“Abang
jumpa Taufik kejap,”
Aku angguk dan Encik Firdaus bergerak meninggalkan
aku. Menyertai Taufik yang kulihat sedang bersiap-siap dengan joran. Pastu mahu
pergi memancing. Aku pula terus menuju ke anak tangga. Dari halaman kulihat Pak
Long sedang termenung di beranda rumah bersama cawan di tangan.
“Tiya!,”
Aku menoleh. Encik Firdaus memberi isyarat mahu
pergi bersama Taufik. Aku mengangguk sambil tersenyum. Sejak jadi orang
kampung, Encik Firdaus bukan main suka lagi dengan aktiviti-aktiviti orang
kampung.
“Assalamualaikum, Pak Long,”aku memberi salam sambil
menanggalkan sandal di kaki. Pak Long kulihat mengalihkan pandangan ke arahku.
“Waalaikumussalam… Adiya. Sorang saja ke?,”
“Dengan abang Firdaus. Tapi, dia ikut Taufik pergi
mancing kot. Mak Long ada, Pak Long?,”ujarku sambil meniti anak tangga. Langkah
terhenti seketika di beranda sambil mataku menjengah ke dalam.
“Hmm… Mak Long kamu ada dekat dapur tu haaa… Entah
apa kena pula hari ni. Termenung panjang tu. Tengok ni… kopi Pak Long pun
kurang manisnya. Mesti buat sambil mengelamun ni,”
Aku tergelak kecil apabila Pak Long
suakan cawan di tangannya padaku.
“Mak Long sayang Pak Long tu. Tak nak Pak Long kena
kencing manis…,”
Pak Long sekadar mencemik. Membuat aku tersenyum
lebar.
“Kamu bawa cawan ni ke dapur ya. Tak selera Pak Long
nak minum kopi tawar ni. Cakap dengan Mak Long kamu, Pak Long nak ke sungai
ya…,”
Aku mengangkat kening.
“Merajuk dengan Mak Long ke ni, Pak Long?,”
Sekali lagi Pak Long mencemik. Cawan yang dihulur
aku capai, dan Pak Long terus mengangkat punggung.
“Pak Long nak cari rebung. Firdaus suka makan rebung
kan? Terlanjur kau orang ada kat kampung ni, Pak Long carikan kejap,”
Aku tersengih. Laju aku mengangguk. Bukan Encik
Firdaus saja yang sukakan rebung. Aku pun gila rebung!
“Cari banyak sikit ya, Pak Long…,”usikku sambil
tersengih. Pak Long yang sedang menyarung selipar di kaki cuma berdehem
perlahan. Melihat Pak Long melangkah meninggalkan halaman, aku segera melangkah
masuk ke dalam. Laju bergerak menuju ke dapur. Sebaik terpandang Mak Long yang
termenung panjang di meja makan, aku perlahankan langkah. Seketika aku tercegat
di belakangnya tanpa dia sedar.
“Mak Long!,”sergahku sambil menyentuh bahunya.
“Mak aku sedih…sungguh aku sedih…,”
Aku tergelak besar. Mak Long menoleh sambil mengurut
dada.
“Diya! Terkejut Mak Long,”
Aku tersenyum. Cawan kopi yang bagai tidak berusik
di tangan, aku letak ke atas meja.
“Bukan kopi Pak Long kamu ke ni? Kenapa tak
diminumnya? Tadi, bising nak kopi,”
“Pak Long merajuk. Dia cakap Mak Long buat kopi
tawar,”
“Ya ke?,”laju cawan kopi diambil lalu diminum.
Kemudian termenung seketika.
“Ni bukan tawar sikit. Agaknya Mak Long lupa letak
gula ni…,”
Aku tergelak lagi. Lupa? Lama aku pandang wajah Mak
Long yang berkerut sambil meletakkan semula cawan kopi.
“Macam-mana boleh lupa ni?,”
Mak Long mengeluh perlahan.
“Mak Long duk fikir ni… apalah nasib si Idayu tu
nanti…,”
“Idayu? Idayu mana pula ni Mak Long?,” kerut kening
aku bertanya. Pantas cuba mengingati kalau-kalau ada orang kampung yang bernama
Idayu.
“Sampai hati si Hisyam tu. Buta hati lelaki tu. Ada
ke dia ceraikan Idayu tu. Sakit hati Mak Long ni. Kesian Idayu tu,”
Aku diam. Memandang Mak Long yang perlahan mengupas
bawang di tangan. Rasanya kerja itu
terhenti dek lamunannya tadi.
“Kena cerai?,”
“Ya! Cemburu butalah tu. Dia main kayu tiga, tak ada
pun Idayu tu mengamuk. Kena tang batang hidung dia, nak melenting pulak. Geram
sungguh…,”
Aku
melabuhkan punggung ke kerusi. Seperti serius cerita ibu saudaraku ini.
“Orang kampung kita ke, Mak Long? Diya tak pernah
dengar nama tu. Baru pindah ya?,”
Mak Long mengangkat muka. Bawang diletakkan semula
ke dalam pinggan.
“Siapa yang baru pindah?,”
“Tu…Idayu tu…,”
“Tak lah…,”
“Dah tu… siapa? Kesiannya kena cerai dengan suami
dia. Sekarang dia kat mana?,”
“Tak tahu lagi. Baru sampai kat dia kena cerai. Nak
sambung baca sampai habis, sibuk Pak
Long kamu minta buat kopi…,”
“Tak tahu lagi? Sambung baca?,”
“Yalah. Mak Long tak habis baca lagi novel tu,”
Aku terlopong. Begitu beria Mak Long bercerita,
rupa-rupanya hanya satu kisah di dalam novel?
“Novel ke Mak Long?,”
“Yalah. Kamal belikan masa dia balik semalam,”
Aku tergelak. Rupa-rupanya aku sudah tertipu. Dan,
aku terfikir, sejak bila pula ibu saudaraku ini minat membaca?
“Kamu datang sorang saja ke? Selalu tak boleh nak
berenggang dengan suami tu…,”
“Mak Long ni…tak baik cakap Diya macam tu, tau.
Tapi, memang datang dengan Abang pun tadi. Dia ikut Taufik pergi mancing kot.
Mak Long, abang Kamal mana? Kereta dia ada kat laman tu. Tapi, kereta Mia tak
ada. Dia keluar dengan Mia ke?,”bertingkat-tingkat soalanku sambil menjenguk ke
halaman dari tingkap dapur.
“Ada tadi. Solat Asar kot. Mana ada Mia tidur sini
pun. Datang semalam… balik dari rumah kamu tu, dia terus balik KL…suruh abang
Kamal kamu pelawa bermalam pun, tak dilayannya…,”
“Ehem…ehem… tak baik mengumpat,”
Aku mengalihkan pandangan. Tersenyum pada Abang
Kamal yang kelihatan segar wajahnya. Mak Long kulihat mengangkat kening padaku.
Aku tersengih.
“Takut benar orang mengumpat kamu ya?,”Mak Long
bersuara sambil mengangkat punggung. Bergerak menuju ke arah peti sejuk.
Mengeluarkan sesuatu dari situ sambil terus bergerak ke sinki. Abang Kamal
mengambil tempat ibunya. Bekas bawang dihulurkan kepadaku. Pinggan berisi
bawang turut terhulur padaku.
“Kupas bawang ni. Belajar jadi suri rumah,”usik
Abang Kamal bersama senyum. Aku jegilkan mata sambil sebiji bawang merah
kulontar padanya. Abang Kamal mengelak sambil tergelak kecil.
“Cepat Mia balik. Ingatkan dia bermalam kat
sini,”aku bersuara. Abang Kamal terus diam. Cuma perlahan dia menjongket bahu.
Wajah ceria sudah berganti sedikit kelat. Puncanya pasti topik tentang Mia.
“Tak baik tau, buat muka macam tu. Kasihan Mia…,”
“Tiha… please…,”
Aku merengus perlahan sambil mencemik. Kalau sepatah
lagi bicara tentang Mia meniti di bibirku, pasti bibir Abang Kamal tidak akan
mengukir senyum petang ini.
“Abang… sejak bila Mak Long suka baca novel?,”aku
separuh berbisik. Nampaknya topik baru ini lebih membuat Abang Kamal selesa.
Buktinya, dia mampu tersenyum semula.
“Sejak Taufik berjinak-jinak beli novel,”
Aku
kerutkan kening.
“Taufik pun suka baca novel juga? Macam perempuan…
Tapi, Mak Long emosi betul ya?,”
Abang Kamal mengangguk perlahan.
“Sekarang ni, kalau dia tengah baca
novel, ayah aje yang boleh minta macam-macam. Permintaan anak-anak tak akan
dilayan,”bisik Abang Kamal membuat aku tergelak halus.
“Mak Long dengar ada orang ngumpat Mak Long,”dari
sinki, Mak Long bersuara.
“Ops…,”ucapku sepatah sambil menutup mulut dengan
jari. Abang Kamal tersenyum. Mak Long pula menjeling.
“Daripada penat fikirkan kamu yang tak nak
kahwin-kahwin, baik mak baca buku cerita. Hilang tension mak ni, tau,”
Aku tersengih. Abang Kamal mengeluh berat sambil
perlahan menggosok belakang leher.
“Tengok muka dia tu Diya… tengok. Macam tulah bila
Mak Long buka mulut pasal kahwin,”
“Mak… tak kahwin tak bermakna dunia ni dah kiamat
mak. Lagipun, kalau ada jodoh, saya tetap akan kahwin…,”
Aku diam tidak bersuara. Cuma kepalaku sekejap
berpaling ke arah Mak Long di sinki, sekejap berpaling pula pada Abang Kamal di
hadapanku.
“Jangan-jangan kamu ni gay tak?,”
“Mak!,”spontan Abang Kamal terjerit.
Aku ternganga. Melihat reaksi terkejut Abang Kamal juga
wajah serius Mak Long sungguh aku mahu tergelak. Lebih melucukan lagi apabila
tiba-tiba ibu saudaraku menjadi wanita serba tahu tentang segala informasi
sebegitu.
“Mak cakap apa ni?,”
“Mak baca buku cerita. Ada orang lelaki kalau kecewa
bercinta, dia jadi macam tu. Mak tak nak kamu pun jadi macam tu…,”
“Mak… selama tiga puluh tiga tahun mak bela saya ni,
ada ke cirri-ciri saya nak jadi macam tu? Mengarutlah mak ni. Baik jangan baca
novel lagi. Nampaknya novel bagi pengaruh tak baik kat mak,”
Mak Long sudah bercekak pinggang. Abang Kamal
mengangkat punggung.
“Nak pergi mana tu?,”
“Nak pergi mengorat anak dara kat kampung ni,”
Terhambur gelak di bibirku.
“Eloklah tu. Kalau nak mengorat anak dara, mak
sokong,”
Abang Kamal berpaling. Memandang geram ke arah ibunya.
Kemudian matanya teralih padaku.
“Pengaruh novel….,”ucapnya padaku sambil berlalu.
Aku tergelak sakan. Melihat Mak Long mencapai senduk, laju Abang Kamal berlari
ke ruang tamu. Aku menggeleng perlahan sambil tersenyum lebar.
“Payah benar nak pujuk abang Kamal kamu tu Diya,”
Aku tersenyum kecil.
“Mak Long sabarlah. Bagi masa pada Abang Kamal.
Macam dia cakap tadi, kalau ada jodoh dia pasti akan kahwin,”
Mak Long mengeluh perlahan. Kemudian mengangkat muka
memandangku.
“Berapa hari kamu balik kampung ni?,”
“Esok balik KL…,”
Mak Long diam. Aku mengangkat punggung. Bergerak
mendekati Mak Long.
“Nak Diya tolong?,”aku bersuara. Mak Long pula
dengan senang hati menghulurkan sayur sawi yang baru selesai dibersihkan.
“Potong ni,”
Aku tersenyum. Dengan senang hati mahu menolong Mak
Long sementara menanti Encik Firdaus pulang bersama Taufik.
*****
2 comments:
oho..
cian mia..
tiya kena plan sumting tuk abang kamal n mia ni..
Salam. Dear, knp lambat sangaaat nk tgu new entry? But overall ttp best.
Post a Comment