Sebaik melangkah masuk ke bilik, beg tangan aku letakkan
perlahan di atas meja solek. Sejak membantu ibu mertuaku di butiknya, masaku
sedikit terisi. Seperti kehendak Encik Firdaus, tepat pukul lima, aku harus
berada di rumah. Itu syarat yang dia letakkan. Perlahan aku melabuhkan punggung
ke katil. Memandang sekeliling bilik yang cukup luas. Bersendirian di bilik, membuat
aku teringatkan ibu di kampung. Segera aku bergerak semula ke meja solek.
Mencari telefon bimbit di dalam beg tangan. Sebaik telefon bimbit tergenggam di
tangan, segera aku mencari nombor telefon rumahku. Membuat satu panggilan.
Sambil melekapkan telefon ke telinga aku bergerak semula ke katil. Menanti
panggilanku berjawab.
“Assalamualaikum, mak,”aku bersuara laju sebaik panggilan
berjawab.
“Waalaikumussalam…,”
Aku tersenyum lebar. Bersandar pada kepala katil.
“Mak sihat?,”
“Sihat. Alhamdulillah. Anak mak sihat?,”
“Sihat….Cuma rindu kat mak aje,”
“Dah jadi isteri orang, tak bolehlah rindu-rindu
sangat…,”
“Kenapa pulak? Kahwin ke tak kahwin ke, mak tetap mak
Tiya,”
Terdengar ibuku ketawa kecil.
“Kalau boleh tiap-tiap minggu Tiya nak balik jenguk mak,”
“Mana boleh macam tu. Kesianlah suami Tiya. Mak kat sini
baik-baik aje. Tiya tak payah risaulah,”
Aku mengeluh kecil.
“Tiya ajak tinggal dengan Tiya, mak tak nak…,”aku
bersuara separuh merajuk. Teringat pada saranan Encik Firdaus yang aku sampaikan
pada ibuku sebulan yang lalu. Ibuku menolak mentah-mentah.
“Mana boleh mak nak tinggal kat bandar tu. Rumah kita ni,
macam-mana?,”
“Sesekali kan boleh balik tengok rumah…,”
“Mak sayanglah nak tinggalkan rumah ni. Semua ada kat
sini. Tak apalah. Mak sihat lagi. Tak perlu Tiya risau sangat. Nanti, kalau mak
dah sakit-sakit, tak ada orang yang nak jaga, bolehlah mak tinggal denggan
Tiya…,”
Aku diam.
“Tiya telefon ni, kenapa? Nak beritahu mak berita gembira
ke?,”
“Berita gembira apa?,”
“Manalah tahu kot-kot mak nak dapat cucu,”
Aku tergelak besar.
“Mak ni. Ada pula ke situ perginya. Tak adalah. Tiba-tiba
Tiya teringatkan mak. Tiya baru balik ni. Tiya tolong mummy kat butik dia.
Bosanlah duduk rumah…,”
“Hmmm….. eloklah tu. Jaga suami elok-elok. Jaga mertua
elok-elok,”
“Baik…. mak….,”ujarku berlagu.
“Nanti senang-senang Tiya call lagi ya, mak. Tiya nak
mandi. Kejap lagi abang Firdaus balik,”
“Yalah… sampaikan salam mak pada Daud, ya,”
Aku tergelak lagi.
“Gelak pulak…,”
“Mana ada orang nama Daud kat sini, mak,”sakatku girang.
Terdengar ibuku merengus perlahan di hujung talian.
“Main-mainkan mak, ya,”
Aku tergelak lagi.
“Okaylah mak. InsyaALLAH nanti Tiya sampaikan salam pada
Daud tu. Assalamualaikum mak,”
Ibuku menjawab salam sambil mengomel kecil. Seketika
kemudian talian terputus. Aku merenung telefon bimbit di tangan bersama senyum
yang belum hilang.
“Daud…,”bisikku bersama tawa kecil. Firdaus sudah
bertukar menjadi Daud. Perlahan aku menggeleng. Mengatur langkah menuju ke arah
meja solek. Telefon bimbit aku letakkan di atas meja solek, sambil mata menyapu
wajah yang terpantul di cermin. Kapas muka aku capai lalu dibasahkan dengan
susu pembersih wajah. Perlahan-lahan aku sapukan pada wajah. Menghilangkan
bekas solekan nipis yang melekat di wajah. Rambut yang terikat elok, aku
leraikan. Mencapai sikat lalu disikat perlahan-lahan.
Bunyi
pintu dibuka menarik perhatianku. Segera mata teralih ke pintu bilik. Bersua
dengan wajah Encik Firdaus
“Assalamualaikum,
sayang…,”
Aku
senyum sambil perlahan menjawab salam itu. Sikat aku tinggalkan di meja solek,
sambil terus mendapatkan Encik Firdaus. Mengucup tangannya sambil mencapai beg
komputer riba yang tersandang di bahunya.
“Awal
abang balik?,”
Encik
Firdaus mengeluh panjang.
“Penat
sikitlah. Rasa macam tak larat,”
Aku
pandang wajah itu agak lama. Perlahan meletakkan jemariku ke dahi lelaki itu.
Kemudian beralih ke lehernya. Agak panas.
“Abang
nak demam ya? Panas ni…,”
“Penat
sikit aje kot. Abang tak apa-apalah,”Encik Firdaus berdalih sambil bergerak
menuju ke katil. Aku mengerling tidak puas hati. Melabuhkan punggung di sebelah
Encik Firdaus yang sudah terbaring. Jelas menunjukkan yang lelaki itu
benar-benar tidak larat.
“Tiya
ambilkan ubat ya?,”
Encik
Firdaus menggeleng perlahan. Aku pula mengeluh panjang.
“Dah
tak sihat… tak nak makan ubat pula…,”aku merungut perlahan. Mengundang senyum
di bibir Encik Firdaus, walau mata lelaki itu terpejam rapat.
“Jangan
cakap abang aje…Tiya pun sama…,”sempat Encik Firdaus perli dalam lembut. Aku
mahu menjawab, namun melihat keadaan suamiku itu, tidak sampai hati pula.
“Kepala
abang pening sikitlah. Boleh tolong picitkan tak?,”
Tanpa
banyak bicara, perlahan aku memicit kepala Encik Firdaus.
“Tadi
Tiya call mak. Dia kirim salam kat Daud,”
Spontan
gelak kecil pecah di bibir lelaki itu. Gelak yang membuat aku turut tersenyum.
“Waalaikumussalam.
Mak sihat?,”
“Sihat.
Abang dah solat Asar ke belum ni?,”aku bertanya sekadar mengingatkan apabila
terpandang jam di dinding hampir menunjukkan pukul enam petang.
“Dah.
Di office,”
“Abang
rehat dulu ya. Tiya belum solat. Nanti Tiya sambung picit kepala abang ya?,”aku
bersuara lembut. Memohon diri untuk meninggalkannya seketika. Tanganku dicapai
sambil dibawa ke bibirnya. Mata yang terpejam dibuka perlahan.
“Thanks.
Dah kurang sikit. Pergi solat dulu. Abang nak tidur kejap. Nanti kejutkan
abang,”
Aku
tersenyum sambil mengangguk perlahan. Mengusap lembut rambut Encik Firdaus yang
lebat sambil satu kucupan singgah di dahinya sebelum aku berlalu
meninggalkannya.
*******
Puan Junaidah sudah mengerutkan kening. Aku pula
menjengah bubur nasi yang Tini siapkan.
“Jarang Fir tu demam. Tiba-tiba saja demam…,”
Ibu mertuaku meluahkan rasa tidak puas hatinya. Aku cuma
tersenyum kecil. Demam Encik Firdaus nampaknya tidak semakin baik. Makan pun
tidak lalu.
“Tiya ajak pergi klinik, abang tak nak,”
“Bagi Fir tu makan ubat dulu. Kalau tak kurang juga, baru
pergi klinik,”Tuan Rashid memberi saranan.
Aku mengangguk perlahan. Bapa mertuaku sudah mengangkat
punggung meninggalkan meja makan.
“Puan, buburnya dah siap ni,”
Aku berpaling memandang Tini. Semangkuk bubur sudah
diletakkan di dalam dulang bersama segelas milo panas.
“Terima kasih, Tini,”
“Tini, buatkan kopi panas satu untuk Tuan. Nanti hantar
ke depan,”Puan Junaidah memberi arahan. Satu kebiasaan bapa mertuaku. Minum
kopi panas selepas makan malam. Tini bergegas menuruti arahan ibu mertuaku.
“Tiya naik dulu, mummy. Kasihan abang, tadi tak makan,”
“Yalah. Kejap lagi mummy tengok Fir,”
Aku mengangguk. Dulang terus aku capai sambil melangkah
meninggalkan ruang makan. Mahu segera sampai ke bilik. Pintu bilik aku tolak
perlahan. Encik Firdaus terbaring ke katil. Dulang aku letakkan di atas meja
sisi di tepi katil.
“Abang…,”panggilku perlahan sambil menyentuh jemarinya.
Punggung aku labuhkan di birai katil. Encik Firdaus membuka mata. Sempat
mengukir senyum walau tidak selebar mana.
“Tini buatkan bubur. Abang makan sikit ya. Tadi, langsung
abang tak makan. Lepas makan bubur, makan ubat ya?,”ujarku sambil membetulkan
bantal. Memberi keselesaan untuk Encik Firdaus bersandar.
“Abang okaylah…,”
“Okaylah sangat…,”omelku sambil mencapai mangkuk bubur.
Bubur yang masih berasap itu, aku kacau perlahan-lahan. Encik Firdaus tergelak
halus.
“Tiya suapkan…,”dia bersuara lembut. Mahu bermanja barangkali.
Aku tersenyum lebar.
“Boleh. Tapi, ada syaratnya,”
“Apa dia?,”
“Kena habiskan bubur ni,”aku bersuara separuh bergurau.
Perlahan bubur nasi, aku suap ke mulut Encik Firdaus.
“Hai… teruk nampaknya demam ni. Sampai makan kena
bersuap,”
Aku berpaling. Ibu mertuaku sudah tercegat di pintu
bilik. Melangkah masuk bersama senyum lebar di bibir.
“Sekali-sekala nak bermanja, apa salahnya mummy…,”Encik
Firdaus bersuara bersama senyum kecil di bibir. Puan Junaidah mencemik.
“Macam-mana boleh demam ni? Jarang sangat Fir demam, tau.
Pelik mummy…,”
“Dah nak demam, nak buat macam-mana? Cuaca panas sangat
agaknya,”
“Hmm… kerja tu jangan sampai abaikan kesihatan. Tiya,
pastikan Fir makan ubat tau. Dia ni susah sangat kalau suruh makan ubat,”
“Tak payah ubat, mummy. Tak elok manjakan sakit dengan
ubat ni. Nanti, sakit sikit nak ubat…,”
“Jangan dengar alasan dia ni,”bantah Puan Junaidah
serius.
Aku
tergelak kecil.
“Mummy keluar dulu. Lepas makan ubat, rehat…,”sambung
wanita separuh umur itu sambil melangkah keluar dari bilik. Sebaik pintu
tertutup rapat, satu tawa kecil terlepas dari bibir.
“What?,”soal Encik Firdaus bersama senyum di bibir.
Aku menggeleng. Terus suapkan bubur yang sudah tinggal
separuh.
“Abang bukan macam Tiya, takut makan ubat. Abang cuma tak
suka biasakan diri dengan paracetamol ni,”
“Tak tanya pun….,”usikku nakal. Lemah jemari Encik
Firdaus jatuh ke kepalaku. Mengusap lembut rambutku.
“Cukuplah. Abang tak nak dah,”Encik Firdaus menolak
suapanku seterusnya. Aku pula tidak mahu memaksa. Mangkuk bubur aku letakkan ke
dulang, kemudian menghulurkan gelas berisi milo panas pada Encik Firdaus.
“Makan ubat ya, bang. Takkan abang nak demam lama-lama,”
“Okaylah, sayang…,”akhirnya Encik Firdaus mengalah. Aku
tersenyum sambil terus mencapai dua biji panadol yang sudah aku sediakan.
Menghulurkan tablet itu kepada Encik Firdaus.
“Tak nak potong kecil-kecil ke?,”usik Encik Firdaus. Aku
jegilkan mata. Encik Firdaus tergelak lemah sambil membuka mulut. Aku suapkan
panadol ke mulut Encik Firdaus dan segera Encik Firdaus telan bersama air milo
di tangan.
“Thanks, sayang,”ucap Encik Firdaus begitu hampir di
telingaku. Wajah lelaki itu aku usap perlahan. Masih panas.
“Abang rehat ya…,”
“Temankan abang…,”bisiknya sambil menarikku rapat
padanya. Aku diam. Cuma bantalnya aku betulkan dan membantu dia berbaring
dengan selesa. Perlahan dia pejamkan mata sambil erat tangannya memeluk
pinggangku yang bersimpuh di sisinya. Lama aku merenung wajah yang kelihatan
penat itu. Membelai lembut rambut yang jatuh ke dahinya. Mahu suamiku itu lena
dengan tenang.
*******
10 comments:
tahu!!!!!!!!!!!! mesti tiya pregnant kan..kan..kan.. hehehe
bestnye..romatik gtu
myehaireland
i do think so la miss kira. mak kak kg. mcm tau-tau ja tnya soalan tu. he... tiya pregnant yg kena alahan en.firdaus plak. ahaha...
love them crazily...!!!an adorable hubby n wife..!
rasa2nya tiya pregnant tapi abang daud yg dapat alahannya.... hahaha
~ kak min ~
suwettt
wat la entry psl kamal & mia plak..nk tau cmne hbgan diorg..he3
alahai..demam lak c daud ni..
manje sungguh..hihihi
mesti tiya preggy kn..hehehe...cm abg ipar i...my sis y preggy dia y demam teruk...sampai admit hospital 1 week...beeesssttttt nyer!!kak hani cepat2 continue eks...dh terover excited nie...
ha'ah...msti tiya ngndung...
encik firdaus ny yg t'kna alahan ny...
Post a Comment