Tuesday, July 5, 2011

Mungkinkah? 4

“Abang… apa semua ni?,”kuat tangannya memegang pintu pagar. Memandang geram wajah Radhi yang selamba. Tidak mahu tubuh lelaki itu menerobos masuk ke halaman rumahnya. Sakit hati bukan kepalang melihat reaksi Radhi yang teramat jelas sedang memperlekehkan perasaannya.
            “Aku nak masuk…,”
            “Ya. Abang boleh masuk. Tapi, bukan dengan perempuan ni,”bentak Arisa geram. Sedaya upaya dia cuba mengawal suara. Sabarnya kian hilang namun, dia tidak mahu menjemput jiran tetangga menjadi penonton. Tidak mahu keadaan menjadi kecoh. Tidak mahu bapanya menyedari ada pertelingkahan sedang berlaku di sini.
            “Kenapa pula? Ini isteri aku. Kenapa aku tak boleh benarkan dia masuk,”
            Kata-kata yang laju meniti di bibir Radhi membuat jantung Arisa bagai berhenti berdetak. Dengan nafas yang terhenti dia merenung wajah lelaki itu. Ternyata lelaki itu telah berkahwin tanpa pengetahuannya. Walau dia tahu keputusan Radhi, langsung tidak dia duga Radhi akan hancurkan hatinya secepat ini.
            Terasa cintanya yang masih bersisa untuk lelaki itu, lebur perlahan-lahan. Senyum kemenangan Radhi benar-benar membuat dia berasa kalah. Benar-benar membuat hatinya merintih hampa.
            “Kenapa? Terkejut? Kan aku dah cakap, aku akan kahwin. Jadi, kenalkan ini madu kau, Azilah,”
            Arisa menggetap bibir. Hatinya memang hampir menangis. Namun, melihat keangkuhan lelaki itu, terasa bodoh kalau dia terus melayan perasaan hiba yang bertandang. Dia harus belajar untuk menjadi tabah. Dia harus belajar untuk menjadi kebal menanggapi sikap Radhi yang menyebalkan.
            “Siapa pun perempuan ni, itu bukan masalah Risa. Tapi, ingat. Ini rumah ayah Risa dan jangan berani nak buat macam ni kat sini. Jangan berani nak bawa orang luar yang tak diundang ke dalam rumah kami!,”
            “Tapi, bini aku tinggal kat sini kan? So, aku berhak masuk. Dan, sudah semestinya bini baru aku pun, berhak masuk,”
            Arisa merengus geram. Hatinya bertambah sakit melihat seorang wanita yang diperkenalkan sebagai Azilah itu, tersenyum sinis di sisi Radhi. Membuat marahnya hampir tidak terkawal.
            “Apa yang kau nak sebenarnya ni?! Apa tujuan kau datang sini bawa perempuan ni? Nak sakitkan hati aku?,”tiba-tiba melantun soalan itu dari bibirnya, sambil tangannya menolak kuat dada Radhi yang berdiri di balik pagar rumah. Membuat lelaki itu terdorong ke belakang. Lupa sudah akan rasa hormat kepada seorang suami, yang perlu dia jaga.
            “Kurang ajar!,”
            Bentakan itu membuat dia sedikit terkesima. Langkah laju Radhi membuat dia gerun. Dia tahu kekerasannya sebentar tadi mengundang marah lelaki itu. Dia sendiri tidak berniat untuk bertindak sekeras itu.
            “Risa! Apa yang bising tu?,”
            Pantas dia berpaling. Bapanya tercegat di pintu gelongsor yang separuh terbuka. Dan, hatinya berasa tidak senang tiba-tiba.
            “Tolonglah pergi, bang. Abang tahu kan ayah bukan sihat sangat. Abang datang tunjuk perempuan ni, nanti dia sakit hati. Nanti dia marah. Tolonglah pergi,”
            Radhi merengus keras. Tubuh kecil Arisa ditolak dan pintu pagar yang sejak dari tadi dihalang dengan tubuh Arisa, segera dibuka. Arisa yang hampir terjatuh, tidak sempat berbuat apa-apa. Cuma mendengar bapanya kuat memanggil namanya. Pasti risau melihat dia hampir terjatuh ditolak Radhi.
            “Tujuan abang, apa sebenarnya ni?,”jeritnya dia nada tertahan.
            “Aku datang ambil barang-barang aku. Aku datang nak tunjuk bini baru aku pada kau dan bapak mertua kesayangan aku tu. Faham?,”
            Arisa menelan liur. Laju melangkah cuba menghalang langkah Radhi. Wajah bapanya yang memerah di muka pintu benar-benar membuat dia risau.
            “Abang… kalau nak sakitkan hati, cukup Risa seorang. Jangan libatkan ayah,”
            “Kau dengan ayah kau, sama saja. Sama-sama menyakitkan hati,”
            “Kalau menyakitkan hati, kenapa kahwin dengan Risa?,”
            Radhi tergelak halus. Langkahnya mati untuk seketika. Wajah Arisa direnung bersama senyum mengejek.
            “Kau yang beria-ia nakkan aku, kan? Kau yang sungguh-sungguh nak sangat kita kahwin kan? Orang macam aku ni, kalau nak perempuan, petik jari saja,”
            Arisa kaku tanpa suara. Cuma terkebil-kebil memandang Radhi yang menyambung langkah menuju ke pintu. Terkebil-kebil melihat bapanya bercekak pinggang menghadapi Radhi bersama amarah. Terkesima mendengar pengakuan kejam dari lelaki yang pernah dia cintai sepenuh hati. Baru hari ini dia tahu nilai sebenar cintanya di mata lelaki itu. Baru hari ini dia sedar, dirinya memang tidak membawa apa-apa makna pada Radhi. Air mata yang menitis tanpa sedar, perlahan-lahan menanam rasa benci yang bukan sedikit di hatinya. Dia tidak akan maafkan lelaki ini. Sungguh dia tidak menyesal diperlakukan sebegini. Mungkin sebaiknya Radhi lenyap terus dari hidupnya.
            “Radhi! Siapa pula yang kau bawa balik ni? Kau ingat rumah aku ni, apa?,”Haji Salleh membentak marah. Membawa kesedaran menyapa hati Arisa yang kaku. Bapanya cuba menghalang Radhi yang mahu masuk ke ruang tamu bersama wanita yang baru bergelar madunya itu.
            “Ini bini saya, ayah. Kenapa pula dia tak boleh masuk?,”
            “Kurang ajar kau ya. Berani kau bawa perempuan ni masuk ke rumah aku? Berambus. Aku tak benarkan dia jejakkan kaki ke rumah ni. Kau pun boleh berambus!,”
            “Ayah…ayah… bertenanglah. Jaga jantung tu elok-elok. Saya cadangkan ayah duduk elok-elok kat sofa tu. Duduk diam-diam, jangan marah-marah,”bersama senyum mengejek, Radhi bersuara separuh berbisik. Cukup hampir di telinga bapa mertuanya itu.
            “Radhi!,”
            Suara Haji Salleh yang menengking kuat cuma disambut dengan gelak mengejek.
            “Sayang, tak baik cakap macam tu,”
            “Alah… jangan risaulah. Dia dah biasa marah-marah macam tu. Kejap lagi tidur kat ward lah tu. Jom, ke bilik. Sayang tolong kemas barang abang ya,”
            “Abang! Jangan berani nak bawa perempuan tu masuk ke bilik Risa!,”Arisa melangkah laju. Menghalang langkah Radhi yang cukup santai. Tidak mahu wanita yang kini bergelar isteri Radhi itu menceroboh ke biliknya.
            “Bukan bilik kau seorang kan? Jom sayang…,”
            Arisa tersandar ke dinding apabila ditolak kuat oleh Radhi. Cuba menghalang sekali lagi, namun, panggilan Rianti menghalang niatnya. Dia menoleh. Tergamam melihat Rianti yang sedang memaut tubuh tua bapanya.
            “Ayah…,”
            Lupa pada Radhi yang sedang menceroboh biliknya bersama isteri baru, dia berkejar mendapatkan bapanya yang berkerut muka sambil menekan dada. Kerisauannya menjadi kenyataan.
            “Ayah… ayah tak apa-apa?,”
            Melihat bapanya tidak mampu menjawab, Arisa semakin cemas. Sedihnya hilang entah ke mana. Cuma selaut risau yang mengganti rasanya saat ini.
            “Ati.. ambil ubat ayah…,”
            Tanpa menjawab, Rianti berlari ke arah dapur. Tidak lama kemudian muncul bersama satu botol kecil berisi pil. Segera pil itu disua ke mulut bapanya dengan pipi yang sudah mula basah. Perlahan dia mengurut dada bapanya. Nafas bapanya perlahan-lahan sekata sambil tubuh tua itu bersandar lemah di sofa.
            Arisa menggetap bibir. Air mata yang laju menitis, diseka perlahan. Sakit hati bukan sedikit dengan perbuatan Radhi.
            “Ayah okay?,”sebak suaranya bertanya.
            Haji Salleh mengangguk lemah. Lemah juga jemarinya menyeka air mata di pipi anak sulungnya itu, membuat makin laju deraian air mata bertandang di pipi Arisa.
            “Jahatlah abang Radhi tu!,”
Arisa mendongak. Memandang wajah Rianti yang mencuka. Kata-kata Rianti dibiarkan sepi. Hatinya membentak perkara yang sama. Cuma, saat ini, fokusnya cuma pada bapanya. Kerisauannya cuma pada lelaki tua yang sedang berdepan dengan kesakitan gara-gara kerenah suaminya.
“Betul ayah tak apa-apa ni? Ayah rehat kat bilik ya?,”
Haji Salleh menggeleng perlahan. Mustahil dia akan membiarkan Arisa berdepan dengan Radhi sendirian.
“Pergi tengok apa yang mereka buat kat dalam tu. Nanti dengan barang kamu dia angkut sekali,”Haji Salleh bersuara perlahan. Arisa diam. Mendongak memandang wajah adiknya.
“Ati tengok ayah kejap ya,”
Rianti mengangguk sambil terus melabuhkan punggung ke sofa. Arisa bangkit. Berdiri seketika sambil menghela nafas panjang. Bukan sedikit kekuatan yang dia perlukan untuk memulihkan hatinya yang hancur kini. Untuk berdepan dengan Radhi yang menyakitkan hati. Sedaya upaya cuba membuang perasaan yang berbaki di hatinya, dia melangkah menuju ke bilik. Menolak perlahan pintu bilik yang tidak begitu rapat.
Sebaik melihat Radhi asyik menyelongkar beg tangannya, pantas pintu ditolak kuat. Menerpa ke arah Radhi sambil merampas beg tangan di tangan Radhi.
“Tak ada barang abang dalam beg Risa!,”bentaknya marah.
Radhi tergelak.
“Tapi, ada duit kau…,”balasnya sambil melayang  not-not duit kertas di tangan.
“Bagi balik duit tu!,”
“Alaa…. Buat kali terakhir bagi aku duit sebelum bagi durian runtuh kat aku, apa salahnya?,”
‘Abang ni, memang tak guna!,”
Radhi sekadar tersenyum sambil menyimpan helaian duit kertas ke dalam poket seluar. Kemudian, berpaling ke arah Azilah yang sudah selesai mengemas.
“Sudah, sayang?,”
“Dah,”
“Okay. Aku pergi dulu. Aku tunggu kau bagi duit tu kat aku. Kalau kau nak lengah-lengahkan… Nak juga turun naik mahkamah tuntut hak kau, kau pun tahu apa akan jadi pada ayah. Fikirlah masak-masak ya, sayang,”
Arisa tercegat menahan rasa. Mengiringi langkah Radhi bersama pandangan penuh kebencian. Sebaik pintu itu tertutup, dengan keras dia mencampak beg tangan ke katil. Berombak dadanya menahan marah. Menahan geram dan menahan sedih yang bercampur- baur. Perlahan tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Menggetap bibir agar esakan yang mula bertandang, tidak sampai ke telinga bapanya.
“Kau jahat Radhi…. Aku tak akan maafkan kau…,”gumamnya perlahan sambil tersedu-sedu menahan esakan. Daun pintu yang terbuka, memaksa dia berpaling. Rianti bergegas merapatinya.
“Kak Long…,”
Dia tunduk sambil menyeka air mata. Pelukan lembut Rianti membuat dia sedikit tenang. Perlahan gadis itu mengusap belakangnya.
“Nangislah Kak Long. Tapi, janji…lepas ni, Kak Long jangan lemah lagi. Kak Long jangan tunduk pada abang Radhi lagi. Ati benci abang Radhi!,”pujukan itu perlahan-lahan membuat jiwanya sedikit tegar. Pelukan terlerai. Jemari halus Rianti lembut menyeka pipinya yang basah.
“Orang macam abang Radhi tak layak untuk Kak Long…,”
“Terima kasih, dik…,”
“Ati sayang Kak Long. Ati tak nak Kak Long sedih macam ni,”
“Lepas ni, Kak Long tak akan sedih lagi. Kak Long akan buang abang Radhi jauh-jauh dari hidup kita,”
Rianti tersenyum hiba. Memandang wajah kakaknya yang merah menahan tangis.
“Ayah mana, Ati?,”
“Ati bawa masuk ke bilik. Abang Radhi sakitkan hati ayah tadi. Dia memang melampaulah Kak Long…,”
Arisa mengeluh perlahan. Esakannya kian mereda. Seketika, dia menghela nafas yang cukup dalam.
“Pergi tengok ayah…,”perlahan dia bersuara dengan suara yang sedikit serak.
“Ati suruh Dafi tengokkan ayah. Kak Long dah okay ke?,”
Arisa tersenyum nipis.
“Kak Long ada adik-adik yang sayangkan Kak Long. Mesti Kak Long okay. Jangan risau. Lepas ni, Kak Long tak akan biarkan abang Radhi ganggu hidup keluarga kita. Tak akan…,”
Rianti diam.
“Kak Long nak bersendirian sekejap. Ati pergi tengok ayah, ya. Kejap lagi Kak Long pergi jumpa ayah,”bersama senyum yang cuba dilebarkan, dia bersuara perlahan. Rianti mengangguk akur. Perlahan bangkit berdiri sambil memegang lengan Arisa. Menarik perlahan Arisa berdiri bersamanya.
“Ati keluar dulu, ya?,”
Arisa tersenyum. Melabuhkan punggung ke katil bersama helaan nafas panjang. Ranjau yang menanti terasa semakin sukar.

*****

8 comments:

Aya Ariel said...

sakitnye hati bila baca bab nih..

Anonymous said...

lame menunggu. akhirnya ade gak. teme kasih kak hani.

hajar said...

x sabar nk tgu n3 seterusnya... :)

aqilah said...

suka.....nak lagi!!!!!!!!!!!!!!

miznza84 said...

Ya Allah... geramnya.. rasa nk pijak si radhi ni.. geram sungguh..

Anonymous said...

x sabar nak tunggu citer seterusnya...

bidadari cinta said...

eii.. geramnya dgn radhi.. rase nak pijak2 je.. x suke la lelaki yg amik kesempatan pd pompuan mcm ni!paling benci lelaki yg hidupnya bergantung pd pompuan.nak mkn pun pkai duit pompuan ke???

Anonymous said...

best! best! best!
x sbr nk tau citer ni lg...
Good Luck!!! kak Hani...

~Lily_puteh~

[11:35:50 PM] hos.getah: