“Ayu!,”
Satu suara asing yang menyapa dari
belakang mematikan langkahnya. Ada sedikit rasa hairan. Perlahan dia berpaling.
Renungannya mati pada sesusuk tubuh yang semakin mendekat. Berpandangan dengan
seraut wajah yang tidak ingin dia jumpa. Kepalanya ligat melihat sekeliling.
Apa lelaki ini buat di sini? Segera dia memalingkan muka. Dan jelas kedengaran
derap langkah di belakangnya semakin melaju.
“Ayu!,”
Dan, kini lelaki itu sudah tercegat
menghalang laluannya. Cukup untuk membuat dia diserbu rasa gelisah yang teramat
sangat. Risau kalau-kalau terserempak dengan pekerjanya atau barangkali dengan
Hisyam sekali. Memang Hisyam sudah beritahu yang dia tidak akan balik ke
pejabat hari ini. Namun, itu tidak cukup melegakannya. Bertemu dengan lelaki ini
membuat dia berasa terlalu serba-salah.
“Ayu nak ke mana?,”
“Apa awak buat kat sini? Macam mana
awak jumpa tempat kerja saya?,”sedikit cemas soalan itu meniti di bibirnya.
Kepalanya sudah cukup sarat dengan masalah untuk ditambah pula dengan gangguan
daripada lelaki ini.
Borhan tegak berdiri di hadapan
Idayu. Memandang wajah Idayu yang jelas kelihatan cukup terganggu. Begitu
sekalikah Idayu tidak dapat menerima kehadirannya? Masih menebalkah benci Idayu
padanya?
“Ayu sihat?,”dia bersuara memulakan
perbualan.
“Sihat atau tidak bukan masalah
awak, Borhan. Tolong pergi dari sini. Saya tak nak orang nampak awak dengan
saya,”
“Kenapa? Kita bukan buat apa-apa
pun. Can we talk?,’
“Tak boleh. Saya tak suka nak jumpa
awak,”
Pandangan redup Borhan jelas kelihatan
hiba.
“Benci betul Ayu pada saya, ya?
Jelas Ayu masih tak dapat nak maafkan saya,”
“Semua tu cerita lama. Saya pun dah
lupakannya,”
“Kalau dah lupakan, kenapa masih
anggap saya macam musuh?,”
Idayu menentang renungan Borhan.
Wajah itu sudah sedikit berubah. Sudah lebih matang berbanding lebih tujuh
tahun yang lalu. Betapa lamanya dia tidak memandang wajah itu. Di perkahwinan
Hasmieza pun, pandangannya tidak begitu terarah pada lelaki ini.
“Saya tak pernah anggap awak macam
musuh. Cuma, antara kita memang sudah tidak ada ikatan. Saya lebih suka begini.
Jadi, saya mohon sekali lagi. Tolong pergi. Saya tak mahu nanti ada yang salah
sangka,”
“Saya rindukan Ayu,”
Bagai putus nafas Idayu mendengar
luahan itu. Tajam dia merenung wajah Borhan.
“Apa awak cakap ni?,”sedikit keras
soalan yang meniti di bibirnya.
“Saya mahu Ayu beri saya satu lagi
peluang. Kita mulakan semula hubungan kita. Please,
Ayu…,”
Idayu merengus perlahan. Tidak lagi
berminat untuk meneruskan perbualan sia-sia ini. Pantas dia menghayun langkah
mahu meninggalkan Borhan. Pantas juga Borhan mencapai lengannya. Membuat
langkahnya terhenti. Sekaligus membuat berderau darah naik ke wajahnya. Kuat
dia merentap tangannya. Merenung tajam wajah Borhan. Cukup tidak suka dengan
gangguan ini.
“Jangan sesekali sentuh saya,”
“Apa yang Ayu harapkan lagi dari
perkahwinan Ayu ni? Saya boleh bahagiakan Ayu lebih daripada Hisyam. Ayu
kembali kepada saya,”
Idayu menahan nafas. Entah kenapa
bertubi-tubi dugaan menimpanya. Belum pun reda kerenah Hisyam membuat dia penat,
muncul pula Borhan yang tidak pernah mahu mengerti ini. Tingkah Borhan
tiba-tiba menyakitkan hati. Tiba-tiba menambahkan beban yang memberat di kepalanya.
Membuat kepalanya tiba-tiba terasa sakit.
“Tolong Borhan. Saya mohon jangan
ganggu saya. Walau apa pun yang berlaku dalam rumahtangga saya, langsung tak
ada kena mengena dengan awak. Saya cintakan suami saya. Sepenuh hati saya. Saya
tak mahu ada gangguan lain dalam hidup saya. Saya mahu hidup aman dengan suami
dan anak saya,”sedikit kasar bicara yang terpacul dari bibirnya. Berharap
dengan kekasaran itu, Borhan akan pergi. Namun, lelaki itu tetap berdiri
menghadapnya. Terus merenung wajahnya.
“Ayu bohong…,”
“Tak ada sebab untuk saya berbohong.
So, please tinggalkan saya di sini.
Saya tak suka jumpa dengan awak,”
“Saya tahu Ayu sedang sedih
sekarang. Saya tahu hati Ayu sakit dengan perbuatan Hisyam,”
Idayu mengeluh panjang. Borhan bagai
tidak memahami keinginannya. Langkah diatur sekali lagi. Cuba mencelah di balik
tegapnya tubuh Borhan yang menghalang langkahnya. Benar-benar dia mahu lari
daripada lelaki ini. Dan, sekali lagi lengannya dipaut.
“Lepaskan!,”bentaknya sedikit
menjerit. Geram yang bukan sedikit dengan sikap kurang ajar Borhan. Satu
renungan penuh kemarahan menikam wajah Borhan.
“Awak tolong pergi…,”rayunya sekali
lagi. Memohon pengertian daripada lelaki itu.
“I
am sorry. Tapi, tolong bagi peluang untuk kita bercakap. Sekejap pun tak
apa,”
“Borhan, saya tak ada apa-apa
perkara pun nak bercakap dengan awak. Saya ada kerja dan tolong jangan halang
laluan saya. Saya dah lupakan kebencian saya pada awak. Jangan awak buat saya
benci awak semula,”
Borhan mengeluh berat. Sedikit pelik
dengan kekerasan hati Idayu. Sedikit pun Idayu tidak mahu memberi dia peluang.
Dengan wajah sedikit berputus – asa, dia sekali lagi mencari wajah Idayu. Wajah
itu terus dibayangi riak marah.
“Tolong pergi…,”Idayu bersuara lagi.
Ingin Borhan segera berlalu apabila kepalanya mula terasa berat. Sememangnya
fikirannya sudah terlalu terbeban dengan pelbagai kerenah Hisyam untuk beberapa
ketika ini. Dia tidak perlukan kerenah Borhan untuk menambahkan tekanannya.
“Ayu okay? Ayu nampak macam tak
sihat,”Borhan bersuara lembut apabila melihat Idayu seakan menahan sakit. Juga
wajah kesayangannya itu sudah sedikit pucat.
“Saya okay kalau awak pergi dari
sini. Awak mengganggu saya,”
“No.
Ayu tak okay. Ayu tak sihat ke?,”
Idayu membuang pandang. Cuba
menghayun langkah. Namun, matanya seakan berpinar. Hampir dia terjatuh
kalau tangan Borhan tidak pantas memaut
bahunya.
“Ayu… kenapa ni?,”
“Saya…,”
Kata-kata Idayu terhenti di situ.
Tubuhnya terkulai di dalam pegangan Borhan. Membuat Borhan terkejut bukan
sedikit. Segera dia melutut sambil meriba Idayu yang sudah tidak sedarkan diri.
Perlahan dia menampar pipi mulus Idayu sambil menyeru nama wanita itu. Idayu
tidak bereaksi. Matanya liar memerhati sesiapa yang berada berhampiran untuk
meminta bantuan.
“Puan Idayu! Kenapa ni? Apa awak dah
buat pada bos saya ni?,”
Satu suara lantang menegurnya dari
belakang. Segera dia menoleh.
“Awak kenal Idayu?,”
“Dia bos saya. Encik ni siapa? Apa
Encik dah buat pada Puan Idayu ni?,”
“Dia pengsan. Saya hantar dia ke
hospital. Awak hubungi suami dia ya,”
Mendengar lelaki asing yang sedang
memangku Idayu itu menyebut tentang suami Idayu, prasangka Nora sedikit
berkurangan. Segera dia tunduk membantu lelaki itu mengangkat tubuh Idayu yang
terkulai lemah.
“Tolong buka pintu kereta
saya,”Borhan bersuara sambil menghulurkan segugus kunci pada gadis di
hadapannya. Nora pantas mencapai dan terus menuju ke arah Mitsubishi Lancer
merah yang ditunjuk lelaki itu. Alat penggera ditekan dan pintu dibuka segera.
Memberi ruang untuk lelaki itu meletakkan tubuh Idayu ke dalam perut kereta.
“Saya nak ikut. Saya nak temankan
Puan Idayu,”
“Awak beritahu suami dia. Saya akan
bawa dia ke hospital,”
Nora tercegat seketika. Serba –
salah. Bolehkah dia percaya pada lelaki ini. Matanya tajam merenung wajah
lelaki itu yang jelas kelihatan cemas. Wajah itu tidak kelihatan seperti mempunyai
niat yang tidak baik.
“My
key…,”
Sedikit teragak-agak, Nora
menghulurkan kunci kereta pada lelaki itu.
“Siapa nama Encik?,”
“Saya Borhan. We don’t have to waste our time here. You just dapatkan husband Idayu. Tell him,”
Nora mengangguk. Meminggir perlahan untuk
memberi ruang Borhan bergerak ke arah
tempat pemandu. Dia perlu cepat. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku pada
Idayu. Dia perlu cepat-cepat menyelamatkan wanita itu.
Nora memandang kereta itu bergerak
meninggalkannya. Kemudian dia bergegas mengatur langkah. Dia perlu segera
memberitahu Hisyam apa yang telah menimpa Idayu.
****
Matanya terus menatap wajah Idayu
yang memucat.
“Encik tak perlu risau. Dia tak
apa-apa. Cuma tekanan darahnya rendah. Tapi jangan risau. Ini normal di awal
kehamilan. Barangkali disebabkan perubahan hormon. Kondisinya memang lemah
sikit. Biarlah dia berehat,”
Penjelasan daripada doktor itu
membuat dia sedikit tersentap. Tidak menyangka Idayu sedang mengandung. Dia
membetulkan duduknya sebaik mata Idayu perlahan-lahan terbuka. Tersenyum sebaik
pandangan mereka berlaga. Idayu mengengsot perlahan sambil bersandar ke katil.
“Macam mana saya boleh ada kat sini.
Apa awak buat kat sini?,”
“Ayu pengsan tadi,”
Idayu diam. Teringat dia sedang
berusaha mengelak daripada lelaki ini dan, pandangannya tiba-tiba gelap.
“Kenapa dengan saya?,”
“Doktor cakap Ayu pregnant. Tekanan darah rendah,”
Idayu terdiam. Mengandung? Satu
berita yang cukup mengejutkan. Benarkah dia sedang mengandung?
“Betul?,”
Borhan tersenyum sambil mengangguk.
Idayu tersenyum manis. Namun, senyumnya perlahan-lahan menghilang. Borhan bukan
teman yang baik untuk dia berkongsi kegembiraan ini.
“Saya dah okay. Terima kasih sebab
tolong saya. Tapi, saya rasa baik awak pergi. Saya tak mahu nanti ada salah
faham,”
“Kenapa keras sangat hati Ayu?
Bagilah satu peluang pada saya. Saya tak kisah dengan keadaan Ayu. Saya sanggup
terima anak-anak Ayu,”
“Apa awak cakap ni?,”
“Ayu bahagia ke hidup macam ni?,”
“Itu semua bukan masalah awak. Saya
tak tahu macam mana awak dapat alamat tempat saya kerja. Tapi, saya nak awak
tahu satu perkara. Saya tak perlukan awak dalam hidup saya,”
“Saya tak sanggup tengok Ayu macam
ni,”
Langkah kaki Hisyam terhenti
tiba-tiba mendengar suara lelaki dari dalam bilik Idayu. Siapakah lelaki itu?
Daripada pintu yang terkuak, dia melihat wajah Idayu yang tersandar di katil
dan seorang lelaki sedang membelakanginya.
“Buat apa Ayu terus nak sakitkan
hati sendiri? Ayu tak patut terima semua ni. Sepatutnya Ayu hidup bahagia. Ayu
berhak untuk bahagia. Biarkan dia dengan perempuan yang dia pilih. Ayu patut
pilih hidup yang lebih baik,”
Hisyam terus memaku langkahnya. Dada
sudah berombak kencang. Sungguh kata-kata itu cukup mencabar kelelakiannya.
“Abang
yakin sangat isteri abang tu baik. Kalau baik sangat, macam mana ex-boyfriend
boleh tahu rumahtangga dia ada masalah? Ex-boyfriend jadi tempat dia luahkan
perasaan ke?,”
Sepintas
kata-kata Maisara mengasak mindanya. Benarkah kata-kata gadis itu? Kalau tidak
benar, bagaimana lelaki ini seperti mengetahui segala-galanya tentang
rumahtangga dia dan Idayu. Matanya merenung wajah Idayu dari jauh. Sampai hati
Idayu. Sungguh dia kecewa dengan Idayu. Sangkanya Idayu adalah wanita yang
teramat sempurna. Namun, di mana kesempurnaan itu, kalau Idayu boleh berhubung
dengan lelaki lain sejauh ini?
“Hisyam tak berhak untuk lukakan
hati Ayu macam ni. Tinggalkan Hisyam. Kita bina hidup baru. Kita kahwin…,”
Sebaris kata-kata itu tidak mampu
membuat dia terus bersembunyi di situ. Agak kuat pintu diketuk. Sengaja mahu
membuat pasangan itu terkejut dengan kehadirannya. Dan, dia sedar wajah Idayu
yang disapu riak terkejut bukan sedikit. Dia melangkah masuk. Lelaki bersama
Idayu menoleh. Dia kenal wajah itu. Wajah itulah yang membuat dia tidak senang
hati di perkahwinan Hasmieza dulu. Memang Idayu sedang sembunyikan sesuatu
daripadanya. Satu pandangan kecewa dilontarkan pada Idayu.
“Abang…,”
“Sampai hati Ayu. Ayu ingat abang
ni, apa? Patutlah Ayu macam tak kisah dah. Senang saja Ayu izinkan abang kahwin
dengan Maisara. Rupa-rupanya Ayu pun ada rancangan sendiri ya? Dia ni tempat
Ayu meluahkan perasaan ke?,”
“Abang. Bukan macam tu…,”
JANGAN LUPA DAPATKAN VERSI CETAK SEP NANTI. INSYAALLAH...
12 comments:
huhu. memang terjadi situasi macam ni dalam realiti. cuma respong pihak2 terlibat yang membezakannya. sangat2 nak tahu macam mane ayu tangani isu rumah tangga yang macam ni. sikit2 boleh jadi kan panduan n ambil pengajaran. x sabar nak tunggguuuuu. ;D
xsbr nk tggu sep
kejamnya hisham ni..
ada dalam dua bulan lagi...ni hadiah raya ke kak..;)
terbitan ape kak hanni?
tak sabar tggu,,cerita yg menyentuh perasaan
adui x sabarnya... bile nk terbit ni kak hani.. keluaran publishing mana...
novel ni terbitan sykt apa ya?
yeayyyy!! finally...
diam2 je tetibe sept da nk kuar...
wahh... xsaba btol nih...
nnti jgn lupe btaw under pblisher
mane ye kak... =)
huhu...giler meroyan nak bc...
cptla bln sept...nak beli novel nie..huuhuu...koleksi hanni ramsulku akan bertambah..yehhhhhh
aku suke entry nie..pdn muke si hisyam tue..baru dia tau mcm mn ayu rasa selama nie bila dia dgn pompuan lain..hai..cepatla bln 9....
sian kat ayu..pdn muke hisyam.
tau lak die ras cemburu.
Post a Comment