Saturday, January 3, 2009

Pergilah Air Mata 7


Berdentum Badrul menghempas pintu kereta. Cukup untuk membuat Sabrina tersentak. Tubuhnya menggigil tiba-tiba. Dia kaku di dalam kereta. Takut untuk melangkah keluar. Pantas matanya meliar memandang sekeliling. Sunyi sepi kawasan itu. Tiada manusia lansung. Cuma dia dan Badrul sahaja di situ. Janganlah amarah Badrul membawa malapetaka lain pula padanya. Dadanya berombak kencang. Betul-betul takut berdepan dengan emosi Badrul. Dia memandang Badrul yang mundar-mandir di luar kereta. Dari tadi, tiada sepatah perkataan pun keluar dari bibir lelaki itu. Dia tahu Badrul terlalu marah. Dia terkejut besar apabila tiba-tiba tangan Badrul mengetuk cermin kereta. Tajam mata lelaki itu menikam wajahnya.
Gerakan tangan Badrul jelas memberi arahan agar dia keluar dari kereta. Perlahan dia menelan liur. Perlahan juga dia menolak pintu kereta. Bergerak keluar dari perut kereta. Badrul merengus marah. Terasa tercabar dengan perbuatan Sabrina. Terasa tercabar dengan permainan Sabrina. Dia yakin, apa yang sedang bermain di fikirannya benar belaka. Sabrina pula tunduk memandang rumput di kakinya.
“Kenapa aku?,”
Dalam takut, Sabrina memberanikan diri mengangkat muka. Berlaga pandangan dengan Badrul.
“Dalam banyak-banyak lelaki dalam dunia ni, kenapa aku? Kenapa aku yang kau pilih jadi mangsa kau?,”
Sabrina diam. Mulai faham maksud soalan Badrul. Badrul terus menuduhnya seperti selalu. Perlukan dia berusaha untuk membela diri lagi? Walhal dia tahu, Badrul akan menolak mentah-mentah apa saja penjelasan yang keluar dari bibirnya.
“Kenapa aku?!,”tengking Badrul marah. Bergerak bahu Sabrina menahan rasa terkejut. Membuat dia sebak lagi. Takut dimarahi sedemikian rupa. Walau cuba ditahan, air mata menitis tiba-tiba.
“Awak… kan saya dah cakap…,”
“Aku tak percaya! Aku tak percaya pada cerita kau. Aku yakin kau memang bersubahat dengan kekasih kau tu kan? Dah lama buat kerja macam ni? Jalan paling mudah nak dapatkan wang. Kan?,”
“Awak tahu tak? Tuduhan awak tu dah melampau…,”Sabrina memberanikan diri melawan. Tuduhan Badrul semakin menghinanya. Sampai bila dia harus menerima penghinaan sebegitu?
“Apa? Dah melampau? Kau cakap dah melampau? Kau tahu tak, apa yang kau buat ni, lebih melampau! Kau yang melampau sebenarnya. Kau musnahkan hidup aku! Masa depan aku!,”
Sabrina mengangkat muka. Membalas renungan Badrul dengan renungannya yang tidak kurang tajamnya. Terasa benteng kesabarannya semakin menipis. Entah dari mana, tiba-tiba dia terasa ada satu kekuatan yang luar biasa yang mendorongnya untuk melawan. Dia sudah penat menangis. Tangisan tidak membawa dia ke mana-mana. Tangisannya membuat maruahnya semakin diinjak-injak oleh manusia sekelilingnya.
“Baik awak jaga sikit kata-kata awak,”dalam lembut kata-kata itu meniti di bibirnya.
Badrul menentang renungan itu. Sedikit terkejut sebenarnya dengan kata-kata Sabrina. Sabrina sudah berani member amaran padanya. Malangnya, dia tidak takut pada amaran itu. Saat ini, apa yang bergelora di hatinya lebih menggamit emosinya.
“Kenapa? Salah ke apa yang aku cakap tu? Aku tak rasa aku salah. Kau perangkap orang kaya untuk dapat wang. Wang untuk kau dan kekasih hati kau tu. Kan? Kau tahu tak? Sebenarnya, kau ni bodoh! Sanggup menggadai maruah untuk lelaki tak guna macam tu. Sampai bila kau nak buat kerja macam ni?,”
“Baik awak diam. Saya tak suka awak cakap macam tu,”
Badrul tergelak sinis. Gelak yang tiba-tiba membakar hati Sabrina. Sabrina menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan hati sendiri.
“Kenapa? Kenapa tiba-tiba emosi ni? Biasanya kau Cuma tahu menangis saja,”
Sabrina diam.
“Saya rasa baik kita pulang. Tak guna kita saling menyalahkan,”Sabrina bersuara setelah agak lama berdiam diri. Tidak guna saling bertelingkah di situ. Saling menengking, rasanya tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Baik padanya atau pun pada Badrul.
“Senangnya. Mungkin senang pada kau, sebab apa yang berlaku ni, tak menyusahkan kau. Apa yang berlaku ni, memang rancangan kau. Tapi tak pada aku. Ini semua mimpi buruk pada aku. Kau tahu tak? Mimpi buruk… aku kehilangan segalanya sebab terjebak dalam perangkap kau,”
Sabrina menarik nafas perlahan.
“Saya nak balik,”
“Jangan harap. Aku takkan balik sehingga kau beritahu aku, kenapa kau pilih aku?,”
Sabrina mengangkat muka. Berpandangan dengan muka Badrul yang langsung tiada segarit ketenangan pun.
“Tak ada apa yang saya nak beritahu. Semuanya dah berlaku,”Sabrina cuba sedaya upaya untuk berlembut. Walau hatinya sudah mula membara dengan tuduhan demi tuduhan dari mulut Badrul, dia cuba sedaya upaya untuk menggunakan akal. Dia tidak mahu larut di dalam emosi seperti Badrul.
“Wah! Cepatnya kau redha dengan apa yang berlaku. Baru tiga minggu lalu kau menangis dan menangis dan menangis… Tiba-tiba hari ni, kau jadi tabah pula ya? Kenapa? Sebab dah jumpa buah hati?,”
“Diam!,”jerit Sabrina tiba-tiba. Badrul terkedu. Sabrina merenung tajam wajahnya.
“Diam! Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Tak nak! Faham?!,”
Badrul tersandar ke kereta. Terkejut sebenarnya. Sabrina bergerak menghampirinya. Hampir rapat padanya. Terkebil-kebil dia melihat Sabrina yang Cuma separas dadanya , mendongak menentang wajahnya.
“Awak cakap ini mimpi buruk awak? Kalau awak nak tahu ini malapetaka bagi saya! Awak cakap awak kehilangan segala-galanya?! Saya musnah! Saya musnah! Awak tahu tak?! Saya hilang maruah saya! Sekelip mata saya jadi perempuan tak bermaruah. Saya hilang kerjaya saya! Bertahun saya berusaha, sekarang semuanya lenyap. Saya hilang kawan saya! Saya hilang kekasih saya! Saya hilang semua kehidupan saya! Hilang semuanya! Awak faham tak! Saya hilang semuanya! Jadi awak jangan bercakap tentang siapa yang jadi mangsa dengan saya!,”
Badrul tergamam. Benar-benar kehilangan kata-kata mendengar jeritan Sabrina. Memang di luar jangkaannya.
“Kalau awak marah sangat dengan saya, lepaskan saya! Tak perlu terus menghina saya,”suara Sabrina sedikit mengendur.
“Jangan harap,”
Sabrina kembali memandang wajah Badrul. Tidak faham dengan sikap Badrul.
“Saya dah penat. Penat terus jadi bahan caci maki orang. Kalau tak suka, lepaskan saja. Buat apa nak saling bertengkar begini?,”
“Supaya kau boleh cari mangsa yang baru? Mangsa yang lebih bodoh? Lebih mudah ditipu,”
Sabrina mengeluh panjang. Tidak guna bercakap dengan Badrul. Sia-sia. Sia-sia jeritannya sebentar tadi. Dia sendiri tidak tahu daripada dia mendapat kekuatan untuk menghamburkan kemarahan itu. Dari mana sekalipun keberanian itu menjengah, ternyata sekarang dia berasa sedikit lega. Walau Badrul masih tidak mempercayainya, dia tetap berasa lega. Terasa beban yang menghimpit perasaannya menjadi sedikit ringan. Patutlah Badrul sering menengkingnya. Barangkali itu cara lelaki itu melampiaskan beban yang memberat di hati. Perlahan dia mengatur langkah. Bergerak menuruni kawasan berbukit yang sunyi itu. Membuat Badrul digaru sedikit rasa hairan.
“Woit!,”
Sabrina terus melangkah.
“Kau nak ke mana?,”
Melihat Sabrina terus melangkah tanpa berpaling, Badrul dilanda serba- salah. Tidak mungkin dia akan pergi pada gadis itu dan memujuknya. Tidak wajar juga dia membiarkan Sabrina berlalu di kawasan terpencil sebegini. Sengaja dia ke sini untuk menghamburkan kemarahannya yang menggunung. Dia tidak boleh melepaskan kemarahannya di rumah. Pasti kecoh kalau sampai ke pengetahuan bapanya. Namun, segunung marahnya itu tiba-tiba merata tatkala jeritan Sabrina pula yang bertukar tempat. Betul-betul di luar jangkaan. Gadis yang sering berteman air mata itu, tiba-tiba boleh menjerit menentangnya. Membuat dia terkedu. Membuat dia kelu. Membuat dia terdiam.
“Sa…Sabrina. Tunggu!,”jeritnya melihat Sabrina semakin menjauh. Melihat Sabrina tidak bereaksi dengan pangilannya, mahu atau tidak, dia mengatur langkah mengejar gadis itu.
“Kau nak ke mana?,”soalnya sebaik berdiri menghalang langkah Sabrina. Sabrina menyapu air mata yang basah di pipinya.
“Tak tahu,”jawabnya sepatah.
“Jom,”Badrul bersuara sambil memegang tangannya. Cepat-cepat Sabrina menarik tangannya. Terasa sakit. Lebam akibat rentapan dan cengkaman tangan Badrul yang kuat sebentar tadi, meninggalkan rasa sakit di lengannya. Perlahan dia menggosok lengannya. Mata Badrul tertangkap pada lebam yang membiru pada lengan Sabrina yang putih. Pasti sakit.
“Lengan kau…,”
Sabrina Cuma memandang wajah Badrul, sebelum langkahnya dihayun semula.
“Kau nak ke mana?,”sekali lagi Badrul bersuara. Kali ini dengan nada geram.
“Entah,”
“Jom balik,”
“Awak baliklah. Tinggalkan saya kat sini,”
“Kau gila? Macam mana kau nak balik?,”
“Pandai-pandailah saya,”
“Jangan nak mengada-ngada. Aku tak ada masa nak pujuk-pujuk kau. Cepat masuk dalam kereta,”
“Tak nak. Saya tak nak ikut awak,”
Badrul merengus marah. Ternyata banyak onar gadis ini yang membuat hatinya sakit. Tanpa bersuara, dia menarik tangan Sabrina.
“Tak nak! Saya tak nak ikut awak. Saya dah jelak dengar awak hina saya. Saya dah muak dengar awak marah-marah saya,”Sabrina menjerit sambil menarik tangannya kuat, agar terlepas dari pegangan Badrul.
“Jangan mengada-ngada. Cepat ikut aku balik,”
Sabrina merinta sambil menarik tangannya kuat.
“Lepas tangan saya!,”sekali lagi dia menjerit. Cukup kuat untuk membuat darah Badrul membuak tiba-tiba.
“Fine! Aku lepaskan,”tanpa berfikit panjang, Badrul lepaskan pegangannya. Membuat Sabrina terduduk ke atas tanah yang berbatu. Satu tindakan refleks yang terhasil, akibat rasa geram mendengar jeritan Sabrina yang nyaring. Sabrina menyeringai kesakitan. Kekuatan dia menarik tangannya membuat dia terhempas kuat ke tanah yang berbatu. Punggungnya terhentak pada anak-anak baru yang memenuhi kawasan itu. tangannya yang menekan tanah turut terkena batu. Badrul terkebil-kebil. Cuma memandang Sabrina yang sudah jatuh terduduk. Perlahan Sabrina mengangkat kedua tangannya. Sudah melecet dah berdarah. Punggungnya pula terasa sakit. Dia cuba bangkit, tapi rasa sengal di punggungnya membuat dia terduduk semula. Melihat keadaan Sabrina, Badrul cuba sembunyikan senyum. Padan muka!
Dia menghulurkan tangan. Mengandaikan Sabrina akan menyambut tangannya untuk berdiri. Sabrina membuang pandang. Sekali lagi dia cuba untuk bangun sendiri.
“Dah sakit macam ni pun, masih nak tunjuk keras kepala?,”
Sabrina diam. Dia tidak akan menerima bantuan dari Badrul! Rasa sengal ditahannya. Air mata menitis lagi. Air mata menahan rasa sakit dan pedih. Namun, dia terduduk sekali lagi. Badrul mengeluh keras.
“Sakit ke?,”soal Badrul agak keras.
“Sakitlah!,”tidak kurang keras jawapan yang keluar dari bibir Sabrina.
Badrul tergelak kecil. Malas melayan marah gadis itu. Dia sendiri sudah hilang mood untuk bertekak. Tidak seronok menengking Sabrina, apabila kemudiannya dia pula yang ditengking. Sudahnya dia tunduk memegang bahu Sabrina. Mengangkat tubuh gadis itu. Sabrina, mengalah dalam terpaksa. Rasa sengal di punggungnya, membuat dia harus mengalah.
“Tengok tangan tu…,”
“Sikit je,”balas Sabrina dingin. Perlahan dia melangkah. Sakit.
“Boleh jalan ke?,”
Sabrina diam. Pandai pula lelaki ini bercakap dengan nada lembut.
“Boleh jalan ke tidak ni?,”
“Boleh. Saya boleh jalan sendiri,”
“Betul?,”
Sabrina mengangguk. Tangan Badrul di bahunya ditolak perlahan. Badrul sekadar memandang Sabrina yang melangkah perlahan-lahan. Jelas wajah itu menahan sakit. Dia pula, tidak mahu membantu, setelah Sabrina menolak bantuannya. Sekadar melangkah perlahan-lahan di belakang gadis itu. Berjaga-jaga kalau-kalau Sabrina terjatuh lagi.
“Lain kali jangan buat keras kepala,”dia bersuara tiba-tiba. Tiada balasan. Badrul menggeleng perlahan. Pantas tangannya membuka pintu kereta untuk Sabrina. Sabrina terus melangkah masuk tanpa banyak bicara. Badrul mencapai kedua-dua tangan Sabrina. Agak banyak kesan calar terkena batu. Darah pun sudah mula meleleh. Dia mencapai tisu, kemudian lekapkan pada kedua-dua telapak tangan Sabrina yang luka. Lengan Sabrina yang lebam, dibelek seketika.
“Hmm… kita ke klinik,”
“Sikit je. Tak payah,”
“Jangan banyak cakap,”ujar Badrul tegas sambil bergerak ke pintu pemandu. Melangkah masuk ke dalam kereta. Sabrina diam. Malas untuk bersuara. Tekak pun terasa perit tiba-tiba. Tidak pernah dia menjerit, tiba-tiba hari ini dia terpaksa memecah tradisi.
“Kita ke klinik. At least untuk ambil pain killer and cuci luka tu,”
“Sikit saja,”
Badrul menjeling. Tidak mahu bersuara lagi. Keputusan yang dia buat muktamad. Sekali dia menoleh. Melihat wajah Sabrina yang menahan sakit. Itupun masih tidak mahu mengaku. Terselit pula rasa kasihan melihat wajah itu.

***

No comments:

[11:35:50 PM] hos.getah: