Senyum lebar aku berikan pada
beberapa orang pelanggan yang baru selesai membuat pembayaran di kaunter. Penat
juga melayan pelbagai kerenah pelanggan yang cerewet. Namun, apabila berjaya
puaskan hati mereka dengan sesuatu yang betul-betul kena dengan jiwa mereka,
bagai ada satu kepuasan di situ.
“Cerewet bukan main,”
Aku tersenyum mendengar omelan Suri
yang sedang menyusun resit pembelian di sudut kaunter.
“Biasalah. Dia orang kan membeli.
Mestilah nak yang betul-betul berbaloi dengan duit yang dia orang
keluarkan,”tegurku bersama senyum yang terus terhias di bibir. Teguran yang
membuat Suri tersengih cuma.
“Betul. Mummy setuju. Ragam
pelanggan memanglah macam tu. Suri pun, macamlah baru hari ni, kerja ya?,”
Suri tergelak kecil.
“Tak adalah Puan. Tapi, customer yang cerewet melampau macam tu,
kadang-kadang geram tu datang juga Puan,”
Aku tergelak mendengar rungutan yang
cukup ikhlas itu. Ibu mertuaku cuma menggeleng perlahan.
“Tiya?,”
Aku memandang wajah ibu mertuaku
dengan sedikit rasa hairan. Kening kuangkat sedikit. Ibu mertuaku tersenyum.
“Tiya tak geram ke?,”
Aku tersengih.
“Adatlah mummy. Nak customer kenalah sabar. Betul tak?,”
Puan Junaidah tersenyum kecil.
“Betul…,”balasnya sepatah. Aku
senyum.
“Come…,”ujarnya
pendek. Terus melangkah menuju ke biliknya. Aku memberi isyarat agar Suri
menjaga kaunter dan seorang dua pelanggan yang asyik membelek baju. Suri cuma
mengangguk sambil mengangkat ibu jari. Aku tersenyum sambil mengekori langkah
ibu mertuaku. Daun pintu kaca aku tutup perlahan kemudian melabuhkan punggung
di sebelah ibu mertuaku.
“Ada apa, mummy?,”
Senyum sekali lagi mekar di bibir
itu.
“Geram pada pelanggan dah kurang.
Geram pada yang tersayang, macam-mana pula?,”
Aku diam. Wajah Puan Junaidah
kuamati sungguh-sungguh. Adakah Puan Junaidah tahu aku sedang perang dingin
dengan Encik Firdaus? Bukannya aku yang mahu panjangkan cerita tetapi Encik
Firdaus yang seakan-akan mahu isytiharkan perang. Langsung tidak mahu
memujukku. Dan, aku pula. Tidak mungkin aku akan mengalah. Aku tidak melihat di
mana kesilapanku. Jadi untuk apa aku tunduk mengalah dan secara tidak langsung
menunjukkan yang Puan Sri Ainul tiada kaitan di dalam permasalahan kami. Kalau
boleh aku mahu seret wanita itu untuk mengaku perbuatannya itu. Tetapi, bukan
senang untuk buat orang mengaku sesuatu yang terang-terang dilakukan secara
sembunyi.
“Maksud mummy?,”soalku
lambat-lambat. Mana tahu mungkin telahanku silap. Mungkin Puan Junaidah mahu
sampaikan sesuatu yang bukan seperti aku fikirkan ini.
“Ada masalah dengan Fir, ya?,”
Aku tunduk. Betullah telahanku.
Mungkinkah Encik Firdaus bercerita pada ibunya? Apa yang telah lelaki itu
ceritakan?
“Abang Firdaus beritahu mummy
ke?,”aku cuba mencungkil maklumat.
Puan Junaidah tersenyum lebar.
“Bukan, sayang. Fir bukan suka
cerita hal-hal peribadi dia. Cuma, satu dua hari ni, mummy perasan macam ada
yang tak kena aje dengan pasangan dua sejoli ni,”
Aku tersenyum segan. Rasanya sudah
sehabis mungkin aku memaniskan wajah ketika bersama Encik Firdaus apabila ibu
dan bapa mertuaku ada berhampiran. Tetapi, tetap juga begitu mudah dibaca oleh
ibu mertuaku ini.
“Nak share dengan mummy?,”
Soalan itu membuat aku sedikit
terharu. Tetapi, perlukah aku kongsikan dengan Puan Junaidah? Encik Firdaus sendiri
tidak membuka cerita itu pada ibunya. Sudahnya aku menggeleng perlahan.
“Tak apalah mummy. Perkara kecil
aje,”
Puan Junaidah tersenyum sambil
mengangguk perlahan.
“Okay, kalau macam tu. Tapi, perkara
kecil kalau dipanjangkan, nanti tak jadi kecil,”
Aku terdiam. Ada nada-nada yang
memberi isyarat agar aku beralah di situ.
“Nak dengar mummy cakap sikit?,”
Giliran aku mengangguk perlahan.
“Berapa lama Tiya kenal Fir?,”
Aku termangu. Sebagai seorang
majikan, rasanya sudah agak lama aku mengenali Encik Firdaus. Sebagai seorang
yang istimewa, rasanya tempoh setahun lebih itu bukanlah jangka masa yang agak
lama. Proses perkenalan kami juga tidak begitu baik. Sering terdedah dengan
prasangka dan salah sangka. Sebaik salah sangka terlerai,kami terus bertunang.
“Setahun bertunang dan terus
kahwin,”telus jawapan yang aku berikan.
“Dah betul-betul kenal dengan sikap
Fir?,”
Aku termangu lagi. Setahun di dalam
alam pertunangan aku terlalu dimanjakan. Selepas berkahwin pun, Encik Firdaus
melayan aku bagai puteri sehingga aku terlupa untuk mengkaji sikap Encik
Firdaus sendiri. Sudahnya aku menggeleng perlahan. Baru aku sedar, aku masih
belum arif dengan sikap dan perangai insan yang aku cintai. Akukah yang tidak
prihatin? Atau aku terlalu pentingkan diri sendiri? Dan, akhirnya… akukah yang
bersalah?
Perlahan Puan Junaidah menggenggam
jemariku.
“Fir… memang cukup gentleman. Penuh dengan kasih-sayang.
Tapi, hatinya juga kadang-kadang sangat sensitif. Cuba Tiya fikir semula punca
semua ni. Mungkin hati dia terguris sikit kot. Mungkin dia merajuk. Fir pun
pandai merajuk tau. Payah nak merajuk tapi, kalau sekali dia merajuk, lama.
Jadi, mummy yakin, Tiya tahu apa yang patut Tiya lakukan. Jangan gaduh
lama-lama. Tak elok,”
Aku terkedu. Jadi, sekarang Encik
Firdaus merajuk? Encik Firdaus bukan marah padaku, tetapi dia merajuk dengan
aku? Tetapi, betul ke? Kalau betul, patutlah dia tidak mahu memujukku. Aku
pandang wajah Puan Junaidah.
“Macam-mana nak pujuk abang
Firdaus?,”
Puan Junaidah tergelak kecil. Aku
mula resah. Perlukah aku memujuk? Kenapa Encik Firdaus merajuk? Bukankah dia
yang menuduh aku dan tidak mahu mendengar penjelasanku? Tetapi, memikirkan
kata-kata ibu mertuaku, mungkin ada benarnya. Takkan aku mahu panjangkan
pertelingkahan ini. Sampai bila? Sampai Mia betul-betul muncul dan membawa
Encik Firdaus pergi, seperti yang telah Puan Sri Ainul rancang? Aku menarik
nafas panjang. Tidak! Terlalu ngeri andaian itu.
“Macam-mana cara nak memujuk tu,
Tiya ajelah yang tahu. Mummy tak boleh tolong,”
Aku tersenyum kelat. Mula menggigit
kuku mencari ilham. Sungguh aku tak tahu.
“Mummy nak keluar jumpa Puan Sri
Ainul kejap. Nak join?,”
Segera aku mengangkat muka sebaik
mendengar nama itu disebut. Laju aku menggeleng. Diberi upah pun aku tidak akan
menadah muka di hadapan perempuan itu. Tidak ingin aku!
“Betul ni? Puan Sri suka tau kalau
selalu dapat jumpa Tiya. Dia cakap dia sukakan Tiya. Kalau Tiya free… selalu-selalulah contact dia. Dia tu dah macam family kita. Fir memang sayang benar
dengan Puan Sri tu. Maklumlah sejak kecil memang dia manja dengan Puan Sri tu.
Dah macam mummy nombor dua dia…,”panjang lebar Puan Junaidah bercerita.
Haa…. Iya! Sukalah sangat! Aku
mengangguk sambil tersenyum lebar. Puan Junaidah mengangkat punggung. Mencapai
beg tangannya di atas meja. Aku terus tersenyum.
“Mummy pergi dulu. Fikirkan
kata-kata mummy tu, tau,”
Aku mengangguk perlahan.
“Take
care mummy,”
Ibu mertuaku cuma tersenyum sambil
terus berlalu. Aku pula terus termangu di sofa. Menongkat dagu sambil mengeluh
perlahan.
“…Fir memang sayang benar dengan
Puan Sri tu. Maklumlah sejak kecil memang dia manja dengan Puan Sri tu. Dah
macam mummy nombor dua dia…,”
Selintas kata-kata ibu mertuaku
seketika tadi, berputar di minda. Patutlah marah benar Encik Firdaus padaku.
Jadi, untuk tidak memburukkan lagi keadaan, aku memang perlu beralah. Terpaksa
membenarkan perlakuan Puan Sri Ainul demi menjaga hubungan aku dan Encik
Firdaus.
“Puan Sri Ainul…,”tiba-tiba aku
berbisik perlahan sambil mencemik. Sungguh sukar dipercayai pertengkaran ini
berpunca daripada cerita rekaan Puan Sri Ainul yang disayangi Encik Firdaus dan
aku terpaksa lupakan perbuatan itu hanya kerana perempuan itu wanita kesayangan
Encik Firdaus. Aku mencemik lagi. Cukup mendidih hatiku tiap kali teringatkan
nama itu. Dan, ramai sungguh wanita kesayangan suamiku ini!
Seketika aku mengetuk dahi sendiri.
“Tiya, sekarang kau kena fikirkan
cara nak pujuk suami kau. Bukan fikir pasal Puan Sri Ainul yang jahat tu!,”aku
bersuara geram. Mula menongkat dagu sambil berfikir. Bagaimana caranya untuk
aku memujuk Encik Firdaus yang merajuk secara serius buat kali pertama ini?
Merajuk main-main bolehlah aku pujuk
secara main-main juga. Tetapi, kalau sudah masuk dua hari tidak bergurau-senda
denganku, sahlah rajuk itu sudah serius. Aku mula menggaru kepala. Bergerak ke
meja ibu mertuaku. Komputer yang sedia terpasang itu, aku renung seketika.
Perlahan aku daftar masuk ke Yahoo! Messenger. ID Encik Firdaus kelihatan
sedang offline. Tetapi, memang dia
sering memilih status invisible.
Malam tadi dia sudi menyapaku di sini, mungkin kalau aku menyapanya, dia akan
membalas.
Ugly
Betty : Salam, bang. Jom keluar makan.
Aku menongkat dagu. Menunggu jawapan. Senyap sahaja.
Mungkinkah Encik Firdaus benar-benar offline?
Ugly
Betty :BUZZ!
Ugly
Betty: Shopping nak? Tiya temankan?
Aku mencuba lagi. Maklumlah sekarang kan, Encik
Firdaus cukup suka membeli-belah. Namun, tetap juga tiada jawapan. Aku mengeluh
perlahan. Mungkin Encik Firdaus sedang sibuk. Aku pula tidak mahu berlama di
sini. Pasti Suri perlukan bantuan di luar sana.
Charmimg
:Abang ada meeting in 10 minutes.
Ugly
Betty: Ok. Take care…
Tidak menunggu lama aku terus daftar keluar. Alunan
ayat pun jelas menunjukkan lelaki ini masih di dalam mood merajuk. Perlahan aku
menghela nafas sambil mengangkat punggung. Nampaknya aku perlu berusaha dengan
cara lain. Cara apa? Sungguh masih belum ada idea yang terlintas di fikiran.
Takkan nak hadiahkan bunga? Coklat? Kalau aku yang merajuk, logiklah begitu
cara pujukannya. Kalau Atok merajuk, lagi senang. Peluk dan cium saja. Kalau
Encik Firdaus merajuk? Aku garu kepala sekali lagi. Lemah aku melangkah keluar
dari bilik ibu mertuaku. Membawa wajah kelat sehingga ke kaunter. Memandang
kosong pada Suri yang leka melayan pelanggan, sambil kepala ligat mencari idea
untuk menjernihkan semula hubungan aku dan Encik Firdaus. Juga cuba mengingat
kembali di mana kesilapan yang mungkin telah aku lakukan selain daripada
meletakkan kesalahan kepada ibu Mia. Juga selain daripada pertemuan aku dengan
Abang Kamal. Aku yakin, bukan pertemuan itu yang membuat Encik Firdaus marah.
Sudahnya aku mengeluh perlahan. Terkebil-kebil
dengan seribu satu perasaan tidak tenteram. Mahu saja aku pergi berjumpa dengan
Encik Firdaus saat ini juga. Tetapi, dia kan sedang sibuk. Dan, aku mengeluh
lagi.
*****
5 comments:
Hanni...kesian kat Tiya dipermainkan dgn cara halus dek Puan Sri tuu..
dan sedih coz En.Firdaus lebih percaya kat Puan Sri dr Tiya
lagi sedih klu En.Firdaus cari Mia tuk hilangkan rajuknya itu
akak mmg best la...cpt2 la dlm versi cetak ye
akak blog dah cun ni..rajin2 la update akak..hehe
hanni rindu nye akak kat Tiya n Firdaus!ari2 akak lawat blog nak tunggu sambungan 'BYMB'laju lah sambung hanni....pleaseeee hani sambung ye...
kak,nak sambungannya?
Post a Comment