Hampa. Dia gagal lagi. Usahanya seakan sia-sia. Dia tetap
gagal menemui sepasang mata yang mampu membuat dia lupa segalanya. Gagal menemui
renungan yang membuat masanya seakan terhenti. Bersama langkah malas, dia
melangkah ke ruang pejabat. Terus menghampiri kaunter menyambut tetamu. Belum
pun sempat dia bersuara, senyum manis sudah terukir buatnya.
“Selamat petang, Encik Zariff,”
Sapaan itu cuma dijawab dengan seulas senyum nipis dan
anggukan kecil.
“Ada apa-apa pesanan untuk saya, Jasmine?,”
Gadis penyambut tamu itu menggeleng perlahan dan dia pula
tidak menunggu lama. Terus mula melangkah menuju ke arah tangga.
“Err…Encik Zariff..ada…ada.. Saya lupa. Puan Zahra nak
jumpa Encik,”
Langkah Zariff terhenti. Kembali berpaling memandang
wajah Jasmine.
“Sekarang?,”
“Lepas lunch tadi, Puan dah cari Encik. Tapi, Encik tak
ada,”
Zariff diam sejenak, sebelum langkahnya bertukar arah.
Terus menuju ke arah bilik ibunya. Perlahan pintu diketuk, dan sebaik sahutan
suara ibunya singgah di telinga, daun pintu ditolak perlahan. Berdiri seketika
di situ, memberi peluang ibunya menghabiskan perbincangan dengan Saera, seorang
pengurus daripada bahagian sumber manusia. Sebaik wanita yang berusia awal
empat puluhan itu, bangkit dari kerusi, dia melangkah masuk perlahan-lahan.
“Selamat petang, Encik Zariff,”
Zariff tergelak kecil.
“Apa pula tiba-tiba berencik ni, Kak Saera?,”
Saera tersenyum.
“Yalah. Dah nak jadi bos, kan?,”
“Macam tu pulak?,”
Giliran Saera tergelak kecil.
“Oklah. Akak keluar dulu. Sambung kerja,”Saera meminta
diri sambil terus menyambung langkah. Pintu bilik ditutup perlahan, dan Zariff
terus mengambil tempat di hadapan ibunya. Memandang wajah itu bersama senyum
yang lebar di bibir.
“Mama dah makan?,”
Puan Zahra mengerling tajam. Senyum tidak bersalah Zariff
dipandang sepi. Bersandar di kerusi sambil renungannya terus menikam wajah
Zariff.
“Orang lunch sampai pukul dua. Kamu lunch sampai pukul
empat?,”
Zariff tersenyum. Perlahan menggaru kepala yang tidak
gatal. Bukan salah dia kalau nalurinya kuat menyuruh dia menjadi penunggu setia
di restoran di mana tempat terakhir dia berjumpa dengan gadis yang bernama
Arisa. Menunggu di situ untuk hari yang kelima berturut-turut, dengan harapan
dia menemui wajah itu sekali lagi. Benar-benar gila tindakannya itu. Tidak tahu
apa relevan tindakannya itu, tetapi, itulah yang telah dia lakukan. Satu perlakuan
yang gagal dihalang oleh akal warasnya.
“Zariff… mama tak cakap dengan jasad kamu kan?,”tajam
kata-kata sedikit sinis itu menikam gegendang telinganya.
“Mama ni. Saya dengarlah. Ada hal kat luar tadi. Itu yang
masuk lambat sikit,”
“Hal kerja ke hal peribadi?,”
Zariff menggaru kepala.
“Mama bincang apa tadi?,”dia cuba lencongkan soalan.
Puan Zahra tersenyum kecil. Bijak Zariff larikan topik.
“Mama suruh Saera adakan iklan jawatan kosong. Personal
Assistant untuk kamu nanti,”
“Dah masukkan dalam syarat tak? Mesti bujang. Tak mahu
married and, saya nak perempuan. Kalau boleh tambah berpewatakan menarik, lagi
bagus,”usik Zariff sambil tersenyum. Bertambah lebar senyumnya sebaik sepasang
mata ibunya menjegil marah.
“Kamu nak cari assistant ke, nak cari model?,”
Zariff tergelak lepas. Senang melihat wajah ibunya yang
sedikit mencuka.
“Takkan gurau sikit pun, tak boleh, mama…,”
Puan Zahra menjeling tajam.
“Mama dah nak rehat kat rumah. Dah penat rasanya bekerja
dan bekerja. Terasa nak berehat pula. Dah sampai masanya mama serahkan semuanya
pada kamu. Harap kamu tak akan kecewakan mama. Kamu akan uruskan syarikat kita
ni, sebaik mungkin. Tapi, bila tengok kamu ni, mama jadi risau,”serius sahaja
ibunya menanggapi usikannya.
Zariff menghela nafas panjang. Memang sedikit berat
tanggungjawab yang diberikan. Namun, dia sudah bersedia untuk mengambil-alih
segala urusan kerja ibunya. Memang dia mahu ibunya melepaskan segala penat
lelah. Segala beban kerja. Sudah sampai masanya untuk dia memberi ruang rehat
secukupnya pada ibunya itu. Tidak mungkin dia akan kecewakan satu-satunya
harapan itu.
“Dengan segala tunjuk-ajar mama selama ini, saya rasa
saya sudah bersedia. Saya tak akan kecewakan mama. Percayalah…,”
Lebar senyum Puan Zahra. Kesungguhan di wajah anak
tunggalnya itu, membuat dia sedikit lega.
“So…hal apa yang tadi? Lama benar keluar?,”
Zariff mengangkat muka. Tidak sangka hal itu dibangkitkan
semula. Agak lama dia memandang wajah ibunya yang ditemani sekuntum senyum.
“Kenapa mama tanya? Tak pernah mama tanya macam ni pada
saya?,”
Puan Zahra tergelak kecil. Perlahan mengangkat punggung
dari kerusi. Bergerak mendekati anaknya itu.
“Sebab jarang anak mama lunch sorang-sorang…Selalunya
mesti berteman. Kalau bukan dengan rakan kerja mesti dengan perempuan cantik…,”
Zariff bersandar ke kerusi. Terus merenung wajah ibunya. Wanita
ini seolah-olah mengetahui sesuatu.
“Mama ni, kenapa ya?,”
“Apa Zariff buat kat restoran tu? Ada orang nampak dua
hari berturut-turut Zariff duduk kat situ. Lama pula tu,”
Zariff tergelak kecil. Lima hari, mama. Bukan dua hari…hatinya
bersuara membetulkan fakta.
“Sejak bila pula mama pasang spy ni?,”
“Nabila ada shooting kat area situ. Dia lunch kat
restoran tu and nampak kamu. Apa kamu buat kat situ sorang-sorang?,”
Zariff tunduk. Bukan sesuatu yang pelik kalau Nabila si
mulut becok itu yang membaca cerita. Dan, kenapalah Nabila perlu muncul di situ
untuk menjadi mata kepada ibunya?
“Makanlah mama. Nak buat apa lagi kat restoran?,”dia
berdalih dengan nada selamba. Terbayang kini wajah Nabila yang sentiasa manis
dengan senyuman itu. Alangkah bagusnya andai saat ini, mulut itu dapat dia
cubit.
“Makan sampai berjam-jam? Pelik perangai kamu kebelakangan
ni, tau…,”
Zariff mengeluh pendek. Mengangkat punggung
perlahan-lahan. Tidak lagi berminat untuk meneruskan perbualan.
“Mama beritahu spy mama tu, janganlah busy body sangat…,”
Puan Zahra tersenyum kecil. Dapat menangkap ada riak
geram tersimbah di wajah Zariff. Perlahan dia menggeleng.
“Agaknya anak mama ni, tunggu bakal menantu mama kat situ
ya?,”
“Saya keluar dulu. Nak sambung kerja. Dah tak boleh
main-main, kan?,”Zariff bersuara sambil berlalu.
“Jangan tambah kerja pelik-pelik belakang mama, dah lah….,”
Pesanan separuh amaran itu mematikan langkahnya di pintu.
Perlahan dia berpaling. Berbalas renungan buat seketika.
“Saya tahu bezakan perkara yang baik dan tidak baik…Mama
janganlah nak risaukan saya,”
“Alhamdulillah,”
Jawapan itu sekali lagi bagai satu sindiran halus. Tidak menunggu
lama, dia terus berlalu. Tidak mahu melanjutkan bicara lagi.
*****
“Saya tak tahu apa masalah encik. Tapi, saya minta
maaf. Saya tak ada masa untuk semua ni,”
Kata-kata
itu masih terngiang-ngiang di telinga. Dan, kad perniagaannya yang melayang
jatuh ke tepi longkang juga masih begitu jelas di matanya. Salam perkenalan
yang dihulurkan ternyata ditolak mentah-mentah. Barangkali pertemuan itu tidak
kena pada masanya. Barangkali emosi gadis itu yang membuat dirinya ditolak
mentah-mentah. Kalau gadis itu berada di dalam situasi yang lebih tenang,
mustahil salam perkenalan itu akan diabaikan begitu sahaja.
Zariff
menggosok dahi. Tidak tahu kenapa fikirannya sering melayang mencari wajah
gadis pemilik rantai ini. Gara-gara gadis ini, seluruh agenda hariannya seakan
berubah. Dia sanggup berkurung di rumah bersama rantai emas yang melingkari
jemarinya, daripada menghabiskan masa bersama teman-teman. Dia sanggup
berulang-alik ke restoran semata-mata mahu mencari kebetulan yang mungkin akan
muncul.
Dia
mengeluh keras. Cuba membuang jauh-jauh imej menarik itu. Namun, satu per satu
pula peristiwa yang berlaku di restoran tempoh hati, bermain di fikirannya. Wajah
Arisa, wajah lelaki bersama Arisa dan juga wajah berang seorang wanita cukup
jelas menganggu mindanya saat ini. Ingin sekali dia tahu apa sebenarnya kisah
di sebalik kekalutan itu. Ingin tahu sejauh mana hubungan gadis itu dengan
lelaki yang menjadi teman makan malamnya itu. Teringat pada satu tamparan yang
singgah di pipi mulus gadis itu. Juga teringat pada pipi gadis itu yang basah
dengan air mata. Sungguh dia benci melihat air mata itu.
“There’s
something wrong with you, Zariff…,”dia berbisik perlahan sambil memukul
perlahan kepala sendiri. Merenung ke arah langit yang kelam dari balkoni kondo.
Kemudian memandang pula pada rantai di tangan.
“Satu
hari, kita akan jumpa lagi…Arisa…harap kita akan jumpa lagi…,”
Perlahan
dia mengeluh. Melangkah masuk ke ruang tamu sambil rantai dicampak perlahan ke
meja. Tubuhnya dijatuhkan ke sofa empuk. Mencapai telefon bimbit di atas meja. Dia
perlu buang seketika wajah yang sering mengganggu ini. Pantas jemarinya dilarik
ke screen telefon bimbit. Mahu menghubungi seseorang. Mahu menghabiskan masa
dengan seseorang. Telefon dilekapkan ke telinga.
“Man..kau
kat mana?,”
“Kau
tunggu. Aku nak join…,”bicara ringkas ditamatkan begitu sahaja. Talian
dimatikan dan telefon diletakkan kembali ke meja. Mungkin dia patut
menghabiskan masa bersama Najman dan teman-teman perempuan yang barangkali
boleh menyingkir wajah Arisa. Mahu atau tidak, dia tidak boleh larut dalam
perasaan resah yang tidak dia tahu puncanya ini.
Bersama
semangat baru, dia bangkit. Menuju ke bilik untuk bersiap. Dia perlu menjadi
Zariff yang lama. Zariff bukan seorang yang suka melayan emosi. Jauh sekali
melayan perasaan. Zariff seorang yang cukup praktikal. Yang sering melihat
sesuatu dari sudut paling mudah. Dia seolah-olah mengingatkan diri sendiri
tentang siapa dirinya yang sebenar.
******
5 comments:
X sabar nk tunggu arissa apply jwtan personal asst. Zhariff. Mendebarkan. Smbung lg sis
haah..tak sabar nak tggu ni
myehaireland...
kak..cepat buat novel..
x sabar kak hani. klu blh bg lah ktorg ni bc sampai bab dorg kawen sblm nk dibukukan atau yg seerti dgn nya. hehehe
rasa mc da bc la cite ni.. tp x leh recall dr mana
...
Post a Comment