Monday, April 23, 2012

Hati Yang Berbisik

“Baru balik, Ida?,”
            Syuhada mengerling. Teguran itu tidak diendahkan. Cuma perlahan dia menyimpan kasut di atas rak, sebelum dengan malas dia melangkah meniti anak tangga. Senyum Azizul dan Ilham tidak sampai ke jiwanya untuk dia balas dengan segarit senyum juga. Biarlah apa tanggapan dua lelaki itu padanya, dia lebih suka berdiam diri. Lebih suka menghindar sebenarnya. Tetapi, itu amat mustahil padanya. Bagaimana dia boleh menghindar dua wajah yang kini sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya itu? Ikutkan hati yang remuk, dia mahu habiskan masa di sekolah sehingga ke senja. Tidak mahu dia muncul di sini dan berdepan dengan manusia-manusia ini.
            “Ida sihat?,”Ilham bersuara lagi. Barangkali cuba beramah mesra.
            “Sihat,”
            “Duduklah dulu,”
            “Tak apa. Saya masuk dulu...,”
            “Ida...,”
            Langkahnya terhenti. Berpaling memandang wajah Ilham dan Azizul. Dan, seperti biasa dua wajah itu sekali lagi membuat hatinya tersapa rasa pilu yang berpanjangan.
            “Ida masih marahkan kami?,”Ilham bersuara perlahan.
            “Kenapa saya nak marah? Tak ada sebab saya nak marah. Semuanya dah suratan takdir. Kan? Bukan itu yang abang Ilham dan Zul cakap pada saya?,”
            “Tapi, Ida masih tak boleh terima...,”
            “Saya tak perlu berkorban hati dan perasaan saya untuk orang macam Abang Ilham dan Zul. Untuk saya lupakan sakit di hati semata-mata nak tengok kamu berdua tersenyum lega. Minta maaf. Saya tak mahu tipu diri sendiri untuk kegembiraan orang lain. Tak mahu lagi,”
            Ilham tertunduk dan Azizul mengeluh perlahan. Syuhada mengunci mulut. Tiada lagi yang perlu dibicarakan.
            “Ida... baru balik ke? Lama dah Kak Long tunggu,”sapaan mesra itu mengalih pandangannya daripada dua wajah yang pernah menghancurkan sekeping perasaannya itu. Senyum mesra Munirah dibalas senang. Pelukan mesra Munirah bagai melepaskan rindu yang menggunung.
            “Dah lama Kak Long sampai?,”soalnya sekadar berbasa-basi.
            “Lamalah juga. Lambat balik hari ni?,”
            Syuhada tersenyum nipis. Wajah ceria kakaknya dipandang bersama senyum kecil. Sampai ke hari ini, dia yakin Munirah tidak pernah sedar yang hatinya pernah hancur dek keputusan kakaknya itu. Dan, dia tahu, semua itu bukan salah Munirah.
            “Ada kerja sikit, kak Long,”
            “Kerja apanya? Setakat cikgu sekolah tadika tu, kerja apa sangatlah? Memang sengaja nak buat orang tertunggu-tunggu kan? Mak dah cakap balik awal sikit. Sengaja juga kamu balik lambat kan? Tu, adik kamu Rina tu, boleh aje sampai awal, padahal dia duduk kat pekan sana. Kerja bank pula tu, boleh aje balik awal. Bukan selalu pun Kak Long kamu ni balik sini. Susah sangat ke nak rai dia?,”bingit suara itu menyentuh gegendang telinganya. Ibunya sudah bercekak pinggang di muka pintu. Menghadiahkan satu renungan tajam padanya. Renungan yang hanya khusus untuk dia. Dan di sisi ibunya, senyuman Rina terasa seperti sedang mentertawakannya.
            “Alah mak... mesti Kak Ngah serba-salah nak balik. Kak Long balik dengan suami. Rina pun ada suami. Kak Ngah aje yang tak kahwin-kahwin. Mestilah Kak Ngah segan. Betul tak, Kak Ngah?,”lancar kata-kata itu meniti di bibir bersama senyum panjang.
            “Mana nak kahwin nya. Memilih sangat. Dah elok ada yang nak, tak dilayannya. Suka sangat jadi anak dara tua...,”
            Syuhada tersenyum pahit. Sama pedas kata-kata ibu dan adiknya. Sempat dia memandang sekilas wajah Munirah yang merenungnya dengan pandangan simpati.
            “Ida masuk dululah....,”dia bersuara perlahan sambil bergerak meninggalkan ruang beranda.
            “Tulah dia. Bercakap sikit terus masuk bilik. Bercakap sikit terus merajuk...,”ibunya mula mengomel.
            “Yalah. Macam mana Ida tak merajuk. Tak baik Rina cakap Kak Ngah macam tu tau,”Munirah menegur sambil mengambil tempat di sisi Ilham. Sempat menghadiahkan sekuntum senyum manis buat suaminya itu.
            “Eleh. Gurau pun tak boleh? Sensitif sangat...,”balas Rina sambil mencemik.
            “Itu bukan gurau sayang. Itu menyindir namanya. Tak baik cakap macam tu,”Azizul menyampuk lembut dan muncung Rina semakin panjang.



****


            “Lari dari rumah ke ni?,”
            Soalan Kak Zaiton dibalas dengan senyum panjang. Tumpuannya kembali pada anak kecil Kak Zaiton yang leka dengan anak patungnya.
            “Diam pula akak tanya,”
            “Taklah kak. Saja nak ambil angin petang,”
            Kak Zaiton tersenyum lebar.
            “Macam baru sehari akak kenal Ida. Ya?,”
            Syuhada tergelak kecil sambil mengeluh perlahan.
            “Entahlah kak. Susah nak cakap. Saya ni manusia biasa je kak. Tak boleh nak buat semuanya ok, padahal hati saya tak ok,”
            “Masih simpan dendamlah ya?,”
            Syuhada termenung. Dendam? Berdendamkah dia? Tidak. Dia tidak berdendam. Perlahan dia menggeleng.
            “Saya tak berdendam, kak...,”
            “Kalau tak berdendam, kenapa sampai sekarang Ida belum redha lagi?,”
            “Entahlah kak. Bukan senang nak terima macam tu aje, orang yang janji nak kahwin dengan kita, tapi tiba-tiba jadi abang ipar...jadi adik ipar...,”
            “Tu sebab kena cari pengganti. Jangan tutup terus hati tu,”
            Syuhada tergelak halus. Pengganti? Mustahil rasanya. Cukuplah hatinya remuk dek penangan lelaki. Tidak ada sebab untuk dia terus sakitkan hati sendiri. Hasratnya untuk perkenalkan Ilham pada keluarganya musnah begitu sahaja, apabila tiba-tiba Munirah jatuh suka pada Ilham dan Ilham pula akhirnya mengaku cintanya berubah sudah. Hasrat untuk merawat luka dengan kisah cinta yang baru, turut membuat hatinya semakin remuk. Seperti Ilham, Azizul juga bagai terpukau dengan tarikan yang ada pada Rina. Dia tidak ubah seperti satu medium untuk menemukan jodoh kakak dan adiknya.  Namun, dia tahu Rina dan Munirah tidak salah. Mereka cuma tahu Ilham dan Azizul sebagai temannya bukan sebagai bakal suami yang ingin dia perkenalkan kepada keluarga.
            “Tak naklah,”akhirnya dia bersuara.
            “Kenapa?,”
            “Nanti jadi adik ipar bongsu pula. Makan hati lagi saya, kak,”Syuhada bersuara separuh bergurau membuat Kak Zaiton tergelak besar. Wajah Syuhada yang tersenyum nipis itu dipandang lama. Wajah itu menyimpan banyak kesedihan di sebalik senyum yang sering mekar di bibir.
            “Dah trauma? Takkanlah jadi macam tu lagi...,”
            Syuhada tersenyum. Soalan itu tidak berjawab.
            “Haji Kasim macam-mana?,”
            Senyum Syuhada mati tiba-tiba. Wajah Kak Zaiton dijeling sekilas, mengundang gelak kecil wanita itu.
            “Agaknya Haji Kasim tu ajelah yang sepadan untuk saya. Kan kak? Itu pun kalau dia tak jatuh hati dengan Aira nanti. Kalau tak, Haji Kasim pun jadi adik ipar saya jugak nanti,”
            Kak Zaiton tersenyum sambil menggeleng perlahan. Kata-kata Syuhada sekadar mainan di bibir. Dia tahu tentang itu. Dia tahu kemelut perasaan yang terpaksa Syuhada telan.
            “Mak Ida masih berkeras ke?,”
            “Macam –mana mak paksa sekali pun , tak mungkin saya nak jadi isteri nombor tiga haji gatal tu. Baik saya tak kahwin sampai mati...,”
            “Sebab tu akak cakap, cari pengganti. Jangan terus seksa hidup macam ni,”
            “Akak tolong carikan ya?,”Syuhada bersenda lagi. Tidak mahu meneruskan  perbualan tentang dirinya.
            “Betul ni? Serius ni? Akak suka. Boleh akak balik KL carikan adik akak untuk Ida,”
            Syuhada tergelak besar.
            “Gelak pulak. Akak serius ni...,”
            “Tak payah kak. Dengan orang KL lagi saya tak mahu. Lagi saya kena reject nanti. Nasib orang tak lawa, memang macam ni lah. Kena redhalah. Kan?,”
            Kak Zaiton mencemik. Syuhada menyambung tawa sambil matanya tertancap pada sebuah kereta yang agak asing baginya.
            “Tu bukan kereta abang Majid, kan? Siapa tu Kak?,”dia bersuara perlahan. Memandang Kak Zaiton yang sudah berdiri meninjau sebuah kereta mewah yang menjalar perlahan memasuki perkarangan halamannya.
            “Tak tahulah. Siapa ya...Orang sesat kot. Kejap akak pergi tengok,”
            Di atas pangkin di bawah pokok rambutan yang merendang, Syuhada mengangguk perlahan. Membiarkan Kak Zaiton melangkah menuju ke  arah kereta yang sudah berhenti di halaman rumah. Dari jauh, dia turut memandang. Menjenguk apabila ada seseorang melangkah keluar dari kereta. Seketika Kak Zaiton kaku di sisi kereta sebelum wanita itu memeluk erat satu tubuh sasa yang merangkul badannya. Perlahan dia mengangkat punggung. Nampaknya lelaki itu seseorang yang Kak Zaiton kenal. Dari jauh kelibat itu menarik perhatiannya. Dan, apabila wajah lelaki itu jelas menjamah pandangannya, jantungnya bagai luruh ke bumi. Tidak mungkin!
            Kakinya bagai terus dipaku di situ. Tidak mampu melangkah sedang susuk-susuk tubuh itu semakin menghampirinya. Perlahan dia menghela nafas. Dia tidak boleh terus berada di situ. Segera dia berpaling. Mahu melangkah meninggalkan halaman rumah itu.
            “Ida... nak ke mana tu?,”
            Langkahnya terbatal. Suara Kak Zaiton sudah hampir di belakangnya. Dan dia yakin, lelaki itu juga pasti kini tegak berdiri di belakangnya. Dengan hati yang berbelah-bagi, dipaksakan wajah untuk berpaling. Memandang wajah Kak Zaiton tanpa mempedulikan renungan daripada sepasang mata yang pernah membuat dia bahagia.
            “Saya balik dululah...,”
            “Cepatnya. Ni, akak nak kenalkan. Panjang umur dia. Baru disebut-sebut... tiba-tiba dah muncul depan mata. Kenalkan... ni adik akak...Darius,”
            Syuhada kaku. Senyum yang dipaksa terukir terasa tidak menjadi.
            “Dar... ini Syuhada,”
            Syuhada mengangguk perlahan sebaik sekuntum senyum terukir di bibir lelaki itu. Senyum itu tetap sama. Renungan itu tidak pernah berubah. Dan debar di dadanya tetap pada irama yang sama.
            “Saya balik dulu, ya kak...,”dan tanpa menunggu jawapan daripada Kak Zaiton, langkahnya sudah laju meninggalkan dua manusia itu.
            Meninggalkan Darius yang terkebil-kebil dengan rasa tidak percaya.
            “Syuhada?,”dia bersuara sambil matanya terus mengekori langkah Syuhada yang laju.
            “Ya. Kenapa?,”kakak kembali bertanya.
            Darius diam. Cuma menggeleng sambil tersenyum nipis.


****


            Debar di dadanya seakan tidak hilang. Saat dia sibuk menyiapkan meja untuk makan malam, jantung terasa terus berdegup kencang setiap kali terbayangkan senyum dan renungan lelaki itu. Masih kuatkah lagi perasaannya pada Darius, sehingga begitu sekali reaksi perasaannya? Mustahil. Dia pernah berkawan dengan Ilham untuk melupakan lelaki itu. Dia telah berkawan dengan Azizul untuk melupakan lelaki itu. Mustahil dia masih menaruh sebarang perasaan pada Darius. Mindanya laju berfikir tentang lelaki itu. Tiba-tiba teringatkan Suria teman baiknya yang menjadi pilihan Darius. Masih bersamakah mereka? Kalau mereka masih bersama, kenapa Darius muncul sendirian? Andaian demi andaian terasa semakin menyesakkan dada.
            “Namanya Darius....,”
            Telinganya tiba-tiba tertangkap sesuatu. Segera dia menoleh. Dia tidak silap. Nama Darius meniti dari bibir Aira. Dan dia yakin Aira sedang bercakap tentang Darius yang sedang menyesakkan nafasnya saat ini.
            “Darius?...,”perlahan dia ajukan soalan itu. Aira tersenyum lebar sambil menarik kerusi. Mengambil tempat di sisi ibunya. Rupa-rupanya, meja makan sudah dipenuhi manusia. Dia yang leka melayan perasaan.
            “Ha ah. Mak tanya adik, siapa yang hantarkan adik tadi. Adik cakaplah...nama dia Darius. Kenapa kak Ngah?,”
            “Hah? Oh.. tak ada apa-apa. Nama tu macam pelik...,”laju dia menjawab, menutup gelora di jiwa. Mungkinkah Darius juga bakal menjadi adik iparnya?
            “Tak apa namanya pelik. Janji orangnya lawa. Besar kereta dia dik. Orang kaya ya, dik?,”balas ibunya bersahaja.
            Aira menjongket bahu. Dia pula melabuhkan punggung dengan lemah. Memaksa diri untuk berdepan lagi dengan wajah-wajah yang sering melukakan hatinya. Mahu melangkah meninggalkan ruang makan itu, risau suara ibunya nanti akan menyakitkan hatinya lagi.
            “Nanti jemput dia ke rumah ya. Adik Zaiton ya Darius tu? Tak tahu pula mak, Zaiton ada adik lelaki...,”
            “Dah lama dia putus hubungan dengan kak Zaiton tu. Itulah yang dia beritahu adik,”
            Syuhada terus membisu. Memandang pinggan nasinya tanpa ada secebis selera pun. Telinganya terus mendengar celoteh Aira tentang  Darius, dan pujian ibunya tentang Darius. Menghantar rasa pilu perlahan-lahan meratah sekeping hatinya.


****


            “Itu adik Syuhada...,”
            Darius mengangkat muka. Aira adik Syuhada. Dia tersenyum lebar. Yakin, pencariannya kini sudah sampai ke penghujung.
            “Kamu kenal dia ke? Ada apa-apa dengan dia ke? Kalau ada apa-apa... melepaslah. Akak baru aje plan nak jodohkan kamu dengan Syuhada tu...,”
            “Taklah. Kebetulan saja saya jumpa dia masa nak masuk simpang ni. Saya berhenti tanya arah ke rumah akak ni. Dia minta buat system barter pula. Dia beritahu mana rumah akak, dan saya pula kena hantar dia sampai rumah. Penat nak jalan kaki, katanya...,”
            Zaiton tersenyum kecil.
            “Pelik.... takkan tak ada siapa yang menjemput dia...,”
            Darius tergelak.
            “Tulah dia. Dia cakap nak buat surprise. Nak balik mengejut. Sampai kat simpang, nak call mak dia, handphone dia mati. Bateri habis...,”
            Zaiton mengangguk perlahan.
            “Aira memang riuh budaknya. Ramah tamah. Tak macam kakaknya tadi. Kakak dia pendiam...,”
            Darius tersenyum. Tidak perlu kakaknya bercerita, kerana dia lebih arif dengan sikap gadis itu.
            “Dah kahwin ke dia tu, kak?,”
            “Kamu ni. Kalau dah kahwin, buat apa akak nak jodohkan dengan kamu? Kamu suka? Akak berkenan sungguh dengan Ida tu. Baik budaknya. Bersih hatinya...,”
            Darius diam. Dalam diam itu, dia mengakui pujian kakaknya. Memang Syuhada baik. Memang sekeping hati Syuhada cukup bersih. Dan, yang paling penting, sampai hari ini, darah Syuhada masih mengalir di dalam tubuhnya. Mengikat kuat jiwanya pada Syuhada.
            “Kenapa tak suruh aje dia kahwin dengan abang Majid?,”usik Darius sambil tersenyum. Abang iparnya tersedak sedang kakaknya menjegilkan mata bersama satu cubitan kuat di lengannya. Membuat dia mengaduh kesakitan.
            “Kamu ni. Ke situ pula. Jangan cakap macam tu, tak pasal-pasal abang kena tidur kat luar malam ni,”Majid bersuara juga dengan nada mengusik. Darius tergelak dan Zaiton menarik muka masam.
            “Kamu ni... tiba-tiba terpacak depan rumah akak ni... kenapa?,”Zaiton segera mengubah topik perbualan.
            Tawa Darius mereda perlahan-lahan. Wajah Zaiton dipandang agak lama.
            “Mama....,”
            Zaiton diam. Lama tidak mendengar panggilan itu. Lama sejak dia dihalau pergi bersama Majid.
            “Kak.. mama rindukan akak. Mama suruh saya panggil akak balik ke sana...,”
            Zaiton menggeleng perlahan sambil tersenyum pahit.
            “Akak dah ada kehidupan di sini. Akak bahagia kat sini. Akak bahagia dengan abang Majid. Sampai bila-bila pun, akak tetap boleh buktikan pada mama, yang dia silap. Sampai hari ni, akak bahagia hidup dengan kasih sayang abang Majid. Akak tak pernah rasa kurang walaupun akak hidup tanpa harta mama dengan papa...,”
            Darius tersenyum nipis.
            “Mama dah sedar kesilapan dia tu. Dah lama kan...kak. Kasihan mama nak jumpa cucu dia,”
            “Mama cakap macam tu?,”
            “Taklah. Tapi kita dah sama-sama kenal sikap degil mama tu kan? Kalau dia dah suruh saya datang cari akak ni, apa maksudnya? Mestilah sebab dia rindukan anak dia ni...,”
            Zaiton terdiam. Diam tanpa mampu menjawab apa-apa. Cuma matanya redup memandang wajah suami. Dan suaminya tersenyum tenang.
            “Tapi, ruginya saya sebab mama cuma mahu saya datang sekarang. Kan bagus kalau dari lima tahun dulu, mama suruh saya ke sini...,”
            “Kenapa pula?,”
            Darius tersenyum sambil menggeleng. Pinggan nasi yang sudah kosong, ditolak ke tepi. Wajah Syuhada yang pucat saat berdepan dengannya petang tadi, sekali lagi memenuhi ruang fikirannnya. Sekian lama dia mencari gadis itu...


****

            “Nak ke mana tu, Ida?,”
            Dia menoleh ke arah Munirah yang kebetulan baru keluar dari bilik.
            “Nak ke kebun. Tadi ayah suruh bawakan goreng pisang ni...,”
            Munirah mengangguk dan dia terus berlalu. Memang dua tiga hari ini, dia senang bersama bapanya di kebun. Tidak mahu melihat wajah Ilham dan Azizul. Tidak mungkin dia mampu untuk terus berpura-pura. Hakikat, memang hatinya masih terluka dengan sikap Ilham dan Azizul. Begitu mudah hati lelaki itu berubah. Mencintainya dan kemudian mengambil kakak dan adiknya sebagai teman hidup. Begitu mudah paras rupa melenyapkan cinta. Munirah dan Rina memang terlalu sempurna untuk dibandingkan dengan dirinya yang kurang serba-serbi.
            “Kenapa Ida tak cantik macam Kak Long...macam Rina...macam adik...ya? Sebab tulah mak benci benar pada Ida. Kan ayah?,”
            “Siapa kata anak ayah ni, tak cantik? Anak-anak ayah semuanya cantik-cantik. Kak Long cantik... Rina cantik... adik cantik... Ida pun cantik. Ida cantik... dan hati Ida lagi cantik...,”
            “Pandai ayah nak ambil hati Ida. Ayah tau tak... cuma ayah yang Ida ada. Mak tak sayangkan Ida pun tak apa. Janji ayah sayangkan Ida. Ida sedar, Ida serba kekurangan. Ida tak cantik macam anak-anak mak yang lain. Ida tak bijak macam anak-anak mak yang lain...,”
            “Jangan cakap macam tu. Mana ada mak yang tak sayangkan anak?,”
            “Mak Ida lah. Mak tak pernah sayang pada Ida. Dari kecil sampai sekarang mak tak pernah sayang pada Ida...,”
            “Jangan cakap macam tu, ayah tak suka....,”
            Dia tersenyum. Teringat pada pujukan bapanya yang cukup lembut. Perlahan dia menggeleng perlahan. Dia sudah cukup dewasa untuk faham akan perasaan ibunya. Ibunya yang terkenal dengan gelaran ratu kampung semasa mudanya. Ibunya yang sering bercerita tentang Munirah, Rina dan Aira yang comel, di zaman kanak-kanaknya. Ibunya yang sering berbangga dengan keputusan peperiksaan kakak dan adik-adiknya semasa mereka sama-sama di alam persekolahan. Dia cukup faham kenapa dia disisih dan dia sudah cukup pasrah untuk menerima kebencian ibunya itu.
            “Assalamualaikum....,”
            Salam dijawab sambil dia sibuk menyarung selipar. Dan, sebaik dia mengangkat muka, hampir dia jatuh terduduk.
            “Awak...,”
            Darius tersenyum.
            “Ida apa khabar?,”
            Syuhada menelan liur. Pertemuan ini di luar jangkaannya. Dia tidak mahu bertemu dengan lelaki ini.
            “Awak cari Aira? Dia ada kat atas. Awak naiklah dulu,”
            “Ida nak ke mana?,”
            “Saya ada hal. Nak keluar...,”
            “Ida... can we talk?,”
            Syuhada tersenyum. Rasanya tiada apa yang hendak dicakapkan. Paling tidak, barangkali seperti Ilham dan Azizul, Darius ingin memohon maaf kerana terpaksa memilih adiknya. Tetapi, rasanya Darius tidak perlu berbuat begitu. Antara dia dan Darius memang sudah tidak ada apa-apa hubungan. Andai Darius bercinta dengan Aira, itu bukan salah sesiapa. Itu sudah jodoh.
            “Tapi, saya dah lewat ni... saya pergi dulu, ya,”dia bersuara sambil mula mengatur langkah.
            “Ida...please... abang tak pernah lupakan Ida...,”
            Langkah Syuhada terhenti. Kembali berpaling mencari kepastian di wajah Darius.
            “Abang tak pernah lupakan orang yang telah selamatkan nyawa abang. Yang sudi berkongsi darah dengan abang...,”
            Senyum lemah perlahan-lahan muncul di bibir Syuhada. Darius cuma tidak lupa pada budinya. Dan itu tidak membawa apa-apa makna padanya.
            “Tak apa. Benda tu dah lama berlalu. Saya menolong ikhlas...,”
            “Sehingga abang lukakan hati Ida...Ida masih ikhlas?,”
            “Saya buat apa yang saya rasa saya patut buat. Dan, saya tak pernah menyesal dengan apa yang pernah saya buat. Janganlah bimbang. Saya tak pernah berdendam,”
            “Tapi...,”
            “Darius ya? Cari Aira ke? Dia ada kat atas. Kenapa duduk kat bawah. Panas ni. Kamu pun satu Ida. Yang kamu ajak Darius berbual tengah-tengah panas ni kenapa? Dah hilang akal ya?,”
            Bicara Darius terus terhenti dan Syuhada tersenyum pahit mendengar omelan ibunya. Terus dia melangkah meninggalkan ibunya yang beria-ia menjemput Darius naik ke rumah. Dia tidak diperlukan di situ. Sebaiknya dia menjauh sebelum hatinya terguris lagi.


*****


“Keluar kau dari rumah ni perempuan tak malu! Aku benci tengok muka kau! Dasar tak tahu malu! Dasar perempuan tak laku!,”
Pantas dia berpaling. Melawan renungan tajam adiknya. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah Azizul yang kaku tergamam. Sekuntum senyum sinis tanpa sedar terukir di bibir. Azizul yang kelu dan Ilham yang terus kaku di kerusi membuat hatinya cukup sebal.
“Kenapa ni? Rina..kenapa bising-bising ni?,”suara ibunya muncul sebaik tubuh itu masuk ke ruang tamu.
“Kak Ngah ni mak. Nampaknya anak mak ni dah gatal sangat nak menikah. Sampai sanggup ajak abang ipar dengan adik ipar kahwin dengan dia. Tak tahu malu ya?,”
“Rina...jangan salah sangka...,”
“Abang diam! Ingat Rina tak dengar apa perempuan ni cakap? Ingat Rina pekak? Abang dengan abang Ilham ni kenapa? Lapar sangat ke dengan perempuan ni?,”
“Apa ni Ida? Apa yang mak dengar ni?,”
Dia mengangkat muka. Memandang wajah ibunya yang jelas-jelas marah padanya.
“Kalau kau duduk dalam rumah ni... dengan niat nak goda ipar-ipar kau ni, baik kau keluar dari rumah ni!,”
“Bukan macam tu, mak,”
            “Kalau bukan macam tu, macam mana lagi? Tak sangka betul hati Kak Ngah busuk macam ni. Keluar dari rumah ni. Mak...kalau dia tak keluar dari rumah ni, Rina tak akan jejak kaki kat rumah ni lagi! Tak akan!,”
            Perlahan air mata diseka. Masih terngiang-ngiang kemarahan Rina dan ibunya dua minggu yang lalu. Kini, dia sudah berada jauh. Jauh dari kampung. Jauh dari kebahagiaan Ilham dan Munirah. Jauh dari kebahagiaan Azizul dan Rina juga jauh dari kebahagiaan Darius dan Aira. 
Desakan demi desakan daripada Ilham dan Azizul membuat dia hilang sabar. Dan apabila dia mencabar keihklasan hati kedua lelaki itu, dia dituduh cuba menggoda ipar sendiri. Teruk dia dituduh, namun kedua-dua lelaki itu terus mengunci mulut. Hilang keberanian untuk memberitahu kebenaran walhal dari bibir masing-masing melangit ucapan maaf yang dihulurkan.
            “Pengecut...,”tanpa sedar, bibirnya bergerak perlahan.
            “Siapa yang pengecut?,”
            Dia tersentak. Senyuman di hadapannya membuat dia kalut. Dia mengelamun sewaktu bekerja.
            “Kak...maaf,”
            Mardifa tersenyum kecil. Lucu melihat Syuhada kalut menyusun baju.
            “Tak apa. Ida ada masalah ke?,”
            Syuhada menggeleng laju.
            “Tapi, kakak rasa Ida ni memang ada masalah...,”
            Syuhada tersenyum nipis.
            “Terima kasih ya, kak. Sebab akak terima saya kerja kat butik ni...,”
            Mardifa tersenyum lagi.
            “Bila Ida tunjuk design-design yang Ida buat tu...akak yakin, tak rugi akak ambil Ida kerja kat sini. Ida cakap Ida cikgu tadika, tapi rekaan Ida tu...macam tukang jahit mahir,”
            Syuhada tersenyum. Senang dengan topik ini.
            “Saya memang suka menjahit. Suka reka baju. Tapi, taklah mahir. Angan-angan saya, nak ada butik macam ni. Tapi, angan-angan mat jenin sajalah. Akak mesti minat menjahit. Sebab tu boleh buka butik besar macam ni. Kan?,”
            Mardifa tergelak besar.
            “Salah tu. Akak tak minat langsung nak menjahit. Baju-baju kat butik ni pun, memang buatan pekerja akak aje. Sebenarnya kedai ni bukan akak yang punya. Akak tolong jaga saja...,”
            “Kalau bukan akak yang punya...siapa yang punya,”
            “Adik akak. Kedai ni bukti cinta dia agaknya. Dia yang minta akak jagakan sehingga dia jumpa semula dengan orang yang patut jadi pemilik butik ni,”
            Syuhada diam. Cuma mendengar sambil mengangguk perlahan. Begitu ceritanya.
            “Akak harap Ida boleh majukan butik ni dengan rekaan-rekaan Ida yang cantik tu,”
            Syuhada tergelak kecil.
            “Biasa saja kak. Tak adalah cantik sangat...,”
            Mardifa sekadar tersenyum. Senang dengan sikap merendah diri yang ada pada gadis itu.
            “Ida cakap Ida baru sampai dari kampung. Boleh akak tahu apa yang buat Ida nak merantau jauh ni?,”
            “Saya nak mulakan hidup baru. Nak lari dari kisah silam,”
            “Dalam makna bunyinya tu...,”
            Syuhada tersenyum lagi.
            “Kalau dah tak ada apa-apa lagi, saya balik dulu ya, kak,”
            “Boleh. Dah pukul enam ni. Baliklah,”
            Syuhada mengangguk sambil bergerak meninggalkan rak baju yang telah disusun elok. Setelah mengambil beg tangan, dia kembali ke kaunter. Selesai sudah kerjanya untuk hari yang kelima. Syukur, tidak lama setelah sampai di Kuala Lumpur, dia mendapat kerja di butik milik Mardifa ini.
            “Saya balik dulu ya, kak,”
            Mardifa mengangguk sambil mencapai telefon bimbit. Mendail nombor sambil terus memandang Syuhada yang melangkah keluar dari butik. Telefon bimbit dibawa ke telinga.
            “Hello...Dar. Kamu ke mana? Banyak kali akak call tak berangkat,”
            “Kak Difa. Saya kat rumah Kak Longlah. Kenapa?,”
            “Akak nak inform kamu, akak ada ambil pekerja baru kat butik kamu ni,”
            Diam. Mardifa mengerutkan kening.
            “Dar...,”
            “Hmm.... suka hati akaklah. Okay kak. Nanti kita sambung lagi. Saya ada hal ni,”
            Mardifa ternganga. Talian terus terputus. Seketika dia memandang telefon bimbitnya yang sudah menyepi.
            “Apa kena budak ni?,”dia menggumam perlahan sambil menggeleng. Telefon bimbit diletak semula ke atas meja.


****
 
            “Kak Ngah dah pergi. Mak marah dia. Kami pun tak tahu Kak Ngah pergi ke mana,”
            Itulah cerita yang keluar dari bibir Aira. Cerita yang meranapkan seluruh harapannya. Sangkanya dia ada peluang untuk memujuk Syuhada. Namun, ternyata sekali lagi Syuhada pergi darinya.
            “Dar... jadi ke nak balik esok?,”
            Darius menoleh. Memandang kosong pada kakaknya yang perlahan melabuhkan punggung di sebelahnya. Dia mengangguk tanpa bersuara.
            “Sampaikan salam pada mama. Pada Kak Difa kamu. InsyaALLAH nanti, akak balik jenguk mama,”
            Sekali lagi Darius sekadar mengangguk.
            “Kenapa ni, Dar? Lemah aje. Ada masalah ke?,”
            Darius mengangkat muka. Memandang renungan pelik dari kakaknya. Perlahan dia menggeleng.
            Zaiton mengerling.
            “Takkan tak ada apa-apa. Sebelum ni ceria aje. Tiba-tiba monyok ni, kenapa?,”
            “Betul. Tak ada apa-apa,”
            “Gaduh dengan budak Aira tu ke?,”teka Zaiton di dalam samar.
            “Kenapa pula saya nak gaduh dengan budak tu, kak?,”
            Zaiton terdiam. Menggaru dagu perlahan-lahan.
            “Jadi, Dar tak ada apa-apa hubungan ke dengan Aira tu?,”
            Darius menggeleng.
            “Tapi, Ida cakap, Dar ada hubungan dengan Aira...,”
            Pantas sepasang matanya jatuh ke wajah Zaiton.
            “Apa dia cakap?,”laju dia bertanya.
            “Dia cakap, Dar kekasih Aira...,”
            Darius mengeluh panjang.
            “Nonsense...,”
            “Apa dia?,”soal Zaiton dengan pandangan yang penuh dengan tanda tanya. Hatinya mula mengesyaki ada sesuatu antara Syuhada dan Darius.
            “Sebab tu ke dia pergi tinggalkan kampung ni? Sebab dia rasa saya ada hubungan dengan Aira, dia pergi dari kampung ni?,”
            Zaiton tersenyum kecil. Andaiannya terasa semakin tepat.
            “Kenapa pula dia nak kena lari dari kampung sebab kamu dengan adik dia bercinta?,”
            Darius terdiam.
            “Sebenarnya kamu dengan Syuhada tu ada apa-apa ke?,”
            Terkulat-kulat Darius sambil menggaru kepala. Rahsia sudah tidak menjadi rahsia lagi.
            “Beritahu kat kakak apa cerita sebenarnya ni?,”
            “Panjang ceritanya kak. Dah lama saya cari Syuhada. Dah jumpa dia kat sini, ingatkan pencarian saya dah berakhir. Tapi, sekarang dia hilang lagi...,”
            “Kenapa kamu cari dia?,”
            “Untuk lengkapkan hidup saya...,”
            “Maksud kamu?,”
            Sambil meraup wajah, Darius bergerak menuju ke jendela.
            “Dah tak ada makna lagi kak. Dah tak guna pun nak cakap apa-apa lagi. Syuhada dah tak ada. Dah pergi sekali lagi...,”perlahan dia bersuara. Putus asa denga takdir yang seakan sengaja mahu mempermainkannya.

*****
TAMAT


****PSSTTTT.... ADA SESIAPA YANG SETUJU CERITA INI DILANJUTKAN? :D

22 comments:

hannykimie said...

alahai tergantung la hanni...sambung2......

Aya Ariel said...

yes..!! cepat sambung...mcm tergantung pulak bunyi nye..tapi best..mcm penah baca laa cite darius ngan syuhada ni???

Syaffinie Ibrahim said...

tekejut..tgh syok2 baca tetiba dah TAMAT..aik....?? aagghhh...!!sambung lg kak...xpuas...!!plizzzzzz.....!

Anonymous said...

kena sambung sampai dar..ngan suhada jumpe ni kak....hahaha

melia said...

sambung2..kak hanni cite ni lom complete jgn tamatkan duluuuuuuuuu...hehehhe. citelah smpi die kawin dgn darius. skit ati plak kt fmly ida 2..huhuhu

ainun said...

sambung lg..
watak darius kwn badrul dlm novel pergilah airmata...

Anonymous said...

kena sambung lagi ni hanni... macam tergantung je citer ni...

Anonymous said...

Dariussssssssss!!!
Lepas habis PAM rase mcm tk lengkap sbb ending utk Darius takde. Suke sgt dgn watak Darius ni. comel aje.
setuju sgt sambung cerite ni! hehe

miznza84 said...

kak hanni sambung la lgi.. taknak la tamat mcm lagi .... sian kat syuhada sampai akhir xdpt kebahagiaan....

mila said...

mesti sambung. dulu cerita badrul & sabrina, kali nie pasal darius & syuhada pulak... bagi darius bahagia jgk macam bad...tq hanni

blueskyz said...

kak hanni!! wajib smbung citer nih.. kami tggu (^_^)..

RabaahJunaidi said...

cik hanni... kami tunggu sambungannya ya.... :)

lieda said...

kak hanni..smbung ar..best citer ni..bg kesedaran sket kat mak n adik bradik syuhada tu...

Anonymous said...

plis sambung cite ni.. bahagiakan darius..

Anonymous said...

Kak hanni..pleasee smbg cite nie..sngtt menarik!! Klo jd novel pon best jugak..hee

Anonymous said...

sambung la hani... saya mmg suka watak darius dalam PAM huhu... bagi la darius berbahagia dgn syuhada.. please please pleaseeeeee

Anonymous said...

Wahh...best2 XD cite psl darius pulak ek?berpotensi utk dinovelkan ni..bolehlah tahu cerita sebenar kisah cinta si dar ni..sambunglah yer..tak nak tamat camtu je..harap boleh dijadikan novel..pleaseeeeee Y_Y

Unknown said...

Alahai,tk puas lg,da tamat. Apa kesudahan crita darius dgn syuhada ni?

Anonymous said...

plz sambung...x pn buat novel

Yuuki Asuna said...

2021 tpi novel belum keluar, agaknya xda rezeki buat peminat.. :'(

Yuuki Asuna said...

2023 masih lagi baca 😂

Anonymous said...

28/8/2024 masih setia lagi repeat baca cerita ni♥️

[11:35:50 PM] hos.getah: