Dia terus menunduk. Tidak sudi untuk mengangkat muka
menghadap wajah Encik Karim. Kata-kata lelaki itu tempoh hari, masih
terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata yang terlalu mengecewakannya. Membuat
segunung rasa kagumnya pada lelaki itu, runtuh begitu sahaja. Dalam diam, dia
cuma mengira detik waktu yang berlalu lewat jarum jam yang berdenting di dinding.
Cukup untuk menggambarkan betapa sunyi sepi ruang pejabat milik majikannya ini.
Encik Karim juga jelas lebih senang berdiam diri sambil bersandar ke kerusi.
Dan, dia tahu sepasang mata lelaki itu, sedang menatap wajahnya. Sedang
mangamatinya. Membuat dia semakin tidak betah.
“Kalau tak ada apa-apa, saya sambung kerja
saya…,”akhirnya dia bersuara. Tiada sebab untuk dia terus berada di ruangan
ini. Masih ada kerja yang menantinya di luar sana walau dia begitu sibuk sejak
dari pagi. Paling tidak, kalau isteri majikannya itu muncul tiba-tiba dan dia
masih di ruangan ini, akan tercetus lagi situasi kurang senang yang bakal
menyusahkannya. Perlahan dia menolak kerusi, bersedia untuk berlalu.
“Tunggu Arisa,”
Niat untuk mengangkat punggung dan berlalu dibatalkan.
Wajah Encik Karim dipandang sekilas. Wajah itu nampak cukup tenang. Perlahan
dia menghela nafas.
“Saya tak tahu kenapa kita berada di sini dan saling
berdiam diri…,”Arisa bersuara lagi. Meluahkan rasa kurang senang yang sejak
tadi bersarang di hati. Dan, kali ini terdengar satu keluhan pendek pecah di
bibir Encik Karim. Perlahan lelaki itu membetulkan duduknya. Meletakkan lengan
ke meja sambil tumpuannya kini jatuh ke wajah Arisa.
“Awak macam-mana? Saya tumpang simpati atas semua yang
berlaku,”Encik Karim mula bersuara. Menitipkan rasa simpati lewat renungannya yang
redup.
Arisa tersenyum kecil sambil mengangguk perlahan.
“Saya okay. InsyaALLAH saya okay…dan, terima kasih sebab
Encik Karim memahami keadaan saya. Benarkan saya lanjutkan cuti saya. Terima
kasih sekali lagi,”
Encik Karim tersenyum nipis.
“Saya mahu awak tenang. Saya mahu awak mulakan tugas
dengan tenang. Anggap semua itu sudah ditakdirkan dan terima kematian ayah awak
dengan redha,”
Arisa mengangguk perlahan. Memang dia terima itu sebagai
suratan. Namun, tidak mungkin dia melupakan onar Radhi yang menjadi punca
kematian bapanya.
“Bekas suami awak, masih ganggu awak?,”
Arisa diam seketika. Agak tidak bersedia sebenarnya dia
dengan soalan itu. Sudahnya dia hanya menentang renungan Encik Karim sambil
memikirkan jawapan yang sesuai.
“InsyaALLAH saya boleh hadapi dia sekarang. Dulu, saya
fikirkan keadaan arwah ayah saya, kalau saya berkeras dengan dia. Sekarang,
saya tak perlu risaukan apa-apa lagi. Saya boleh hadapi dia,”
“Awak yakin? Saya tak mahu dia terus susahkan hidup awak.
Saya tak suka dia menyusahkan awak macam ni,”
“Encik Karim tak perlu risau. Saya tahu selesaikan
masalah saya. Lagipun, saya dah banyak libatkan Encik Karim dalam masalah saya.
Saya rasa cukuplah setakat ini saja. Lepas ni, biarlah saya selesaikan sendiri
semua masalah saya,”perlahan Arisa bersuara.
Encik Karim diam seketika. Cuma tajam merenung wajahnya
membuat dia berasa tidak sedap hati. Keterlaluankah kata-katanya itu?
Tersinggungkah lelaki itu dengan kata-katanya?
“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak bercakap kasar.
Saya tahu Encik Karim dah banyak tolong saya. Encik Karim juga dah banyak susah
sebab masalah saya ni. Saya tak mahu libatkan Encik Karim lagi. Segala
pertolongan Encik Karim selama ni, memang tidak mampu untuk saya balas. Saya
berterima kasih sangat-sangat. Tapi, cukuplah setakat ini sahaja,”
Encik Karim bersandar ke kerusi. Menarik nafas panjang
dan diam untuk seketika.
“Arisa…saya dah pun terlibat. Dan, saya tak kisah. Saya
memang mahu bantu awak. Saya memang tak mahu tengok awak susah. Tak mahu tengok
sesiapa pun menyusahkan hidup awak,”
Arisa menggeleng perlahan. Tidak mungkin. Tidak wajar
lelaki itu terus menyusahkan diri sendiri untuknya. Terus memperjudikan
rumahtangga semata-mata mahu membantu dirinya. Walau apa sekalipun niat lelaki
ini, dia tidak akan berkongsi segala masalahnya. Paling tidak, Encik Karim
bukan orangnya untuk dia kongsikan segala kesukaran hidup.
“Saya tak mahu masalah Encik Karim berlarutan. Saya tak
mahu masalah saya ni, beri kesan pada rumahtangga Encik Karim. Ini bukan hal
main-main. Cukuplah budi yang Encik Karim berikan selama ini. Pasal pinjaman tu,
saya akan cuba langsaikan secepat yang saya mampu. Saya janji. Saya janji saya
akan langsaikan semuanya,”
Encik Karim tersenyum kecil. Kata-kata yang meniti di
bibir Arisa jelas menunjukkan isi hati wanita ini. Jelas Arisa mahu menolak
segala bantuannya. Dan, cukup jelas Arisa tidak mungkin akan memaknakan
impiannya.
“Macam-mana awak nak jelaskan semuanya dalam keadaan awak
sekarang? Sekarang ni, segala tanggungjawab tergalas atas bahu awak seorang.
Saya faham keadaan awak. Saya tak mahu membebankan awak, Arisa. Sebab itu,
sebaiknya awak terima usul saya tempoh hari,”
Arisa mengangkat muka. Menentang wajah Encik Karim dengan
rasa kurang senang. Sangkanya topik itu sudah berakhir. Sangkanya Encik Karim
sudah faham apa yang dia inginkan. Ternyata dia silap. Lelaki ini masih cuba memancing tuah. Masih berhasrat untuk
meneruskan cadangan yang tidak masuk akal itu.
“InsyaALLAH saya boleh. Mustahil saya dapat selesaikan
sekaligus, tapi saya tetap akan bayar secara beransur macam sekarang…Cuma satu
saja yang saya mohon dari Encik Karim. Kita perlu jelaskan semuanya pada Puan
Salma. Perlu jelaskan kebenaran, bukan buat sesuatu yang kurang bijak seperti
cadangan mengarut tu,”
“Arisa…,”
“Saya tak tahu kenapa Encik Karim boleh terfikir sampai
ke situ. Saya juga tak faham kenapa Encik Karim sanggup meletakkan risiko pada
rumahtangga Encik Karim sendiri. Mungkin Encik Karim benar-benar mahu bantu
saya. Tapi, bukan begitu caranya. Masalah ini boleh diselesaikan dengan cara
yang lebih bijak,”pantas Arisa menyampuk.
Sebolehnya dia tidak mahu bahaskan lagi soal
itu. Yang paling dia inginkan saat ini, adalah bersemuka dengan Puan Salma dan
jelaskan semuanya kepada wanita itu. Dan…dia boleh teruskan tugasnya dengan
hati yang lega. Tetapi mustahil dia mampu bersemuka sendirian dengan kemarahan
Puan Salma.
“Saya mahu bantu awak, sebab saya memang sayangkan awak,
Arisa…,”
“Encik Karim! Encik tak patut cakap macam tu…,”
“Memang itu hakikatnya. Selama ini saya simpan perasaan
saya dalam-dalam. Saya cuba singkirkan perasaan saya. Tapi, apabila muncul
fitnah ni… saya rasa sebaiknya kita selesaikan masalah ni dengan cara paling
mudah,”
“Paling mudah? Saya tak tahu apa yang ada dalam kepala
Encik Karim. Tapi, semuanya benar-benar tak masuk akal. Kita difitnah dan ini
reaksi Encik Karim?,”Arisa bersuara sedikit keras. Benar-benar tidak bersetuju
dengan cara majikannya menangani masalah mereka.
“Kenapa Encik Karim fikirkan jalan penyelesaian macam ni?
Semua ni cuma akan mengiyakan semua fitnah yang Radhi sampaikan pada Puan
Salma. Kebenaran tak akan datang kalau kita
menyerah macam ni,”
“Arisa, saya tak kisah pasal fitnah tu. Yang penting
sekarang, perasaan saya pada awak. Saya bukan main-main bila saya melamar awak
jadi isteri saya,’
“Saya juga tak main-main bila saya cakap, saya langsung
tak setuju dengan cadangan tu. Jangan sesekali Encik Karim ungkit pasal lamaran
tu lagi. Saya tak akan rosakkan rumahtangga orang… Saya tak akan jadi duri
dalam hidup Encik Karim suami isteri. Mungkin saya ni janda, tapi, saya tak
mungkin akan jadi sekejam itu. Saya faham perasaan Puan Salma sekarang,”
“Isteri saya tak akan mahu mengerti tentang apa-apa pun,”
“Sebab Encik Karim tak berusaha meyakinkan dia. Encik Karim
cuma diam mengikut rentak mainan Radhi. Tak bertegas untuk jelaskan perkara
yang sebenar pada Puan Salma. Sebab tu Puan Salma tak boleh mengerti apa-apa. Encik
Karim ambil kesempatan…,”
“Ya. Mungkin awak betul, Arisa. Mungkin saya ambil
kesempatan dengan apa yang berlaku. Saya rasa dengan fitnah Radhi, saya dapat
bersama dengan awak…,”
“Dan, fitnah tu juga buat ayah saya terus jatuh sakit. Buat
ayah saya pergi selama-lamanya…,”
“Arisa, apa yang dah berlaku, tak mungkin kita boleh
ubah. Tapi, tak salah kan, kalau saya mahu melindungi awak. Saya mahu
melindungi awak dan adik-adik awak. Saya benar-benar ikhlas. Cubalah pertimbangkan,
Arisa,”
Pantas Arisa mengangkat punggung. Tidak ada gunanya dia
terus berada di sini.
“Mustahil. Saya tak akan setuju. Saya mampu hidup
sendiri. Saya tak perlukan simpati sesiapa. Saya rasa dah tak ada apa yang hendak
kita bincangkan lagi. Saya keluar dulu…,”
“Arisa… cuba jangan ego sangat. Saya sayangkan awak dan
saya mahu bantu awak…,”
“Kalau Encik Karim nak bantu saya, bantu saya bersihkan
semula nama saya. Itu saja yang saya mahu. Selain daripada itu, rasanya saya
dah tak perlukan apa-apa,”
“Arisa tunggu dulu. Cuba fikirkan dalam-dalam cadangan
saya tu,”
Arisa merenung tajam. Kecewa benar dengan lelaki yang
selama ini sangat dia hormati.
“Mungkin Radhi benar. Encik Karim bantu saya dulu,
mungkin sebab ada niat lain. Bukan kerana Encik Karim mahu bantu staff yang
sedang kesusahan. Sampai waktu, Encik Karim menagih sesuatu sebagai balasan…,”
“Arisa! Jangan cakap macam tu…,”
Tanpa mempedulikan kata-kata sedikit membentak itu, Arisa
segera berlalu. Terus melangkah keluar dari ruang bilik yang terlalu
melemaskannya itu. Dia tahu tindakan itu sedikit kurang ajar. Namun, tidak mungkin
dia akan terus mendengar kata-kata rayuan yang menyakitkan hati itu. Pintu ditutup
rapat dan dia segera melangkah menuju ke ruangan kerjanya. Menghenyakkan punggung
ke kerusi bersama perasaan yang bercelaru. Andai Encik Karim terus berkeras
dengan keinginannya, bagaimana dia dapat bekerja dengan aman? Bagaimana dia
dapat jernihkan kembali hubungannya dengan Puan Salma? Tiba-tiba mindanya
kembali berselirat dengan seribu persoalan baru. Sangkanya, dia dapat
selesaikan fitnah Radhi dengan mudah selepas apa yang telah terjadi tetapi yang
muncul di hadapannya kini, nampak semakin sukar.
Perlahan
dia meraup wajah. Cuba tenangkan perasaan yang bergelora dengan rasa geram dan
kecewa. Mudahnya seorang lelaki mengambil kesempatan pada kesempitan yang
sedang dilaluinya. Mungkinkah silapnya, kerana dia begitu mudah menerima
bantuan Encik Karim suatu ketika dulu? Mungkin juga silapnya kerana terlalu
mudah untuk menyerahkan seluruh jiwanya pada Radhi suatu ketika dulu. Atau
memang onar lelaki semuanya begitu? Hanya tahu mengambil kesempatan demi
kepentingan masing-masing. Dia mengeluh keras. Tangannya menolak kasar file di
meja. Benar-benar hilang keinginan untuk meneruskan kerja walaupun menimbun tugasan
yang menantinya.
“Rissa…
kenapa ni?,”
Perlahan
dia mengangkat muka. Bertemu dengan wajah Tasnim yang sedang merenung wajahnya
dalam-dalam. Perlahan dia menggeleng. Perlahan juga dia menghela nafas panjang.
“Ada
apa, Nim?,”soalnya lambat-lambat. Senyum dipaksa muncul pada seulas bibirnya. Rambutnya
yang jatuh ke pipi, diselit perlahan di telinga. Wajah Encik Karim cuba dibuang
jauh-jauh.
“Dah
pukul lima. Tak nak balik ke?,”
“Hah?
Ya ke?,”pantas matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Benar. Sudah pukul
lima. Pantas dia mengemaskan meja. Niatnya memang mahu terus tinggal di pejabat
menyiapkan beberapa tugasan. Namun, dengan perasaannya kini, mustahil dia mampu
bekerja dengan baik. Sebaiknya dia pergi jauh-jauh dari sini. Dia perlukan
udara segar buat tenangkan perasaan. Selesai mengemas meja ala kadar, segera
dia mencapai beg tangan. Mengundang rasa hairan di hati Tasnim. Tingkah Arisa
sedikit berlainan.
“Lajunya.
Nak ke mana ni?,”
“Balik,”
Tasnim
tergelak halus.
“Tak
pernah kau tergopoh-gopoh macam ni. Macam nak lari aje, aku tengok,”usik Tasnim
bersama senyum meleret.
“Lemas.
Aku nak cari udara segar,”
Sekali
lagi tawa menghiasi bibir temannya itu.
“Banyak
sangat ke kerja, sampai macam ni sekali nak cari udara segar?,”
Arisa
cuma memandang kosong. Terus melangkah meninggalkan meja. Dia perlu keluar dari
sini secepat mungkin. Perlu cari cara untuk tenangkan fikiran dan perasaan bagi
terus berdepan dengan majikannya esok. Dan hari-hari mendatang. Tasnim memandang
dari belakang sambil mengatur langkah mengekori langkah Arisa yang jelas
tergesa-gesa.
*****
4 comments:
nak lagi kak hani...
bile la arissa nk berjmpa lagi dgn zharif ni... tak sabar sungguh...
Betul tu bila lah Arissa nak jumpa Zharif ni...
X sabar ....
nak lagi.......buat novel cpat2 pun best gak...
lambatnya nak tgu next entri..tak sabar la, ni pun nasib baik jumpa blog hanni ramsul kalau tgu kat penulisan2u lagi la lambat...hailah
(chah)
Post a Comment