“Kau nak sangat berpisah dengan aku kan? Kau nak
sangat tinggalkan aku kan?! Kalau dah nak sangat, mari kita mati sama-sama!,”
“Abang cakap apa ni? Abang yang suka tuduh saya yang
bukan-bukan. Abang yang tak habis-habis buat saya hilang sabar, sekarang abang
nak ugut-ugut macam ni pula? Cubalah jadi matang sikit,”
“Oh... jadi jantan tu terlebih matanglah ya? Sebab
tu semua yang aku buat, nampak tak betul aje kat mata kau?!,”
“Apa yang abang buat dan benda tu betul? Cuba
beritahu saya. Tak perlu banyak. Cukup satu saja. Cuba abang beritahu saya,”
“Sudahlah tu! Tak habis-habis aku yang jahat! Aku
yang salah! Hari ni, kita tengok macam-mana jahat aku!,”keras suara yang meniti
di bibir sambil pedal minyak ditekan. Mendorong kereta laju meluncur.
“Abang! Jangan jadi gila macam ni!
Istighfar abang! Abang tak suka saya, abang ingat Trisya bang!,”
“Kau dah tak ingin tengok muka aku
kan? Dah tak nak hidup dengan aku kan? Kalau macam tu, kita sama-sama pergi
mati!,”
“Abang!! Allahuakbar!,”
“Allahuakbar!,”dia menjerit kuat.
Bangkit dari baringnya dengan peluh membasahi wajah. Sedikit menggigil saat dia
terduduk kaku. Degupan jantung kencang menggoncang dada. Sangat jelas igauan
yang mengganggu lenanya. Membuat dia beku seketika. Diam. Diam dan diam sebelum
perlahan-lahan dia tunduk. Berteleku sambil melurut perlahan rambutnya.
“Abang? Kenapa ni? Mimpi buruk
lagi?,”terpisat-pisat Amalia sambil menenyeh mata. Terganggu lenanya dek
jeritan nyaring Haziq. Perlahan dia menyentuh bahu Haziq yang bergerak
perlahan.
“Abang?,”
Haziq teresak-esak di dalam diam.
Bukan perkara pelik tidur Haziq sering diganggu mimpi-mimpi buruk. Lembut dia
mengusap bahu Haziq.
“Itu cuma mimpi,”pujuknya perlahan.
Haziq pejamkan mata. Semakin jelas
igauan itu dan semakin menjadi kuat tangisnya bergetar. Sebolehnya dia mahu
membuang jauh-jauh segala bayangan itu. Namun, mampukah dia?
“Trisya...,”gumamnya berselang
esakan. Amalia mengeluh lemah. Tangan Haziq dielus perlahan.
“Sebab tu Lia tak suka abang asyik
fikirkan arwah anak abang. Mesti abang terbawa-bawa sampai ke mimpi. Dah lama
abang tak mimpi buruk macam ni, kan? Betul cakap mak. Abang tak sepatutnya
pergi ke sana. Abang... relakanlah semua yang dah berlalu tu,”
Haziq membisu.
“Abang trauma...,”tokoknya sambil
memaut rapat tubuh Haziq. Cuba menenangkan emosi Haziq yang jelas terganggu.
Berkali-kali dimarahi, akhirnya Haziq nekad juga ingkar pada larangan ibunya.
Haziq tetap mencari ibu Farisha. Dia tidak mampu memujuk dan akhirnya dia akur.
Walau kelat wajah ibu mertuanya, dia terpaksa membenarkan Haziq pergi. Apa lagi
yang mampu dia lakukan andai degil Haziq langsung tidak dapat dia lembutkan.
Dan, sudahnya, Haziq akan jadi begini. Lemah dia menghela nafas sambil
menggosok lembut belakang Haziq.
Haziq menggeleng perlahan. Itu bukan
kenyataan yang dia terpaksa telan untuk setiap detik hidupnya. Ada kenyataan
yang lebih pahit yang sedang menghukumnya. Tanpa mempedulikan pujukan Amalia, dia
mengongoi hiba meratapi satu penyesalan yang tidak berkesudahan.
“Abang... janganlah macam ni. Abang
kena lupakan semua kenangan yang sedih tu. Abang ada Lia. Tak lama lagi, kita
akan ada anak, bang. Kalau abang terus dengan kisah-kisah sedih abang ni, macam-mana
dengan Lia dan anak kita nanti?,”
Sentuhan Amalia di bahunya ditolak
perlahan. Pelukan yang erat turut ditolak perlahan. Perlahan-lahan juga dia
bergerak menjauh. Diam seketika di birai katil.
“Abang okay ke ni? Nak Lia
panggilkan mak?,”
Haziq menggeleng. Emosinya tidak
mengizinkan untuk dia mendengar bebelan ibunya nanti.
Amalia mengeluh lemah. Memandang
geram ke arah suaminya yang diam menunduk. Mahu bersuara tetapi ditahan. Tidak
mahu timbul pertengkaran di tengan malam buta.
“Lia tidurlah,”saling berdiam diri
buat seketika, akhirnya Haziq bersuara rendah.
“Abang?,”
Haziq berpaling. Memandang wajah
Amalia di balik samar lampu tidur. Ada reaksi geram pada wajah itu. Tetapi,
saat hatinya tiba-tiba rawan, tidak mampu untuk dia senangkan hati Amalia.
Perlahan dia bangkit.
“Tidurlah,”ucapnya sepatah.
“Abang nak ke mana?,”laju Amalia bertanya, melihat
Haziq mengengsot turun dari katil.
Tanpa menjawab, dia terus berlalu meninggalkan
Amalia. Rengusan Amalia dibuat tidak peduli. Cuma kakinya lemah mengatur langkah keluar dari bilik tidur. Tidak mungkin dia
mampu lena setelah tidurnya terganggu dek igauan itu. Benar kata Amalia. Sudah
lama tidurnya tidak disapa mimpi buruk. Benar juga kata Amalia, emosinya
kembali berbolak-balik setelah dia pulang dari Melaka. Cuma satu yang Amalia tidak tahu. Punca
hatinya berlibang-libu seperti saat ini. Amalia tidak tahu puncanya. Malah tiada
siapa yang tahu puncanya.
Tanpa sedar langkah kaki membawanya
ke ruang tamu. Tanpa cahaya, dia diam di sofa. Merenung masa silam yang banyak
dilakar dengan kepincangan. Berat beban yang terpikul di jiwanya. Sesak dada
dengan seribu kecelaruan. Lebih-lebih lagi apabila dia teringat seraut wajah
yang teramat sugul. Sungguh berbeza wajah yang dipandang semalam. Tiada lagi senyum.
Hilang juga usikan mesra. Bukan sedikit rasa berdosa yang mendera perasaannya.
“Kamu sihat Ziq?,”
Diam seketika dia menerima soalan
daripada wanita yang telah melahirkan Farisha itu. Dalam renungan wajah wanita
separuh usia di hadapannya bagai memberitahu betapa dalamnya rasa bersalah yang
tertanggung di bahu. Rasa bersalah yang tidak sepatutnya ada di dalam rasa Puan
Rahmah.
“Mak sihat?,”soalnya kembali tanpa
menjawab soalan yang terdahulu diajukan padanya.
Soalannya tidak berjawab. Cuma wajah
Puan Rahmah redup seraya mengalihkan pandangan ke luar jendela.
“Isha ada, mak?,”dia bertanya lagi.
Soalannya kali ini membuat renungan Puan Rahmah kembali padanya. Seketika,
bibir mata wanita itu kelihatan bergenang air mata.
“Mak minta maaf...,”serak suara yang
meniti perlahan di bibir ibu mertuanya itu. Tunduk sambil menyeka perlahan
tubir mata. Sungguh tersentuh hatinya.
“Mak tak tahu apa lagi yang kurang
pada kamu, sampai Isha sanggup buat kamu macam ni. Mak malu. Mak sedih... mak
malu pada kamu. Pada keluarga kamu,”
“Mak... jangan cakap macam tu.
Jangan salahkan Isha,”
“Kamu terlalu manjakan dia. Terlalu
melindungi dia. Tapi, ini balasan dia pada kamu. Sungguh... mak minta maaf
sangat-sangat Ziq. Mak sayangkan kamu. Mak tahu kamu memang yang terbaik untuk
Isha. Mak tak faham. Tak faham kenapa Isha sanggup...,”
“Mak... mak jangan cakap macam
tu,”laju kata-kata Puan Rahmah dipotong. Tidak sanggup mendengar butir bicara
selanjutnya. Sungguh saat ini, dia mahu sujud memohon ampun untuk segala
kesalahan yang diciptakan untuk Farisha. Tetapi, sudahnya dia hanya mampu kaku.
Kaku dan terus kaku. Pengecutkah dia? Sungguh dia tidak bersedia berdepan
dengan Puan Rahmah andai kebenaran terungkai. Dia tidak bersedia berdepan
dengan penerimaan Puan Rahmah.
