“Kejap daddy... kejap daddy...,”
Zaheem berpeluk tubuh memerhati anak
kecilnya yang ligat berpusing mencari sesuatu sebelum bergerak keluar dari
kereta.
“Boleh bawa Lela sekali?,”petah
mulut itu bertanya sambil memeluk anak patungnya.
Zaheem menggeleng.
“Tak payahlah. Kita tak ke mana pun.
Nak makan aje kan? Simpan Lela dalam kereta,”
“Tak boleh?,”sekali lagi anak kecil
itu bertanya sambil patung terus erat di pelukan. Zaheem senyum.
“Tak payahlah. Nanti kalau jatuh,
kan kotor. Simpan dulu. Okay?,”
“Okay...,”girang Trisya menjawab
tanpa banyak kerenah sambil meletakkan anak patungnya ke sebelah. Terus dia
bergerak keluar dari kereta.
“Jom daddy...,”
Zaheem tersenyum. Pintu kereta
ditutup lalu dikunci.
“Kita nak makan kat mana?,”
Zaheem tidak menjawab. Cuma
melangkah masuk ke sebuah restoran sambil memimpin tangan Trisya. Kerusi
ditarik untuk puteri kecilnya. Trisya tersengih sambil seraya melabuhkan
punggung ke kerusi.
“Thank you, daddy,”
Bibir Zaheem melebar senyum
mendengar ucapan itu. Trisya yang penuh santun. “Sama-sama, sayang,” balasnya seraya melabuhkan punggung ke
kerusi. Sekilas dia memandang sekeliling restoran. Seketika, pandangannya kembali
beralih pada si kecil di hadapan.
“Trisya nak makan apa?,”soalnya
sambil mengangkat kening. Tangan laju mencapai menu yang diletakkan di atas
meja. Namun, belum sempat mendengar jawapan daripada mulut kecil itu, dia
dikejutkan dengan bunyi kaca terhempas ke lantai. Segera dia menoleh. Jantungnya
bagai berhenti berdegup. Buat seketika dia tergamam melihat susuk yang tercegat
tidak jauh darinya itu. Hilang kata-kata. Sekian lama dia tidak bertemu dengan
raut wajah ini. Cukup lama rasanya.
“Isha...,”ucapnya sepatah.
Farisha seakan tersedar daripada
riak terkejut yang bukan sedikit. Betapa lamanya dia tidak mendengar ada suara
yang melantun nama itu. Berkocak hatinya mendengar nama itu. Berdegup kencang
jantungnya sebaik gegendang telinganya tersapa nama itu. Teringat pada seraut
wajah comel yang menjadi penawar lara selamanya. Teringat segala-galanya
tentang Trisya. Tiba-tiba terhimpun kerinduan yang maha berat. Bibir mata berat
tiba-tiba. Perlahan dia tunduk melihat gelas yang terlepas dari pegangannya.
Berderai menjadi kaca yang bertebaran di lantai. Sungguh hatinya masih terlalu
rapuh untuk menerima hakikat satu kehilangan. Tersangat rapuh.
“Are you okay?,”
Dia mengangkat muka mendengar soalan
daripada lelaki itu. Sedaya upaya menahan agar jangan ada air mata yang
menitis. Perlahan dia mengangguk. Perlahan juga dia cuba memaksa sebuah senyum
muncul di bibir. Dia mengangkat tangan melambai pada salah seorang pekerjanya.
Tanpa bersuara, jarinya menunding pada kaca di hujung kakinya. Meminta agar
kaca yang berserakan dibersihkan segera.
Zaheem pula terus berpaling. Ini
satu pertemuan yang jauh dari keinginannya.
Pertemuan yang teramat didambakan oleh keinginan luar kawalnya. Dan, apa
rasa yang harus mengiringi pertemuan ini?
“Tak sangka boleh jumpa Isha kat
sini,”
Farisha tersenyum kecil. Bergerak
mendekati meja lelaki itu apabila Zaheem kelihatan mahu bersapa dengannya.
Pandangan Zaheem terpaku terus pada
wajah Farisha. Sekian lama wajah itu yang berlegar lewat kenangan-kenangannya.
Ternyata rasanya tidak pernah berubah.
“Betul-betul tak sangka boleh jumpa
Isha di sini,”dia bersuara lagi. Cuba mengawal perasaannya sendiri. Kenyataan
bahawa Farisha isteri seseorang dan dia juga suami kepada seseorang, gagal
melenyapkan debaran yang melanda.
Farisha tersenyum. Menghantar rasa debar menusuk
terus ke jantungnya sekali lagi. Sangkanya semua perasaannya sudah pergi jauh
apabila dia menikahi Zurina. Dan, langsung tiada dugaan untuknya selepas itu.
Tetapi kini, di hadapannya muncul wajah Farisha. Segala rasa suka, rasa cinta
terasa teramat segar di hati.
“Trisya?,”
Zaheem tersentak kecil. Soalan
Farisha membawanya ke alam sedar. Langsung lebar senyum di bibirnya.
“Trisya junior. Nakalnya sama macam
kakak Trisya,”
Farisha mengukir senyum.
“Mana kakak
Trisya?,”
Senyum Farisha hilang
perlahan-lahan. Zaheem pula merenung wajah itu dengan penuh tanda-tanya. Wajah
itu mendung tiba-tiba. Dan, hatinya mula menebak sesuatu.
“Anak?,”Farisha menukar topik
perbualan. Dia tidak kuat untuk bercakap tentang Trisya.
Zaheem menjawab dengan anggukan perlahan.
Soalannya tidak sepatutnya berbalas soalan juga.
“Hai aunty. Siapa ni, daddy?,”
Farisha tersenyum. Keletahnya. Cukup
membuat dia teringat pada Trisya nya. Perlahan jemarinya mengusap pipi mulus
anak kecil yang mungkin berumur dalam lingkungan tiga tahun itu.
“Pandainya dia...,”pujinya tanpa
sedar. Trisya di hadapannya ini benar-benar membuat dia teringat pada nyawa
hatinya yang telah pergi. Trisya pergi meninggalkannya juga di usia ini.
“Ini aunty Isha. Kawan lama daddy,”
“Oh... duduklah aunty,” balas anak kecil itu sambil
berdiri menghulurkan tangan. Jemari Farisha dicium perlahan. Saat bibir kecil
itu mengucup tangannya, bagai terasa hangat bibir Trisya yang juga selalu
berbuat begitu padanya. Farisha tergelak. Cuba menahan rasa sebak yang tiba-tiba
singgah.
“Aunty tak bolehlah. Aunty kena buat
kerja sikit,”
Zaheem tersenyum.
“Duduklah. Join us? Kita pun dah
lama tak jumpa. Tak tahu cerita masing-masing. Isha hilang macam tu saja dulu,”
Farisha menggeleng.
“Ada kerja sikit. Belum order kan?
Nanti saya minta my staff ambil order. Sorry. Waktu macam ni, kadang-kadang tak
cukup kakitangan,”
Zaheem mengangkat kening.
“So, restoran ni Isha punya?,”
“Lebih kurang macam tu lah,”
“Tahniah. Impian jadi kenyataan. I
am happy for you,”
Farisha menjongket bahu sambil
tersenyum kecil. Perhatiannya tidak sepenuhnya pada ucapan Zaheem. Anak kecil
Zaheem lebih menarik perhatiannya.
“Duduklah aunty. Boleh makan
sama-sama,”
Farisha tersenyum pilu. Tanpa sedar,
perlahan dia menunduk. Tubuh itu dirangkul lembut. Memberi satu pelukan buat
Trisya.
“Sorry, aunty ada kerja sikit,
sayang,”pantas dia bersuara sambil terus bergerak meninggalkan Zaheem sebaik
pelukan dileraikan. Sempat dia meminta seorang pekerja melayan Zaheem sedang
dia terus melangkah menuju ke bilik.
Pintu bilik ditutup rapat. Langkahnya dibawa ke
kerusi. Berusaha untuk bertenang. Berusaha untuk tidak bersedih. Melihat anak
Zaheem membawa kenangan Trisya yang sudah lama meninggalkannya. Nama yang sama.
Tingkah yang sama. Sungguh rindunya membuak-buak. Dia rindukan Trisya. Lama dia
diam di kerusi. Berusaha untuk tenangkan perasaan sendiri. Entah kenapa terlalu
sukar untuk dia menerima kenyataan ini. Dalam menahan nafas yang turun naik,
air matanya tetap jatuh. Laju mengalir tatkala matanya tersapa pada bingkai
gambar Trisya yang diletakkan di atas meja. Perlahan dicapai bingkai gambar itu
lalu di bawa ke pelukannya. Dari kerusi, dia bergerak ke sofa kecil di ruang
bilik. Diam di situ sambil erat dia memeluk bingkai gambar yang kaku.
Teresak-esak membuakkan rasa sedih yang terpendam.
“Mama rindu Trisya... mama rindu...,”dia
berbisik lirih. Kali ini dia tewas lagi. Tewas menerima ketentuan dengan hati
yang tabah. Bingkai gambar dipeluk seolah-olah yang berada di dalam pelukannya
adalah tubuh kecil milik Trisya.
“Mama rindu...,”
Hilang tabahnya. Hilang tenangnya.
Dia sendirian melawan kesedihan. Sesekali apabila kesedihan itu muncul
menyesak, tiada upaya untuk terus memujuk hati sendiri. Yang dia mampu hanyalah
melayan tangisan sendirian.
Pintu bilik terbuka perlahan.
Humaira diam memandang. Sayu hatinya melihat keadaan Farisha. Tidak pasti apa
puncanya, tetapi sebaik terpandang Farisha tergesa-gesa meninggalkan
pelanggannya seketika tadi, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Perlahan dia
bergerak mendekati Farisha.
“Kau okay?,”
Farisha menggeleng. Dia tidak okay. Dia
gagal menjadi tenang seperti selalu.
“Jangan macam ni,”
Farisha tidak menjawab. Cuma
tangisannya semakin meninggi. Melihat Farisha payah mengawal perasaannya,
Humaira melabuhkan punggung di sisi. Tubuh Farisha dipeluk. Cuba mententeramkan
kesedihan temannya itu.
“Kenapa ni? Siapa lelaki tu? Apa dia
cakap dengan kau sampai kau jadi macam ni? Atau... itu bekas suami kau ke?,”
Jawapan yang diterima cuma satu
gelengan perlahan. Tetapi, dapat dia rasakan Farisha membalas pelukannya.
Menangis di bahunya. Tidak mahu mendesak, dia cuma membiarkan Farisha
melepaskan perasaan di bahunya.
“Dah okay sikit?,”dia bertanya
lambat-lambat setelah esakan Farisha sedikit berkurangan.
“Lelaki kat luar tu... dia nak jumpa
kau,”
Farisha menggeleng.
“Siapa dia tu?,”
“Kawan lama,”setelah berkali-kali
soalan dijawab dengan esakan, akhirnya dia bersuara serak.
“Kawan? Kalau kawan kenapa sampai
macam ni?,”
“Aku teringatkan Trisya. Aku tak
boleh jumpa dia...,”
Penjelasan Farisha masih terlalu
kabur untuknya. Namun, saat ini, dia tidak boleh tumpukan perhatian pada
Farisha.
“Dia tunggu kat luar. Aku keluar
beritahu dia?,”
Farisha mengangguk.
Humaira mengangkat punggung.
“Thanks Maira,”
“Makin lama, makin pelik kau ni,”
Farisha diam. Humaira pula tidak
menunggu lebih lama. Persoalan yang bermain di kepalanya, dia akan kemukakan
pada Farisha nanti. Pasti.
******
10 comments:
sungguh.. mmg touching...
Sedihhhhh. Bila keluarga nk tau cite sebenar.
Sedihnya..saya dpt merasa apa yg farisya rasa..hilang orang yg disayang, mmg kosong sgt hidup..jumpa org yg seiras, walaupn di depan mata tp jauh utk dicapai kerana kepunyaan org lain..harap farisya bertabah..
Nak lg.
Sedih....kalaulah i pn di tempat isha...aku larut dalam kesedihan...huhu sungguh menyentuh hati...
Uwaaaaaa sedeynyaaaaa.... Kesian Farisha...
Harap2 ade n3 baru...
Pahitnya kenangan untuk ditelan.... :(
artikel yang bagus dan bermanfaat juragan sukses selalu
mebel jepara murah
kursi tamu mewah
mebel jepara
Cara Hack CCTV dengan Termux Perusahaan siber terbesar Kaspersky Lab telah menyatakan jika serangan hacker yang bisa langsung dapat akses jarak jauh yakni Hacking CCTV dari video dan audio kamera pengawas cuma cara ini dilakukan jika penyerang mengetahui nomor seri kamera.
Post a Comment