Melihat suasana sunyi di kawasan itu, hatinya bagai
terseret sepi. Untuk ke sekian kalinya dia di sini lagi. Mencari cinta hatinya
yang telah pergi. Perlahan dia melutut. Diam di sisi pusara yang ditumbuhi
rumput-rumput kecil. Hanya di sini tempat dia meluahkan segala kesedihan yang
tersimpan jauh di sudut hati. Tempat dia menjadi Farisya yang tewas. Farisha
yang lemah.
“Mama datang, sayang... mama
datang,”dia berbisik. Tidak perlu menunggu lama, air mata mula membasahi pipi.
Sudah empat tahun. Tetapi keletah anak kecil itu masih jelas terbayang di ruang
matanya. Terasa begitu dekat di hatinya. Namun, kini semua itu tiada lagi.
Mustahil Trisya akan kembali menghiburkan hatinya yang lara. Satu-satunya sebab
yang membuat dia kuat selama ini, kini tenang bersemadi di sini. Satu-satunya
alasan yang memberi dia semangat untuk teruskan hidup, juga sudah tiada.
Perlahan dia menyentuh nisan kecil. Rasa bagai menyentuh pipi comel Trisya. Perlahan
dia pejamkan mata. Juraian air mata yang luruh, tidak mampu dia tahan.
“Mama rindu Ticha. Mama rindu Ticha
sangat-sangat...,”sedaya –upaya dia cuba tenang. Cuba kuat. Namun, rindu
membuat dia rapuh juga. Terlalu dalam rindu dan kesedihan yang mendera. Rindu
yang tidak pernah diacuhkan. Kesedihan yang tidak pernah ditenteramkan.
Teringat betapa teganya Haziq memberi hukuman. Mengambil kesempatan mencuri
kesedihannya. Mengalihkan tumpuan semua orang. Membuat jiwanya yang berat
dengan kesedihan, terkontang-kanting keperihan hanya kerana kononnya seorang
suami yang lemah memerlukan sokongan isteri yang kuat. Haziq merampas
segala-galanya. Bukan hanya kegembiraan, kesedihannya juga tergamak dirampas
Haziq.
Teringatkan perit rasa yang terpaksa
dilaluinya, air mata kian laju mengalir. Menangis sendirian di pusara yang
sepi. Untuk apa tangisan itu, dia sendiri tidak pasti. Mungkin untuk membayar
kesedihan dulu yang tertangguh. Yang dirampas oleh Haziq tanpa sedikit rasa
simpati.
“Sikit pun mama tak boleh lupa,
sayang...,”bicaranya putus di situ. Esakan kecil menghalang bibirnya terus
berkata-kata. Buat seketika dia larut dalam esakan tertahan. Berasa dirinya
sendirian membuat hatinya semakin menangis. Sungguh semua orang yang dia
sayang, hilang terus dari hidupnya. Tidak ada di sisi di saat dia sangat
memerlukan walau sebaris kata-kata memujuk.
“Mama rindu... mama rindu...mama
rindu sayang. Mama rindu nenek. Mama sunyi hidup sorang-sorang... nenek benci
mama, sayang. Mama dah tak ada siapa-siapa. Nenek dah tak mahu pujuk mama.
Ticha pun tak boleh suruh mama kuat...,”
Air mata yang membasahi pipi, diseka berkali-kali.
“Ini sebabnya aku tak suka kau balik
Melaka,”
Farisha mengangkat muka. Tersentak
dengan teguran tiba-tiba itum terlontar semua yang sedang bermain di
fikirannya. Humaira berpeluk tubuh di pintu bilik. Melihat wajah Farisha yang
muram, dia melangkah masuk. Perlahan duduk di hadapan temannya itu.
Farisha menunduk. Menyapu perlahan
air mata yang tanpa sedar jatuh membasahi pipi. Senyum dipamerkan buat Humaira
sambil melenyapkan sisa-sisa air mata.
Humaira memandang lama sambil
menghela nafas panjang.
“Wake up. Jangan terus macam ni.
Mulakan hidup baru. Kau boleh dapatkan pengganti arwah Trisya. Kau tak boleh
terus macam ni. Balik dari kampung, kau mesti down macam ni,”
Farisha mengalihkan pandangan.
Kata-kata Humaira membuat rindunya pada Trisya semakin menerpa pada sekeping
hatinya. Serentak menjemput air mata mengalir ke pipi lagi. Segera diseka.
Humaira menggeleng panjang. Gusar melihat temannya yang seorang itu. Farisha
sering nampak tenang. Nampak kuat. Tetapi dia tahu hati Farisha tidak sekuat
mana. Entah apa penyebab kesedihan temannya itu, terus diam menjadi rahsia.
Satu yang dia yakin, kesedihan itu bukan hanya disebabkan kematian anak
kesayangan.
“Kalau dia ada, dia dah sebaya
dengan Qayyum...,”sebak dia bersuara sambil cuba memaksa senyum.
“Isha... janganlah macam ni,”
“Jangan risaulah. Aku okay... Cuma
aku rindukan Trisya. Dulu dia yang buat aku lupa pada masalah aku. Aku sanggup
lalui semuanya cuma sebab Trisya. Sekarang, aku tak tahu untuk apa aku hidup.
Matlamat hidup aku dah tak ada,”
“Isha! Tak baik kau cakap macam tu.
Selagi Tuhan beri kita nyawa, maknanya memang ada perancangan untuk kita,”
Farisha menunduk. Beristighfar di
dalam hati. Lara hati membuat dia bercakap mengikut emosi.
“Dan, lagi satu... apa sebenarnya
masalah kau tu? Share lah dengan aku. Aku risau tengok kau ni. Macam memendam
sesuatu. Beberapa tahun jadi kawan kau ni, aku rasa kau terlalu berahsia,”
Farisya tersenyum lebar.
“Aku ingat betul satu kata semangat
dia pada aku... Ticha tahu mama kuat. Mama Ticha memang kuat. Tak mau
sedih-sedih ya, mama... Itulah yang selalu dia ucapkan pada aku dulu. Jadi, aku
akan tetap jadi kuat. Kau jangan risau ya,”ucap Farisya sambil terus tersenyum.
Humaira diam. Tidak banyak yang
mampu dia bantu. Perlahan dia berdiri. Melangkah menghampiri Farisha. Bahu
Farisha diusap perlahan.
“Aku risau kalau kau kuat di luar
tapi rapuh di dalam. Trisya mahu kau kuat kan? Trisya juga tak mahu kau
sedih-sedih. Jadi, kau kena pastikan kau penuhi permintaan dia,”lambat-lambat
dia mengatur kata.
Farisha mengangguk perlahan.
“Aku tahu. Tapi, sesekali aku kalah
juga,”
“Cari teman hidup baru. Bukan
lupakan Trisya. Tapi, kalau nanti kau ada anak lagi, sekurang-kurangnya rindu
kau pada Trisya akan terubat,”
Kali ini Farisha menggeleng.
“Aku senang begini,”ucap Farisha
sambil meraup wajah. Cuba membuang segala kesedihan.
Humaira menarik nafas dalam-dalam.
“Kalau kau begini, sampai bila-bila
kau hanya akan hidup dengan kenangan-kenangan sedih. Bangkitlah. Cari kehidupan
baru. Yang lebih bermakna,”
“Aku rasa hidup aku dah lebih
bermakna sekarang. Kau tak payah risau sangat,”
“Jujurnya... aku risau. Aku risau
sebab aku tahu, ada sesuatu yang tak kena dengan kau. Tapi, aku tak tahu apa
dia,”
Farisya tertawa kecil.
“Kau dah okay?,”soalnya sambil
mengangkat kening. Walau sedikit pelik, namun hatinya tidak segundah tadi.
Sekurang-kurangnya Farisya sudah mampu tersenyum.
“Aku okay... Cuma sesekali bila
rindu tu datang... kita tak boleh bohong diri kita, kan?,”
Humaira mengangguk. Ada benarnya.
Bukan senang untuk menerima kehilangan orang tersayang dengan memadam sekali
segala kenangan. Pasti sesekali, hati tersayat juga.
“Sebab tu aku cakap, kau kena cari
kehidupan yang lebih bermakna,”ujar Humaira sambil perlahan mengusap bahu
Farisya.
Farisya mendongak, memandang wajah
Humaira dengan pandangan kosong. Humaira turut tersenyum. Daripada berdiri, dia
kembali mencari kerusi. Melabuhkan punggung lalu menarik kerusi rapat ke meja.
“Rayyan,”ucapnya sepatah.
Farisya mengerutkan kening.
“Beri ruang. Beri peluang. Yang
lepas, biarkan lepas. Kau bina bahagia yang baru. Aku tahu Rayyan tak main-main
dengan kau,”
Farisya tergelak sumbang.
“Kau layan Hindustan malam tadi,
ya?,”
Humaira menarik muka.
Sambil menggeleng, Farisya
menyambung gelak. Tangannya mula mengemas meja yang sedikit bersepah.
“Aku seriuslah, Isha,”
“Rayyan tu, budaklah. Baru nak kenal
cinta. Nak kenal dunia. Dia tu, anak teruna. Jauh lagi muda dari aku. Jangan
merepeklah. Dan kalau dia serius macam-mana sekali pun, kau rasa, keluarga dia
nak menantu berstatus janda untuk anak teruna mereka?,”
“Sebab tu kau takut? Sebab tu kau
langsung tak bagi peluang pada dia?,”
Farisya diam. Seketika mengetuk
jemarinya di meja. Sudah pasti bukan itu sebabnya. Tetapi, rasanya ini bukanlah
satu isu besar yang perlu ditarik jadi perbincangan. Sudahnya, dia menjongket
bahu.
“Betul?,”
“Ni... kau masuk cari aku ni,
kenapa?,”
Humaira mengerling.
“Tukar topik. Rayyan... tukar topik.
Rayyan... tukar topik. Macam sinonim betul, kan?,”
“Sudahlah tu. Tak payahlah cakap
pasal ni. Aku senang begini. Jangan risau. Walaupun aku single, aku tak akan
main mata dengan suami kau. Okay?,”
“Hey!,”spontan Humaira menampar
tangan Farisya. Spontan juga Farisya tergelak.
“Jahat kau. Tak adalah aku sampai
nak fikir sampai ke situ. Sampai hati kau. Aku ikhlas nak tengok kau bahagia.
Aku tuduh aku macam tu pula. Sampai hati...,”
Farisya menyambung gelak.
“Aku gurau je lah. Aku tahu kau
ambil berat pasal aku,”
Humaira menarik muncung. Farisya
tersenyum panjang.
“Marah?,”
“Mau tak marah? Kau gurau pun,
agak-agaklah,”
“Sorry. Sorry, ya,”melihat Humaira
seperti benar-benar terasa hati dengan usikannya, Farisya jadi tidak sedap
hati. Perlahan dia mengangkat punggung mendekati Humaira yang diam di kerusi.
“I’m so sorry. Aku tersilap cakap.
Lain kali aku tak cakap macam tu. Sorry, Maira,”
Humaira mengeluh perlahan.
“Jangan cakap macam tu lagi. Kalau
memang kau nak ambik Iqram pun, aku
memang...,”
Farisya jegilkan mata.
“Tak akan beri,”sambung Humaira
sambil tersengih.
Farisya menarik nafas lega.
Sangkanya lain yang mahu meniti di bibir Humaira.
“Kau ni...,”
Humaira tersenyum cuma.
*****
7 comments:
baca sambil menitik air mata... nasib baik di akhirnya boleh senyum senget..
nak tau sgt2 Trisya meninggal sbb apa...
Farisha terlalu berahsia.....menanggung kebencian org sbb Haziq pengecut tu....mmg x blh bagi kemaafan kat Haziq ni....
Sedihnya......
kesian ishaa
x tau nknkmen ape.. hakhakhak
harap isha bangkit dr kecewa y lalu.. jgn ttup pntu hati dia tuk mna2 llaki lain..
terbaik dan berbakat lah .. i like.
kelapangan singgah blog kami yer.pasti anda suka http://izzium2u.blogspot.com/
wahh terbaiklah.. berbakay sungguh..i like,, i like.. :)
kelapangan singgah ke blog saya yer..
murah,murah & murah ada menanti disana.
www.izzium2u.blogspot.com
Post a Comment