“Kamu macam-mana sekarang, Ziq? Mak
berharap sangat hidup kamu jauh lebih baik dari dulu. Mak kamu apa khabar?,”
“Mak sihat. Saya pun sihat,”lambat-lambat
dia bersuara.
Lebur hatinya melihat anggukan kecil
Puan Rahmah. Dapat dirasakan ada keperitan yang ditanggung Puan Rahmah.
“Mak kamu, kawan baik mak. Tapi
sekarang...,”
Bicara ibu mertuanya terputus. Cuma
pipi wanita itu perlahan-lahan basah lagi.
“Maafkan mak saya, mak. Mak saya tak
patut marah mak macam ni. Apa yang berlaku bukan salah sesiapa,”
Panas bibir matanya apabila
pujukannya hanya disambut dengan gelengan laju.
“Memang ada yang salah. Yang salah
adalah anak mak. Isha pentingkan diri dia sendiri... Isha buat keputusan, langsung
tak fikir perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Isha...,”
“Mak, sudahlah tu. Jangan cakap macam
tu,”
“Selagi dia tak minta maaf pada
kamu... pada mak kamu. Keluarga kamu... macam-mana mak nak tenang? Tiap-tiap
malam mak asyik teringatkan perbuatan dia pada kamu dan keluarga kamu. Mak tak
tenang...,”
Dia kelu. Ibu mertuanya menitiskan
air mata lagi. Apa yang patut dia rasa sekarang? Simpati pada ibu mertuanya ini
atau pada Farisha? Atau pada dirinya yang seakan tidak mampu bangkit meneruskan
hidup.
“Mak, kalau tak keberatan, saya nak
jumpa Isha. Boleh mak?,”
“Buat apa kamu nak jumpa dengan
dia?,”
“Saya perlu jumpa Isha, mak,”
“Kalau sebab sayang, tak payahlah
Ziq. Ramai lagi perempuan yang jauh lebih baik dari Isha. Cukuplah sekali hidup
kamu jadi macam ni sebab anak mak. Mak tak sanggup lagi,”
“Mak, saya tak pernah salahkan Isha.
Bagi saya, Isha tak pernah salah,”
“Memang. Memang kamu tak pernah
salahkan Isha sebab sejak dari mula kahwin, kamu terima semua kekurangan Isha.
Mak nampak kamu betul-betul sayangkan Isha. Tapi, Isha tak nampak semua tu. Sekarang,
mak berharap sangat kamu jangan cari Isha. Dia tak mampu nak bahagiakan kamu,
Ziq. Ya... dia anak mak. Tapi, bila dia buat silap... bila dia aniaya suami dia
yang langsung tak bersalah... tak mungkin mak akan menangkan dia,”
“Mak, saya memang perlu jumpa Isha.
Mungkin dalam tak sedar saya pun ada buat silap mak,”kelat kata-kata penuh
sandiwara itu meniti di bibir. Bukan dia mahu begitu tetapi, hatinya tidak mampu
membuka kebenaran.
Perlahan dia meraup wajah. Hingga ke
langkah yang diatur meninggalkan rumah ibu Farisha, dia terus menyimpan
sandiwara terbesar yang ternyata sangat-sangat memberi beban rasa pada Farisha.
Selama dia leka dengan dunianya, tidak pernah dia tahu rupa-rupanya sudah
bertahun Farisha dibuang keluarga. Saat dia didampingi insan-insan yang
menyayanginya, rupa-rupanya Farisha sudah lama hilang kasih satu-satunya ibu
yang dia ada. Farisha menjadi anak terbuang. Farisha dilabel sebagai isteri
derhaka. Semuanya kerana sandiwara yang dia cipta. Mungkinkah kerana dosa-dosa itu,
bahagia bagai tidak mahu singgah di jiwanya?
“Isha...,”berat dia berbisik sendiri
di dalam kepekatan malam.
*****
9 comments:
Sedeh....huhu
Kesian isha.....
menyesal ke? tp rasa cm tak je si haziq ni..sian Isya
Grrrr...Haziq pengecut...tunggulah bila kebenaran tersingkap...
rasa nak lempang org..!
Kureng asam betoi si haziq ni
Eish kalaulah boleh buat asam boi haziq ni..
bencinya ngan haziq ni...bila la kebenaran nk terbongkar ni...bila la semua org nk tau yg farisha xsalah pun.....xsuka haziq...biarla dia xbahagia huhuhu
saye rindu dengan Sekadar di hati n Lampin cinta buat papa....
Post a Comment