Dari
jauh dia terus memandang. Diam-diam menilai apa yang mungkin sedang dirasai
oleh pasangan dua sejoli yang agak jauh di hadapannya itu. Namun, senyum yang
terukir indah bagai merungkai semua yang berada di hati. Atau, barangkali masih
ada yang tersembunyi yang tidak dia ketahui?
“Abang cintakan Zarra. Kenapa Zarra
boleh fikir sampai ke situ? Tak mungkin, Zarra. Tak mungkin...,”
Teringatkan kata-kata itu, sekuntum
senyum terukir di bibir. Barangkali benar tidak mungkin, tetapi itu bukan
bermakna mustahil. Dan kalau sesuatu yang tidak mungkin boleh menjadi tidak
mustahil, masih ada sisa usaha yang masih belum dia cuba kah? Perlahan dia
mengeluh. Kadang-kadang dalam mencari kepastian, dia sering tersesat arah.
Terus mencari-cari tanpa jawapan yang pasti. Kata Nina, dia terlalu banyak
berfikir sehingga satu tindakan pun tidak mampu dibuat. Benarkah begitu?
Barangkali juga benar kata Nina. Sekali lagi dia mengeluh sambil berpaling.
“Eh..eh..,”
Langkahnya mati tiba-tiba.
Hampir-hampir terlanggar seorang pemuda yang kebetulan terburu-buru langkahnya.
“Sorry,”
Pemuda itu sekadar tersenyum sambil
terus berlalu.
“Nasib baik tak accident,”
Lebar senyumnya mendengar teguran
itu.
“Dah?,”soalnya tanpa mempedulikan sapaan
temannya itu.
Athirah tersenyum lebar sambil
mengangat beg plastik yang berisi beberapa buah novel.
“Dah. Kak Zarra tengok apa sampai macam
tu sekali lekanya?,”
Zarra menggeleng perlahan.
“Kita balik sekarang?,”soalnya
sambil mengangkat kening.
“Okay. Dah dapat apa yang Thirah nak.
Akak nak pinjam satu?,”jawab Athirah sambil mengangkat tinggi beg plastic di
tangan.
Zarra tergelak sambil menggeleng.
“No, thanks,”
Athirah turut tergelak. Maklum,
Zarra bukan peminat novel tegar seperti dirinya.
“Thanks kak sebab sudi temankan saya
cari novel ni,”
“Hmm... perkara kecil aje. Jomlah.
Akak nak balik dah ni. Penat,”
“Yalah. Nanti nak siapkan makan
malam untuk suami pula kan?,”usik Athirah bersama senyum lebar.
Zarra turut tersenyum.
“Jom,”
Athirah menjongket bahu sambil mula
mengorak langkah. Bersaing dengan langkah Zarra yang tenang.
*****
“Buat apa?,”
“Buat lawa,”
Zarra tersenyum mendengar gelak di
hujung talian. Langkah dihala ke arah beranda. Bersandar di situ sambil
bersedia untuk terus menyambung bicara.
“Seorang ke?,”
“Ha... ah,”
“Amboi. Patut suara macam merdeka
je,”
Zarra senyum lagi.
“So, macam-mana kau sekarang?,”
Diam seketika mendengar soalan Nina,
sudahnya dia menghela nafas perlahan.
“Dah, mengeluh pulak?,”
“Nina, kau rasa, betul ke apa yang
aku buat ni?,”
“Tanya aku? Kenapa tanya aku? Kau
sendiri... apa kau rasa sekarang? Sama macam sebelum ni? Lebih baik? Atau..
lebih teruk?,”
“Entah. Aku pun tak tahu,”
Jawapannya dibalas dengan keluhan
Nina.
“Aku tak boleh jawab bagi pihak kau,
Zarra. Kau yang lalui semuanya. Kau lebih tahu apa sebenarnya yang kau nak. Apa
yang terbaik untuk kau. Kau sendiri yang cakap, kau nekad nak buat sesuatu
untuk diri sendiri, kan? Kalau kau dah nekad macam tu, kau tak patut persoalkan
salah atau betul tindakan kau ni,”
Zarra menggosok perlahan dahinya.
“Apa pun yang kau putuskan, pastikan
itu adalah keputusan yang benar-benar kau nak. Aku akan sentiasa sokong dari
belakang,”
Zarra diam. Diam dan kepalanya
kembali berat berfikir.
“Hello... tidur ke?,”
“Hah? Oh... tak...,”
“Mengelamunlah tu. Okay lah. Sebelum
aku cakap sorang-sorang, aku letak dululah. Ingat, kalau perlukan apa-apa, aku
selalu ada,”
“Hmmm... yalah. Thanks Nina,”
Panggilan telefon berakhir. Hilang
suara Nina, suasana menjadi sepi. Tetapi, rasanya kesepian sudah tidak janggal
di dalam hidupnya. Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia merenung malam yang
pekat. Sunyi namun tenang.
“Dah berapa tahun kau fikir? Dua
tahun? Tiga tahun?,”
“Lima tahun,”
“Lima tahun. Kau punya fikir sampai
lima tahun, apa kau dapat? Tak ada apa-apa kan? Aku rasa kau dah boleh berhenti
berfikir dan mula buat keputusan... tindakan,”
“Daniel macam-mana?,”
“Apa maksud kau Daniel macam-mana?
Kau dengan Fitri sendiri, macam-mana? Kau rasa hubungan kau dengan Fitri selama
ini, sihat untuk ruang membesar Daniel? Kalau maksud soalan kau tu, kau risau
emosi Daniel kalau ada apa-apa yang berlaku antara kau dengan Fitri, situasa
kau orang berdua sekarang pun tak begitu positif untuk dia. Betul tak cakap
aku?,”
“Banyak sangat benda dalam kepala
aku, sampai aku tak tahu apa sebenarnya yang patut aku fikirkan,”
“Sebagai sahabat kau... aku mahu kau
fikirkan pasal diri kau. Keinginan kau. Cukuplah kau bertahan hanya berpegang
pada rasa risau... pada takut... pada kasihan. Diam-diam jiwa kau menderita
Zarra. Kau boleh tunjuk pada semua orang, rumahtangga kau tak ada masalah,
tapi, mata kau beritahu aku sebaliknya. Kau pendam semuanya sendiri. Sampaikan,
aku rasa Fitri pun tak tahu apa yang kau rasa. Kan? Setiap orang ada hak untuk
hidup mereka sendiri. Kau pun sama. Dan, kalau Fitri rasa dia betul-betul
sayangkan kau, dia sepatutnya fikir sejenak apa yang kau rasa juga,”
Kata-kata Nina sejak beberapa bulan
yang lalu, bagai terngiang-ngiang di telinga. Bicara dari hati ke hati itu,
akhirnya member sedikit keberanian untuk dia mulakan langkah. Tidak sanggup
selamanya dia begini. Hampir tidak jelas di mana kesan calar yang menghiris
rasanya, tetapi, hakikatnya dia sudah tidak mampu berusaha lagi. Tidak mampu
untuk terus menjadi seorang isteri yang sempurna. Tidak mahu dicari di mana
silapnya, juga tidak mahu mengungkit segala jerih yang pernah menghiris, yang
mampu dia pegang kini, hanya satu. Dia sudah penat. Dia sudah tidak boleh
teruskan lagi. Walau masih kabur, harapannya, biarlah segalanya berakhir dengan
baik. Dia tidak betah mahu mencipta sengketa tetapi, langkahnya terasa menghala
ke arah itu.
Getaran telefon di tangan bersama
nada dering yang berkumandang memberitahu ada pesanan yang masuk. Segera kotak
pesanan ringkas dibuka. Daripada Fitri.
[ Daniel tidur sini malam ni. Boleh
ke?]
Zarra pegun seketika.
[Baju dia tak ada kan?]
Perlahan-lahan pesanan ringkas
daripada Fitri dibalas. Tidak lama menunggu, Fitri sudah membalas.
[ Tini ada belikan baju untuk dia]
Hatinya berdetik halus. Perasaan
apakah itu? Cemburu pada Tini yang kini menjadi milik suaminya atau tidak rela
membenarkan Daniel menerima kasih daripada wanita itu? Sungguh berat hatinya
untuk memberi kebenaran. Tetapi, bukankah ini sebaiknya? Dalam hati yang masih
berteka-teki, telefonnya bergetar lagi dan alunan lagu yang menyentuh gegendang
telinga meminta dia menjawab panggilan itu. Sedikit teragak-agak panggilan
dijawab. Dia tahu Fitri mahukan jawapan.
“Boleh ke?,”
“Kalau bawa dia balik dulu tak
boleh?,”
“Sebenarnya Daniel dah tidur jadi
abang rasa biarlah dia tidur kat sini aje malam ni,”
Zarra bungkam. Sungguh hatinya berat
untuk membenarkan Daniel berada dengan orang lain.
“Zarra?,”
“Okay,”pantas dia menjawab.
“Betul? Zarra okay?,”
“Okay. Abang tak perlu risau,”
“Kalau Zarra nak abang balik...,”
“Tak. Tak apa. Okaylah bang. Saya
ada kerja sikit. Jaga Daniel untuk saya,”laju dia memotong kata-kata Fitri.
Dan, tidak tunggu lama, panggilan diputuskan. Kembali termenung sambil
menongkat dagu.
****
“Kenapa susah sangat Zarra nak
faham? Apa lagi yang abang kena lakukan untuk buktikan cinta abang pada
Zarra?,”
“Bukan saya yang tak faham. Abang sebenarnya
yang tak pernah faham. Tak pernah nak faham dan tak mahu faham. Abang sanggup
tengok saya terus macam ni? Atau.. sebenarnya abang tak sedar pun apa yang saya
rasa selama ni? Boleh tak untuk sekali saja... untuk sekali ini, permintaan
terakhir saya... cubalah letakkan diri abang di tempat saya. Faham apa yang
saya rasa. Letih saya... lelah saya...,”
“Abang dah berubah kan? Apa lagi
yang Zarra mahu? Zarra cakap tak perlu ungkit semua yang dah lepas tapi, Zarra
macam ni...,”
“Ya. Memang itu yang saya cakap.
Tapi, satu perkara yang saya dah tak mampu nak ubah lagi. Kembalikan perasaan
yang dah hilang. Saya tak mampu. Dan... saya tak mahu kita terus begini.
Bertengkar demi hak. Hak abang... hak saya... Penat,”
“Dah tu, apa yang Zarra nak?,”
“Jangan tanya saya apa yang saya
nak. Sejak kebelakangan ni, memang jelas sungguh saya beritahu apa yang saya
nak. Tanya diri abang, sanggup ke tidak luangkan sikit masa fikirkan tentang
apa yang saya rasa. Tentang apa yang saya nak,”
“Abang, jauh termenung?,”
Fitri tersentak. Tersedar dari
lamunannya yang panjang. Hartini tersenyum lebar.
“Teringat orang sana ke?,”
Fitri mengukir senyum.
“Abang kata tengah hari ni, nak
makan tengah hari dengan Kak Zarra. Tapi, abang datang jumpa Tini kat sini
pula. Kak Zarra tak marah?,”
“Memang abang dengan dia tadi masa
Tini call,”
Hartini melabuhkan punggung ke sofa.
“Kak Zarra marah abang ke?,”
Fitri menggeleng. Rasanya sudah lama
Zarra tidak memarahinya. Kadang-kadang perkembangan itu membuat dia gusar. Adakah
itu petanda hubungan mereka semakin rapuh? Perlukah dia korbankan rasanya untuk
Zarra? Kuatkah dia?
“Abang? Kenapa ni?,”
Fitri tersenyum. Sekali lagi
menggeleng. Wajah Hartini yang penuh tanda tanya itu dipandang lama. Ini adalah
sesuatu yang sangat-sangat di luar fikirnya. Memiliki Hartini rasanya dia
mendapat semua yang dia dambakan daripada Zarra. Namun, Hartini bukan Zarra.
Dan di hatinya tetap juga ada Zarra. Bagaimana dia boleh terjebak dengan
permainan ini. Diakah yang tamak atau Zarra kah yang pentingkah diri sendiri?
Atau memang benar Zarra sudah tidak mampu menerima cintanya lagi? Dia tahu
tidak mudah laluan Zarra sebagai isterinya. Lebih-lebih lagi sejak dari awal
dia memang tahu hanya dia yang menyimpan rasa. Tetapi, demi memiliki Zarra, dia
sanggup ketepikan semua itu.
“Abang bergaduh dengan Kak Zarra
kan?,”
“Tak. Sebenarnya Kak Zarra yang suruh
abang datang, bila jiran call beritahu Tini pengsan tadi,”
“Tapi, dia tak datang sekali?,”
Fitri ketawa kecil.
“Dia kan kerja. Kalau dia ke sini,
pukul berapa dia nak masuk office. Tapi, dia ada pesan, kalau ada apa-apa,
inform dia,”
Hartini tersenyum nipis. Sedikit
lega dengan penjelasan itu.
“Tapi, kenapa abang macam stress
aje? Tak happy ke?,”
“Happy... Happy sangat-sangat,”
Hartini tersenyum lagi. Bergerak
merapati Fitri. Perlahan bersandar ke dada Fitri yang sedang bersandar di sofa.
“So, malam ni, abang kat sini atau
balik sana?,”
“Tini macam-mana? Okay sikit ke?
Kalau Tini rasa kurang sihat, abang rasa Kak Zarra faham,”
Hartini menggeleng.
“Jangan macam tu. Tini rasa dah okay
dah. Tak naklah nanti Kak Zarra fikir yang bukan-bukan,”
Fitri diam. Namun, hatinya sedikit
lega. Memang dia berhasrat untuk pulang ke rumah. Rumah dia dan Zarra.
“Kalau ada apa-apa, Tini call
abang,”
Hartini mengangguk. Menghadiahkan
satu senyuman sambil tegakkan badan. Fitri membalas senyum itu sambil perlahan
mengusap jemari Hartini. Hartini adalah kemunculan yang tidak disangka-sangka.
Muncul di saat Zarra bagai makin hilang dalam hidupnya. Muncul di saat dia
semakin keliru untuk terus berjuang. Arah perjuangan tidak lagi sama di
matanya. Kebahagiaanya tidak lagi membawa maksud Zarra juga bahagia. Dan, untuk
memenuhi bahagia yang Zarra cari, dia pasti hatinya tidak akan kuat. Atau benar
kata Zarra? Bukan lagi bahagia yang dia cari. Dia cuma inginkan kelangsungan
hidup yang tenang. Kenapa Zarra jadi begitu? Perlahan-lahan dia terpaksa akui,
dia punca Zarra menjadi Zarra yang sekarang.
Perlahan dia mengeluh sambil menolak
perlahan jemari Hartini di ribaan.
“Rasanya baik abang balik office
dulu. Kalau rasa tak sihat, rehat je. Jangan buat kerja sangat. Nanti abang
call,”dia bersuara seraya mengangkat punggung.
Hartini mengangguk sambil turut
berdiri. Melangkah mengiringi Fitri sampai ke pintu.
*****
“Mama, aunty Tini suruh Daniel
panggil dia ibu. Boleh ke macam tu, mama?,”
Suapan nasi terhenti seketika. Perlahan
dia mengalihkan pandangan ke wajah anak tungal kesayangannya. Jelas wajah anak kecil
yang baru berusia lima tahun itu mahukan penjelasan daripadanya. Dia tersenyum
kelat. Hal tidak menjadi begitu berat semasa dia memikirkan tentang perkongsian
Fitri. Tetapi, apabila Daniel bersuara begini, hatinya goyah. Bagaimana nanti
kalau kasih-sayang Daniel terbahagi dua? Daniel anaknya. Daniel sepenuhnya
milik dia.
“Aunty Tini baik?,”soalnya
perlahan-lahan.
Daniel mengangguk.
“Daniel suka dia?,”
Anak kecil itu mengangguk lagi.
“Hmm... dia pun ibu Daniel. Apa
salahnya Daniel panggil dia ibu,”lambat-lambat dia memberi jawapan yang paling
positif sedangkan hatinya sudah berperang sendiri. Dia tidak boleh begini.
Minda terus cuba menyuntik rasa positif.
“Kenapa Daniel ada dua ibu?,”
“Hmm... sebab papa Daniel kahwin
dengan aunty Tini,”
“Kenapa papa kahwin dengan aunty
Tini?,”
Zarra tersenyum. Mencari-cari
jawapan yang wajar.
“Papa gatal ya?,”
Zarra tergelak tiba-tiba.
“Ish... kenapa cakap macam tu. Mana
dengar cakap macam ni?,”
“Dalam tv. Kalau ada orang kahwin
dua, dia kan gatal,”
Zarra tersenyum lucu.
“Tak sayang. Papa Daniel tak gatal.
Tapi, papa Daniel nak Daniel happy dapat dua ibu. Sekarang Daniel ada mama...
Daniel ada... ibu Tini. Kan? Daniel suka tak?,”
Daniel mengangguk.
“Dah. Jangan cakap lagi. Makan
dulu,”
“Okayyy...,”
Zarra tersenyum. Merenung lama
Daniel yang kembali menyambung suapan. Bunyi daun pintu utama ditolak, memaksa
dia sedikit menjengah. Fitri melangkah masuk.
“Daniel makan dulu. Mama nak cakap
dengan papa kejap,”dia bersuara sambil menolak pinggan. Tangan dibasuh sebelum
bergerak meninggalkan ruang makan.
“Ingat tak balik ke sini,”tegurnya
sambil memandang Fitri yang bersandar ke sofa. Fitri senyum sedikit.
“Tini kenapa?,”soalan dilontar
sambil melabuhkan punggung ke sofa.
Fitri sekadar memerhati. Memerhati
Zarra yang meletakkan duduknya agak jauh. Hatinya perih melihat keadaan itu.
Dia mahu Zarra yang dulu. Zarra yang baru dinikahinya. Tetapi Zarra itu telah
hilang perlahan-lahan bersama kepayahan hidup mereka. Dan, di saat semuanya
seakan beransur baik, Zarra telah benar-benar hilang untuknya. Barangkali
inilah yang Zarra maksudkan. Ketidaksediaannya membawa dosa apabila dia seakan
tidak rela.
“Tini mengandung,”ujarnya perlahan.
Zarra mengangkat kening.
“Wow!,”
Fitri mengangkat muka. Melihat
reaksi Zarra dia bagai tersindir. Dulu dia pertahankan cintanya hanya untuk
Zarra. Bermatian dia tekankan, tidak mungkin dia mampu mencari wanita lain
selain daripada Zarra.
“Jangan sindir abang. Ini kemahuan
Zarra juga kan?,”
“Dan, ianya berjaya. Kan? Abang cuma
perlu beri ruang. Ruang untuk terima orang lain dalam hidup abang,”
“Kenapa tidak Zarra yang beri ruang
pada diri Zarra juga?,”
Zarra diam.
“Kenapa diam?,”
“Kalau saya mampu, saya tak akan
minta abang buat semua tu. Abang cakap abang tak boleh kehilangan saya. Tapi,
dengan keluarga baru abang, saya rasa benda tu dah tak jadi payah,”
“Zarra... kenapa kena jadi macam ni?
Kenapa kita perlu seksa hati kita macam ni?,”
“Sebab arah kita dah tak sama. Kita
terus bersama, pasti kita akan lebih terseksa,”
“Lepas apa yang Zarra dah buat. Apa
yang kita dah lalui...,”
“Mungkin ini sebaiknya untuk kita,
bang,”
“Zarra bantu abang. Zarra jadikan
abang seorang yang berjaya berdiri atas kaki sendiri. Kenapa Zarra tak boleh
ada bersama-sama abang? Kita sama-sama hidup dalam suasana yang baru ni. Kita
dah tak susah macam dulu, kan? Abang janji, abang tak akan layan Zarra macam
dulu lagi,”Fitri bersuara penuh harapan. Memujuk Zarra tidak lagi mudah.
Silapnya kerana sering mengacuhkan perasaan Zarra satu ketika dulu. Kalaulah
dia tahu sikapnya itu telah menyuntik titik-titik kebal di hati Zarra, pasti
dia tidak akan lakukan khilaf itu.
“Mungkin kejayaan abang ni, abang
perlu kongsi dengan anak dan isteri baru abang. Saya gembira bila abang
gembira,”
Fitri bungkam.
“Kalau abang nak balik ke sana
tengok Tini, saya tak kisah,”
Mendengar ucapan itu, Fitri cuma
menggeleng.
“Kalau macam tu, pergilah mandi.
Saya siapkan makanan,”
Zarra sudah berlalu dan Fitri masih
di situ. Memandang Zarra mengemaskan meja makan. Juga Daniel yang perlahan menolak pinggan ke arah
ibunya. Perlahan dia pejamkan mata. Sukarnya situasi ini. Bagaimana dia tega
lepaskan dua wajah itu dari hidupnya? Apa lagi usaha yang dia perlukan untuk
membawa semula Zarra ke hatinya?
****
“Termenung!,”
Zarra berpaling. Nina mengangkat
kening. Zarra tersenyum sambil mengengsot perlahan memberi ruang Nina
melabuhkan punggung di sisinya. Pandangan dilontar semula ke tengan tasik yang
tenang.
“Tenang kan? Tapi, kita tak tahu
berapa banyak duri dan batu tajam kat dasar tu,”Nina membuka mulut.
Zarra tergelak.
“Tak payah nak berfalsafah
sangatlah,”
Nina turut tergelak.
“Kenapa? Terasa ke?,”
Zarra mengerling.
“So, kenapa bawa hati ke tepi tasik
ni?,”
“Bawa hati apa pulak? Saja ambil
angin,”
“Daniel mana?,”
“Dengan mak baru dia,”
Nina mengangkat kening.
“Fitri bawa dia keluar dengan Tini.
Nak shopping katanya,”
Nina mengangguk perlahan.
“Dan, kau kat sini? Kenapa?,”
Zarra berpaling sekali lagi.
“Lepak tepi tasik. Apa masalahnya?,”
Nina mencemik. Zarra tersenyum.
“Daniel bagitau, Tini suruh panggil
dia ibu,”Zarra bersuara perlahan.
“So?,”
“Aku rasa susah hati. Macam-mana
kalau nanti Daniel lebih sayangkan dia daripada aku?,”
“Kau miss part ni ya? Semasa kau
suruh Fitri kahwin lagi, kau lupa pasal ni ke?,”
Zarra diam.
“Zarra... kau ibu Daniel. Mana
mungkin kasihnya akan kurang, kalau cukup kasih sayang kau beri pada dia. Dan,
kalau Tini dapat terima Daniel dengan baik, kau patut bersyukur.
Sekurang-kurangnya kau tak perlu risau bila Daniel berada dengan mereka,”
Zarra tidak bersuara. Ada benarnya
pendapat Nina.
“Tini pregnant,”terlontar lagi
cerita di bibir Zarra setelah beberapa ketika suasana menjadi sepi.
“Wow! Dalam duk cinta kau seorang
saja ya?,”
Zarra tersenyum.
“Tak baik kau,”
“See... lelaki... selamanya akan
tetap jadi lelaki,”tokok Nina sambil menggeleng.
“Baguslah untuk dia,”ujar Zarra
sambil memandang wajah temannya.
“Kau pula macam-mana? Apa kau rasa
sekarang?,”
“Lega. Sejak dia kahwin dengan Tini,
tak ada lagi pertengkaran bodoh. Tak ada lagi permintaan yang aku dah tak mampu
nak penuhi,”
Nina tersenyum.
“Kalau boleh aku tahu, kenapa kau
jadi macam ni? Baru dalam setahun ni aje, kau buka mulut pasal rumah tangga
kau. Aku tahu kau cerita sebab kau dah tak mampu nak hadap sorang-sorang. Aku
nak tahu apa sebenarnya yang berlaku?,”
Zarra menjongket bahu.
“Aku tak salahkan Fitri seratus peratus.
Aku yakin, aku silap daripada mula lagi. Aku tak patut terima Fitri hanya sebab
aku tak sampai hati nak kecewakan dia,”
“Simpati...,”
Zarra mengangguk perlahan.
“Simpati boleh hilang apabila setiap
usaha kita langsung tak dihargai. Bila simpati tu hilang, apa lagi yang tinggal
untuk aku pertahankan rumah tangga aku?,”
“Tapi, kau tetap cuba sehingga ke
tahun keenam?,”
Zarra mengeluh perlahan.
“Kau tahu tak? Ia macam... macam api
dalam sekam. Kau tak nampak tapi, kau tahu ada sesuatu yang memusnahkan dari
dalam. Kau tak tahu punca, tapi, kau boleh menangis sendiri sampai pagi. Kau
cuba perbetulkan, tapi, kau tak tahu apa yang perlu kau betulkan. Sungguh lepas
setahun berkahwin, semuanya jadi lain. Aku tak perlu bercakap soal sikap
sesiapa. Tapi, hasil tolak-tarik, aku tahu aku menderita. Dan, derita aku turut
buat Fitri sama-sama menderita,”
Nina terdiam.
“Kau tak faham kan?,”soal Zarra
sambil tersenyum sumbing.
Nina pula tersenyum kelat.
“Aku paksa untuk terima semua ni
sebagai sesuatu yang aku perlu lalui. Makin aku cuba perbetulkan, makin aku
nampak semuanya semakin serba tak kena. Sampai satu ketika, aku kebalkan hati.
Aku teruskan hidup tanpa fikir perasaan aku,”
“Kau tak pernah bincang dengan
Fitri?,”
“Fitri... dia cuma mahu dengar apa
yang dia nak dengar. Apa yang dia nak dengar, cuma satu. Dia cintakan aku.
Cintakan aku sangat-sangat. Tak boleh hidup tanpa aku. Jadi apa pentingnya apa
yang aku rasa pada dia?,”
“Dan, kau simpan semua ni
sorang-sorang? Sampai kau lupa pada aku? Aku kawan kau yang kau boleh share apa
saja?,”soal Nina sebak. Sebak apabila di sebalik ketenangan Zarra bercerita,
ada air mata yang mengalir di pipi.
“Fitri tak suka kisah kami sampai ke
telinga orang lain. Aku sendiri, aku tak mahu cerita aku nanti buat orang fikir
macam-macam pasal Fitri. Di sebalik kekurangan dia, ada juga baiknya. Mungkin
dia gagal memahami aku betul-betul,”
“Bercerita masalah kau, tak bermakna
kau memalukan pasangan kau. Mana boleh kau pendam semua masalah sendiri?,”
“Ya, betul. Sebab tu, akhirnya aku
cari kau,”
“Dan akhirnya kau suruh suami kau
kahwin lain. Gila. Siapa yang sanggup suruh suami berusaha untuk jatuh cinta
lagi? Kahwin lagi?,”
“Aku lega akhirnya dia nak juga
dengar sikit luahan aku. Dan usahakan sesuatu demi aku. Paling tidak, dia dapat
pengganti yang lebih layak untuk dia. Aku tahu selama enam tahun ini, aku
bukanlah isteri yang terbaik untuk dia,”
Nina memaut perlahan bahu Zarra.
Lamanya Zarra menyimpan seribu kedukaan yang mengelirukan.
“Aku mahu kau cari bahagia untuk diri
kau. Fitri mungkin sudah jumpa bahagianya dengan isteri baru dia,”
Zarra tersenyum sayu.
“Cukup aku dapat teruskan hidup aku
tanpa rasa berdosa. Tanpa rasa bersalah. Hanya itu yang aku mahu,”ucapnya
perlahan sambil pandangan kembali ditebarkan jauh ke tengah tasik.
“Pasal rancangan kau, mak kau dah
tahu?,”
Zarra menggeleng.
“Aku akan beritahu bila Fitri dah
bersedia,”
Nina diam. Kerutkan kening seketika
sambil berpaling mencari wajah Zarra.
“So... tak betullah ya pada pepatah
yang kata... pilih orang yang cintakan kamu, bukan yang kamu cinta,”
Zarra tergelak.
“Kalau kau tanya aku, memang aku
akan jawab tak betul. Satu-satu hubungan perlu ada unsur memberi dan menerima.
Kalau tak ada, hubungan tu jadi tak balance. Endingnya, pasti tragis,”balas Zarra
tanpa mengalihkan pandangannya yang terus ke tengah tasik.
Nina turut mengalihkan pandangan ke
arah yang sama.
“Dan sadis...,”
Zarra tersenyum.
****
Wajah Fitri yang kelihatan sedikit
penat, dipandang sekilas. Kemudian dia kembali alihkan pandangan ke halaman
buku yang dibaca.
“Kenapa penat sangat mukanya?,”
Fitri meraup wajah. Memang penat.
Penat melayan kerenah Hartini. Hanya untuk makan mee kari, hampir satu bandar
terpaksa berpusing. Ada saja yang tidak kena tiap kali masuk ke restoran.
“Nak makan mee kari sampai satu KL
kena pusing. Mahu tak penat,”
Zarra tersenyum.
“Layankan ajelah. Memang itu ragam
perempuan mengandung. Jangan dia senasib macam saya dulu. Jangan sampai dia pun
rasa apa yang pernah saya rasa,”
Fitri diam. Pandangan teralih
mencari wajah Zarra. Dalam kata-kata Zarra. Membuat dia teringat pada
rungutan-rungutannya tiap kali Zarra menyatakan hasrat untuk merasa itu dan ini
semasa isterinya itu mengandungkan Daniel. Dia sering merungut duit yang
sentiasa tidak cukup untuk memenuhi permintaan bukan-bukan Zarra. Sering setiap
permintaan Zarra akan berakhir dengan pertengkaran dan Zarra akan berlalu tanpa
suara. Saat itu, dia tidak menyangka Zarra berlalu bersama luka yang disimpan
sedikit-sedikit. Luka yang memunculkan Zarra di hadapannya kini.
“Kalaulah abang tahu setiap
perbuatan abang dulu boleh jauhkan kita macam ni, abang tak akan buat semua
tu,”
Zarra mengangkat muka.
“Abang abaikan tanggungjawab sebagai
suami. Abang ambil kesempatan pada bantuan yang Zarra beri. Abang tak pernah
jaga perasaan Zarra sebenarnya walaupun mulut abang selalu cakap abang cintakan
Zarra. Memang betul abang cintakan Zarra. Dulu... sekarang...,”
“Abang, rasanya benda ni dah banyak
kali terulang kat mulut kita. Rasanya, biarlah kita selesaikan hal kita ni
secara baik. Ingat apa yang saya cakap? Kalau abang dah bersedia, lepaskanlah
saya. Untuk apa saya jadi isteri abang yang tak mampu nak senangkan hati abang.
Saya pernah berusaha. Bila itu yang saya minta, abang patut tahu yang saya memang
betul-betul tak boleh teruskan lagi,”
Fitri mengeluh perlahan. Terus
memegang Zarra bermakna dia menyeksa perasaan Zarra. Melepaskan Zarra, bermakna
dia harus membenarkan dirinya merasa seksa itu.
“Sikit pun tak ada rasa sayang lagi
untuk abang?,”
“Kita boleh jadi kawan. Tetapi kita
tak boleh jadi suami isteri. Saya dah tak boleh nak ikhlas melayan abang
sebagai suami. Abang tak kasihankan saya? Abang sanggup lihat saya berdosa pada
abang setiap kali abang tak redha dengan perbuatan saya? Tindakan saya? Kalau
betul abang sayangkan saya, abang sanggup ke tengok saya macam tu?,”
“Semua ni salah abang. Abang yang
tak tahu menghargai dari awal. Abang selalu andaikan, walau macam-mana pun
layanan abang, Zarra tetap akan jadi milik abang. Abang lupa, Zarra pun ada
perasaan,”
“Tak guna kita bercakap pasal benda
dah lepas. Lebih baik kita pandang apa yang akan terjadi,”
“Tak boleh beri abang satu lagi
peluang untuk menghargai Zarra?,”
“Takkan kita nak bergaduh lagi bang?
Sejak abang kahwin dengan Tini, rasanya kita dah tak bertengkar. Itu buat saya
lega. Tapi, malam ni, abang nak mulakannya semula ke?,”
Fitri menunduk. Rapat menutup mata
sambil meraup wajah. Dada sebak tiba-tiba memikirkan konflik emosi yang
melanda.
“Zarra akan bahagia kalau abang
lepaskan Zarra?,”
“Saya akan lega sebab terlepas dari
beban rasa berdosa dan bersalah. Abang ingat saya tak rasa berdosa tiap kali
saya gagal penuhi setiap keiginan abang dengan ikhlas? Tak rasa bersalah tiap
kali saya rasa saya gagal menyayangi abang sebagai suami?,”
“No. Bukan salah Zarra sepenuhnya.
Dan, Zarra tak ada dosa dengan abang. Abang yang sengaja pejamkan mata. Bukan
abang tak tahu Zarra memang tak pernah mencintai abang. Tapi, abang pentingkan
diri sendiri. Sebolehnya abang mahu Zarra tetap jadi hak mutlak abang. Zarra
dah buat apa saja untuk hubungan kita. Dalam kesempitan hidup kita dulu, Zarra
yang banyak membantu, tetap abang merungut. Jauh sekali berterima kasih. Memang
abang yang tak pernah tahu menghargai,”
“Sudahlah bang. Semua tu tak akan mengubah
apa-apa. Sudah sampai masanya kita bawa haluan masing-masing. Bagi saya, kita
dah berusaha tapi...,”
“Tapi tak berjaya...,”tingkah Fitri
sayu.
Zarra diam. Diam memandang wajah
Fitri. Andai kali ini dia benarkan juga rasa kasihan membelenggu hatinya,
ranjau pasti akan menjadi semakin panjang. Baginya, semuanya harus diletakkan
noktah. Dia sudah cuba yang terbaik. Kalau pun bukan terbaik bagi pandangan
orang lain, namun, itulah yang paling baik yang mampu dia lakukan sebelum dia
benar-benar meminta perpisahan daripada Fitri. Sekurang-kurangnya sekarang
Fitri ada Hartini. Fitri tidak lagi sendirian menghadapi perpisahan.
****
“Saya ada salah pada kak Zarra? Ada
perbuatan saya yang menyinggung perasaan kak Zarra? Sungguh, kalau saya ada
buat salah, saya minta maaf. Kak Zarra cakap saja apa yang perlu saya buat.
Saya akan buat apa saja. Asal saja Kak Zarra jangalah sampai bercerai dengan
abang Fitri. Saya tak nak jadi punca perceraian Kak Zarra dengan Abang Fitri,”
“Jangan risau. Semua ni tak ada
kaitan dengan Tini,”
“Sungguh Tini tak faham. Dulu kak
Zarra restui perkahwinan kami. Tapi sekarang?,”
“Akak yakin Tini boleh jadi isteri
yang baik untuk abang Fitri dan satu saja permintaan akak. Walaupun bukan
selalu, tapi, sesekali Daniel muncul di antara Tini dan abang Fitri, layanlah
dia macam anak Tini sendiri. Itu saja yang akak harapkan,”
“Tapi, kak...,”
“Akak berterima kasih dengan Tini.
Cukuplah minta maaf ya. Bukan salah Tini. Bukan salah sesiapa,”
Hartini termenung panjang. Pertemuan
empat mata dengan Zarra gagal mencari punca cerita yang Fitri khabarkan
padanya. Sungguh sebagai orang ketiga, dia tidak senang dengan cerita Fitri.
“Tini...,”panggilan bersama sentuhan
lembut di bahu membuang jauh menungnya. Fitri tersenyum nipis.
“Tini jumpa Kak Zarra,”
Belum sempat melabuhkan punggung ke
kerusi, Hartini sudah bersuara. Fitri mengerutkan kening.
“Kenapa jumpa Kak Zarra?,”
“Tini nak minta Kak Zarra jangan
minta cerai dengan abang. Tini tak nak jadi pemusnah rumahtangga abang dengan
Kak Zarra. Tini tak tamak pun. Tini sanggup beralah untuk buat kak Zarra lagi
selesa,”
Fitri mengeluh perlahan. Wajah gusar
Hartini membuat dia sedikit kasihan. Perlahan dia menyentuh jemari Hartini.
“Abang yakin Tini bukan
puncanya,”dia memujuk lembut.
“Kalau macam tu, janganlah
bercerai,”
“Tini... tahu tak kenapa abang
kahwin dengan Tini?,”
“Sebab abang jatuh cinta dengan
Tini?,”
“Tahu bagaimana abang jatuh cinta
dengan Tini?,”
Hartini diam.
“Selepas abang duduk dan fikir
perasaan Kak Zarra yang selama ini abang tak pernah peduli,”
Hartini mengangkat kening.
“Tak faham,”gumamnya perlahan.
“Kak Zarra. Dia isteri abang.
Satu-satunya wanita yang ada dalam hati abang. Abang sayangkan dia lebih dari
segala-galanya dalam dunia ni. Abang
cintakan dia. Dia... bagai tulang belakang abang. Selalu ada setiap kali abang
ada masalah. Selalu ada untuk selesaikan semua masalah abang. Bisnes abang
sekarang... ini pun atas usaha dia. Dia mahu lepaskan abang sebagai seorang
yang berjaya. Banyak yang dia lakukan untuk abang. Boleh dikatakan semuanya
untuk abang,”
“Jadi, di mana masalahnya?,”
“Masalahnya, semuanya untuk abang
sampai langsung tak ada untuk diri dia sendiri,”
Hartini terus memandang wajah Fitri.
Mahu lelaki itu meneruskan cerita.
“Abang cintakan Zarra. Tapi abang
tak sedar cinta saja tak cukup. Lebih-lebih lagi untuk orang yang sejak awal
kita tahu, tak pernah ada rasa yang sama pada kita. Abang tahu Zarra terima
abang sebab abang yang terlalu mendesak. Dia tak sampai hati nak lukakan hati
abang. Abang yakin cinta abang dapat membuat dia akan jatuh hati pada abang
juga akhirnya. Tapi, cinta tanpa effort tak cukup. Cinta abang hanya di bibir
tapi, tindakan abang tak pernah menunjukkan ke arah itu. Walaupun macam tu, dia
tetap ada bila abang susah. Baik ikhlas... atau dengan rungutan, dia tetap
bantu abang. Tapi, abang tak pernah mampu membantu dia. Dulu abang susah.
Keadaan itu buat abang makin fikirkan diri abang saja. Bila ada masalah,
bertengkar. Lama-lama jadilah macam ni,”
“Macam ni?,”
Fitri diam seketika. Mencari
kekuatan untuk mengakui kelemahan sendiri.
“Selepas enam tahun, akhirnya Zarra
nekad mahukan perpisahan. Abang tak boleh terima. Abang tak boleh fikir
macam-mana abang akan hidup tanpa dia. Memang hidup kami selama enam tahun ni,
bukanlah bahagia sangat. Selalu bertengkar. Saling menyalahkan satu sama lain.
Tapi, apabila dia merayu-rayu untuk abang cuba jatuh cinta lagi. Kahwin lagi...
abang mula sedar ada sesuatu yang berlaku. Mana ada seorang isteri yang mahu
suami jatuh cinta dengan orang lain. Kahwin dengan orang lain. Masa tu abang
tahu hati Zarra dah benar-benar tertutup untuk abang. Kalau abang teruskan, ya
mungkin dia boleh terus jadi isteri abang, tapi, hatinya?,”
“Tapi, sekarang abang dah tak macam
tu kan?,”
Fitri tersenyum pahit.
“Rasanya usia mematangkan abang.
Banyak mengajar abang tentang tolak ansur. Hidup pun dah tak sepayah dulu.
Tapi, semuanya dah terlambat. Abang dah tak mampu nak memenangi hati Zarra.
Melepaskan dia bermakna abang akan makan hati. Menjadikan dia isteri abang
sedang hatinya sudah tak ada untuk abang, itu akan buat dia yang makan
hati,”luluh bicara Fitri bersama air mata yang menitis perlahan.
Hartini mengetap bibir. Kali pertama
melihat suaminya menitiskan air mata. Tidak pernah dia duga ada beban seberat
itu disimpan di dalam perkahwinan Fitri dan Zarra. Sangkanya dia hanya insan
ketiga yang biasa, namun hakikat nampaknya tidak begitu.
“Abang sayangkan dia, tapi kalau
abang nak tengok bahagia di hatinya, abang tak boleh bersama dia,”
Fitri menunduk. Sungguh dia berasa
lemah saat ini. Hartini menarik jemari suaminya. Terharu mendengar kisah yang
selama ini tidak pernah dia tahu.
“Kak Zarra tak pernah cerita pun
pasal ni?,”
“Tak mungkin dia akan ceritakan
sesuatu yang akan membuka kekurangan abang. Tak ada siapa pun yang tahu pasal
ni. Baik keluarga dia atau keluarga abang. Kalau ada pun, cuma Nina. Kawan
baiknya. Dia beritahu abang. Tapi abang yakin, tak semua kisah dia kongsikan
dengan Nina,”
“Abang... Tini tak tahu nak cakap
apa. Tini faham memang sakit kalau terpaksa berpisah kerana cinta,”
“Sama juga sakitnya kalau terpaksa
bersama walau tak ada cinta,”
“Kasihan abang... kasihan kak
Zarra...,”
Fitri memaksa satu senyum bersama
setitis lagi air mata yang jatuh. Perlahan dia mengangguk. Memang kasihan
dirinya juga kasihan Zarra.
“Sebab tu Kak Zarra mahu abang
kahwin? Sekurang-kurangnya kalau dia pergi, abang masih ada Tini?,”
Fitri hanya mampu diam.
“Kak Zarra kuat,”
“Dia terlalu kuat untuk lelaki lemah
macam abang,”
Hartini mengeratkan genggaman. Mahu
sedikit kekuatan sampai ke hati Fitri. Mengenali Fitri sebagai majikannya, dia
mudah jatuh hati dengan lelaki itu. Kisah mereka terlalu pantas. Fitri mahu
membuka hati untuk orang lain, demi melepaskan insan yang dia cintai.
Kedengaran agak kejam tetapi, dengan rasa bahagia yang dia kecapi kini, rasanya
dia boleh faham dengan tindakan Fitri.
****
“Untuk kali terakhir, tak boleh ke
kita patah balik?,”
Zarra diam.
“Dah ada pengganti abang?,”
Kali ini dia mengangkat muka. Soalan
Fitri agak sukar dihadam.
“Saya tak minta kita berpisah sebab
saya ada lelaki lain. Dan, pengalaman enam tahun perkahwinan kita, saya rasa
cukuplah dulu,”
“Abang minta maaf,”
“Dan, inilah juga sebabnya. Abang
penuh dengan prasangka,”
Fitri menutup mulut. Bukan titik
selisih kata yang dicari. Tapi, rasanya dia perlu belajar memberi setelah
begitu banyak meminta daripada Zarra.
“Zarra yakin boleh bahagia tanpa
abang?,”
“Saya tak cari bahagia. Saya cuma
nak cari ruang untuk saya cari diri saya yang dah lama hilang. Perasaan saya
yang dah lama hilang,”
Fitri mengeluh lemah.
“Abang tak sedar saat Zarra terpaksa
kuburkan perasaan sendiri demi nak teruskan perkahwinan kita. Itu kesilapan
terbesar abang. Jadi, walaupun ianya hampir mustahil untuk abang lakukan, abang
harus biarkan Zarra cari apa yang telah Zarra hilangkan untuk abang dulu,”
Zarra diam tidak membalas. Fitri
pula terus memerhati seraut wajah itu. Jauh bezanya dengan Zarra yang dia kenal
tujuh tahun dahulu. Kini baru dia sedar, wajah itu semakin hilang emosi.
“Ini perkara yang paling berat untuk
abang katakan. Tapi, satu saja yang abang harap. Abang harap Zarra dapat
kembali rasa yang hilang dan serahkan rasa itu pada seseorang yang paling layak.
Setelah begitu banyak makan hati demi cinta abang, sekurang-kurangnya abang nak
Zarra temui cinta Zarra pula,”
Zarra tersenyum sinis.
“Enam tahun masa saya terbuang,
sekarang ni, saham pun dah tak ada untuk cari cinta,”
Fitri tergelak sumbang. Zarra
tersenyum.
“Gurau saja. Apa yang kita lalui
selama ini bukanlah satu yang sempurna. Bukan sesuatu yang indah sangat untuk
dikenang. Tapi, saya tak pernah menyesal. Satu-satunya perkara paling berharga
yang kita ada... itulah dia,”Zarra bersuara membetulkan katanya yang hanya
berniat untuk bergurau sambil matanya dipaku pada Daniel yang asyik bermain
ditemani Hartini.
“Dan, saya yakin Tini mampu
menyayangi Daniel seadanya. Itu cukup buat saya rasa lega. Dan, percayalah...
Daniel tetap anak abang. Jangan risau. Saya tak akan bawa dia jauh dari abang,”
“Kita mampu jadi kawan?,”soal Fitri
lambat-lambat.
“Kalau abang kuat buang rasa cinta
tu, saya sentiasa ada untuk jadi kawan,”
“Kalau ini boleh buat Zarra
tersenyum, ketawa seperti sebelum kita kahwin, abang sanggup berusaha,”
Zarra diam. Lama memandang wajah
Fitri. Sepayah dia mencipta sayang demi menjadi isteri Fitri, dia yakin
begitulah payahnya yang Fitri rasa saat ini.
“Terima kasih, bang. Kita bersama
tetapi haluan kita berbeza. Tak mungkin kita boleh bahagia,”
Fitri mengangguk perlahan sambil
menarik lembut jemari Zarra. Payah, namun dia harus setuju dengan hakikat itu.
“Abang sayangkan Zarra. Kalau abang
terpaksa lepaskan Zarra untuk melihat Zarra jadi Zarra yang dulu, abang rela.
Cinta abang bukan apa-apa berbanding apa yang telah abang paksa Zarra telan
selama enam tahun ini,”
Zarra tersenyum. Menitis air mata di
pipi.
“Abang boleh bahagia dengan Tini
kan?,”
“Kalau Zarra boleh bahagia tanpa
abang, kenapa abang tak boleh bahagia dengan Tini? Betul tak?,”
Zarra mengangguk sambil menahan
sebak. Begitu lama dia mahu bebaskan rasa yang terpendam jauh.... terlalu jauh
di sudut hati. Mendengar kata-kata Fitri benar-benar membuat dia lega.
“Terima kasih, bang,”
Fitri tersenyum. Laju menyapu pipi
apabila air mata bagai tidak dapat ditahan.
“Terima kasih kena pernah hadir
dalam hidup abang. Berkorban sebanyak ini untuk abang,”ucapnya sambil membawa
jemari Zarra ke bibir. Mungkin ini akan menjadi momen terakhir dia sebagai
suami seorang Zarra.
Dari jauh, Hartini melihat sambil
menarik Daniel ke riba. Anehnya apa yang bernama hati. Dia menghela nafas
panjang sambil mendongak. Tidak membenarkan ada air hangat yang menitis.
TAMAT
18 comments:
Cerita yg sedih tp bagi akak itulh jln yg trbaik,brtrs-trg tdk semua insan mmpunyai ksmprnaan tp kdg2 jika kita tdk mengalaminya...tdk brada disituasi itu...mngkn kita tdk akn brtndk sprti itu.Apa2 pun selagi ia tdk mlnggar hkm agama kita msh mmpuyai pilihan...
Sedih kak... Tak sggup..
Assalamu'alaikum. Boleh komen guna google rupanya. Tak nampak.
Cerpen yang menarik walaupun tak happy ending. Thumbs up! Memang realitinya mungkin ada yang melalui macamni. Well done writer~
tq...
citer sedih...semua watak berfikir positf n mahu beralah
Barangkali ada. :)
Bentuk hubungan itu, tidak semestinya bahagia bila bersama.
realiti hidup xslalu indah...HR xprnah gagal mnybbkn airmata sy mnitis stiap kali mbc...
sy ml mngenali HR mlalui KUSERU RINDU ITU..ksh yg amt mnyntuh prsaan..skrg dh bli sume nvl HR..dh bc MUNGKINKAH?&BIARLH YM Bbicara..agak ringan..ssuai utk release tnsion..skrg tgh bc Biarkn YM trs Bbcra..PAM xbrni lg nk bc sb kn stndby airmta..TAHNIAH HR..smg snts dkurniakn Allah ilham utk mhsilkn krya yg bmutu..yg mmp mdidik scr xlgsg..
aduh kak hanni.... kenapa sedih sangat ni. serasa nak nangis meraung2 jea. hukhuk
Sedih sgt....sbg isteri sy x tahu sy mmpu atau tidak menghadapi situasi ini..melepaskan sesuatu yg mmg menjadi milik kita sekian lama....
Mmg ramai yang macam ni. Lupakan perasaan sendiri untuk orang lain.
Bestt
Sedehh
Sgt menyentuh hati
tapi ini lah realiti kehidupan
Sgt sgt best . Tq.
Sungguh... perkahwinan bukanlah akhirnya sebuah cinta. Simpati jua bukan mutlak tuk pemangkin cinta. Moga lebih ramai seutuh Zarra...
Hi hanni...
U so adorable.... Novel2 u sume i beli...
terima kasih amiha :)
Sedih sgt....
Seduh sgt2 coz mcm kisah hidup saya.... still baik dgn my ex..
Post a Comment