Monday, May 31, 2010

ITU HAK AKU...INTRO

PERCUBAAN SAJA. NAK TRY TULIS CITER SERAM

Sedaya upaya dia cuba buang segala perasaan yang membelenggu perasaannya. Selagi dilayan perasaan itu, dia yakin dia boleh menjadi gila. Tidak dari mana. Tidak tahu sejak bila. Perasaannya tiba-tiba seakan kacau. Tidak habis fikir tentang peristiwa demi peristiwa yang menimpanya sejak akhir-akhir ini.

“Itu hak aku…,”

Dia pejamkan mata. Cuba membuang khayalan-khayalam sebegitu. Tidak tahu kenapa, telinganya terasa terlalu sering disuakan dengan bisikan sayu yang entah dari mana itu. Semakin dia yakinkan itu semua cuma mainan perasaannya, semakin dia yakin suara itu benar-benar wujud menyapa du cuping telinganya.

“Pulangkanlah…. Hak aku…,”

Romanya meremang tiba-tiba. Semakin jelas bisikan itu, hampir membuat dia terjerit. Serentak dengan hembusan lembut di lehernya. Cukup membuat dia menggigil tanpa sedar. Pantas matanya melilau ke sekitar ruang tamu. Sepi.

Cuma angin malam yang bertiup dirasakan sedikit luar biasa. Barangkali angin itu yang berhembus di lehernya. Langsir rumahnya yang terselak membuat dia tersedar tingkap belum ditutup. Bersama satu keluhan panjang, dia bergerak malas ke jendela. Hitam pekat. Gelap malam tiba-tiba membuat hatinya disapa rasa takut. Ditambah dengan deru sepoi malam yang menyapa lembut pipinya. Cepat sahaja membuat teggkuknya meremang lagi. Membuat jantungnya berdegup laju. Satu perasaan yang tidak pernah menyapanya dulu. Dia tidak pernah takut pada gelap malam. Dia tidak pernah seram pada angin malam yang membawa bau harum. Tapi, kini perasaannya benar-benar goyah.

“Itu hak aku…,!”

Dia terjerit kuat. Desis suara itu terasa cukup hampir di telinganya bersama sapa angin yang tiba-tiba berubah liar. Juga suara itu juga sudah bertukar marah. Tidak lagi sendu seperti selalu. Tubuhnya menggigil tiba-tiba. Kaku pada tingkap yang masih terbuka.

“Kau kenapa?,”

Suara di belakangnya membuat dia sekali lagi menjerit kuat. Terduduk di sofa. Tiada suara yang mampu keluar dari kerongkong. Cuma jantungnya seakan mahu tercampak dari badan. Ketakutan yang merembeskan air mata laju ke pipi. Menggigil sambil memaut lutut rapat ke dada.

“Kenapa ni? Kau tak apa-apa?,”

Suria mendongak. Memandang wajah temannya tanpa suara. Wajah itu nampak cukup risau. Dia pula, terus membatu sambil tangan kejap memeluk kaki. Menahan gigil yang mendatang. Memaksa temannya mendekat.

“Kau okay ke Su?,”

Perlahan dia menggeleng. Perlahan juga dia menangis teresak-esak.

“Kenapa ni?,”

“Aku dengar lagi suara tu, Nina,”bergetar suara yang meniti di bibirnya.

Nina mengeluh perlahan. Mahu melabuhkan punggung di sisi Suria, namun, melihat tingkap yang masih terbuka dan angin yang sedikit kencang, dia menghala ke arah tingkap lalu ditutup perlahan. Kemudian dia mengambil tempat di sebelah Suria. Merenung wajah Suria yang pucat benar. Tubuh Suria ketara menggigil.

“Perasaan kau tu,”dia berusaha memujuk. Suria mengangkat muka. Merenung wajah Nina sambil menggeleng laju.

“Tak Nina. Jelas sangat suaranya. Ayat yang sama. Dekat di telinga aku. Aku dah nak jadi gila ke Nina?,”

“Kau ni. Ke situ pula. Kau penat kerja kot. Sebab tu fikir yang bukan-bukan,”

“Aku tak penat. Aku tak fikir yang bukan-bukan. Tapi, suara tu macam ganggu aku…,”

Nina mengeluh perlahan. Acap kali juga Suria menyuarakan hal itu padanya. Dia sendiri? Dia tidak tahu bagaimana cara untuk dia menangani hal itu. Untuk percaya? Sememangnya dia tidak pernah parcaya perkara-perkara sebegitu. Untuk menyatakan Suria berbohong. Ketakutan yang ketara di wajah gadis itu jelas menunjukkan Suria tidak berbohong.

“Selalunya semua tu Cuma macam bisikan hiba…,”

Nina diam. Mengambil tindakan untuk terus mendengar. Suria menoleh. Memandang wajahnya.

“ …Aku nak tutup tingkap. Tiba-tiba angin kuat kat muka aku dan suara tu jelas sangat kat telinga aku. Tak lagi mendayu. Suara tu dah tak hiba. Suara tu macam marah…,”laju Suria menyambung ceritanya. Nina terkedu seketika. Cerita itu tiba-tiba membawa debar di hatinya.

“Desir angin tu,”tingkahnya sekadar menyedapkan hati Suria.

Suria menggeleng.

“Angin mana boleh bercakap,”garang Suria memintas kata-katanya.

Nina mengeluh perlahan. Tidak tahu mahu diklasifikasikan ke arah mana cerita teman serumahnya itu. Seram? Memang seram. Namun, persoalan yang sama muncul lagi di mindanya. Wujudkah kenyataan akan situasi seram itu? Mahu diabaikan? Keadaan Suria semakin teruk sejak seminggu yang lalu. Sering mengadu diganggu satu suara misteri.

“Aku takutlah Nina. Dah seminggu aku dengar suara tu,”

“Apa suara tu cakap?,”

“Tak jelas sangat sangat. Macam berbisik. Dulu macam sedih. Suara tu cakap, itu hak aku…Tapi, tadi suara tu macam marah…,”

Nina menelan liur. Spontan cerita dari bibir Suria membuat romanya meremang. Membuat jantungnya turut berdegup kencang.

“Jangan fikir sangat. Perasaan ni, makin kau layan, makin menjadi. Dahlah. Baik kau masuk tidur. Esok nak kerja kan?,”

“Macam mana aku nak tidur, Nina?,”

“Lagi kau fikir, lagi kau takut nanti…,”

Suria menyeka air mata.

“Apa yang suara tu nak dari aku?,”

“Su… terus-terang aku cakap, aku tak percaya semua ni. Ketakutan tu, mainan perasaan kita. Bila kita takut, macam-macam imaginasi yang kita boleh cipta,”

“Aku bukan jenis penakut. Kau pun tahu kan? Aku pun tak pernah nak percaya benda-benda pelik macam ni,”

Nina diam. Kata-kata itu memang benar. Suria bukan gadis yang penakut. Dan, sepertinya, Suria bukan jenis yang percayakan kisah-kisah mistik.

“Cuba jangan fikirlah Su. Buat tak tahu saja,”

“Tak boleh Nina. Sebab bukan aku yang fikir semua tu. Aku tak fikir. Aku tak ingat pun. Tapi, tiba-tiba suara tu boleh muncul kat telinga aku. Tiap-tiap malam. Waktu yang hampir sama,”

“Maksud kau?,”

“Macam sekarang. Pukul sembilan lebih. Sebelum ni pun, suara tu datang dalam masa macam ni,”

Nina menbetulkan duduknya. Memandang wajah Suria. Kini, dia terasa bahu mencari penjelasan untuk ketakutan Suria.

