Monday, May 24, 2010

Sekadar Di hati...11

Sepasang matanya merenung jemari Luqman yang lincah memilih kunci. Sudah beberapa kali kunci di tangan dicuba, namun masih belum berjaya. Pintu grill masih tertutup rapat. Terik matahari pukul dua belas tengah hari terasa menjamah wajah. Menghantar rasa perit ke pipinya. Perlahan dia menyentuh pipi yang sudah sedikit panas kemudian beralih mencari tempat redup. Silapnya sendiri berdiri di tengah pancaran matahari. Kebetulan tingkahnya ditangkap sepasang mata Luqman. Luqman tersenyum. Wajah itu sudah kemerahan menahan panas.



“Panas ke?,”


Najwa turut mengukir senyum. Tidak menjawab. Cuma matanya memandang sekeliling halaman teres dua tingkat itu. Nyaman dengan rumput yang menghijau. Dan, deretan bunga-bunga menghias cantik laman itu. Menghantar sedikit rasa hairan di hati.


“Abang tinggal dengan mak abang kan?,”bibirnya mula membuahkan pertanyaan. Luqman mengangkat muka. Kunci di tangan mati di lubang kunci pintu grill. Sedikit tertanya-tanya dengan soalan Najwa.


“Ya. Kenapa?,”


“Siapa jaga rumah ni? Cantik saja,”


Luqman tersenyum. Memandang wajah Najwa yang masih meliar memandang sekeliling halaman. Itu rupanya tujuan soalan itu. Dia turut meliar memerhati sekitar laman. Rumah teres corner lot ternyata memberi ruang halaman yang lebih luas.


“Abang sewakan. Kebetulan kontrak sewa dengan penyewa dah tamat dan mereka tak nak sambung. Mereka dah beli rumah sendiri. Rezeki kita lah untuk tinggal kat sini,”


Najwa cuma mengangguk. Berpuas hati dengan penjelasan itu. Mulutnya kembali terkunci. Leka menikmati hiasan taman yang ringkas namun cantik.


“Ok. Akhirnya jumpa kunci. Dapat buka pintu ni,”Luqman bersuara riang sebaik pintu grill terbuka. Jenuh juga mencuba setiap kunci di tangan. Najwa tersenyum. Sebaik pintu sliding pula terbuka, senyum Luqman bertambah lebar.


“Sekarang boleh masuk…,”sendanya sambil melebarkan tangan dengan sedikit menunduk. Memberi ruang untuk Najwa melangkah. Najwa tersengih. Gurau itu menyentuh hatinya. Perlahan dia melangkah masuk ke ruang tamu yang sudah lengkap dengan perabot. Menyejukkan mata dengan warna hijau lumut yang memberi kesan mendamaikan. Seketika ruang itu mulai terasa dingin. Dia berpaling. Alat kawalan jauh di tangan Luqman memberitahunya yang penyaman udara sedang terpasang.


“Duduklah. Abang nak simpan beg ni,”lelaki itu bersuara sambil membimbit dua beg pakaian.


“Aja tolong?,”


“Tak payah. Abang boleh buat,”


“Bukan susah pun,”balasnya sedikit tidak berpuas – hati apabila niatnya untuk membantu ditolak mentah-mentah.


“Nak tolong ya?,”


Najwa tersenyum lebar. Bergerak laju mencapai beg pakaianya di tangan Luqman.


“Boleh tolong. Tapi, tolong duduk,”saran Luqman bersama senyum di bibir. Jemari Najwa yang melekat di tangannya, ditepis lembut. Senyum Najwa hilang perlahan-lahan. Luqman tergelak kecil.


“Tak apa. Abang boleh buat sendiri. Aja duduk. Berehat. Okay? Abang tahu Aja letih. Dari pagi asyik muntah,”


Najwa diam. Patuh dengan arahan itu, dia melabuhkan punggung ke sofa. Melihat sahaja Luqman membimbit beg pakaian sambil meniti anak tangga ke tingkat atas. Tidak mahu berlagak lebih. Luqman sudi memperisterikannya pun sudah cukup bagus. Dia tidak mahu membuat lelaki itu rimas dengan tingkahnya. Sebolehnya dia mahu akur pada kata-kata Luqman. Saranan Luqman untuk cepat pulang ke Kuala Lumpur pun diterima dengan baik. Lagipun saranan itu bersebab. Dua hari muntah-muntah di kampung sudah cukup membuat ibunya disapa hairan. Nasib baik Luqman pandai mereka alasan. Dan seterusnya dengan alasan ada kerja yang tidak dapat dielakkan, Luqman membawanya pulang ke sini. Tidak mahu membuat ibunya mula berfikir yang bukan-bukan. Perlahan jemarinya menyentuh perut. Perlahan juga wajah Zarith menjelma. Membuat perlahan-lahan bibir matanya memberat. Satu keluhan dilepaskan. Dia perlu kuat. Dia tidak boleh lemah menerima perbuatan Zarith. Dia mahu Zarith tahu yang dia mampu lalui semua ini sendirian.


Tidak mahu terus diulit kekesalan, dia bangkit. Bergerak menuju ke ruang dapur. Kemas dengan kabinet yang tersusun kemas. Rumah ini sememangnya sudah lengkap segalanya. Dia bergerak pula ke peti sejuk. Pintu peti sejuk dibuka perlahan. Agak kosong. Cuma ada dua kotak orange juice yang belum dibuka. Ditelek tarikh luput, ternyata masih baru.


“Kat sini rupanya,”


Najwa mendongak. Luqman tercegat di hadapan. Seperti biasa dengan bibir yang penuh dengan senyum.


“Ada fresh orange ni. abang nak?,”


“Boleh juga. Memang dahaga pun,”


Mendengar jawapan itu, kotak fresh orange segera dikeluarkan. Kemudian bergerak mencari cawan di rak. Luqman cuma memerhati seketika. Kemudian bergerak meninggalkan Najwa di dapur. Perlahan melabuhkan punggung ke sofa. Nyaman. Cuaca panas di luar seakan terpisah kini. Telefon bimbit di dalam poket seluar, dikeluarkan. Mendail satu nombor dan sabar menunggu panggilannya bersahut.


“Assalamualaikum mama,”


Diam. Tidak berjawab. Luqman menarik nafas perlahan. Rajuknya ibunya ternyata masih ada.


“Mama…,”


“Waalaikumussalam,”


Luqman tersenyum hambar. Walau dingin, salamnya berjawab.


“Saya dah sampai KL. Sekarang kat rumah. Malam ni saya balik rumah jenguk mama,”


“Tak payahlah. Kamu tunggu saja isteri kesayangan kamu tu. Tak payah balik pun tak apa. Mama ni jahat. Tak macam isteri kamu tu,”


“Mama… ke situ pula. Malam ni saya balik jumpa mama kejap,”


“Hmm… suka hatilah,”


Bibir Luqman terukir senyum.


“Mama marah Man ya?,”


“Memanglah. Memang mama marah. Kamu tak nak dengar cakap mama. Tak nak ikut cakap mama,”


“I love you, mama,”


Diam.


“Saya nak mama tahu, apa pun saya buat, saya sayang mama,”


“Hmmm…Kalau nak datang, ingat….jangan bawa perempuan tu. Mama tak suka. Mama tak nak tengok muka dia. Mama benci,”


Luqman diam seketika. Tidak mahu membakar emosi ibunya.


“Terserah pada mama. Saya tak nak desak mama. InsyaALLAH, satu hari mama akan terima semua ni,”


“Tak ada maknanya,”


“Saya datang malam ni ya, mama,”


“Ya lah,”


“Assalamualaikum, mama,”


Salam berjawab dan talian terputus. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Perlahan dia bersandar ke sofa yang empuk. Menikmati keselesaan di situ sambil pejamkan mata.


“Abang….,”


Perlahan dia membuka mata. Senyum Najwa bersama dulang berisi minuman menyejukkan pandangan.


“Cuma ada fresh orange ni aje. Tak ada makanan,”


“Tak apa,”


“Abang telefon mak abang ke?,”


Luqman mengangguk sambil mencapai gelas berisi fresh orange. Meneguk perlahan.


“Satu aje? Aja nak kongsi dengan abang ke?,”


Najwa tersenyum. Dia tahu Luqman mengusik. Dan dia tahu usikan-usikan itu untuk membuang jauh-jauh kesedihan yang merantainya kini. Itulah Luqman. Sentiasa membuat dia lupa yang dia sedang bersedih.


“Aja tak nak. Baunya busuk,”


Luqman tergelak.


“Oh… ok. Faham. Rugi tau, siapa yang bau fresh orange ni busuk. Ni, minuman paling sedap tau,”usiknya lagi. Juga membuat Najwa tersenyum lagi.


“Abang pandai buat Aja senyum,”


“Abang tak nak muka tu sedih memanjang,”


Najwa melabuhkan punggung di hadapan Luqman.


“InsyaALLAH…,”balasnya pendek.


“Malam ni, abang nak jumpa mama sekejap. Aja nak ikut?,”


Najwa menggeleng perlahan.


“Kenapa? Takut?,”soal Luqman tersenyum. Najwa tersenyum kecil.


“Mak abang tak suka Aja. Nanti kecoh pula,”


Luqman diam. Teringatkan pesan ibunya sebentar tadi, dia tidak mahu terus mendesak Najwa. Emosi Najwa perlu dia jaga. Perasaan ibunya juga tidak mahu terus diguris. Masih terlalu awal. Biarlah perlahan-lahan masa menyejukkan hati ibunya dahulu. Apabila ibunya sudah bersedia menerima Najwa, dia akan cuba dekatkan gadis itu dengan ibunya.


“Abang,”


Luqman mengangkat muka. Memandang wajah Najwa sambil mengangkat kening.


“Aja tanya satu soalan boleh?,”


“Boleh. Tanyalah. Satu set soalan pun boleh. Kerja abang buat soalan exam. Jadi, bab bagi jawapan pun, abang expert. Tanya ajelah,”


Bibir kecil itu terukir senyum nipis.


“Zarith tahu tak abang kahwin dengan Aja?,”


Luqman menggeleng. Najwa diam.


“Kenapa? Aja nak Zarith tahu ke?,”


“Tak. Aja cuma tanya saja,”


Luqman mengeluh perlahan. Merenung wajah Najwa yang kini sudah sedikit tenang. Tidak lagi terus dipayungi riak sedih. Memang pernikahannya itu tidak dihebahkan Zarith. Tidak perlu rasanya untuk dia sampaikan pada Zarith. Sikap lepas tangan Zarith pasti tidak akan memberi apa makna pun sekali pun berita ini sampai ke pengetahuannya.


“Biarlah. Kalau dia tahu pun, mungkin tak ada apa-apa makna pada dia. Aja masih berharap dia akan menyesal dan pulang pada Aja ke?,”


Najwa tersenyum pahit.


“Tak bang. Dia dah lukakan hati Aja. Dia dah susahkan semua orang. Kalau bukan sebab dia, abang sekarang dah boleh bertunang dengan kekasih abang tu. Kan?,”


“Aja… abang nak Aja tahu satu perkara. Abang nak Aja selalu ingat. Abang tak pernah kesal dengan keputusan yang abang buat ni,”


Najwa diam.


“Oh ya. Esok kita ke klinik. Ok?,”


“Nak buat apa?,”


“Buat check up. Dah sampai masa Aja kena jaga diri and baby betul-betul. Ok?,”


Najwa membungkam. Topik itu cepat membuat perasaannya hilang. Berkongsi dengan satu lagi nyawa di dalam tubuhnya tidak pernah membuat dia senang hati. Perlahan dia mengangkat punggung.


“Aja nak rehat ya, bang,”


“Hmmm. Pergilah,”


Najwa terus berlalu. Dia cuma memandang. Ternyata gadis itu masih belum mampu menerima hakikat. Mungkin dia mampu membuat Najwa tergelak. Dia mampu membuat Najwa lupa seketika pada kemelut hidupnya. Namun, dia tidak mampu membuat Najwa menerima sebahagian nyawa yang mula berkongsi badan dengan gadis itu. Najwa masih menolak kehamilan yang tidak dirancang itu.






****

10 comments:

Siti Soleha Yahaya said...

salah 1 karya yg x menjemukan utk membacanya....
BEST...

nurhakim said...

cain kat najwa.
hope lpas nie zarith xkcau rumah
tangga diaorg.

Unknown said...

zarith x tau dorg kawin? ades! nnt mst die srh aja blk pd die..ggu umah tngge org plak..ish! x ske!

aqilah said...

luqman mmg berhatu mulia................hopefully aja cepat recovered and love luqman fore............ver.............
apapun, akak follow..............

Anonymous said...

besnye..x sbo..

MaY_LiN said...

so sweet..
baik je luqman..
kak hanni..
tamau kenalkan kite ngan luqman ke???
hikhikhik

insan biasa said...

kak hanni.
sy nk komen skit je.
dalam Islam bila seorang prempuan yg mgandung hasil dari perbuatan zina dan berkahwin dgn pak sanggup, scara lgsung pkhwinan mereka tu tidak sah.

hanya teguran saja.
maaf klau tsalah kata.
mungkin ini sekadar novel utk tatapan xp bg sstengah pihak mnjadikn konsep ni sbg amalan.
mksud sy dsini, cth sperti ni tkut diikuti oleh msyrakat kita, ms akn dtg sbb jd tradisi mlh dlm novel skalipun.

hrp dberi ptimbangan swajarnya.
novel tq, n btw ur novel mmg blh djadikan cth utk kita. thumbs up jgk.

Anonymous said...

org jauh~
to : insan biasa
hopefully srtakan dalil bley x?
ehhe coz seem mcm ilmu bru jer..
cam 1st tyme plak dgr pasal tu..
thankz for perkongsian..

Anonymous said...

insan biasa.:
pernikahan yang cukup syarat rukun nikahnya wlupun mgahwini ppuan mgandung tetap sah...melainkan mgahwini ppuan dlm tempoh iddah...
apabila ank tu lahir nt..ank tsbut tidak boleh berbin @ berbinti kan dy walaupaun anak tu dari(adik)darah dagingnya sendiri..

Unknown said...

perkahwinan yang dilangsungkan dengan wanita yang lahir anak luar nikah sah hukumnya..apa yang pernah saya belajar di sekolah agama di johor dulu laa...lainla dengan wanita yang berkahwin dan mengandung diceraikan suaminya..jika dia kahwin lain ketika mengandung tak sah hukumnya..sebab edahnya tamat setelah anak itu dilahirkan....

[11:35:50 PM] hos.getah: