Saturday, January 3, 2009

Pergilah Air Mata 8


Sabrina menatap plastik ubat di atas meja kecil di sebelah katilnya. Kemudian dia menatap pula luka di kedua-dua telapak tangannya. Sudah disapu ubat luka. Mungkin esok atau lusa, luka itu akan menjadi parut. Cuma punggungnya masih terasa sengal. Masih sakit. Dia mengeluh perlahan. Ketukan di pintu bilik, memaksa dia menoleh. Sedikit malas, dia mengangkat punggung, bergerak ke arah pintu. Daun pintu dibuka perlahan.
“Abah…,”
Datuk Hamidi mengukir senyum.
“Mama cakap Ina jatuh. Teruk ke?.”
Sabrina tersenyum. Perlahan dia menggeleng. Dia melangkah keluar sambil menutup pintu bilik.
“Teruk ke?,”
“Taklah. Sikit je, abah,”
“Macam mana boleh jatuh?,”
Sabrina menggaru kepala yang tidak gatal. Datuk Hamidi bergerak ke sofa. Memberi isyarat agar dia turut melabuhkan punggung di situ. Sabrina akur. Terus melabuhkan punggung ke sofa, bertentangan dengan Datuk Hamidi. Datuk Hamidi menghela nafas buat seketika.
“Macam mana boleh jatuh?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibir bapa mertuanya itu.
“Terlanggar batu. Saya terlanggar batu,”jawab Sabrina ringkas.
“Bukan sebab bergaduh dengan Bad? Bad tak kasari Ina, kan?,”
Laju Sabrina menggeleng. Laju juga jemarinya menutup lengan yang lebam. Tidak mahu Datuk Hamidi melihat lebam di lengannya.
“Betul?,”
Sabrina mengangguk.
“Badrul tu panas paran. Abah risau kalau-kalau dia tak dapat kawal emosi dia. Sebab, abah tengok kebelakangan ni, dia macam terganggu. Sering memberontak,”
Sabrina mengukir senyum.
“Abah tak suka anak abah ringan tangan memukul isteri. Kalau Bad ada buat macam tu pada Ina. Beritahu abah. Jangan rahsiakan,”
“Tak adalah…,”
“Kenapa? Abah ingat anak mama tu jahat sangat?,”
Belum sempat Sabrina menghabiskan kata-kata, lantang suara itu memecah keheningan malam. Sabrina diam. Mematung di sofa sambil memandang wajah Datin Hamidah yang cukup mencuka. Marah apabila Datuk Hamidi menuduh anak lelakinya.
“Mama…,”
“Abah dengar sini. Mama kenal sangat anak mama. Anak mama bukan jenis lelaki yang pukul perempuan. Jangan nak mereka cerita pasal Badrul pula. Mama tak suka. Anak mama baik. Cuma tak tahu apa malangnya terpaksa pula kena kahwin dengan perempuan murah ni,”
“Jaga sikit mulut tu…,”
“Kenapa? Tak betul apa mama cakap tu? Kenapa Abah tiba-tiba baik sangat budak ni? apa yang dah dia jampi kat abah? Mengikut saja apa kata dia…,”
Sabrina tunduk. Cuba pekakkan telinga mendengar kata-kata itu. Cuba menasihati minda agar kata-kata yang menerpa di telinga itu tidak dicernakan. Tidak mahu hati terus merintih sedih sebenarnya. Dia harus kuat hadapi semua ini. Kerana sekarang Cuma dia yang boleh membantu dirinya sendiri. Dia sudah tidak mempunyai sesiapa lagi. Dia sudah kehilangan insan-insan yang sentiasa berada di belakangnya.
“Tak baik cakap macam tu, mama,”
“Dah tu, abah tu? Cakap anak kita macam tu, baik sangat ke?,”soal Datin Hamidah geram. Datuk Hamidi menggeleng perlahan.
“Midah… kita kenal anak kita. Kita kenal Badrul. Abah Cuma tak nak dia khilaf dalam amarahnya sendiri,”
“Badrul tahu kawal dirinya. Lagipun, kalau dia yang pukul budak ni, takkan dia pergi hantar ke klinik,”
“Tak. Saya jatuh abah…Datin… Saya terjatuh. Badrul tak pernah pun mengasari saya. Mungkin dia marah pada saya. Tapi, dia tak pernah kasari saya,”
“Memanglah. Sebab anak aku tu, baik… Anak aku tu anak orang baik-baik,”sinis Datin Hamidah menyampuk. Sabrina tunduk.
“Mama… Kalau setakat nak bertengkar, baik mama jangan duduk di sini,”
“Haii… menghalau mama pula? Mula-mula halau mama dari ruang ni. Nanti, halau mama dari rumah ni pula ya? Pandai kau pengaruhi suami aku ni, ya?,”
“Mama…,”
“Yalah. Mama pergi. Mama pun tak ingin nak tengok muka menantu kesayangan abah ni. Abah pandanglah menantu abah ni puas-puas,”Datin Hamidah bersuara sambil berlalu. Sabrina menarik nafas panjang.
“Ina…,”
“Saya tak apa-apa, abah. Jangan bimbang,”
“Mama tu, baik sebenarnya. Cuma…Ina bagilah dia sedikit masa. Semua yang berlaku ni, buat dia terkejut. Buat dia susah nak terima kenyataan. Abah yakin Ina boleh faham keadaan mama,”
“Saya faham, ayah,”balas Sabrina perlahan. Memang dia faham perasaan semua orang. Siapa yang suka dengan apa yang berlaku ini? Tiada sendiri pun tidak pernah meminta semua ini menimpanya. Cuma, malangnya manusia di sekeliling sahaja yang tidak pernah nahu belajar memahami dirinya juga.
“Petang tadi, Ina pergi ambil kereta kan? Mana keretanya?,”
“Badrul minta orang yang pergi ambil nanti…,”
“Kenapa? Kan Ina boleh drive sendiri?,”
Sabrina termangu. Apa yang hendak dia jawab? Takkan dia hendak bercerita tentang Badrul yang hampir bertumbuk dengan Ikmal.
“Tangan Sabrina dah macam tu. Macam mana nak drive?,”
Sabrina menoleh. Badrul tercegat di hujung tangga. Mendengar pernjelasan Badrul, Sabrina tidak berminat untuk bersuara. Jelas Badrul cuba sembunyikan pekung di dada. Mahu rahsiakan apa yang terjadi daripada pengetahuan bapanya.
“Kamu dari mana ni?,”Datuk Hamidi bertanya tiba-tiba.
“Keluar. Jumpa kawan,”
“Tiap-tiap malam keluar jumpa kawan?,”
Badrul menjungkit bahu sambil melangkah menuju ke bilik.
“Duduklah dulu,”
“Saya nak mandilah, abah. Rimas rasanya ni,”
Datuk Hamidi tidak bersuara lagi. Sekadar membiarkan Badrul terus berlalu. Sabrina pula lebih senang menjadi pemerhati. Dia mengerti maksud kata-kata Badrul. Dirinya yang membuat Badrul rimas sebenarnya.
“Ina?,”
Sabrina tersentak kecil.
“Kenapa ni?,”
“Ha? Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa, abah,”
“Ina dengan Badrul macam mana sekarang?,”
Sabrina tersenyum. Diam. Soalan itu dibiarkan sepi. Rasanya bapa mertuanya itu pun sudah maklum akan situasi sebenar perkahwinan anak tunggalnya itu. Tidak perlu rasanya untuk dia membuka cerita. Satu rumah itu pun sudah maklum.
“Badrul ke mana tadi tu?,”
Sabrina menggeleng.
“Takkan dia tak beritahu Ina, ke mana dia nak pergi?,”
Sekali lagi Sabrina menggeleng. Memang dia tidak tahu. Badrul tidak beritahu apa-apa kepadanya. Dia faham. Dia tidak berhak untuk mencampuri urusan hidup Badrul. Urusan peribadi Badrul.
“Ina belajarlah sesuaikan diri. Abah yakin, lama- kelamaan baik Ina atau pun Badrul… kamu berdua pasti dapat terima kenyataan,”Datuk Hamidi bersuara tiba-tiba.
Sabrina mengeluh perlahan. Kata-kata Datuk Hamidi kedengaran cukup mudah. Penuh dengan harapan kebahagiaan. Namun, realitinya semudah itu kah? Dia tidak Nampak walau sedikit cahaya kebahagiaan pun di dalam ikatan perkahwinan yang baru dia meterai itu. dia sendiri pun, tidak tahu apa sebenarnya yang dia harapkan daripada ikatan ini? Perkahwinan ini membuat perasaannya mati. Membuat dia terperangkap dia dalam lorong yang amat gelap. Terlalu gelap, sehingga dia tidak tahu di mana harus dia mulakan langkah. Tidak Nampak arah yang perlu dia tuju.
“Abah rasa, mungkin kamu berdua patut luangkan masa bersama. Luangkan masa berdua. Barangkali itu boleh membantu,”
Sabrina memandang wajah Datuk Hamidi dengan kening yang berkerut. Tidak faham maksud kata-kata lelaki itu.
“Maksud abah?,”
“Spend more time together. Honeymoon?,”
“Hah?!,”spontan soalan terkejut itu terpacul dari bibir Sabrina.
“Kita tak boleh mengharapkan sesuatu perkara itu berubah menjadi baik dengan hanya berserah saja. Kita kena berusaha ke arah itu. Abah rasa honeymoon satu usaha yang baik. Mungkin kamu berdua boleh lebih mengenali diri masing-masing,”
“Tak payahlah, abah,”
“Bincanglah dengan Badrul. Nanti beritahu abah. Abah akan sponsor honeymoon kamu berdua. Anggaplah ini hadiah perkahwinan dari abah,”
Sabrina tersenyum kelat. Tidak masuk akal saranan bapa mertuanya itu.
“Fikirkan cadangan abah ni,”Datuk Hamidi bersuara sambil mengangkat punggung. Sabrina Cuma mendengar. Tiada reaksi yang dia berikan. Fikirkan? Sabrina tersenyum sinis. Sebaiknya dia fikirkan bagaimana caranya untuk dia akhiri semua ketegangan yang timbul ini. Fikirkan bagaimana caranya untuk dia akhiri perkahwinan penuh khayalan ini. Dia memandang kosong Datuk Hamidi yang berlalu menuju ke biliknya. Kemudian dia termangu sendirian di sofa. Tidak tahu mahu dihayun ke mana langkah kakinya. Mahu masuk ke bilik, dia tidak mahu mengganggu Badrul. Sudahnya, dia bergerak ke balkoni. Menikmati kegelapan malam di situ. Rasa mengantuk yang menjengah, ditahan. Tunggulah sehingga Badrul lena. Itulah rutin hariannya kini.
“Ek hem…,”
Sabrina menoleh. Badrul tercegat di belakangnya. Santai bersama track suit dan t-shirt hitamnya. Baru selesai mandi barangkali. Seketika kemudian, dia kembali menebarkan pandangan pada kegelapan malam. Badrul bergerak ke pagar balkoni. Bersandar sambil memandang Sabrina yang leka melayan menungnya.
“Macam mana? Sakit lagi ke?,”
Sabrina mengalih pandangan. Merenung tepat ke wajah Badrul. Bukan sedikit hairan yang membukit di benaknya saat ini. Hairan melihat perubahan Badrul yang mendadak. Lembut bicara lelaki itu
“Tak. Sikit saja,”jawab Sabrina pendek.
Badrul mengeluh panjang.
“Apa kau cakap dengan abah?,”
“Tak ada apa-apa,”
“Ada abah Tanya pasal kita?,”
“Macam biasalah. Saya rasa dengan awak pun, abah Tanya soalan yang sama,”
“Kalau boleh jangan selalu sangat bersembang dengan abah,”Badrul bersuara tanpa memandang wajah Sabrina. Sabrina merenungnya hairan.
“Kenapa?,”
“Aku tahu. Kau cuba pengaruhi abah kan? Sebab, dalam rumah ini, Cuma abah saja yang beri perhatian pada kau,”
Sabrina mengeluh perlahan. Tuduhan tidak berasas lagi.
“Awak… saya nak minta maaf pasal petang tadi. Saya tak bermaksud nak tengking awak. Tak tahu kenapa. Tiba-tiba saya hilang sabar,”Sabrina bersuara tanpa menghiraukan tuduhan Badrul.
Badrul tersenyum sinis. Entah kenapa, sakit hatinya melihat senyuman lelaki itu.
“Siapa yang boleh sabar kalau buah hati kena kutuk. Ya tak?,”sindir Badrul pedas. Sabrina merenung wajah itu buat seketika. Akhirnya dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Malas melayan bicara Badrul yang menyakitkan hati.
“Bila lagi kau nak jumpa dengan dia?,”
Sabrina diam. Badrul tergelak. Gelak yang membuat Sabrina berasa tersindir. Memang Badrul tetap tidak mempercayai kata-katanya. Masih menganggap dialah punca segala insiden memalukan itu.
“Kalau awak tak percaya pada saya, saya rasa, baik kita tamatkan semua ni. Buat apa kita saling tuduh- menuduh, kemudia bertengkar? ,”
“I told you, jangan harap,”
“Kenapa?,”
“Sebab ini yang kau mahu kan? Kan kau nak hidup bersama aku. Kau dah rancang nak kena tangkap basah dengan aku. Jadi, takkan aku nak kecewakan kau, kan?,”
“Suka hatilah awak nak cakap apa,”
“Tengok tu. Tiba-tiba kau dah jadi kuat ya? Kalau tak asyik dengan air mata saja,”
Sabrina diam lagi. Dia nekad, untuk terus membiarkan kata-kata pedih itu berlalu pergi. Tiada guna dia pertahankan kebenaran, kalau tiada siapa yang mahu menilainya. Tiada guna dia terus menangis kalau tiada siapa yang sudi memujuknya. Tiada guna dia terus bertelagah kalau akhirnya dia tersungkur di kaki amarah. Biarlah dia menjadi pemerhati untuk setiap tindakan. Melatih kesabaran biar menebal di hatinya yang parah.

****

No comments:

[11:35:50 PM] hos.getah: