Haziq mendongak. Memandang wajah
ibunya yang merah menahan marah. Dia faham kenapa ibunya beria-ia menghalang.
“Saya tetap nak ke sana, mak,”
Puan Hairani menghenyakkan punggung
ke sofa. Membara marah terasa membuat dia payah menghela nafas. Turun naik
dadanya menahan rasa geram pada anak lelakinya yang seorang ini. Kenapalah satu-satu
nasihatnya ini, bagai tidak berbekas langsung di hari Haziq.
“Apa lagi yang kamu harapkan
daripada perempuan tu? Mak ingat bila kamu dah kahwin, mak dah tak pening kepala
nak fikirkan masalah kamu yang satu ni,”
Haziq diam. Tidak mampu bersuara
walaupun banyak yang ingin dia ujarkan. Namun, semuanya bagai tersekat di
kerongkong. Tidak mampu diluah. Semuanya hanya berlegar di ruang hati sendiri.
“Saya cuma nak jumpa bekas mak
mertua saya. Takkan itu pun jadi kesalahan?,”akhirnya dia berdalih. Lemah alasannya.
Tetapi hanya itu yang mampu dia beri.
“Jumpa bekas mak mertua konon. Ya sangatlah
tu. Kamu ke sana nak buat apa? Nak tahu kat mana perempuan tu, kan? Mak tak
fahamlah dengan kamu ni, Ziq. Tu... cuba kamu pandang muka tu. Muka tu yang
kamu patut fikir sekarang ni. Bukan perempuan tu!,”bentak Puan Hairani sambil
telunjuknya menuding ke arah Amalia yang diam di sofa.
“Sikit pun kamu tak fikir apa yang
Lia rasa bila kamu cakap macam ni. Dia isteri kamu, Haziq. Dia yang jaga kamu
semasa kamu sakit. Semasa kamu tak boleh terima kenyataan anak kamu dah tak
ada. Perempuan tu? Perempuan tu ambil keputusan untuk tinggalkan kamu. Tinggalkan
kamu semasa kamu perlukan dia! Takkan kamu dah lupa? Hargailah sikit isteri
kamu ni,”
Haziq menggaru dahi perlahan-lahan. Diam-diam,
dia sedar hebat impak yang dia tinggalkan untuk Farisya. Segunung benci ibunya
pada bekas menantunya itu. Dan, semua itu berpunca daripada dirinya sendiri.
“Mak Isha tu kawan baik mak. Tapi,
hari ni, mak cakap macam mereka tu musuh mak. Sejak saya dengan Isha berpisah,
langsung mak tak jumpa makcik Rahmah,”
Puan Hairani membuang pandang.
“Saya kahwin dengan Isha pun, sebab
mak yang pilih dia untuk saya, kan? Tapi, kenapa hari ni mak berubah sampai
macam ni sekali?,”
“Sebab dia bukan seperti yang mak
harapkan. Sebab dia buang Haziq macam Haziq ni tak ada perasaan! Sebab tu mak
tak boleh terima dia,”
“Makcik Rahmah?,”
Puan Hairani mendengus perlahan.
“Mak tak boleh terima perbuatan anak
dia. Mak ingatkan anak dia perempuan baik,”
Haziq menelan liur perlahan-lahan. Terasa
pahit untuk ditelan.
‘Isha memang baik, mak,’getus
hatinya di dalam diam. Memang Farisha baik. Cuma dia masih belum mempunyai
kekuatan untuk berterus-terang. Tidak sanggup menceritakan keburukan sendiri.
“Jangan ke sana,”
Haziq memandang wajah ibunya sebaik
larangan itu meluncur di bibir. Perlahan dia mengeluh. Dalam.
“Dah empat tahun, mak. Bulan ni,
genap empat tahun Trisya pergi. Sekali pun saya tak jengah kubur dia. Saya nak
tengok kubur anak saya, mak,”
Puan Hairani terdiam.
“Saya nak jumpa anak saya,”
Mendengar suara Haziq yang bergetar,
Puan Hairani luluh tiba-tiba. Mengerti perasaan Haziq. Haziq separuh gila
kerana tidak dapat menerima pemergian Trisya yang tiba-tiba. Kasihan Haziq
berjuang untuk menyambung hidup sendirian apabila isteri sendiri sanggup angkat
kaki begitu sahaja. Meninggalkan anaknya menderita menanggung kerinduan.
Menanggung kehilangan.
“Kamu kuat ke?,”
Haziq diam.
“Mak tak nak tengok kamu jadi macam
empat tahun lepas. Mak tak sanggup,”
“Insyaa ALLAH, mak. Jadi, benarkan
saya ke sana. Saya nak jumpa anak saya. Saya nak jumpa bekas mertua saya. Saya
perlu cari Farisha,”
Mendengar kata-kata itu, Amalia
mengangkat punggung. Tidak sanggup lagi mendengar suaminya asyik mengalun nama
bekas isteri.
“Bawa Amalia sekali,”tingkah Puan
Hairani tegas.
“Tak nak,”Amalia membalas laju.
“Lia... ikut suami kamu. Jangan bagi
dia leka layan perasaan mengarut. Asyik duk angau kat orang yang buang dia
macam sampah. Lia isteri. Lia ada hak nak pertahankan kedudukan Lia. Jangan cepat nak mengaku kalah,”Puan
Hairani tegas memberi arahan.
“Rasanya tak perlulah, mak,”Haziq
menolak lembut.
“Kenapa? Takut tak ada peluang kamu
nak pujuk balik bekas isteri kamu tu? Jangan mimpi mak akan terima perempuan tu
balik, tahu!,”
“Tak. Bukan macam tu. Tapi, takkan
saya nak jumpa makcik Rahmah dengan Lia?,”
“Apa pula? Eloklah tu. Biar dia
tahu, walaupun anak dia buang kamu, tapi kamu masih boleh hidup lagi. Ada lagi
perempuan yang jauh lebih baik yang boleh hidup dengan kamu. Yang boleh jaga
kamu,”
Amalia tercegat sambil berpeluk
tubuh. Kata-kata ibu mertuanya ada juga benarnya. Dia isteri. Dia ada hak untuk
memperjuangkan kedudukannya. Dia tidak boleh duduk diam dan melihat sahaja
tingkah melampau Haziq.
“Tapi kan, Lia pregnant. Nanti dia
penat,”
“Tak apa. Lia tak kisah. Lia nak
ikut juga,”ujar Amalia menanggapi penolakan lembut Haziq. Haziq mengerling
dengan ekor mata. Isteri dan ibunya sudah sepakat. Tiada apa yang boleh dia
lakukan. Walau apa pun, dia tetap mahu ke Melaka. Dia perlu berjumpa dengan
Farisha. Dia tidak akan dapat hidup tenang selagi tidak bersemuka dengan
Farisha.
“Jauh-jauh kita pindah sebab tak nak
dia susah hati, sudahnya, ke situ juga dia nak pergi,”rungut Puan Hairani
sambil mengangkat punggung. Menganggap perbincangan tegang itu sudah selesai,
terus dia meninggalkan ruang itu.
Haziq tidak menyampuk. Faham maksud
kata-kata ibunya. Tidak lama selepas kematian Trisya, mereka berpindah ke
Pahang. Mahu mencari suasana baru, menurut ibunya. Perlahan dia bersandar ke
sofa. Memandang isterinya yang masih tercegat membalas renungannya.
“Abang tak rasa gembira langsung ke
bila Lia pregnant?,”
Haziq mengeluh.
“Lia... jangan mulakan lagi,”
“Kat dalam perut Lia ni, ada anak
abang. Anak abang yang ni, ada nyawa tau. Tapi, abang macam tak pernah kisah
pun. Sekarang sibuk-sibuk pula nak cari anak abang yang dah tak ada tu!,”
“Lia!,”
Amalia merengus marah. Tidak
menunggu lama, dia turut berlalu membawa wajah mencuka. Meninggalkan Haziq
sendirian di ruang tamu. Diam dan berfikir. Amalia yang pergi membawa rajuk,
tidak mampu dia susul untuk memujuk. Bukan dia tidak mahu. Tetapi, entah
kenapa, ada sesuatu yang menghalang. Amalia, gadis pilihan ibunya yang datang
di saat hatinya parah ditinggalkan Farisha, harus diakui, seorang yang baik.
Selalu ada menemaninya. Selalu memujuk agar dia terus melangkah ke hadapan dan
tinggalkan segala kenangan yang membuat hidupnya bagai terhenti seketika. Memang
dunianya bagai benar-benar terhenti. Bukan di saat anaknya pergi buat
selama-lamanya dan dia menagih simpati daripada Farisha. Tetapi di saat bibir
Farisha meminta perpisahan.
Sungguh dia yakin Farisha akan terus
bersamanya. Tetapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Bersama bayangan wajah
Farisha, perlahan dia bangkit dari sofa. Kemarahan Amalia turut membuat dia
serba-salah. Tidak sampai hati melihat isterinya membawa rajuk kerana sikapnya.
Sikit pun dia tidak bermaksud mahu menyakiti hati Amalia. Tetapi, untuk dia
fokus pada perkahwinan barunya, terasa sangat mustahil. Bayang Farisha ada di
mana-mana. Kenangan demi kenangan bersama Farisha seakan mengejarnya.
Mungkinkah cinta Farisha yang mendera perasaannya. Atau, mungkinkah
dosa-dosanya pada Farisha yang sedang mengejarnya kini? Buntu tanpa jawapan,
perlahan dia meraup wajah. Melangkah menuju ke biliknya mencari wajah Amalia.
******
10 comments:
klu lah hamba dpt pasangan mcm haziq ni, mahunya hambapun angkat kaki mcm farisya jugak...
mahunya hidup tak tenang, dikejar dosa shgga nama dibersihkan...
x phm la ngn haziq ni , mmg susah eh nk berterus terang hal sbnr spy semua org x slh anggap lg kt farisha tu ..adoiii sguh konfilk laaaaaa
rasa nak hempuk2 aje kepala si Haziq ni. melampau betul. dia punya pasal , farisha yg kena hadapi kebencian ibu sendiri / bekas ibu mertua
kak sabariah
biarkan haziq dgn amalia jumpa dgn ibu farisha tu, untung2 pecah tembelang haziq kat sana..mau amalia menyorok bawah kerusi nanti hahahah
Cerita mencari hilang ni episode 1 lain ke dgn episode 2,3 &4. Nama watak episode 1 lain dari nama watak episode 2,3 & 4. Atau 2 cerita berlainan. Maaf sy x faham.
Cerita mencari hilang ni episode 1 lain ke dgn episode 2,3 &4. Nama watak episode 1 lain dari nama watak episode 2,3 & 4. Atau 2 cerita berlainan. Maaf sy x faham.
Tak ada istilah 'bekas' mertua walaupun dah bercerai. Hubungan mertua menantu akan kekal sehingga akhir hayat.
Sekadar berkongsi pengetahuan :)
Anyway plot best. Masih tertunggu apa cerita sebenar.
Itulah akibat sekiranya orang hanya tahu menghukum akan sesuatu tanpa mengetahui cerita atau kejadian sebenar. Diamnya haziq membuatkan org bersangka buruk terhadap Farisha....kesian....
pendeknya.huhu.btw,best
pdan mka haziq.. br nk rs mnyesal..ms dia b'sma iaha, x mau hargai dia... bnci tau... hakhakhak :p
Post a Comment