Helaian
kertas yang sedikit berserakan di atas meja, dikemas dengan segera. Temujanji
sudah selesai, perbincangan juga sudah tamat. Dan dia bersedia untuk pulang
semula ke pejabat walau lemah semangatnya untuk meneruskan kerja. Tanpa
disedari tingkahnya diperhati dalam diam. Mata majikan diam memerhati.
“Kita balik sekarang? Encik
Karim?,”dia bersuara sambil mengangkat muka. Bertentang mata seketika dengan
majikannya itu. Lelaki itu tersenyum nipis.
“Arisa, ayah awak macam -mana?,”soal
kerja diketepikan. Dia mahu tahu perkembangan Arisa.
Arisa diam seketika. Memandang wajah
Encik Karim. Majikannya itu kelihatan seperti mahu berlama di restoran ini.
“Semalam dah boleh balik, Encik
Karim,”perlahan dia menjawab. Segera dia teringatkan bapanya yang cukup lemah
terbaring di katil. Kasihan bapanya.
“Apa sebenarnya masalah awak ni?
Cuba ceritakan pada saya. Kalau saya boleh tolong, Insya ALLAH saya akan
tolong,”
Mendengar soalan itu, Arisa memilih
untuk berdiam diri. Cuma matanya memandang wajah Encik Karim yang kelihatan
ikhlas bertanya. Melihat wajah itu, membuat dia teringat pada cadangan Tasnim.
“Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
“Kau
gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu?
Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
“InsyaALLAH
boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
Kata-
kata itu berlegar di mindanya. Perlukah dia senekad itu demi menghalang Radhi
daripada terus mengganggu dia dan keluarganya? Sekali lagi pandangan dipaku
kemas ke wajah Encik Karim. Namun, bibirnya begitu berat untuk meluahkan apa
yang sedang dihadapinya. Tidak. Tidak mungkin dia akan meminta bantuan sebanyak
itu daripada Encik Karim. Sudahnya hanya satu gelengan perlahan yang mampu
diberi.
Encik Karim mengeluh perlahan
“Terlalu peribadi, Encik Karim.
Insya ALLAH saya cuba selesaikan sendiri,”akhirnya dia memberi jawapan yang
samar-samar. Cadangan Tasnim dilupakan terus. Rupa-rupanya dia tidak cukup
gagah untuk meminta-minta.
Encik Karim tersenyum lagi. Kali ini
bersama gelengan perlahan. Dia tahu Arisa merahsiakan sesuatu.
“Awak pekerja kesayangan saya. Saya
tak nak tengok prestasi kerja awak terganggu dengan masalah peribadi yang tak
selesai-selesai. Saya tak suka pekerja yang gagal ketepikan masalah bila berada
di pejabat,”
Arisa menunduk. Itu merupakan
teguran Encik Karim yang kedua. Ketara sangatkah kegagalannya menjalankan tugas
dek kerana masalah dengan Radhi?
“Saya faham, encik. Saya minta maaf.
Saya akan cuba selesaikan masalah ni secepat mungkin,”
“Macam-mana?,”
Arisa mengeluh perlahan. Kembali
mencari wajah Encik Karim. Soalan itu tiada jawapan kerana dia sendiri masih
buntu mencari jalan penyelesaian.
“Saya boleh pinjamkan awak dua puluh
ribu tu,”
Arisa ternganga. Membuntang mata
memandang wajah majikannya itu. Adakah ini semua satu halusinasi? Mungkinkah
dia tersilap dengar. Rasanya dia belum meluahkan apa-apa pada lelaki ini. Dari
mana lelaki ini mendapat angka itu? Dan, bagaimana Encik Karim tahu tentang
masalahnya itu?
“Arisa, tak salah kalau kita minta
bantuan daripada orang lain, kalau kita benar-benar perlukannya. Masalah tak
akan selesai kalau awak pendam semua masalah awak ni sendiri. Suami awak terus
ganggu awak. Keadaan kesihatan ayah awak pun semakin terganggu. Konsentrasi
kerja awak turut terjejas. Sampai bila awak nak hadapi itu semua?,”lembut
sahaja suara lelaki itu meresap ke gegendang telinganya. Dengan penuh tanda
tanya, dia merenung wajah majikannya itu. Tasnim. Hanya imej Tasnim yang
memenuhi mindanya saat ini. Hanya Tasnim yang tahu segalanya. Mungkinkah Tasnim
yang bercerita?
“Tasnim?,”sebaris nama itu meniti
perlahan di bibirnya. Satu soalan untuk semua tanda-tanyanya.
Encik Karim tersenyum nipis.
Sekuntum senyuman yang mengiyakan teka-teki di kepalanya.
“Encik Karim…,”dia benar-benar
kehilangan kata-kata. Tiba-tiba muncul rasa malu untuk dia terus berdepan
dengan lelaki ini.
“Tasnim cuma nak membantu awak,”
Arisa mengeluh perlahan. Memang ada
sedikit rasa kecewa dengan sikap Tasnim. Namun, benar kata Encik Karim.
Barangkali Tasnim cuba membantunya. Dan, barangkali juga dia patut singkirkan
rasa malu itu.
“Jumlah tu bukannya sikit, Encik
Karim. Banyak…,”
“Anggap saja saya pinjamkan pada
awak. Awak bayar perlahan-lahan pada saya. Saya ikhlas nak bantu,”
Arisa menggeleng perlahan. Merenung
wajah majikannya yang sentiasa tenang.
“Nanti apa kata staff lain?,”
Lelaki di hadapannya itu tergelak
halus.
“Arisa…Arisa… takkan saya nak buat announcement pada semua staff kalau saya membantu salah seorang staff saya. Yang tahu, cuma saya…awak
dan Tasnim. Saya tak nampak di mana masalahnya kalau awak terima pertolongan
saya,”
“Tapi…,”
“Awak nak terus hidup dengan suami
awak?,”
Arisa menggeleng. Memang perasaan
untuk bersama Radhi sudah mati. Cuma satu yang dia harapkan daripada lelaki
itu. Berharap agar Radhi terus lenyap dari hidupnya. Kalau boleh, nama lelaki
itu pun dia ingin padam dari ingatannya.
“Geleng? Means? Tak tahu? Tak pasti? Or…tak mahu?,”Encik Karim bertanya
lagi.
Seketika Arisa terdiam. Bibir bagai
terkunci. Pelik rasanya apabila hari ini Encik Karim mengajak dia berbincang
soal seperibadi ini. Cukup Tasnim seorang yang menjadi tempat dia meluahkan
perasaan. Apabila Encik Karim turut menunjukkan sikap mengambil berat, dia
benar-benar buntu. Benar-benar serba-salah.
“Arisa… saya mahu bantu awak. Awak
kena benarkan saya bantu awak. Berdiam diri. Memendam rasa, bukan cara untuk
selesaikan masalah,”
“Saya tak selesa berbincang soal
peribadi macam ni…,”Arisa bersuara dengan nada kurang yakin.
“Awak kena percayakan saya. Saya
ikhlas nak tolong awak. Awak memang perlukan seseorang untuk bantu awak
sekarang ni. Awak tak akan boleh selesaikan semuanya sendirian,”
“Saya tahu,”
“So?,”
“Saya malu kalau sampai saya
terpaksa pinjam duit Encik Karim. Tapi, saya tak tahu nak minta tolong dengan
siapa. Saya tak nak bebankan ayah saya,”
Encik Karim tersenyum kecil.
“Awak memang tak mahu lagi hidup
bersama suami awak?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibir Encik Karim.
“Tak nak,”
“Awak tak cuba minta fasakh? Mungkin
itu boleh membantu. Awak tak perlu bayar dia apa-apa pun,”
“Ayah saya masuk hospital sebab saya
beritahu dia, saya nak minta fasakh. Tiap-tiap hari dia datang ganggu ayah…,”Arisa
membuka sedikit kisah suramnya. Encik Karim mengangguk perlahan.
“Jadi, yang dia mahu cuma duit?,”
Dengan bibir mata mula memberat,
Arisa mengangguk perlahan.
“Dia cuma akan lepaskan awak, kalau
awak bayar dia?,”
Arisa mengangguk lagi.
“Tebus talak?,”
“Nampaknya saya terpaksa buat macam
tu. Kalau tak, dia dah ugut dia akan terus ganggu kami sekeluarga,”
Satu keluhan yang keluar dari mulut
Encik Karim, mendorong Arisa mengangkat muka. Memandang wajah lelaki itu kini
sedikit mendung.
“Saya tumpang simpati dengan masalah
awak…,”
Arisa tersenyum kelat.
“Tak patut saya ceritakan semua ni
pada Encik Karim…,”
“Kalau tak nak cerita pada saya,
awak nak cerita pada siapa?,”lelaki itu bertanya dengan nada sedikit
berseloroh. Seloroh yang tidak mampu
membuat senyum memekar di bibir Arisa.
“Kalau dah tak ada pilihan lain,
awak terimalah bantuan saya. Selesaikan segera masalah awak. Saya harapkan yang
terbaik untuk awak,”
Arisa membeku. Huluran pertolongan
sebegini tidak mungkin akan datang untuk kedua kalinya. Apakah dia perlu
menerima pertolongan daripada Encik Karim? Sememangnya tiada lagi sumber lain
yang boleh dia harapkan. Untuk membuat pinjaman bank, dia tidak mahu terus
terbeban. Pinjaman untuk membeli kereta masih lagi belum lunas semuanya.
“Tapi, saya takut saya tak mampu nak
bayar balik semuanya nanti…,”
Encik Karim senyum.
“Just
take your time. Bayar berapa yang awak mampu,”
Arisa mengeluh perlahan. Saat ini,
memang dia malu mahu berhadapan dengan Encik Karim. Malu dengan
ketidakberdayaan dirinya. Namun, peluang ini mustahil mampu dia tolak. Demi
bapanya, dia harus singkirkan Radhi secepat mungkin.
“Saya malu dengan Encik Karim. Tapi,
saya memang perlukan bantuan ini. Saya cuba langsaikan pinjaman tu secepat yang
saya mampu. Terima kasih, Encik Karim,”
“Tak boleh bayar, kena jadi wife saya,”
Arisa terpempan. Tajam merenung
wajah lelaki itu yang tersenyum lebar. Tidak percaya majikannya itu boleh
mengeluarkan kata-kata sebegitu.
“Encik….,”
Encik Karim tergelak besar.
“Janganlah buat muka macam tu. Saya
gurau saja,”
Arisa tersenyum kelat. Sungguh
kurang senang dengan gurauan majikannya itu.
“Jangan risau. Saya ikhlas nak
membantu,”
“Terima kasih, Encik Karim…,”
Lelaki itu membalas hanya dengan
senyum manis.
Seketika saling berdiam diri,
akhirnya dia mencapai beg tangannya. Berdiri tegak sambil mencapai beberapa
helaian kertas bersama organizer.
“Saya rasa baik kita balik ke
pejabat sekarang? Atau…Encik Karim ada hal lain? Saya boleh balik ke pejabat
dengan teksi,”
“Tak. Saya pun nak pulang ke office,”
Arisa mengangguk perlahan. Encik
Karim tersenyum sambil turut mengangkat punggung.
*****
2 comments:
best.
Haiiiii..Cakkk!!
done follow sini no. 1862
sudilah kiranya follow me back yea..
he2.. salam kenal.. keep in touch yea..=)
http://tengkubutang.blogspot.com/
dan my 2nd blog
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/
Post a Comment