Saturday, May 30, 2009

Di Penghujung Rindu 8

Hakimi membelokkan kereta memasuki perkarangan rumah Shahril. Ada jemputan makan malam untuknya. Beria-ia benar Julia mengajaknya makan malam bersama. Puas ditanya untuk apa, Julia cuma tersenyum panjang. Enjin keretanya dimatikan. Sedikit rasa hairan terselit di hatinya, melihat sebuah waja berwarna emas yang cukup asing di matanya. Ada tamukah Julia dan Shahril? Terdetik soalan itu di hatinya. Perlahan pintu kereta dibuka. Agak was-was untuk melangkah keluar. Tidak mahu mengganggu sebenarnya.
“Kimi! Kenapa tercegat kat situ? Masuklah.”, suara Shahril membuat dia beralih pandang. Shahril tercegat di ambang pintu sambil bercekak pinggang. Mungkin sudah bersedia menunggunya.
“Kau ada guest ke?”, soalnya sambil menutup pintu kereta. Perlahan dia menapak ke arah Shahril yang cuma tersengih panjang. Seperti tidak mahu menjawab soalannya. Dia memandang sekeliling. Yakin soalannya tidak akan berjawab.
“Fairuz dengan Lia mana?”, dia bertanya apabila menyedari kereta Fairuz tiada di perkarangan rumah Shahril. Belum sampaikah? Biasanya dia yang sering lewat.
“Fairuz call tadi. Dia tak dapat datang. Hantar Lia ke klinik.”Shahril memulakan cerita.
“Kenapa dengan Lia?”laju soalan itu meniti di bibir. Risau kalau-kalau sesuatu yang buruk menimpa wanita itu. Shahril tersenyum kecil.
“Buat apa nak risau isteri orang? Orang suruh kahwin, tak nak. Kalau kahwin, kau boleh risaukan isteri sendiri,”gurau Shahril bersama gelak kecil.
“Aku seriuslah,”
“Yalah. Katanya deman. Mungkin demam biasa saja. Don’t worry lah. Kalau teruk, mesti Fairuz dah cakap. Kan?,”
Hakimi diam. Sedikit lega mendengar penjelasan Shahril. Betul juga kata Shahril
“Kau ambil berat sangat pasal Lia. Kau masih simpan perasaan ke kat dia?,”Shahril bersuara perlahan. Cuba mencungkil rahsia sebenarnya. Rahsia Fairuz terpaksa jadi pengantin segera Camelia. Sungguh dia mahu tahu punca sebenar peristiwa yang sudah bertahun berlalu. Segalanya tersimpan kemas di lipatan hati tiga insan itu. Langsung tiada cerita untuk dia dan Julia.
“Dia kawan aku. Mestilah aku kisah,”
“Tapi, hampir jadi pengantin kau. Bertahun-tahun jadi buah hati kau. Cuma, beberapa tahun kebelakangan ni aje, kembali jadi kawan,”
Hakimi tersenyum tawar. Itu semua sudah menjadi sejarah. Tidak perlu diungkit lagi.
“Cerita lamalah,”
“Ya, memang cerita lama pada kau. Tapi, pada aku, cerita tu tetap segar kat sini,”sampuk Shahril sambil jari telunjuknya diletakkan ke dahi. Hakimi tergelak kecil.
“Kenapa pulak?,”soalnya sambil menggaru kepala.
“Dalam kad jemputan dah tertulis nama kau. Tup-tup seminggu sebelum nikah, tukar pengantin. Tiba-tiba Fairuz jadi bidan terjun. Mestilah aku ingat sampai bila-bila. Lebih –lebih lagi, sampai hari ni, kau tak beritahu apa puncanya pada aku,”
Hakimi cuma tersenyum tenang. Wajah Shahril dipandang sekilas.
“Cerita lama. Tutup bukulah. Sekarang kita buka buku baru,”
Shahril mengeluh. Usahanya gagal lagi. Baik Hakimi mahupun Fairuz juga Camelia, semuanya lebih senang menutup mulut. Memang ada rasa geram di hati, namun, sebagai sahabat, dia perlu menghormati pendirian teman-temannya itu.
“Hmm… sekarang aku nak bagi buku baru kat kau. Harap-harap lepas ni, bolehlah buat cerita baru. Cerita lain selain dari cerita bujang terlajak kau ni,”
Hakimi tergelak.
“Excuse me, kawan. Belum terlajak lagi. Belum masuk empat puluh pun,”
Shahril mencebik.
“Sudahlah. Come…hidangan pun dah siap. Kita terus makan sajalah.”
“Kereta siapa tu?”,Hakimi bertanya lagi seraya mengekori Shahril dari belakang. Namun, soalannya berjawab sebelum Shahril memberi jawapan. Bukan sedikit riak terkejutnya apabila matanya terpandang seraut wajah yang amat dia kenali. Yang bertahun cuba dia jejaki. Raut tepi wajah Nurul Huda. Nurul Huda duduk membelakanginya di meja makan, tetapi, sesekali apabila menoleh, membenarkan dia meratah setiap inci wajah itu. Ternyata ini benar-benar di luar jangkaannya. Inikah buku baru yang dimaksudkan Shahril? Nafasnya seakan terhenti. Tatkala sepasang matanya menjawah wajah itu, kakinya benar-benar terpaku. Tidak mampu bergerak. Tiada daya untuk melangkah. Selama lima tahun dia mencari gadis itu. Selama lima tahun dia menunggu. Namun hari ini, apabila Nurul Huda sudah berada di hadapannya, dia menjadi keliru. Bersediakah dia untuk berdepan dengan Nurul Huda? Kalau dia bersedia, kenapa langkahnya mati di sini? Kenapa jantungnya berdetak sekencang ini? Kenapa perasaannya segundah ini. Lain benar perasaannya, menanggapi gadis itu kali ini.
“Kimi…kenapa tercegat di situ? Marilah. Macam nampak hantu pula. Rumah aku tak ada hantulah”
Hakimi tersenyum kelat mendengar soalan Julia.
Dan, soalan Julia membuat nafas Nurul Huda terhenti seketika. Pinggan yang dipegangnya, diletakkan semula ke meja. Tidak kuat untuk terus menggenggam pinggan itu. Matanya tertancap pada jemarinya. Menggeletar. Benarkah semua ini? Atau…ini semua cuma satu mimpi semata-mata? Seperti mimpi-mimpi yang menemani rindunya pada Hakimi selama ini? Benarkah Hakimi berada bersamanya saat ini? Benarkah dia berkongsi ruang ini dengan Hakimi? Detak yang laju, membuat jantungnya seakan mahu pecah. Cukup laju degupan itu mengganggu emosinya. Dia menarik nafas panjang. Mencari ketenangan. Kuatkah dia untuk menghadapi realiti ini? Kuatkah dia untuk sembunyikan riak rindu yang kuat menghempas pantai jiwanya saat ini? Kuatkah dia? Kuatkah dia untuk membuang rasa cinta yang cukup lama mendera perasaannya ini?
“Huda…are you ok? Muka kau pucat”,
Nurul Huda tersenyum. Cuba untuk senyum selebar yang boleh. Soalan Julia tidak mampu dijawab. Bukan tidak mahu menjawab soalan itu, tetapi, suaranya sudah hilang entah ke mana. Kelu. Benar-benar kelu.
Julia merenung wajah itu dengan sedikit rasa hairan. Apabila tiada jawapan dari Nurul Huda, wajah itu terus ditatapnya. Membuat Nurul Huda bertambah gelisah. Membuat Nurul Huda menjadi serba salah. Sudahnya dia cuma mampu mengukir senyum selebar yang boleh.
“Kau tak apa-apa? Kau tak sihat ke?,”sekali lagi soalan yang hampir sama meniti di bibir Julia.
“Aku..tak apa-apa. Cuma dah lapar sangat. Aku belum makan apa-apa tau! Semata-mata nak makan masakan kau.”, dalih Nurul Huda bersama senyuman manis. Cuba sembunyikan resah gelisah yang datang mendera. Julia tergelak kecil.
“Ye ke? Terharu aku dengar that words. Don’t worry. Kimi pun dah sampai. So kita boleh makan sekarang.”
Nurul Huda tersenyum sambil menolak rambutnya yang jatuh ke bahu. Tiba-tiba dia menjadi rimas. Menjadi tidak selesa. Tiba-tiba dia tidak mahu berada di ruangan ini. Sangkanya dia cuma akan menikmati makan malam bersama Shahril dan Julia. Julia tidak maklumkan padanya ada jemputan lain.
“Assalamualaikum.”
Hati Nurul Huda bagaikan gugur mendengar suara itu. Lima tahun dia tidak mendengar suara itu. Rindunya yang kontang bagaikan disirami selaut bahagia saat ini. Sesungguhnya dia amat merindui Hakimi. Terlalu merindui lelaki itu. Perlahan dia berpaling. Hakimi tercegat di hadapannya. Hakimi yang dia rindui. Hakimi yang dia kasihi. Hakimi yang dia cintai.
Dan Hakimi, sama-sama terpaku menatap wajah insan yang sudah lima tahun dia jejaki. Wajah itu sudah sedikit matang. Tiada lagi wajah keanak-anakan yang sering menjadi sasaran telunjuknya satu ketika dulu tiap kali gadis manis ini tidak berjaya menghabiskan soalan matematik yang dibuat.
“Waalaikumusalam.”,jawab Nurul Huda sepatah. Tanpa sedar dia bergerak bangkit daripada kerusinya. Sama-sama berdiri memandang antara satu sama lain. Nurul Huda cuba mengukir senyum. Cuba membuang debar yang menggila di dadanya. Cuba menghadapi tatapan mata Hakimi setenang yang boleh. Tiada senyum di bibir lelaki itu. Mungkinkah dek kerana terkejut? Sebagaimana dia terkejut saat ini. Atau, dek kerana rasa benci yang mungkin dia tinggalkan di hati lelaki itu? Dia tahu apa yang berlaku dulu, silapnya. Dia yang meminta. Dan dia yang terus mendesak. Kemudian memungkiri janji yang dia sendiri buat. Dia mahu menjadi pengantin Hakimi, walau bukan itu yang dijanjikan pada Hakimi. Walau dia tahu, Hakimi sudah ada Camelia. Teringatkan semua itu, tiba-tiba dia jadi malu. Malu pada Hakimi dan malu pada dirinya sendiri.
“Apa khabar?”,akhirnya dia membuka bicara sambil menghulurkan tangan. Tidak sanggup terus berdepan dengan kebisuan Hakimi yang mendera. Hakimi sedikit tersentak mendengar sapaan Nurul Huda. Gadis itu nampak cukup tenang. Tersenyum lebar bersama tangan yang terhulur padanya. Senyum Nurul Huda membuat dia kabur untuk membaca isi hati gadis itu. Sukar mentafsir apa yang sedang bermain di hati Nurul Huda.
“Baik”, jawab Hakimi sepatah. Jemari Nurul Huda dicapai. Di luar sedarnya, jemari Nurul Huda erat di genggamannya. Membiarkan satu perasaan aneh menjadi badai yang menghempas hatinya. Sungguh perasaannya bergolak hebat. Kalau selama ini dia keliru dengan perasaannya. Namun, saat ini, dia tidak dapat menafikan lagi apa yang dia rasa. Sememangnya selama ini dia merindui Nurul Huda. Dia merindui wajah di hadapannya ini. Memang tidak salah apa yang dia rasa selama ini. Dia perlukan Nurul Huda.
“Ek hem..”, Shahril berdeham perlahan sambil tersenyum nakal. Membuat Hakimi tersentak. Genggamannya terlepas tiba-tiba. Nurul Huda tersenyum kelat. Gundah terus memburu hatinya. Sentuhan Hakimi terasa meresap ke seluruh jiwanya.
“Maaf mengganggu. Dinner dah ready. So, have a sit.”, Shahril bersuara bersama senyum yang panjang.
Nurul Huda melabuhkan punggung ke kerusi. Hakimi pula mengatur langkah menuju ke kerusi berhadapan dengan Nurul Huda. Sesekali apabila pandangan mereka bertembung, cuma senyum yang terukir di bibir Nurul Huda. Senyum yang menutup segala kegelisahannya. Debar di dadanya terasa berganda berbanding debar yang pernah dia rasa di tahun-tahun yang berlalu.
“Kimi! Diam saja. Is anything wrong?”, Julia bersuara sambil mencedok nasi untuk lelaki itu. Hakimi megukir senyum. Perlahan dia menggeleng. Matanya sekali lagi melekat pada wajah di hadapannya. Ada urusan yang belum selesai antara dia dan Nurul Huda. Hatinya memberontak untuk meluahkan segala apa yang tersimpan di hatinya. Namun, kehadiran Julia dan Shahril di antara dia dan Nurul Huda, memaksa dia pendam segalanya.
“Kalau pun kau belum puas lagi menatap muka Huda ni…janganlah sampai lupa nak makan pula. Penat isteri aku masak tau!”, Shahril bersuara lagi, apabila melihat Hakimi bagai hanyut dalam renungannya. Nurul Huda tergelak kecil mendengar gurauan Shahril. Menutup perasaan sebenarnya juga cuba abaikan wajahnya yang panas tiba-tiba. Hakimi turut tersenyum mendengar kata-kata itu.
“Betul tu. Makan dulu. Dah habis makan..kau nak renung muka Huda sampai esok pagi pun..aku tak kisah.”, tokok Julia bersama deraian tawa.
“Jangan salah faham. Aku cuma tertanya-tanya ke mana dia menghilang selama lima tahun ni? ”, Hakimi bersuara bersama renungan yang tidak pernah putus. Nurul Huda tersenyum kecil. Mata Hakimi ditatapnya lembut. Rupa-rupannya cuma rasa hairan yang bersarang di benak lelaki itu. Tidak lebih daripada itu. Renungan itu, bukan renungan rindu. Memang tiada rindu pun untuknya barangkali.
“Oh ya! Takkan kita berempat saja? Mana Fairuz? Dan..Lia?”, cepat-cepat Nurul Huda mengubah tajuk perbualan. Tidak mahu larut dek rasa tersentuhnya pada kata-kata Hakimi. Wajah Julia dan Shahril dipandang sebagai tanda dia menanti sebuah jawapan.
“Fairuz call tadi. Lia..tak sihat. Jadi mereka tak dapat datang.”
Dahi Nurul Huda sudah berkerut seribu. Segera dia mencari wajah Hakimi. Wajah itu kelihatan terus tenang.
“Lia yang tak sihat..kenapa Fairuz yang tak dapat datang?”, soalnya lagi. Keliru dengan situasi itu. Matanya terus jatuh ke wajah Hakimi. Bukankah lelaki itu sepatutnya bersama Camelia. Hakimi diam tanpa suara. Jemarinya terus menyuap nasi ke mulut. Tidak mengacuhkan soalan itu, meski dia tahu Nurul Huda mengharapkan jawapan darinya.
“Banyak benda yang kau tak tahu Huda. Dalam masa lima tahun, banyak perkara yang berubah. Banyak perkara yang berlaku,” Julia bersuara apabila melihat Hakimi terus membisu. Barangkali lelaki itu belum bersedia untuk membuka cerita perihal perjalanan hidupnya. Nurul Huda sekadar berdiam diri. Melihat Hakimi lebih selesa melayan hidangan di hadapannya. Dia mengambil keputusan untuk tidak terus bertanya. Sudahnya, nasi di pinggan disuap perlahan-lahan ke mulut. Sedang kepalanya sarat dengan seribu persoalan. Apa yang berlaku sebenarnya?
“Anak macam mana? Sihat ke?”Hakimi tiba-tiba bertanya. Soalan yang hampir-hampir membuat Nurul Huda tersedak. Alunan suara Hakimi menanyakan soalan itu amat menyentuh hati. Pilu dia mendengarnya. Adakah Hakimi sudah tahu segalanya? Tiba-tiba rasa bersalah bersarang di jiwanya. Betapa selama ini dia telah pisahkan seorang anak daripada bapanya. Namun, rasa bersalah juga barangkali akan menghimpitnya kalau dia war-warkan kelahiran Imran Najmi pada Hakimi. Dia mengangkat muka perlahan-lahan. Ternyata Hakimi inginkan jawapan, apabila dia menyedari renungan Hakimi melekat kemas di wajahnya. Dia berdehem perlahan.
“Sihat…,”jawabnya sepatah.
“Apa namanya?,”
“Imran. Imran Najmi,”
“Bin?,”soalnya sepatah. Sengaja mahu mendera perasaan Nurul Huda. Tiba-tiba ada rasa geram dan terkilan di hatinya mendengar Nurul Huda bercerita tentang anaknya yang dia sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya selama ini. Terasa haknya benar-benar dinafikan. Dia berhak untuk tahu yang beberapa tahun ini, namanya ada di belakang nama seorang anak kecil. Dia patut tahu ada seorang Imran Najmi bin Hakimi yang sedang membesar. Dia ada hak untuk tahu.
Nurul Huda menelan liur. Dia yakin Hakimi sudah tahu segala-galanya.
“Kenapa Lia ke klinik dengan Fairuz?,”lambat-lambat dia alihkan soalan. Membalas renungan Hakimi. Hakimi cuma memandang. Nurul Huda cuba mengupah topic perbualan. Kemudian tumpuannya teralih pada Shahril yang menghilang sebentar tadi. Kemudian muncul semula sambil tersenyum panjang.
“Kau berdua makan dulu ya. Ju, sekejap. Ada tamu nak jumpa kat depan,”
Julia merengus kecil. Dia mahu mendengar jawapan Nurul Huda untuk soalan Hakimi sebenarnya. Mana tahu, barangkali bapa kepada anak Nurul Huda adalah insan yang dia kenal.
“Ju….,”Shahril bersuara lagi melihat Julia seperti tidak mahu bergerak dari meja makan.
“Yalah. Kau berdua sambung makan ya. Sekejap aje. Nanti kami join balik,”
Nurul Huda tersenyum sambil mengangguk perlahan. Memandang Julia beriring dengan Shahril sambil mulutnya riuh bertanyakan pada suaminya, siapa tamu yang tiba-tiba muncul itu.
“So, Huda tak nak cakap apa-apa ke?,”
Nurul Huda berpaling. Memandang wajah serius Hakimi. Apa alasan yang mampu dia berikan?
“Huda nafikan hak abang. Sampai hati Huda…,”
“Ma… macam mana abang tahu? Siapa yang cakap?,”
“Abang cari Huda kat kampung,”
Nurul Huda terdiam. Pasti Mak Su Senah yang membuka cerita.
“Bukan Huda tak nak cakap. Tapi, bang… abang lebih tahu kan? Huda tahu Huda banyak buat salah dengan abang. Huda dah janji takkan libatkan perasaan dalam hubungan kita dulu. tapi, Huda mungkir janji…,”
“Kenapa Huda rahsiakan dari abang?,”Hakimi mengulang soalan. Dia perlukan sebab, bukan penjelasan yang beralasan.
“Takkan Lia boleh terima anak tiri bang. Dari Huda pula tu. Huda tak nak hubungan abang dengan Lia ada masalah kalau sampai dia tahu hal ni. Lagipun, semuanya tak dirancang. Huda sendiri tak sangka Huda boleh…,”kata-kata Nurul Huda terhenti di situ. Segan untuk menyambung bicara. Malu untuk mengingati semula tindakan bodohnyanya lima tahun dulu.
“Boleh apa?,”
Nurul Huda diam seketika. Membalas renungan Hakimi yang sedikit beremosi. Memang patut Hakimi ada rasa marah padanya.
“Huda tak sangka sampai boleh pregnant…,”perlahan saja dia bersuara akhirnya.
Hakimi mengeluh perlahan.
“Huda rasa bersalah sangat atas apa yang berlaku tu. Huda tak patut ikutkan perasaan. Huda buat abang serba-salah…Huda selfish,”
Hakimi diam. Bicara Nurul Huda mendomisani suasana. Dari wajah gadis itu, dia tahu Nurul Huda betul-betul kesal. Benar-benar rasa bersalah. Namun, dia tidak pernah menyalahkan Nurul Huda. Apa yang berlaku adalah atas kehendak dia dan Nurul Huda. Tidak perlu untuk dia menunding jari kepada sesiapa pun.
“So, abang dengan Lia , macam mana? Kenapa dia tak datang dengan abang?,”
Hakimi tersenyum hambar.
“Dia dah kahwin dengan Fairuz,”
“Hah?! Kenapa?,”
“Seminggu sebelum perkahwinan kami, dia terjumpa kad ucapan anniversary ketiga kita, yang Huda bagi dulu…,”
Nurul Huda bungkam. Diakah punca perpisahan itu? Seminggu sebelum perkahwinan pula tu?
“I’m so sorry abang. Abang patut buang kad tu,”
“Why should I? Kenapa abang perlu buang pemberian Huda? Pernah ke abang buang pemberian Huda selama ni?,”
“Tapi, situasi abang tu tak sama. Sorry bang. Sebab Huda, abang kehilangan Lia. Huda tahu abang cintakan Lia. Sangat cintakan dia…,”
“Lupakanlah…,”
“Lupakan apa?,”suara Shahril yang muncul tiba-tiba memutuskan bicara antara mereka. Nurul Huda diam sambil menyambung suapannya perlahan-lahan sedang Hakimi Cuma tersenyum sambil menggeleng. Perlahan dia mengangkat muka lagi. Memandang wajah Hakimi. Tidak mungkin dia lupakan. Dia paksa Hakimi menjadi suaminya semata-mata untuk memenuhi cita-citanya. Dia minta hak sebagai isteri padahal janjinya tidak begitu. Dan, sekarang, Hakimi tidak dapat bersama dengan Camelia disebabkan kad yang diberi pada Hakimi lima tahun dulu. Hakimi berhak mendapat kebahagiaan. Bukan menjadi insan terluka disebabkan dirinya. Dia tidak akan menganggu Hakimi lagi. Dia mahu Hakimi benar-benar mendapat kebahagiaan nanti. Juga dia tidak akan menggunakan nama Imran Najmi untuk merantai Hakimi lagi. Tidak akan…
Seterusnya dia Cuma mendengar bicara Shahril dan Hakimi tanpa dia tahu apa sebenarnya yang dibualkan. Fikirannya benar-benar tepu dengan rasa bersalah.

***

20 comments:

Anonymous said...

best gak jd org pertama yg komen, hanni lps ni jgn lama sgt n3 cite ni yer, menarik jalan cite dia

-tni-.

adaibrahim said...

akak,i like it.huhu..nak plak dekat2 nak exam nih.i help me relieve my stress for a while dari mengadap buku2 gemok nih.tq akak

keSENGALan teserlah.. said...

huhu..
lme btol cite nieh nk ader smbungan..
huhu..
cmne pon,,ttp best..
tp stillkompius lagi ngn dorrang nieh..
kimi ngn huda pena kawen kan..but npe dorang kawen??nk capai cite2 huda??
uhu..sungguh xphm...hehe..
hope kimi ngn huda bersme pasnieh..cz dorang ader prasaan towards each other right??
hehe..
smbung cpt3 taw kak hanni..

Anonymous said...

best sgt cpt sambung ek jgn wat saya tertunggu tau

azzakiah said...

best.. cepat2 sambung ye..
sian kimi n huda...
huhu.. sedeyh jugak la bile fikir situasi diorg tu...

nurhakim said...

salam...
hye kak hanni..
lmanya bru de smbngan cte nie..
pe2 pn enjoy.
tpi still nk thu apa sbnarnya yg jdi antra hakimi ngn huda..

::cHeeSeCaKe:: said...

aah..curious la..nape huda kne kawin ngn kimi? bkn dorang adik beradik angkat ker? pastu, ape je cita2 huda tu smpai hakimi stuju nk kawin ngn die?

-cheesecake-

Anonymous said...

kali korang bacadari wal mesti dah tahu kenape dia org kawin ..hehehe

SaKuRa said...

first time bc citer ni..suke2.
skang ni da teralit dah..huhu

iyads said...

akhirny de pn smbngn cte nih...
hehehehe..mkn menarik..
cpt smbg ea kak hanni..
chaitok2x!!

Ju'A said...

akhirnya ada n3 baru...cite ni mmg best...x sabau nak tau cite kimi ngan huda....

atie md said...

best ceta ni... sekian lama menunggu dan akhirnya...saya tersenyum. xsbr utk next n3. thanks kak hanni

NIN said...

akhirnya cite ni muncul smula.. hakimi dh jumpa huda.. x sabar nk tgu seterusnya..

Chaiyok k.hanni..

ⓛⓘⓣⓣⓛⓔ ⓢⓠⓤⓐⓡⓔ said...

adui...
mcm terasa je ngan citer nie..

misz nana said...

At last..
Jumpa gak dorang berdua tu..

Anonymous said...

adoii...dah baca dari awal masih tercari2 naper kimi kwn ngan huda?? sejak bila lagi depe kawin..adeshhh!! nape pulak huda rase bersalah...pening2..tak sabo nk tunggu kesudahan citer ni.

ilaa.. said...

akakk hanni..naper xley bukak en3 9 n 10..desparate da neh nk bce cite neh..huhuhu

Anonymous said...

akak...jgn la lmbt2 post new entry
sy dah hampir2 lupa jalan cerita ni..
kena baca dari awl semula.apapun...cerita ni best sangat..wish u all da besh

kiki_bangi said...

Hari2 saya Datang sini tapi masih sama..nape?

sekurang2nyer updetlah citer yg lain2 tuh..taklah terasa lama menanti..

Anonymous said...

kak hani nape cite di penghujung rindu ep 9 10 11 tak leh bukak ni. ala tolong la

[11:35:50 PM] hos.getah: