Tuesday, June 29, 2010

Biar YM Terus Bicara...4

Langkahku terhenti di hujung tangga. Gelak itu teramat aku kenali. Juga gelak Encik Firdausku yang aku sayangi. Perlahan aku menjenguk. Ruang tamu nampak begitu meriah. Ada kek coklat kegemaran suamiku. Pasti kek hasil tangan Mia yang cantik. Hati berdetak tiba-tiba. Kenapa aku mesti cemburu lagi? Mata, aku pejam perlahan. Mahu membuang jauh-jauh perasaan cemburu yang seperti tidak berpenghujung ini.



Teruk betul kau ni, Tiya! Aku mula memarahi diri sendiri. Kenapa aku perlu berasa cemburu pada Mia? Kenapa perlu aku layan perasaan ini, walhal aku tahu benar cinta Encik Firdaus cuma untuk aku. Sejenak aku tercegat di anak tangga. Mahu menyertai kumpulan manusia itu, wajahku terasa sukar untuk mengukir senyum. Bersama satu keluhan pendek, aku mengambil keputusan untuk berlalu pergi buat seketika. Tidak selesa membawa wajah kelatku bersatu dengan senyum Mia yang sentiasa manis. Nampaknya aku perlu belajar membuang perasaan cemburu ini dengan lebih gigih.


“Sayang?,”


Aku terkedu. Sedikit terlambat. Suara Encik Firdaus memaksa aku matikan langkah yang sedikit lemah. Lemah juga aku berpaling. Menatap senyum riang Encik Firdaus bersama sepiring potongan kek coklat. Nampak begitu sedap sekali.


“Come. Nak ke mana tu?,”


Aku mengukir senyum. Menanggapi wajah Mia juga wajah ibu dan bapa mertuaku.


“Jomlah Diya. Saya buatkan kek ni. Fir cakap awak suka kek coklat,”


Aku tersengih. Sempurnanya pemilik nama Mia ini. Bagaimana aku tidak dilanda cemburu?


“Erm…. Sakit perutlah. Nak naik atas kejap. Kejap lagi saya turun,”


Tanpa menunggu balasan, langkahku laju meniti anak tangga. Bergerak menuju ke bilik. Pintu bilik ku tutup perlahan. Teruk sangatkah cemburuku ini? Dan, kenapa kebelakangan ini, terasa cemburu ini semakin memburuk? Perasaan aku atau memang Encik Firdaus kini semakin rapat dengan Mia? Tapi, bukankah sejak dulu mereka memang rapat? Dan, apa yang perlu aku risaukan. Mia pernah jelaskan antara dia dan Encik Firdaus tidak pernah ada apa-apa hubungan istimewa.


“Awak dah salah faham ni. Saya tak ada apa-apa dengan Firdaus tu. Firdaus tu, cuma tergila-gilakan kat awak aje,”


Selintas bicara Mia satu ketika dulu menjengah di minda. Membuat aku sempat tersenyum dalam melayan perasaan kurang senangku itu.


“Tiya! Kau ni kenapa? Jangan cemburu butalah,”aku berbisik sendiri. Cuba memberi motivasi pada diri sendiri. Kerana cemburu tidak bertempatku, aku hampir kehilangan Encik Firdaus dulu. Aku tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama. Aku tidak mahu kehilangan Encik Firdaus. aku juga tidak mahu satu hari Encik Firdaus akan berasa bosan dengan cemburuku ini.


“Mereka cuma kawan biasa. Kawan biasa. Faham tak?,”aku bersuara sendirian. Cuba menyingkir perasaan negatif yang sering memburuku itu.


“Encik Firdaus sayangkan kau sorang aje. Jadi jangan mengada-ngada nak cemburu buta,”marahku bersambung sambil jemari, aku tunjal perlahan ke pipi sendiri.


“Betul tu,”


Aku tersentak. Suara dari belakang menggangu sesi motivasiku. Segera aku menoleh. Senyum Encik Firdaus melebar, membuat wajahku merona merah. Kantoi monolog aku!


“Abang ni! Kenapa masuk senyap-senyap?,”


Encik Firdaus sekadar menyambung senyumnya sambil bergerak menghampiriku.


“Abang risau tengok isteri abang cakap sorang-sorang,”ujarnya perlahan setelah tegak berdiri di hadapanku.


Aku menjeling. Encik Firdaus tersenyum lagi.


“Abang dah agak dah. Mesti kes cemburu ni…,”


Aku diam. Tidak mahu menafikan kerana itu adalah hakihatnya.


“Nasib abang dapat isteri kuat cemburu. Nak buat macam mana?,”sambungnya masih bersama senyum. Aku mengangkat muka. Melawan renungan lembut Encik Firdaus.


“Menyesallah ni ya?,”soalku sedikit menduga.


Encik Firdaus tergelak. Melabuhkan punggung ke katil. Aku ditarik berdiri di hadapannya.


“Sikit pun tak ada kesal. Abang tak pernah menyesal. Abang bahagia dengan pilihan abang ni. Bahagia sangat-sangat,”jawabnya lembut. Menyejukkan hatiku. Membuat bibirku terukir senyum tanpa sedar. Bijak Encik Firdaus membuat aku perasan sendiri.


“Jom. Turun,”


Ajakan Encik Firdaus membuat aku teringat semula pada Mia. Seketika aku menentang pandangan suamiku itu.


“Apa Mia buat kat sini?,”soalku cuba mengawal nada suara.


“Saja dia singgah. Wondering kenapalah Tiya cemburu sangat dengan Mia tu. Tak yakin dengan cinta abang? Tak percaya pada abang?,”


Aku tunduk. Bukan soal tidak yakin. Juga tiada kaitan dengan tidak percaya. Namun, entah kenapa tiap kali melihat wajah jelita itu, aku jadi tidak senang tingkah. Sering ada risau yang mengganggu. Melihat keakraban Encik Firdaus dan Mia sering membuat aku membayangkan perkara-perkara yang menakutkan. Namun, aku tiada hak untuk menghalang hubungan itu. Mereka akrab lama sebelum aku mengenali Encik Firdaus lagi. Mereka berhak untuk terus menjadi kawan. Tetapi, kenapa aku tidak pernah boleh memahami?


“Teruk Tiya ni kan?,”akhirnya aku bersuara lemah. Malu dengan sikap sendiri.


Encik Firdaus tersenyum kecil. Menarik aku ke ribanya. Pinggangku dipeluk erat.


“Tak. Tiya tak teruk. Abang nampak Tiya berusaha nak buang sikap yang kurang elok tu,”


“Tapi, tak berjaya pun….,”aku merungut sendiri. Encik Firdaus tergelak.


“Yakin dengan cinta abang. Yakin betul-betul Mia dengan abang cuma kawan. Yakin abang cuma sayang Tiya seorang. Hilanglah cemburu tu,”


Aku mengeluh perlahan. Memandang wajah Encik Firdaus.


“Tapi…Mia tu cantik sangatlah. Tiya takut lama-lama abang terpikat juga,”


Encik Firdaus tergelak besar. Aku menjeling. Luahan perasaan aku cuma bersambut dengan gelak besar?


“Tiya seriuslah bang. Janganlah gelak,”


“Ok…ok sorry,”


Aku menjeling lagi. Walau tidak setajam jelingan tadi.


“Kenapa? Isteri abang ni, tak cantik ke?,”Encik Firdaus bersuara setelah tawanya reda.


Aku mengeluh perlahan. Susah rupanya kalau hati sering diburu rasa cemburu.


“Abang pun, sejak akhir-akhir ni, selalu sangat bersama Mia,”


Rungutan aku kali ini membuat Encik Firdaus cuma memandang wajahku dengan renungannya yang cukup sejuk itu. Lemah lutut rasanya. Hilang sudah segala cemburu.


“Tiya kan tahu Mia cuma sukakan abang Kamal Tiya tu. Jadi apa yang Tiya risau sangat?,”


Kali ini aku diam. Betul tu. Namun, tetap aku akui, sukar membuang rasa tidak senang ini. Perasaan manusia boleh berubah. Wasangka lagi. Bagaimana lagi usaha yang harus aku lakukan untuk membuang rasa kurang senang ini.


“Tapi. Lately, cemburu Tiya menjadi-jadi ya?,”usik Encik Firdaus sambil menyentuh hidungku. Aku tersenyum kecil.


“Tiya minta maaf ya. Tiya cuba tak cemburu buta lagi,”


“Itu yang abang nak dengar,”


“Abang tinggalkan Mia seorang ke?,”topik bicara aku alihkan.


“Mummy ada. Abah ada. Tengah makan kek coklat,”


“Mesti best kan?,”


“Mestilah sedap,”


Aku diam. Cemburu datang lagi. Cemburu dengan kebolehan Mia yang pelbagai. Memang Mia berjaya membuat aku berasa rendah diri. Aku harus ubah diri sendiri. Demi Encik Firdaus, aku mesti belajar semua perkara yang Encik Firdaus suka.


“Tiya?,”


Aku memandang wajah Encik Firdaus. Tersengih. Menarik nafas dalam-dalam sambil cuba bersikap positif.


“Jom turun. Nanti apa Mia cakap, abang tinggal dia macam tu,”


“Tak apa. Abang ada reason kuat,”


“Apa dia? Abang cakap dengan Mia, Tiya cemburu dengan dia ya?,”


Encik Firdaus tergelak lagi. Aku kaku. Jahatnya suami aku. Pandai buat aku malu!


“Tak baiklah abang ni. Malulah Tiya,”


“Takkan abang nak cakap macam tu. Cuma abang risau. Kenapa isteri abang tiba-tiba sakit perut. Mestilah kena tengok kan. Takkan nak biarkan saja. Teruk ke tak?,”


Aku senyum lega mendengar jawapan itu.


“Teruk ke?,”


“Apa yang teruk?,”berkerut keningku. Tidak faham dengan soalan Encik Firdaus.


“Sakit perutlah,”


Aku tergelak malu. Pembohonganku tidak menjadi pada Encik Firdaus.


“Teruk juga kot,”balasku sambil tersenyum lebar.


“Nak abang ubatkan?,”kali ini, senyum Encik Firdaus lebih lebar. Aku senyum. Bangkit dari riba Encik Firdaus.


“Hmm.. tiba-tiba dah hilang sakitnya,”ucapku sambil menggosok perut. Encik Firdaus menggeleng perlahan sambil tersenyum.


“Jomlah turun bang,”


“Betul dah baik ni?,”Encik Firdaus terus mengusik.


“Betul. Cepatlah turun. Tiba-tiba rasa macam nak makan kek coklat,”


Encik Firdaus tergelak sambil bergerak malas mengangkat punggung. Santai memaut pinggangku sambil mengatur langkah keluar dari bilik.


“Nanti Tiya belajar buat kek coklat ya, bang,”aku bersuara sambil mendongak mencari wajah Encik Firdaus.


“Hurmm… berita baik ni. Bila agaknya abang boleh rasa kek coklat isteri abang ya?,”


Aku tersenyum. Bila ya?


“Bila sampai seru,”candaku sambil tertawa kecil. Dibalas dengan jelingan Encik Firdaus yang menggoda. Juga pelukan yang semakin erat. Bahagianya menjadi milik Encik Firdaus.


“Tiya bahagia…,”tanpa sedar aku berbisik lembut.


“Abang seribu kali bahagia…,”bisikan Encik Firdaus lebih hampir di telingaku. Sama-sama senyum terukir di bibir kami.






***

16 comments:

Miss Kira said...

sweet...
hahaha
x abes2 tiya cemburu dekat mia
haish~~

Anonymous said...

RS2 KN, TIYA MGANDUNG..SBB 2 CMBRU DIA 2 SMKN MNJADI2..HEHEHE..

aqilah said...

tiya....tiya........perasaan terlebih cemburu tu sbb ada isi kot..............

mojako said...

saya pun rasa bahagiaaa...

Unknown said...

incik firadus 2 cm dh knal sgt prangai tiya cmne..ske2..ehehe...swit sgguh dorg ber2 ni..sy pon bhgia tgk dorg bhgi..lalala...

nana_cunoi said...

alahai..romatik tulla diorg ni..
suke sgt..kak hanni..nk lagi..

Anonymous said...

aku rase cm aku je tiya 2...aku pon kuat cemburu n tak btmpat......haha

niK hAmiZaH said...

haha..aku rase aku faham ngan perasaan tiya...bley x???
hehe..besela..dah si mia tu perfect sangat nk wat cmner..
semua y +ve ade pada mia..kalu aku pun cemburu...hehe

MaY_LiN said...

amboi..
kuat sungguh cemburu nya..
tiya tiya

Anonymous said...

kan best kalo realiti mcm ni..so sweet..keep it up kak hanni..muaaxxx..

nurhakim said...

sweet je diaorg nie.
senyum srang2 bla bc.
nsib baik xde yg prsan..hihii

honEYdew said...

thumb up to kak hanni
sweet giler diaorg nie...

23assie said...

best nyeeeee~ nak sambungaaan kak hanni! :D:D

Strawberi Comei said...

hehehe..suke2...:)

Anonymous said...

mmg best giler..tp adakan lah episod yg sedih skit.barulah lagi best..

(^_^) said...

wah! best! teruskan~ teruskan~

[11:35:50 PM] hos.getah: