Wednesday, October 5, 2011

Mungkinkah? 11

“Tak habis-habis lagi ke datang nak menyusahkan orang? Kalaupun tak ada rasa kasihan pada saya, tolonglah kasihan pada ayah yang memang tak berapa sihat tu. Sudah-sudahlah sebar fitnah ke sana ke sini…Sudah-sudahlah datang saja-saja cari pasal dengan ayah,”
            “Kalau ayah sayang tak percaya, pasti dia tak akan tertekan. Kan? Kalau dia tak tertekan…tak stress, pasti dia tak akan masuk hospital. Betul kan? Ayah masuk hospital tiga hari lepas, kan? Kesian ayah mertua abang. Kenapalah anak dia suka susahkan dia macam tu…,”
            “Baik awak berambus saja dari sini. Dari hidup saya. Dari hidup kami semua. Kami dah tak larat nak layan kerenah lelaki tak guna macam awak,”
            “Senang saja. Minta bos kesayangan Rissa tu, bayar duit pada abang, and abang akan berhenti ganggu ayah. Nak berterus-terang dengan isteri boss Rissa pun, abang sanggup, tau. Adil kan? Mesti boss Risa tak akan tolak permintaan Rissa, sebab dia kan sayangkan Rissa…,”
            Perlahan jemarinya menggosok dahi. Sungguh rimas dengan gangguan Radhi yang seperti tiada penghujung.
            “Dah sampai ke mana tu? Bukan main berkerut lagi kening tu,”
            Arisa mengangkat muka. Sedar yang dia kini sedang berdepan dengan Encik Karim. Bukan Radhi yang menyebalkan.
            Senyum majikannya itu dipandang sepi. Tingkah lelaki ini juga sudah mula membuat dia kurang senang. Encik Karim seperti tidak begitu mengacuhkan masalah yang sedang melanda mereka. Tiap kali dia cuba mengajak Encik Karim berbincang, lelaki ini hanya tersenyum kecil.
            ‘Saya tak kisah…’
            Itulah sahaja jawapan yang dia terima. Dan, hari ini, Encik Karim mula bersuara. Mula mahu berbincang masalah yang dia rasakan semakin meruncing. Setelah hampir sebulan bergelut dengan segala kerenah Radhi, baru hari ini Encik Karim mahu merungkai segalanya. Namun, cadangan Encik Karim ini langsung dia tidak setuju sebenarnya. Encik Karim mahu berbincang di luar, sedang dia sendiri, sebolehnya dia mahu mengelak pertemuan sebegini. Yang hanya akan mengundang cerita tidak enak. Cadangannya agar berbincang sahaja di ruang pejabat, telah Encik Karim tolak mentah-mentah. Sudahnya, dia berada di sini, bersama perasaan tidak enak. Bersama andaian ngeri seandainya sepasang mata Radhi sedang memerhati mereka saat ini. Matanya sesekali meninjau persekitaran restoran yang sedikit mewah ini. Dan, jatuh pula pada wajah Encik Karim yang cukup tenang di hadapannya.
            “Encik Karim, rasanya elok kalau kita bercakap sekarang. Jujurnya, saya tak selesa kita bertemu begini. Bekas suami saya tu, gila. Saya tak mahu nanti Puan Salma salah – faham lagi. Saya tak nak bagi masalah pula pada Encik Karim sekeluarga,”
            Senyum Encik Karim membuat dia gusar. Langsung tiada riak cemas di wajah itu.
            “Apa yang awak nak cakapkan?,”lembut soalan itu meniti di bibir lelaki di hadapannya ini. Soalan yang membuat dia termangu. Apa yang ingin dicakapkan? Apa yang boleh dibincangkan? Untuk dirinya, sememangnya dia buntu. Radhi menyerangnya di setiap penjuru. Perlahan dia menggeleng.
            “Saya andaikan, mungkin Encik Karim ada cara bagaimana kita nak selesaikan masalah ni. Bagaimana kita nak berterus-terang dengan Puan Salma…,”akhirnya dia bersuara perlahan.
            “Apa yang bekas suami awak nak dari awak?,”soalan Encik Karim cukup melencong daripada topik yang ingin dia bincangkan.
            Arisa mengeluh perlahan. Memandang wajah Encik Karim yang setia menanti jawapannya. Perlukah dia berterus-terang? Berterus-terang dan menambah beban masalah lelaki ini? Sudahnya dia menggeleng perlahan.
            “Saya cuma mahu selesaikan salah-faham Puan Salma. Apa yang bekas suami saya mahukan, itu bukan persoalan utama…,”
            “Tapi, saya nampak seperti ada rancangan yang cukup terperinci di sini. Saya tak percaya dia buat semua ni, sekadar suka-suka,”
            Arisa meraup wajah perlahan-lahan.
            “Apa Puan Salma cakap dengan Encik Karim? Dia marahkan saya ke?,”
            Encik Karim tersenyum kecil. Dalam senyum itu juga dia mengangguk. Membuat Arisa semakin tidak senang duduk.
            “Encik Karim?,”perlahan dia bertanya lagi.
            “Saya? Kenapa dengan saya?,”
            “Encik Karim marahkan saya? Saya tahu semua ni berpunca dari saya. Saya kesal dengan apa yang berlaku. Sungguh saya sangat kesal. Saya sanggup lakukan apa saja untuk pulihkan keadaan ini, Encik Karim,”
            “Arisa… ini bukan salah awak. Jangan salahkan diri awak untuk sesuatu yang tak ada kena – mengena dengan awak. Tindakan bekas suami awak… itu semua di luar kawalan awak. Stop blaming yourself. Okay?,”
            “Saya sanggup berdepan dengan Puan Salma dan jelaskan semuanya,”
            “Tenang Arisa…Risau saya tengok awak macam ni,”
            “Selagi perkara ni tak selesai, macam-mana saya nak tenang,”Arisa bersuara sendu. Menatap wajah Encik Karim seketika sebelum menunduk.
            “Ayah awak macam-mana?,”
            Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Rasanya dia tidak bercerita apa-apa tentang bapanya. Dia tidak mahu Encik Karim tahu situasi yang sedang dihadapinya. Tidak mahu menambah masalah lelaki yang begitu banyak membantunya itu.
            “Kenapa Encik Karim tanya pasal ayah saya?,”
            Majikannya itu menarik nafas panjang. Merenung wajahnya cukup lama.
            “Arisa, boleh tak jangan rahsiakan apa-apa dari saya? Mustahil bekas suami awak tak attack ayah awak. Untuk bercerai dengan awak, dia sanggup gunakan ayah awak…takkan kali ini, dia tak susahkan awak macam tu?,”
            “Encik Karim… hal itu biarlah saya selesaikan. Saya tak mahu susahkan Encik Karim lagi. Nanti, macam-macam lagi dia boleh buat fitnah tentang kita. Jumpa macam ni pun, saya risau. Risau kalau dia sedang perhatikan kita,”
            “Biarkan dia, Arisa…,”
            Arisa terkedu. Tidak mengandaikan Encik Karim menjadi setenang itu. Langsung tiada riak risau. Langsung tidak kelihatan bimbang andai isterinya mendapat berita yang bukan-bukan lagi.
            “Encik Karim dah ada jalan penyelesaian ke?,”dia mula meneka. Ingin mencari punca ketenangan wajah majikannya itu.
            Soalannya terbiar sepi. Cuma senyum kecil muncul di bibir nipis itu.
            “Kalau ditanya pada saya…saya ada jalan penyelesaiannya,”
            Arisa tersenyum. Sungguh lega mendengar jawapan itu.
            “Alhamdulillah. Kalau Encik Karim perlukan bantuan saya, untuk yakinkan Puan Salma, just beritahu saya. Saya akan bantu,”
            “Dah tentu saya perlukan bantuan Arisa,”
            Arisa tersenyum sambil mengangguk.
            “InsyaALLAH saya akan tolong. Cakap saja, Encik Karim…,”
            “Kita cakap, lepas kita makan. Okay?,”
            Senyum Arisa mati perlahan-lahan.
            “Perlu ke kita makan? Saya nak balik cepat-cepat. Saya nak akhiri pertemuan ni cepat-cepat,”
            Encik Karim tersenyum lagi.
            “Sebab kita sekarang berada di dalam restoran, sudah tentu kita perlu makan…,”
            Wajah Arisa kembali kelat. Mula tidak senang duduk di dalam restoran berhawa dingin yang cukup santai dengan alunan instrumental yang memikat.


*****

            “Hello. Kata nak balik. Jomlah,”
            Zariff mengangkat tangan. Memberi isyarat agar temannya itu berlalu.
            “Cepatlah. Tadi bukan main suruh aku makan cepat. Jomlah balik,”
            “Kau baliklah dulu,”
            Najman merengus geram.
            “Kau ni, kenapa?,”
            Zariff mengangkat muka. Merenung wajah temannya yang kelihatan sedikit benggang.
            “Kau tu yang kenapa? Nak balik, baliklah. Aku nak duduk sini. Is it clear?,”
            Najman menggeleng perlahan.
            “Aku blah dulu. Malas layan kau ni…,”
            “Yeah. Bye…,”Zariff menjawab tanpa memandang dan temannya berlalu tanpa menunggu lagi.
            Pandangannya terus jatuh pada seraut wajah yang berada tidak jauh dari mejanya. Dia kenal wajah itu. Dia ingat wajah itu. Seperti ada perbincangan serius di antara pasangan yang teramat menarik perhatiannya itu. Siapakah lelaki itu? Mungkinkah suaminya? Atau…barangkali kekasihnya. Tanpa mengacuhkan lelaki yang menemani, pandangannya terus melekat pada wajah gadis itu yang berkerut seakan memikirkan sesuatu.
            “Arisa..,”dalam senyum, bibirnya mengalun nama itu. Terus teringat pada rantai yang selamat berada di dalam simpanannya. Sungguh dia leka menatap wajah itu. Tidak tahu apa yang istimewa pada seraut wajah itu, namun, pemilik rantai berukir nama Arisa ini telah berjaya membuat mindanya tidak henti-henti mengulang imej wajah yang sama berkali-kali. Sungguh tidak disangka, satu lagi pertemuan telah ditetapkan antara dia dan gadis ini.
            Saat kerut di dahi gadis itu menghilang dan bibir gadis itu mula terukir senyum, tanpa sedar, dadanya pula berdegup tiba-tiba. Gila! Itu sahaja ungkapan yang mampu diproses oleh mindanya. Ternyata gadis ini benar-benar berbeza dengan deretan gadis yang menjadi temannya. Dan, tiba-tiba pula dia mengharapkan senyum itu diukir buatnya. Bukan buat lelaki yang sedang tenang menanggapi wajahnya yang berkerut-kerut. Sungguh lelaki itu tidak layak untuk berada di sisi gadis ini. Hatinya mula membuat penilaian. Perlahan dia bersandar ke kerusi. Seandainya gadis ini sedang bersendirian, pasti peluang ini tidak akan disia-siakan. Mungkinkah pertemuan ini memang tidak akan memberi apa-apa makna? Tidak membawa suatu perkembangan yang positif? Satu perkenalan barangkali? Bersama keluhan kecil, dia tersenyum lemah. Sayang, gadis yang sebegini memikat, tidak dapat menjadi temannya. Hatinya terus diasak tanda-tanya. Apakah yang sedang dibincangkan itu? Mungkinkah pasangan itu sedang bertengkar dan nanti akan terlerai satu hubungan. Dia tersenyum. Andai itu yang bakal terjadi, mustahil dia dapat nafikan, dialah manusia paling gembira.
            Tiba-tiba, duduknya sedikit teralih. Semakin berminat dengan apa yang sedang terhidang di hadapannya kini. Kemunculan seorang wanita dengan wajah yang penuh amarah, menyuntik lebih banyak rasa ingin tahu. Di kejauhan, suara wanita itu cukup lantang menyentuh telingannya walau tidak jelas butir bicaranya. Cuba ditenteramkan oleh sang lelaki yang sentiasa tenang sejak tadi. Dia tersenyum. Yakin, ketenangan lelaki itu sudah sedikit tergugat. Perlahan dia menggeleng. Ada perang tiga penjuru di situ. Dan, gadis itu kelihatan terpinga-pinga dengan wajah pucat lesi. Menunduk apabila tangan wanita itu menujah-nujah ke arah wajahnya. Dia berdiri tegak saat satu tamparan melayang ke wajah gadis itu. Sungguh saat itu sepi suasana. Mahu sahaja dia menerpa, membawa lari gadis bernama Arisa yang jelas terkesima dengan tindakan itu. Wajah itu kelihatan sekali lagi terkejut apabila sang lelaki pula menghadiahkan satu tamparan buat wanita yang dari tadi lantang melontar amarah. Dia maju setapak ke hadapan. Mahu terus tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Perlahan dia melangkah menghampiri meja yang saat ini cukup menarik perhatian ramai orang.
            “Encik Karim! Jangan buat Puan Salma macam ni…,”
            “Arisa. Dia tak ada hak untuk berbuat sesuka hati begini. Dia tak ada hak untuk memalukan awak begini,”
            “Saya tak apa-apa. Saya harap sangat Encik Karim boleh jelaskan hal sebenar. Puan Salma… saya tahu Puan sedang emosi, tapi…,”
            “Diam! Aku tak perlu dengar apa-apa dari mulut perempuan murah macam kau!,”
            “Salma!,”
            “Apa?! Abang nak bela dia? Nak tampar saya sekali lagi?,”
            Zariff berhenti melangkah. Topik pertelingkahan sudah sampai ke telinganya dan  dia berpura-pura meneliti gambar di dinding. Sesekali mengerling ke arah gadisnya yang sudah beriak sedih. Perlahan gadis itu mencapai beg tangan dan terus berlalu walaupun namanya dipanggil berkali-kali. Arisa! Ya betul. Namanya Arisa. Dia pula, langsung tidak menunggu lama. Terus berlalu mengekori dari belakang. Dia yakin lelaki itu tidak akan mengejar kerana lengannya kejap dipegang oleh isterinya.
            Sebaik sahaja melangkah keluar daripada ruangan restoran itu, matanya melilau mencari kelibat pemilik nama Arisa. Pandangannya mati pada satu susuk tubuh yang kaku berdiri di kaki lima sambil mengesat pipi dengan kedua-dua telapak tangan. Pasti sedang menghapuskan air mata. Segera dia bergerak menghampiri.
            “Are you okay?,”dia bersuara perlahan. Wajah yang sedang menunduk itu, sedikit terangkat. Namun, cuma seketika. Barangkali segan untuk berdepan dengannya bersama wajah yang lencun dengan air mata.
            “You ni, macam tak okay. Apa kata kita duduk dulu? Maybe you can tell me… apa yang terjadi?,”
            Sepi.
            “I nampak apa yang berlaku tadi…,”
            Arisa terus mengangkat muka. Kali ini menentang wajah lelaki di sebelahnya ini.
            “Saya nak bersendirian. If you don’t mind…,”
            “I just nak tolong?,”
            “Thanks. Tapi, saya tak perlukan pertolongan sesiapa. Saya okay,”
            “Lelaki tu… boyfriend you or scandal you? Tak selamat berkawan dengan suami orang ni…,”
            Arisa diam. Cuma matanya tajam menikam wajah lelaki yang muncul entah dari mana. Hilang seketika perasaannya yang bercampur-baur. Kini, rasa sakit hati pula menjentik hati dek kesimpulan rambang yang dibuat oleh lelaki yang langsung tidak dia kenali ini. Tanpa bersuara dia terus melangkah.
            “Tunggu. Kita belum berkenalan,”
            Arisa menoleh. Memang lelaki semuanya sama barangkali. Ternyata tiada beza antara Radhi, Encik Karim juga lelaki yang tidak sampai seminit muncul di hadapannya ini.
            “Saya tak tahu apa masalah encik. Tapi, saya minta maaf. Saya tak ada masa untuk semua ni,”
            Zariff melemparkan senyum. Dapat dia rasakan dia sudah tersilap menyusun kata. Perlahan dia keluarkan wallet dan menarik sekeping kad.
            “This is my card. Harap ini bukan pertemuan pertama kita,”ujarnya sambil menghulurkan sekeping kad perniagaan. Agak lama kerana ternyata Arisa tidak mahu menyambut huluran kad itu. Dia mengangguk perlahan, mengharapkan kesudian gadis itu.
            Arisa memerhati sekeliling. Ada mata yang sedang memandang. Demi tidak mahu menjatuhkan air muka seorang manusia, dia menyambut dan bibir Zariff terukir senyum yang cukup lebar.
            “Cool…,”Zariff bersuara lega. Menghadiahkan sekuntum senyum lagi buat Arisa yang tidak berperasaan.
            “Pasal tadi… I rasa you tak perlu…,”
            Arisa mengangkat kedua-dua tangan. Isyarat agar lelaki ini tidak lagi bersuara.
            “Kalau tak tahu apa-apa, baik diam,”
            Zariff mengangkat kening kemudian melarik jari di bibirnya. Isyarat bibirnya sudah dizip kemas.
            Arisa berpaling tanpa senyum. Terus melangkah tanpa ada pamitan. Beberapa langkah meninggalkan Zariff, kad perniagaan di tangannya dicampak ke tepi jalan. Membuat Zariff terkedu.
            “Oit!,”
            Sia-sia rasanya dia mengejar kerana Arisa sudah pun masuk ke dalam perut kereta. Zariff merengus geram.
            “Kurang asam betul! Berani dia buang kad aku? Dia buang kad aku…,”dia mengomel dengan rasa tidak percaya.

*****

8 comments:

Anonymous said...

saya first ke..yay

Minsofea said...

heheh...cian zariff!!! hulur kad x kena timing.....kena tukar skill lain ye zariff....:)

Aya Ariel said...

perghh..makin hebat..
pls kak hanni..make ur story to novel..tak sabar nih..hihi

miznza84 said...

pergh makin mendebarkan..
lagi dan lagi pls....

aqilah said...

mantap!!!!!!!!!!!!!!!!!

belle.talib said...

ciannye.
lawak jugak! hahaha...

super said...

radhi ngan arisa cerai khuluk ke???? Lau cerai khuluk c bekas isteri boleh wat laporan polis jika bekas suami kembali kacau bekas isteri..... Apapun tetap best......

Concrete Contractors Indio said...

Hi nice readinng your blog

[11:35:50 PM] hos.getah: