang kemarahan Rina dan ibunya dua minggu yang lalu. Kini, dia
sudah berada jauh. Jauh dari kampung. Jauh dari kebahagiaan Ilham dan Munirah.
Jauh dari kebahagiaan Azizul dan Rina juga jauh dari kebahagiaan Darius dan
Aira.
Desakan demi desakan daripada Ilham dan Azizul
membuat dia hilang sabar. Dan apabila dia mencabar keihklasan hati kedua lelaki
itu, dia dituduh cuba menggoda ipar sendiri. Teruk dia dituduh, namun kedua-dua
lelaki itu terus mengunci mulut. Hilang keberanian untuk memberitahu kebenaran
walhal dari bibir masing-masing melangit ucapan maaf yang dihulurkan.
“Pengecut...,”tanpa sedar, bibirnya
bergerak perlahan.
“Siapa yang pengecut?,”
Dia tersentak. Senyuman di
hadapannya membuat dia kalut. Dia mengelamun sewaktu bekerja.
“Kak...maaf,”
Mardifa tersenyum kecil. Lucu
melihat Syuhada kalut menyusun baju.
“Tak apa. Ida ada masalah ke?,”
Syuhada menggeleng laju.
“Tapi, kakak rasa Ida ni memang ada
masalah...,”
Syuhada tersenyum nipis.
“Terima kasih ya, kak. Sebab akak
terima saya kerja kat butik ni...,”
Mardifa tersenyum lagi.
“Bila Ida tunjuk design-design yang
Ida buat tu...akak yakin, tak rugi akak ambil Ida kerja kat sini. Ida cakap Ida
cikgu tadika, tapi rekaan Ida tu...macam tukang jahit mahir,”
Syuhada tersenyum. Senang dengan
topik ini.
“Saya memang suka menjahit. Suka
reka baju. Tapi, taklah mahir. Angan-angan saya, nak ada butik macam ni. Tapi,
angan-angan mat jenin sajalah. Akak mesti minat menjahit. Sebab tu boleh buka
butik besar macam ni. Kan?,”
Mardifa tergelak besar.
“Salah tu. Akak tak minat langsung
nak menjahit. Baju-baju kat butik ni pun, memang buatan pekerja akak aje.
Sebenarnya kedai ni bukan akak yang punya. Akak tolong jaga saja...,”
“Kalau bukan akak yang punya...siapa
yang punya,”
“Adik akak. Kedai ni bukti cinta dia
agaknya. Dia yang minta akak jagakan sehingga dia jumpa semula dengan orang
yang patut jadi pemilik butik ni,”
Syuhada diam. Cuma mendengar sambil
mengangguk perlahan. Begitu ceritanya.
“Akak harap Ida boleh majukan butik
ni dengan rekaan-rekaan Ida yang cantik tu,”
Syuhada tergelak kecil.
“Biasa saja kak. Tak adalah cantik
sangat...,”
Mardifa sekadar tersenyum. Senang
dengan sikap merendah diri yang ada pada gadis itu.
“Ida cakap Ida baru sampai dari
kampung. Boleh akak tahu apa yang buat Ida nak merantau jauh ni?,”
“Saya nak mulakan hidup baru. Nak
lari dari kisah silam,”
“Dalam makna bunyinya tu...,”
Syuhada tersenyum lagi.
“Kalau dah tak ada apa-apa lagi,
saya balik dulu ya, kak,”
“Boleh. Dah pukul enam ni.
Baliklah,”
Syuhada mengangguk sambil bergerak
meninggalkan rak baju yang telah disusun elok. Setelah mengambil beg tangan,
dia kembali ke kaunter. Selesai sudah kerjanya untuk hari yang kelima. Syukur,
tidak lama setelah sampai di Kuala Lumpur, dia mendapat kerja di butik milik
Mardifa ini.
“Saya balik dulu ya, kak,”
Mardifa mengangguk sambil mencapai
telefon bimbit. Mendail nombor sambil terus memandang Syuhada yang melangkah
keluar dari butik. Telefon bimbit dibawa ke telinga.
“Hello...Dar. Kamu ke mana? Banyak
kali akak call tak berangkat,”
“Kak Difa. Saya kat rumah Kak
Longlah. Kenapa?,”
“Akak nak inform kamu, akak ada
ambil pekerja baru kat butik kamu ni,”
Diam. Mardifa mengerutkan kening.
“Dar...,”
“Hmm.... suka hati akaklah. Okay
kak. Nanti kita sambung lagi. Saya ada hal ni,”
Mardifa ternganga. Talian terus
terputus. Seketika dia memandang telefon bimbitnya yang sudah menyepi.
“Apa kena budak ni?,”dia menggumam
perlahan sambil menggeleng. Telefon bimbit diletak semula ke atas meja.
****
“Kak
Ngah dah pergi. Mak marah dia. Kami pun tak tahu Kak Ngah pergi ke mana,”
Itulah cerita yang keluar dari bibir
Aira. Cerita yang meranapkan seluruh harapannya. Sangkanya dia ada peluang
untuk memujuk Syuhada. Namun, ternyata sekali lagi Syuhada pergi darinya.
“Dar... jadi ke nak balik esok?,”
Darius menoleh. Memandang kosong
pada kakaknya yang perlahan melabuhkan punggung di sebelahnya. Dia mengangguk
tanpa bersuara.
“Sampaikan salam pada mama. Pada Kak
Difa kamu. InsyaALLAH nanti, akak balik jenguk mama,”
Sekali lagi Darius sekadar
mengangguk.
“Kenapa ni, Dar? Lemah aje. Ada
masalah ke?,”
Darius mengangkat muka. Memandang
renungan pelik dari kakaknya. Perlahan dia menggeleng.
Zaiton mengerling.
“Takkan tak ada apa-apa. Sebelum ni
ceria aje. Tiba-tiba monyok ni, kenapa?,”
“Betul. Tak ada apa-apa,”
“Gaduh dengan budak Aira tu
ke?,”teka Zaiton di dalam samar.
“Kenapa pula saya nak gaduh dengan
budak tu, kak?,”
Zaiton terdiam. Menggaru dagu
perlahan-lahan.
“Jadi, Dar tak ada apa-apa hubungan
ke dengan Aira tu?,”
Darius menggeleng.
“Tapi, Ida cakap, Dar ada hubungan
dengan Aira...,”
Pantas sepasang matanya jatuh ke
wajah Zaiton.
“Apa dia cakap?,”laju dia bertanya.
“Dia cakap, Dar kekasih Aira...,”
Darius mengeluh panjang.
“Nonsense...,”
“Apa dia?,”soal Zaiton dengan
pandangan yang penuh dengan tanda tanya. Hatinya mula mengesyaki ada sesuatu
antara Syuhada dan Darius.
“Sebab tu ke dia pergi tinggalkan
kampung ni? Sebab dia rasa saya ada hubungan dengan Aira, dia pergi dari
kampung ni?,”
Zaiton tersenyum kecil. Andaiannya
terasa semakin tepat.
“Kenapa pula dia nak kena lari dari
kampung sebab kamu dengan adik dia bercinta?,”
Darius terdiam.
“Sebenarnya kamu dengan Syuhada tu
ada apa-apa ke?,”
Terkulat-kulat Darius sambil
menggaru kepala. Rahsia sudah tidak menjadi rahsia lagi.
“Beritahu kat kakak apa cerita
sebenarnya ni?,”
“Panjang ceritanya kak. Dah lama
saya cari Syuhada. Dah jumpa dia kat sini, ingatkan pencarian saya dah
berakhir. Tapi, sekarang dia hilang lagi...,”
“Kenapa kamu cari dia?,”
“Untuk lengkapkan hidup saya...,”
“Maksud kamu?,”
Sambil meraup wajah, Darius bergerak
menuju ke jendela.
“Dah tak ada makna lagi kak. Dah tak
guna pun nak cakap apa-apa lagi. Syuhada dah tak ada. Dah pergi sekali
lagi...,”perlahan dia bersuara. Putus asa denga takdir yang seakan sengaja mahu
mempermainkannya.
*****
TAMAT
****PSSTTTT.... ADA SESIAPA YANG SETUJU CERITA INI DILANJUTKAN? :D
22 comments:
alahai tergantung la hanni...sambung2......
yes..!! cepat sambung...mcm tergantung pulak bunyi nye..tapi best..mcm penah baca laa cite darius ngan syuhada ni???
tekejut..tgh syok2 baca tetiba dah TAMAT..aik....?? aagghhh...!!sambung lg kak...xpuas...!!plizzzzzz.....!
kena sambung sampai dar..ngan suhada jumpe ni kak....hahaha
sambung2..kak hanni cite ni lom complete jgn tamatkan duluuuuuuuuu...hehehhe. citelah smpi die kawin dgn darius. skit ati plak kt fmly ida 2..huhuhu
sambung lg..
watak darius kwn badrul dlm novel pergilah airmata...
kena sambung lagi ni hanni... macam tergantung je citer ni...
Dariussssssssss!!!
Lepas habis PAM rase mcm tk lengkap sbb ending utk Darius takde. Suke sgt dgn watak Darius ni. comel aje.
setuju sgt sambung cerite ni! hehe
kak hanni sambung la lgi.. taknak la tamat mcm lagi .... sian kat syuhada sampai akhir xdpt kebahagiaan....
mesti sambung. dulu cerita badrul & sabrina, kali nie pasal darius & syuhada pulak... bagi darius bahagia jgk macam bad...tq hanni
kak hanni!! wajib smbung citer nih.. kami tggu (^_^)..
cik hanni... kami tunggu sambungannya ya.... :)
kak hanni..smbung ar..best citer ni..bg kesedaran sket kat mak n adik bradik syuhada tu...
plis sambung cite ni.. bahagiakan darius..
Kak hanni..pleasee smbg cite nie..sngtt menarik!! Klo jd novel pon best jugak..hee
sambung la hani... saya mmg suka watak darius dalam PAM huhu... bagi la darius berbahagia dgn syuhada.. please please pleaseeeeee
Wahh...best2 XD cite psl darius pulak ek?berpotensi utk dinovelkan ni..bolehlah tahu cerita sebenar kisah cinta si dar ni..sambunglah yer..tak nak tamat camtu je..harap boleh dijadikan novel..pleaseeeeee Y_Y
Alahai,tk puas lg,da tamat. Apa kesudahan crita darius dgn syuhada ni?
plz sambung...x pn buat novel
2021 tpi novel belum keluar, agaknya xda rezeki buat peminat.. :'(
2023 masih lagi baca 😂
28/8/2024 masih setia lagi repeat baca cerita ni♥️
Post a Comment