“Kau rasa kenapa suara tu ganggu kau? Kenapa dalam masa macam ni, dia ganggu kau?,”

Suria menggeleng sambil melurut rambut ke belakang. Buntu memikirkan punca gangguan yang cukup membuat jiwanya bergoncang. Membuatnya susun atur hidupnya terganggu.

“Kau rasa ini gangguan hantu atau gangguan perasaan?,”

Suria menggeleng lagi. Dia sendiri tidak tahu. Gangguan perasaan? Dia normal. Tidak pernah ada masalah. Tidak pernah mengalami tekanan. Jadi, mustahil dia mengalami gangguan perasaan. Gangguan hantu? Dia tidak pernah percaya wujudnya hantu.

“Aku rasa aku normal untuk aku alami masalah jiwa. Dan hantu… aku tak percaya hantu…,”

Seiring dengan kata-katanyua, satu dentuman kuat membuat dia tersentak. Cukup kuat satu dentuman ke dinding rumahnya. Amat jelas. Sejelas jeritan Nina seiring dengan jeritannya sendiri. Tubuh gadis itu dipeluk erat.

“Nina!,”jeritnya ketakutan.

“Bunyi apa tu Nina?!,”berbaur esakan soalan itu diluahkan juga. Nina menggeleng laju. Turut erat memeluk Suria. Memandang pada dinding yang kaku. Bunyi itu jelas seperti ada sesuatu yang kuat menghentam dinding. Namun, dinding itu tetap teguh seoalah tidak dirempuh apa-apa. Kali ini, dia turut terseret dalam ketakutan Suria. Turut diundang rasa pelik yang bukan sedikit. Dengan bunyi hentaman sekuat itu, dia yakin dinding itu boleh pecah. Dan langsir di tingkap yang bergerak ditiup angin membuat dia hilang nafas.

“Subhanallah….,”

“Kenapa Nina?,”

Cuma jarinya yang menunding ke arah tingkap yang kini terbuka luas. Suaranya seakan hilang seketika.

“Aku… aku dah tutup tingkap tu tadi, Su…,”ujarnya lambat-lambat. Suria menjerit nyaring.

“Aku takut! Aku takut!,”

“Sabar Su. Ingat ALLAH. Mengucap. Istighfar…,”

“Aku tak nak lalui semua ni…aku tak nak… aku takut,”tangis Suria menggila. Nina telan liur. Memeluk tubuh Suria yang menggigil.

“Kita masuk tidurlah,”ujarnya bergetar.

“Aku nak tidur dengan kau,”

Nina mengangguk. Sudah tidak betah untuk terus berada di ruang tamu itu lagi. Perlahan dia mengangkat punggung. Berjalan berpelukan menuju ke biliknya. Jendela yang terbuka cuma dibiarkan sahaja. Sudah tidak ada keberanian untuk menghampiri dan menutup jendela itu. Saat ini dia cuma mahu berada jauh dari ruang itu.



***

6 comments:

ღAuni_Amauniღ said...

nice try, kak hanni...

best3~ :)

Bluefanatics said...

huhuhu meremang bulu roma aku : D chaiyok chaiyok cpt2 smbung g ek ; D -im ur fan-

Unknown said...

dh lulus dh k.hanni utk buat cite seram..mmg seram rse..walopon bace tgh ari..tp terbyg ble bace..tkt jgk la..ahaha..smbung2..

Epal Hijau Masam said...

btol3!! sy tgh bace cite ni jam 2.45 ptg WIB..
pergh!!meremang bulu roma sy..
hahaha..
keep a good work kak hanni!!
luv all of ur novels~~

cik eya said...

waduh..serammm
haish dah la duk sorg2 at umah nie..huhuh
pape pun cite yg menarik..
percubaan yg berjaya..teruskan kak hanni..akan aira follow..
ngeee~~~
chayok2!!

Anonymous said...

berehhhhhhhhhhh..ganu kita



myeha ireland

[11:35:50 PM] hos.getah: