Tuesday, December 30, 2008

Pergilah Air Mata 31


Datin Hamidah mengerling. Sedikit rimas. Sabrina masih tercegat di hujung tangga pintu utama. Tekun memerhatinya. Membuat kerjanya sedikit terganggu.
“Datin memang suka tanam bunga ya?,”
Soalan itu membuat tangannya yang sedang menggembur tanah hitam, terhenti perlahan-lahan. Malas hendak menjawab. Langsung dia menyambung semula kerjanya. Sabrina bergerak lebih hampir. Berdiri di sisi ibu mertuanya. Seketika begitu, perlahan dia duduk di bangku kecil, bersebelahan dengan Datin Hamidah.
“Bunga apa Datin paling suka ya?,”
Datin Hamidah menjeling.
“Kau ni, memang dah tak ada kerja ya?,”
Sabrina menggeleng.
“Tak ada. Boleh saya tolong Datin?,”
Jawapan Sabrina membuat Datin Hamidah merengus marah. Tidak faham bahasa rupanya gadis ini. Soalan berbaur sindiran yang diajukan, dijawab Sabrina dengan begitu lurus. Siap dengan senyum manis yang terukir di bibir.
“Tak payah. Terima kasih banyak-banyak. Kalau nak tolong juga, boleh. Kau tolong pergi dari sini. Rimaslah aku tengok muka kau tu. Hilang mood aku.Tak berbunga nanti bunga-bunga aku ni…,”
Sabrina diam. Usaha untuk berbaik-baik dengan Datin Hamidah, nampaknya menemui jalan buntu lagi. Sukarnya hendak mendekati wanita ini.
“Betul ni?,”soalnya mendapatkan kepastian. Manalah tahu, tiba-tiba Datin Hamidah berubah hati.
Datin Hamidah mencerlung tajam. Sabrina tersenyum kecut. Gagal lagi.
“Kalau macam tu, saya pergi dululah,”perlahan dia mengangkat punggung. Tidak mahu lebih lama berada di situ. Bimbang emosi Datin Hamidah terus terganggu.
“Errr… sekejap,”
Sabrina menoleh. Tersenyum lebar apabila namanya dipanggil.
“Betul kau nak tolong?,”
Sabrina mengangguk. Datin Hamidah tersenyum kecil. Tajam matanya melihat deretan pasu yang baru ditukar bunganya itu. Tiba-tiba timbul rancangan kejam pula di hati. Sedikit kejam, rasanya. Bukan terlalu kejam.
“Kau Nampak tu?,”
Sabrina mengangguk lagi.
“Kau siram semua bunga dahlia yang aku dah tanam tu,”
“Boleh,”balas Sabrina sedikit lega. Sekurang-kurang sudah ada komunikasi antara dia dengan Datin Hamidah. Laju dia menuju ke pili.
“Kau nak ke mana tu?,”
Langkah Sabrina terhenti. Menoleh semula kea rah Datin Hamidah.
“Buka pili ni. Nak siram bunga,”
“Habislah bunga aku ni, kalau kau siram pakai pili. Bunga ni, aku baru tanam. Siram pakai bekas ni saja. Tak nak air banyak sangat. Nanti habis tercabut balik bunga-bunga ni,”
“Oh… maaf. Saya tak tahu. Saya tak pernah tanam bunga,”
“Hah? Tak pernah tanam bunga? Kamu ni… buat malu saja. Tanam bunga pun tak tahu. Perempuan… benda yang dia perlu tahu ada tiga. Tahu tak? Pertama, layan suami. Kedua, masak untuk suami. Ketiga, berkebun macam ni. Cantikkan rumah suami,”
Sabrina tersenyum.
“Semuanya untuk suami ya, Datin?,”
Datin Hamidah menjeling. Sabrina bergerak semula mendekati Datin Hamidah. Mencapai bekas menyiram bunga.
“Saya Cuma beli bunga dah siap dalam pasu je. Lepas tu, siram je la,”dia bersuara sambil menyiram bunga-bunga di dalam pasu. Perlahan-lahan agar aliran air tidak terlalu laju.
“Jangan banyak sangat airnya tu. Senangnya kerja kau ya? Dah tu, tak payah jaga? Tak payah nak letak baja? Nak payah nak tukar tanah sekali-sekala?,”
“Tak sempat. Sibuk memanjang. Yang sempat, Cuma siram ajelah. Kalau dah besar sangat, bagi kat jiran. Lepas tu, saya beli yang lain pula,”
“Sibuk? Sibuk apa? Sibuk pasang perangkap nak cari lelaki kaya? Macam kau buat pada Badrul?,”
Siraman Sabrina terhenti seketika. Hatinya sedikit tercalar dek kata-kata itu. Dia tersenyum seketika. Kemudian menyambung semula kerjanya yang terhenti. Kata-kata itu dibiarkan pergi bersama angin petang. Dia perlu terus tebalkan telinga. Butakan mata hati. Jangan sampai kata-kata itu membekas luka lagi di hatinya. dia mahu menjadi gadis kuat. Tidak mahu lagi lemah seperti dulu.
“Bunga apa yang Datin paling suka ya?,”dia bersuara lagi. Mencari tajuk perbualan yang lain.
“Yang kau Nampak, bunga apa yang paling banyak?,”
“Mawar,”
“Dah, itulah bunga kesukaan aku,”
Sabrina tersenyum. Memang halaman rumah Datuk Hamidi penuh dengan pelbagai jenis bunga mawar. Pelbagai warna dengan susun atur yang cantik.
“Mak saudara saya pun suka tanam bunga mawar. Kat halaman rumah penuh dengan bunga mawar. Macam-macam jenis. Tapi, kata Maksu saya, susah nak jaga bunga mawar ni,”
“Betullah tu. Memanglah susah nak jaga bunga mawar ni. Senang dapat penyakit. Kena jaga betul-betul.,”
Sabrina tersenyum. Selintas, dia teringatkan Mak Su. Rindu pada wanita itu.
“Kat dalam rumah, penuh dengan bunga mawar. Dia suka jambangan segar bunga mawar tu. Sama macam Datin. Tapi, tak adalah banyak macam dalam rumah ni. Kalau kebetulan banyak mawar yang berbunga, banyaklah jambangannya. Kalau tak, sikit sajalah,”
Datin Hamidah tersenyum kecil. Pandai pula gadis ini mencari topik untuk menarik minatnya. Dia Cuma mendengar. Tidak mahu membalas bicara gadis itu. Rasa marah pada Sabrina masih membataskan keramahannya. Dia perlu waspada pada setiap tingkah Sabrina. Mungkin saja ada agenda tersembunyi yang sedang berlegar di kepala gadis itu. sebab itulah, Sabrina cuba berbaik-baik dengannya.
“Tapi, sekarang dah tak ada dah…,”
“Kenapa? Dia dah tak suka tanam mawar ke?,”
Sabrina tersenyum nipis. Memandang wajah Datin Hamidah. Buat seketika, dia dapat melihat, wajah wanita itu berubah. Sudah menajdi sedikit lembut. Tidak segarang sebelum ini.
“Dia dah tak ada…,”
“Oh….,”kata-kata Datin Hamidah terhenti di situ. Ada rasa terharu. Tetapi, semuanya disimpan di hati. Tidak mahu diluahkan.
“Dah siram semua ni. Lepas tu, Datin nak saya buat apa?,”
Datin Hamidah tersentak kecil. Suara Sabrina yang kembali ceria, membuat dia tersedar dari lamunan.
“Aku nak susun bunga ni, kat tepi tangga tu. Boleh ke kau angkat semua pasu ni?,”
“Boleh,”
“Jangan cakap aku dera kau pula,”
Sabrina tersengih.
“Tak adalah. Mana ada dera. Sesekali angkat pasu, boleh excersice,”Sabrina bersuara ceria. Memandang pasu bunga yang agak besar, yang tersusun di hadapannya. Dia tunduk. Cuba mengangkat pasu di hadapannya. Tidak bergerak. Berat.
“Tak larat ke?,”soal Datin Hamidah sambil meratakan tanah di dalam pasu bunga yang terakhir.
“Beratlah,”balas Sabrina tersengih.
“Kau angkat saja yang kecil sikit tu. Yang ni, tinggalkan. Nanti Rahman balik suruh dia yang alihkan,”
Sabrina mengangguk. Bergerak pula ke arah pasu berisi bunga dahlia. Perlahan dia mengangkat pasu tersebut. Masih juga berat. Tetapi, mampu untuk dia angkat. Perlahan-lahan dia membawa ke sudut tangga yang agak kosong. Satu persatu diangkat dan disusun. Datin Hamidah pula Cuma mengerling sesekali. Tidak bermaksud untuk memberi arahan lagi. Dia berpuas hati dengan cara Sabrina menyusun bunga dahlia yang baru dia tanam itu. Cantik dan tersusun.
“Sibuk nampak,”
Datin Hamidah mengangkat muka. Badrul tersenyum.
“Hai…baru balik? Mana Dayana?,”
Badrul diam. Memandang Sabrina yang tekun menyusun pasu. Cuma sekilas Sabrina memandangnya. Kemudian gadis itu kembali menumpukan perhatian pada pasu-pasu yang sedang disusunnya.
“Sabrina,”
Sabrina berpaling.
“Kenapa Datin? Datin nak tukar susunannya ke?,”
“Tak Nampak ke suami kamu baru balik ni? Ajak dia masuk. Sediakan minuman,”
Sabrina diam. Memandang wajah Badrul yang jelas kelihatan sedikit penat. Lelaki itu Cuma pulang sendirian. Barangkali Dayana terpaksa kerja sehingga ke malam lagi. Memang terlalu jarang kereta Dayana dan Badrul sama-sama masuk ke halaman ini. Dayana kelihatan sering sibuk. Kalaulah dia boleh sesibuk Dayana, pasti kesunyian yang menemaninya akan beransur pergi.
“Sabrina. Kamu dengar tak?,”
Sabrina tersentak. Suara Datin Hamidah sudah sedikit tinggi. Dia sempat mengelamun rupanya.
“Awak nak minum ke?,”soalnya sambil menyapu peluh yang mula memercik di dahi. Badrul tidak menjawab. Cuma mata teralih pada ibunya semula. Sebelum kembali menyapu wajah Sabrina.
“Tak apa. Kau teruskan kerja. Aku boleh masuk sendiri. Lagipun aku nak duduk sini sekejap,”
“Mama nak minum?,”Badrul bertanya setelah agak lama menjadi pemerhati.
“Sekejap lagi. Kamu nak minum, pergilah masuk. Suruh Sabrina siapkan,”
“Tak payah. Dah datang pun minumannya,”ujar Badrul sebaik melihat Jamilah keluar bersama dulang minuman. Melangkah santai ke meja berhampiran porch.
“Datin, saya bawakan minum petang ni,”
“Yalah. Terima kasih, Milah,”
Jamilah tersenyum sambil berlalu. Sempat matanya terpandang ke arah Sabrina yang tekun dengan bunga-bunganya. Dan ke arah Badrul yang tekun mengamati wajah Sabrina di dalam diam. Membuat dia tersenyum sendiri. Kadang-kadang sedikit hairan dengan perangai Badrul.
“Bad…,”
Badrul tersentak. Panahan matanya segera dialih.
“Kenapa mama?,”
Datin Hamidah tersenyum kecil. Dalam geram melihat Badrul leka merenung Sabrina, hatinya turut digaru rasa lucu. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu. Perlahan dia mengangkat punggung. Menanggalkan sarung tangan yang dia pakai. Badrul pula, bergerak malas ke arah meja. Berharap agar ibunya tidak sedar akan keterlanjurannya matanya sebentar tadi. Ibunya hilang dari pandangan. Mungkin ke dapur membasuh tangan. Syukur, ibunya tidak perasan.
“Kau tak nak minum ke?,”
Sabrina menoleh. Perlahan dia menggeleng. Ikutkan perasaan, dia mahu masuk ke bilik. Tinggalkan Badrul di situ. Tetapi, dia terikat dengan kerja yang dititipkan Datin Hamidah. Hendak tidak henadak, terpaksa dia berdepan dengan Badrul lagi.
Mendengar jawapan itu, Badrul menjungkit bahu sambil mencapai Nescafe di hadapannya. Sudah hampir tiga minggu rasanya dia tidak melihat wajah itu. Tiap kali dia pulang, Sabrina sudah sepi di biliknya. Kadang-kadang hairan, bagaimana sekali pun dia tidak bertembung dengan Sabrina? Padahal mereka berkongsi bumbung yang sama. Sabrina memang sengaja lari darinyakah? Kali terakhir dia berbual dengan Sabrina, pada malam dia meminta itu dan ini daripada Sabrina. Hampir pukul dua pagi, Sabrina menunggunya menghabiskan Maggie goreng yang Cuma sepinggan.
“Lambat lagi ke? Saya nak tidur ni,”
“Tunggulah. Tunggu aku habiskan. Lepas tu, kau simpan semua ni,”
“Cepatlah sikit. Lamanya awak makan. Bukan ada tulang pun Maggie tu,”
“Sabarlah. Pedas ni. Kau tahu tak? Kan aku dah cakap. Jangan buat pedas sangat,”
“Mana ada? Saya tak letak cili pun. Letak sos saja. Mana ada pedas…,”
“Aku cakap pedas..pedaslah. Betul ke kau tak letak cili ni?,”
“Betullah. Kalau pedas tak payahlah makan. Buang sajalah,”
“Kau ingat aku tipu ke? Aku yang makan. Aku tahulah. Kalau tak percaya, kau rasa,”pantas dia bersuara sambil menyuakan sudu berisi Maggie goreng ke mulut Sabrina. Cepat-cepat Sabrina mengelak.
“Makanlah,”
“Tak naklah. Saya nak masuk tidurlah,”
“Makan…,”gesa Badrul sambil terus menyuakan sudu ke mulut Sabrina. Sudah tidak tahu ke mana hendak di alihkan mulutnya, akhirnya Sabrina membuka mulut. Menjamah Maggie yang disuap Badrul. Badrul tersenyum. Makin lebar senyumnya bila melihat wajah Sabrina memerah. Senyumnya menghilang melihat wajah itu semakin memerah.
“Kenapa?,”
“Pedas!,”Sabrina bersuara sambil mengibas mulut dengan tangan.
“Kan aku dah cakap, pedas…,”
“Nak air. Nak air….,”laju Sabrina bersuara. Air mata sudah merembes ke pipi. Kalut Badrul berdiri membawa air suam ke mulut Sabrina. Sekelip mata, air di dalam gelas kering. Badrul tergelak. Lucu melihat wajah Sabrina yang merah menyala. Bukan setakat muka. Tetapi, dengan hidung dan mata sekali bertukar ke warna merah. Pipi pula basah dengan air mata. Pasti tidak tahan minum air suam yang disuap sebentar tadi.
“Pedas sangat ke? Ke, kau yang tak tahan pedas?,”
Laju Sabrina mengangguk. Tidak pasti anggukan itu untuk soalan yang mana. Laju juga tangan Sabrina mencapai gelas milo shakenya yang baru sedikit terusik. Terkebil-kebil dia melihat gelas milo yang sudah kering.
“Aku nak lagi milo tu,”
“Pedaslah, awak,”
“Kau kata, tak letak cili,”
“Memanglah,”
“Dah tu, kenapa boleh pedas,”
Sabrina diam. Dia pula leka memandang wajah Sabrina yang kelihatan berfikir sambil tangannya terus mengibas mulut.
“Agaknya bawang dalam peti tu, Kak Milah campur dengan cili padi kot,”
Badrul tergelak. Perlahan dia memukul kepala Sabrina.
“Bodohlah kau ni. Memanglah. Mama memang suruh Kak Milah campur cili padi, kalau dia nak blender bawang. Sebab semua orang dalam rumah ni, suka pedas,”
“Tapi, awak cakap, awak tak nak pedas. Tak suka pedas,”Sabrina bersuara sambil mencapai tisu. Mengesat hidung yang berair. Juga wajahnya yang berpeluh-peluh.
“Aku tipu je,”
Dia perasan wajah marah Sabrina. Wajah geram gadis itu. wajah yang membuat senyumnya semakin lebar. Perlahan dia menyentuh bibir Sabrina. Mengelap kesan milo di sudut bibir gadis itu.
“Sorrylah. Aku tak tahu kau tak tahan pedas. Kalau tak, aku tak suap tadi,”
“Saya nak pergi minum air lagi,”
Pantas Sabrina berdiri.
“Kejap,”dia bersuara sambil turut berdiri. Melangkah rapat ke arah Sabrina, sambil menyentuh bibir gadis itu sekali lagi. Namun, Sabrina pantas mengelak.
“Ada lagi kesan milonya tu. Minum macam budak-budak…,”
“Saya buang sendiri,”
Sabrina terus berlalu. Tinggalkan dia termangu sendiri.
“Aduh!,”
Badrul tersentak. Peristiwa hampir tiga minggu lalu, hilang tiba-tiba. Dia kembali ke alam nyata. Di porch, bersama Sabrina. Dia memandang Sabrina yang terduduk.
“Ya ALLAH. Puan, kenapa ni?,”
Sebelum sempat dia bertanya, Jamilah yang sedang membersihkan kerja yang Datin Hamidah tinggalkan, laju bertanya. Laju juga perempuan itu mendapatkan Sabrina.
“Sakitlah, kak,”
“Kenapa? Kenapa tu, Kak Milah?,”
“Entahlah Encik Badrul,”
Badrul mengangkat punggung. Mendekati Sabrina yang sudah terduduk. Matanya memandang pada pasu yang pecah.
“Kenapa Sabrina?,”soalnya sambil melutut di hadapan Sabrina.
“Tak ada apa-apa. Pasu terjatuh,”laju Sabrina menjawab sambil menutup kakinya. Mengundang curiga di hati Badrul.
“Kenapa kaki tu?,”
Sabrina menggeleng.
“Tak ada apa-apa. Sikit je. Awak tak payah risau. Kak Milah ada,”
Badrul merenung tajam. Melihat wajah itu, jelas Sabrina menahan sakit.
“Cuba bangun. Aku nak tengok,”
“Hah?,”
“Bangun,”
Sabrina kelu. Bagaimana dia hendak bangun? Pasti semakin laju darah keluar nanti. Sengal pun sudah mula terasa. Betul-betul sakit apabila pasu bunga yang terlepas dari tangannya jatuh betul-betul di atas kakinya. Dan, dia yakin tapak kakinya tekena serpuhan pasu semasa dia melompat menahan sakit sebentar tadi.
“Bangun,”arahan Badrul sudah mula meninggi. Sabrina menelan liur. Memandang wajah Jamilah. Perlahan dia berpaut pada bahu Jamilah.
“Tolong saya ya, Kak Milah,”
Jamilah mengangguk.
“Kak Milah ke tepi. Tak payah tolong dia. Dia kata dia tak apa-apa kan?,”
Jamilah terpinga-pinga. Sabrina mengerutkan kening. Melihat renungan tajam Badrul, Jamilah bergerak ke tepi. Membiarkan Sabrina cuba berdiri. Namun, gagal. Akhirnya, gadis itu terduduk semula.
“Darah tu, Encik Badrul,”
Badrul menarik tangan Sabrina yang menutup kaki. Tergamam seketika melihat kaki putih itu sudah bertukar biru. Dibeleknya. Darah mengalir laju dari tapak kaki Sabrina. Patutlah terduduk semula. Memang tidak boleh bangun rupanya.
“Kak Milah. Bagi saya kain tu,”
Segera Jamilah menghulurkan tuala yang memang hendak digunakan untuk mengelap peluhnya pada Badrul. Dengan hati-hati Badrul membalut kaki Sabrina. Sabrina pejam mata. Menahan pedih dan sakit.
“Kenapa ni? Apa yang bising tadi?,”Datin Hamidah muncul di muka pintu. Bulat matanya. Terkejut melihat pasu bunganya yang pecah. Dan bunga dahlianya yang bertaburan.
“Maaf, Datin. Pasu tu terlepas dari tangan,”cepat Sabrina bersuara. Gusar akan dimarahi. Datin Hamidah meninjau lebih dekat.
“Si Sabrina ni tak apa-apa ke, Bad?,”soalnya pada Badrul.
“Kaki dia luka. Lebam sikit. Terhempap pasu agaknya,”
“Dah, cepat bawa masuk ke dalam,”arah Datin Hamidah sambil memberi ruang untuk Badrul melangkah. Sabrina diam. Tangannya memegang bahu badrul yang masih melutut di hadapannya. Cuba untuk berdiri. Memang dia perlukan bantuan untuk berlajan. Namun, hatinya sedikit tersentap apabila Badrul menolak perlahan tangannya. Perlahan dia mengangkat muka. Memandang wajah Badrul. Aneh. Kalau tidak sudi membantu, buat apa Badrul duduk di sini? Dia memandang pula ke arah Jamilah. Mahu meminta bantuan. Baru sahaja ingin membuka mulut, dia tergamam. Serentak dengan degupan jantung yang seakan tidak mahu berhenti. Laju. Tersangat laju. Betul-betul dia terkejut apabila Badrul menarik tangannya. Melihat wajah terkejut itu, Badrul tersenyum kecil. Kedua-dua tangan Sabrina dilingkarkan ke bahunya Kemudian, tangannya erat memeluk belakang Sabrina sambil sebelah lagi diletakkan di bawah lipatan lutut Sabrina. Dia mendukung Sabrina. Membawa masuk ke dalam bersama bibir Sabrina yang betul-betul kelu.
****

27 comments:

Anonymous said...

wah bestnyer...."CInta sudah mual berputik ya??"

Anonymous said...

heee
bestnya..

Anonymous said...

kasi lg rmntik lah
bru xtdo mlm.heeee

nana_yoong said...

nice...sabrina2..nasib semakin menyebalahi awak.. btl kate kak hanni.. xsemestinya sabrina bertindak agresif untuk menambat hati org sekelilingnya.. cukupla sabrina menjadi sabrina sekarang.. lemah lembut @ akur pada takdir yang selalu kurang menyebelahinya..

congrate to writer n sabrina.. hehehhe

Anonymous said...

best2 nak lg....

misz nana said...

"Menjamah maggie yang disuap Badrul."
wahh.. sempat lagi wat adegan romantika pagi2 buta.. hehehe..

"Perlahan dia menyentuh bibir Sabrina. Mengelap kesan milo di sudut bibir gadis itu."
uishh! ni lagi romantik! gila kentang punya romantik! hahaha..

"Dia mendukung Sabrina."
Ini dah terlebih romantik! Saya sukaaaa! wakakaka..
harap2 dayana nampak kejadian tu ke..
baru padan muka dia!

Anonymous said...

bestnya kak hanni....
thnks..
soooo sweeetttt....:)

LeaQistina said...

i'm smiling.. ;)

atie md said...

thanks kak hanni ... best n3 ni...suke sgt sbb bad dah lembut hati kat ina.. nampaknya datin pun mula terbit rasa syg kat ina gak... lps ni buat bad n datin lbh prihatin kat ina yee... biarkan yana sibuk dgn dunia dia..

Anonymous said...

sweeetnyerrr...hehe.

atashinci said...

xtau nk ckp pe...tpi
senyum xleh brenti ni.....
cm ne ni......

Anonymous said...

waa besh2...!
sweet~

Anonymous said...

wahhh..
aku da mula tbyg2 cam aku di tmpt ina..
angau2..
syabas kak hanni..

Anonymous said...

bestnyer...kak hanni cepat2 smbg ea..comel sgt sabrina kena dukung tu..hehee...

Anonymous said...

waa....bestnye kak hanni....
hehe..
akhirnye bad tu dah mula caring kat ina..
datin pun same...
bagus2...gud job....

-belacansedap-

-Ain-Dak In- said...

ahah...
mak bad cam dah suka je kat ina tu..
x marah pon pasu dia pecah..
huhuhu...

Anonymous said...

datin hamidah mcm dh suke sikit kt ina
bagus la ek . hehe
bad lak aww makin jatuh cinta dgn ina haha !

❤❤sωɨт ɦɑииɑ❤❤ said...

wow..

itu jer dpt sy sbt..
hehe..

Anonymous said...

wow,,,,mcm2 comment's tue!!!saya meyha ni pun sama lah mcm d.org semua best sgt angau2 sgguh lah k.hanni oooooooooooooiiiiiiit

Anonymous said...

bagus2.. comel citee nie.. tapi bila la sabrina tu nak kerja.. sian la
dok terperuk kat umah je.

Anonymous said...

best ah citer ni..bile nk kuar novelnye?xsabar ah nk baca penuh...

Anonymous said...

bestnya... suka sangat, ada komunikasi antara datin hamidah dan sabrina..

Anonymous said...

dah 10 jam aku senyum ni...kebas mulut jdik nyer.... best nyer.....mau lagi....

Anonymous said...

so sweet....
bad dukung sabrina
chayok...chayok...chayok kak hanni :)

Unknown said...

waaaaaaaaaaaa.....skenye n3 ni...besh gile2..mmg snyum srg2 je..tbe2 rse cm dri smdiri lak jd ina..wakakaka..bad dh mule tnjuk prasaan die kt ina ni..pttnye yana tgk mse bad dukung ina 2..bru pdn muke..bz sgt..huhuhu..cpt2 la smbung k.hanni..x sabonye..hehehe

Anonymous said...

romantiknye bad... x jadila nak telan die.

tapi yang x besnye... bad dahpun sah jd suami yana...

2 y x bes.. x baik r ina dimadukan

♥corcraze♥ said...

cume nak tego skit kak hanni..
dari awal cite ni ade byk gak ksalahan ejaan,so harap sblm anta manuskrip suke ok keh!!

besttt!!!ths kak hanni!!

[11:35:50 PM] hos.getah: