Jemari
teman baik mertuaku, aku cium lembut. Sedaya upaya mengukir senyum yang aku
rasakan paling manis untuk tetamu istimewa ini. Namun, wajahnya sedikit
membeku. Pandangan aku alihkan pula ke arah Mia yang anggun bergaun paras lutut
berwarna ungu. Senyum mekar di bibirnya sambil menarik aku ke pelukannya. Mesra
seperti selalu.
“Apa khabar, Diya?,”
Aku senyum. Perlahan aku mengangguk.
Berbeza sungguh perwatakan ibu dan anak ini. Senyum aku ukir buat bapa Mia
sambil bergerak ke belakang. Berdiri di sisi Encik Firdaus.
“Takkan biarkan tetamu tercegat di
luar? Tak nak jemput masuk ke? Atau, kedatangan kami ni kurang menyenangkan
ke?,”
Aku terkedu seketika. Lain macam
nadanya. Mia tergelak lepas sambil memaut bahu ibunya. Encik Firdaus turut
tergelak. Aku termangu-mangu. Kelakarkah kata-kata yang meniti di bibir wanita berwajah
keras ini? Aku langsung tidak merasai aura lucunya.
“Masuklah Tan Sri… Puan Sri…,”aku
bersuara sopan. Memberi laluan kepada tiga insan itu melangkah masuk. Senyum
manis terukir di bibir Mia dan bapanya namun tidak pada ibunya. Sebaik langkah
mereka mendahuluiku, aku kerutkan kening. Pertama kali bersua dengan Puan Sri
Ainul secara peribadi, aku rasakan perangainya sungguh pelik. Hatiku pula
tiba-tiba berasa kurang senang. Berat hati untuk menyertai acara makan malam
ini. Riuh suara ibu mertuaku menyapa tamunya, menjamah telingaku. Suara Puan
Ainul pun sudah berubah nada. Dia tak sukakan aku! Tiba-tiba hatiku bulat
membuat keputusan.
“Tiya… kenapa ni?,”
Aku menoleh. Encik Firdaus masih di
sisiku rupa-rupanya. Aku tersenyum kecil sambil menggeleng. Kepala masih
mencari sebab kenapa begitu reaksi Puan Sri Ainul padaku.
“Dah… jom. Kita join diaorang,”
“Kalau Tiya tak join sekali, boleh
tak bang?,”aku bersuara perlahan di telinga Encik Firdaus. Membuat Encik
Firdaus merenungku sedikit lama.
“Why?,”
“Seganlah…,”
Encik Firdaus tersenyum lebar.
Jemariku dipaut mesra.
“Ini kan rumah kita. Mereka tetamu
kita. Apa yang nak disegankan?,”ujarnya sambil menyentuh lembut hidungku. Aku
tersenyum kelat sambil mengangguk perlahan. Melangkah lemah mengikut langkah
Encik Firdaus.
“Romantik betul ya pengantin dah tak
berapa nak baru ni. Nak makan pun berpegang tangan ya…,”bersama senyum lebar Puan Sri menegur.
Spontan aku menarik tanganku dari
genggaman Encik Firdaus. Manusia di hadapanku cuma ketawa senang, sedang hatiku
sudah tersentap hebat. Ini bukan gurauan. Ini sindiran. Dan, aku yakin sindiran
itu untukku. Apa kena dengan orang tua ni? Hatiku sudah mula membuat andaian
jahat.
Encik Firdaus menarik kerusi,
memberi isyarat agar aku duduk. Aku serba –salah. Sungguh serba salah untuk
bergerak di hadapan wanita ini. Sindirannya di muka pintu tadi cukup untuk
membuat aku lemas. Aku tidak suka ibu Mia! Demi tidak mahu melengah-lengahkan
acara makan malam, aku segera melabuhkan punggung.
“Hmmm…. Macam puteri raja…. Bertuah
ya jadi isteri Fir ni,”
Sekali lagi! Aku mengangkat muka.
Menentang wajah Puan Sri Ainul. Ada senyum terhias di bibirnya. Namun, senyum
itu membuat hatiku bagai dipanggang bara. Aku mengukir senyum terpaksa.
“Sama-sama bertuah aunty. Saya
bertuah jadi suami Tiya,”Encik Firdaus menyampuk ceria. Jawapan yang membuat
ruang makan itu sedikit hingar dengan tawa bapa mertuaku juga Tan Sri Halim.
Encik Firdaus tersenyum memandangku. Sempat kenyitkan matanya padaku sebelum mengambil
tempat di sisiku.
“Mestilah bertuah. Bukan senang nak
dapat, kan?,”Mia pula mengusik. Tersenyum pada Encik Firdaus sambil mengangkat
kening.
“Kamu juga yang tolak tuah,
Mia,”selamba Puan Sri Ainul bersuara sambil tersenyum lagi.
Ibu mertuaku tergelak kecil. Mia
menjeling ibunya. Aku sudah panas punggung. Samar-samar rasanya aku tahu kini
punca Puan Sri buat perangai denganku. Aku terus tersenyum pada manusia-manusia
yang memenuhi ruang makan. Sejukkan hati sendiri. Takkan aku mahu buat perangai
di rumah mertua pula. Lebih-lebih lagi dengan kawan baik mertua. Aku kan anak
yang baik. Aku ingat akan pesan ibuku. Hati memujuk lembut. Bersedia untuk
menikmati hidangan makan malam apabila bapa mertuaku dan Tan Sri Halim sudah
mula menjamah nasi di pinggan. Aku sendukkan nasi untuk Encik Firdaus. Kemudian
meletakkan seketul ayam masak merah ke pinggan suamiku itu.
“Thanks, sayang,”
Aku senyum kecil sambil sendukkan
nasi ke pinggan sendiri. Sebaik Encik Firdaus meletakkan sayur campur ke
pingganku, aku sedar ada kerlingan kurang senang daripada Puan Sri Ainul yang
kebetulan duduk di sisiku. Mahu membantah, risau Puan Sri mulut lepas ini
mengomel lagi. Sudahnya aku mengerling Encik Firdaus dengan rasa tidak puas
hati. Aku tak suka sayur! Takkan suamiku ini tidak faham. Senyum lebar Encik
Firdaus bagai menyuruh aku habiskan sayur di pinggan.
“Semua ni, Adiya yang masak ke?,”
Sungguh! Nasib baik nasi belum aku
suap ke mulut. Kalau tidak, pasti aku akan menjadi menantu yang sungguh kurang
sopan malam ini. Pantas aku menggeleng. Aku masak semua hidangan istimewa ini?
Dalam mimpi pun belum pasti aku dapat hasilkan hidangan sebegini.
“Bukan saya, Puan Sri,”perlahan aku
nafikannya. Dan, saat ini aku berasa teramat malu. Berasa terlalu kerdil.
“La….. ingatkan Adiya yang masak.
Kalau Mia, asal aje ada tetamu nak datang dinner, dialah yang paling sibuk
sediakan hidangan. Semua dia nak masak. Kalau ada special occasion, memang
orang gaji riba tangan. Bab masak semua dia buat,”laju Puan Sri Ainul
bercerita.
Aku tunduk. Entah kenapa ruangan
ini, tiba-tiba menjadi sepi. Tekakku pula tiba-tiba terasa kering. Air mata pun
sibuk mahu menitis. Sekali lagi wanita ini cuba mempermainkan emosiku. Mahu
sahaja aku mengangkat punggung berlalu.
“Mama ni, ada pula cakap macam tu,”Mia
bersuara.
“Salah ke apa mama cakap? Maaflah
Jun. Tak ada niat pun saya nak menyinggung perasaan sesiapa pun. Adiya terasa
ke?,”
Seketika menunduk, perlahan aku
mengangkat muka. Memandang wajah Puan Sri Ainul yang cuba mempamerkan riak
serba-salah. Plastik! Hatiku menjerit kuat.
“Taklah, Puan Sri,”bersama senyum
aku yang juga plastik, aku bersuara lembut. Puan Sri Ainul, sah hari ini kau
musuh aku!
“Saya tak macam Mia. Saya kurang
mahir memasak,”aku cuba berterus-terang.
“Hah? Tak pandai masak ke? Rugilah
perempuan tak pandai masak. Lagi rugi kalau suami dapat isteri tak pandai
masak. Kena belajar tu…,”ramah wanita itu bersuara sambil menepuk lenganku. Aku
tersenyum. Perlahan mengangguk bersetuju dengan cadangannya.
“Kalau nak belajar, Mia boleh ajar.
Fir suka masakan Mia. Kan Fir?,”sambungnya sambil sedikit menjengah mencari
wajah Encik Firdaus.
Aku genggam sudu dan garfu di
tangan. Bunga kubis dan kacang buncis yang tidak pernah aku suka, aku suap ke
mulut. Terus mengunyah sayur dengan perasaan terbuku. Kalaulah di sebelahku ini
cuma seekor lipas, sudah hancur aku ketuk dengan sudu, aku cucuk dengan garfu.
“Saya tak memilih kalau bab makan
ni, aunty,’Encik Firdaus memberi jawapan selamat. Aku pula, menghantar suapan
kedua ke mulut. Kali pertama aku makan sayur tanpa di paksa oleh sesiapa.
“Ain… kalau ya pun nak bersembang
dengan menantu baru Rashid ni, tunggulah habis makan dulu. Kesian diaorang nak
makan tu,”Tan Sri mula bersuara. Menegur keramahan isterinya. Puan Sri Ainul tergelak lepas.
“Lupa pula. Maaf ya, Adiya,”
Aku berpaling dan sekali lagi
memberi senyuman palsu. Bahasa tubuh antara aku dan dia, aku rasa sudah berjaya
isytiharkan perang antara kami. Barangkali tidak ada yang sedar akan perang
dingin ini, dek wajah manis yang dipamerkan oleh ibu Mia ini. Juga senyum
ikhlas yang terus terukir di bibirku. Namun, ada kelegaan di hati apabila
teguran suaminya mampu mengunci mulut wanita ini. Kalau terus diam sehingga dia
pulang, lagi aku lega.
“Makanlah Adiya. Mesti sedap tu Tini
masak ni…,”
Aku keraskan wajah. Jangan sampai
aku mencemik di sini. Akalku giat memujuk. Padahal di dalam hati, sudah tersusun seranah
yang mahu aku hamburkan. Keluar lagi suaranya. Dia berpaling ke arahku. Memaksa
aku berpaling sama. Tersenyum sekali lagi.
“Sila, Puan Sri,”aku cuba bersopan.
Kemudian tersenyum pula pada Mia yang memandangku. Mengangguk perlahan sambil
menyambung suapan nasi ke mulut. Terus dia tidak bersuara. Dan seterusnya,
perbualan basa-basi yang tercetus cuma aku balas dengan senyum sahaja. Hati
mula tertanya-tanya apa tujuan Puan Sri seorang ini, asyik menonjolkan
kelebihan anak tunggalnya? Perlahan aku berpaling mencari wajah Encik Firdaus.
Adakah suamiku ini yang menjadi puncanya? Mungkinkah ibu Mia masih mempunyai
hasrat untuk menjodohkan Mia dengan Encik Firdaus. Pandangan kubawa pula ke
wajah Mia yang sopan menyuap nasi ke mulut. Hati menjadi resah tiba-tiba.
*****
7 comments:
sian tia...
tah pape je puan sri 2..
benci tol.
sian tiya..
pendeknye...????
pendek sangat, tak puas baca... dah la lma tunggu n3 yng ni.. for the next n3 post cpt ckit yer k.hani...
alahai..
sedihnya bila ada org cakap cenggitu..
ni memang lancar perang ni..
Kesian Tiya...jgn dilayan Pn.Sri tu, tak dpt terima kenyataan yg anak mereka tak ada jodoh.
Lepas ni Tiya kena belajar masak nampaknya.
~ kak min ~
Menyampah dengan Pn. Sri.... x tahu ke masa makan jangan nak buat orang x lalu makan.... SABAR ya Tiya...
Post a Comment