Friday, January 2, 2009

U and I...Boleh Kahwin Kan?

“Tolonglah Qis,”
“Tak naklah aku. Tak kuasa aku. Malas. Malas. Malas, tahu tak?,”
“Aku dah tak boleh tidur malam ni. Aku dah jatuh cinta ni, Qis,”
“Yalah tu. Kau tu, dalam setahun 365 kali kau jatuh cinta,”
“Kali ni lain Qis. Aku betul-betul jatuh cinta ni. Aku dah tahu erti cinta sebenar, sekarang ni,”
“Uwek! Nak muntah aku. Kalau dah jatuh cinta sangat, bercintalah dengan surat-surat tu. Dengan madah-madah tu,”
“Kau ni. Kau kan kawan aku. Kau tolonglah cari siapa pemilik tulisan tangan yang cantik sangat ni. Siapa yang ukir kata-kata cinta puitis ni. Siapa yang memuja aku dalam diam ni?,”
“Dahlah tu. Nak jadi sasterawan Negara pulak. Aku ada latihan lontar peluru ni. Aku blah dulu,”
“Tolonglah aku. Aku tahu kau terror spy. Tolonglah,”
“No! Never!,”
“Angkat kaki tu!,”
Aku tersentak. Bayangan Balqisku yang montel berlalu meninggalkan aku. Terkebil-kebil aku memandang calon terbaru pembantu rumah pilihan Umi. Amboi, garangnya. Perlahan aku mengangkat kaki. Kedua-dua belah kaki, aku letakkan ke atas sofa, apabila batang mop berleluasa menyentuh betisku yang Cuma berseluar pendek.
“Apa ni?,”
“Apa, apa-apa? Tak Nampak saya tengah buat apa ni?,”
“Cakaplah elok-elok,”aku bersuara geram. Ini sudah melampau. Sesuka hati saja bercakap denganku sebiadab itu.
“Dah sepuluh kali saya cakap elok-elok. Tahu tak? Tak percaya? Ni, dengar ni,”
Bulat mataku. Menelan liur perlahan-lahan apabila gadis kecil molek ini memutarkan rakaman suaranya yang sedikit sengau itu di telefon bimbitnya. Biar betul.
“Encik, tepi sikit,”
“Encik, saya nak mop lantai ni. Tepi sikit kaki tu,”
“Kaki Encik ni, mengganggu kerja sayalah,”
“Encik, tolonglah alih kaki tu,”
“Alaaa…Encik, janganlah ganggu kerja saya. Tepilah sikit,”
“Errr…..,”
“Eh, sorry. Memang sepuluh kali. Tapi lima kali saja saya record. Lagi lima kali, tak sempat,”laju mulut kecil itu menyampuk kata-kata yang belum sempat keluar dari bibirku. Melampau. Siap simpan bukti.
“Sekarang, siapa yang salah?,”
“Sudah..sudah. Cepat buat kerja. Saya nak sarapan. Bila nak habis kerja ni? Saya dah lapar ni,”
“Encik, lain kali, bangun tidur, jenguk ke dapur dulu. jangan terus duduk mengadap kertas-kertas tu. Kalau mengadap paper, ada juga baiknya. Ini, pagi-pagi mengadap surat. Surat cinta ya?,”
“Suka hati sayalah. Saya tak suka pembantu rumah banyak cakap ya. Buat saja kerja awak elok-elok. Faham?,”
“Kerja saya memang selalu elok. Complete. Ada sebarang rungutan ke?,”
Aku merenung wajah berani di hadapanku ini. Pembantu rumah paling berani pernah berdepan denganku. Kemudian aku pandang sekeliling. Mencari cela yang mungkin tidak gadis ini sedari. Tiada.
“Tak ada kan?,”soalnya dengan wajah yang sedikit angkuh. Aku mencebik. Menyampah pun ada. Nasib baik mukanya manis. Tidaklah melampau sangat rasa menyampah ini.
“Ni…paper ni. Kenapa tak susun elok-elok?,”
“Encik baru ambil baca. Eh, bukan baca. Belek, lepas tu, sesuka hati saja sepahkan balik,”
“Meja ni. kenapa tak berkilat?,”
“Lihat meja tu. Dan lihat lengan Encik tu. Encik baru saja hilangkan kilauan yang saya buat kat meja tu. Penat saya gosok sampai berkilat tadi,”
“Arggg! Malas saya nak layan awak. Saya nak sarapan sekarang! Cepat sediakan,”
“Dah siap atas meja. Pergilah,”
Aku mendengus marah. Ada sahaja jawapannya.
“Panaskan balik!,”laungku sebaik sampai di meja makan.
“Maaf. Time table saya kat daput, dari pukul 7.00 sampai 8.00 saja. Sekarang dah 8.30. Sekarang saya kena buat kerja lain pula. Pandai-pandai Enciklah,”
Aku menarik muncung. Menjawab. Tapi, kadang-kadang seronok pula mendengar suaranya yang sedikit sengau itu. Aku tersenyum kecil dan, sudahnya aku Cuma memandang kosong mee hun goreng yang tersedia di dalam mangkuk. Melihat mee hun goreng itu, segera aku teringat lagi pada Balqis. Dia suka makan mee hun goreng. Aku tersenyum. Sungguh aku rindu pada gadis itu. Segera aku bergerak ke tingkap dapur. Menjenguk rumah kecil di sebelah bangloku. Sudah berkali-kali aku ke sana. Ingin berjumpa Balqis. Tetapi, gadis itu tidak pernah ada. Tujuh tahun aku tidak melihat wajah Balqis. Tujuh tahun juga Balqis sepi tanpa sebarang berita.
“Manalah kau pergi, Qis. Aku ada cerita nak kongsi dengan kau,”surat-surat biru di tanganku, aku pandang sepi. Kalaulah aku boleh kongsikan kebahagiaan ini dengan Balqis. Selama tujuh tahun di perantauan, surat biru ini tidak pernah sepi mengunjungiku. Dengan bahasa cinta yang membahagiakan, ternyata cinta tanpa wajah ini menjadikan aku pencinta setia selama bertahun-tahun.

****
“Macam mana?,”
Aku pandang wajah umi. Tidak faham dengan soalan yang tiba-tiba itu.
“Macam mana apa, umi?,”
“Eisya tu, macam mana? Setuju?,”
Aku garu kepala. Sangkaku umi sudah lupa. Rupa-rupanya umi pegang kata-kataku yang langsung tidak serius tempoh hari.
“Saya muda lagi, umi,”
“Muda apanya? Nak umi carikan calonnya?,”
“Tak payahlah umi. Biar saya cari sendiri. Lagipun, saya baru je balik sini. Belum habis lepas rindu kat umi, dah suruh saya kahwin ya? umi tak sayang anak bongsu umi ni ke?,”
“Sebab sayanglah, umi nak carikan orang yang boleh jaga kamu. Biar umi carikan ya,”
Aku termangu. Teringat perbualan dengan umi lebih sebulan yang lalu. Tidak mahu umi terus berkeras dengan pendiriannya, aku buat syarat. Syarat yang aku yakin, tiada siapa dapat penuhinya.
“Saya akan tentukan calon isteri saya. Saya nak, pilihan umi tu, kena jadi pembantu di rumah ini. Tapi, umi tak boleh beritahu, kenapa dia perlu jadi pembantu rumah. So, saya akan nilaikan, dia layak atau tak,”
“Kamu nak yang macam mana?,”
“Yang berani. Tegas. Tidak menurut perintah semata-mata. Ada pendirian. Tak tergedik-gedik. Tak cepat nak menangis bila kena marah sikit. Pantas buat kerja. Mesti complete satu pakej. Kalau ada yang kurang, reject,”
“Mana ada pembantu rumah yang macam tu. Semua pembantu rumah, kena dengar cakap majikan,”
“Umi carilah,”
Aku teringatkan senyumku yang panjang saat aku meminta umi mencari calon pembantu rumah yang memenuhi kriteria pilihanku. Aku senyum sebab aku yakin, umi akan gagal. Dan, aku akan terus dapat bersama Pencinta Abadiku. Sampai bila pun aku sanggup tunggu pemilik surat biru yang aku cintai itu, muncul di hadapanku. Namun, tiba-tiba Eisya yang muncul. Tidak habis fikir, macam mana Eisya boleh memenuhi ciri-ciri pembantu rumah pilihanku. Ternyata, sekarang Eisya membuat aturan hidupku sedikit berkocak.
“Encik Fahmi. Bunga untuk Encik…,”
Aku menoleh. Tertarik pada jambangan kekwa kuning di pelukan Eisya. Pantas aku berdiri. Mencapai jambangan di tangan Eisya. Bunga kesukaan Balqis. Juga bunga kesukaanku.
“Siapa bagi ni?,”
“Ada sorang perempuan tadi…,”
Pantas aku mencapai kad yang terselit. Berharap bunga ini daripada Balqis. Aku memang rindu pada gadis itu.
‘Selamat pagi. Ucapan seluhur kasih yang mekar di hati, harap-harap pagi awak akan seceria indah kuning kekwa ini. Bunga kesayangan awak. Betul kan? Kebetulan saya di sini, dan rindu pula membelah rasa. Harap awak juga begitu…
Pencinta Abadi.
Pencinta Abadi? Dia di hadapan rumahku? Aku memandang wajah Eisya yang tercegat di hadapanku.
“Mana orangnya ni?,”
Eisya menjungkit bahu. Belum sempat gadis itu menjawab lebih lanjut, aku berlari ke pagar. Ingin melihat bayang kekasih hatiku. Hampa. Sungguh hampa. Kalaulah aku sedar ada orang di hadapan rumah. Dengan longlai aku melangkah masuk.
“Kenapa Mie? Siapa bagi bunga tu?,”
Aku menggeleng. Sekarang, tugasku pergi menyoal siasat Eisya. Aku perlu cari Eisya.
“Saya masuk dulu umi,”
Umi Cuma mengangguk perlahan dan aku pula tidak tunggu lama. Terus melangkah laju mencari Eisya.
“Kenapa tak cakap dengan saya ada orang hantar bunga ni?,”
Eisya sedikit tersentak dengan sapaanku yang tiba-tiba.
“Lah. Nak kena cakap ke? Kan saya dah ambil bunganya tu?,”
“Macam mana rupa orang yang bagi bunga ni?,”
Wajah Eisya kulihat terkulat-kulat. Berkerut seperti berfikir sesuatu.
“Cepatlah cakap,”
“Entah,”
Sudahnya Cuma sepatah perkataan yang cukup mengecewakan itu terluah dari bibirnya. Tidak kena langsung dengan kerutnya yang mengalahkan perdana menteri hendak membuat keputusan penting.
“Entah? Kau buta ke?,”
“Err… Err…dia dalam kereta. Tak Nampak jelas,”
Giliran aku pula kerutkan kening. Boleh percaya ke gadis genit ini?
“Betul ke? Apa nombor plat keretanya?,”
“Encik! Orang tu bagi bunga kat Encik. Bukan bagi bom tangan. Sampai saya nak kalut-kalut check nombor plat segala. Sudahlah tu. Pergi sana. Jangan kacau saya. Tengok, masa saya dah terbuang sepuluh minit,”
“Cantik ke dia?,”
Eisya mendongak. Wajah sudah sedikit mencuka. Aku dapat lihat dia perah mop sekuat hati. Pasti sedang lepas geram.
“Cantik tak?,”
“Entah,”
Aku merengus, geram. Berpaling ingin berlalu.
“Asyik fikir cantik saja. Asyik fikir lawa saja. Ingat cantik … lawa boleh bawa bahagia ke?,”
Aku berpaling. Ngomelan itu melekat di telingaku.
“Apa? Apa awak cakap?,”
Eisya mengangkat muka. Laju dia menggeleng.
“Tak ada apa-apa,”
Melihat muka selamba Eisya kembali menyambung kerjanya, aku tidak lagi bertanya. Tahu, jawapannya nanti pasti akan membuat hati aku bergelora geram. Tapi, aku ingat kata-kata itu.
“Asyik fikir cantik saja. Asyik fikir lawa saja. Ingat cantik … lawa boleh bawa bahagia ke?,”
“Memanglah,”
“Kau ni, kan. Kalau tuan punya surat ni, tak cantik, macam mana? Hitam macam aku, macam mana? Gemuk macam aku, macam mana?,”
Aku ketawa. Balqis menjeling sambil mengangkat tinggi parang di tangan. Sekuat hati, di lekatkan pada kelapa yang sudah siap berkopek. Kelapa terpecah dua. Dan aku ternganga.
“Uishh… hebatnya,”
Balqis mencebik.
“Belah kelapa pun hebat ke? Buat anak orang kaya yang manja macam kau ni, mungkinlah hebat. Tapi, bagi aku, biasa-biasa saja,”
Aku lawan mencebik.
“Aku yakin, dari bahasa-bahasa dia, memang dia ni cantik,”sambungku pada bicara yang terhenti dek belahan kelapa Balqis.
“Beranganlah kau,”
“Aku tak berangan. Aku yakin, dia cantik,”
“Kalau dia tak cantik?,”
Aku diam.
“Encik Fahmi!,”
Sekali lagi Eisya berjaya menghalau wajah Balqis. Teringat kata-kata Eisya sebentar tadi. Ternyata kata-kata gadis itu sama dengan kata-kata Balqis bertahun-tahun yang lalu. Aku pandang wajah Eisya. Sedikit hairan dengan kebetulan itu.
“Apa pandang-pandang? Tak puas hati lagi?,”
Aku menjeling. Sengsara rupanya kalau dapat pembantu rumah suka melawan. Terus aku berlalu bersama jambangan bunga pemberian Pencinta Abadi dan juga bersama wajah Balqis di jendela kenanganku.
“Lepas ni, kemas bilik saya,”laungku kuat.
“Saya tahulah kerja saya. Tolong jangan nak arah-arah saya macam tu, okay. Saya tahu apa yang perlu saya buat,”
Aku tergelak. Memang pantang Eisya kalau disuruh-suruh. Sebenarnya tidak perlu disuruh pun, sebab jadual kerjanya aku tengok memang betul-betul mengkagumkan. Belum pernah aku jumpa pembantu rumah siap dengan jadual bertugas. Tiga kali waktu rehat pula. Pukul 12 tengah hari, pukul 3.30 petang dan pukul 5.30 petang sebelum dia pulang pukul 7 malam.
“And, mop sekali bilik bacaan ya,”
“Saya tahulah!,”
Aku tersenyum panjang. Jeritan sengau yang memikat hati!

****
“Hmm… kenapa orang kena tebang pokok kelapa?,”
“Sebab nak tumbanglah kot,”
“Salah,”
“Sebab halang jalan?,”
“Tak betul,”
“Sebab dekat dengan rumah orang,”
Eisya menggeleng.
“Entahlah. Apa sebabnya?,”
“Sebab…pokok kelapa tak boleh cabut,”
Aku menahan gelak mendengar jawapan mengarut dari Eisya. Juga melihat wajah Abang Long yang tidak berpuas hati melihat gelak Eisya yang menjadi-jadi. Leka pula aku melihat Eisya bersembang dengan Abang Long di halaman.
“Mengarutlah teka-teki Eisya ni,”
“Mana ada mengarut. Betullah kan? Ke, abang boleh cabut pokok kelapa?,”
Aku tersenyum. Pelik pun ada. Dengan aku, berencik-encik. Tetapi, dengan Abang Long, bukan main mesra lagi.
“Ada lagi teka-teki ni, nak dengar tak?,”
“Tak naklah. Mengarut je,”
“Ada lagi satu ni. Bolehlah ya,”
“Yalah…yalah. Apa dia?,”
“Okay…apa dia, kalau kita terus pun dia habis, kalau kita undur belakang pun, dia habis?,”
Aku termangu. Secara spontan kepala turut memproses mencari jawapan walaupun teka-teki itu untuk Abang Long, bukan untuk aku.
“Apa dia?,”
Abang Long, aku lihat sudah menggaru kepala. Eisya pula tersengih panjang. Yakin betul Abang Long tidak akan dapat menjawab teka-tekinya itu.
“Tak tahulah,”
“Alaaa… cubalah dulu,”
“Malaslah. Eisya cakap je apa jawapannya,”
“Tak bestlah macam ni. Sendiri teka, sendiri jawab pula,”
“Dah tu, abang tak tahu. Cakaplah apa jawapannya?,”
“Yalah. Yalah. Jawapannya, T.A.M.A.T. kita baca terus maknanya habis, kita baca mengundur pun, jawapannya habis…,
Aku tergelak. Dan Abamg Long merengus geram. Eisya tersengih. Melihat Eisya kadang-kadang membuat aku teringat pada Balqis. Balqis pun suka beri teka-teki mengarut padaku. Tapi, tidak mungkin itu Balqis. Suara Balqis tidak sengau. Balqis sihat walafiat orangnya. Walaupun montel, tapi, dialah yang paling rapat denganku satu ketika dulu. Serasi berbual tentang apa saja. Serasi berkongsi temtang apa saja. Kecuali, cinta. Balqis tidak suka bercakap tentang hati dan perasaan. Balqis benci mendengar perkataan cinta. Perkata yang sinonim dengan diriku itu. Berbeza dengan Balqis, aku memang sukakan cinta. Sukakan cinta pelajar-pelajat cantik di sekolahku dulu. Namun, itu semua berakhir apabila aku mula akrab dengan surat-surat biru dari Pencinta Abadi.
“Kamu tengok apa tu?,”
Aku menoleh. Umi tersenyum lebar. Aku balas dengan sedikit lemah.
“Kiranya kamu setujulah ya dengan Eisya ni ya? Dah dekat sebulan dia kerja, kamu tak reject lagi,”
“Belum puas hati lagi. Tapi, saya peliklah umi. Kenapa dengan saya dia berencik. Tapi, dengan Abang Long, umi tengoklah tu. Siap bertepuk tampar lagi. Berabang-abang lagi. Dan lagi, satu… dia tu sengaulah umi,”aku bersuara sambil tersengih.
“Mana umi tahu. Kamu tanyalah dia. Agaknya kamu garang sangat dengan dia, tu yang dia takut nak mesra dengan kamu. Dan, pasal sengau tu, tak ada dalam senarai criteria yang kamu pilih tu kan?,”
“Mana ada saya garang?,”
“Jadi, kamu nak dia panggil kamu abang juga ke? Umi boleh suruhkan,”
“Ish… umi ni. Bukanlah itu maksud saya,”
Umi tergelak. Aku pula memandang terus ke arah Eisya yang melintasiku. Sehingga bayang gadis itu hilang di balik pintu.
“Perangai dia mirip perangai Qis,”
“Qis?,”
Aku tersengih. Kemudian menggeleng perlahan. Mana umi kenal. Cuma aku saja yang panggil Balqis dengan nama itu. Panggilan keluarga. Dan panggilan semasa sekolah. Umi selalu panggil nama penuh. Balqis.
“Tak ada apa-apalah, umi,”aku menjawab hambar. Malas bercerita panjang. Lebih-lebih lagi di saat ini. Saat perasaanku tidak menentu. Diburu resah dan bimbang. Juga dihimpit rindu yang menggila. Sejak menerima jambangan bunga tempoh hari, Pencinta Abadi tidak lagi menghubungiku. Tidak lagi menghantar surat padaku. Rindu rasanya. Kadang-kadang, pelik dengan tingkah Pencinta Abadi. Di zaman serba moden ini, dia lebih suka kekalkan pengikat kasih secara tradisional. Melalui surat-surat birunya. Namun, itulah yang unik tentang kekasih hatinya itu.
“Saya nak minum kejap,”aku bersuara tiba-tiba sambil mengangkat punggung. Berlalu ke dapur. Eisya tekun dengan telefon bimbitnya.
“Encik nak apa?,”soal Eisya sambil meletakkan telefon ke meja.
“Nak minum,”
Eisya terus bergerak dari meja. Menuju ke arah cabinet.
“Nak minum apa?,”
“Horlicks,”
Laju Eisya menyediakan horlicks panas untukku. Sekejap sahaja sudah terhidang di hadapanku.
“Lagi?,”
Aku menggeleng. Eisya berpusing.
“Awak nak ke mana tu?,”
“Ke depan,”
Aku diam. Biarkan saja. Sejak akhir-akhir ini, entah kenapa tingkah Eisya sedikit berubah. Gadis itu seperti tidak mahu berada denganku lama-lama. Seperti mahu mengelak sahaja. Tetapi, malas aku mahu bertanya. Tidak penting rasanya. Sambil tanganku mencapai gelas, mata terpandang pada telefon bimbit Eisya di atas meja. Perlahan aku mencapai.
“Encik!,”
Aku tersentak. Berpaling. Eisya berlari laju ke arahku. Membuat aku sedikit pelik. Pantas aku bangun. Panik pun ada sebenarnya melihat lariannya yang sedikit laju.
“Phone saya,”
Aku pandang telefon di dalam genggamanku. Pandang pula wajah Eisya yang cuak semacam. Pantas tangannya Cuma merampas telefon dan spontan aku mengangkat tangan setinggi mungkin. Terkial-kial Eisya cuba merebut telefon di tanganku. Melihat usahanya yang bersungguh-sungguh, bersungguh-sungguh pula aku cuba gagalkannya. Sudahnya, telefon terlepas dan berderai di lantai. Aku terkebil-kebil. Tiba-tiba rasa bersalah.
“Err…,”
“Fuh! Nasib baik,”
“Hah?,”soalku pelik. Eisya mendongak sambil tangan memungut telefon bimbitnya yang sudah terbarai.
“Telefon hancur, nasib baik?,”
“Ha ah,”
Aku kerutkan kening. Pelik dengan perangai Eisya.
“Peliklah kamu ni,”
Eisya tersenyum sambil berdiri.
“Nanti saya ganti phone tu,”
“Tak apa. Tak payah. Tapi, kalau nak ganti juga, biar saya yang tentukan jenis phonenya ya,”
“Yang sama macam tulah,”
“Yang ni murah. Saya nak yang mahal sikit,”
“Banyak cantik muka awak,”
“Terima kasih,”
“Hah?,”
“Untuk pujian tu. Tapi, dah ramai sebenarnya yang puji saya cantik. Tak kisahlah. Walaupun dah selalu sangat dengar, kita kena hargai pujian orang kan?,”
“Uwek!,”
Eisya tergelak besar sambil berlalu. Aku tersenyum dalam diam. Memang Eisya Cuma seorang. Belum pernah lagi aku jumpa karektor gadis sebegini. Unik. Seunik Balqis. Dan seunik Pencinta Abadi. Dan rasanya, kecuali saiz dan rupa, Eisya dan Balqis memang banyak persamaan.
“Eisya…,”
Eisya menoleh.
“Kenapa awak jadi pembantu rumah di sini?,”
“Hmmm..sebab ab…eh sebab ada orang suruh,”
“Orang? Siapa?,”
“Adalah. Tak perlu Encik tahu,”
“Bukan sebab nak jadi isteri saya?,”
Eisya tergelak.
“Saya? Nak jadi isteri Encik? Lawaklah. Dulu, teringin juga sebenarnya, tapi, sekarang dah tak nak dah,”
“Kenapa?,”
“Sebab, saya tahu, Encik Cuma nak calon isteri yang cantik saja,”
“Awak baru cakap awak cantik,”
Eisya tersengih. Pertama kali aku melihat wajahnya kelihatan malu-malu.
“Itu saya main-main saja,”jawabnya sambil tersengih. Aku tersenyum.
“Kenapa awak cakap macam tu? Maksud saya kenapa awak cakap saya Cuma nak gadis cantik?,”
“Hari tu…Masa ada orang hantar bunga tu. Soalan lain Encik tak Tanya. Encik Tanya cantik ke orangnya? Itu menunjukkan, Encik pentingkan rupa. Tak pernah berubah,”
“Hah? Mana awak tahu sebelum ni, pun saya suka gadis cantik?
Eisya sedikit menggelabah. Namun Cuma untuk seketika. Kemudian, wajahnya kulihat kembali yakin.
“Kalau sekarang macam ni, dulu pun, mestilah macam ni juga. Kan?,”
Aku termangu seketika. Betul ke? Memang soalan pertama aku tentang perempuan ialah, cantik ke dia? Tapi, pasti ke, aku memang pentingkan kecantikan? Tiba-tiba aku jadi keliru. Ingin bertanya lagi, Eisya sudah hilang…

****
“Mana dia Abang Is?,”
Aku setakat memandang geram pada Iskandar. Abang Balqis. Juga peguam syarikat bapaku.
“Kenapa?,”
“Saya nak jumpa dia. Dah lama saya balik sini. Tak pernah boleh jumpa dia. Dari duk melepak kat rumah, sampai saya dah mula kerja, masih juga saya tak jumpa dengan dia. Kenapa dia lari dari saya? Apa salah saya? Tujuh tahun saya kat Australia, sekeping surat pun tak ada. Email, pun langsung tak ada. Kenapa sebenarnya?,”
“Manalah abang tahu. Kamu tanyalah dia,”
“Nak tanyalah ni. Tapi, mana dia?,”
“Dia keluar tadi. Lambat baliknya kot,”
Aku mengeluh panjang. Rumah Cuma sebelah-menyebelah, tetapi, susahnya untuk bertembung. Deringan telefon, mengganggu perbualan.
“Sekejap. Abang jawab phone. Minum air tu,”
Aku tersenyum kelat. Menjenguk ke arah Iskandar. Iskandar leka dengan telefon bimbitnya. Aku nekad. Aku mahu melihat sesuatu yang terbaru tentang Balqis. Aku mesti siasat. Kenapa Balqis seperti melarikan diri dariku?
Perlahan aku mengangkat punggung. Menuju ke bilik Balqis. Aku tahu tidak sopan, tapi aku terpaksa. Daun pintu aku tolak perlahan. Memandang sekeliling bilik yang tersusun kemas. Aku tersenyum apabila di dinding masih penuh gambar-gambar aku dengannya sewaktu kami di zaman persekolahan. Lega. Balqis tidak lupakan aku. Di meja juga penuh dengan bingkai gambar aku dan dia.
“Eisya!,”
Aku terduduk di birai katil apabila terpandang gambar Eisya di dalam pelukan Iskandar. Juga gambar Eisya memeluk mesra Mak Cik Bikash. Ibu Balqis. Mungkinkah Balqis dan Eisya orang yang sama? Mataku terpandang pula pada telefon bimbit yang baru aku beli seminggu yang lalu. Aku belikan untuk Eisya. Sebagai ganti telefonnya yang aku pecahkan. Kenapa telefon itu berada di sini? Laju tanganku mencapai. Melihat telefon itu. Hampir pitam, apabila aku melihat gambar aku dan Balqis yang tertera di screen. Patutlah Eisya lebih suka melihat telefonnya hancur tempoh hari. Sekali lagi aku terkejut besar apabila melihat beberapa keping sampul surat biru yang tersusun di sudut meja. Aku kenal sampul surat itu. Itu sampul surat Pencinta Abadi! Pantas aku capai.
“Ha ah. Ada dalam bilik. Qis ting….tinggal kat bilik,”
Aku berpaling. Terkejut dengan suara Iskandar yang tiba-tiba berada di belakangku.
“Err… Qis, Along simpankan phone tu. Okay?,”Iskandar bersuara sambil mematikan talian.
“Apa ni, Abang Is?,”
Iskandar kulihat sedikit menggelabah.
“Well…rahsia dah tak jadi rahsia lagi. So, apa yang kau lihat tu… itulah dia,”akhirnya dia menjawab perlahan.
“Qis nak main-mainkan saya ke?,”
“Tak. Kalau nak main-main, buat apa dia buat semua tu, selama bertahun-tahun,”
“Tapi, kenapa?,”
Iskandar diam.
“So, Qis tu Eisya? Kenapa perlu rahsiakan? Kenapa perlu permainkan saya macam ni sekali?,”
“Semua tu, rancangan Abang Long kamu. Rancangan abang sekali. Sebab abang penat tengok Qis terus melayan cinta ilusinya tu. Banyak kali abang suruh dia berterus-terang. Tapi, dia tak nak,”
“Kenapa?,”
“Dia takut kehilangan kamu,”
“Saya betul-betul cintakan Pencinta Abadi ni, bang,”aku bersuara sambil melayangkan sampul surat di tanganku.
“Qis tak pernah yakin. Dia yakin satu saja. Kamu suka pada gadis cantik. Sejak dari sekolah itu yang kamu suka. Dia pula, terlalu suka pada kamu, hingga sanggup tulis surat-surat tu. Bila kamu suka, dia jadi semakin ghairah melayan. Sehingga ke satu tahap, dia jadi takut. Takut pada kesungguhan kamu. Takut kamu kecewa. Dan takut dia dikecewakan,”
“Sebab tu, dia terus berahsia?,”
Iskandar mengangguk. Aku terdiam. Perlahan melabuhkan punggung di birai katil. Rupa-rupanya selama ini Balqis memandang serius pada kata-kataku itu.
“Tapi, sampai bila? Itu yang risaukan abang. Dia memang tak boleh terima lelaki lain lagi. Sebab, memang dari dulu dia sukakan kamu. Tapi, dia tak nak berterus-terang,”Iskandar menyambung bicaramya. Membuat aku mengeluh perlahan.
“Bodohlah Qis ni,”
“Kenapa pula?,”
“Saya pasti akan terima dia. Pasal cantik tu… itu Cuma mulut saya saja yang cakap. Yalah, semua orang kan, suka tengok benda-benda cantik,”
“Manalah dia tahu. Salah kamu. Kamu sogokkan dia dengan pemikiran macam tu, sejak dari kamu mula-mula kenal lagi,”
“Macam mana Balqis boleh setuju pula nak menyamar jadi Eisya tu?,”
“Dia tak setuju pun. Abang Long kamu ada cakap umi kamu nak cari calon isteri untuk kamu. Pasal syarat mengarut kamu tu, juga. Abang cadangkan Balqis. Abang Long kamu setuju. Kebetulan pula, sekarang Qis tengah mencari-cari kerja baru. Jadi, sebelum dia jumpa kerja yang sesuai, abang suruh dia jadi pembantu rumah kamu tu. Dia tak nak. Tapi, abang paksa,”
Aku tersenyum. Balqis boleh setuju pula?
“Senang-senang macam tu saja dia setuju? Biasanya susah nak pujuk benda yang dia tak nak buat,”
“Abang cakap, masa nilah dia boleh nilaikan cinta kamu pada Pencinta Abadi tu, betul-betul ikhlas atau tidak. Dia boleh melihat reaksi kamu bila kamu dapat surat dari Pencinta Abadi. Itu yang buat dia setuju,”
“Dia tahu tak, kenapa dia perlu jadi pembantu rumah tu?,”
“Tak tahu. Dia Cuma ke sana sebab nak siasat perasaan kamu yang sebenar pada Pencinta Abadi,”
Aku menggeleng perlahan. Tadi, ada rasa geram dan ada rasa marah. Tetapi, dengan penjelasan ini, marahku hilang. Geram masih ada sedikit. Geram dipermainkan.
“Suara sengau tu?,”aku bertanya sambil tersenyum mengingatkan suara Eisya yang sedikit sengau.
“Itu kamu Tanya pada Abang Long dengan Kak Long kamu. Dia orang jadi gurunya,”
“Abang Long pun tahu ke pasal surat-surat ni?,”
Aku lihat Iskandar menggeleng.
“Abang Cuma cakap, mana tahu kalau ada jodoh, sama-sama boleh jatuh hati. Selain dari tu, Abang Long kamu tak tahu apa-apa. Umi kamu pun, sama. Cuma mencuba, kalau-kalau ada jodoh,”
Aku mengeluh panjang. Memang tindakan Balqis ini, tidak terjangkau dek fikiranku.
“Abang jangan cakap apa-apa pada Balqis,”
“Kenapa?,”
Aku tersenyum. Senyum yang penuh dengan agenda. Siaplah kau, Balqis Batrisya.
“Selama ni, saya yang kena main. Bukan sekejap. Sembilan tahun. Daripada saya form six, dia mainkan perasaan saya. Sekarang, giliran dia pula,”
“Dia betul-betul sayangkan kamu, Fahmi,”
“Saya pun, bang. Sebenarnya dia tak perlu nak rahsiakan semua ni, sebab, surat-surat dia dah betul-betul mengikat saya. Saya tak pernah berpaling. Saya minta syarat-syarat pelik-pelik dari umi, pun, sebab saya tak nak kehilangan Pencinta Abadi saya. Tak tahu pula, rupa-rupanya Pencinta Abadi ni, memenuhi pula syarat-syarat pelik ni,”
“Itulah jodoh namanya kot,”
Aku tersenyum.
“Jodoh tak jodoh. Sekarang, yang penting, balas dendam,”
“Kamu jangan lebih-lebih. Menangis adik abang, siap kamu,”
“Tak adalah lebih-lebih. Sikit saja. Lepas geram sikit saja,”
Aku terus menyambung senyum sambil mengangkat kening. Membuat Iskandar tergelak kecil.

****
Dalam diam aku mendekati Eisya yang sedang asyik mengelap meja. Berdiri sambil memeluk tubuh di belakangnya. Mencari-cari idea untuk kenakan Eisya @ Balqis Batrisya ini. Aku mesti balas dendam.
“Qis,”
“Yup!,”
Aku tersenyum lebar. Dari belakang, aku dapat melihat dia cepat-cepat menutup mulutnya. Perangkapku mengena. Senyum makin lebar, apabila pantas Eisya mengangkat punggung.
“Kau nak ke mana tu?,”
“Nak ke dapur kejap, Encik,”
“Sudahlah tu. Tak payahlah nak buat-buat suara sengau tu, Balqis Batrisya. Hmmm… Macam mana aku boleh tak terfikir, Eisya tu, dari Batrisya?,”
Eisya kulihat terus menunduk.
“Balqis @ Eisya @ Pencinta Abadi,”
Mendengar nama Pencinta Abadi, Eisya segera mengangkat muka. Berpaling mengadapku.
“Aku dah tahu segala-galanya, Qis,”
Eisya diam.
“Kenapa?,”soalku perlahan.
“Aku faham. Aku tak kisah,”Eisya menjawab perlahan.
“Apa yang kau faham?,”
“Pencinta Abadi tak seperti yang kau bayangkan. Kan? Tak menepati citarasa kau, kan?,”
“Memang tak pernah terbayang dek akal pendek aku ni,”
“Aku pergi dululah,”
“Kenapa lepas kau beri aku bunga tempoh hari, kau terus menyepi?,”soalku tanpa menanggapi kata-katanya.
“Aku dah dapat jawapan. Aku tahu, kau impikan dia seorang yang cantik. Aku sedar, aku tak boleh terus bermimpi. Aku juga tak nak terus permainkan perasaan kau, bila aku dah tahu apa sebenarnya yang kamu mahu. Sebab aku tahu, aku tak ada ciri-ciri tu,”
“Kamu yakin, itu yang aku mahu?,”
“Sejak dari sekolah lagi, kau memang suka pada perempuan-perempuan cantik. Aku harap, satu hari, mungkin persepsi kau boleh berubah, tapi, aku silap. Kau tak akan berubah. Memang Cuma gadis cantik saja yang sepadan untuk lelaki macam kau,”
“Aku setuju,”
Eisya menjeling.
“Okaylah. Aku berhenti kerja,”
“Betul-betul aku tak sangka, rupa-rupanya selama ini, best friend aku yang bagi surat-surat cinta tu pada aku,”
“Sudahlah Fahmi. Kalau kau tak boleh terima, aku faham. Tapi, janganlah nak malukan aku macam ni,”
“Kenapa pula kau nak malu,”
Eisya membuang pandang. Mengatur langkah mahu meninggalkan aku. Cepat-cepat aku sambar lengannya.
“Lepaslah. Aku nak balik,”
“Masa kerja kau tak habis lagi,”
“Aku berhenti,”
“Aku tak luluskan,”
“Fahmi, aku tengah malu ni. Tolonglah,”
Aku tergelak. Boleh pula dia beritahu aku semua itu. Tetapi, melihat mukanya yang sedikit merah, aku tahu memang dia sedang menahan malu. Malu, rahsianya terbongkar barangkali. Tapi, inilah yang aku mahu lihat. Puas hati aku.
“Aku nak balik dulu. Kalau tak boleh berhenti, aku minta cutilah ,”
“No..no..kau kena kerja,”
“Suka hatilah. Lepaslah tangan tu. Macam mana nak buat kerja ni?,”dalam tunduk, Eisya bersuara. Aku tergelak. Perlahan tanganku, aku lepaskan.
“Tunggu dulu,”
Langkah Eisya terhenti.
“Apa?,”
“Sebelum kau mulakan kerja, aku ada satu teka-teki untuk kau,”
Eisya mengangkat muka.
“Teka-teki?,”
Aku tersenyum.
“Well… bunyinya macam ni. Huruf apa yang boleh berkahwin?,”
Eisya menjeling sekilas. Kemudian berkerut kening memikirkan jawapan barangkali.
“Cepatlah jawab,”
“Tunggulah nak fikir,”
Aku tersengih. Memanglah gadis ini tidak boleh berpisah dengan teka-teki. Dalam malu, dapat teka-teki, terus hilang malunya.
“Cepatlah,”
“Tak tahulah. Mana ada huruf boleh kahwin?,”
“Apalah. Master teka-teki pun, tak boleh jawab?,”
“Tak tahulah. Esoklah aku bagi jawapannya,”
“Aku nak sekarang. Cepatlah,”
“Tak tahulah. Apa jawapannya?,”
Aku tersenyum nakal. Memandang wajah Eisya yang menunggu jawapan.
“U and I, boleh kahwin kan?,”
“Hah?,”
“U,”aku ulang sambil jari telunjuk mengarah padanya.
“And I…,”jari telunjuk aku letak ke dada.
“Boleh kahwin kan?,”soalku bersama senyum yang meleret. Kening Eisya yang berkerut, hilang perlahan-lahan. Barangkali sudah faham dengan teka-teki yang aku beri.
“Boleh tak?,”
“Apa yang boleh?,”soalnya sedikit keliru.
“U and I, boleh kahwin tak?,”
“Boleh,”jawabnya sepatah. Aku tersenyum.
“Good,”
“Apa yang good?,”
“Kau dah setuju,”
“Setuju apa?,”
“Setuju nak kahwin dengan aku,”
“Hah? Bila masa aku setuju?,”
“Tadi kau cakap boleh,”
Eisya ternganga.
“Tadi, kau cakap U and I boleh kahwin,”
“Kau main-mainkan aku ya? Tak kelakarlah,”tiba-tiba Eisya menjerit marah. Aku tergelak.
“Tak kelakarlah. Aku nak balik,”jeritnya lagi.
“Teka-teki tu, memang aku main-main. Tapi, jawapan tu, aku serius. Kau nak kahwin dengan aku kan?,”
“Tak nak,”
“Betul ke tak nak?,”
Eisya terdiam.
“Betul ke kau tak nak ni? Cepatlah jawab,”aku bersuara sambil menanti jawapan. Melihat kebisuan Eisya aku sudah tahu jawapannya, tetapi, apa salahnya sesekali aku kenakan dia cukup-cukup. Sebagaimana dia kenakan aku selama ini.
“Qis, aku Tanya ni,”
“Malaslah aku nak layan kau,”
“So, kau memang tak nak ke?,”soalku sambil membuat suara sedikit terkilan.
“Bukan,”
“Dah tu, kau nak?,”
“Err… janganlah Tanya aku macam tu. Kau ni, straight forward sangatlah,”
Aku tergelak.
“Umi! Calon pembantu rumah ni, lulus ujian,”aku menjerit. Sengaja mahu umi dengar.
“Ujian?,”soal Eisya hairan.
“Ya. Ujian calon isteri,”
Bulat mata Eisya memandangku.
“Apa? Calon isteri kena jadi pembantu rumah? Kau nak cari isteri, ke nak cari orang gaji?,”
“Aku nak cari isteri dan pembantu aku. Pembantu aku yang unik. Kaulah orangnya,”
“Kejam!,”
Aku tersengih.
“Taklah kejam sangat. Kau lagi kejam. Buat aku bercinta dengan bayang-bayang selama Sembilan tahun,”
Eisya tersenyum. Dan aku turut tersenyum senang. Siapa sangka aku betul-betul dapat satu pakej. Aku dapat pembantu rumah yang memenuhi ciri-ciri yang aku cari. Aku dapat cintaku pada Pencinta Abadi. Dan, aku dapat kembali Balqis, temanku yang, montel, Walaupun kini, dia sudah tidak montel lagi. Dia sudah menjadi Eisya yang cantik dan manis. Yang kecil molek.

TAMAT…..

27 comments:

misz nana said...

kak hanniii! best la cite ni! hehehe..

bleh lak dia record apa yg dia dah cakap tu.. Balqis, Balqis..

cite ni pun bleh dikatakan unik..
caya la kak hanni!

LeaQistina said...

i and u leh kawen? yahuuuuuuuuu!!

atashinci said...

betul2.....cite ni mmg unik....
dri mne hanni dpt idea teka-teki
"I and u leh kawen ni"
tpi masih rindu kat PAM....

keSENGALan teserlah.. said...

heheee....
bley2 je record suare dye...
isk2...
unik2...
ske..
best...

Anonymous said...

best la kak.....
cite akak sumer unik2, laen dr laen2....
vry the good job lah...

Anonymous said...

Kak Hanni!......
I Luv U lah kak...
cite akak memang MELETUP!
nak lg yg best2 taw....
-manja.lara-

Anonymous said...

Td tgh tension, lepas baca citer ni ilg sume tension..kelakar n unik...
thank kak hanni.

ceritaku MEMORIKU said...

agagaga.
sweet gilew.
suke2 love it.DAMN!!
-na`dz

balkhis said...

best2...suma citer akak best2 belaka...
lagi2 cerpen ni..hehe...
heroin sama nama ngn saya...

Anonymous said...

wakakakak...pandai pulak balqis buat sengau erk???
tapi sengau comel x per k.hanni..
meyha comment

Anonymous said...

He.. he... memang best ler cita Hanni kali nie... baca cita nie, ingat teka-teki yang pernah jawab dulu... dalam 5 soalan salah satunya... I & U boleh kawin...

Hanni memang unik ler... dengan teka teki jer boleh menjadi satu cerita...

Selamat berkarya

cik tasha shafzan said...

dua hati menjadi satu..
cerita yang menarik juga menyentuh hati saya..
best betul baca cerita ni..

syabas kak hanni!!
cerita ni memang bagus.. :)

saya link kan blog ini di istana saya yer kak..

Unknown said...

beshnye cite ni!!! gelak srg2 je ble bace..dh ah bce kol 3 pg..hahaha..ske sgt bce cite k.hanni..thnx..huhuhu

bulan bintang capricorn said...

ngee..
so sweet..
unik gle..
mmg x tcapai akal pendek nie..
hehehe..;)
best lo0rr..
asik sengih je bc..

Anonymous said...

kakakkaaa..klakanye cite neh..
sweet~ ajerr

Anonymous said...

sempoi! tapi menarik...

suka sangat...

-Ain-Dak In- said...

soooooooooo...............
sweet..........

Anonymous said...

bestnyerrrrrrrrrrr...tak terkate bestnyer...
cerpen kak hanni wat saye senyum spjg hari tau...
unik sgt citernyer...
kak hanni ni mmg kreatifla,byk tol idea...
nnti teka-teki ni saye amik la nk kenakn kt kwn2..hikhik...(idea jaht)

Nadd said...

sweet story.. =)

walaupun boleh agak endingnya bagaimana tapi sy tetap ingin baca sampai ke akhir dan pengakhirannya melebarkan lagi senyum saya.. hehehe..

hanni boleh kumpul banyak punchline di dalam satu cerpen dan gaulkannya dengan baik..
sy ingin contohi ini drp hanni.. :)

in_wired88 said...

wahh..best n sweetnya.. kreatif ar

bartdaer said...

salam...hehehehe

Anonymous said...

sweeeeeeettt la cter ni kak.hehe=)

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

waaa..best jgk!
wpon jgn citer agak biase and simple but the riddle make it more interesting..
plus,dr riddle lah jadinye citer nih..
ok2..bleh kenakan riddles ni kat member2..
hihihi

s.c.h.u.l.t said...

eceh..kena kurus dulu bru nak? hurmm..

adeh..chaiyyok syuhada! :D

*mmpunyai kes seperti cerpen ini juga* hoho

nice one~ ;)

tunteja said...

best...best..best...nk lg ;)

Anonymous said...

Di Sepanyol pula, perkahwinan antara Kerajaan Aragon dan Castile iaitu antara Ferdinand dan Isabella telah memulakan pergerakan ke arah pembentukan Negara bangsa. Kedua-dua pemerintah ini telah terus bertindak untuk mengukuhkan institusi beraja dan mengurangkan pengaruh golongan pembesar. Dewan parlimen Sepanyol dibawah mereka telah mengembalikan tanah daripada golongan feudal kepada golongan raja. Golongan bangsawan telah dilarang membina istana dan perlantikan anggota gereja diletak di bawah kuasa mereka. Tindakan-tindakan ini semata-matanya telah melemahkan kuasa pembesar di samping mengukuhkan kuasa institusi beraja. Selain daripada itu, Institusi kristian Katolik juga diperalatkan untuk menamatkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Sepanyol dengan menyatukan mereka terhadap ancaman dunia Islam. Usaha-usaha Ferdinand dan Isabella telah memulakan proses pembentukan Negara bangsa di Sepanyol.

[11:35:50 PM] hos.getah: