Friday, September 23, 2011

Mungkinkah? 9

            Lengguk langkah Tasnim yang santai, dipandang tanpa perasaan. Dia terus kaku di kerusi. Kepalanya tepu dengan masalah yang baru Radhi kirimkan. Bercerai dengan lelaki itu, tidak dapat menjadi tiket untuk dia hidup dengan lebih aman. Radhi seakan kekal menjadi mimpi ngerinya.
            “Minumlah,”pelawa Tasnim sambil mengambil tempat di sisi Arisa. Segelas sirap diletakkan di atas meja.
            Arisa tersenyum nipis.
            “Aku tak mengganggu ke ni?,”soalan itu meniti di bibir.
            “Tak adalah. Aku memang malas nak keluar hari ni,”
            “Housemate kau yang lain, ke mana?,”
            Tasmin mengeluh perlahan.
            “Semua dah lesap. Keluar jalan-jalan. Keluar dating… Tinggallah aku seorang. Kejap lagi, kena jadi tukang masaklah jawabnya. Dia orang tu, kalau balik tahu cari makanan aje,”
            Arisa tersenyum mendengar rungutan itu.
            “Tak pernah kau datang rumah aku… tiba-tiba hari ni mencemar duli datang ke sini ni, kenapa ya?,”
            Arisa mengerling. Dan Tasnim tersengih panjang.
            “Janganlah cakap macam tu…,”
            “Aku gurau ajelah. Sensitif sangat,”
            Arisa memandang tanpa suara. Usikan Tasnim bagai tidak berkesan di hatinya. Dia tidak betah untuk berada di rumah. Dia risau memikirkan masalah yang bakal menanti. Untuk meluahkan perasaan pada bapanya, dia risau nanti dia cuma membuat bapanya bertambah bimbang. Jadi, yang dia ada hanya Tasnim. Walaupun tidaklah serapat mana, Tasnim teman yang paling dekat dengannya. Tasnim juga yang banyak mengetahui masalahnya.
            “Kenapa ni? Takkan risau pasal Puan Salma belum hilang lagi?,”Tasnim mula serius  dalam bicara. Keadaan Arisa membuat dia sedikit risau.
            “Tak tahulah apa akan jadi lepas ni…,”bisiknya perlahan sambil meraup wajah dengan kedua tangannya. Sungguh dia gentar untuk ke pejabat. Gentar untuk berdepan dengan Encik Karim. Segunung rasa malu dengan perbuatan Radhi kini membebaninya. Lelaki itu bukan sahaja menyusahkan hidupnya. Tetapi, kini lelaki itu turut mengheret Encik Karim ke dalam masalah peribadinya. Bagaimana dia mahu menjernihkan keadaan yang telah dikeruhkan oleh Radhi? Andai sampai Encik Karim bertengkar dengan isterinya, bagaimana? Memikirkan hal itu, hatinya bertambah gelisah. Dia tidak mahu menjadi perosak rumahtangga orang. Sungguh-sungguh dia tidak mahu.
            “Kau fikir yang bukan-bukan. Rilekslah. Kita belum pun tahu apa puncanya, kau dah gelabah macam ni. Think positive, okay?,”
            Arisa menggeleng perlahan. Bukan saatnya untuk dia berfikiran positif saat ini. Dia buntu memikirkan keadaan Encik Karim. Buntu memikirkan perasaan Puan Salma. Juga gentar menghadapi dua wajah itu.
            “Apa yang aku risaukan tu, memang betul, Nim. Memang aku yakin Puan Salma marahkan aku…,”
            Tasnim mengeluh perlahan. Mulai tertanya-tanya punca keyakinan Arisa.
            “Kenapa kau cakap macam tu?,”
            “Rupa-rupanya, dalam pada dia ugut aku, dia kacau juga ayah aku. Dia beritahu aku ada hubungan sulit dengan Encik Karim. Dia beritahu Encik Karim sanggup beri aku duit untuk aku bayar pada dia tu. Ayah aku tak layan sampailah dia bagi gambar kat ayah aku. Aku yakin sangat, dia mesti bagi gambar itu pada Puan Salma juga,”
            “Gambar apa?,”laju Tasnim bertanya. Sedang wajah Arisa semakin kelam.
            “Aku tak tahu macam-mana dia boleh ambil gambar aku dengan Encik Karim. Masa tu aku nak terjatuh and Encik Karim pegang bahu aku. Sekali tengok mesti boleh salah faham…,”
            Tasnim diam menilai. Kemudian mencari wajah Arisa yang kelihatan cukup tegang. Sukar untuk dia percaya sejauh itu tindakan Radhi demi untuk menghancurkan hidup Arisa.
            “Agaknya dia memang mengintip kau dengan Encik Karim?,”
            Arisa menjongket bahu.
            “Macam-mana aku boleh tolong kau?,”
            Kali ini dia menggeleng. Membuat Tasnim mengeluh perlahan. Perlahan dia memeluk bahu Arisa. Cuba tenangkan jiwa Arisa yang sedang kacau.
            “Kau nak aku sama-sama dengan kau, berdepan dengan Puan Salma? Aku sanggup. Sebab, aku pun tahu cerita sebenar. Lagipun aku yang bagi cadangan tu pada Encik Karim, kan,”
            Arisa menggeleng. Sebolehnya dia tidak mahu libatkan Tasnim di dalam masalah ini. Tidak mahu Tasnim terseret sama menempah susah andai masalah ini gagal terlerai.
            “Aku tak mahu libatkan kau. Nanti, kau pun turut sama susah,”
            “Aku tak kisah…,”
            Arisa menekup muka. Buntu. Risau. Dan kemudian mengeluh keras.
            “Aku benci betul dengan lelaki tak guna tu. Aku tak faham. Kenapalah dia suka sangat susahkan hidup aku! Sungguh-sungguh aku tak faham!,”Arisa merengus separuh menjerit. Dalam marah, air mata sudah merembes keluar. Sungguh dia bosan dengan gangguan sebegini.
            “Sabar Rissa. Kau tak boleh emosi macam ni,”lembut Tasnim bersuara sambil menggosok perlahan belakang temannya itu. Arisa sudah mula beremosi.
            “Aku sedih, Nim. Dia buat aku macam ni. Dia buat ayah aku macam tu. Tak cukup dengan itu, dia nak libatkan pula orang yang tak ada kena-mengena dengan aku pulak. Apa dia dapat dengan semua ni?,
            “Aku rasa dia cuma nak peras duit kau… duit Encik Karim,”
            Arisa merengus keras. Air mata diseka kasar.
            “Ikutkan hati, aku nak lenyapkan dia dari muka bumi ni…,”
            “Jangan cakap bodoh macam tulah. Kita tunggu. Tengok apa kata Encik Karim. InsyaALLAH Encik Karim mungkin ada cara untuk selesaikan masalah ni. Lagipun hal ni dah melibatkan isteri dia, mesti dia tak akan pandang ringan. Takkan dia nak lihat rumahtangga dia hancur semata-mata kerana mulut jantan tak guna tu,”
            Arisa membisu. Geram yang bersarang ternyata gagal berkurangan.
            “Berdoa banyak-banyak. Moga fitnah ni akan berakhir,”
            Perlahan Arisa menghela nafas. Memandang wajah Tasnim agak lama.
            “Thanks, Nim. Tak ada kau, aku tak tahulah macam – mana nak hadapi semua ni. Semua ni terlalu berat untuk aku…,”
            Tasnim cuma mengukir senyum.
            “Aku mengharapkan yang terbaik untuk kau. Dah… jangan fikir sangat-sangat. Mungkin benda ni tak separah yang kau fikirkan. Kita tunggu dan lihat saja. And, now…. Minum air tu. Penat aku buat tau,”
            Arisa tergelak kecil.
            “Air je?,”
            “Dah kau cakap nak air aje…,”
            Gelak Arisa sedikit rancak. Senang dengan gurauan itu, walau hatinya masih berat memikirkan kemelut yang bakal melanda.
            “Sekali lagi… thanks Nim…,”ujarnya perlahan sambil menyentuh jemari Tasnim. Tasnim mengangguk perlahan.

****

            “Ati risaulah, Kak Long…,”
            Arisa menoleh. Memandang adiknya yang santai berbaring di katilnya.
            “Ati risaukan apa?,”
            “Ayah…,”
            Arisa mengangkat punggung. Meninggalkan meja solek, dan kemudian menyertai Rianti di katilnya.
            “Kenapa dengan ayah?,”
            Rianti mengeluh perlahan.
            “Ayah tu macam tertekan sangat dengan sikap abang Radhi tu…,”
            Luahan adiknya membawa rasa kurang senang di hati.
            “Dia ada datang lagi ke sini, ke?,”lambat-lambat Arisa bertanya. Panjang lebar dia menghamburkan kemarahan pada lelaki itu melalui telefon sebaik dia mengetahui Radhi kembali
mengganggu bapanya. Bersungguh-sungguh dia merayu Radhi agar tidak melibatkan bapanya dalam masalah mereka. Mungkinkah tawa yang dia terima daripada Radhi, memberitahu yang lelaki itu tidak akan mempedulikan permintaannya itu?
            “Petang tadi, masa Kak Long tak ada, dia datang lagi. Ati suruh dia pergi, tapi dia buat tak tahu saja. Dia bercakap dengan ayah. Dia macam saja nak buat ayah marah. Ayah pula, bukannya nak mengalah. Terus layan abang Radhi tu. Macam tak tahu perangai abang Radhi tu macam mana. Sukalah hati abang Radhi, tengok ayah marah-marah. Ati risau kalau-kalau nanti ayah jatuh sakit lagi,”
            Arisa mengeluh panjang. Kasihan bapanya.
            “Apa yang dia cakap dengan ayah?,”
            “Pasal Kak Long dengan bos Kak Longlah. Dia cakap sekarang ni, isteri bos Kak Long dah tahu semuanya. Dia cakap Kak Long dah nekad nak kahwin juga dengan bos Kak Long. Bermadu pun Kak Long sanggup, dia beritahu ayah. Kuat dia cakap, Kak Long. Macam sengaja nak bagi jiran-jiran dengar. Itu yang buat ayah geram sangat tu,”
            Perlahan dia pejamkan mata. Sakit hati bukan kepalang mendengar cerita yang enak direka oleh Radhi. Kalaulah dia mampu bisukan mulut lelaki itu.
            “Betul ke Kak Long nak kahwin dengan bos Kak Long tu?,”
            Membuntang mata Arisa merenung wajah Rianti. Soalan daripada adiknya itu sukar untuk diterima. Mustahil dia akan bertindak segila itu.
            “Kak Long belum gila lagi, dik. Nak buat macam tu. Nak rosakkan rumahtangga orang macam tu,”
            “Tapi…,”
            Arisa mengeluh penjang. Putus- asa sudah dengan musibah yang mendatang.
            “Kak Long tak tahu kenapa abang Radhi tu buat ini semua. Mungkin dia harap kak Long akan bagi dia duit untuk buat dia diam. Tapi, Kak Long dah tak mampu. Kak Long bukannya banyak duit. Kak Long sanggup penuhi permintaan dia dulu pun, sebab nak dia cepat-cepat pergi dari hidup kita. Nak dia berhenti ganggu ayah. Tapi, nampaknya dia dah jadikan perkara ni jalan mudah untuk dia dapat duit. Tak sangka dia boleh datang dengan semua cerita mengarut ni…,”
            Rianti diam. Merenung wajah kakaknya yang sudah berubah kelat. Jelas di matanya kini bibir mata kakaknya itu mula digenangi air mata. Simpati mula menerpa. Dan, marahnya pada bekas abang iparnya itu semakin menggunung.
            “Maafkan Kak Long, dik. Sebab Kak Long, hidup kita jadi huru-hara macam ni…,”
            “Kak Long…jangan cakap macam tu. Kami semua sayangkan Kak Long. Kami mahu Kak Long happy. Abang Radhi tu yang jahat. Yang tak sedar diri. Bukan salah Kak Long…,”
            Arisa tersenyum hampa. Air mata yang menitis perlahan, diseka lemah. Melihat Rianti yang menawarkan satu pelukan, hatinya benar-benar sayu. Jatuh ke dalam pelukan Rianti dengan perasaan yang cukup hiba. Erat Rianti memeluknya. Memberi rasa damai di hatinya. Rasa damai yang meringankan sedikit beban perasaannya.
            “Kitaorang tetap ada bersama Kak Long, tau…,”sepatah-sepatah kata-kata itu menujah ke gegendang telinganya.
            “Terima kasih, Ati,”
            Pelukan dileraikan dan Rianti tersenyum nipis. Perlahan dia menyeka pipi kakaknya yang basah dengan air mata.
            “Jangan menangis lagi. Ati tak suka tengok Kak Long sedih. Ati percayakan Kak Long. Ati tahu, ayah pun percayakan Kak Long…,”
            Arisa membeku. Terharu dengan pujukan adiknya yang sudah boleh melihat panorama dunia dengan fikiran yang matang. Yang sudah boleh berkongsi rasa dengannya itu.
            “Kak Long tak perlukan kepercayaan orang lain. Kak Long cuma nak orang-orang yang Kak Long sayang ni, semuanya percayakan Kak Long…,”
            Rianti mengangguk.
            “Ati harap satu hari nanti abang Radhi akan dapat balasan yang setimpal…,”
            Arisa menunduk. Kata-kata Rianti penuh dengan amarah. Jiwanya pun turut dipenuhi dengan amarah yang sama. Namun, sast ini bukan pembalasan untuk Radhi yang dia harapkan.
            “Kak Long cuma berharap sangat dia tak lagi datang menggaggu ayah dan kamu semua. Macam-manalah Kak Long nak buat dia faham yang dia memang langsung tak diperlukan lagi dalam hidup kita,”
            “Orang macam dia memang tak akan faham. Dia cuma tahu menyusahkan orang saja. Orang macam tu tak patut wujud dalam dunia ni!,”suara Rianti yang sedikit membentak itu membuat dia sedikit tergamam. Dia faham Rianti cuba membelanya. Rianti cuba melindungi dia dan bapanya.
            “Ati tengok-tengokkan ayah ya. Jangan bagi ayah stress sangat…,”
            Rianti mengangguk laju. Arisa mengeluh panjang. Masalah ini tidak akan berakhir dengan mudah. Dia tahu itu. Malah teramat yakin tentang itu.

*****
           

3 comments:

Anonymous said...

myeha ireland ..

rasa2x nak lagi lah kak..heheheh
best..ayat pun sedap dibaca

miznza84 said...

berdebar... sambung lagi kak hani plsss...

Faiz said...

hanni,
terus buat novel je lah cita nih hehheheheh stress je baca 1 episod ke 1 episod ahhahahhaha

[11:35:50 PM] hos.getah: