“Hmmm…..,”
Zariff mengerling untuk kali keempat. Bermakna sudah
empat kali keluhan panjang itu muncul di bibir gadis yang sengaja
melentok-lentok di hadapannya ini. Satu tindakan yang dia tahu sengaja mahu
menjemput ungkapan yang boleh mengundang perselisihan kecil antara mereka.
“Hmmm….,”
“Sakit tekak ke?,”akhirnya dia bersuara. Mengerling
sekilas pada senyum meleret gadis yang bersandar santai di kerusi.
Nabila tergelak halus.
“Ada pun suara. Ingatkan dah bisu,”
“I tak ada mood lah nak gaduh dengan you hari ni. So,
baik you duduk diam-diam. Minum air tu elok-elok,”
Nabila jelirkan lidah bersama senyum meleret. Seronok
dapat mengusik lelaki itu.
“Peliklah. Malam minggu… tapi seorang lelaki bernama
Zariff ni, masih duduk kat rumah. Kat
rumah mama dia pula tu. Pelik… sungguh pelik…,”
“Diam….,”selamba Zariff menjawab sambil meneguk kopi
panas perlahan-lahan.
“Kenapa tak keluar malam ni? Girlfriend busy ke? Atau…dah
solo sekarang?,”Nabila terus mengusik sambil tersenyum.
“Cik Nabila…. Suka hatilah I nak duduk rumah ke… I nak
keluar ke… I nak keluar dengan perempuan ke… or I nak duduk rumah mama I ke….
Semua tu bukan masalah Cik Nabila. Okay?,”
Nabila mencemik. Namun, senyum segera mekar di bibir
sebaik melihat kelibat Puan Zahra datang menghampirinya.
“Mama.. please ma…. Tolong bawa budak ni pergi
jauh-jauh,”
Nabila tergelak besar dan bulat mata Puan Zahra jegilkan
buat anak terunanya itu. Cukup lantang Zariff menghalau tetamunya itu.
“Tak baik cakap macam tu, Riff,”Puan Zahra bersuara.
Bersama dengan nada kurang senang.
“Tak apa aunty. Orang tengah stress tu agaknya. Macam
perempuan datang bulan aje rupanya tu,”
“Mama… tengok tu. Mulut tetamu mama ni, memang nak kena
cili,”
Puan Zahra tergelak. Geramnya pada Zariff hilang
serta-merta. Tahu kini punca Zariff bercakap sedemikian. Pasti ada
pertelingkahan antara Nabila dan Zariff.
“Aunty pun perasan juga, Bella. Murung semacam. Moody
semacam. Agaknya girlfriend dia yang datang bulan tak?,”selamba sindiran itu
diberikan pada Zariff. Membuat wajah Zariff semakin tegang. Tiada guna dia
mengadu pada ibunya.
“Mama dengan Bella ni, sama saja. Malas saya nak layan,”
“Dah merajuk pula anak teruna aunty ni,”Nabila terus
menyakat dan kini renungan tajam Zariff sudah melekat di wajahnya. Dia tersengih
sambil mengangkat sebelah kening.
“Mama tak rasa dah lewat ke ni? Baik mama pergi cepat-cepat.
Nanti tertunggu-tunggu pula kawan-kawan mama tu,”ujar Zariff bersahaja. Mahu Nabila
segera beredar dari rumahnya.
“Tak apa. Bukan selalu mereka nak menunggu mama. Lewat
sikit pun tak apa,”Puan Zahra pula membalas selamba. Zariff menjongket bahu
sambil kembali mencapai majalah yang seketika tadi sudah dia campak ke meja.
Tiada keinginan untuk terus membaca.
“Kamu tak keluar ke malam ni?,”
“Malaslah, mama,”ringkas jawapannya sambil mula membelek
majalah tanpa ada niat untuk membaca.
“Hmm… pelik tu. Dahlah tiba-tiba malam minggu lepak kat
sini. Tak nak keluar pula tu,”
Zariff mengeluh. Memandang wajah ibunya yang anggun dalam
kebaya berwarna biru. Bersedia untuk menghadiri satu majlis makan malam anjuran
persatuan barangkali.
“Mama dengan Bella
ni, kongsi kepala ya? Sama aje ayat yang keluar tu,”
Nabila tersenyum lebar sedang Puan Zahra sekadar
tersenyum nipis. Senang mendengar rungutan itu.
“Dah memang pelik. Sejak kamu pindah duduk rumah sendiri,
mana pernah bermalam kat rumah ni, bila tiba hari minggu? Takut mama
bising-bising bila kamu lesap entah ke mana, kan?,”
“Alah mama ni. Balik salah, tak balik salah. Keluar
salah, tak keluar pun salah. Saya malas nak keluarlah. Nak rehat kat rumah,”
“Rehat kat rumah ke, angaukan rantai orang tu?,”usik Puan
Zahra sambil mengerling.
“Apa pulak. Tak ada maknanya nak angau kat rantai orang.
Ingat anak mama ni, apa? Jiwang-jiwang ni, tak mainlah…,”
“Rantai siapa, aunty?,”laju Nabila bertanya. Bagai ada
cerita menarik tentang Zariff yang dia belum tahu.
“Entah rantai perempuan mana yang dia jumpa. Asyik dengan
rantai tu aje sejak akhir-akhir ni. Agaknya dia dah angau dengan tuan punya
rantai tu kot…,”
Nabila ketawa kuat. Zariff pula buat-buat tidak dengar.
“Dalam hati ada taman bunga mawar rupanya…,”
Zariff diam. Sudah malas mahu melayan usikan ibunya dan
Nabila.
“Dah. Jom kita pergi. Biarkanlah dia nak layan taman
bunga mawar dia tu. Itu lagi bagus daripada dia buang masa dengan badut-badut kat
kelab,”
“Elok tu. Saya setuju. Baik mama bergerak sekarang. Tak
baik buat orang tertunggu-tunggu ni,”
Puan Zahra sekadar mengerling sambil berlalu. Nabila pula
cepat-cepat mengangkat punggung. Mencapai tas tangannya lalu mengekori langkah
ibunya. Sempat berpaling sambil membuat muka mengejeknya. Dia membuang pandang
dan Nabila terus berlalu bersama gelak halus.
“Hati-hati drive, Bella,”pesannya dengan nada agak
tinggi. Tanpa berpaling, Nabila sekadar mengangkat tangan.
Dia tersenyum kecil. Terus diam di kerusi sambil
memerhati kereta Nabila bergerak perlahan menyusur keluar dari halaman rumahnya.
Sempat membunyikan hon sebelum terus menyusur pergi. Sunyi. Tiada lagi suara
usikan Nabila, juga tiada lagi sindiran halus daripada ibunya. Memang cukup serasi
gabungan Nabila dan ibunya. Cukup untuk membuat dia sakit jiwa. Sekali lagi dia
tersenyum kecil. Teringat pada kata-kata ibunya, perlahan dia menyeluk poket
seluar pendek yang dipakainya. Mengeluarkan seutas rantai, yang dia akui memang
tidak pernah berenggang dengannya sejak dia mengutip rantai itu di lantai café
tempoh hari. Untuk kali yang entah keberapa, bibirnya sekali lagi mengalunkan
nama yang terukir di rantai itu. Rantai itu cukup biasa. Tiada yang istimewa
dan pastinya, rantai di tangannya ini tidaklah semahal mana.
“Aku? Angau pada rantai ni? Memang mama pandai
merepek…,”dia berbisik sendirian. Terus tersenyum sambil menyambung tatapannya
pada rantai yang bukan miliknya itu. Melihat rantai itu, sekali lagi imej
pemiliknya terimbas di mindanya. Dan, dia terus melayan imej yang bermain di
mindanya tanpa menghiraukan telefonnya yang mula menjerit minta diangkat. Dia
tidak mahu keluar dengan sesiapa pun malam ini.
*****
Arisa cuak. Sekali lagi beg tangannya diselongkar. Tiada.
Segera dia membawa beg tangan itu ke katil. Mengeluarkan segala isi di dalam
beg. Tidak mungkin tiada. Dia amat yakin, dia simpan di dalam beg tangannya.
Puas dicari, namun tetap hampa. Dia mengeluh perlahan. Ketukan di pintu
mematikan cariannya. Dia mengangkat muka. Rianti tercegat di muka pintu
biliknya.
“Kak Long cari apa tu?,”Rianti melontarkan soalan sambil
melangkah masuk, walau tidak dipelawa. Turut melabuhkan punggung ke katil.
Memandang Arisa yang menggelabah seakan mencari sesuatu.
“Cari apa ni, Kak Long?,”sekali lagi dia bertanya.
“Rantai Kak Long…,”jawab Arisa sambil sekali lagi dia
menyelongkar beg tangannya, walau dia yakin, usahanya itu pasti sia-sia.
“Rantai mana?,”
Arisa mengeluh hampa. Sudah putus –asa. Memang rantai itu
sudah tiada lagi di tempat simpanannya.
“Rantai Kak Long. Dah hilang nampaknya…,”sayu Arisa
bersuara. Rasa sedih menjentik tangkai hatinya.
“Rantai hadiah arwah mak ke?,”
Arisa mengangguk lemah. Cuainya dia. Tega dia
menghilangkan barang sepenting itu.
“Macam-mana boleh hilang?,”
“Kak Long simpan dalam beg ni. Cangkuk rantai tu patah.
Esok Kak Long ingat nak hantar ke kedai, baiki. Tengok-tengok dah tak ada…,”
Rianti diam. Memandang wajah kakaknya yang jelas sedang
risau. Mungkin juga sedang sedih. Dia tahu bagaimana kakaknya itu sayangkan
rantai pemberian arwah ibu mereka itu. Berbelas tahun rantai itu setia melekat
di leher kakaknya. Cuma kebelakangan ini leher kakaknya itu kosong tanpa
perhiasan.
“Mungkin Kak Long simpan kat tempat lain kot? Dalam laci
dah cari?,”
Arisa menggeleng.
“Kak Long ingat betul, Kak Long simpan dalam beg. Cuai
betullah Kak Long ni. Tak selesai masalah tu, masalah ini pula datang…,”bersama
keluhan panjang Arisa meluahkan rasa yang terbuku.
Rianti tersenyum. Perlahan memaut bahu Arisa.
“Kak Long tahu tak? Ada seorang kakak tu, selalu cakap macam
ni, tau kalau Ati merungut. Dia cakap, tak baik merungut-rungut. Mengeluh
panjang-panjang pun tak baik. Sesuatu yang terjadi tu, pasti ada sebab. Jadi,
tak perlu kita nak kesal atau nak merungut…,”
Arisa menjeling. Tersenyum mendengar Rianti mengulang
semula tiap kata-katanya itu. Kata-kata yang sering dia ucapkan pada Rianti dan
adik-adiknya tiap kali adik-adiknya itu mengeluh tentang sesuatu.
“Bagus adik Kak Long ni ya. Ingat pesan Kak Long…,”
Rianti tersengih.
“Dahlah. Jangan fikirkan sangat. Kalau hilang tu, mungkin
dah bukan rezeki Kak Long. Kalau memang rantai tu nanti akan tetap jadi hak Kak
Long, mesti Kak Long akan jumpa balik,”
“Tapi, sayang dik. Itulah satu-satunya pemberian mak
untuk jadi kenangan pada Kak Long. Sekarang dah tak ada…,”
“Tapi kan, arwah mak tetap hidup dalam hati kita semua?
Itu yang Kak Long cakap, kan?,”
Arisa tersenyum nipis. Ternyata Rianti sudah benar-benar
matang. Sudah boleh menjadi peneman laranya. Perlahan dia mengusap rambut
Rianti.
“Adik Kak Long dah besar…,”
Rianti tersengih sambil mengangkat kening. Membuat Arisa
tergelak halus. Lapang seketika dadanya. Hilang sebentar kekusutan yang
mengekori hidupnya.
“Yalah, dik. Kak Long yakin, kalau memang rantai tu,
milik Kak Long, pasti Kak Long akan jumpa nanti. Kalau tak, memang itu bukan
rezeki Kak Long,”
Rianti mengangguk laju sambil mengangkat ibu jarinya.
Sekali lagi membuat Arisa tergelak.
“Macam-macam…,”usiknya sambil menggosok kepala Rianti.
Rianti turut tergelak. Sedikit senang di hatinya mendengar tawa Arisa.
Kebelakangan ini, kakaknya itu kelihatan tertekan benar. Kusut memikirkan onar
bekas suaminya yang masih belum selesai. Dia mengerti akan berat masalah yang
ditanggung Arisa.
“Oh ya… Ati datang ni, nak ajak Kak Long makan. Jomlah.
Ati masak special…,”
“Ati masak? Tak naklah Kak Long makan. Nanti kena food
poisoning…,”
Senyum Rianti hilang. Tiba-tiba muncul muncung panjang di
bibir.
“Kak Long ni. Tak baik tau. Penat Ati masak tau…,”
Arisa tergelak besar. Usikannya berjaya mengundang rajuk
Rianti.
“Kak Long gurau ajelah. Sebab Ati yang masak, Kak Long
sanggup kena tahan dekat ward pun,”
“Kak Long ni!,”
Arisa terus tertawa. Beg tangan yang selesai dikemaskan,
diletakkan di atas meja solek. Kemudian tangannya dihulurkan pada Rianti yang
masih mencuka di katil.
“Jomlah. Tak sabar Kak Long nak makan ni. Ati masak
apa?,”
Rajuk Rianti terus hilang. Pantas melompat turun dari
katil sambil memaut lenganArisa.
“Ati buat nasi goreng…,”
“Hmmm… bunyinya macam sedap….,”
“Abang! Cepatlah. Ikin nak masuk pulak,”
Langkah Arisa mati di meja makan. Terkebil-kebil
memandang adik bongsunya yang mengetuk kuat pintu tandas.
“Kenapa ni, Ikin?,”
“Sakit perut. Makan nasi goreng Kak Ati…,”
Rianti jegilkan mata. Arisa tergelak kecil.
“Cepatlah Abang!,”Syikin terus menjerit-jerit. Pintu
tandas terbuka. Dafi keluar sambil menekan perut. Tidak sempat keluar, tubuhnya
sudah ditolak oleh Syikin.
“Kenapa teruk sangat ni? Kenapa Dafi?,”Arisa bertanya.
Sedikit risau melihat keadaan adik-adiknya.
“Kak Long tanyalah Kak Ati. Apa yang dia masak entah. Tak
pasal-pasal sakit perut,”
“Apa pulak? Kak Ati masak nasi gorenglah,”
“Kak Ati makanlah sorang-sorang. Dafi tak nak dah. Macam
makan cili padi. Dahlah tak sedap,”
“Tak nak makan sudah!,”Rianti bersuara sambil melabuhkan
punggung ke kerusi. Arisa menjengah ke meja. Melihat nasi goreng hasil tangan
Rianti. Tanpa sedar dia tersenyum kecil. Nasi goreng yang dipenuhi minyak. Cili
padi pun cukup banyak bercampur dengan nasi goreng.
“Patutlah sampai sakit perut. Tengoklah cili padi tu,
bukan main banyak. Minyak pun dah macam nak goreng ikan aje gayanya. Ati rasa
ke tak nasi goreng ni?,”
Rianti menggeleng sambil selamba mencapai sudu. Disudukan
sedikit lalu dibawa ke mulutnya. Belum sempat dikunyah, nasi sudah tersembur ke
mangkuk.
“Pedas….,”
Dafi tergelak.
“Orang cakap tak percaya. Kak Ati makanlah sampai habis,”
“Diamlah!,”
Dafi jelirkan lidah sambil berlalu ke biliknya. Arisa
tersenyum.
“Ingatkan nak buat special untuk Kak Long. Nak buat Kak
Long happy. Tapi, tak jadi pulak,”Rianti bersuara lemah.
Arisa melabuhkan punggung ke kerusi. Memandang wajah
Rianti yang hampa.
“Kak Long dah happy ada adik-adik yang baik macam
adik-adik Kak Long ni. Nanti Kak Long ajarkan Ati masak. Bahaya tau, bagi
adik-adik sakit perut macam tu,”usik Arisa bersama senyum panjang.
Rianti mengerling perlahan. Perlahan-lahan juga turut
tersenyum.
“Kesian dia orang,”ujarnya sambil tergelak kecil. Arisa
turut tergelak.
“Ayah mana?,”
“Tidur kot. Nasib baik ayah tak makan nasi goreng Ati
ni….,”
Arisa tertawa mendengar kata-kata itu. Namun, tawanya
terhenti seketika sebaik pintu tandas terbuka perlahan. Syikin melangkah
longlai keluar dari tandas.
“Ikin okay ke?,”
Perlahan adik bongsunnya itu menggeleng.
“Lepas ni, kak Ati jangan masak apa-apa lagi
tau….,”perlahan Syikin memberi amaran sambil menekan perut. Rianti diam tidak
menjawab. Arisa bergerak mendekati Syikin. Memaut bahu Syikin lembut.
“Kesian adik Kak Long. Jom masuk bilik Kak Long. Kak Long
sapukan minyak angin, ya,”
Syikin mengangguk lemah.
“Ati tengokkan Dafi. Teruk ke sakit perutnya,”saran Arisa
sambil memimpin tangan Syikin. Rianti mengangguk perlahan. Ada sedikit rasa
bersalah di atas kegagalannya itu.
******
2 comments:
hehhehe
X sabar nk tunggu si teruna and dara bertemu lagi.. ape la yg zariff akan buat kat arissa... sambung lagi sis
Post a Comment