Gelagat adik-adiknya yang sedang
menikmati hidangan makan malam dipandang dengan rasa lapang dada. Masih
berkira-kira sama ada dia perlu menjelaskan kedudukannya pada adik-adiknya atau
dia perlu mengambil keputusan sendiri tanpa pengetahuan adik beradiknya itu.
Bukan mudah. Tetapi, itulah sahaja jalan penyelesaian yang harus diambil. Rasanya
dia perlu bertegas. Walau apa yang akan terjadi selepas ini, dia perlu berani.
Dia terpaksa mengambil risiko ini. Tidak mungkin dia akan tunduk di situ
menunggu kepalanya diinjak oleh manusia-manusia hipokrit.
“Kak Long. Tak makan?,”Shikin
bersuara sambil menggigit ayam goreng. Lauk kesukaan adik bongsunya itu. Dia
tersenyum.
“Kak Long belum lapar. Nanti dah
lapar, Kak Long makanlah. Syikin makan dulu dengan abang dan kakak,”Arisa
bersuara sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Menghulurkan mangkuk berisi
sayur lemak labu kesukaan Dafi.
“Terima kasih, Kak Long,”ucap Dafi
tersengih.
“Takkan tak lapar. Kak Long fikirkan
apa sebenarnya ni? Macam ada masalah aje Ati tengok,”Rianti pula mencelah.
Suapan nasinya semakin perlahan.
Arisa tersenyum hambar. Berfikir
sejenak sebelum mengangkat muka memandang wajah-wajah di hadapannya.
“Kak Long nak cakap sikit…,”akhirnya
dia membuka mulut. Barangkali dia perlu bercerita pada Rianti dan Dafi. Rasanya
dua orang adiknya itu sudah boleh diajak berbincang. Dia perlu berterus-terang.
Rianti mengangkat muka. Memandang
wajah kakaknya yang tidak seceria mana. Senyum kakaknya tidak sampai ke hati.
Dia sedar tentang hakikat itu.
“Apa dia, Kak Long?,”
Arisa diam sejenak. Mengambil nafas
sedalam mungkin.
“Apa pendapat kamu, kalau Kak Long
berhenti kerja?,”soalnya lambat-lambat. Matanya fokus pada Dafi dan Rianti
bergilir-gilir. Syikin pula terus menikmati makan malamnya.
“Kak Long nak berhenti kerja?
Kenapa? Nanti… kita semua macam-mana?,”Dafi membuka mulut. Menyatakan persoalan
yang memang mengganggu perasaannya.
Arisa mengeluh perlahan. Sedaya
upaya dia mahu terus kekal bekerja bersama dengan Encik Karim. Namun, dia harus
terima hakikat ada risiko besar yang menantinya di sana. Walau bukan dia punca
segalanya, dia tidak mahu namanya terus dicalit arang hitam. Dia masih
mempunyai maruah untuk dia pertahankan. Demi dirinya. Demi adik-adiknya dan
demi keluarganya. Tidak mungkin dia akan ingkar pada satu-satunya permintaan
bapanya. Jangan sesekali menghancurkan rumahtangga orang lain demi kepentingan
sendiri. Pesanan itu bagai satu larangan keras. Larangan yang akan dia pegang
tidak kira ke mana langkah kakinya dihayun.
“Kak Long akan cari kerja lain...,”
“Tapi, kenapa sampai nak kena
berhenti kerja, Kak Long? Tempat kerja Kak Long sekarang kenapa? Ada masalah
ke?,”
Arisa mengeluh berat. Mengusap wajah
yang jelas teramat layu. Entah di mana lagi dia mahu mencari kekuatan untuk
terus bangkit menyelesaikan pelbagai masalah.
“Masalah Abang Radhilah…,”dia
bersuara perlahan. Rianti sudah menolak pinggan nasi. Nama itu cukup untuk
melenyapkan selera makannya.
“Tak habis-habis dengan dia. Tak
boleh ke Kak Long berkeras sikit dengan dia tu?,”
Arisa mengeluh perlahan. Faham
dengan emosi Rianti.
“Kalau setakat masalah dengan Abang
Radhi tu, Kak Long dah tak kisah. Kak Long dah tak mahu ambil peduli langsung.
Tapi, sekarang ni, perkara tu dah berkait dengan majikan Kak Long.
Cerita-cerita Abang Radhi tu dah buat isteri Encik Karim benci betul dengan Kak
Long. Bila Kak Long minta Encik Karim sama-sama tolong selesaikan masalah
ni…tolong bersihkan nama Kak Long, Encik Karim pula main tarik tali…,”
“Maksud Kak Long?,”Dafi menyampuk
tiba-tiba.
“Encik Karim ajak Kak Long kahwin
dengan dia,”
“Pulak…,”Rianti merengus perlahan.
“Dah tak betul ke bos Kak Long
tu?,”sambung Rianti dengan nada sedikit geram.
“Kak Long tak ada pilihan, dik.
Kalau Kak Long terus kat situ, wife dia ugut nak hebohkan semua cerita yang tak
betul tu, pada semua sfaff lain. Kak Long seorang kat situ. Walaupun Kak Long
tak salah…tapi, siapa yang akan percaya Kak Long? Kak Long kena juga berhenti
kerja kalau bos Kak Long terus berkeras tak nak selesaikan hal fitnah ni. Ini
melibatkan maruah Kak Long…,”
“Kami faham, Kak Long… Kami sokong
setiap keputusan yang Kak Long ambil. Kak Long jangan risau ya…,”ujar Rianti
perlahan.
Arisa tunduk seketika. Agak lega
setelah semuanya diceritakan kepada Dafi dan Rianti.
“Kak Long akan terus cari kerja
lain. InsyaAllah rezeki ada di mana-mana. Cuma… Kak Long nak beritahu… arwah ayah
ada masukkan semua duit dia ke akaun Kak Long. Itu duit kita semua. Jadi,
sementara Kak Long tak dapat kerja, Kak Long nak minta kebenaran sama-sama, Kak
Long mungkin terpaksa guna duit tu. Itu pun kalau terpaksa. Sebab duit tu,
memang Kak Long simpan untuk pelajaran kamu bertiga,”persoalan kedua, diluahkan
perlahan-lahan.
Duit peninggalan arwah bapanya itu,
walaupun tidaklah banyak mana, namun, duit itu adalah milik bersama. Tidak
mungkin dia akan gunakan duit itu tanpa meminta izin. Dan, sebolehnya dia tidak
mahu usik duit itu. Biarlah duit itu digunakan saat dia terdesak mencari
perbelanjaan untuk pembelajaran adik-adiknya. Masa depan Dafi, Rianti dan
Shikin jauh lebih penting padanya.
“Kami tak kisah, Kak Long. Semua tu
untuk kami juga kan? Yang penting, kalau Kak Long kena lari dari tempat kerja
Kak Long tu, larilah cepat-cepat. Buat apa nak tunggu tempat yang menyusahkan
Kak Long tu? Ati dengan adik-adik doakan Kak Long cepat dapat kerja baru,”
“Kak Long nak berhenti kerja
ke?,”Shikin menyampuk tiba-tiba.
Arisa tersenyum lucu. Begitu panjang
perbincangan mereka, Shikin baru sedar akan tajuk topic perbualannya.
Barangkali terlalu asyik dengan nasi bersama ayam gorengnya. Kepala anak kecil
berusia lapan tahun itu, diusap perlahan.
“Kak Long nak kerja kat tempat lain
pula,”ujarnya ringkas. Kemudian pandangannya dihalakan pula kea rah Dafi dan
Rianti.
“Terima kasih, dik. Doakan Allah
permudahkan jalan kita, ya,”sambungnya bersama senyum lebar.
“Kami doakan lepas ni, Kak Long
boleh hidup happy macam sebelum Kak Long kahwin dulu…,”ujar Dafi tenang.
Arisa terkedu. Tulusnya doa itu.
Dan, itulah juga harapannya. Biarlah selepas ini, dia mampu hidup tenang
bersama Rianti, Dafi dan Shikin.
“Terima kasih, Dafi. Ati, nanti
kemaskan meja ya. Kak Long nak rehat kejap,”dia bersuara sambil mengangkat
punggung.
Selera makannya entah ke mana.
Perlahan dia bergerak menuju ke biliknya. Menutup perlahan pintu bilik.
Perlahan dia mengeluh sambil bergerak menuju ke katil. Melabuhkan punggung
sambil merenung jauh ke dinding. Dia perlu mencuba untuk kali terakhir. Mencuba
untuk mendapatkan keikhlasan Encik Karim agar sama-sama berusaha membersihkan
namanya yang sudah tercalar di mata Puan Salma. Kalau lelaki itu masih berkeras
juga, dia terpaksa pergi. Walau apa kata Encik Karim sekali pun, dia tidak akan
tunggu di situ. Dia tidak akan tunggu Puan Salma melepaskan amarahnya. Sudah
hampir dua bulan Encik Karim terus enggan memberi kerjasama. Bila-bila masa
sahaja, Puan Salma boleh kotakan janjinya dulu. Lebih-lebih lagi, cukup kerap
wanita itu muncul di pejabat sejak akhir-akhir ini. Dia bukan pengecut, namun,
mustahil dia mampu berjuang sendirian.
Nada bunyi daripada telefon bimbit
menarik perhatiannya. Dengan malas telefon bimbit dicapai. Ada mesej yang masuk
ke peti pesanan. Melihat nombor yang tertera sudah cukup untuk membuat dia
mencampak semula telefon bimbit ke katil. Mesej daripada Radhi dan tidak perlu
rasanya dia melihat apa isi pesanannya. Tidak penting. Paling tidak, kata-kata
maaf yang cukup murah harganya. Untuk apa lagi ugutan apabila dia langsung
tidak acuhkan pada sebarang ugutan daripada lelaki. Barangkali kata-kata
memujuk itu cuma taktik baru Radhi untuk terus mendekatinya. Tidak lama kemudian, telefon bimbit mula
menjerit nyaring. Terus dicapai dan dimatikan. Lega. Nampaknya dia perlu
menukar nombor telefon.
Dengan malas dia berbaring. Terus
memandang siling juga kipas yang berputar ligat. Seligat fikirannya mencari
ayat pembuka kata untuk dia berterus-terang dengan Encik Karim nanti. Juga terfikir-fikir
akan arah tujuannya hidupnya yang semakin berliku.
*****
BAB TUJUH BELAS
Kosong dan hambar. Itulah yang
dirasakan saat ini. Tempat yang selama ini membuat dia terbuai dengan
keseronokan, kini bagai tiada lagi tarikan. Hanya renungan tanpa perasaan
sahaja yang mampu dia berikan pada si jelita yang asyik menari bersama jelingan
manja untuknya. Tiada lagi rasa teruja dengan layanan sebegitu. Tempat ini
bukan lagi tempat yang boleh menghilangkan penatnya. Yang boleh memberi dia
keseronokan selepas penat bekerja. Bersendirian di rumah rasanya sepuluh kali
lebih tenang.
“Jomlah. Aku nak baliklah…,”akhirnya
dia bersuara. Baru sejam duduk di sini, dia sudah disapa bosan. Sudah tidak
betah lagi dengan bunyi bingit yang pernah menjadi saksi keindahan dunianya
satu waktu dulu.
“Balik? Kau biar betul…,”Najman
membalas dengan suara sedikit tinggi. Mahu mengatasi bunyi muzik yang agak
hingar.
Zariff mengangkat punggung. Dia
nekad. Sama ada temannya itu mahu pulang atau tidak, dia tetap mahu beredar
dari situ. Dia tidak mahu memaksa. Faham, Najman ke sini untuk berseronok dan
dia tidak mahu merosakkan kesoronokan temannya itu.
“Lisa dengan Yani tu? Kejap aku
beritahu dorang…,”
“Tak payahlah. Kalau kau nak stay,
it’s up to you lah. Aku tak ada mood lah. Aku nak balik,”selesai berkata-kata,
dia terus beredar.
Najman terpinga-pinga seketika.
Kebetulan pandangannya bertemu dengan renungan sang gadis yang sudi menjadi
temannya malam ini, segera isyarat diberi. Isyarat yang menyatakan dia perlu
segera beredar. Ada riak kecewa pada dua wajah jelita itu. Namun, itu tidak
diacuhkan. Langkahnya laju mahu mendapatkan Zariff. Cepat betul lelaki itu
bergerak meninggalkannya. Separuh berlari, dia melangkah keluar dari kelab.
Tertinjau seketika mencari bayang Zariff. Dari jauh dia melihat Zariff sudah
berada di tepi kereta. Sambil menggeleng perlahan, segera dia mendapatkan
temannya yang semakin hari semakin aneh sikapnya itu.
“Bro! Kenapa ni?,”agak lantang
tegurannya bersama satu tepukan di bahu. Zariff berpaling.
“Aku ingat kau nak stay. Mana tahu,
sayang nak tinggalkan ‘barbie-barbie’
tu,”
Najman tergelak besar. Terbayang
wajah Lisa dan Yani yang baru dia kenal kurang daripada satu jam itu. Sekadar
teman untuk berseronok. Sekadar teman untuk menari.
“Alah… minggu ni hilang, minggu
depan jumpa yang baru,”selamba temannya itu menjawab membuat dia tersenyum
sama.
“Kau nak ke mana ni?,”
“Baliklah…,”acuh tidak acuh Zariff
menjawab.
“Baru pukul berapa? Kau ni kenapa?
Sejak akhir-akhir ni, lain macam benar aku tengok…,”
Zariff menjongket bahu. Matanya liar
memandang sekeliling tanpa tujuan tertentu. Soalan Najman tidak mampu untuk dia
jawab. Yang pasti hatinya terasa kosong dan nafsu untuk berseronok juga tiada.
Jadi, tempat yang paling sesuai untuknya saat ini, adalah di rumah. melayan
mimpi barangkali lebih mengasyikkan.
“Kau ada masalah ke?,”
Sekali lagi soalan itu dibiarkan pergi
bersama angin malam.
“Mama kau suruh kahwin ke?,”
Soalan seterusnya daripada Najman,
mula mengundang tawannya.
“Kena kahwin paksa?,”
Meledak tawa besar di bibirnya.
Mengarut!
“Aku rasa, kau diam lagi
baguslah…,”balasnya sambil menggeleng perlahan. Sampai ke situ tebakan Najman.
“Dah tu kenapa? Takkan tiba-tiba kau
berubah? Mesti ada sebab…,”
Zariff menjongket bahu sambil
mencebik.
“Entah. Mungkin lately aku tak ada
mood kot,”
Najman diam. Diam sambil terus
meneliti wajah Zariff yang selamba. Sungguh dia gagal meneka apakah punca
perubahan teman baiknya ini. Tiba-tiba hilang minat pada gadis-gadis cantik.
Tiba-tiba kelab malam menjadi satu tempat yang membosankan. Sungguh aneh
perubahan itu.
“Aku balik dululah…,”Zariff
bersuara.
“Rilekslah. Minum dulu. Lepak kedai
mamak tu kejap. Aku tak puas hati lagi dengan kau ni,”laju Najman menghalang.
“Apa lagi? Aku okaylah. Apa yang kau
tak puas hati sangat?,”Zariff bersuara dengan nada yang sedikit kurang senang.
Namun, langkah diatur juga mengekori Najman yang sudah mendahului. Niat untuk
terus pulang ke rumah, terpaksa dibatalkan. Dengan malas dia menyertai Najman
yang sudah tersandar di kerusi.
“Ceritalah. What’s up bro?,”Najman
bersuara sebaik selesai mengambil pesanan. Zariff mengeluh panjang. Payah
bercakap dengan manusia seperti Najman. Sudahnya dia menjongket bahu. Apa lagi
yang perlu dia ceritakan? Memang tidak ada apa-apa yang aneh pada dirinya.
“Aku biasa saja. Tak ada yang tak
kena. Kau kot… dah buang tabiat,”
“No..no….,”laju Najman menggoyangkan
jari telunjuknya di hadapan Zariff. Membetulkan duduknya sambil serius menatap
wajah temannya itu.
“Kau dah tak minat keluar malam…
lain macam. Then, kau tak minat pergi kelab… aku rasa semacam. Now! Now… kau
dah tak ada minat kat awek-awek cun tu? Serius… aku pelik. Aku pelik beb…,”
“Alaaa…. Normallah tu. Manusia
kadang-kadang mood okay, kadang-kadang tak berapa okay. Kau ni yang tak berapa
okay. Aku rasa mesti kau ni dah kena tempias reporter kepoh yang duk hentam kau
dengan soalan-soalan bodoh tu. Betul kan?,”
Najman tergelak besar. Zariff
tersenyum sumbing. Seronok benar Najman setiap kali perkataan wartawan diheret
di dalam perbualan mereka. Lebih-lebih lagi sejak temannya itu sudah
berjinak-jinak dengan dunia lakonan dan mula diusik dengan gossip-gosip panas.
“Wartawan tanya, niat dia orang kita
belum tahu. Tapi, aku tanya, sah-sah niat aku mulia,”
Zariff tergelak kecil. Menggeleng
perlahan sambil diam seketika. Memberi ruang pelayan restoran meletakkan dua
gelas minuman yang dipesan.
“Bercakap pasal aku…. Aku kenal satu
awek. Pelakon baru. Cantik. Seksi kau. Kalau kau nak, aku boleh adjust. Kawan
dengan artislah. Glamour sikit bro…,”
“Kalau cantik…kalau seksi… kau
ambillah. Aku tak nak,”Zariff bersuara sambil mengeluh panjang.
“Aku seriau. Dia dah nampak lain
macam dengan aku. Macam dah tangkap lentok dengan aku. Aku tak nak lebih-lebih
beb. Setakat enjoy bolehlah…,”
“Dah tu? Kau nak campak bala kat
aku?,”
Najman tergelak.
“Okaylah. Kalau kau tak nak bala,
sudah. Now, tell me. Kenapa dengan kau ni? Kenapa kau tiba-tiba boleh jadi
macam ni? Are you in love?,”
“Aku? In love? Cuba kau cubit lengan
kau tu. Takut-takut kau tengah mengigau ni…,”
“Kalau bukan in love, takkan
tiba-tiba boleh hilang minat sampai macam ni sekali? Drastik pula tu,”
Zariff menjongket bahu. Soalan
Najman perlahan-lahan menjemput seraut wajah pemilik nama Arisa.
“Tapi kan… bila sebut in love ni,
aku teringat satu perempuan ni…,”
“See! Aku dah agak dah. Mesti
perempuan punya hal. Tengah tangkap lentoklah ni? Diam-diam ya bro? Kenapa?
Takut aku potong line ke?,”laju Najman menyampuk.
“Kau nak dengar ke tak ni?,”
“Okay… okay… kau cerita,”
“Aku terjumpa satu perempuan ni. Dua
kali terserempak dengan dia. And… aku berharap aku dapat berjumpa dia lagi,”
“Dua kali jumpa? Takkan tak sempat
minta nombor telefon? Aku tak percaya kau akan lepaskan peluang macam tu saja,”
“I gave her my card…dalam pertemuan
kedua kami,”
“So?,”
“Dia campak kad aku dalam
longkang…,”
Meledak tawa Najman. Mengundang
beberapa pasang mata menoleh ke arah mereka, namun langsung tidak diacuhkan
oleh Najman.
“Penghinaan tu Riff. First time aku
dengar perempuan campak kad kau longkang. Mesti budak baik tu,”
Zariff menjongket bahu.
“I don’t think so…,”ujarnya
lambat-lambat.
“Kenapa kau cakap macam tu?,”
“Dia ada scandal dengan suami orang.
Aku syak lelaki tu mungkin bos dia,”
Najman diam seketika. Mencari
relevan topik itu dibawa oleh Zariff.
“So?,”
“I don’t know. Cuma, aku rasa, aku
nak sangat kenal perempuan tu. Ada sesuatu tentang perempuan tu yang sangat-sangat
menarik,”
“Jatuh cinta?,”
“Of course no…,”
Najman mencemik.
“Nak ajak scandal juga?,”
Zariff tersenyum. Tebakan kedua
Najman rasanya lebih dekat di hati. Dia mahu mengenali gadis yang bernama Arisa
itu. Ada satu tarikan kuat yang membuat mindanya tidak berhenti berfikir
tentang Arisa.
“Confirm tak jatuh cinta ni?,”Najman
bersuara lagi. Kali ini dengan nada mengusik. Zariff tersenyum sinis.
“Kau kenal aku…,”selamba dia
menjawab sambil mencapai jus tembikai di atas meja.
“And…. aku ada rantai dia. Aku dapat
masa pertemuan pertama kami,”sempat dia menambah sebelum perlahan merapatkan
straw ke bibirnya.
Najman kerutkan kening.
“Terjatuh semasa aku terlanggar dia.
Tak sempat nak cakap apa-apa dia dah pergi,”sambungnya sambil meletakkan semula
gelas ke meja. Tahu persoalan yang bermain di kepala Najman di sebalik kerutan
kening temannya itu. Najman mengangguk perlahan.
“Namanya Arisa…,”tokoknya bersama
senyum panjang. Najman termenung. Riak Zariff agak berlainan. Hebat benarkah
tarikan pemilik nama Arisa ini? Menyebut nama sahaja sudah cukup untuk membuat
wajah temannya itu berseri-seri. Dia terus diam sambil mencapai gelas
minumannya pula. Rasanya kini dia tahu punca perubahan temannya itu.
*****
6 comments:
thank u...dah lama tunggu ni...bilalah...zariff dan arisa dipertemukan..tak sabarnya....
bila nak jumpa nihh..
kak..cepat bikin novel..pastu release buat filem pulak..meletops!!
Adui tak sabar nak tunggu arissa ngn zariff bertemu lagi.. kak hani nak lagi..
bestnya..lg best klau zariff dah bjumpa dngn risa...nak lg cpt sambung arrr.seksa jiwa tnggu n3 baru...hope cik pnulis sambung cpt2x tu pleaseeee.
he... Zariff dah angau tp xngaku tu. boleh plak fikir nk bt scandal mmg xsedar diri betul tp akhirnya mmg fall jgk tp yg naya nya arissa plak tak tjatuh mcm dia. selama ni senang sgt dpt pompuan la br tau. a good value not easily to get. kan!! kan!!!
lamanya tgu entri baru ni..cepat skit cik writer, tak sabar lah
Post a Comment