Saturday, December 10, 2011

Mungkinkah? 18 & 19

            “Saya nekad, Encik Karim. Saya tak ada pilihan lain. Encik Karim sendiri tidak banyak beri saya peluang,”keputusannya diulang dengan nada sedikit tegas. Raut wajah Encik Karim jelas menunjukkan bukan sedikit rasa terkejut yang dialaminya.
            “Awak tahu mustahil awak boleh ambil keputusan ni…,”lelaki itu bersuara. Dengan nada sedikit tertahan. Sungguh keputusan Arisa di luar jangkaannya. Sangkanya, Arisa akan mengalah demi masa depan sendiri.
            Arisa diam. Memandang wajah majikannya agak lama. Kemudian matanya terarah pula pada surat perletakan jawatannya yang baru sahaja Encik Karim campak ke meja. Dia tahu lelaki itu agak emosi saat ini.
            “Antara rezeki saya dan maruah saya, saya terpaksa pilih maruah saya, Encik Karim. Saya betul-betul tak ada pilihan bila Encik Karim terus mengambil kesempatan atas kedudukan saya. Saya betul-betul berharap Encik Karim faham akan keputusan saya ni,”
            “Kenapa lagi-lagi saya yang kena faham awak, Arisa? Susah sangat ke untuk awak pula cuba memahami saya. Cuba faham keihklasan perasaan saya. Cuba faham apa yang saya lakukan ini, semuanya demi kebaikan kita…,” 
            Arisa menggeleng perlahan. Mengangkat kedua tangannya sebagai isyarat dia tidak mahu mendengar apa-apa daripada mulut lelaki itu.
            “See… Saya rasa tidak adil untuk awak terus minta saya memahami awak, sedangkan awak langsung tak mahu beri saya peluang,”
            “Encik Karim… jangan bercakap tentang sesuatu yang mustahil. Tolonglah. Saya tak mahu benda ni jadi lebih kecoh. Saya ambil keputusan macam ni pun, sebab saya nak lari dari semua masalah ni. Kalau boleh, Encik Karim janganlah kusutkan lagi keadaan,”
            Satu keluhan berat meniti di bibir lelaki di hadapannya ini. Surat perletakan jawatan dicapai sekali lagi. Ditatap semula dan kepalanya digeleng lagi.
            “Sorry Arisa. Saya tak akan benarkan awak berhenti kerja. Lagipun, awak tak boleh berhenti macam tu saja, selagi pinjaman awak tak selesai. Sekurang-kurangnya awak kena langsaikan semua hutang tu,”
            Arisa diam. Kata- kata itu sudah dia jangka. Dia tahu Encik Karim akan mengungkit soal pinjamannya. Dia juga tahu, itulah halangan paling besar yang dihadapinya.
            “Saya dah agak, Encik Karim pasti akan persoalkan hal ni. Saya minta ihsan Encik Karim untuk benarkan saya bayar hutang tu secara beransur-ansur. Dah lama Encik Karim kenal saya, rasanya Encik Karim faham dengan perangai saya. Saya tahu saya berhutang dengan Encik Karim, dan percayalah. Tak mungkin saya akan hilang macam tu saja, bila saya dah tak kerja di sini….,”
            Encik Karim tersenyum tawar. Perlahan dia menggeleng sambil bersandar. Merenung wajah Arisa agak lama. Mustahil dia akan lepaskan Arisa begitu sahaja. Dia sanggup mempertaruhkan rumahtangganya demi Arisa. Dia sanggup menadah telinga mendengar tuduhan isterinya juga demi Arisa.
            “Awak mahu yang bagaimana Arisa? Saya betul-betul cintakan awak. Saya betul-betul mahu awak jadi isteri saya. Kalau awak tak nak bermadu, saya sanggup ketepikan keluarga saya, demi awak. Cuma satu yang saya minta. Setujulah untuk jadi isteri saya,”
            “Encik Karim! Beristighfar Encik Karim. Saya tahu Encik Karim bercakap tanpa guna akal. Jangan ikutkan perasaan sampai macam tu sekali. Encik Karim tak kasihankan Puan Salma? Anak-anak Encik Karim? Jangan sesekali rendahkan harga diri Encik Karim sampai macam tu sekali. Selama ini, saya kagum dengan Encik Karim. Kagum melihat Encik Karim menjadi seorang majikan yang berwibawa dan seorang suami yang sangat-sangat bertanggungjwab. Takkan Encik Karim rela semua itu hilang macam tu saja?,”
            “Sebab saya tak nak kehilangan awak, Arisa. Awak tak tahu berapa lama saya simpan perasaan saya pada awak. Awak tak tahu macam-mana susahnya untuk saya berhadapan dengan awak, hanya sebagai majikan. Saya mahu hubungan kita lebih dari itu. Saya hormat awak. Saya tak akan berkeras dengan awak. Tapi, saya akan pastikan, akhirnya awak akan mengalah juga,”
            Arisa mengeluh panjang. Sedari tadi, sabarnya dihimpun dan dihimpun. Semakin dia berlembut, semakin Encik Karim berani meluahkan perasaan. Bersemuka dengan Encik Karim tidak ubah mengulangi semula perbualan yang tiada arah tujuan. Perbualan yang hanya akan menyakitkan hatinya.
            “Itu keputusan saya, Encik Karim. Dan, keputusan tu muktamad. Kalau masih ada rasa simpati Encik Karim pada saya, tolonglah lepaskan saya… tolonglah fahami perasaan saya. Saya tak sanggup lagi nak terus hidup macam ni,”
            “Saya akan berusaha untuk buat awak terus berada dengan saya. Itu janji saya,”
            Arisa mengeluh hampa. Pedih hatinya menanggapi sikap Encik Karim yang sudah berubah benar. Lelaki ini sudah tiada bezanya lagi dengan bekas suaminya.
            “Saya tak ada benda lagi nak cakap. Moga ALLAH permudah laluan hidup saya daripada fitnah ni…dan daripada kesempitan ni,”perlahan Arisa bersuara. Membuat Encik Karim diam tanpa kata. Serentak dengan pintu bilik yang ditolak keras. Arisa berpaling. Wajah keras yang tercegat di pintu bilik membuat hatinya semakin tidak sedap.
            “Berasmara- dana kat sini?,”
            Arisa tunduk. Agak lantang suara itu memenuhi ruangan ini. Dan, dia yakin, suara itu juga pasti sampai ke ruangan luar. Paling tidak staff yang berada tidak jauh daripada mejanya pasti mendengar suara itu.
            “Salma! Apa ni? Ini pejabat. Bukan tempat nak tunjuk emosi awak,”sedikit keras suara Encik Karim.
            “Ya. Ini pejabat! Bukan tempat nak berasmara!,”
            Arisa menarik nafas panjang. Perlahan dia mengangkat punggung. Tidak betah untuk terus diperlekehkan lagi.
            “Puan Salma. Saya mohon, walau apa pun masalah Puan dengan suami Puan, cukup-cukuplah libatkan saya. Saya dah cakap antara kami tak ada apa-apa. Saya berani bersumpah memang antara kami tidak pernah ada apa-apa hubungan pun. Saya dah bagi notis perletakan jawatan. Saya minta maaf, sebab saya tak boleh bagi notis dua puluh empat jam. Saya bukannya banyak duit, untuk bayar pampasan. Tapi, saya akan pastikan, hujung bulan ni,saya tak akan berada di sini lagi,”kali ini, dia berdepan dengan wanita di hadapannya ini dengan ketegasan yang tidak pernah dia pamerkan selama ini. Hari ini, dia benar-benar hilang rasa hormat pada pasangan ini. Pada pasangan yang pernah satu ketika dulu, sering menyenangkan hatinya. Kemudian dia berpaling mencari wajah Encik Karim.
            “Encik Karim… hari ini, saya nak beritahu, saya benar-benar kecewa dengan sikap encik. Saya yakin, saya tak akan menyesal dengan keputusan yang saya ambil ni. Macam –mana caranya encik mahu menyusahkan hidup saya selepas ni, saya cuma mampu serahkan semuanya pada ALLAH. Saya tak akan benarkan sesiapa pun injak-injak harga diri saya! Saya tak akan benarkan!,”separuh menjerit dia bersuara dan menolak keras kerusi. Terus dia berlalu meninggalkan pasangan itu dengan perasaan terbuku.
            Daun pintu dihempas sedikit keras. Dari situ jelas di telinganya suara Puan Salma yang saling bertingkah dengan suara Encik Karim. Dia sudah tidak peduli. Dia sudah tidak mahu fikirkan lagi masalah majikannya itu. Dengan hati yang masih membara, dia menghenyakkan punggung ke kerusi. Turun naik menahan nafas. Cukuplah dia cuba berlembut. Cukuplah dia cuba memahami. Begitu mudah dia dimalukan oleh Puan Salma. Dia cuba memahami wanita itu. Dia cuba untuk bersimpati dengan wanita itu. Tapi, apa yang dia dapat, dia kini sedang dimalukan.
            Bersama helaan nafas yang memberat, dia memandang sekeliling. Seorang dua staff kelihatan memandang ke arahnya. Membuat dia berasa dirinya cukup kecil kini. Dengarkah mereka akan teriakan Puan Salma seketika tadi? Segera dia tunduk. Menekan dahi sambil terus cuba tenangkan perasaan sendiri.
            “Rissa…,”
            “Ada apa?,”tanpa mendongak, dia bertanya. Cukup dingin. Memang saat ini dia tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun. Saat ini, dia mahu melepaskan segunung rasa geram dan sedih yang cukup menyeksakan jiwanya.
            “Jom…,”
            “Sorry. I am not in mood,”
            “Lunch time. Jom pergi makan,”
            Dia mengangkat muka. Tasnim tercegat di hadapannya. Memberi satu pandangan simpati.
            “Jom. Aku tahu kau tak nak berada kat sini, sekarang,”sedikit perlahan Tasnim bersuara. Membuat Arisa menjadi hiba tiba-tiba. Perlahan dia mengangguk. Memang dia tidak mahu berada di ruangan ini.
            “Jom,”
            Perlahan Arisa mencapai beg tangannya.


*****

            Bercucuran air mata sudah jatuh ke pipinya. Tangisannya juga sudah menjemput esakan yang tidak putus-putus. Sepuas hati dia menangis di hadapan Tasnim. Tangisan yang meluahkan segala macam rasa. Segala yang dipendam jauh dilubuk hatinya selama ini. Saat ini, dia mahu melepaskan semua rasa yang terbuku di hati.
            “Aku tak faham, Nim. Aku tak faham kenapa dia orang buat aku macam ni. Aku benci dengan semua ni! Aku dah tak sanggup dah…,”bersama esakan panjang dia cuba bersuara. Dia perlu bercakap dengan seseorang.
            “Sampai hati Puan Salma malukan aku macam tu. Selama ni, aku cuba faham perasaan dia, Nim. Aku tahu dia tertekan. Aku tahu dia emosi. Tapi, perlu ke dia malukan aku sampai macam tu sekali?,”
            Tasnim terus membisu. Memandang wajah Arisa yang sudah lencun dengan air mata. Perlahan dia mencapai tisu lalu dihulurkan pada temannya itu.
            “Sekarang, satu office dah anggap aku ni perempuan murah yang pasang scandal dengan bos sendiri,”cukup perlahan luahan bernada kesal itu meniti di bibirnya. Tidak sanggup lagi rasanya dia berdepan dengan rakan sekerja.
            “Memang ada beberapa orang kat office tadi. Tapi, aku rasa tak ramai. Sebab ramai dah keluar lunch,”Tasnim mula bersuara.
            Arisa mengesat air mata yang laju mengalir, dengan tisu.
            “Tapi, yang tinggal tu, cukup untuk menghebahkan berita ni…,”
            Tasnim mengeluh perlahan. Apa lagi yang mampu dia lakukan untuk temannya itu, selain daripada meminta Arisa bersabar. Namun, dia tahu bukan mudah untuk melaluinya. Tidak semudah kata-kata nasihat yang meluncur laju di bibirnya.
            “Aku pun dah tak tahu macam -mana nak tolong kau…,”
            “Lepas satu… satu masalah aku, Nim. Tapi, aku dah nekad. Aku dah bagi surat perletakan jawatan tadi. Aku rasa, aku tak boleh lagi terus berada di situ. Sebaiknya aku mulakan hidup baru,”
            Tasnim berpaling. Mencari wajah Arisa. Wajah yang begitu serius itu, jelas menunjukkan yang satu keputusan muktamad telah pun dibuat.
            “Apa kata Encik Karim? Takkan dia setuju macam tu saja?,”
            Sambil terus menghapuskan air mata di pipi, Arisa menggeleng perlahan.
            “Tentulah dia tak benarkan. Dia sebut semula pasal duit yang aku pinjam tu. Aku tak ada pilihan. Mungkin aku perlu merayu ehsannya. Minta dia beri aku waktu untuk jelaskan semua hutang tu. Tapi, untuk terus bekerja dengan dia, aku dah tak boleh. Terlalu banyak masalah yang akan timbul nanti,”
            “Kau dah cari kerja lain?,”
            Arisa mengangguk lemah.
            “Ada aku hantar beberapa permohonan. Aku berharap sangat, aku akan dapat kerja cepat-cepat. Kalau tak, memang bertambah perit  hidup aku. Dengan perbelanjaan rumah, kereta lagi nak berbayar, hutang Encik Karim lagi… adik-adik aku….,”luahan mati perlahan. Cuma keluhan berat meniti di bibirnya. Menekup wajahnya dengan kedua-dua tangan.
            “Buntu….,”luahnya sepatah. Pantulan daripada kesesakan minda yang hampir tidak mampu berfungsi.
            “Berat masalah kau. Tapi, aku yakin kau kuat…,”Tasnim bersuara. Meniup sedikit semangat yang dia sendiri kurang yakin akan memberi kesan yang positif.
            Arisa tersenyum pahit. Berpaling membalas pandangan simpati Tasnim.
            “Aku perlu kuat demi adik-adik aku…,”
            Tasnim mengangguk setuju. Menyentuh lembut jemari Arisa.
            “Aku doakan kau cepat-cepat dapat kerja baru. Mungkin betul kata kau… terus bekerja dengan Encik Karim, bukanlah satu keputusan yang baik,”
            Arisa melayangkan pandangan ke sekitar tempat meletak kereta di sebuah taman rekreasi. Tasnim membawanya ke sini untuk dia legakan perasaan.
            “Aku tahu, Encik Karim akan cuba halang. Tadi pun dia cakap dia tak akan benarkan aku pergi dari situ. Tapi, aku kena ambil risiko,”
            Tasnim mengeluh panjang.
            “Aku pun tak fahamlah dengan orang tua tu. Selama ni, tak pernah pula dia buat perangai. Kau kerja dengan dia pun, bukannya baru sehari dua. Selama ni, elok aje caranya. Kenapa tiba-tiba dia jadi macam tu?,”
            Arisa menggeleng perlahan. Tidak mungkin dia boleh menjawab soalan Tasnim, sedang dia sendiri masih keliru dengan perubahan sikap Encik Karim yang terlalu mendadak.
            “Agaknya, sebelum ni, kau isteri orang. Sekarang… bila kau dah tak jadi hak milik sesiapa, tambah pula dengan cerita panas tu, itu yang dia nekad tu, ya?,”
            Perlahan dia menjongket bahu. Benar-benar tidak berminat untuk berbicara tentang perasaan Encik Karim padanya.
            “Sorry, Nim… pasal aku, kau lewat nak lunch. Sekarang ni dah pukul berapa?,”segera dia mengalih topik perbualan. Tasnim memandang jam di pergelangan tangan.
            “Dah dekat pukul dua…,”
            “Dah lewat. So sorry, Nim. Kau nak pergi makan ke? Kalau kau nak makan, jomlah. Masuk lewat sikit,”
            Tasnim tersenyum kecil.
            “Aku tak lapar pun. Aku memang nak bawa kau keluar dari office tadi. Aku tengok kau stress sangat. Kau nak makan ke?,”
            Arisa menggeleng.
            “Kalau macam tu, kita terus balik office lah. Kau dah okay ke ni? Takkan kau tak nak masuk office kan?,”
            “Terpaksalah aku tebalkan muka untuk sebulan ni. Aku kena hadapi semua ni. Apa lagi pilihan yang aku ada,”
            Tasnim memandang seketika wajah Arisa yang kelihatan sedikit kurang yakin, sebelum menghidupkan enjin kereta. Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar berharap hidup Arisa akan sedikit tenang sebaik sahaja Arisa mendapat perkerjaan baru.



***** 



BAB SEMBILAN BELAS






            Ketukan lembut di pintu biliknya, sedikit mengganggu tumpuan Zariff pada kerjanya. Dia mengangkat muka. Pintu bilik sudah sedikit terbuka. Saera menjengah.
            “Boleh akak ganggu kejap?,”
            “Masuklah kak,”Zariff bersuara dan Saera melangkah perlahan ke ruangan kerjanya. Melenggang bersama satu file di tangan.
            “Ada apa, kak?,”
            Saera tersenyum kecil. File di tangan dihulurkan kepada Zariff.
            “Kat dalam tu, ada beberapa orang candidate yang isi borang untuk jawatan P.A tu. Aku fikir, mungkin kamu nak tengok-tengok dulu. Minggu depan kita boleh mula panggil untuk interview,”
            Zariff mengangguk faham sambil membuka fail di tangannya. Memandang sepintas lalu pada isi file yang penuh dengan resume lengkap. Matanya terpandang pula pada kertas di tangan wanita yang masih tercegat di hadapannya itu.
            “Itu, apa?,”soalnya pendek.
            Saera memandang helaian kertas yang berklip di tangannya.
            “Oh… ini resume calon juga. Tapi, akak keluarkan sebab tak memenuhi criteria,”
            “Maksud akak?,”
            “Akak buat follow up. Call tempat kerja calon ni sekarang. Ada problem. Mungkin tak sesuai untuk jawatan ni,”
            Zariff diam mendengar. File di tangan diletakkan di atas meja.
            “Boleh saya tengok?,”
            Saera mengangkat kening. Zariff sudah hulurkan tangan. Kertas di tangannya kini beralih ke genggaman Zariff.
            Hampir jatuh ke lantai sebaik dia melihat gambar berukuran passport yang melekat pada borang. Arisa! Bibirnya hampir mengukir senyum, namun segera disembunyikan.
            “Apa masalah dia ni?,”soalnya dengan nada serius. Wajah juga serius memandang Saera.
            “Masalah disiplin. And also, ada masalah kewangan. Cuba lari daripada personal loan dengan majikan. Itu yang disampaikan oleh majikan dia,”
            Zariff diam seketika. Begitu bermasalahkah gadis ini?
            “Dah berapa lama dia kerja di tempat lama dia?,”dia merisik lagi.
            “Dalam empat tahun…,”
            Zariff mengangguk perlahan.
            “Kalau ada masalah kerja, takkan dapat bertahan sampai empat tahun?,”dia bersuara memberi pendapat sambil di matanya sudah terbayang wajah Arisa dan juga lelaki bersama gadis itu tempoh hari. Mungkin ada masalah dalam hubungan mereka. Mungkin rahsia sudah terbongkar dan gadis ini terpaksa lari. Soal hutang, rasanya setiap lelaki yang menyimpan perempuan penghibur, pasti akan mengungkit soal duit andai perempuan yang sudah bertahun menghabiskan duitnya, nekad mahu mengangkat kaki meninggalkannya.
            “Itulah yang diberitahu oleh majikannya sendiri, dan akak tak berani nak ambil risko…,”
            Zariff tersenyum kecil. File di atas meja diambil semula. Kemudian dihulurkan kepada Saera.
            “Zariff tak nak tengok dulu ke?,”
            Zariff menggeleng.
            “Tak perlu interview. Saya tak mahu calon lain. Saya mahu dia ni mula kerja dengan saya, awal bulan depan,”sambil mengangkat borang permohonan di tangannya, ringkas arahan yang diberikan bersama senyum yang cukup panjang. Memang sudah tersurat, gadis bernama Arisa ini ditakdirkan wujud di dalam hidupnya. Bagaikan bulan jatuh ke riba.
            Saera diam seketika. Agak terkejut dengan keputusan mudah yang dibuat oleh Zariff.
            “Zariff… ini bukan hal main-main. Awak nak cari pekerja. Bukan nak cari kawan perempuan. Kalau dapat pekerja yang tak boleh buat kerja nanti, macam-mana?,”
            “Kak… itu akak jangan risau. Saya tahu apa yang saya buat. And… please ya. Ini rahsia antara kita. Jangan sampai mama saya tahu pasal ni, ya?,”
            Saera mengeluh perlahan. Memandang seketika wajah anak muda di hadapannya itu. Rasanya Zariff sudah tidak dapat membezakan antara urusan peribadi dan juga urusan kerja.
            “Girlfriend Zariff ke tu?,”
            Zariff tersenyum sambil menggeleng.
            “No. I just… I rasa I ada chemistry dengan calon ni…,”ujar Zariff separuh bergurau.
            “Hmmm… lantaklah. Chemistry apa pun, akak tak tahulah. Yang penting, I’ve done my part. Buruk baik akak dah cakap. Kalau Zariff berani juga nak ambil risiko, akak tak boleh nak cakap apa. Hati-hati dengan perasaan. Jangan nanti, sebab perasaan, kerja awak terbarai sana-sini,”
            “You don’t have to worry about it. Saya tahu macam mana nak handle nanti. Malu Zariff… kalau tak boleh handle perempuan. Betul tak?,”
            Saera mencemik sambil menggeleng perlahan.
            “It’s up to you, Encik Zariff. I have no comment…,”
            Zariff tertawa lepas. Borang di tangan dihulurkan semula kepada Saera.
            “Tell her… awal bulan ni, boleh mula kerja di sini,”
            “Hai…. Bertuahlah badan budak ni ya. Dapat kerja tak payah interview,”
            Zariff kenyitkan mata. Dapat rasakan gelombang sindiran di situ.
            “Yang lain-lain tu, Kak Saera uruskanlah ya,”tambahnya lagi.
            Saera mengangguk.
            “Okay, bos,”ujarnya sambil tersenyum.
            “Thanks, kak. And ingat ya… antara kita saja,”
            Saera tergelak kecil.
            “Yalah. Kalau tak ada apa-apa, akak keluar dulu,”
            Zariff cuma mengangguk. Menghantar langkah Saera dengan pandangan yang panjang. Sebaik sahaja pintu tertutup rapat, senyum lebar diukir di bibir. Bersandar pada kerusi sambil kedua tangannya meriba kepala. Girang hatinya sukar untuk digambarkan.
            “Yes!,”dia berbisik riang. Laci mejanya ditarik sedikit kasar. Perlahan rantai berukir nama ‘Arisa’ disentuh lagi. Menggenggam rantai itu bersama segunung rasa senang di hati.
            “Kita akan jumpa lagi, Arisa…,”pada rantai itu, diluahkan satu rasa yang sukar digambarkan. Tidak dapat dia bayangkan satu saat gadis itu akan berada di hadapannya. Tidak mungkin dia akan sia-siakan peluang  ini. Dia tidak akan melepaskan gadis itu setelah tiga kali peluang datang padanya.


*****


            “Are you okay, Zariff?,”
            Zariff sedikit termangu-mangu. Nabila tergelak halus. Puan Zahra menjeling tajam.
            “Sorry ma. What is it?,”
            “Mama tanya apa kena dengan kamu ni? Depan makanan pun tersenyum-senyum?,”Puan Zahra mengulangi soalan dengan nada sedikit geram.
            “Angau ek?,”sampuk Nabila bersama senyum nakal. Zariff mengerling.
            “Tak ada apa-apa. I okay…,”
            Puan Zahra mencemik.
            “Lepas ni, mama dah boleh rehat kat rumah. Mama serahkan semua tanggungjawab syarikat, pada kamu. Tapi, kamu masih kena buat sesuatu untuk mama,”
            Zariff menyambung suapannya yang terhenti. Berita indah tengahari tadi, masih lagi membayanginya sehingga ke saat ini.
            “Tolong apa pula, ma?,”
            Puan Zahra tersenyum. Meletakkan sudu dan garfunya ke pinggan buat seketika. Tumpuannya kini sepenuhnya pada wajah Zariff yang cukup bersahaja mengunyah makanan.
            “Kahwinlah. Beri mama menantu…kemudian cucu…,”
            Zariff tersedak kecil. Segera matanya mengerling ke arah Nabila yang tersenyum panjang. Sungguh dia kurang senang dengan topik ini. Bertambah kurang senang apabila hal sebegini dibangkitkan di hadapan Nabila.
            “Hal privacy macam ni, janganlah bincang depan orang luar, mama,”dia bersuara kurang senang.
            “Orang luar? Siapa orang luar? Bella? No…sayang. Bella sebahagian daripada keluarga kita. Jangan sesekali anggap dia orang luar,”
            “Haa….dengar tu! Jangan sesekali anggap I ni, orang luar. Tau,”sampuk Nabila bersama senyum bangga.
            Zariff membuang pandang.
            “Whatever ma…,”
            “So… macam –mana? Kawan perempuan bukan main ramai. Pilihlah mana yang terbaik. Bawa jumpa mama. Kalau tak ada yang baik, biar mama pilihkan untuk kamu. Rasanya dah sampai masa kamu akhiri zaman bujang tu,”
            Zariff menggeleng perlahan. Tersenyum sambil terus menyuap makanan ke mulut.
            “Saya tak minatlah dengan topik ni. Tukar topik, boleh?,”
            “Boleh. Tapi, kamu kena dengar apa yang mama nak cakap ni dulu. Kalau kamu tak dapat cari calon isteri dalam masa terdekat ni, kamu kena terima siapa sahaja yang mama pilihkan untuk kamu. Muktamad,”
            Kunyahan Zariff terhenti. Melotot matanya merenung wajah selamba ibunya.
            “Jangan nak mengarut, mama…,”
            Puan Zahra mengangkat kening.
            “Mengarut? No, I am not. You patut lebih bertanggungjawab, Zariff. Rasanya sudah tak ada alasan untuk kamu lari daripada topic kahwin ni. Sudah sampai masanya untuk kamu berkeluarga. Tinggalkan hidup yang tahu berseronok saja. Mama sangat terbuka. Mama akan terima siapa saja pilihan kamu, asal saja perempuan itu baik orangnya. Tapi, kalau kamu berkeras nak terus hidup macam ni, mama akan ambil plan B sebagai jalan penyelesaian. Pilihan mama sudah semestinya tip top…,”
            Zariff menolak pinggan perlahan-lahan. Makan malam di restoran mewah ini, tiba-tiba merimaskannya.
            “I thought we are here for dinner,”gumamnya sambil mengelap bibir dengan napkin.
            Puan Zahra tersenyum kecil. Maklum, anak terunanya sudah tidak selesa untuk meneruskan perbualan.
            “Hidup kita, bukan makin muda, Zariff. Remember that,”
            “Yup. Setuju. Betul cakap aunty tu Zariff,”Nabila menyampuk tiba-tiba.
            “You shut up lah…,”Zariff merengus geram. Nabila tersengih sambil menyambung makan malamnya.
            Zariff memandang jam di tangan.
            “Mama balik dengan Bella kan? Saya ingat, saya nak pergi dulu. Ada janji dengan Najman,”dia bersuara sambil menggosok tengkuk. Sungguh-sungguh dia sudah tidak betah untuk terus berada di antara ibunya dan Nabila.
            “Nak larilah tu…Kamu boleh lari sekarang. Tapi, keputusan mama tadi, muktamad,”
            “Anything mama. But please… not kahwinlah mama. At least bukan sekarang. Jauh sekali dalam masa terdekat ni,”
            Puan Zahra diam. Cuma terus dengan riak tegasnya.
            “Saya pergi dulu. Bella, make sure hantar mama I….,”
            “I tahulah. Tak payah nak pesan-pesan. Cuma you tu… nanti kirim salam kat Najman ya. Cakap kat dia, kalau ada job bagus, share lah dengan I. I pun nak jadi pelakon juga,”
            Zariff tergelak kecil sambil menggeleng perlahan.
            “Tak kuasa. You nak job, you minta sendiri dengan dia,”
            Nabila menarik muka masam.
            “Tengok tu, aunty. Minta tolong sikit pun tak boleh…,”
            “Mengadu…. Jangan tak mengadu…,”Zariff menyakat sambil mengangkat punggung. Nabila membentak geram.
            “Okay, mama. Nanti saya balik rumah saya. And you… hati-hati drive,”sempat dia memberi pesanan terakhir buat Nabila yang masih mencuka wajahnya.
            “Tengoklah tu, aunty…Macam Bella ni baru dapat lesen,”Nabila bersuara setelah langkah Zariff  semakin menjauh. Puan Zahra tersenyum kecil.
            “Aunty tak tahulah kamu berdua ni. Macam anjing dengan kucing. Tak reti nak berbaik-baik kalau berjumpa. Dari kecil bawalah ke besar… tak berubah-ubah,”
            “Zariff tu…suka cari pasal,”
            “Dua kali lima aje, kalau kamu berdua. Dah… sambung makan tu,”
            Nabila tersenyum kecil. Diam dan akur dengan arahan itu.


******

10 comments:

mila said...

best cepat2 sambung yea. n3 pleaseeeee...tq hanni..

ilaedisa said...

bestla..cepatla sambung..hehe...hope mcm ku seru rindu itu..

miznza84 said...

kak hanii.... cepat2 sambung plsss... tak sabar nak tunggu arissa start keje ngn zariff..

Bidasari said...

sudah panassssss..... bagi panassssss lagi hani.... good plot.....Kasi kasut naik muka en karim tu biar padan muka ngan mulu longkang dia tu....

IVORYGINGER said...

nice. xsabar nk tunggu arissa lapor diri kat syarikat zariff. he... ;D

Anonymous said...

Ivory Ginger, sama2 kita tunggu Arissa lapor diri ye....nak tengok reaksi teruja Zariff yg dah lama gila bayang. Cepatlah sambung ye Hanni....menunggu itu satu penyeksaan. ~ kak min ~

Anonymous said...

cter ni makin best.x sabr ar tnggu arisa mula keje

Aida Sherry said...

cik writer... bila nak sambung cite ni.... lama dah duk menunggu...

Anonymous said...

akak suka sangat sangat sangat cerita ni...so tolong sambung ya plezzz!!

shahnonsalleh said...

my sis kate seronok citenyer...cepat2x lah sambung ekkk...

[11:35:50 PM] hos.getah: