“Abang… apa semua ni?,”kuat
tangannya memegang pintu pagar. Memandang geram wajah Radhi yang selamba. Tidak
mahu tubuh lelaki itu menerobos masuk ke halaman rumahnya. Sakit hati bukan
kepalang melihat reaksi Radhi yang teramat jelas sedang memperlekehkan
perasaannya.
“Aku nak masuk…,”
“Ya. Abang boleh masuk. Tapi, bukan dengan perempuan
ni,”bentak Arisa geram. Sedaya upaya dia cuba mengawal suara. Sabarnya kian
hilang namun, dia tidak mahu menjemput jiran tetangga menjadi penonton. Tidak
mahu keadaan menjadi kecoh. Tidak mahu bapanya menyedari ada pertelingkahan
sedang berlaku di sini.
“Kenapa pula? Ini isteri aku. Kenapa aku tak boleh
benarkan dia masuk,”
Kata-kata yang laju meniti di bibir Radhi membuat jantung
Arisa bagai berhenti berdetak. Dengan nafas yang terhenti dia merenung wajah
lelaki itu. Ternyata lelaki itu telah berkahwin tanpa pengetahuannya. Walau dia
tahu keputusan Radhi, langsung tidak dia duga Radhi akan hancurkan hatinya
secepat ini.
Terasa cintanya yang masih bersisa untuk lelaki itu,
lebur perlahan-lahan. Senyum kemenangan Radhi benar-benar membuat dia berasa
kalah. Benar-benar membuat hatinya merintih hampa.
“Kenapa? Terkejut? Kan aku dah cakap, aku akan kahwin.
Jadi, kenalkan ini madu kau, Azilah,”
Arisa menggetap bibir. Hatinya memang hampir menangis.
Namun, melihat keangkuhan lelaki itu, terasa bodoh kalau dia terus melayan
perasaan hiba yang bertandang. Dia harus belajar untuk menjadi tabah. Dia harus
belajar untuk menjadi kebal menanggapi sikap Radhi yang menyebalkan.
“Siapa pun perempuan ni, itu bukan masalah Risa. Tapi,
ingat. Ini rumah ayah Risa dan jangan berani nak buat macam ni kat sini. Jangan
berani nak bawa orang luar yang tak diundang ke dalam rumah kami!,”
“Tapi, bini aku tinggal kat sini kan? So, aku berhak
masuk. Dan, sudah semestinya bini baru aku pun, berhak masuk,”
Arisa merengus geram. Hatinya bertambah sakit melihat
seorang wanita yang diperkenalkan sebagai Azilah itu, tersenyum sinis di sisi
Radhi. Membuat marahnya hampir tidak terkawal.
“Apa yang kau nak sebenarnya ni?! Apa tujuan kau datang sini
bawa perempuan ni? Nak sakitkan hati aku?,”tiba-tiba melantun soalan itu dari
bibirnya, sambil tangannya menolak kuat dada Radhi yang berdiri di balik pagar
rumah. Membuat lelaki itu terdorong ke belakang. Lupa sudah akan rasa hormat
kepada seorang suami, yang perlu dia jaga.
“Kurang ajar!,”
Bentakan itu membuat dia sedikit terkesima. Langkah laju
Radhi membuat dia gerun. Dia tahu kekerasannya sebentar tadi mengundang marah
lelaki itu. Dia sendiri tidak berniat untuk bertindak sekeras itu.
“Risa! Apa yang bising tu?,”
Pantas dia berpaling. Bapanya tercegat di pintu gelongsor
yang separuh terbuka. Dan, hatinya berasa tidak senang tiba-tiba.
“Tolonglah pergi, bang. Abang tahu kan ayah bukan sihat
sangat. Abang datang tunjuk perempuan ni, nanti dia sakit hati. Nanti dia
marah. Tolonglah pergi,”
Radhi merengus keras. Tubuh kecil Arisa ditolak dan pintu
pagar yang sejak dari tadi dihalang dengan tubuh Arisa, segera dibuka. Arisa
yang hampir terjatuh, tidak sempat berbuat apa-apa. Cuma mendengar bapanya kuat
memanggil namanya. Pasti risau melihat dia hampir terjatuh ditolak Radhi.
“Tujuan abang, apa sebenarnya ni?,”jeritnya dia nada
tertahan.
“Aku datang ambil barang-barang aku. Aku datang nak
tunjuk bini baru aku pada kau dan bapak mertua kesayangan aku tu. Faham?,”
Arisa menelan liur. Laju melangkah cuba menghalang
langkah Radhi. Wajah bapanya yang memerah di muka pintu benar-benar membuat dia
risau.
“Abang… kalau nak sakitkan hati, cukup Risa seorang.
Jangan libatkan ayah,”
“Kau dengan ayah kau, sama saja. Sama-sama menyakitkan
hati,”
“Kalau menyakitkan hati, kenapa kahwin dengan Risa?,”
Radhi tergelak halus. Langkahnya mati untuk seketika.
Wajah Arisa direnung bersama senyum mengejek.
“Kau yang beria-ia nakkan aku, kan? Kau yang
sungguh-sungguh nak sangat kita kahwin kan? Orang macam aku ni, kalau nak
perempuan, petik jari saja,”
Arisa kaku tanpa suara. Cuma terkebil-kebil memandang
Radhi yang menyambung langkah menuju ke pintu. Terkebil-kebil melihat bapanya
bercekak pinggang menghadapi Radhi bersama amarah. Terkesima mendengar
pengakuan kejam dari lelaki yang pernah dia cintai sepenuh hati. Baru hari ini
dia tahu nilai sebenar cintanya di mata lelaki itu. Baru hari ini dia sedar,
dirinya memang tidak membawa apa-apa makna pada Radhi. Air mata yang menitis
tanpa sedar, perlahan-lahan menanam rasa benci yang bukan sedikit di hatinya. Dia
tidak akan maafkan lelaki ini. Sungguh dia tidak menyesal diperlakukan
sebegini. Mungkin sebaiknya Radhi lenyap terus dari hidupnya.
“Radhi! Siapa pula yang kau bawa balik ni? Kau ingat
rumah aku ni, apa?,”Haji Salleh membentak marah. Membawa kesedaran menyapa hati
Arisa yang kaku. Bapanya cuba menghalang Radhi yang mahu masuk ke ruang tamu
bersama wanita yang baru bergelar madunya itu.
“Ini bini saya, ayah. Kenapa pula dia tak boleh masuk?,”
“Kurang ajar kau ya. Berani kau bawa perempuan ni masuk
ke rumah aku? Berambus. Aku tak benarkan dia jejakkan kaki ke rumah ni. Kau pun
boleh berambus!,”
“Ayah…ayah… bertenanglah. Jaga jantung tu elok-elok. Saya
cadangkan ayah duduk elok-elok kat sofa tu. Duduk diam-diam, jangan
marah-marah,”bersama senyum mengejek, Radhi bersuara separuh berbisik. Cukup
hampir di telinga bapa mertuanya itu.
“Radhi!,”
Suara Haji Salleh yang menengking kuat cuma disambut
dengan gelak mengejek.
“Sayang, tak baik cakap macam tu,”
“Alah… jangan risaulah. Dia dah biasa marah-marah macam
tu. Kejap lagi tidur kat ward lah tu. Jom, ke bilik. Sayang tolong kemas barang
abang ya,”
“Abang! Jangan berani nak bawa perempuan tu masuk ke
bilik Risa!,”Arisa melangkah laju. Menghalang langkah Radhi yang cukup santai.
Tidak mahu wanita yang kini bergelar isteri Radhi itu menceroboh ke biliknya.
“Bukan bilik kau seorang kan? Jom sayang…,”
Arisa tersandar ke dinding apabila ditolak kuat oleh
Radhi. Cuba menghalang sekali lagi, namun, panggilan Rianti menghalang niatnya.
Dia menoleh. Tergamam melihat Rianti yang sedang memaut tubuh tua bapanya.
“Ayah…,”
Lupa pada Radhi yang sedang menceroboh biliknya bersama
isteri baru, dia berkejar mendapatkan bapanya yang berkerut muka sambil menekan
dada. Kerisauannya menjadi kenyataan.
“Ayah… ayah tak apa-apa?,”
Melihat bapanya tidak mampu menjawab, Arisa semakin
cemas. Sedihnya hilang entah ke mana. Cuma selaut risau yang mengganti rasanya
saat ini.
“Ati.. ambil ubat ayah…,”
Tanpa menjawab, Rianti berlari ke arah dapur. Tidak lama
kemudian muncul bersama satu botol kecil berisi pil. Segera pil itu disua ke
mulut bapanya dengan pipi yang sudah mula basah. Perlahan dia mengurut dada
bapanya. Nafas bapanya perlahan-lahan sekata sambil tubuh tua itu bersandar
lemah di sofa.
Arisa menggetap bibir. Air mata yang laju menitis, diseka
perlahan. Sakit hati bukan sedikit dengan perbuatan Radhi.
“Ayah okay?,”sebak suaranya bertanya.
Haji Salleh mengangguk lemah. Lemah juga jemarinya
menyeka air mata di pipi anak sulungnya itu, membuat makin laju deraian air
mata bertandang di pipi Arisa.
“Jahatlah abang Radhi tu!,”
Arisa
mendongak. Memandang wajah Rianti yang mencuka. Kata-kata Rianti dibiarkan
sepi. Hatinya membentak perkara yang sama. Cuma, saat ini, fokusnya cuma pada
bapanya. Kerisauannya cuma pada lelaki tua yang sedang berdepan dengan
kesakitan gara-gara kerenah suaminya.
“Betul
ayah tak apa-apa ni? Ayah rehat kat bilik ya?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan. Mustahil dia akan membiarkan Arisa berdepan dengan
Radhi sendirian.
“Pergi
tengok apa yang mereka buat kat dalam tu. Nanti dengan barang kamu dia angkut
sekali,”Haji Salleh bersuara perlahan. Arisa diam. Mendongak memandang wajah
adiknya.
“Ati
tengok ayah kejap ya,”
Rianti
mengangguk sambil terus melabuhkan punggung ke sofa. Arisa bangkit. Berdiri
seketika sambil menghela nafas panjang. Bukan sedikit kekuatan yang dia perlukan
untuk memulihkan hatinya yang hancur kini. Untuk berdepan dengan Radhi yang menyakitkan
hati. Sedaya upaya cuba membuang perasaan yang berbaki di hatinya, dia
melangkah menuju ke bilik. Menolak perlahan pintu bilik yang tidak begitu
rapat.
Sebaik
melihat Radhi asyik menyelongkar beg tangannya, pantas pintu ditolak kuat. Menerpa
ke arah Radhi sambil merampas beg tangan di tangan Radhi.
“Tak
ada barang abang dalam beg Risa!,”bentaknya marah.
Radhi
tergelak.
“Tapi,
ada duit kau…,”balasnya sambil melayang not-not duit kertas di tangan.
“Bagi
balik duit tu!,”
“Alaa….
Buat kali terakhir bagi aku duit sebelum bagi durian runtuh kat aku, apa
salahnya?,”
‘Abang
ni, memang tak guna!,”
Radhi
sekadar tersenyum sambil menyimpan helaian duit kertas ke dalam poket seluar. Kemudian,
berpaling ke arah Azilah yang sudah selesai mengemas.
“Sudah,
sayang?,”
“Dah,”
“Okay.
Aku pergi dulu. Aku tunggu kau bagi duit tu kat aku. Kalau kau nak lengah-lengahkan…
Nak juga turun naik mahkamah tuntut hak kau, kau pun tahu apa akan jadi pada
ayah. Fikirlah masak-masak ya, sayang,”
Arisa
tercegat menahan rasa. Mengiringi langkah Radhi bersama pandangan penuh
kebencian. Sebaik pintu itu tertutup, dengan keras dia mencampak beg tangan ke
katil. Berombak dadanya menahan marah. Menahan geram dan menahan sedih yang
bercampur- baur. Perlahan tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Menggetap bibir
agar esakan yang mula bertandang, tidak sampai ke telinga bapanya.
“Kau
jahat Radhi…. Aku tak akan maafkan kau…,”gumamnya perlahan sambil tersedu-sedu
menahan esakan. Daun pintu yang terbuka, memaksa dia berpaling. Rianti bergegas
merapatinya.
“Kak
Long…,”
Dia
tunduk sambil menyeka air mata. Pelukan lembut Rianti membuat dia sedikit
tenang. Perlahan gadis itu mengusap belakangnya.
“Nangislah
Kak Long. Tapi, janji…lepas ni, Kak Long jangan lemah lagi. Kak Long jangan
tunduk pada abang Radhi lagi. Ati benci abang Radhi!,”pujukan itu
perlahan-lahan membuat jiwanya sedikit tegar. Pelukan terlerai. Jemari halus
Rianti lembut menyeka pipinya yang basah.
“Orang
macam abang Radhi tak layak untuk Kak Long…,”
“Terima
kasih, dik…,”
“Ati
sayang Kak Long. Ati tak nak Kak Long sedih macam ni,”
“Lepas
ni, Kak Long tak akan sedih lagi. Kak Long akan buang abang Radhi jauh-jauh
dari hidup kita,”
Rianti
tersenyum hiba. Memandang wajah kakaknya yang merah menahan tangis.
“Ayah
mana, Ati?,”
“Ati
bawa masuk ke bilik. Abang Radhi sakitkan hati ayah tadi. Dia memang
melampaulah Kak Long…,”
Arisa
mengeluh perlahan. Esakannya kian mereda. Seketika, dia menghela nafas yang
cukup dalam.
“Pergi
tengok ayah…,”perlahan dia bersuara dengan suara yang sedikit serak.
“Ati
suruh Dafi tengokkan ayah. Kak Long dah okay ke?,”
Arisa
tersenyum nipis.
“Kak
Long ada adik-adik yang sayangkan Kak Long. Mesti Kak Long okay. Jangan risau. Lepas
ni, Kak Long tak akan biarkan abang Radhi ganggu hidup keluarga kita. Tak akan…,”
Rianti
diam.
“Kak
Long nak bersendirian sekejap. Ati pergi tengok ayah, ya. Kejap lagi Kak Long pergi
jumpa ayah,”bersama senyum yang cuba dilebarkan, dia bersuara perlahan. Rianti mengangguk
akur. Perlahan bangkit berdiri sambil memegang lengan Arisa. Menarik perlahan
Arisa berdiri bersamanya.
“Ati
keluar dulu, ya?,”
Arisa
tersenyum. Melabuhkan punggung ke katil bersama helaan nafas panjang. Ranjau yang
menanti terasa semakin sukar.
*****
8 comments:
sakitnye hati bila baca bab nih..
lame menunggu. akhirnya ade gak. teme kasih kak hani.
x sabar nk tgu n3 seterusnya... :)
suka.....nak lagi!!!!!!!!!!!!!!
Ya Allah... geramnya.. rasa nk pijak si radhi ni.. geram sungguh..
x sabar nak tunggu citer seterusnya...
eii.. geramnya dgn radhi.. rase nak pijak2 je.. x suke la lelaki yg amik kesempatan pd pompuan mcm ni!paling benci lelaki yg hidupnya bergantung pd pompuan.nak mkn pun pkai duit pompuan ke???
best! best! best!
x sbr nk tau citer ni lg...
Good Luck!!! kak Hani...
~Lily_puteh~
Post a Comment