Saturday, November 12, 2011

Biar YM Terus Bicara 1




Sunyi. Juga ada rindu yang berat mendera hati. Bingkai gambar di atas meja solek, aku capai. Merenung senyuman milik lelaki yang aku cintai sepenuh hati. Perlahan wajah yang sedang erat memelukku itu, aku usap perlahan. Tersenyum sama, seolah-olah saat itu, senyum kaku itu tertuju khusus untuk aku. Bingkai gambar itu, aku letakkan semula ke meja. Bergerak menuju ke jendela. Pandangan ditebarkan seketika ke luar. Kalaulah saat ini, aku bersama dengannya. Perlahan aku mengeluh sambil bergerak ke katil. Kembali mendapatkan komputer riba yang terbiar sejak dari tadi. Menunggu mesej daripada yang tersayang. Medium yang menyatukan kami, akan kami teruskan. Kebahagiaan yang pernah kami rasakan dulu, akan terus kami rasai sampai bila-bila. Itulah yang pernah Encik Firdaus bisikkan di telingaku.
Aku tersenyum panjang. Ternyata ada sesuatu untukku. Aku  terus memakukan pandangan pada skrin komputer riba. Mesej rindu daripada yang tersayang. Rindu? Tidak perlu untuk aku nafikan lagi. Rasanya tiga hari yang berlalu sudah seperti tiga minggu. Setiap saat terasa cukup lambat berlalu. Kalau boleh aku mahu lelaki ini muncul di hadapanku saat ini juga. Soalan Encik Firdaus tetap sahaja membuat jiwaku berbunga indah seperti dulu juga.

Prince Charmimg: Rindu abang tak?
Ugly Betty           : Tak rindu pun…

Sambil tersenyum aku sengaja mempermainkan perasaan Encik Firdaus. Mahu melihat reaksi Encik Firdaus. Diam. Dan terus diam. Tiada lagi jawapan daripada Encik Firdaus. Agak lama aku menunggu. Tetingkap Yahoo! Messenger di dada komputer ribaku terus menyepi. Membuat aku gundah sendiri. Aku mengharapkan jawapan dan usikan manja seperti selalu. Bukan sepi begini.
“Diam pulak. Merajuk ke?...,”aku bersuara sendiri. Daripada meniarap, kini aku duduk bersila di atas katil. Menanti dengan sabar jawapan daripada Prince Charming ku. Namun, tetap hampa. Aku mengeluh perlahan.
“Jawablah…Tiya main-main je…,”aku mengomel lagi. Merenung screen komputer bagaikan menanti Encik Firdaus muncul dari situ menemuiku.
“Bencilah macam ni. Baru nak chat, terus hilang. Menyampah…,”ada rasa geram mula singgah di hati. Geram dibiarkan tertunggu-tunggu begini.
“Cakap tak rindu…,”
Segera aku berpaling. Suara itu. Aku terlalu kenal suara itu. Juga terlalu rindu pada suara itu. Senyum lebar Encik Firdaus di pintu bilik membuat aku segera bergerak turun dari katil. Berkejar mendapatkan suamiku yang muncul secara tiba-tiba. Betul-betul satu kejutan. Pantas jemarinya aku kucup dan pantas juga tubuh itu aku peluk erat. Mahu melepaskan semua kerinduan yang terhimpun cuma untuknya. Senang hatiku mendengar Encik Firdaus  tergelak halus. Membalas pelukanku dengan cukup mesra.
“Cakap tak rindu kat abang,”
Aku tersengih. Wajah ceria Encik Firdaus aku pandang lama. Mana mungkin tidak ada rindu untuk wajah kesayanganku ini. Wajah itu aku usap perlahan. Menentang renungan lembutnya yang sering membahagiakan aku.
“Acah aje…,”ujarku sambil meleraikan pelukan. Mencapai beg pakaian di kaki Encik Firdaus. Encik Firdaus cuma tersenyum sambil perlahan mengelus rambutku.
“Abang rindukan Tiya,”
Aku sekadar tersenyum. Tidak perlu aku balas ungkapan itu, kerana renunganku sudah cukup untuk menyatakan segunung rindu yang turut aku tanggung.
“Kenapa balik tak beritahu? Abang cakap esok baru balik,”
Encik Firdaus diam. Cuma melangkah masuk ke bilik. Aku mengekori dari belakang bersama beg pakaian miliknya.
“Urusan dah selesai, buat apa abang nak berlama kat sana? Baik abang balik jumpa isteri abang. Tak best asyik sembang dengan computer… dengan handphone aje,”
Aku mengangkat kening. Encik Firdaus mengukir senyum sambil kenyitkan mata. Perlahan melabuhkan punggung ke sofa di tepi jendela.
“Dulu suka aje?,”dugaku sambil berpeluk tubuh.
“Dulu lain…sekarang lain…,”
Aku mencemik.
“Abang nak minum? Tiya buatkan?,”aku bertanya apabila melihat Encik Firdaus kelihatan begitu penat.
Encik Firdaus menggeleng perlahan.
“Penat? Nak Tiya urut?,”
“Terima kasih sayang. Tapi, abang nak mandi. Nak solat Asar dulu. Lepas tu, kita minum petang sama-sama,”balas Encik Firdaus sambil mengangkat punggung. Sempat memberi satu kucupan di dahiku sebelum bergerak ke almari mencari tuala.
“Kalau macam tu, Tiya turun siapkan minum petang ya,”
“Okay, sayang,”
Aku tersenyum. Memandang Encik Firdaus masuk ke bilik air, kemudian mula mengatur langkah keluar dari bilik. Terus menuju ke ruang dapur.
“Tini… buat apa tu?,”
Pantas Tini berpaling.
“Puan… tengah goreng karipap. Puan nak apa ya?,”
Aku menggeleng perlahan. Bergerak menghampiri Tini sambil menjenguk karipap di dalam kuali.
“Dah buat air?,”aku bertanya.
“Belum Puan. Nanti habis goreng karipap ni, saya siapkan,”
“Tak apa. Biar saya buat,”
“Tak apa, Puan. Saya boleh buatkan,”
Aku tersenyum.
“Jangan risau. Masak saya kurang mahir, tapi, saya pandai buat air,”aku berseloroh sambil disambut tawa kecil Tini.
“Terima kasih, Puan,”
Tanpa menjawab, aku berlalu mencapai balang berisi milo dan juga susu. Sibuk menyediakan milo panas untuk suami tersayang.
“Kak Long!,”
Sergahan itu membuat aku terjerit kecil. Segera aku berpaling sambil mengurut dada. Iecha tersengih.
“Terkejut Kak Long. Nasib baik tak terlepas teko ni tau,”rungutku sambil meletakkan teko berisi milo panas ke dalam dulang. Iecha tergelak halus.
“Sorrylah. Kak Long buat air apa?,”
“Milo. Nak?,”
“Nantilah. Along dah balik kan, Kak Long?,”
Aku tersenyum. Tidak jadi menyusun cawan dan piring. Kini, pandanganku jatuh tepat ke wajah Iecha. Melihat senyum lebar Iecha, cukup untuk memberitahu ada sesuatu sedang berlegar di fikiran adik iparku itu. Perlahan aku bersandar pada kabinet sambil berpeluk tubuh. Iecha tersengih. Tini yang muncul bersama sepiring karipap panas mengalihkan sedikit tumpuanku pada Iecha.
“Along suka karipap ni. Biar Iecha tolong bawakan ya. Along nak minum kat mana ni, Kak Long? Kat sini ke kat laman?,”Iecha bersuara lagi sambil mencapai dulang berisi hidangan minum petang.
“Tak payah…tak payah… macam ada niat tak baik aje kat mata tu. Cepat bagitau apa niatnya tu?,”
Iecha mencemik sambil menarik tangannya apabila tangan mulus itu kujentik perlahan.
“Cepat bagitau…,”desakku sambil mengangkat kedua-dua kening.
Iecha tersengih.
“Kak Long tolonglah Iecha. Ajaklah Along keluar malam ni, ya. Esok malam Iecha dah nak balik kampus. Iecha nak shoppinglah. Tak nak shopping sorang, nanti kena bayar sendiri,”
“Ambil kesempatan,”usikku serius.
“Alah. Bukan selalu. Kak Long pun boleh shopping sama nanti…,”
“Ajaklah sendiri,”ujarku selamba.
Iecha menarik muncung.
“Kalau Iecha ajak, samalah macam tak payah ajak. Macam-macam alasan nanti,”anak gadis itu mula merungut.
Aku tersenyum. Adik bongsu suamiku itu sudah mula mahu merajuk.
“Tengoklah. Kalau Along tak penat, nanti Kak Long tanyakan,”
“Yes! Kalau Kak Long ajak, sure punya Along tak akan penat,”girang gadis manis itu bersuara sambil bergerak laju meninggalkan ruang dapur.
“Tadi cakap nak tolong angkatkan ni,”aku bersuara sambil bercekak pinggang.
“Iecha ada kerja sikit,”sedikit kuat Iecha membalas bersama tawa mengekek. Aku tersenyum sambil menggeleng perlahan. Tini yang sibuk membasuh kuali, turut tergelak halus.
“Kenapa dengan Iecha tu?,”
Aku mengangkat muka. Encik Firdaus sudah berwajah segar. Kemas bersama T-shirt hitam dan berseluar jeans. Tanpa menjawab, cuma senyum manis aku hadiahkan buat Encik Firdaus.
“Abang nak minum kat mana?,”soalku sambil mengangkat dulang. Bergerak keluar dari ruang dapur sambil diiringi Encik Firdaus.
“Kat luarlah,”
Tanpa bersuara, langkahku terus laju menuju ke arah gazebo di hujung laman. Meletakkan dulang di atas meja besi sambil perlahan melabuhkan punggung ke kerusi. Milo panas kutuang ke dalam cawan. Terus kuhulurkan kepada Encik Firdaus yang sudah mengambil tempat di sisiku.
“Thanks,”
Aku tersengih. Menongkat dagu sambil mengamati wajah Encik Firdaus yang sedang menikmati minuman petang. Encik Firdaus mengangkat kening membuat aku tersenyum panjang. Cawan diletakkan perlahan ke meja.
“Kenapa?,”
“Saja. Lama tak tengok abang…,”
Encik Firdaus tertawa lepas.
“Okay… tengoklah puas-puas,”ujarnya kemudian sambil memeluk tubuh. Wajahnya sengaja dihalakan ke arahku. Aku menjeling dan dia tersenyum.
“So, selama tiga hari abang kat Kuantan, apa isteri abang ni buat?,”
Aku mengeluh perlahan.
“Jadi Betty lah. Tu pun, sekejap-sekejap aje. Sibuk memanjang aje orang tu,”rungutku separuh bergurau.
Encik Firdaus tersenyum lebar.
“Tiya temankan mummy kat butik. Mummy ajak Tiya jaga butik,”aku mula bercerita. Perkara baru yang aku lakukan setelah hampir empat bulan aku menghabiskan masa di rumah besar ini.
“Seronok juga. Ada juga aktiviti. Kalau Tiya nak kerja dengan mummy, boleh ya bang? Bosanlah duduk rumah,”
“Nak kerja buat apa? Jadi isteri abang, dahlah,”
“Tak boleh bang. Lagi lama Tiya duduk kat rumah ni, lagi bertambah saiz Tiya. Tiya tolong mummy, ya?,”
Encik Firdaus diam. Merenung wajahku sambil menggosok dagu.
“Boleh kan?,”
“Kalau abang cakap tak boleh?,”
“Tiya pujuk mummy… suruh mummy pujuk abang,”
Encik Firdaus tergelak. Aku mengangkat kening.
“Bosan sangat ke duduk rumah?,”
“Bosanlah bang…,”aku menjawab sambil mengeluh panjang. Memang bosan. Itu satu kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi. Aku perlukan udara segar dari luar. Aku perlukan aktiviti lain selain daripada berada di rumah dan menunggu kepulangan suami tersayang.
“Kalau tolong mummy, abang izinkan. Kalau kerja lain, abang tak benarkan. Abang nak Tiya selalu ada untuk abang,”
Aku tersenyum lebar.
“Thanks, bang,”
“Thanks aje?,”
Aku kenyitkan mata.
“Juga karipap favourite abang ni,”balasku sambil menghulurkan sebiji karipap pada Encik Firdaus. Encik Firdaus membelek karipap di tangannya.
“Karipap aje? Macam tak berbaloi…,”
Aku tersenyum kecil. Encik Firdaus menghadiahkan satu renungan yang cukup lembut. Renungan yang menghantar rasa kasih yang sarat ke dasar hatiku.
“Abang…,”aku bersuara lembut.
“Hmmm…. Apa lagi ni?,”lembut juga balasan yang Encik Firdaus berikan.
“Penat tak?,”
“Kalau untuk Tiya, abang tak pernah penat,”
“Kalau macam tu, bolehlah keluar malam ni ya? Iecha ajak shopping,”
“Patutlah happy semacam budak tu. Ada komplot dengan kakak ipar dia rupanya,”
Aku tergelak kecil.
“Mana ada komplot. Tapi, Tiya dah cakap, kalau abang penat, maknanya tak jadilah shopping,”
“Boleh. Tapi ada syaratnya…,”
“Ada syarat pula? Apa syaratnya?,”
Encik Firdaus mengukir senyum.
“Malam ni, tak boleh. Esok pagi. Esok abang tak masuk office,”
Aku kerutkan kening.
“Tadi cakap tak penat….,”
“Memanglah tak penat. Tapi, abang rindukan isteri abang. Malam ni, abang nak isteri abang aje yang temankan abang…,”
Aku tersenyum kecil. Sedikit segan melihat senyum Encik Firdaus begitu lebar. Senyum yang membuat pipiku membahang tiba-tiba.
“Hmm… nanti Tiya beritahu Iecha,”
Encik Firdaus mengangguk perlahan. Perlahan juga aku menghulurkan sebiji lagi karipap pada Encik Firdaus. Kali ini, tidak disambut tetapi cuma mulutnya yang terbuka minta disuap. Dengan senang hati, karipap aku suapkan ke mulut Encik Firdaus.


****

11 comments:

cik nurul said...

kak hanni, edit balik ye cerita ni?
best2..rindu kat encik firdaus n tiya..hehe
next entry pliz...haha

MaY_LiN said...

alahai..
manje nye

Anonymous said...

alolo comey btol...

melia said...

besnyer...k.hanni gud luck..chaiyok2. tulis smpi hbis taw...hehheh

bunga lalang said...

tak sabar nak tunggu :p

miznza84 said...

Suweet bangat.

eva said...

sukanya. tak sabar tunggu next chapter

Anonymous said...

alaaaa..... soooo sweettt... Bertuah Tiya dpt hubby cam En Firdaus. So loving..

~Cik MI~ said...

alaaaa~~~~~~ omel yea diorang... sweet sesangat... hehehehe... kalah TS... hahaha

~CutE CHerry bl0sSoms~ said...

best nye..!!

nurul said...

aduhai..rindu pulak nak makan karipap -p

[11:35:50 PM] hos.getah: